lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

13,000 Beg Sekolah Diagih Kepada Pelajar Miskin
13,000 Beg Sekolah Diagih Kepada Pelajar Miskin
SETIU, 28 Disember - Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) mengagihkan 13,000 beg sekolah kepada pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara. Timbalan Presiden Dana Kita, Muhammad Irwan Omar berkata pada tahun ini pihaknya berjaya mengedarkan sumbangan itu ke enam lokasi seluruh negara iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Kelantan dan lokasi terakhir di Setiu, Terengganu. "Sumbangan di daerah Setiu melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 2,200 beg sekolah dan 2,200 set keperluan asas untuk diagihkan kepada pelajar yang kurang bernasib baik di 43 buah sekolah rendah dan sebuah pusat pengajian pondok." "Alhamdulillah keseluruhan dana awam yang kita perolehi untuk keseluruhan program ini sebanyak 1.8 juta," ujar beliau ketika ditemuramah oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini. Program yang telah digerakkan sejak 2016 bermula dengan 1,000 beg dan menyasarkan para murid B40 yang memerlukan bantuan awal persekolahan. Dalam pada itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, sumbangan itu pasti akan menyuntik semangat pelajar-pelajar untuk kembali melanjutkan sesi pembelajaran. "Terima kasih saya ucapkan kepada NGO Dana Kita kerana sudi memilih daerah Setiu sebagai lokasi pemberian sumbangan. "Kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah, manfaatkan barangan yang diberi agar pihak sekolah bukan sahaja menjadi institusi pendidikan malah menjadi hub pemberian bantuan segera kepada murid-murid sekolah," kata beliau ketika ucapan perasmian Program Bags To School. Inisiatif penyaluran bantuan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita merupakan NGO kebajikan yang ditubuhkan bagi membantu golongan asnaf dan yang memerlukan diseluruh negara. Bagi yang berminat membuat sumbangan, boleh menghubungi Facebook Dana Kita atau terus melakukan transaksi ke akaun bank mereka di Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, 564221646925 (Maybank).
27 Dec 20
1104
PKM Rhu Rendang Tanggung Pengurusan Jenazah Mangsa Lemas
PKM Rhu Rendang Tanggung Pengurusan Jenazah Mangsa Lemas
MARANG, 27 Disember - Pusat Khidmat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang akan menanggung kos pengurusan dan penghantaran pulang jenazah mangsa lemas, Naim Hariri  Kamaruddin, 31 seperti dipersetujui oleh keluarga arwah. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah berbincang dan berurusan dengan keluarga mangsa untuk membantu serta memudahkan urusan pengembumian jenazah. "'Van jenazah telah disediakan dan kita hanya menunggu keputusan daripada hospital melibatkan prosedur kematian, ketika musim Covid-19," katanya kepada UPDI hari ini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mayat bakal pengantin yang lemas pada Jumaat lalu dijumpai terdampar di pesisir pantai pada jam 8.55 pagi ini. "Mayat mangsa, Naim Hariri Kamaruddin, 31, dijumpai oleh saya sendiri bersama-sama empat orang lagi anggota penyelamat ketika melakukan rondaan awal pagi ini," jelasnya. Menurutnya lagi, keluarga mangsa telah membuat pengecaman berdasarkan beberapa identiti dan mengesahkan mayat yang masih berada dalam keadaan sempurna itu adalah Naim. "Mayat mangsa akan dibawa terus ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk siasatan seterusnya," tambah beliau. Kira-kira jam 6.40 petang, jumaat lalu, mangsa dikatakan ditarik ombak ketika mandi seorang diri. Operasi mencari dan penyelamat yang berlangsung selama tiga hari dianggotai oleh lebih 60 orang petugas itu ditamatkan pada jam 11.00 pagi ini.    
27 Dec 20
800
Mayat Mangsa Lemas Pantai Kelulut Ditemui
Mayat Mangsa Lemas Pantai Kelulut Ditemui
MARANG, 27 Disember – Lelaki yang dilaporkan hilang selepas mandi di Pantai Kelulut pada 25 Disember ditemui hari ini. Mangsa, Naim Hariri  Kamaruddin, 31, berasal dari Kuala Lumpur ditemui pada jarak kira-kira2.7 batu nautika dari Pantai Kelulut pada jam lebih kurang jam 9.00 pagi ini Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli dalam satu kenyataan berkata mayat mangsa telah disahkan oleh ahli keluarga.  Katanya, mayat mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat termasuk orang awam yang terlihat objek terapung di laut semasa Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT)  di sekitar pantai Pantai Kelulut, Marang. Beliau berkata, mayat Naim Hariri telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat. Sementara itu, Maritim Malaysia masih meneruskan Operasi CARILAMAT bagi seorang lagi mangsa, dengan menggerakkan 20 anggota serta dua bot peronda dalam penugasan mencari dan menyelamat di kedua-dua lokasi tersebut. Mangsa, Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, anak tempatan Marang yang hanyut di Pantai Jambu Bongkok, Marang dua hari lepas masih belum ditemui.  Muhammad Suffi berkata dalam kenyataan tersebut, pencarian hari ini diperluaskan kepada 10 batu radius dari kawasan mangsa dipercayai lemas. Operasi pencarian turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan turut dibantu masyarakat setempat.  
27 Dec 20
3032
UC TATI Diiktiraf 5 Bintang Setara 2019
UC TATI Diiktiraf 5 Bintang Setara 2019
KEMAMAN, 27 Disember – Kolej Universiti TATI (UC TATI) menjadi Institusi Pengajian Tinggi ( IPT) pertama dalam negeri yang berjaya mendapat pengiktirafan 5 bintang Setara 2019 di bawah kategori Kolej Universiti berdasarkan kriteria pencapaian akademik dan penyelidikan, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, pengiktirafan tersebut merupakan hasil usaha kakitangan dan pelajar secara bersama. “Setinggi tahniah buat Rector TATI, Prof. Dr. Anuar Ahmad dan seluruh kakitangan dan mahasiswa terlibat dalam memberikan komitmen tinggi dan semoga momentum ini diteruskan," katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UC TATI. Sementara itu, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, penilaian tertinggi pernah dicapai UC TATI dibuat oleh Price Water Housing Cooper (PWC) yang bertaraf antarabangsa. “Kriteria markah tersebut dinilai dari segi pencapaian pengajaran, pembelajaran dan pencapaian dan kebolehpasaran para alumni dan graduan. “Selain itu, pencapaian pensyarah kita juga berjaya menjulang anugerah di peringkat antarabangsa dari segi kertas journal dan penyelidikan seperti penghasilan sendiri ‘Big Data’ dan pembangunan prototaip kapal selam dasar lautan. “Matlamat masa hadapan supaya kita mencapai skor penilaian paling tinggi iaitu enam bintang,” katanya. Dalam pada masa yang sama, seramai 23 orang kakitangan UC TATI telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) manakala enam orang lagi menerima Anugerah Khidmat Setia (AKS) atas khidmat 20 tahun. “Dalam pada itu, UC TATI turut menghargai pencapaian kakitangan dalam bidang penyelidikan dan Inovasi. Seramai lima orang kakitangan telah menerima Anugerah Penerbitan Cemerlang dan 17 orang menerima Anugerah Inovasi Cemerlang. “Kejayaan penyelidikan mereka ini telah banyak membantu menaikkan nama UC TATI dalam bidang penyelidikan dan inovasi sebaris dengan IPT terkemuka di negara ini,” katanya.  
26 Dec 20
1416
Bantuan Persekolahan, Tuisyen Rakyat Dengan Norma Baharu
Bantuan Persekolahan, Tuisyen Rakyat Dengan Norma Baharu
KEMAMAN, 27 Disember - Kerajaan negeri sedang menggerakkan dua inisiatif pendidikan iaitu bantuan permulaan persekolahan tahun 2021 dan program Tuisyen Rakyat sebagai langkah memperkasakan pelajar, prestasi pelajaran serta pembelajaran negeri dalam norma baharu. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan inisiatif bantuan dalam bentuk uniform dan barangan sekolah terpaksa ditangguhkan. Katanya, pemberian berbentuk baucer RM100 secara asas sama seperti tahun sebelumnya akan disalurkan kepada pendaftar baharu tahun satu sehingga ke tingkatan enam, meliputi peringkat rendah dan menengah daripada golongan B40 sahaja. “Keputusan telah diambil kira daripada situasi keperluan pelajar dan kekangan kewangan ibu bapa. Hasilnya, kerajaan telah meluluskan hampir RM7 juta dan jangkaan penyaluran bantuan ini pada Januari tahun hadapan. “Data sedang dikemaskini daripada maklumat pemberian tahun lepas bersama kemasukan tahun satu tahun depan, pembersihan nama dibuat bagi menyingkir nama yang telah meninggal dunia dan sebagainya. “Tahun lepas mencatatkan kira-kira 70,000 penerima, dan maksimum satu rumah adalah dua orang bagi tahun ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khidmat Setia 2019 di Universiti Kolej TATI, baru-baru ini. Mengulas lanjut berkenaan program Tuisyen Rakyat, beliau berkata, isu prestasi para pelajar yang terjejas dipandang serius kesan penularan wabak dan penutupan sekolah terutamanya mereka yang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) dan seumpamanya. “Hasilnya kita telah luluskan di setiap 32 DUN untuk melaksanakan Tuisyen Rakyat sebagai program lonjatan akhir menghadapi ujian tersebut. “Setiap DUN akan menerima RM10,000 bagi pelaksanaan program ini khususnya di zon luar bandar yang menghadapi isu liputan talian dan gajet. Oleh itu, premis awam seperti dewan balai raya dan masjid digunakan. “Inisiatif ini hasil kepekaan pentadbiran dalam mengekalkan kecermelangan akademik di Terengganu dengan harapan penganjuran ini meliputi segala peringkat khususnya di luar bandar,” katanya lagi. Tambah Satiful lagi, program Lonjakan Akhir SPM sebelum akhir bulan Mac akan dijalankan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) “Pelaksanaan menggunakan guru pakar daripada JPN di balai awam walaupun dalam jumlah pelajar sedikit kerana pematuhan terhadap larangan Kementerian yang telah ditetapkan,” katanya.
26 Dec 20
1957
Sasar 50 Ribu Pelancong Sebulan Ke Tasik Kenyir Tahun Hadapan
Sasar 50 Ribu Pelancong Sebulan Ke Tasik Kenyir Tahun Hadapan
  DUNGUN, 26 Disember - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyasarkan kehadiran seramai 50,000 pelancong domestik ke Tasik Kenyir setiap bulan pada tahun 2021. Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata beliau optimis sasaran berkenaan berupaya dicapai melalui promosi dan persiapan dilakukan. Katanya, pihak Ketengah dengan kerjasama Persatuan Pelancongan dah merangka pelbagai program dengan lebih sistematik untuk menjayakan perancangan tersebut. "Setiap bulan akan diadakan peristiwa atau program yang mempunyai kelainan berpandukan suasana cuaca. "Ini bermakna selama dua belas bulan akan ada jadualnya yang tersendiri dengan idea-idea dari pihak persatuan,"ujar Razali. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengerusi Ketengah Turun Padang Di Dewan Serba Guna di Kampung Padang Pulut, di sini hari ini. Tambahnya lagi, sasaran itu juga berdasarkan kemasukan pelancong ke Tasik Kenyir sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan. "Sejak PKPP diumumkan, kemasukan pelancong domestik meningkat kepada 40 ribu sebulan dan semua rumah bot habis ditempah sehingga tahun hadapan. "Kini bukan sahaja setiap hujung minggu pelancong datang ke Tasik Kenyir tetapi melibatkan hari biasa juga kerana pelancong suka bermalam di rumah bot sambil mengelilingi tasik,"ujar Razali. Justeru itu katanya, pihak Ketengah akan meningkatkan khidmat dan produk-produk yang terdapat di Tasik Kenyir bagi menarik lebih ramai pelancong datang dengan mengambil kira situasi wabak pandemik Covid19. Terdahulu, Razali menyampaikan bantuan peralatan kepada 23 peserta Program Peningkatan Pendapatan Penduduk(PPP) dan Program Pembangunan Usahawan (PPU) dengan peruntukan lebih RM200 ribu. Sementara itu, sebanyak RM39 ribu turut diagihkan kepada 130 keluarga yang terjejas banjir bagi Zon Ketengah Jaya dan Bukit Besi dengan setiap orang menerima RM300.  
26 Dec 20
1489
Pencarian Dua Mangsa Lemas Diteruskan Walaupun Ombak Kuat
Pencarian Dua Mangsa Lemas Diteruskan Walaupun Ombak Kuat
MARANG, 26 Disember- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki yang dikhuatiri lemas di dua pantai berasingan di sini masih gagal menemui petunjuk baharu setakat 10 pagi ini. Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris berkata pencarian sejak 7 pagi itu bermula di pesisir pantai dari Kuala Marang ke Kuala Dungun sejauh 52 kilometer (km). "Operasi SAR di Kelulut pagi ini akan menggunakan bot Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kerana ia lebih sesuai dengan persekitaran pantai dengan ombak yang kuat ketika ini.  "Seramai 43 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Maritim dan Rela terlibat dalam operasi di Pantai Kelulut pagi ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Kejadian pertama berlaku di Pantai Jambu Bongkok dan bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.37 petang manakala kejadian kedua di Pantai D'Marang Village, Kelulut, hanya beberapa minit selepas itu. Bagi kes di Pantai Jambu Bongkok mangsa ialah Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, yang beralamat di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, manakala bagi kes di Pantai D' Marang Village, Kelulut mangsa dikenali sebagai Naim Hariri Kamaruddin, 31, beralamat di Kuala Lumpur. Difahamkan Naim Hariri sepatutnya melangsungkan perkahwinannya di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung, pagi ini. Keluarga Naim Hariri dan tunangnya yang ditemui pemberita, enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kejadian itu. Semalam, pihak bomba menyatakan kedua-dua kejadian berlaku ketika mangsa sedang mandi-manda di pantai tersebut.  KREDIT: BERNAMA    
26 Dec 20
691
Maritim Bantu Cari Dua Mangsa Lemas Di Marang
Maritim Bantu Cari Dua Mangsa Lemas Di Marang
KUALA TERENGGANU, 26 Disember –Dua lelaki dikhuatiri lemas setelah dipercayai hilang dan lemas ketika mandi laut di dua lokasi berbeza dalam daerah Marang, petang semalam, masih belum ditemui. Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata pihaknya menggerakkan 20 anggota serta dua bot peronda dalam penugasan mencari dan menyelamat di kedua-dua lokasi tersebut. "Setakat ini pencarian bagi kedua-dua mangsa merangkumi lima batu radius dari kawasan mangsa dipercayai lemas. "Operasi pencarian turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang turut dibantu masyarakat setempat dalam memantau pencarian mangsa,"katanya dalam satu kenyataan hari ini. Terdahulu, nangsa pertama Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Kuala Lumpur hilang semasa mandi laut pada jam 6.42 petang semalam di sekitar pusat peranginan Pantai Kelulut, Marang. Manakala seorang lagi mangsa, Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, dari Kampung Bukit Tok Bat dikhuatiri lemas dan dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Jambu Pokok, Marang pada jam 6.33 petang. Mangsa kedua gagal diselamatkan rakan dan orang ramai yang berada di lokasi berkenaan kerana ombak tinggi sekitar dua meter.
26 Dec 20
260
Belia Aset Negara Dan Bakal Pelapis
Belia Aset Negara Dan Bakal Pelapis
  Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 24 Disember- ADUN Belia Terengganu yang dilantik oleh pihak kerajaan  adalah aset negara dan bakal pelapis yang akan memimpin serta mengambil alih ‘orang lama’ nanti. Yang DIpertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, golongan ini juga ada peranan masing-masing untuk dimainkan bagi menyelamatkan masyarakat orang Islam dan bukan hanya sekadar dalam persidangan sahaja. “Sidang Belia yang diadakan adalah bagi mencungkil bakat-bakat kepimpinan dalam kita menghadapi satu cabaran pada masa depan. Pembinaan dan kekuatan yang ada dalam sebuah masyarakat dan negara itu akan dilihat  pada belia itu.  “Dan inilah peluang yang terbaik untuk menunjukkan bakat  samada bakat kepimpinan ataupun  bakat dari segi bagaimana golongan belia yang merupakan ‘stakeholder’ (pemegang taruh) yang menjadi sebahagian kerajaan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka bagi memberikan pandangan dan cadangan serta kritikan kepada kerajaan,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam program perasmian Penutup Persidangan Persidangan Kali Kedua Penggal Pertama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu di Dewan Undangan Negeri, Tingkat U2, Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Menurutnya, ADUN Belia yang dipilih diharap agar gigih menjalinkan hubungan yang kuat di tempat masing-masing  dan di kawasan yang lain juga. “Saya rasa begitu sayang sekiranya yang dipilih ini hanya diguna pakai dalam dewan ini sahaja. Mereka  mesti manfaatkan, bukan habis di sini dalam waktu bersidang sahaja dan mesti ada ‘follow up’ susulan,” katanya. Dato’ Yahaya menambah, golongan belia yang dilantik oleh kerajaan adalah untuk melahirkan dan mengasah bakat – bakat baru kepimpinan negeri sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan. “Walaupun umur masih muda, mereka lebih tahu berkenaan dunia anak-anak muda pada masa kini  dan pihak kerajaan memberikan pengiktirafan kepada golongan yang diletakkan sebagai kekuatan yang ada pada sebuah kerajaan negeri,” ujar beliau. Justeru itu, beliau berharap agar semua pihak memberikan fokus kepada golongan belia   “Kalau kita bercakap soal bajet  tidak akan ketinggalan golonga belia antara yang diberikan perhatian dalam bajet belanjawan yang dibentang oleh Menteri Besar Terengganu baru-baru ini,” tambah Dato Yahaya.
24 Dec 20
394
DUN Cadang Kajian Prestasi Wakil Rakyat
DUN Cadang Kajian Prestasi Wakil Rakyat
  Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sedang membuat satu kajian berkenaan prestasi wakil rakyat sepanjang mereka berkhidmat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini. Yang Dipertuanya, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia penting untuk menjadikan ahli Badan Legislatif di Terengganu  memenuhi misi menjadikan Dewan yang terunggul  di seluruh Malaysia. “Di peringkat Badan Legislatif, kita sedang berusaha ke arah kita nak penilaian yang dibuat sekarang ini ialah prestasi ahli DUN khususnya dari  segi khidmat mereka pada rakyat.   “Yang kita bincang diperingkat Badan Legislatif yang saya berhubung dengan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) perlu ada kajian ahli DUN bukan sahaja dinilai dari segi prestasi mereka dalam konteks tanggungjawab sebagai wakil rakyat. “Prestasi mereka sebagai ahli Dewan Undangan Negeri , dari segi sejauh mana mereka serius membuat persiapan , sejauh mana rajin dan kerap mengemukakan soalan , kekerapan penglibatan ADUN dalam perbahasan dan mutu perbahasan, serta persediaan ADUN dalam menghadapi persidangan, samada ada peningkatan atau tidak dari semasa ke semasa,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam program prasmian Penutup Persidangan Persidangan Kali Kedua Penggal Pertama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu di Dewan Undangan Negeri, Tingkat U2, Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Menurutnya, pihak DUN sedang giat menjalankan kajian  dan penambahbaikan 'standing order' serta akan menerbitkan buku sejarah DUN Terengganu bermula pada tahun 1959 sehingga sekarang.
24 Dec 20
393