Artikel "Utama" Terkini
Agong Perkenan Isytihar Darurat Hingga 1 Ogos
KUALA LUMPUR, 12 Januari - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.
Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin perkenan darurat itu mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.
Ianya juga berdasarkan statistik semasa COVID-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut.
"Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.
"Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal," katanya.
Menurut statistik, lima belas hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil
COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus. Di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh 83 peratus.
Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula telah melebihi 70 peratus.
Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan ini.
"Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ianya akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara," kata kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan dan kepentingan bersama.
12 Jan 21
289
GLC Terengganu Hulur Sumbangan Bantu Mangsa Banjir
KEMAMAN, 12 Januari – Seramai 150 orang kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dan anak-anak syarikatnya menghulurkan bantuan kewangan bagi mengurangkan beban yang dihadapi mangsa banjir.
Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan Terengganu Inc, Suridah Supian berkata, selain Epic Berhad yang menyumbang dana sebanyak RM150,000, tenaga sukarelawan bagi mencuci rumah mangsa banjir turut digerakkan anak-anak syarikat lain.
“Di bawah pimpinan Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Terengganu Inc dan EPIC Berhad, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kami telah gerakkan kerja kebajikan sejak mulanya banjir.
"Antaranya seperti bantuan Kewangan oleh SATU sebanyak RM300,000 melalui Tabung Darul Iman.
"Tambah lagi, bantuan air mineral kepada kawasan terjejas, bekalan sumber air bersih dan air mineral oleh Syarikat Air Terengganu (SATU), serta penyerahan 500 pasang kasut but kepada anggota penyelamat dan sukarelawan semasa banjir di Teladas, November lalu.
“100 orang bersama-sama dengan EPIC Berhad turut dihantar membersihkan kawasan di sekitar Bandar Baru Bukit Mentok sejak semalam. Usaha ini dilihat dapat membawa kakitangan kami untuk dekat bersama masyarakat dan memahami keperitan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis ringkas penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di Jalan Alamanda, Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan Ketua Pegawai Strategik EPIC Berhad, Noor Tuah Jaafar.
Sementara itu, Noor Tuah berkata, pihaknya turut melaksanakan beberapa langkah lain seperti menyediakan tenaga pembersihan seramai 70 orang bersama jentera dan peralatan agar kesan banjir dapat dihapuskan dengan cepat.
"Kolaborasi berterusan sentiasa diadakan dengan DUN Chukai sekiranya ada keperluan usaha bantuan banjir di kawasan lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hanafiah Mat menyatakan, kira-kira RM100,000 telah dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan bagi lebih 1,000 buah rumah di Kemaman.
"Secara keseluruhan di Chukai, lebih 20 kawasan perumahan terdiri daripada hampir 2,000 rumah terjejas, pihak kami akan cuba sedaya upaya bermula dengan pembersihan 500 buah rumah pada hari ini
"Jutaan terima kasih kepada semua pihak sukarelawan GLC yang terlibat dalam usaha ini membersihkan Bandar Baru Bukit Mentok, Taman Seri Nilam, Pengkalan Pandan dan kawasan lain di sini,” katanya.
Prgram semalam disertai kakitangan Terengganu Inc, EPIC Berhad, SATU, TDM Berhad, Ladang Rakyat Terengganu, Golden Pharos Berhad, TI Properties, Primula Beach Hotel dan Permai Hotel.
11 Jan 21
908
PKP Atau Tidak Terjawab Petang ini
KUALA LUMPUR, 11 Januari - Ura-ura mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal terjawab hari ini selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual membuat pengumuman pada pukul 6 petang.
Langkah itu dipercayai akan dikuatkuasakan susulan kenaikan kes mendadak COVID-19 yang mencatat empat angka setiap hari.
Beberapa tokoh negera menjangkakan Perdana Menteri akan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 khususnya bagi negeri yang dikategorikan sebagai zon merah seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Sabah, Melaka dan Johor.
Pada 10 Januari, jangkitan baharu harian COVID-19 ialah sebanyak 2,433 kes.
Jumlah kematian yang tercatat ialah sebanyak 551 kes, bersamaan dengan 0.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 iaitu sebanyak 135,992 kes.
Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 27,332 kes.
Untuk rekod, pelaksanaan PKP bermula 18 Mac hingga 4 Mei lalu itu menyaksikan hampir kesemua sektor dan industri penting negara ditutup.
Akibatnya, negara kehilangan hampir RM22.8 bilion ekonomi pada suku pertama 2020.
11 Jan 21
346
Banjir Di Terengganu Pulih, Semua Pusat Pemindahan Tutup
DUNGUN, 11 Januari – Banjir gelombang kelima di Terengganu pulih selepas semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup sepenuhnya kira-kira pukul 2 petang tadi.
Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, mangsa banjir terakhir yang menghuni PPS di Kemaman dan Dungun sudah dibenarkan pulang sebentar tadi.
“Semalam, dua PPS di Kemaman dan Dungun merekodkan data terakhir pada pagi tadi sebanyak 1,694 mangsa lagi.
“Banjir gelombang ini turut merekodkan data tertinggi mangsa dipindahkan sejak bermula musim banjir pada bulan November dengan hampir 14,000 ribu di seluruh negeri pada hari keenam,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemu bual pemberita selepas tinjauan ombak di Pantai Teluk Lipat, Dungun, tengah hari tadi.
Tambah Che Adam, beliau menasihati penduduk supaya bersiap sedia, walaupun tiada jangkaan amaran cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Terutamanya mereka di kawasan hulu dan pedalaman dan kita sentiasa kemas kini data terbaharu dengan jabatan berkenaan.
“Tempoh amaran ombak laut dan angin kencang kini bertiup dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj sehingga 12 Januari manakala air pasang setinggi 2.7 meter direkodkan di Kuala Terengganu,” ujarnya.
11 Jan 21
284
Sultanah Terengganu Berkenan Lawat Mangsa Banjir
DUNGUN, 11 Januari - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Masjid Kampung Serdang, di sini, hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Keberangkatan tiba baginda berdua pada 11.10 pagi turut diiringi oleh Puan Sri Nariah Mahmud, Datuk Radzuan Radziwil serta Cik Azizatul Shima Tan Sri Abdullah dan disambut Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan isteri, Suhaida Muhammad.
Baginda turut berkenan mendengar taklimat yang disampaikan Pegawai Daerah Dungun.
Sultanah Nur Zahirah dan anakanda berkenan mencemar duli menyantuni mangsa di pusat pemindahan itu dan meluangkan masa beramah mesra dengan beberapa penduduk yang terjejas bah sebelum mengurniakan sumbangan makanan dan keperluan harian.
Penerima sumbangan, Maliza Mat Ali 40, berkata kesempatan kali pertama dapat bersua dengan Sultanah Terengganu cukup menggembirakannya.
Kata ibu kepada tiga anak itu, dia hanya melihat Sultanah Nur Zahirah di televisyen sebelum ini dan peluang dapat berjumpa dengan baginda cukup mengujakan.
"Saya lebih bersyukur kerana baginda turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di sini.
"Terima kasih kepada baginda dan anakanda yang sudi menjenguk dan menghulurkan sumbangan," katanya yang terpaksa berpindah dua kali sejak gelombang keempat melanda Terengganu.
Setakat 12 tengahari ini, mangsa banjir terus menurun kepada 517 orang di dua daerah di Terengganu berbanding 1,694 orang pada 10 pagi tadi
11 Jan 21
2061
Mangsa Banjir Terengganu Tinggal 1,694 Orang
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Banjir gelombang kelima di Terengganu semakin surut dengan hanya tinggal 1,694 mangsa daripada 504 keluarga yang masih berada di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 10 pagi ini.
Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, Kemaman masih mempunyai 1,302 mangsa daripada 404 keluarga.
“Kesemua mangsa banjir terbabit masih ditempatkan di sembilan PPS di seluruh Kemaman.
“Manakala lapan PPS pula masih aktif di Dungun dengan menempatkan 392 mangsa daripada 100 keluarga,” katanya.
Che Adam berkata, cuaca mendung dilaporkan di kebanyakan kawasan terlibat dengan cuma sebahagiannya masih hujan.
Tambah beliau, paras lembangan sungai utama di kedua-dua daerah itu juga menunjukkan trend penuranan di bahagian hulu.
Banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu sejak 3 Januari lalu telah menjejaskan lebih 13,000 penduduk di lima daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.
11 Jan 21
239
Kerajaan Mahu Perkasa Mahkamah Syariah Melalui RUU 355
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Kerajaan pusat meneruskan hasrat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah secara komprehensif dengan pelbagai kaedah termasuk melalui pindaan Akta 355.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, komitmen negara bagi tujuan itu boleh dilihat apabila jawatankuasa teknikal untuk membuat dan menggubal beberapa akta atau pindaan-pindaan yang bersesuaian telah ditubuhkan.
“Ia melibatkan beberapa proses penting yang perlu diteliti dan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum dibentangkan mengikut tertib dan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Ada diantaranya sedang menunggu untuk dibentangkan di Parlimen untuk dibincangkan mengikut kesuaian masa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Bersama Hakim-Hakim, Pegawai-Pegawai dan kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Tahun 2021 di Bilik Gerakan, Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat.
Katanya Dr Zulkifli, kerajaan akur bidang kuasa mahkamah berkenaan hari ini terbatas dengan peruntukan mengikut Akta 355 dan had hukuman diperuntukkan kadang kalanya dilihat tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan.
"Kini, kita dalam usaha penambaikan dan memang memfokuskan lebih kepada menaikkan kadar hukuman sedia ada dengan melihat situasi semasa hari ini,”jelas beliau.
Sementara itu, mengulas tentang cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya melaksanakan sistem QR Code pada produk import di semua pintu masuk negara bagi mengesan daging tidak halal, pihaknya memberi jaminan akan menggunakan sistem berkenaan sebelum hujung bulan ini.
"Pihak kami sedang dalam proses meneliti proposal yang diserahkan berkaitan sistem ini dan insya-Allah sebelum akhir bulan ini, kami akan cuba laksanakan beberapa hal berkaitan dengan halal menggunakan sistem ini.
"Hasil perbincangan yang boleh dikatakan hampir setiap minggu dilakukan dengan pihak berkaitan mengenai sistem ini, pihaknya yakin penggunaan sistem QR Code pada produk import boleh menjamin keselamatan dan mengelak masalah seperti kartel daging haram berulang," katanya.
11 Jan 21
1999
Tidak Perlu Pembelian Panik
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pembelian panik susulan pengumuman Perdana Menteri esok kerana bekalan barangan keperluan mencukupi.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, pengguna disarankan untuk membeli barangan mengikut keperluan serta tidak menyimpan stok berlebihan di rumah.
“Kerana ia akan mencetuskan pembaziran disebabkan tarikh luput sesuatu barangan yang dibeli tanpa penelitian
“Walau apa pun keputusan yang akan diumumkan oleh pihak Kerajaan (esok), bekalan barangan keperluan harian adalah dijamin mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Saharuddin memaklumkan, pihaknya dengan kekuatan anggota seramai 117 orang Pegawai Penguat Kuasa dan 59 orang Pegawai Pemantau Harga sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang rapi sepanjang masa.
“Langkah itu bagi memastikan keberadaan dan kestabilan harga barang-barang keperluan harian di pasaran.
“Pada masa yang sama, sejumlah 160 Peruncit Daerah Terpilih atau Dedicated District Retailer (DDR) dan 74 Pemborong Daerah Terpilih atau Dedicated District Wholesaler (DDW) telah dipilih di seluruh Negeri Terengganu sebagai pusat bekalan barangan keperluan asas.
“Pelantikan ini membenarkan DDR dan DDW untuk menyimpan barang kawalan berjadual melebihi 30 peratus daripada had simpanan dalam lesen bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan keperluan asas sepanjang tempoh PKPP dan musim banjir ini,” katanya.
10 Jan 21
194
Banjir Gelombang Kelima Terengganu Makin Pulih
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Banjir gelombang kelima di Terengganu yang melanda sejak Ahad lalu beransur pulih.
Sehingga jam 4 petang tadi, seramai 6,613 mangsa ditempatkan di 22 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah negeri ini.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A Rahman berkata, ia membabitkan 1,612 keluarga di Kemaman dan Dungun.
"Setakat ini, masih terdapat seramai 6,045 mangsa daripada 1,416 keluarga ditempatkan di sebelas PPS di daerah Kemaman, manakala 568 mangsa daripada 151 keluarga juga masih ditempatkan di 11 PPS Dungun,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, cuaca semasa setakat hari ini mendung dan kadang kala hujan di beberapa tempat.
Terdahulu, banjir gelombang kelima yang melanda negeri ini pernah mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir melebihi 13,000 orang dengan daerah Kemaman paling teruk terjejas.
10 Jan 21
526
'Rigger Scaffolder' KKYT Penuhi Pasaran Industri Minyak, Gas
DUNGUN 10 Januari - Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) berjaya melahirkan 40 pelatih ringger scaffolder berkemahiran tinggi bagi memenuhi pasaran kerja tempatan dan luar negeri.
Kursus itu adalah projek perintis bagi kolej kemahiran itu yang ditubuhkan akhir 2019 lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman berkata, jumlah pelatih itu dilihat agak kecil tetapi ia cukup besar maknanya kerana semua pelatih yang tamat latihan berjaya mendapat pekerjaan.
Katanya, sebahagian besarnya mendapat penempatan kerja dalam industri minyak dan gas di Paka, Dungun, Terengganu dan ada juga di Lumut, Perak.
"Kerajaan akan terus memperkasakan kursus seumpama itu melalui KKYT kerana dilihat mampu memenuhi keperluan industri.
"Pada masa yang sama mampu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga asing dan secara beransur-ansur mengecilkan angka kadar pengangguran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Majlis Perasmian Kursus Ringger Scaffolder di Paka, di sini hari ini.
Mohd Nurkhuzaini turut memberitahu, pihaknya berharap KKYT akan terus memperluaskan rangkaian kerjasama dengan pemain-pemain industri tempatan dan juga luar negara.
"Langkah itu pastinya dapat meneroka lebih banyak peluang kerjaya untuk diserapkan kepada anak jati Terengganu," katanya.
Untuk rekod, kerajaan negeri membelanjakan RM520,000 atau RM13,000 bagi setiap peserta yang mengikuti kursus kemahiran itu selama enam bulan.
Setiap peserta diberi elaun RM150 sebulan dan dijanjikan peluang kerja.
10 Jan 21
936