lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

80 Sukarelawan UniSZA Bersedia Bantu Mangsa Banjir Di Kemaman
80 Sukarelawan UniSZA Bersedia Bantu Mangsa Banjir Di Kemaman
KUALA NERUS, 14 Januari - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memulakan inisiatif membersihkan kawasan terjejas banjir  dengan menghantar 80 sukarelawan bagi membantu operasi pasca banjir di Daerah Kemaman yang dilanda musibah itu. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr Mohd Afandi berkata, pihaknya menumpukan kepada membersih dan membaiki kediaman penduduk yang rosak akibat banjir baru-baru ini. "Alhamdulillah, sebanyak 25 buah rumah, tadika, balai raya serta surau telah dibersihkan oleh sukarelawan UniSZA dalam masa satu hari" "Penduduk kampung juga turun padang membantu sukarelawan ini selain dapat mengeratkan silaturrahim," katanya yang juga turut serta dalam Misi Bantuan Banjir UniSZA-KPT 2021. Sementara itu, menurut Mohd Afandi lagi, misi itu akan turut dilaksanakan di beberapa negeri yang dilanda banjir antaranya Johor, Perak, Pahang dan Kelantan. "Kita sudah pun ada pasukan Hero Komuniti di setiap negeri terbabit dan insyaAllah mereka akan melaksanakan misi masing-masing dengan membersih rumah yang dilanda banjir selain memberi sumbangan bantuan keperluan asas. "Setakat ini pun dah ada beberapa tempat yang telah melaksanakan misi tersebut walaupun tanpa peralatan dan pengangkutan yang cukup tapi mereka tetap meneruskan misi berkenaan dengan jayanya,”ujarnya.  
14 Jan 21
356
1,050 JPKK Terengganu Terima Watikah Lantikan
1,050 JPKK Terengganu Terima Watikah Lantikan
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Sebanyak 1,050 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang dijenamakan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri Terengganu hari ini menerima watikah pelantikan daripada kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim menyatakan bilangan JPKK menyaksikan pertambahan berbanding 1,046 MPKK sebelum ini. "Bagaimanapun, saya telah meneliti senarai yang ada dan mendapati sebahagian besarnya masih mengekalkan kepimpinan sebelum ini. Kalau diikutkan pengiktirafan yang diperolehi sebelum ini, MPKK Terengganu dikatakan antara yang terbaik dalam negara. "Jadi, dari segi pengurusan dan juga khidmat, kita harap kesinambungan ini berterusan. Sebagaimana kita telah melalui proses belajar selama dua tahun tujuh bulan dengan ilmu berkaitan pentadbiran, kita tentu mampu pergi lebih jauh ke hadapan sebagai jentera kerajaan di peringkat bawah sekali," katanya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis penyampaian watikah pelantikan JPKK yang disempurnakan Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, watikah itu disampaikan kerajaan negeri kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai penyelaras DUN di seluruh Terengganu dalam satu majlis ringkas. "Pihak pentadbiran juga akan mengangkat permohonan geran JPKK dalam masa terdekat dengan nilai sama seperti tahun lalu iaitu RM10,000. Ini kerana, tahun lepas kita luluskan tetapi kerana kekangan COVID-19 kita cuma bagi one-off RM4,000 bagi setiap MPKK.  "Oleh itu, tahun ini kita mohon jumlah yang sama sebagai ganti kepada geran yang telah dihentikan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebelum daripada ini," katanya. ADUN Jabi itu turut menambah, kuota keanggotaan JPKK turut dibuka kepada rakan-rakan parti Perikatan Nasional sebagaimana yang dipersetujui. Menurutnya, setakat ini lima keanggotaan dibuka dan telah diisi oleh rakan-rakan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di 114 JPKK beberapa DUN terutama Besut dan Setiu. "Rakan Muafakat Nasional (MN) iaitu UMNO telah menolak untuk menganggotainya dan kita hormati pendirian mereka.  "Kita juga telah longgarkan syarat yang ditetapkan untuk parti PPBM. Walaupun KPLB menetapkan hanya parti yang mempunyai cawangan sah di kampung berkenaan sahaja yang boleh menyertai, kita longgarkan syarat asalkan ada wakil kita berikan kerana kita ambil cakna untuk menguruskan kampung secara keseluruhan," katanya.            
14 Jan 21
2762
COVID-19 : Kuala Terengganu, Dungun Kini Zon Merah
COVID-19 : Kuala Terengganu, Dungun Kini Zon Merah
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Daerah Kuala Terengganu dan Dungun kini diisytihar sebagai zon merah susulan peningkatan kes COVID-19 di kedua-dua kawasan itu dalam tempoh 14 hari lepas. Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berkata, 16  daripada 27 kes jangkitan baharu yang direkodkan di negeri ini adalah dari daerah Kuala Terengganu. "Sementara itu, daerah Dungun di sini berada dalam kedudukan kedua tertinggi dalam zon merah dengan 45 kes. "Berikutan pertambahan tersebut ia menjadikan kes dalam rawatan melonjak kepada 197 orang berbanding 178 semalam," jelas JKNT. Kenyataan juga menyebut, daripada 27 kes baru pada hari ini, lima kes adalah import B dan 22 kes penularan tempatan. "Sehingga hari ini, JKNT telah merekodkan pertambahan lapan kes sembuh dan 27 kes baru COVID-19 menjadikan terdapat 197 kes COVID-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 572 kes.  "Kesemua 197 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa di Hospital Hulu Terengganu (HHT), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), PKRC Marang dan PKRC ILKKM Kuala Terengganu," menurut kenyataan itu. Berdasarkan rekod mulai 7 Disember 2020 hingga 13 Januari 2021, terdapat 118 kes Import B (rentas negeri) yang telah dicatatkan di Terengganu. "Setakat ini, kes-kes import B tersebut telah menghasilkan 59 kes penularan tempatan.  "Selain daripada itu, terdapat 59 kes penularan tempatan disebabkan oleh pendedahan kepada kes positif negeri luar yang datang ke negeri ini. "Oleh, itu bagi membendung penularan tempatan dan menjaga Zon Hijau di negeri ini, JKNT menggalakkan individu yang memasuki Terengganu hadir ke klinik kesihatan dan hospital berdekatan untuk menjalani penilaian risiko oleh petugas kesihatan. "Sementara itu, mereka yang telah menjalani ujian saringan di luar Terengganu dinasihatkan untuk menunggu sehingga keputusan ujian diperolehi sebelum membuat perjalanan ke negeri ini," tambah JKNT. 
13 Jan 21
2636
Bilik Sejuk Beku Beri Manfaat Kepada 150 Nelayan
Bilik Sejuk Beku Beri Manfaat Kepada 150 Nelayan
Foto Oleh: Hidayah Azlin KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Bilik sejuk beku di Jeti Nelayan Kampung Batin, Seberang Takir di sini bakal memberi manfaat kepada 150 nelayan di sekitar kawasan itu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pembinaan kemudahan infrastruktur nelayan berharga RM165,000 itu dimulakan Ogos tahun lalu dan kini siap dalam tempoh sekitar tiga bulan. “Peti sejuk beku ini mampu menyimpan kira-kira lima metrik tan ikan dan hasil laut dalam satu-satu masa dengan suhu penyejukkan sekitar -20 darjah celsius. “Kita harapkan infrastruktur yang ada ini boleh menyelesaikan masalah dari segi penyimpanan stok hasil laut samada ikan atau hasil laut lain terutamanya pada musim tangkapan melimpah atau berkurangan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bilik Sejuk Beku Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Utara di Kampung Batin, Seberang Takir, hari ini. Dr. Azman berkata, beliau mengharapkan kemudahan itu dapat dimanfaatkan oleh para nelayan dengan sebaiknya. “Dari segi pengurusan, pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu akan menyerahkannya kepada Persatuan Nelayan Kawasan Terengganu Utara. Katanya, kerajaan negeri menyasarkan untuk membina bilik sejuk beku di semua jeti pelabuhan dan perikanan di negeri ini secara berperingkat. “Untuk tahun ini, kita sasarkan dapat bina paling kurang dua atau tiga unit termasuk di Setiu dan tempat-tempat lain,” ujarnya.  
13 Jan 21
1111
PKPB : MAIDAM Terengganu Salur Bantuan Khas RM9.6 Juta
PKPB : MAIDAM Terengganu Salur Bantuan Khas RM9.6 Juta
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan bantuan khas sebanyak RM9.6 juta untuk membantu meringankan beban golongan asnaf yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang berkuat kuasa hari ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, M Rozi Bidin memberitahu, seramai 24,000 golongan asnaf yang terkesan susulan PKPB akan menerima bantuan khas antara RM300 dan RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR). Katanya, pengagihan bantuan khas itu akan dimasukkan terus ke akaun KIR selewat-lewatnya Rabu depan. "Bantuan khas yang akan disalurkan tidak membabitkan pemotongan bantuan bulanan dan bantuan sara hidup. "Bantuan khas itu diluluskan bagi membantu meringankan bebanan golongan asnaf yang turut terkesan berikutan bencana banjir dan PKPB seperti diumumkan kerajaan, kelmarin," katanya ketika mewakili Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda pada sidang media di pejabatnya, hari ini. Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Pengurusan Zakat, Nazli Amirri Ngah. Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kaedah pengagihan bergantung kepada jumlah tanggungan. "Mereka yang mempunyai tanggungan melebihi tiga orang akan menerima sebanyak RM500 manakala kurang dari tiga tanggungan menerima RM300. "Ahli majlis mesyuarat MAIDAM memutuskan meluluskan bantuan khas selepas mengambil kira bebanan yang terpaksa dihadapi golongan asnaf yang terkesan susulan bencana banjir dan terbaharu PKPB diumumkan kerajaan membuat persiapan membeli kelengkapan sekolah," katanya.
13 Jan 21
3661
APM Perlukan 3,500 Anggota Berjawatan Tetap
APM Perlukan 3,500 Anggota Berjawatan Tetap
KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memerlukan sekurang-kurangnya 3,500 anggota baharu berjawatan tetap bagi memperkukuhkan lagi kesiapsiagaan pasukan itu di seluruh negara. Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Nor Hafifi Ismail berkata, pertambahan anggota itu amat wajar kerana kekuatan 576 anggota yang sedia ada tidak mencukupi. Katanya, tugasan dan tanggungjawab yang diharapkan pula semakin bertambah pada setiap tahun, di samping penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara kita. “Tugasan hakiki lain membantu mangsa banjir, menjaga sempadan, memastikan harta awam dan keselamatan penduduk terjamin.  “Ia menjadi mudah kerana dibantu kira-kira 4,000 anggota sukarelawan terlatih APM. “Di sebaliknya pula, pihak kami tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada mereka, kerana anggota itu terikat dengan komitmen lain, selain kurang mahir menangani kes-kes tertentu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Lawatan Kerja Rasmi Pasca Banjir ke Terengganu di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman. Menurut Nor Hafifi lagi, jika anggota itu berjawatan tetap, mereka pastinya serba boleh sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga dan mahir menangani situasi genting. “Melihat keadaaan itu, APM berharap pihak kerajaan terutama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbangkan permohonan pihaknya untuk menambahkan anggota berjawatan tetap dalam pasukan APM,” katanya.  
13 Jan 21
2298
Muzium Negeri Lancar Kalendar Aktiviti 2021
Muzium Negeri Lancar Kalendar Aktiviti 2021
KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Kerajaan Terengganu melalui Lembaga Muzium Negeri Terengganu telah melancarkan Kalendar Aktiviti 2021 serta Pelan Stratregik 2021-2025 yang akan menjadi panduan penganjuran program pelancongan dan kebudayaan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya optimis aktiviti yang dirangka mampu mencapai kejayaan di masa hadapan. "Syabas dan tahniah juga saya rakamkan kerana saya difahamkan tradisi pelancaran Kalendar Aktiviti bermula sejak tahun 2009 lagi. "Ini membuktikan komitmen yang cemerlang diberikan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya ketika ucapan perasmian sempena Majlis Pelancaran Kalender Aktiviti 2021 serta Pelan Stratregik 2021-2025 di Dewan Batu Bersurat kompleks Muzium Negeri Terengganu baru-baru ini. Katanya, Muzium Negeri Terengganu saban tahun merancang dan merencanakan pelbagai program bagi menarik pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar Terengganu. "Program-program yang memberi manfaat kepada masyarakat dan rakyat dapat diwujudkan selari dengan moto Muzium Negeri Terengganu iaitu “Pusat Pemuliharaan dan Rujukan Kearifan Tempatan. "Menyelusuri sepintas lalu program-program 2021 ini, saya melihat beberapa aktiviti menarik yang memberikan manfaat dan impak yang besar kepada masyarakat serta sektor pelancongan tempatan. "Pihak kerajaan negeri memandang ia sebagai satu usaha yang sangat baik dan sewajarnya yang perlu digembeleng secara bersepadu antara agensi dan kerajaan,” jelasnya. Selain itu, dalam fenomena pandemik COVID-19 yang belum berakhir ini, beliau menyeru pihak muzium agar lebih peka, kreatif dan inovatif dengan menyediakan pelan-pelan alternatif bagi setiap program yang dirancang agar ia dapat dilaksanakan bersesuaian keperluan setempat. “Saya penuh yakin dengan prasarana, teknologi serta sumber manusia yang ‘multi-tasking’ yang terdapat di Muzium Terengganu ini. Segala persediaan telah dibuat dalam merealisasikan segala perancangan ini terlaksana,” tambah beliau.
12 Jan 21
659
PKPB: Lima Sekatan Jalan Raya Di Terengganu
PKPB: Lima Sekatan Jalan Raya Di Terengganu
HULU TERENGGANU, 12 Januari - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu akan melakukan sekatan jalan raya (SJR) selama 24 jam di lima lokasi yang diaktifkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) esok. Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik, berkata SJR selama dua minggu itu akan melibatkan dua daerah iaitu Kemaman dan Besut. "Pihak kami akan mengadakan sekatan jalan raya  di sempadan antara Kemaman dengan Kuantan, Pahang iaitu RNR Perasing, Paya Berenjut dan Tol Cheneh manakala di Pachakan dan Tok Saboh di Besut selama 24 jam. "Tindakan tersebut dilakukan di pintu-pintu sempadan negeri bagi memantau pergerakan keluar dan masuk terutama mereka dari zon merah  dalam usaha membendung penularan koronavirus (COVID-19). "Oleh itu, saya nasihatkan masyarakat supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan kerana peningkatan kes yang begitu ketara akhir-akhir ni menyebabkan satu kegusaran kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas lawatan pemantauan ke Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, di sini hari ini. Sementara itu, Rosli berkata pasukan pematuhan rondaan pematuhan SOP juga telah digerakkan di seluruh daerah seperti biasa. "Pihak kami mempunyai 544 pegawai dan anggota di seluruh daerah untuk menjalankan rondaan di semua tempat bandar kampung taman perumahan dan sebagainya. "Kita telah melalui PKP ini dari bulan Mac tahun lepas hingga sekarang jadi masing-masing sudah faham tentang SOP, jadi tolong bagi kerjasama kepada pihak berkuasa dan frontliner untuk menjalankan tugas dengan sebaik mungkin,"tambah beliau.  
12 Jan 21
40027
Tindakan Tegas Jika Sebar Berita Palsu Empangan Kenyir
Tindakan Tegas Jika Sebar Berita Palsu Empangan Kenyir
HULU TERENGGANU, 12 Januari - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu akan menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam penyebaran maklumat palsu berkaitan Empangan Stesen Hidroelektrik Sultan Mahmud di Tasik Kenyir.    Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik, berkata ini berikutan masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat dan berita palsu tentang banjir yang berlaku di Pantai Timur berpunca dari pelepasan air Tasik Kenyir. "Saya cuma nak bagi amaran kepada mereka di luar sana yang suka viral dengan mengatakan banjir di Terengganu disebabkan oleh air yang dilepaskan empangan, adalah tidak betul. "Jika ada mereka yang suka viral isu ini, kita boleh ambil tindakan dan siasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda. Pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang didapati menyebarkan berita palsu,"katanya kepada pemberita selepas lawatan pemantauan ke Empangan Stesen Hidroelektrik Sultan Mahmud, di sini hari ini. Beliau berkata, Empangan Tasik Kenyir sebenarnya selamat dan telah banyak menyelamatkan kampung-kampung dan bandar di sekitar pesisir sungai Terengganu daripada banjir.    
12 Jan 21
2893
300 Tan Sampah Banjir Dilupuskan
300 Tan Sampah Banjir Dilupuskan
KEMAMAN, 12 Januari - Sekitar 300 tan sampah berjaya dikumpulkan dari seluruh kawasan banjir di daerah Kemaman. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memaklumkan, sebanyak lima kawasan pengumpulan turut diwujudkan bagi menampung kuantiti sampah yang dipungut oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). "Untuk pasca banjir, kita sudah bersihkan majoriti rumah-rumah terlibat dengan kerjasama beberapa anak syarikat negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Amal Malaysia, pejabat daerah, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan. "Kita juga telah kutip hampir semua sampah untuk dilupuskan. "Saya jangkakan semua sampah ini akan mengambil masa lima hingga tujuh hari untuk selesai dilupuskan," katanya. Beliau berkata demikian ketika melakukan pemantauan proses pengumpulan sampah di Taman Asoka, Chukai hari ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu turut menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri atas kemudahan yang disediakan. "Jutaan terima kasih kerajaan negeri, kerana memberi arahan kepada PBT seluruh negeri untuk menghantar keperluan pengangkutan dan tenaga kerja yang saya anggarkan hampir 100 buah lori bagi membantu kami," katanya. Dalam pada itu, Yang Dipertua MPK, Jusman Ibrahim menyatakan, tapak pelupusan sampah yang baru di Bukit Jemalang turut dibuka memastikan pengurusan sampah berlaku dengan baik. "Tapak itu sebenarnya dalam perancangan akan dibuka Jun ini, tetapi MPK buat keputusan supaya dibuka segera memandangkan ada keperluan dan ia mempunyai kemudahan yang lebih baik. "Ini kerana keadaan di tapak pelupusan di Bukit Takal agak padat ketika ini," katanya. Tambahnya, dijangkakan kuantiti sampah yang terkumpul mungkin meningkat sehingga 500 tan menjelang hujung minggu ini. "Setiap hari, kira-kira 500 orang kakitangan ditempatkan untuk urus proses pengumpulan. Dijangkakan, hujung minggu ini MPK akan tutup tempat ini. Manakala, baki sampah yang dianggarkan sekitar 10 peratus lagi akan dikutip dari rumah ke rumah selepas ini," katanya.                    
12 Jan 21
288