lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

128 Beg Darah Berjaya Dikumpul
128 Beg Darah Berjaya Dikumpul
KEMAMAN, 17 Januari - Sebanyak 128 beg darah berjaya dikumpulkan di 'Amal Mega Blood Donation 2021' di sini kelmarin. Program derma darah itu dianjurkan oleh Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang dikendalikan oleh JAM Kawasan Kemaman dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Kemaman dan Jawatankuasa Masjid Sultan Ahmad. Wan Mohd Faisal Wan Abdullah. Timbalan Ketua Pegawai Tadbir JAM Pusat, Wan Mohd Faisal Wan Abdullah bersyukur kerana program tersebut berjalan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan. "Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada warga Kemaman yang sudi hadir memberi sokongan kepada kami dan kehadiran peserta amat memberangsangkan. "Kami meletakkan sasaran sebanyak 120 beg darah yang perlu dikumpulkan pada program ini, alhamdulillah ianya berjaya melepasi sasaran iaitu sebanyak 128 beg selama dua hari kami di sini," katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Ahmad, kelmarin. Program yang diadakan selama dua hari itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat, ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh. Antara peserta Amal Mega Blood Donation 2021. Wan Mohd Faisal yang juga Timbalan Pengarah II JAM Negeri Terengganu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. "Saya sebagai wakil JAM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama Hospital Kemaman, Angkatan Pertahanan Awam Kemaman, anggota Bomba Kemaman, semua Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak masjid, Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman dan semua anggota Amal Kemaman," ucapnya. Ketika ditanya mengapa program tersebut diadakan, Wan Mohd Faisal menyatakan, ianya bertujuan untuk mengisi tabung darah negara bagi mereka yang memerlukannya untuk tujuan rawatan. "Untuk makluman, program ini diadakan serentak di seluruh negara bagi mengisi tabung darah negara yang sentiasa memerlukan darah," ujarnya.
17 Jan 21
483
Anak Terengganu Dilantik Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Baharu
Anak Terengganu Dilantik Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Baharu
PUTRAJAYA, 17 Januari - Anak kelahiran Terengganu, Azman Adam dilantik sebagai Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang baharu berkuat kuasa 5 Januari lalu. Pelantikan beliau bagi menggantikan Dato' Iskandar Halim Sulaiman yang bersara wajib pada 16 Disember tahun lalu. Dilahirkan pada 16 Januari 1971, Azman mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara, Marang sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM). Menteri KPDNHEP, Dato' Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelantikan itu berdasarkan pengalaman beliau yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 28 tahun lalu bermula sebagai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Gred N27 sehingga 2000. Katanya, Azman juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Sarawak bermula 2000 sehingga 2002 dan seterusnya berkhidmat di Pejabat KPDNHEP Terengganu pada 2004 di atas kenaikan pangkat. "Beliau juga berpengalaman luas dan mempunyai daya kepimpinan di dalam bidang penguatkuasaan berdasarkan jawatan dan tanggungjawab yang dipikul di beberapa negeri seperti Ketua Pegawai Penguat Kuasa Selangor sebelum berkhidmat di Ibu Pejabat Putrajaya sebagai Timbalan Pengarah Pencegahan," katanya dalam satu kenyataan media. Alexander juga diberi penghormatan untuk menyempurnakan sesi pemakaian pangkat Pengarah Penguat Kuasa, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP kepada Azman yang diadakan secara tertutup di kementeriannya membabitkan pengurusan tertinggi KPDNHEP dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Pelbagai pengiktirafan pernah dianugerahkan kepada Azman, antaranya anugerah Sijil Penghargaan (TSSC) oleh Sultan Selangor, Sijil Penghargaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Sijil Penghargaan Ketua Setiausaha KPDNHEP. Beliau juga pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pegawai Contoh KPDNHEP Terengganu dan sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah menerima anugerah High Performance Award, Maybank Finance Berhad pada 1992 sebelum menerima lima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPDNHEP pada tahun 1998, 2005, 2007, 2009 dan 2011. Alexander berkata, beliau dan warga KPDNHEP memberi sokongan dan kepercayaan sepenuhnya kepada Azman untuk menggalas amanah dan tanggungjawab itu. Katanya, beliau yakin Azman akan terus mendokong misi dan visi Kementerian dalam keadaan penuh siap siaga menyelia pematuhan perundangan kementerian dalam kalangan peniaga bagi melindungi kepentingan pengguna.
17 Jan 21
4498
COVID-19 : Besut Jadi Daerah Terbaharu Zon Merah
COVID-19 : Besut Jadi Daerah Terbaharu Zon Merah
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Besut menjadi daerah terbaharu diisytiharkan Zon Merah, selepas mencatat 44 kes positif COVID-19. Ini menjadikan angka keseluruhan zon merah di Terengganu sebanyak tiga mengikut statistik Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga 12 tengahari, 16 Januari. Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri dalam laman facebook rasminya, Terengganu telah merekodkan pertambahan 20 kes sembuh, 80 kes baru menjadikan terdapat 389 kes aktif  dengan jumlah keseluruhan sebanyak 833 kes. Katanya, 388 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 di Hospital Hulu Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Hospital Setiu, PKRC Marang dan PKRC ILKKM Kuala Terengganu. "Manakala, satu (1) kes menerima rawatan di ICU HSNZ dan diberikan alat bantuan pernafasan. "Oleh kerana negeri Terengganu mula merekodkan kes-kes penularan tempatan yang tinggi, orang ramai diminta untuk sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan diri dan keluarga daripada dijangkiti.  "Untuk memastikan keadaan pandemik COVID-19 di Negeri Terengganu terkawal semua penduduk diingatkan supaya sentiasa mengamalkan Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat," katanya dalam kenyataan tersebut di sini hari ini. Sementara itu, Terengganu turut mencatatkan 41 zon aktif iaitu 38 Zon Kuning di mukim-mukim dalam negeri ini. "Ia seperti berikut iaitu Mukim Telok Kalong (5 kes), mukim Kijal (1 kes), mukim Chukai (6 kes), mukim Kerteh (5 kes), mukim Kemasek (1 kes), mukim Kuala Dungun (2 kes), mukim Abang (12 kes), mukim Sura (12 kes), mukim Paka (2 kes), mukim Hulu Paka (1 kes). "Mukim Bandar (14 kes), mukim Bukit Besar (5 kes), mukim Kubang Parit (1 kes), mukim Kuala Ibai (6 kes), mukim Chendering (1 kes), mukim Chabang Tiga (4 kes), mukim Manir (2 kes), mukim Pengadang Buloh (1 kes), Mukim Bukit Kenak (4 kes), mukim Kerandang (14 kes), mukim Pelagat (1 kes), mukim Kg. Raja (3 kes), mukim Lubuk Kawah (10 kes), mukim Keluang (2 kes), mukim Jabi (8 kes). "Selain itu, Mukim Kubang Bemban (2), mukim Mengabang Telipot (8  kes), mukim Tepoh (3 kes), mukim Wakaf Tembesu (2 kes), mukim Bukit Tunggal (4 kes), mukim Bukit Payong (1 kes), mukim Alor Limbat (1 kes), mukim Rusila (7 kes), mukim Jerong (3 kes), mukim Pulau Kerengga (1 kes), Hulu Nerus (1 kes), Hulu Setiu (4 kes) dan Chalok (6 kes), dua Zon Jingga iaitu mukim Rasau (24 kes), mukim Jerangau (29 kes) dan satu Zon Merah iaitu mukim Serada (159 kes),"tambah kenyataan itu lagi. Menurut JKNT lagi, daripada 80 kes baru pada hari ini, lima kes adalah import B dan 75 kes penularan tempatan.     
16 Jan 21
4202
Lagi RM30,000 Disalur Untuk Keperluan Mangsa Banjir
Lagi RM30,000 Disalur Untuk Keperluan Mangsa Banjir
KEMAMAN, 16 Januari – Bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir terus berjalan termasuk sumbangan terbaharu sebanyak RM30,000 melalui inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman. Menurut Ariffin, sumbangan untuk mangsa di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai dan Bukit Besi itu turut dicetuskan personaliti media sosial, Nurfarahin Romli atau Farah Lee dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM). “Rombongan 50 orang ini telah mengagihkan berbentuk barangan harian, bantal dan gandum di Kampung Jongok Batu, Kampung Belimbing, Kampung Shukor dan Kampung Fikri. “Bantuan bernilai RM30,000 merupakan sumbangan pihak DUN Alur Limbat berjaya diagihkan pasukan kami mengikut Operasi Standard Prosedur (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya selepas Misi Kemanusiaan Pasca Banjir di Kampung Fikri, petang kelmarin. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan Setiausaha BPTM SUK, Zuwislan Awang. Sementara itu, Farah Lee berkata, beliau berjaya meraih lebih RM100,000 dana banjir hasil sumbangan orang ramai di media sosial dan kesemuanya diagihkan kepada mangsa banjir di Kemaman serta Dungun. “Sebelum memulakan projek ini, saya membuat undian idea di sosial media untuk pendapat pengikut, kebanyakan mereka sudah cukup bahan makanan tetapi keselesaan beribadah perlu ditambah baik lagi. “Sumbangan bagi ‘#FLbanjirAID1.0’ ini sebanyak RM53,640 diagihkan dalam bentuk 1,000 kit solat (telekung, sejadah, kain pelikat, kain batik dan tuala) supaya mereka yang terkesan boleh beribadah dengan selesa. “Kita juga agih baju muslimah sebanyak 200 helai, bantal (200), di samping tajaan lain seperti anak tudung dan barangan kebersihan diri,” katanya. Beliau juga berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri khususnya ADUN Alur Limbat, Pusat Khidmat DUN Bukit Besi dan BPTM SUK dalam membantu dari segi operasi, logistik dan tenaga kerja dalam melancarkan urusan pengagihan efektif. “Lebihan bantuan yang diraih akan disalurkan dalam misi seterusnya,” katanya lagi.  
16 Jan 21
1032
Tun Salleh Abas Meninggal Dunia
Tun Salleh Abas Meninggal Dunia
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas, 91, meninggal dunia pada pukul 3.20 pagi tadi. Arwah menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh anak-anaknya menerusi aplikasi WhatsApp. “Dengan amat dukacita, ayahanda kami, Tun Mohd Salleh Abas telah kembali ke rahmatullah pada pukul 3.20 pagi, Sabtu 16 Januari 2021,” kata mereka. Sebelum ini, Allahyarham yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Bhd. disahkan positif COVID-19. Allahyarham berasal dari Kampung Raja, Besut merupakan Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 hingga 1988. Mohd Salleh juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih daripada PAS apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999.  
16 Jan 21
2193
Jangan Ambil Mudah Tempoh Dua Minggu PKPB
Jangan Ambil Mudah Tempoh Dua Minggu PKPB
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Rakyat Terengganu diminta tidak mengambil mudah tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 di negeri ini. Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kerjasama dan sokongan orang ramai amat diharapkan sepanjang tempoh dua minggu yang getir ini bagi mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Katanya, di Terengganu ada seramai 197 pesakit sedang dirawat supaya semua sembuh tanpa ada komplikasi termasuk 400 orang yang sedang dikuarantin yang perlu dibuat pengawasan sepenuhnya. "Kita hanya ada masa dua minggu sahaja untuk putuskan rantaian jangkitan COVID-19.  "Dalam masa dua minggu ini biarkan kami bekerja dengan tenang walaupun sebenarnya tak sebab kes meningkat mendadak yang Dungun dan Kuala Terengganu sudah jadi zon merah dan kluster aktif sahaja sudah 19," katanya dalam satu kenyataan di laman facebook rasminya, malam ini. Dalam kenyataan itu, Nor Azimi juga berkata pihaknya telah berjaya mengesan hampir 800 kontak rapat. "Kini masih giat mengesan yang lain yang mana mereka ini mungkin satu pejabat atau satu rumah dengan anda.  "Jangan 'underestimate' kebolehjangkitan COVID-19,"ujarnya lagi. Justeru itu katanya, dalam masa dua minggu ini, semua orang perlu duduk di rumah jika tiada keperluan penting untuk keluar untuk bantu putuskan rantaian wabak pandemik tersebut. "Jika tidak mungkin kena sambung lagi. sampai bila berterusan begini kerana ia tak baik untuk semua orang.  "Kita mesti sama-sama berusaha untuk keluar dengan selamat," tambah beliau.
14 Jan 21
1956
SJR Di Terengganu Diperketatkan Mulai Tengah Malam Sabtu
SJR Di Terengganu Diperketatkan Mulai Tengah Malam Sabtu
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu akan memperketatkan sekatan jalan raya (SJR) di semua pintu keluar masuk ke negeri ini sepenuhnya bermula jam 12.01 tengah malam, Sabtu ini. Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, dalam tempoh awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pihaknya lebih bertimbang rasa supaya masyarakat membiasakan diri dengan pelaksanaan semula perintah kawalan itu. Katanya, ia lebih kepada memberi nasihat dan peringatan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa beringat dengan pelaksanaan PKPB yang diumumkan kerajaan sebelum ini di SJR 24 jam di lima pintu sempadan keluar dan masuk negeri. "Dalam tempoh empat hari ini, SJR mengutamakan pendekatan mendidik dan memberi amaran, selain turut bertolak ansur tetapi bermula jam 12.01 tengah malam Sabtu, kami akan memperketatkan penguatkuasaan dengan melakukan pemeriksaan rapi ke atas kesemua kenderaan. "Setiap kenderaan yang ditahan akan diperiksa selain wajib menunjukkan surat kebenaran rentas negeri yang sah dan sekiranya gagal berbuat demikian, kami tidak akan teragak-agak meminta mereka berpatah balik atau kompaun serta merta dikeluarkan kepada yang didapati gagal mematuhi arahan. "Bermula tempoh itu juga, had pergerakan keluar masuk kenderaan hanya dibenarkan sehingga 12 tengah malam sahaja," katanya ketika dihubungi. Terdahulu, Terengganu membuat lima sekatan jalan raya di sempadan negeri ini sepanjang tempoh dua minggu pelaksanaan PKPB selama 24 jam itu membabitkan dua daerah iaitu di Besut dan Kemaman. Di Kemaman, sekatan dilakukan di tiga lokasi iaitu di kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di samping di Plaza Tol Cheneh dan Paya Berenjut manakala di Besut pula di Pachakan dan Tok Saboh. Bagi kawasan Jerteh dan Bukit Yong, ia akan diambil alih Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Kelantan. Roslee berkata, SJR itu bagi memastikan tiada individu dari zon merah melepasi masuk ke negeri ini. 
14 Jan 21
30446
Sinar Baharu Buat Anak OKU
Sinar Baharu Buat Anak OKU
KUALA NERUS, 14 Januari – Usaha Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperkenalkan pendidikan awal Orang Kurang Upaya (OKU) melalui Program Quranic Playgroup memberi sinar baharu buat golongan tersebut. Ketua SIG OKU Kanak-kanak UniSZA, Prof. Madya Dr. Norsuhaily Abu Bakar berkata, langkah yang memfokuskan anak autisme dan sindrom down itu akan diperluaskan lagi pada masa akan datang mengikut perkembangan semasa. Katanya, ia disebabkan wabak COVID-19  yang masih belum berakhir di mana hanya 10 orang anak istimewa terlibat dalam program itu buat masa ini. "Pendidikan ini membawa kelainan dengan menjemput anak bersama ibu bapa dalam kelas bersama terapi dan jurupulih. Ini adalah salah satu usaha dan titik tolak kepada bagaimana kita akan mulakan resolusi pembinaan Pusat Psikologi dan Rehabilitasi di pantai timur dan mengembleng tenaga pakar dari UniSZA. “Perancangan ini merupakan wadah dan sinar kepada anak-anak istimewa tempatan supaya ibu bapa tidak lagi perlu beratur di institusi luar yang amat terhad. “Terapi dan rawatan di institusi swasta juga memakan kos tinggi manakala kelas-kelas pendidikan khas tercampur dan tiada pengkhususan khas untuk kanak-kanak keperluan khas berlainan,” ucapnya. Beliau berkata demikian semasa berucap dalam perasmian Program Quranic Playgroup Autisme di UniSZA Kampus Gong Badak, baru-baru ini. Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UniSZA merangkap Penasihat SIG OKU Kanak-kanak UniSZA, Prof. Dr. COL (B) Wan Pauzi Wan Ibrahim. Tambah Norsuhaily, program berkenaan juga diisi dengan terapi ruhyah dan psikospiritual, aktiviti bermotor, terapi pertuturan dahasa dan sebagainya mengikut kategori ‘kinder’ (5-6 tahun), ‘primary’ (7-11 tahun) dan ‘secondary’ (12-14 tahun). Terdahulu, Norsuhaily menghargai keprihatinan Menteri Besar merangkap pengerusi SATU, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi usaha tanggungjawab sosialnya (CSR) menyampaikan bantuan pendidikan supaya rawatan diperluaskan dengan terapi-terapi terlatih dalam ruang kondusif. Sementara itu, salah seorang ibu kepada peserta program, Norul Hazri Ibrahim, 42, menyifatkan usaha UniSZA sebagai langkah baik dalam menyediakan alternatif kepada hospital luar yang mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk satu sesi terapi. “Anjuran program ini membolehkan anak saya Tuan Badrun Irsyad, 14, yang didiagnos dengan defisit intelektual, mendapat rawatan dan pendidikan awal. “Suasana kelas turut membolehkannya belajar berkomunikasi bersama insan sepertinya tanpa bercampur dengan kelainan diagnos,” katanya.  
14 Jan 21
1813
Pengalaman Disondol Babi Sewaktu Banjir Menjadi Igauan Ngeri
Pengalaman Disondol Babi Sewaktu Banjir Menjadi Igauan Ngeri
DUNGUN, 14 Januari - Pengalaman disondol seekor babi hutan sewaktu banjir menjadi igauan ngeri yang sukar dilupakan oleh seorang penduduk di Kampung Batu Sawar, Bukit Besi. Noor Rila Wati Othman, 54, berkata, kejadian berlaku ketika dirinya ke reban ayam bagi mengambil telur untuk dijadikan lauk sewaktu terkepung banjir. "Rumah saya tidak dinaiki air, tetapi tidak boleh ke mana-mana kerana terputus hubungan apabila jalan utama yang menghubungkan ke Bukit Besi dan juga ke Dungun tidak boleh dilalui. "Semasa pergi ke reban hendak mengambil telur ayam tidak sangka babi tersebut ada di bawah rumah, saya panik apabila terlihat babi yang begitu besar dan tidak tahu berbuat apa-apa apabila haiwan tersebut meluru menyondol perut saya dan dengan pantas cuba mengelak yang mengakibatkan saya mengalami luka di pergelangan tangan," ujarnya kepada pemberita ketika diziarahi oleh Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di kediamannya, baru-baru ini. Noor Rila Wati berkata, dia kemudiannya segera menelefon Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu Sawar, Khaziman Khalik bagi mendapatkan bantuan membawanya dengan pacuan empat roda bagi mendapatkan rawatan segera di Klinik Felda Jerangau. Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu yang turut menyantuni mangsa banjir di sini.  Walau bagaimanapun, Noor Rila bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar sahaja pada kejadian yang menimpa dirinya 10 Januari lalu. Sementara itu, Nur Zahariah Hasan, 45, yang juga merupakan penduduk Kampung Batu Sawar berkata, sepanjang musibah berkenaan melanda Bukit Besi, dia tidak dapat tidur dengan lena. "Saya terfikir keselamatan saya dan anak-anak, tambahan pula suami bekerja di luar Terengganu, tapi saya bersyukur kerana banjir pada kali ini di kampung ini tidak sebagaimana tahun 2014 di mana air tidak sampai ke rumah saya. "Saya ambil langkah berjaga-jaga apabila mengetahui keadaan banjir di Hulu Dungun sangat teruk, jadi sukar hendak lelapkan mata pada setiap malam. Namun begitu, semua jalan tidak boleh dilalui menjadikan saya terperangkap dalam banjir, dan terima kasih kepada pimpinan setempat yang ambil cakna dan prihatin kepada penduduk di sini sepanjang berhadapan banjir," ujarnya.
14 Jan 21
1075
JPJ Terengganu Kutip Hasil Bayaran Tanpa Tunai Lebih RM8 Juta
JPJ Terengganu Kutip Hasil Bayaran Tanpa Tunai Lebih RM8 Juta
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengutip lebih RM8 juta hasil pembayaran melalui aplikasi digital tanpa tunai atau 'cashless' sepanjang tahun lalu berbanding lebih RM5 juta tahun sebelumnya. Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, peningkatan yang berjaya direkodkan sebanyak 63.42 peratus berbanding tahun 2019 itu dilihat ketara selepas sistem pembayaran digital menerusi aplikasi tanpa tunai (cashless) diperkenalkan. Katanya, dengan peningkatan kutipan pembayaran lebih 50 peratus itu, pihaknya percaya pelanggan sudah mula menyenangi kewujudan aplikasi baharu itu yang merupakan satu budaya baharu dalam kehidupan hari ini bagi memutuskan penularan wabak Covid-19. "Kami yakin pelanggan sudah mula faham dan sedar pembayaran melalui aplikasi cashless diperkenalkan ini memudahkan urusan mereka dengan tidak perlu lagi datang ke mana-mana kaunter pembayaran selain tidak perlu lagi beratur di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bagi mengeluarkan wang seperti sebelum ini. "Kewujudan sistem baharu ini juga dapat meningkatkan tahap keselamatan bagi semua pengguna kad ATM, myDebit atau kad kredit," katanya ketika dihubungi Rabu. Menurut Zulkarnain, meskipun aplikasi baharu ini dilihat mendapat sambutan memberangsangkan, namun pihaknya masih meneliti dan mempertimbangkan keputusan untuk menggunakan sepenuhnya aplikasi cashless tersebut. "Kami akui pelanggan sudah mula menyenangi aplikasi baharu ini tetapi kita perlu juga mempertimbangkan situasi pelanggan terutama kategori warga emas. "Jadi, buat permulaan ini, kami menyediakan kemudahan aplikasi baharu ini mengikut jadual ditetapkan," katanya. Sementara itu, Zulkarnain turut mengingatkan kepada semua pelanggan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka serta menjaga penjarakkan sosial ketika berurusan di mana-mana premis JPJ di negeri ini.- SINAR HARIAN  
14 Jan 21
727