Artikel "Utama" Terkini
PKP 2.0: PKM Rhu Rendang Bantu Keluarga Terdesak
MARANG, 25 Januari - Tiada pampers untuk diberi pakai, tiada susu untuk diberi minum kepada anak yang berusia lapan bulan antara aduan yang diterima sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang bermula 22 Januari lalu.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, aduan berkenaan sebuah keluarga ini telah diterima melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Desa Permai yang menyebabkan pihaknya turun meninjau seberapa segera.
Keluarga Nor Hamizah Zukulaini, 33, mengalami kesempitan hidup setelah suami, Mohd Amyus Abu Bakar, 37, yang berkerja sebagai buruh kontrak di Kuala Lumpur diberhentikan kerja buat sementara waktu.
Katanya, pihaknya telah memaklumkan hal berkenaan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang dan menyalurkan bantuan susu, pampers serta beberapa keperluan asas yang lain kepada keluarga ini.
"Akibat daripada terputus mata pencarian, pasangan dan lima anak ini mengalami sedikit masalah kewangan sehingga tidak mampu memberikan susu untuk anak," katanya.
Beliau berkata ketika menghantar sumbangan kepada satu keluarga yang terkesan di Taman Perumahan Darat Pak Chan bersama JKM.
Menurutnya, sesiapa yang mengalami permasalahan seperti ini, sila berhubung dengan JPKK masing-masing dan PKM berdekatan supaya saluran bantuan dapat diberikan sebaiknya.
"Seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mereka yang betul-betul terkesan kerana COVID-19 ini, akan kita bantu sebaik mungkin melalui agensi-agensi dan PKM di kawasan mereka.
"Kita juga ingin menasihati masyarakat supaya tidak melakukan perkara yang tidak wajar apabila terdesak seperti mencari saluran yang tidak elok seperti pinjama tidak berlesen atau ceti haram," tambahnya.
25 Jan 21
814
COVID-19 : 10 Sekolah Rendah Ditutup Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) hari ini mengesahkan 10 lagi sekolah rendah ditutup bermula Ahad bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan susulan terdapat kes positif COVID-19.
Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kesom, SK Bukit Petiti, SK Pulau Manis, SK Manir, SK Tengku Ampuan Mariam, SK Kedai Buloh, SK Tok Dir, SK Pusat Kuala Ibai, SK Seri Budiman dan SK Gong Tok Nasek di daerah Kuala Terengganu.
Penutupan sekolah itu disahkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus ketika dihubungi.
Kesemua sekolah berkenaan diarahkan tutup selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 Januari bagi proses sanitasi.
Terdahulu, dua buah sekolah iaitu SK Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) dan SK Paloh di sini ditutup selama 14 hari bagi proses sanitasi ekoran terdapat lapan kes positif Covid-19 dikesan.
Kesemua aktiviti dan pengurusan dalam kawasan sekolah ditangguhkan bermula 22 Januari hingga 5 Februari depan.
Arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Kegagalan mematuhi arahan kerja membasmi kuman adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 (b) Akta 342 dan apabila disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 24 (a) akta yang sama boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
24 Jan 21
5675
Dakwaan Rakyat Diarah Bayar Cukai Pintu Tidak Benar
KUALA TERENGGANU, 24 Januari – Dakwaan rakyat diarah membayar cukai pintu rumah kediaman oleh pihak tertentu adalah tidak benar.
Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Shahidan Embok sebaliknya menegaskan, cukai pintu bagi rumah yang diduduki rakyat di Terengganu akan terus ditanggung kerajaan negeri sebagaimana termaktub dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Katanya, bayaran cukai pintu kediaman individu adalah dikecualikan ke atas pemilik dan ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
“Penyediaan notis pindaan nilaian merupakan prosedur kerja biasa yang perlu dipatuhi bagi tujuan memaklumkan premis tersebut dikenakan cukai pintu, tetapi ia dibayar kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan tidak bertanggungjawab sebuah portal berita bertajuk ‘292 Penghuni Rumah Pangsa Pulau Duyong Diarah Bayar Cukai Pintu’ hari ini.
Shahidan.
Menurut Shahidan lagi, pengenaan cukai pintu bagi Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Pulau Duyong berkuatkuasa pada 1 Januari 2021 sebagaimana notis pindaan senarai nilaian bertarikh 7 September 2020.
“Walau bagaimanapun, tuntutan bayaran akan dibuat kepada kerajaan negeri sebagaimana nilaian cukai yang telah dibuat.
“Proses kerja bagi maksud cukai pintu berjalan seperti biasa mengikut prosedur, cuma pemilik tak perlu bayar tapi kerajaan negeri yang bayar kepada MBKT.
“Untuk makluman juga, pihak majlis telah panggil individu yang membuat bantahan dan telah dijelaskan sebelum ini,” tambah beliau.
Untuk rekod, dalam pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memperuntukkan RM13 juta bagi tujuan pengecualian cukai pintu.
"Memahami kesempitan rakyat ketika pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri akan meneruskan pengecualian bayaran Cukai Taksiran untuk rumah kediaman yang menelan belanja melebihi RM13 juta pada tahun ini,” katanya.
24 Jan 21
1460
Pesuruhjaya Pas Terengganu Positif COVID-19
KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Pesuruhjaya Pas Terengganu, Senator Datuk Husain Awang telah disahkan positif COVID-19 pada hari semalam.
Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Muhyidin Abdul Rashid memaklumkan, walau bagaimanapun kondisi beliau masih sihat tanpa sebarang gejala dan kini sedang ditempatkan di Hospital Setiu untuk rawatan lebih lanjut.
"Dukacita dimaklumkan, Senator Dato' Husain Awang, Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu telah disahkan positif Covid-19 hari ini.
"Marilah bersama kita berdoa agar beliau dilindungi Allah serta dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
24 Jan 21
1365
Kluster Bukit Biah, Terengganu Babitkan Aktiviti Agama
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Satu kluster baharu COVID-19 membabitkan aktiviti keagamaan dikesan di Terengganu hari ini.
Kluster Bukit Biah yang dilaporkan di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Besut dan Kemaman sudah merekodkan 39 kes daripada saringan yang dijalankan terhadap 131 individu.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, kluster ini melibatkan satu perhimpunan keagamaan di Kuala Lumpur dan dihadiri beberapa kes dalam kluster ini.
Sementara itu, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kes indeks bagi kluster ini ialah kes 788 yang merupakan seorang lelaki, berusia 38 tahun dan dilaporkan positif COVID-19 pada 16 Januari 2021.
"Kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke Seri Petaling, Kuala Lumpur mengikuti majlis ilmu bersama ahli rombongan," ujar kenyataan itu.
Mengulas lanjut, JKNT turut memberitahu, satu lagi kluster baharu yang didaftarkan di Terengganu hari ini ialah Kluster Kampung Guntong Luar.
"Ia melibatkan daerah Setiu dan Kuala Nerus di. Kes indeks bagi kluster ini ialah Kes 621 yang merupakan seorang lelaki berusia 51 tahun dan dilaporkan positif COVID-19 pada 13 Januari 2020.
"Kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke Kuala Lumpur bersama beberapa orang yang lain.
"Saringan kontak rapat telah berjaya mengesan kes-kes yang mempunyai kaitan dengan kes ini," tambah kenyataan itu.
23 Jan 21
8368
Tiada Lagi Zon Hijau Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Terengganu kini menghampiri zon merah sepenuhnya ekoran peningkatan mendadak jumlah kes positif Covid-19 di seluruh negeri sejak seminggu lalu.
Berdasarkan infografik terkini Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), tiada lagi zon hijau di negeri ini selepas lima daripada lapan daerah sudah dikategorikan sebagai zon merah.
Daerah terbabit ialah Kuala Terengganu, Dungun, Besut, Setiu dan Kuala Nerus sementara Hulu Terengganu serta Marang kini menjadi zon jingga manakala Kemaman pula sudah bertukar sebagai zon kuning.
"Sebelum ini, Hulu Terengganu memperolehi status zon hijau dan menjadi satu-satunya daerah yang berada dalam zon itu di Semenanjung Malaysia dan Terengganu khasnya.
"Pertambahan kes baharu sejak beberapa hari ini menunjukkan peningkatan mendadak sekaligus menjadikan tiada lagi zon hijau di Terengganu," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKNT di laman facebook rasminya hari ini.
Menurut kenyataan itu juga, JKNT telah merekodkan pertambahan 74 kes sembuh dan 131 kes baru Covid-19 menjadikan terdapat 563 kes Covid-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1355 kes.
562 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa. Satu (1) kes menerima rawatan di ICU HSNZ dan diberikan alat bantuan pernafasan.
Untuk rekod, sehingga 23 Januari 2021, Terengganu mencatatkan 57 zon aktif melibatkan 50 Zon Kuning iaitu Daerah Kemaman di mukim Telok Kalong (2 kes), Chukai (3 kes), Kerteh (13 kes), Kemasek (1 kes).
Sementara itu, bagi daerah Dungun ia melibatkan mukim Kuala Dungun (3 kes), Abang (8 kes), Paka (7 kes), Hulu Paka (1 kes).
Manakala Daerah Kuala Terengganu di mukim Bandar (17 kes), Bukit Besar (13 kes), Batu Buruk (1 kes), Kubang Parit (1 kes), Kuala Ibai (9 kes), Chendering (7 kes), Chabang Tiga (5 kes), Pengadang Buloh (2 kes) Gelugor Kedai (8 kes), Kepong (2 kes), Atas Tol (1 kes), Rengas (1 kes), Losong (1 kes).
Selain itu, Daerah Besut di mukim Bukit Kenak (5 kes), Pelagat (11 kes), Kg. Raja (2 kes), Lubuk Kawah (7 kes), Keluang (2 kes), Jabi (18 kes), Kubang Bemban (3 kes), Bukit Puteri (2 kes), Pengkalan Nangka (1 kes), Tembila (7 kes), Pasir Akar (1 kes), Tenang (1 kes); Daerah Kuala Nerus di mukim Mengabang Telipot (17 kes), Tepoh (10 kes), Wakaf Tembesu (14 kes), Bukit Tunggal (11 kes), Seberang Takir (14 kes), Wakaf Chagak (1 kes).
Di Daerah Marang di mukim Bukit Payong (12 kes), Rusila (14 kes), Jerong (4 kes), Pulau Kerengga (4 kes); Daerah Setiu – di mukim Hulu Setiu (7 kes), Tasek (4 kes), Guntong (4 kes), Hulu Nerus (3 kes) dan Daerah Hulu Terengganu di mukim Tersat (19), Jenagor (1 kes), Tanggol (8 kes), Penghulu Diman (4 kes);
Terengganu turut mencatatkan enam Zon Jingga iaitu mukim Rasau (32 kes), Jerangau (26 kes), Kerandang (26 kes), Chalok (28 kes), Sura (23 kes) & Manir (25 kes); dan satu Zon Merah iaitu mukim Serada (176 kes).
JKNT dalam kenyataan itu turut memohon agar orang ramai sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan diri dan keluarga daripada dijangkiti.
"Untuk memastikan keadaan pandemik Covid-19 di Negeri Terengganu terkawal semua penduduk diingatkan supaya sentiasa mengamalkan Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat.
"Pematuhan kepada saranan-saranan ini akan dapat memutuskan rantaian jangkitan dan seterusnya menghalang perebakan Covid-19 dalam komuniti," ujarnya.
23 Jan 21
10069
Derma Darah Atasi Kekurangan Bekalan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Kerajaan negeri melalui Urus Setia Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) dengan kerjasama Jabatan Amal Malaysia hari ini mengadakan kempen dan program derma darah bagi membantu kekurangan bekalan di Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang hadir melawat program berkenaan memaklumkan, kekurangan bekalan darah yang berlaku disebabkan penurunan trend menderma dalam kalangan orang ramai.
"Memang saya difahamkan bahawa kita kekurangan darah berbanding sebelum ini kerana kekerapan orang ramai ke hospital untuk menderma semakin berkurang akibat Covid-19 ini sedangkan penggunaan darah masih berjalan.
"Pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh berbincang untuk mengadakan kempen-kempen seperti ini di mana pihak Jabatan Amal Malaysia dan UBSNT juga telah mengadakan kempen untuk menarik lebih 5,000 penderma.
"Tentunya dalam kalangan rakyat ada yang masih sihat dan boleh membantu, inilah masanya untuk memberi sumbangan kesihatan di negeri ini," katanya selepas meninjau perjalanan program terbabit hari ini.
Berkenaan Covid-19, Dr. Samsuri percaya usaha sedang dibuat dengan serius pada peringkat kementerian melalui pelaksanaan pelbagai langkah oleh kerajaan.
"Pada peringkat negeri dan negara, kita akan terus mencari jalan bagaimana untuk mengawal penularan ini. Ia memang tidak mudah dicapai, tetapi kita komited bahawa selepas dua minggu ini akan ada penurunan," tambahnya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Muhammad Muhaimin Kambali menyatakan, status bekalan darah di Terengganu masih mencukupi.
"Bekalan darah kita setakat ini mencukupi untuk tempoh tujuh hari berikutan penggunaan juga menurun kerana kurangnya kes kemalangan jalan raya.
"Namun, dengan trend pendermaan darah yang turut menurun secara drastik, kita bimbang kalau berterusan bekalan darah kita akan berkurang. Jadi, kita ambil tindakan drastik untuk mengumpulkannya," katanya.
Menurutnya, penggunaan bekalan darah di negeri itu dalam tempoh seminggu adalah sekitar 350 pain darah.
"Tetapi, kita hanya dapat kumpul sebanyak 150 pain darah minggu lalu, kurang 200 pain bagi penggunaan sepatutnya.
"Jadi saya menyeru mereka yang sihat dan berkelayakan untuk menderma darah dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan hari ini, anggota Jabatan Amal dan orang ramai hadir secara berperingkat untuk menderma darah.
"Pusat Darah Negara (PDN) telah diberi pelepasan untuk aktiviti pendermaan darah kerana ia penting untuk memastikan bekalan darah mencukupi bagi pesakit yang memerlukan," katanya.
Beliau turut menjelaskan, pihak HSNZ membuat inisiatif dengan mengadakan program pendermaan di luar berikutan stigma tentang Covid-19 yang membimbangkan orang ramai untuk hadir ke hospital.
23 Jan 21
377
Terengganu Pertimbang Salur Bantuan Rakyat Terjejas Covid-19
KUALA TERENGGANU, 23 Januari – Terengganu akan mengkaji serta menilai bantuan Covid-19 yang diperlukan oleh mereka yang terjejas berdasarkan kes dan laporan sewajarnya.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan sentiasa menilai keperluan rakyat melalui Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin komuniti di seluruh Terengganu.
"Saya percaya semua wakil rakyat di Terengganu daripada semua parti politik sentiasa terbuka untuk menerima apa jua maklum balas daripada rakyat atas kesusahan yang dialami dan menyelesaikan masalah tersebut.
"Buat masa ini, kita meminta mereka yang terkesan untuk berhubung terus dengan wakil rakyat, ahli majlis atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan masing-masing.
"Kerajaan negeri juga akan melihat keperluan dari masa ke semasa bagi memberi bantuan kepada mereka yang betul-betul terkesan.
"Kita juga akan berusaha dan mencari jalan bagi mengurangkan beban mereka, walaupun setakat ini masih tidak dibuat sebarang keputusan," katanya.
Beliau berkata ketika ditemubual wartawan sebaik sahaja selesai menghadiri program Amal Blood Donation 2021 yang diadakan di sini hari ini.
Mengulas mengenai program terbabit, Ahmad Samsuri menyatakan aktiviti tersebut bertujuan membantu meningkatkan bekalan darah negara.
"Program ini telah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara memandangkan Pusat Darah Negara kekurangan bekalan darah.
"Hari ini, sebanyak 131 beg darah telah berjaya dikumpulkan dalam program anjuran Jabatan Amal Malaysia (JAM) ini, tambahnya.
23 Jan 21
3663
Yakult Sasar Bawa Pemain Terengganu FC Ke Jepun
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia, Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. menyasarkan untuk membawa sekurang-kurangnya seorang pemain muda Terengganu Football Club (Terengganu FC) berkelana ke Jepun musim ini.
Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada memaklumkan, hasrat itu merupakan antara misi syarikat dalam kerjasama strategik dengan kelab-kelab bola sepak di Malaysia iaitu mengembangkan bakat-bakat muda.
"Walaupun berdepan kekangan Covid-19, kita menyasarkan untuk sekurang-kurangnya dapat membawa seorang pemain muda dari Terengganu FC bagi berlatih atau bermain di sana.
"Saya akui jumlah penajaan syarikat mungkin dilihat kecil tetapi hasil perbincangan bersama pengurusan Terengganu FC, mereka setuju dengan kerjasama strategik untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain muda mengembangkan bakat ke liga Jepun seperti Muhammad Hadi Fayyadh," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Menandatangani Kerjasama antara Yakult dan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, baru-baru ini.
Usahasama itu menyaksikan penajaan Yakult bernilai RM380 ribu disamping perancangan program-program pembangunan akar umbi secara bersama.
Selain membawa pemain-pemain ke Jepun, program pembangunan akar umbi akan turut melibatkan jurulatih-jurulatih dari Jepun untuk melatih bakat-bakat tempatan.
23 Jan 21
527
Grand Continental Tawar Promosi Menu Empat Bintang
KUALA TERENGGANU, 23 Januari – Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, Hotel Grand Continental Kuala Terengganu melancarkan promosi bagi menu bertaraf empat bintang.
Senior Pengurus Jualan dan Pemasaran Hotelnya, Norlindawati Hasan berkata, mereka juga membuka servis penghantaran dan kaunter pandu lalu sebagai langkah mengatasi masalah ekonomi sektor perhotelan.
Katanya, antara menu yang mendapat sambutan seperti Mee Kari Yong Tau Foo (harga diskaun RM15), minuman Popcorn Ice Caramel Latte (RM9) dan banyak lagi dengan diskaun sehingga 30 peratus.
“Pihak kami mengambil inisiatif ini bagi memenuhi keperluan mereka yang tidak boleh makan di restoran.
“Industri hotel turut merasakan kesan PKP kedua ini menyebabkan pelanggan luar tidak boleh rentas negeri, oleh itu, kita sendiri akan ambil inisiatif untuk memenuhi keperluan mereka.
“Promosi bermula sejak di hari pertama PKP dijalankan dan setakat ini mendapat sambutan hangat dari penduduk setempat dalam jarak perkhidmatan iaitu 10KM,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Tambahnya, caj Penghantaran makanan akan dikenakan daripada RM 3.00 hingga RM 5.00 untuk setiap penghantaran yang dibuka pada 11.00 pagi sehingga 5.00 petang.
"Pihak kami turut mengambil perhatian aspek keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa menjalankan perkhidmatan ini," katanya lagi.
Sementara itu, Norlindawati turut memaklumkan promosi harga promosi bagi bilik standard sehingga 40 peratus atau RM145 sebilik berabnding harga biasa RM240.
Tambahnya, hotel tersebut masih bertahan dari segi saiz dan gaji tenaga pekerja walaupun menghadapi cabaran pkp kedua sejak baru-baru ini.
Untuk maklumat lebih lanjut, boleh menghubungi talian 09-625 1888 atau layari halaman Facebook Hotel Grand Continental Kuala Terengganu.
23 Jan 21
1183