lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

LPT Sedia 1,160 Petugas Sempena Cuti Akhir Tahun
LPT Sedia 1,160 Petugas Sempena Cuti Akhir Tahun
KUALA TERENGGANU, 29 Disember - Pengendali rangkaian lebuh raya E8 iaitu ANIH Berhad dan LPT 2 Sdn. Bhd. menyediakan 1,160 petugas sempena cuti akhir tahun 2020. Langkah itu dibuat bagi memantau pergerakan pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dijangka meningkat dalam fasa sekarang. Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, pihaknya akan memastikan orang ramai dapat menggunakan lebuh raya berkenaan dengan selamat. “Pelanggan lebuh raya dijamin bukan sahaja dapat menikmati perjalanan yang lancar dan menjimatkan masa. “Malah dapat menikmati kemudahan seperti Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, bantuan kecemasan dan perkhidmatan rondaan 24-jam yang sedia ada di rangkaian lebuh raya E8 kendalian ANIH Berhad sepanjang 234 kilometer,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini. Sementara itu, Pengarah LPT 2 Sdn. Bhd., Zakaria Ahmad Zabidi memaklumkan, semua petugas terbabit ditempatkan di sepanjang eko-sistem lebuh raya bagi membantu pelanggan lebuh raya sekiranya berlaku sebarang kecemasan.  “Jumlah ini meliputi kakitangan di plaza tol, pasukan rondaan, penyelenggaraan lebuh raya serta Pusat Kawalan Trafik bagi membantu pengurusan trafik di kawasan R&R, hentian sebelah dan plaza tol pada musim cuti akhir tahun ini. “LPT2 yang merangkumi laluan sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor hingga Kuala Terengganu dilengkapi dengan lima R&R serta empat hentian sebelah yang memudahkan pelanggan untuk berhenti rehat dengan selesa sebelum menyambung semula perjalanan mereka.  “Sekiranya berlaku kecemasan, terdapat kira-kira 60 anggota pasukan Rondaan LPT2 yang boleh membantu pelanggan 24-jam sehari,” jelas Zakaria. Tambah beliau, musim tengkujuh yang melanda negara di beberapa buah negeri di Pantai Timur juga kerap menyebabkan laluan pesisir negeri atau persekutuan mengalami banjir.  “Justeru itu, kami menyarankan kepada pelanggan yang terjejas sewaktu musim tengkujuh supaya menggunakan lebuh raya LPT2 sekiranya laluan pesisir negeri atau persekutuan ditutup atau tenggelam yang berpunca akibat banjir untuk meneruskan perjalanan mereka ke Terengganu, Kuantan atau Lembah Klang,” ujarnya.  
29 Dec 20
653
Cendol 1957 Raih Jualan RM1,000 Sehari
Cendol 1957 Raih Jualan RM1,000 Sehari
MARANG, 30 Disember - Hanya dibuka secara 'suka-suka' di perkarangan rumah, di Kampung Sentol Patah di sini, kini Warung Cendol 1957 mula menjadi tarikan ribuan peminat sehingga mampu meraih jualan RM1,000 sehari pada musim tertentu. Ia menjadi tarikan orang ramai selepas makanan itu divariasikan dengan pelbagai rasa, cendol durian, cendol aiskrim dan cendol nangka. Pemilik warung itu, Mohd Khairul Nizam Roslam, 35, berkata dia mula mengusahakan perniagaan cendol yang diwarisi dari keluarganya sejak 28 tahun lalu pada Ogos lalu. "Cendol 1957 diberi nama bersempena lot tanah rumahnya dan digabungkan dengan cendol dan secara kebetulan sama dengan tahun kita mencapai kemerdekaan," katanya. Beliau berkata ketika ditemubual Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini. Menurutnya lagi, walaupun berniaga secara santai di rumah, sambutan daripada pelanggan sangat menggalakkan lebih-lebih lagi ketika musim durian. "Ketika musim durian, kita pernah meraih pendapatan lebih daripada RM1,000 sehari, dan pada cuti umum pula, kita juga menerima kunjungan dari penduduk luar negeri seperti Selangor, Perlis dan Pahang. "Idea untuk membuka perniagaan cendol di rumah, adalah suasana lebih selesa dan santai, susun atur yang lebih mudah, serta yang paling penting dapat menjimatkan kos menyewa. "Pekerja pula terdiri daripada ahli keluarga, dibantu oleh adik beradik manakala waktu operasi dibuka pada setiap hari kecuali jumaat bermula jam 12.00 tengah hari sehingga 6.00 petang," tambahnya lagi. Orang ramai yang ingin mencuba boleh mencari lokasi kedai menggunakan aplikasi 'Maps' atau mengunjungi laman rasmi 'Facebook Cendol 1957'.
29 Dec 20
2281
Skuad Amar Lancar Operasi Cegahan Maksiat Malam Tahun Baru
Skuad Amar Lancar Operasi Cegahan Maksiat Malam Tahun Baru
MARANG, 29 Disember -Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar)  memberi amaran sekeras- sekerasnya agar menghentikan segera aktiviti  tidak bermoral, terutama ketika menjelang tahun baru tidak lama lagi. Operasi akan diadakan secara besar-besaran di lokasi-lokasi tertentu bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini berlaku lebih-lebih lagi melibatkan generasi muda. Ketua Skuad Amar Marang, Nasaruddin Samsudeng berkata, sebaran meluas secara maya telah dibuat sebagai amaran bagi membendung dan menyahut ke arah seruan sifat maksiat di Terengganu. Katanya, operasi kali ini lebih kepada pencegahan awal, oleh sebab itu, hebahan berkaitan operasi telah dibuat awal melalui media massa, poster dan menggantung 'banner'. "Skuad Amar akan melakukan dua sesi, iaitu sesi pertama adalah membuat tinjauan di kawasan tumpuan seperti pusat peranginan, pantai, bermula lewat petang manakala sesi kedua pula akan melibatkan serbuan di hotel, chalet dan rumah tumpangan pada lewat malam, "katanya. Menurutnya ketika ditemubual wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman, beberapa keping banner juga akan mula digantung pada keesokan hari di beberapa lokasi tertentu di sekitar daerah ini. "Skuad Amar juga mendapat sokongan dan kerjasama yang baik daripada bahagian Penguatkuasaan Syariah daripada Pejabat Agama Daerah Marang. "Kita mengharapkan masyarakat bersama-sama dengan kita dalam mendidik generasi muda atau remaja terutamanya anak-anak kita, agar menjaga batas pergaulan dan tatacara berhibur mengikut ajaran dan syarikat islam. "Menjelang tahun baru, satu operasi akan diadakan secara besar-besaran di lokasi-lokasi tertentu bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini berlaku lebih-lebih lagi melibatkan generasi muda,"katanya.  
29 Dec 20
2264
Klinik Al-Fatihah, Tahsin Azan Bakal Lahir Imam Muda
Klinik Al-Fatihah, Tahsin Azan Bakal Lahir Imam Muda
MARANG, 29 Disember - Klinik Al-Fatihah dan Tahsin Azan bakal melahirkan golongan pelapis kepada imam dan bilal di kalangan generasi muda. Pegawai Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu, Mohd Fakhruddin Zakaria berkata 'Program Minggu Bersama Daie', ini telah diadakan bagi memperelokkan bacaan al-fatihah dan azan. "Harapan besar bagi penganjur adalah melatih masyarakat tempatan supaya lebih yakin untuk menjadi iman dan bilal di kampung masing-masing. Katanya, idea bagi menganjurkan program seperti ini sesuai dengan keperluan generasi baharu yang perlu diangkat untuk mengalas tanggungjawab iman dan bilal. "Sekiranya mendapat sambutan dan program ini berjaya, kita akan melakukannya secara berkala dan berperingkat di setiap kampung masing-masing. Beliau berkata ketika ditemubual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman hari ini. Menurutnya lagi, di samping melahirkan keyakinan sebagai imam dan bilal, adalah menjadi satu tuntutan dalam agama memperbetulkan bacaan dalam solat. "Lebih-lebih lagi, bila memimpin masyarakat sebagai imam solat atau melaungkan azan untuk menyeru umat islam untuk melaksanakan solat," tambahnya. Program anjuran DUAT Dun Rhu Rendang bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) ini diadakan selama lima hari di surau Medan Rhu, Rhu Renggeh bermula 27 sehingga 31 Disember.  
29 Dec 20
684
Pelajar Pondok Ibtada’i Bakal Jadi Perintis Program Kemahiran
Pelajar Pondok Ibtada’i Bakal Jadi Perintis Program Kemahiran
HULU TERENGGANU, 29 Disember – Seramai 30 pelajar Pondok Ibtada’i, Ajil menjadi perintis kepada pelaksanaan program kemahiran dengan kerjasama Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) Hulu Terengganu dalam bidang pertukangan dan perkayuan apabila menerima sijil tamat latihan semalam. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim, berkata menerusi program kemahiran seperti ini, peluang pelajar tahfiz untuk berdikari dalam kehidupan selepas tamat pengajian akan lebih luas.   Katanya, ini merupakan inisiatif pertama dalam negara khususnya yang memberi fokus kepada pelajar pondok dan ia adalah satu cara kerajaan negeri untuk memperkasakan mereka dan akan dilebar luas serta dilakukan secara berperingkat. Justeru itu, pelajar tahfiz perlu bijak mengambil peluang dengan belajar ilmu tambahan selain bidang utama untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran mereka. “Sebelum ini kebiasaan yang kita tahu pelajar pondok ini hanya tahu menadah kitab, tetapi sekarang ini terbukti pelajar aliran Agama juga sudah setanding dengan pelajar pelajar yang belajar di institusi kemahiran yang ada di negara ini. Pelajar ini bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu agama dan akademik, sebaliknya dilengkapi dengan pengetahuan asas kemahiran.    “Pelajar yang mempunyai kemahiran peluang untuk berjaya dalam hidup bukan hanya tamat di institusi pondok dan tahfiz, sebaliknya mereka yang mendalami ilmu agama ini juga mampu memperoleh pendapatan tinggi melalui kemahiran dimiliki.  “Mereka yang mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang ditambah dengan daya kreativiti mampu memperoleh pendapatan yang lebih besar jika diusahakan bersungguh-sungguh,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui  wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penutup Dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Pemantapan Kemahiran Pelajar Pondok Negeri Terengganu ( Pondok Ibtida'i, di Terengganu Timber Industry, semalam. Sementara itu, Muhammad Shahrul Ashraf Mohd Ropi,13, berkata, dia teruja menyertai kursus berkenaan, berikutan (TTITC)  memberi asas kemahiran sekali gus memenuhi minatnya dalam bidang pertukangan kayu. “Ia memberi satu lagi nilai tambah pada saya kerana selain mampu menghafal Al-Quran, saya juga belajar kemahiran lain sebelum memasuki alam pekerjaan. Keluarga juga beri sokongan untuk ikuti program ini,” kata anak kelahiran Chador, Kemaman itu. Bagi Mohd Lukman Mohamad, 34, pula berkata, menerusi program itu beliau mempunyai peluang atau akses mudah untuk menceburi bidang pembuatan Pergola dan Landskap Taman.  “Alhamdulillah. Terima kasih kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan program kemahiran kepada pelajar institusi pondok dan tahfiz dengan semua kos ditanggung kerajaan," katanya.  
29 Dec 20
1006
Hishamuddin Dedah Punca Letak Jawatan Dalam PBSNT
Hishamuddin Dedah Punca Letak Jawatan Dalam PBSNT
KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Hishamuddin Abdul Karim hari ini mendedahkan punca utama beliau melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkuatkuasa 1 Januari depan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh itu berkata, beliau meletak jawatan bukan kerana pertelingkahan atau persengketaan dengan mana-mana pihak. “Walaupun telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PBSNT, saya tetap menjadi keluarga PBSNT dan Terengganu Football Club (TFC). “Hubungan sesama keluarga pasukan ini tetap utuh dan kukuh. Saya bimbang muncul pelbagai spekulasi yang bukan-bukan. Tangan ghaiblah, apalah. Sebenarnya ia pilihan saya sendiri untuk menumpukan kerja yang lain dan lebih utama. “Selepas menyampaikan pemakluman notis perletakkan jawatan, saya masih lagi akrab dengan pasukan. Rakan-rakan peminat bola sepak usah bimbang. Malah saya berjanji dengan Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain dan Pengurus TFC, Joe Rozi untuk kekal berdiskusi tentang pasukan jika diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya. Peletakan jawatan yang diumum semalam itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak dan tidak kurang juga ramai penyokong tidak bersetuju serta sedih dengan pengunduran Hishamuddin yang telah banyak membawa perubahan dalam PBSNT sejak 2018. Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Hishamuddin memberitahu, beliau juga sempat bertemu dengan dua pemain import baharu TFC semalam. “Kehadiran Petrus Shitembi dan Carli de Murga petang kelmarin, sempat juga saya santuni bersama. Sempatlah tengok Petrus aksikan tarian untuk rakaman video,” jelasnya. Katanya, ketika Sanjar Shakmedov masih bersama TFC, Petrus Shitembi menjadi antara pemain yang disyorkan Sanjar.  “Malah Sanjar pernah menyebut kepada ketua jurulatih, sama ada dia kekal dalam pasukan atau tidak, TFC perlu dapatkan Petrus Shitembi. Sangat berkebetulan pandangan Sanjar dengan pemerhatian Nafuzi Zain sendiri, akhirnya Petrus Shitembi berjaya diikat TFC. “Ketua Jurulatih turut menghidu prestasi bekas pertahanan skuad kebangsaan Filipina berkelahiran Sepanyol, Carli de Murga. Sebelum ini sebagai pemain kelab Chonburi FC. Usaha memperkukuhkan pertahanan antara yang disusun oleh Ketua Jurulatih untuk musim depan.  “Kedua-dua pemain import baru ini akan berada di tapak Padang Latihan TFC pada petang ini untuk memulakan latihan pertama bersama pasukan,” tambah beliau.
28 Dec 20
12359
Tiga Pengunjung Positif COVID-19 Dikesan Di Pasar Payang
Tiga Pengunjung Positif COVID-19 Dikesan Di Pasar Payang
KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Terdapat pertambahan kes positif COVID-19 melibatkan tiga orang pengunjung yang berkunjung ke Pasar Besar Kedai Payang, sejak minggu lalu. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, namun hasil tindakan pantas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, keputusan saringan peniaga adalah negatif. “Walau bagaimanapun, kes pengunjung yang didapati positif COVID-19 itu menunjukkan kita sentiasa terdedah dengan risiko jangkitan lebih lebih lagi dengan bilangan pengunjung yang ramai yang pengamalan penjarakan fizikal susah dilaksanakan. “Oleh itu, saya ingin menyampaikan pesanan agar semua terus mengambil perhatian aspek keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP). “Para pengunjung perlu mendaftar MySejahtera, atau pada buku rekod kemasukan. Ini penting untuk tujuan contact tracing jika berlaku kes,” katanya sebagaimana dilapor Sinar Harian. Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, keputusan saringan bersasar kepada 126 peniaga di Pasar Payang mendapati tiada kes positif Koronavirus. “Risiko jangkitan amat kurang jika semua peniaga dan pengunjung sentiasa mematuhi SOP ketika berurusan jual beli. Ini penting kerana kita tidak tahu status mereka disekeliling. ”Mungkin mereka tiada gejala namun siapa tahu mereka mungkin pembawa virus bukan hanya di Pasar Payang tetapi di semua premis yang ramai pengunjung,” katanya. Untuk rekod, sehingga Ahad, Terengganu merekodkan pertambahan satu kes sembuh dan lima kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah 16 kes Covid-19 aktif sedang dirawat, menjadikan keseluruhan sebanyak 301 kes di Terengganu.
28 Dec 20
5600
Bakal Pengantin Lemas Selamat Dikebumikan
Bakal Pengantin Lemas Selamat Dikebumikan
KUALA LUMPUR, 28 Disember - Jenazah Naim Hariri Kamaruddin, 31, yang lemas di Pantai Kelulut telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Batu Muda di sini sekitar jam 8.00 pagi tadi. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, sebaik sahaja selesai urusan pengebumian, keluarga Allahyarham telah menghubunginya dan mengucapkan terima kasih atas keperihatinan yang ditunjukkan oleh Kerajaan negeri Terengganu. "Keluarganya berbesar hati atas usaha kerajaan negeri dalam menguruskan urusan penghantaran jenazah serta proses mencari dan menyelamat mangsa. "Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melalui Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang telah menguruskan segala urusan serta kos penghantaran jenazah, untuk memudahkan pengebumian jenazah Naim." jelasnya kepada UPDI hari ini. Kata Nasaruddin, beberapa pimpinan kerajaan negeri juga turut menziarahi keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu semalam dan ketika proses mencari serta menyelamat mangsa beberapa hari lepas. Menurutnya lagi, beliau juga sempat diberi penghormatan untuk mengimamkan solat jenazah arwah oleh ayah mangsa sebelum dibawa pulang ke Kuala Lumpur. "Kita juga telah bersama-sama memberikan dorongan serta bantuan kepada keluarga mangsa bermula hari pertama sehingga hari mangsa dijumpai, serta ketika proses pengurusan jenazah dan sehingga jenazah selamat dikebumikan," tambahnya lagi. Naim dilaporkan hilang selepas ditarik ombak ketika mandi di Pantai Kelulut pada jam 6.40 petang beberapa hari lalu Mangsa datang bersama ahli keluarga ke daerah ini untuk melangsungkan pernikahan bersama pasangannya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27.
28 Dec 20
2259
Rezeki Ayam RM1
Rezeki Ayam RM1
KUALA NERUS, 28 Disember - Bermula dengan kanopi kecil di hadapan sekolah di daerah ini, perniagaan ayam RM1 yang diusahakan Muhammad Fuad Hanis kini makin berkembang sehingga mendapat tempahan ramai. Pemilik restoran Kampung Duyung Fried Chicken (KDFC) itu berkata, tiada rezeki datang bergolek tanpa usaha gigih, pengorbanan dan sokongan keluarga. "Saya bermula dengan menjual ayam goreng ini pada bulan Ogos 2005 dengan berkanopi di hadapan sekolah-sekolah manakala hari cuti sekolah saya berniaga di Pantai Teluk Ketapang. "Permulaan bisnes ini banyak cabaran yang datang, namun hasil yang diperolehi memberikan saya semangat untuk terus berniaga. "Dulu hasil jualan sekitar RM500 sehari, sekarang selepas sudah berkembang, alhamdulillah mampu mencecah RM2,000 hingga RM3,000 sehari," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman. Menurutnya lagi, kualiti ayam yang dijual adalah salah satu kunci kejayaannya dalam perniagaan tersebut. "Selain rasa ayam yang lembut dan rangup ketika dimakan, keistimewaan menu utama terletak pada Pitaza ini adalah standing jenama antarabangsa dan dijual dengan harga murah. "Rata-rata maklum balas yang diterima daripada pelanggan memberitahu dengan gabungan rasa nanas dan sos adalah kunci utama menu Pitaza yang kami hasilkan," katanya. Muhammad Fuad berkata KDFC kini mempunyai 14 orang tenaga kerja dan premisnya bertempat di Kampung Duyung, Seberang Takir. "Saya berhasrat untuk membantu anak-anak muda yang hendak mencari pekerjaan dengan memajukan perniagaan seperti pembukaan cawangan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi," jelasnya. Tambah Muhammad Fuad, perniagaannya juga menerima tempahan daripada badan-badan korporat untuk majlis seperti sambutan hari kelahiran, kenduri kahwin dan jamuan
28 Dec 20
615
Aiman Kuasai Litar Himpunan Bermotor Anak Muda Terengganu 2020
Aiman Kuasai Litar Himpunan Bermotor Anak Muda Terengganu 2020
KUALA NERUS, 28 Disember – Bermula dengan sebagai 'mat rempit' dan kini beralih arah sebagai pelumba pecut litar, Mohd Aiman Izzudin mengungguli kategori ‘sprint test’ 125 OEM di Himpunan Bermotor Anak Muda Terengganu 2020, Litar Permotoran Terengganu, petang kelmarin. Anak kelahiran Rasau, Dungun itu berjaya memenangi pusingan final dengan tempat pertama mewakili pasukan MSB Garage bersama jentera lumba Yamaha 125, dengan masa 7.4 saat menewaskan lawannya daripada Team Pak Tam Speed dengan kemenangan tipis 7.5 saat 201 meter. Berat badannya yang ringan dan keupayaan dalam mengawal pecutan menyebabkan bakatnya diburu tiga pasukan lain untuk mewakili jentera mereka dalam empat kategori lain. “Saiz saya sesuai untuk kelajuan dan walaupun sekeliling amat sengit, tapi kepercayaan saya adalah kepada jentera dan diri sendiri kerana 'rider' itu sendiri amat penting dalam menentukan kemenangan malah dalam pertandingan sebelum ini pun pernah dapat kedudukan podium. “Minat saya dalam permotoran ini bermula sewaktu umur 15 tahun tapi dulu jadi pelumba haram, tapi apabila mencecah usia 17 tahun, saya mula menceburi bidang permotoran dalam litar pula," katanya. Mengulas tentang reaksi keluarganya, Aiman berkata kedua ibu bapa sentiasa memberi sokongan  dan datang menyaksikannya beraksi di pertandingan dalam negeri sehingga ke Melaka dan Perak. Kejohanan seterusnya buat anak sulung kepada empat beradik itu adalah bertanding di Litar Antarabangsa Sepang dalam Musc-Sic Sepang Drag Battle 2020 pada awal Januari tahun hadapan. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran sukan permotoran tersebut mengumpulkan lebih 100 orang pelumba majoriti anak Terengganu. “Pasukan daripada negeri lain seperti Perlis, Kedah, Johor dan Kelantan turut terlibat menunjukkan sambutan cukup hebat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya. Beliau berkata demikian selepas Perasmian Penutup Program Himpunan Bermotor Anak Muda Terengganu 2020 anjuran Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dan Koperasi Permotoran Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak, Timbalan Pengarah Jabatan Belia Sukan (JBSNT) Negeri, Mohmad Embong dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said. Mengulas lanjut mengenai usaha kerajaan negeri dalam memajukan lagi industri sukan permotoran, Sukairi berkata, Belanjawan 2021 akan menyediakan peruntukan kira-kira RM500,000 khusus pada peringkat akar umbi “Ini khusus bagi mendidik dan membimbing minat anak muda kepada pembangunan sukan permotoran dalam negeri,” katanya.  
28 Dec 20
2461