Artikel "Utama" Terkini
Lapan Kes Positif COVID-19 Dikesan Di SK Sulaiman 1
KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) di sini, ditutup selama 14 hari ekoran terdapat lapan kes positif Covid-19 dikesan di situ.
Kesemua aktiviti dan pengurusan dalam kawasan sekolah ditangguhkan bermula 22 Januari hingga 5 Februari depan bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kesemua kes positif Covid-19 yang dikesan itu disahkan pada Jumaat.
"Pihak kesihatan telah mengesan lapan kes positif Covid-19 di SKSS1 yang telah disahkan pada 22 Januari 2021.
"Sehubungan itu, premis ini diarahkan tutup selama 14 hari bermula hari ini bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan bagi mengelak perebakan penyakit," katanya di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, arahan penutupan itu di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah merekodkan pertambahan 73 kes sembuh dan 178 kes baharu menjadikan terdapat 506 kes Covid-19 aktif di Terengganu pada Jumaat, dengan rekod keseluruhan sebanyak 1,224 kes.
Sebanyak 505 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala satu kes menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tanpa alat bantuan pernafasan.
Sumber:Sinar Harian
22 Jan 21
5118
Peniaga Bersyukur Kerajaan Benar Berniaga Hingga 10 Malam
KUALA TERENGGANU, 22 Januari – Peniaga kecil di tepi jalan melahirkan rasa terharu kerana kerajaan membenarkan mereka beroperasi sehingga jam 10 malam sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula hari ini.
Walaupun tidak ramai pelanggan namun, rata-rata mereka bersyukur kerana lanjutan masa perniagaan dari jam 8 malam kepada 10 malam itu sedikit sebanyak dapat menjana pendapatan.
Sekiranya perniagaan dibenarkan sehingga jam 8 malam sahaja, rata-rata peniaga yang memulakan perniagaan antara jam 3 dan 4 petang terbabit mungkin menghadapi masalah kewangan.
Bagi peniaga ais krim gulung, Wan Muhammad Hazim Wan Muhammad Zulkifli, 27, berkata, meskipun pelanggan berkurang berbanding hari biasa, dia bersyukur kerana kerajaan masih membenarkan mereka untuk berniaga.
"Daripada duduk rumah lebih baik saya berniaga, sekurang-kurangnya ada juga pendapatan walaupun tidak seberapa berbanding hari biasa sebelum PKP," katanya yang menjalankan perniagaan di kawasan Pantai Peranginan Batu Buruk, di sini, hari ini
22 Jan 21
391
Masjid Di Terengganu Akur PKP, Kembali Hadkan Bilangan Jemaah
KUALA TERENGGANU, 22 Januari- Berikutan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak yang bermula hari ini, masjid-masjid di Terengganu mula melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana ditetapkan bagi Solat Jumaat di seluruh negeri, hari ini.
Pengurus Eksekutif Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu, Amir Sabri Abd Ghani berkata, pengalaman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan lalu banyak memudahkan pihak masjid.
"Kita memang ikut SOP daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) seratus peratus, kalau dilihat hari ini ada juga penguatkuasa, RELA dan pihak Polis membantu.
"Bagi solat fardu pula, hanya akan dihadiri oleh ahli jawatankuasa (AJK) masjid sepanjang PKP dan perkara ini telah dimaklumkan kepada qariah berdekatan," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di masjid berkenaan hari ini.
Jelasnya, pihak masjid berusaha sebaik mungkin untuk mematuhi SOP ditetapkan sebagai sebahagian usaha mengawal penularan Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini.
Senarai jemaah hari ini kita dapatkan dari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sekitar dan mereka akan buat penggiliran sepanjang tempoh ini.
"Memang kita tidak dapat lari daripada rungutan, jadi kita cuba menampung setakat mampu, namun kita tidak akan berkompromi dari segi SOP," katanya.
Pegawai masjid memeriksa nama jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat.
22 Jan 21
762
Jemaah Hadir Solat Jumaat Seawal Jam 11.30
KUALA NERUS, 22 Januari - Jemaah Masjid Mengabang Telipot hari ini hadir untuk solat Jumaat seawal jam 11.30 pagi.
Hal ini berlaku akibat daripada peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) yang menghadkan jumlah jemaah kepada 40 orang tidak termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid.
Timbalan Pengerusi Masjid Mengabang Telipot, Mohd Irwami Abdul Wahab memaklumkan, ketika pintu pagar masjid dibuka sudah ada jemaah yang beratur untuk masuk.
"Kami bagi pihak Masjid Mengabang Telipot hanya mengikut 'Standard Operation Procedure' (SOP) yang dikeluarkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 ini," tambahnya.
Menurut beliau lagi, jemaah yang hadir telah cukup had 40 orang sekitar jam 12.20 tengahari tadi.
"Selain itu, SOP lain seperti kewajipan untuk memakai pelitup separuh muka, membawa sejadah dan memeriksa suhu telah menjadi amalan normal baharu bagi kami di sini.
"InsyaAllah, bagi mereka yang tidak sempat untuk memenuhi kuota 40 tersebut, niat dan usaha mereka hadir ke masjid pasti akan diterima sebagai amalan oleh Allah S.W.T.," katanya.
22 Jan 21
911
Ubah Cara Berniaga Sepanjang Tempoh PKP
KUALA NERUS, 22 Januari - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini bukan penghalang bagi pengusaha Kedai Kopi Ngabang yang terletak di Kg. Wakaf Tengah untuk kekal beroperasi.
Pengusahanya, Sharifah Nur Aqilah Syed Mohd Zaris mengambil pendekatan perkhidmatan 'take away' dan penghantaran terus kepada pelanggan sepanjang tempoh PKP dijalankan ekoran keputusan tidak membenarkan pelanggan untuk makan di dalam premis bagi tempoh tersebut.
"Sekiranya kedai ini ditutup terus sepanjang PKP ini, sudah pasti akan menjejaskan pendapatan kami sepenuhnya.
"Jadi, sejurus pengumuman PKP tersebut kami terus membuat persiapan untuk mengubah cara perniagaan kami dari 'dine in' kepada bungkus dan perkhidmatan penghantaran terus kepada pelanggan," jelasnya.
Menurutnya, para peniaga hari ini perlu lebih kreatif dan perlu menggunakan segala kemudahan yang ada untuk menghadapi cabaran masa hadapan yang tidak menentu.
"Kita tidak tahu lagi bila akan berakhirnya penularan wabak Covid-19 ini, jadi kita perlu fikirkan beberapa 'back up plan' untuk keberlangsungan perniagaan kita," ujarnya lagi.
Kedai Kopi Ngabang yang baru sahaja mula beroperasi pada tahun ini mengenakan tema kedai kopi ala tradisional dengan juadah seperti nasi dagang, pulut nyiur dan lain-lain lagi.
Iklan yang disiarkan dalam laman sosial
22 Jan 21
1918
Ketengah Tawar Enam Bulan Moratorium
KUALA TERENGGANU, 21 Januari – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bersetuju memberikan pengecualian bayaran sewa premis perniagaan dan rumah kediaman selama enam bulan bagi meringankan beban peminjam dan penyewa mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Ketengah, Senator Dato' Razali Idris berkata, ia ditawarkan kepada 1,042 penyewa dan penangguhan bayaran sewa beli rumah selama enam bulan melibatkan 201 pembeli rumah Ketengah.
“Dianggarkan seramai 1,243 peniaga, usahawan dan penyewa, bakal menerima manfaat melibatkan jumlah keseluruhan implikasi kewangan sebanyak RM1.1 juta.
"Pengecualian ini mampu meringankan mereka yang terlibat sepanjang pelaksanaan PKP ini dalam meneruskan kehidupan seharian di saat berhadaan dengan wabak pandemik Covid-19,"katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Razali turut mengalu-alukan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.
Katanya, Pakej Permai mampu memelihara kesejahteraan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tambah beliau lagi, pemberian bantuan kewangan sebanyak RM500 secara one-off kepada 14,000 pemandu pelancong juga bertepatan bagi meringankan bebanan kewangan mereka.
“Sebahagian daripada pemandu pelancong ini juga ada menyediakan perkhidmatan pelancongan ke kawasan pelancongan Tasik Kenyir.
“Malah, pelaksanaan skim mikrokredit kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan perniagaan terutama yang berkaitan pelancongan memberi kelegaan kepada kelompok terlibat sebagai menyokong kelangsungan bisnes,” katanya.
21 Jan 21
650
PKP: Polis Terengganu Adakan SJR Di 25 Lokasi Strategik
KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Bagi menyekat pergerakan rentas negeri dan daerah di Terengganu, sebanyak 25 sekatan jalan raya (SJR) diadakan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula tengah malam ini.
Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"20 SJR ‘mobile’ yang bergerak kadang-kadang empat jam atau enam jam daripada satu tempat ke satu tempat di beberapa lokasi iaitu empat di Setiu, Kuala Terengganu (tiga), Dungun (dua), Kemaman (satu), Marang (tiga), Hulu Terengganu (tiga) dan Besut (empat).
"Manakala lima lagi selama 24 jam bagi mengawal sempadan negeri iaitu RNR Perasing, Paya Berenjut dan Tol Cheneh manakala di Pachakan dan Tok Saboh di Besut,"katanya dalam sesi soal jawab menerusi Facebook Live Terengganu FM hari ini.
Sementara itu, seramai 1,565 anggota dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertugas dalam penugasan keseluruhan berkaitan COVID-19 dan SJR sepanjang PKP berlangsung sejak 18 Mac 2020.
"Untuk rekod sepanjang PKP tahun lepas, kita telah keluarkan sebanyak 1,267 kompaun untuk pelbagai kesalahan dan sehingga Januari tahun ini , 54 kompaun telah dikeluarkan.
"Antara kesalahan-kesalahan yang paling utama adalah tidak memakai penutup muka, tidak membuat catatan di buku daftar, tiada penjarakan sosial dan juga langgar perintah kawalan PKP, "ujarnya lagi.
Tambah Roslee, pihaknya terpaksa bertegas untuk memastikan supaya SOP-SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dipatuhi bagi memastikan wabak pandemik ini dapat diputuskan.
21 Jan 21
7718
Ketidakpatuhan SOP Di Tempat Kerja, Enam Kluster COVID-19 Direkodkan
KUALA TERENGGANU, 21 Januari- Sebanyak enam kluster COVID-19 direkodkan di negeri ini yang berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, terbaru pada 16 Januari lepas, berlaku satu kluster COVID-19 di tempat kerja dan sehingga kini ia telah menular di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Setiu.
"Kluster ini bukan terhad kepada rakan sepejabat sahaja tetapi sudah menular kepada keluarga pekerja dan kontak sosial yang lain dimana jumlah keseluruhan kes positif dari kluster ini seramai 35 orang.
"Kluster COVID-19 sama ada di tempat kerja atau mana-mana pun masih boleh dicegah jika setiap orang amalkan kepatuhan SOP sepenuhnya.
"Jangan ambil mudah nasihat elak 3C dan amal 3W yang sering dipesan Kementerian Kesihatan. Hanya ini tindakan paling berkesan buat masa ini untuk putuskan rantaian jangkitan COVID-19," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, semalam.
Menurut beliau, elakkan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang dengan jarak yang dekat (close conversation).
“Manakala amalan 3W - kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam (wear) dan peringatan KKM (warn) seperti elak bersalaman dan rawatan segera jika bergejala,” jelasnya.
Nor Azimi berkata semua pihak perlu menilai semula tahap kepatuhan SOP di tempat kerja dan tidak lagi mengulangi kesilapan sama untuk mencegah penularan COVID-19 pada masa akan datang dengan mengawal tingkah laku masing-masing walaupun dalam keadaan pejabat yang sempit.
21 Jan 21
2330
Rumah Daif Milik Rahmat Dibaik Pulih
MARANG, 21 Januari - Kehidupan keluarga Rahmat Hidayat @Rahmat Sarmin yang serba daif, di Kampung Batangan, di sini dibantu Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Rhu Rendang dengan membaik pulih rumah.
Rahmat bersama Siti Aminah Habsu serta tujuh orang anak dan tiga daripadanya masih bersekolah mendiami rumah tanpa lantai konkrit dan tiada kemudahan asas seperti bilik, tandas dan dapur itu sejak 18 tahun lalu.
Rahmat baru berkerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah tapak projek manakala isterinya pula menjual produk tradisional nisan.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, setelah mendapat maklumat, pihaknya telah turun segera untuk meninjau keadaan keluarga tersebut.
"Kita membawa kakitangan Pusat Giat Mara dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menyalurkan terus bantuan kepada mereka.
“Rumah ini akan dibaik pulih seperti membina lantai, membina bilik dan tandas yang lebih sempurna memandangkan tandas yang ada berada sangat jauh di bawah bukit dalam kawasan reban itik,"katanya.
Dua agensi itu juga bersetuju untuk membantu melalui peruntukan baik pulih rumah di bawah KPLB dan Giat Mara sebagai pelaksana.
Pasangan itu turut menjaga ibunya yang uzur dan sakit terlantar
PKM Rhu Rendang turut panjang perkara itu kepada Tabung Darul Iman bagi bantuan pampers dan barangan keperluan lain kerana pasangan itu didapati menjaga ibu yang sakit terlantar.
21 Jan 21
465
PKP : Terengganu Benar Solat Jumaat, Solat Fardu Berjemaah
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah diadakan di semua masjid serta surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, pelaksanaan solat Jumaat di masjid dibenar didirikan dengan bilangan jemaah seramai 40 orang.
“Iaitu daripada kalangan anak mukim tidak termasuk lmam, Bilal, Ahli Jawatankuasa Masjid dan mana-mana orang yang diberi kebenaran oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan.
“Pelaksanaan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau dibenarkan kepada imam, bilal dan Ahli Jawatankuasa Masjid sahaja dengan bilangan tidak melebihi 12 orang,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Sementara itu, Osman turut memaklumkan, sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain termasuk kuliah maghrib, kuliah subuh dan kuliah dhuha adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP.
“Jawatankuasa masjid dan surau diarahkan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dari semasa ke semasa supaya perlaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah dapat berjalan dengan baik.
“Jawatankuasa masjid atau surau yang gagal mematuhi SOP berkaitan dan arahan yang ditetapkan, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu boleh mengambil tindakan dengan menutup masjid atau surau berkenaan,” jelasnya.
Katanya lagi, semua Pegawai Agama Daerah diarahkan untuk membuat pemantauan secara serius bagi memastikan semua masjid dan surau mematuhi SOP dan syarat-syarat yang ditetapkan.
“Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke semasa tertakluk kepada arahan pihak berkuasa yang akan dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu,” tambah beliau.
20 Jan 21
16029