lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

KPKK Rangka Tiga Strategi Untuk Golongan Pekebun Dan Penoreh Terjejas
KPKK Rangka Tiga Strategi Untuk Golongan Pekebun Dan Penoreh Terjejas
KUALA NERUS, 24 Disember - Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi (KPPK) merangka tiga strategi untuk menjaga kebajikan golongan pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas pendapatan susulan harga getah yang rendah. Setiausaha Politik Menteri KPPK, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin, berkata  kementeriannya akan mempergiat hebahan dan kesedaran kepada pekebun kecil agar memohon Insentif Pengeluaran Getah (IPG). “Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020, sebanyak RM149 juta telah dibelanjakan untuk membiayai tuntutan IPG. "KPPK juga menggalakkan pekebun kecil mengamalkan tanaman integrasi jangka pendek, sederhana dan panjang sebagai pendapatan sampingan,"ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu program bersama warga penoreh getah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus, baru-baru ini. Dalam program berkenaan, seramai  260 penoreh getah yang terjejas mendapat sumbangan kewangan dan barang keperluan ekoran musim tengkujuh melanda daerah tersebut. Sementara itu, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali  ketika dihubungi berkata, hebahan ini untuk mewajibkan pekebun kecil menggunakan sistem RRIM Niaga yang akan berfungsi pada 1 Januari 2021 bagi memudahkan penyaluran IPG tanpa proses permohonan manual. “IPG adalah mekanisme sokongan harga ladang dengan Paras Harga Pengaktifan (PHP) RM2.50 sekilogram getah sekerap atau RM6.10 sekilogram getah Standard Malaysian Rubber (SMR) 20. “Sehingga kini, sebanyak 20 koperasi terlibat dalam urusniaga getah dan menawarkan harga cup lump pada purata RM0.10 sehingga RM0.20 sekilogram lebih tinggi berbanding pembeli getah lain,” katanya.  
24 Dec 20
313
14 Barangan Disenarai SHMMP Krismas
14 Barangan Disenarai SHMMP Krismas
KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Sebanyak 14 jenis barangan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sebagai langkah menstabilkan harga barang di pasaran ketika musim perayaan. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, penguatkuasaan telah bermula semalam sehingga 31 Disember ini. “Antara barangan tersenarai seperti ayam (hidup, standard, super), ayam belanda import, telur ayam, daging kambing dan biri-biri import, telur ayam (gred A,B,C), tomato dan Kubis Bulat (import). “Sebelum pelaksanaan, pihak kementerian sudah mengedar risalah kepada semua peniaga-peniaga sebagai panduan pematuhan, setakat masa ini tiada lagi tindakan dibuat kerana masih ada peniaga yang baru mendapat maklumat berkenaan skim tersebut. “Justeru, pada peringkat awal ini kami mengharapkan agar para peniaga meletakkan harga-harga barangan dibawah harga maksima dan elak melepasi batasan tersebut,"katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas peringkat Terengganudi Pasaraya PXR, Kuala Nerus, pagi semalam. Tambah beliau, untuk membezakan harga biasa dengan harga kawalan pengguna perlu melihat dan menyemak pada tanda harga berwarna merah jambu. Mengulas berkenaan faktor pelaksanaan harga maksimum, Shaharuddin berkata, perbincangan telah diadakan sebelum perlaksanaan bersama para pemborong utama, peladang, penternak bagi memastikan harga barangan munasabah. “Selain itu, faktor bekalan turut diambil kira dalam penetapan harga dan kita tidak sewenang-wenangnya menetap harga dan mengambil kira tentang peniaga dan pengguna. “Antara peniaga yang terlibat adalah di sektor pasaraya, pasar basah, kedai runcit dan di peringkat borong juga akan dipantau kerana harga pemborong mempengaruhi harga runcit,"ujarnya. Beliau turut menegaskan bahawa peniaga yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti yang ditetapkan. "Individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.
24 Dec 20
373
Tiada Kes Daging Import Haram Di Terengganu
Tiada Kes Daging Import Haram Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Disember – Terengganu tidak mencatatkan sebarang kes berkaitan isu daging sejuk beku import haram atau tidak halal berdasarkan pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri. Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, kementerian sebelum ini telah mengarahkan pemeriksaan di seluruh negeri bagi mengesan lokasi penghantaran produk haram tersebut. “Ini adalah tindak balas segera selepas menerima berita tentang kegiatan kartel daging di Johor Bharu, baru-baru ini. “Setakat ini, hasil pemeriksaan berterusan mendapati tiada isu berbangkit berkaitan dagin import, halal dan sebagainya di Terengganu, boleh dikatakan daging import di sini selamat,” katanya ketika ditemui pemberita semalam. Mengulas isu kenaikan harga bawang, Saharuddin berkata, setakat ini tiada aduan diterima dan belum ada tindakan yang perlu diambil berkenaan perkara tersebut. “Kebiasaannya ramai pihak merujuk kepada kami tentang mengapa berlaku sesuatu peningkatan harga, kemudian penjelasan akan diberikan bersama sebab peningkatan oleh kementerian sendiri. “Peningkatan harga bukan bermakna item tersebut tiada di pasaran tetapi kuantitinya terbatas. “Pihak kerajaan telah mengambil tindakan dalam isu bawang sekarang seperti isu bawang kecil dari India, solusi alternatif diambil adalah membekalkan barangan sama daripada negara lain seperti Pakistan, China, Vietnam dan sebagainya,” katanya.
24 Dec 20
6241
KPDNHEP Rampas Barang Berjumlah RM400,000
KPDNHEP Rampas Barang Berjumlah RM400,000
Oleh: Nur Farah Amirah Hamzah KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merekodkan sebanyak RM446,278 hasil nilai rampasan dan RM147,750 nilai kompaun daripada tindakan 569 kes di beberapa daerah sekitar Terengganu bagi tahun 2020. Pengarah KPDNHEP, Saharuddin Mohd Kia berkata, Kuala Terengganu mencatatkan kes tertinggi iaitu 241 kes diikuti dengan 127 kes di Besut, 108 kes di Kemaman dan kes terendah di Dungun dengan 93 kes. “Jumlah kes tersebut adalah mengikut statistik pemeriksaan yang merangkumi 49,777 pemeriksaan di seluruh negeri Terengganu pada tahun sama. "Pecahan daripada jumlah data operasi tersebut melibatkan 22,169 pemeriksaan di Kuala Terengganu, 9,017 di Kemaman, 9,412 di Dungun dan 9,179 di Besut. Kesemua pemeriksaan ini melibatkan 4,007 bilangan premis," katanya ketika ditemubual pemberita. Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas peringkat Terengganudi Pasaraya PXR, Bukit Tunggal, Kuala Nerus, semalam. Tambahnya, 15 kes telah disabit kesalahan dan dikenakan denda berjumlah RM192,300 untuk hukuman denda oleh mahkamah. Kesalahan ini tertakluk di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan Akta Cap Dagangan 2019. Sementara itu, Saharuddin turut menasihati para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan dalam memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan melalui aplikasi telefon pintar, EzADU dan whatsapp ke 019-2794317. "Aduan juga boleh diajukan di Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, talian telefon di 1800-886-800, e-mel menerusi e-aduan@kpdnhep.gov.my, di media sosial Facebook dan Twitter KPDNHEP Terengganu atau laporkan ke mana-mana pejabat KPDNHEP Negeri Terengganu," katanya lagi.
24 Dec 20
628
Bersih Rumah, 400 Ekor Ayam Untuk Mangsa Banjir
Bersih Rumah, 400 Ekor Ayam Untuk Mangsa Banjir
KEMAMAN, 23 Disember - Tidak sekadar membersihkan rumah, 400 ekor ayam turut disumbangkan kepada penduduk di daerah ini. Inisiatif itu adalah bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di kampung Seberang Tayor Hilir dan penduduk kampung sekitar. Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Ab. Razak Ibrahim berkata, beliau teruja menerima kehadiran rombongan daripada PAS kawasan Marang dalam operasi banjir tersebut. “Terima kasih diucapkan kepada Ketua Rombongan, Sulaiman Sulong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan dan Pengerusi Jawatan Kuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital yang turut menyumbang 400 ekor ayam, " katanya. Katanya melalui satu kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi ‘Facebook’ miliknya. Sementara itu, Ketua Operasi Pembersihan, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin ketika dihubungi berkata, dengan sumbangan tenaga yang diberikan diharap dapat meringankan beban mereka yang memerlukan. “Operasi pembersihan telah melibatkan beberapa buah rumah, surau, masjid dan juga balairaya,” tambahnya lagi. Rombongan dari Marang telah disertai oleh 170 orang yang terdiri daripada PAS Kawasan Marang, Khidmat Malaysia Marang, Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, Jabatan Amal Marang, Muslimat, Ameerah, PASAK dan ARC Marang. Turut hadir adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang membantu menangkap seekor ular yang bersarang di dalam rumah seorang mangsa banjir.
23 Dec 20
593
Program Tuisyen Rakyat Untuk Pelajar SPM
Program Tuisyen Rakyat Untuk Pelajar SPM
KUALA TERENGGANU, 23 Disember – Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk telah menganjurkan Program Tuisyen Rakyat untuk membantu pelajar tingkatan lima yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Program tuisyen tersebut menawarkan tiga subjek kepada pelajar iaitu Bahasa Melayu, Matematik dan Sejarah. “Kita jalankan program ini melalui tiga zon iaitu zon pertama buat Mukim Chendering bertempat di Dewan Serbaguna Permin Jaya, zon kedua untuk Mukim Kuala Ibai dan Batu Buruk bertempat di Dewan Darul Syifa’ Kuala Ibai. “Manakala bagi zon ketiga untuk Mukim Bukit Besar bertempat di Dewan Masjid Gong Tok Nasek,” kata ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika ditemu bual pemberita. Tambah beliau, program tuisyen tersebut memanfaatkan tenaga pengajar yang pakar dalam soalan-soalan lazim dalam peperiksaan SPM. Ketiga-tiga zon tersebut dijadualkan secara berasingan iaitu zon pertama pada 22 hingga 24 Disember 2020, zon kedua pada 27 hingga 29 Disember 2020 dan zon ketiga pada 3 hingga 5 Januari 2021. Program Tuisyen Rakyat ini yang bermula semalam telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan penuh seramai 32 orang pelajar. Tambahan pula, program tersebut telah dijalankan mengikut Standard Operation Procedure (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup separuh muka dan penjarakan fizikal.
23 Dec 20
610
Majikan Perlu Beri Kerjasama Kawal Pekerja Asing- Dr. Azman
Majikan Perlu Beri Kerjasama Kawal Pekerja Asing- Dr. Azman
KUALA TERENGGANU, 23 Disember- Kerajaan negeri menyeru pemilik dan pengusaha vessel laut dalam C Dan C2 agar memastikan pekerja-pekerja asing di bawah seliaan mereka mematuhi peraturan dan tidak menimbulkan masalah ketika berada di daratan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri bertindak sebagai perantara untuk menangani aduan daripada masyarakat sekitar berkaitan rasa tidak selesa yang dicetuskan nelayan asing ketika mereka mendarat dan berharap para majikan turut memberikan kerjasama. "Dalam tempoh kita menangani isu pas lawatan kerja sementara (PLKS) ini, kita perlu juga tegas menangani isu-isu berkaitan masalah sosial ini dengan semua jabatan terlibat. Bukan esok atau lusa, tetapi bermula hari ini para pengusaha perlu bertindak menjaga perlakuan para pekerja mereka. "Masalah sosial antaranya mabuk, kecurian, mengganggu orang lain yang berlaku tidak bersabit dengan bayaran yang perlu dikeluarkan. Mereka memang sudah melanggar undang-undang kerana tiada dokumen pengenalan yang sah, tetapi apabila naik ke darat mereka mencetuskan pula masalah-masalah yang menyebabkan aduan dan ketidakselesaan rakyat," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Dialog Agensi Penguatkuasaan Bersama Pengusaha Vessel Laut Dalam C Dan C2 di Dewan Akademi Perikanan Malaysia Chendering, semalam. Jelasnya, kerajaan negeri bersedia mengambil komitmen untuk menangani isu PLKS yang membebani para pengusaha secara harmoni. "Ini kerana, ia bersabit dengan banyak kementerian yang perlu diperincikan supaya boleh diambil tindakan terbaik.  "Kita juga akan teruskan sesi-sesi dialog pada masa akan datang untuk mendapatkan info-info terbaru yang berkaitan kerana kita hendak jaga semua pihak, pihak jabatan dan pengusaha serta rakyat," katanya.      
23 Dec 20
353
TDM, EY Teroka Kerjasama Lahir Pakar Akaun
TDM, EY Teroka Kerjasama Lahir Pakar Akaun
KUALA TERENGGANU, 23 Disember - TDM Berhad hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama organisasi perkhidmatan profesional Ernst & Young PLT bagi melahirkan tenaga kerja perakaunan dan kewangan mahir. Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin memaklumkan, persefahaman tersebut terdiri daripada dua program iaitu Program Pelatih untuk Kelayakan Perakaunan Profesional dan Program Peminjaman Kakitangan. "Kolaborasi ini akan berlangsung bagi tempoh dua tahun pertama ini dan kita akan melihat keperluan untuk meneruskannya pada masa akan datang. "Program ini akan bermula seawal Januari dengan tiga calon bagi sesi pertama melibatkan kedua-dua program," katanya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis menandatangani MoU tersebut yang disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Zahari Md. Azahar di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, kerjasama yang diusahakan itu merupakan peluang berharga bagi pihak syarikat untuk mengetengahkan bakat perakaunan supaya dapat menerima latihan yang relevan dan menimba pengalaman kerja dengan salah satu firma perakaunan terkemuka negara. "Calon Program Pelatih untuk Kelayakan Perakaunan Profesional akan menjalani latihan selama dua tahun bersama EY sebagai pelatih dan akan diambil bekerja tertakluk pada terma dan syarat kontrak pekerjaan EY. "Manakala kakitangan TDM yang mengambil bahagian dalam Program Peminjaman Kakitangan akan bekerja bersama EY selama enam bulan untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengkhususan perkerjaan masing-masing," katanya. Tambahnya lagi, inisiatif berkenaan juga merupakan misi untuk mendorong pembangunan modal insan di negeri Terengganu dan komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat untuk memperkasakan bukan sahaja tenaga kerja perakaunan profesional di TDM tetapi juga graduan perakaunan yang berkelayakan "Kita berusaha menyediakan platfom untuk merealisasikan potensi mereka sepenuhnya dan terus maju dalam kerjaya profesional masing-masing. Kami juga ingin memastikan pekerja kami mengikuti perkembangan kemahiran dan kepakaran yang berkaitan untuk menyokong pertumbuhan syarikat secara tidak langsung," katanya.    
23 Dec 20
596
Banjir Gelombang Keempat Di Terengganu Mula Surut
Banjir Gelombang Keempat Di Terengganu Mula Surut
KEMAMAN, 23 Disember – Perkembangan terkini fasa keempat banjir di Terengganu menunjukkan trend penurunan dari segi mangsa terlibat dan penutupan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, keseluruhan PPS di Terengganu menurun kepada 9 buah melibatkan 257 keluarga dan 999 orang mangsa masih terjejas. “Jangkaan masa terdekat akan ditutup beberapa lagi pusat, namun kawasan pedalaman di Dungun kemungkinan ada kes lagi kerana situasi belum surut lagi. “Antara cabaran yang telah diatasi dalam pengurusan fasa ini dalam aspek pengedaran bahan-bahan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), perkara ini telah ditangani secepat mungkin tidak sampai 12 jam," katanya dalam satu kenyataan. Mengulas tentang jangkaan fasa seterusnya, beliau berkata, tiada jangkaan buat masa sekarang sebagaimana laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). “Jika ada hujan berterusan dan tidak terlalu lebat di satu atau dua tempat pada hari Krismas ini. Setakat ini air pasang pun telah tamat pada 21 Disember lalu dan jangkaan akan datang pada awal januari nanti,” katanya petang semalam. Beliau turut menasihati mangsa yang sudah dibenarkan ke rumah agar sentiasa berhati-hati terhadap risiko binatang berbisa dan objek asing di rumah. “Perkara ini perlu dilihat terlebih dahulu sebelum dibersihkan secara keseluruhannya,” katanya lagi. Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pelaksanaan Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Zakaria Shaaban berkata, pengurusan banjir di Terengganu adalah lancar dan teratur. “Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri turut berpuas hati dengan keadaan pengurusan mangsa di PPS ini,” ujarnya.
23 Dec 20
624
Kerajaan Lulus RM4.5 Juta Atasi Masalah Banjir
Kerajaan Lulus RM4.5 Juta Atasi Masalah Banjir
KEMAMAN, 22 Disember - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM4.5 juta bagi pembinaan empat laluan pembentung untuk mengatasi masalah banjir di daerah ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, projek itu akan dilaksanakan pada Jun depan di kawasan perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong. "Projek ini diluluskan Perdana Menteri selepas kerajaan negeri membuat permohonan sebelum ini, berita baik ini telah dimaklumkan semasa kunjungan sebentar tadi "Pembinaan pembentung sepanjang 30 meter ini dijangka akan bermula bulan Jun tahun hadapan dan siap dalam tempoh enam bulan, insya-Allah. "Ini satu berita yang menggembirakan bagi penduduk di Kemaman khususnya yang tinggal di RMM Teluk Kalong selepas setiap tahun, mereka terlibat dengan banjir dan terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). "Di kawasan perumahan ini terdapat 500 rumah membabitkan lebih 2,000 penduduk dan saya berharap peruntukan besar ini mampu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengiringi Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat PPS di Sekolah Kebangsan (SK) Bukit Mentok hari ini. Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.. Ahmad Samsuri (kiri) dan Hanafiah (tengah) berbincang mengenai situasi banjir di Kemaman bersama Muhyiddin (kanan). Dalam perkembangan berkaitan, Hanafiah memaklumkan, projek tebatan banjir atau sungai tiruan berhampiran Binjai ke Tasik Buku, Kemaman bagi fasa satu akan dimulakan Mac 2021. "Fasa itu melibatkan kos RM150 juta, manakala peruntukan RM150 juta lagi bagi fasa kedua dengan tender akan dikeluarkan selepas (selesai) fasa pertama," ujarnya. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai  itu, peruntukan tambahan RM40 juta turut dipohon bagi menyelesaikan beberapa urusan pengambilan tanah dalam fasa pertama. "Apabila siap dalam tempoh antara lima hingga ke tujuh tahun lagi, kita harap banjir tidak akan lagi melanda bandar Chukai, insya-Allah," katanya.      
22 Dec 20
2119