Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Catat Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Tertinggi
KUALA LUMPUR, 26 Januari- Terengganu mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi di negara ini iaitu 1.36 setakat semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Melaka merekodkan Rt kedua tertinggi pada 1.28, diikuti Sarawak (1.25), Putrajaya (1.19), Perak (1.17), Kedah (1.15), Perlis (1.15), Kuala Lumpur (1.12), Labuan (1.11) Pahang (1.1), Selangor (1.1) dan Kelantan (1.09) .
"Manakala Johor, Sabah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pula merekodkan Rt paling rendah, masing-masing pada 1.04, 1.03, 1.01 dan 1.0,"r katanya berdasarkan infografik yang dikongsikan menerusi akaun Twitter beliau,
Sementara itu, Rt untuk seluruh negara pula ialah 1.04.
26 Jan 21
5947
Amzad Taja 3,300 Pelajar Kelas Digital Mahir Tutor SPM
Oleh : Syafiq Sapai
KUALA TERENGGANU, 26 Januari - Seramai 3,300 pelajar yang bakal menduduki calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah Parlimen Kuala Terengganu menyertai Program Mahir Tutor SPM 2020 di bawah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim bagi mempersiapkan mereka untuk menghadapi peperiksaan penting itu.
Amzad ketika dihubungi berkata, para pelajar yang bakal menduduki SPM di daerah Kuala Terengganu boleh menyertai kelas tersebut secara percuma yang dikendalikan secara dalam talian.
“Program Mahir Tutor SPM ini kita sediakan untuk calon-calon yang akan menduduki peperiksaan SPM, iaitu untuk seramai 3,300 pelajar di sini.
“Kita sediakan secara percuma kepada para pelajar yang berada di Parlimen (Kuala Terengganu) ini. Cuma, kita minta anak-anak pelajar kena ikuti program ini dengan baik,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Menurutnya, para pelajar tidak perlu memikirkan soal bayaran lagi dan hanya menumpukan kepada pembelajaran sahaja.
“Kos bayaran untuk setiap seorang RM10 sebulan. Jika 3,300 pelajar yang didaftarkan sebanyak RM33,000.00 sebulan. Program (Mahir Tutor) ini dibuat selama dua bulan dengan kos keseluruhan RM66,000.00 akan ditaja, insya-Allah,” jelasnya.
Apa yang penting, kata beliau, para pelajar perlu bersungguh-bersungguh belajar dan membiasakan diri dengan cara norma baharu ini.
Menurutnya, pandemik Covid-19 yang semakin menjalar dan belum ada tanda-tanda reda setelah setahun hidup bersama masyarakat dunia hari ini.
26 Jan 21
405
'Terima Kasih Selangor'
KUALA TERENGGANU, 26 Januari - Kerajaan Terengganu hari ini menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor atas sumbangan berjumlah RM500 ribu bagi membantu usaha pemulihan negeri akibat banjir.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melalui kenyataan di Facebook peribadinya hari ini, memaklumkan menerima sumbangan tersebut dalam satu majlis yang disempurnakan secara atas talian bersama Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari, pagi ini sebagai simbolik penyerahan.
"Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.
"Alhamdulillah, setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor atas sumbangan berkenaan bagi membantu Kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha pemulihan pasca banjir di negeri ini," tulisnya.
26 Jan 21
319
Tiga Lagi Sekolah Rendah Di Terengganu Ditutup Akibat COVID-19
KUALA TERENGGANU, 26 Januari- Tiga lagi sekolah rendah di negeri ini masing-masing dua di daerah Kuala Terengganu dan satu di Hulu Terengganu diarah tutup selama tujuh hari bermula semalam, hingga 31 Januari depan kerana terdapat kakitangan sekolah yang disahkan positif COVID-19.
Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga dan Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga di Kuala Terengganu serta SK Bukit Apit di Hulu Terengganu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan bagi mencegah penularan wabak pandemik di semua sekolah terbabit.
Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan surat penutupan tiga sekolah rendah itu kepada Jabatan Pendidikan negeri bagi kawalan perebakan penyakit berjangkit.
“Arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta kegagalan mematuhi arahan kerja membasmi kuman adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 22 (b) Akta 342.
“Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 24 (a) akta sama boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Dengan notis terbaru itu, sebanyak 15 sekolah rendah iaitu masing-masing 14 di daerah Kuala Terengganu dan satu di daerah Hulu Terengganu ditutup setakat ini susulan kes positif COVID-19.
26 Jan 21
8103
108 Pek Bantuan Makanan Asas Diagihkan Dalam Dun Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Kuala Terengganu telah menyumbang sebanyak 108 pek bantuan makanan asas kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk bagi membantu meringankan beban masyarakat setempat yang terjejas akibat Covid-19.
PKM Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk telah mengambil perjalanan mengagihkan kesemua bantuan tersebut kepada masyarakat yang memerlukan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN berkenaan.
“Kami telah meminta pengerusi JPKK untuk menyenaraikan keluarga yang tergolong dalam kategori fakir miskin sebelum ini supaya proses pengagihan ini dapat berjalan dengan lancar.
“Insya-Allah ada rezeki lagi nanti kita akan adakan lagi agihan bantuan ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Proses pengagihan pek bantuan tersebut kepada 36 buah JPKK telah diadakan semalam di Dewan Dato’ Hj. Wan Abdul Muttalib, Kuala Ibai.
Sementara itu, orang ramai diminta untuk mengamalkan kehidupan norma baharu dalam usaha untuk memutuskan penularan wabak Covid-19.
26 Jan 21
510
COVID-19 Dijangka Turun Kepada Dua Angka Mei Depan
KUALA LUMPUR, 25 Januari – Kes COVID-19 dijangka dapat diturunkan kepada dua angka pada bulan Mei nanti sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama empat minggu ini disambung dengan PKP Bersyarat (PKPB) untuk tempoh tiga bulan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP yang sedang berjalan tidak akan dilanjutkan selepas empat minggu dilaksanakan kerana ia memberi kesan kepada ekonomi.
“Sebaliknya usaha membendung pandemik COVID-19 akan diteruskan dengan pelaksanaan PKPB selama tiga bulan untuk menurunkan kes kepada dua angka,” katanya dalam sesi taklimat media mengenai Darurat COVID-19 secara dalam talian.
Menurut Dr Noor Hisham, beliau yakin sekiranya langkah tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan, jumlah kes yang tinggi sekarang ini akan dapat diturunkan.
“Pelaksanaan PKP mulai 13 Januari lalu sehingga 4 Februari bertujuan untuk menstabilkan jumlah kes positif COVID-19 yang semakin meruncing hari ini.
“Jadi kalau kita laksanakan PKP empat minggu sampai Februari, disusul dengan PKPB kita jalankan selama tiga bulan, dijangkakan pada Mei depan kita akan dapat turunkan kes sehingga dua digit,” katanya.
Semua negeri kecuali Sarawak kini sedang menjalani PKP 2.0 hingga 4 Februari ini.
25 Jan 21
1161
Hasil Pertanian Terengganu Meningkat 13 Peratus
KUALA TERENGGANU, 25 Januari – Walaupun berdepan cabaran COVID-19, pengeluaran hasil pertanian Terengganu tetap meningkat sebanyak 13 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kuantiti pengeluaran hasil pertanian untuk tempoh Januari sehingga November tahun lepas mencatatkan sebanyak 54,391 metrik tan.
“Nilai keluaran tersebut kira-kira RM1.05 juta berbanding dengan tahun 2019 sebanyak 43,486 metrik tan sahaja.
“Selain itu, statisktik sektor perikanan sehingga November 2020 turut menunjukkan peningkatan daripada 4,468 metrik tan pada tahun 2019 kepada 5,133 metrik tan, peningkatan sebanyak 13 peratus.
“Dari segi ternakan, kuantiti hasil pengeluaran seperti lembu, ayam, kambing dan biri-biri amat membanggakan dengan catatan 25,537 metrik tan bernilai RM153.8 juta berbanding 7,585.5 metrik tan pada tahun 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap secara atas talian dalam Majlis Pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman, pagi tadi.
Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kepentingan sektor pertanian dalam memastikan bekalan makanan mencukupi supaya kesejahteraan sesebuah rakyat terjamin.
“Oleh yang demikian, kita sasarkan peningkatan tahap sara diri atau ‘self-sufficient level’ padi sebagai makanan ruji di Terengganu daripada 47 peratus kepada 53 peratus menjelang tahun 2021,” ulasnya.
Tambah beliau, penghasilan makanan dan pertanian berskala besar dan berteknologi tinggi boleh menjadi satu peluang kerjaya pada generasi ketika ini terutamanya golongan belia dan B40.
25 Jan 21
596
Jangan Pandang Hina Pesakit COVID-19
KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Orang ramai dirayu agar tidak menimbulkan persepsi negatif dan menghina pesakit yang didapati positif wabak Covid-19.
Salah seorang daripada golongan tersebut, Ustaz Wan Ahmad Zuki Wan Ismail berkata, pesakit wabak Covid-19 adalah mangsa dan mereka tidak meminta untuk dijangkiti.
“Jangan pandang hina dengan mana-mana pesakit Covid-19, sebaliknya berilah sokongan moral kepada golongan seperti kami melalui pelbagai saluran supaya mereka terus kuat dan tidak berasa tersisih.
“Sokongan paling utama adalah daripada keluarga, majikan dan rakan yang dikenali. Pastinya setiap kata-kata akan menjadi pendorong untuk terus melawan Covid-19,” katanya yang juga penceramah bebas.
Ustaz Wan Ahmad Zuki yang disahkan Positif Covid-19 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) pada 16 Januari lalu kini masih dirawat di Pusat Kuarantin, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
Katanya dalam siaran langsung secara atas talian bersama TV Darul Iman semalam, sebaik mengetahui keputusan ujian saringan Covid-19 miliknya positif, badan beliau secara tiba-tiba berasa gementar.
“Padahal sebelum keputusan ujian itu, tiada langsung tanda atau gejala-gejala adanya Covid-19.
“Pada waktu yang sama, tiada apa yang diingatkan hanya isteri dan anak-anak, tertanya-tanya bagaimanakah nasib mereka,” jelasnya.
Menurut beliau, sepanjang berada di pusat kuarantin, para pesakit mesti berjiwa kental, kuat semangat dan pada masa yang sama perlu sentiasa melakukan amal ibadat.
“Ketika inilah, sokongan daripada insan rapat, majikan dan rakan-rakan cukup penting dan menjadi antara faktor seseorang itu, termasuk saya menjadi lebih kuat dan bersemangat untuk sembuh,“ katanya.
Ustaz Wan Ahmad Zuki turut memberitahu, beliau sebagai pesakit Covid-19 sangat besetuju dengan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan yang menyarankan rakyat di negara ini mendapat suntikan vaksin.
“Dengan cara itu sahaja, kemungkinan Covid-19 dapat dielakkan. Oleh itu, saya berharap bersama-samalah kita membantu kerajaan memutuskan penularan Covid-19 yang masih tiada penghujungnya,” tambahnya.
25 Jan 21
2429
Terengganu Catat Kes COVID-19 Tiga Digit Berturut-turut
KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Terengganu merekodkan kes baharu COVID-19 tiga digit untuk tiga hari berturut-turut.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi binti Yunus berkata, berlakunya penularan yang sangat besar di Terengganu ketika ini disebabkan oleh beberapa kluster dengan bilangan kes yang sangat ramai.
"Antaranya, Kluster Kebor Air, bayangkan jumlah kes kluster ini seramai 91 orang. Masih ada pertambahan kes nanti. Bayangkan kontak rapat untuk bilangan kes seramai ini. Tentulah ia mengambil masa sedikit untuk reda.
"Kluster Kampung Bukit Biah Hulu Terengganu. Kluster ini datang jauh dari Wilayah Persekutuan. Mereka naik bas bersama- sama. Bayangkan dari seramai 29 penumpang bas, seramai 21 positif. Akhirnya menjangkiti ahli keluarga yang lain. Total kes kluster ini seramai 59 orang. Virus dalam bas ini masih lagi bergerak.
"Kluster Guntung Luar juga masuk daripada sebuah perhimpunan di Kuala Lumpur. Akhirnya balik sekali ke Terengganu. Seramai 15 orang telah dijangkiti," ujarnya seperti yang dipetik dalam laman facebook rasminya, hari ini.
Sementara itu katanya, Kluster OKT yang dikesan di penjara dan merupakan 'closed community', justeru risiko menular dalam komuniti adalah rendah.
"Ada lagi beberapa kluster yang masih aktif yang melibatkan sekolah dan lain-lain," ujarnya.
Nor Azimi berkata, sekiranya pergerakan dikawal, berkumpulan ditangguhkan dan semua patuh SOP, kluster- kluster begini boleh dielakkan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan, Kluster Kebor Air didaftarkan atas alamat kes pertama kluster tersebut dan ia bukan berpusat di kampung itu.
"Sebaliknya ia melibatkan kluster tempat kerja. Sudah menjadi satu syarat semua kluster akan didaftar mengikut alamat tempat tinggal atau alamat tempat kerja kes indeks.
"Setakat ini tiada kes lain dikesan di Kampung Kebor Air kecuali kes indeks. Justeru sangat tidak wajar penduduk Kampung Kebor Air dipulaukan atau dinafikan hak untuk memasuki mana-mana premis," jelasnya.
25 Jan 21
3036
72 Program Rancakkan Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 25 Januari – 72 program diatur sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021 bagi merancakkan lagi sektor pertanian sekali gus membela ekonomi rakyat dalam negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program tersebut melibatkan kerjasama dengan pelbagai jabatan dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan.
“Antaranya 18 program melibatkan Jabatan Pertanian, 15 program tersebut melibatkan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu dan 9 program melibatkan penternakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.
“Tambah lagi 10 program dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) serta Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN).
“IADA Ketara dan Lembaga Pertubuhan Peladang masing-masing akan menganjurkan dua program manakala empat lagi program akan diusahakan agensi-agensi lain,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 secara atas talian di Wisma Darul Iman, pagi tadi.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tambah Dr Azman, bagi memastikan program tersebut berjalan lancar, kerajaan negeri mengambil langkah sistematik dengan mewujudkan Sekretariat Khas Tahun Pertanian Terengganu.
“Peranan pasukan khas ini sebagai urusetia kepada program dan projek yang dijalankan dan memantau serta menilai keberkesanan 72 program dan 13 projek yang akan dilaksanakan sepanjang tahun.
“Mereka juga bertanggungjawab dalam mengemukakan laporan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri,” katanya lagi.
25 Jan 21
403