lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Rakyat Terjejas Sepanjang PKP 2.0 Terima Bantuan
Rakyat Terjejas Sepanjang PKP 2.0 Terima Bantuan
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk menyumbang sebanyak 360 pek makanan untuk fasa pertama agihan bantuan kepada mereka yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) dijalankan.  Program agihan sumbangan bantuan ini merupakan kerjasama antara PKM ADUN Batu Buruk dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia Kuala Terengganu. Khidmat Malaysia Kuala Terengganu telah mengambil inisiatif membuka Pusat Pengumpulan Barangan Sumbangan di hadapan Pejabat PKM ADUN Batu Buruk bermula 26 Januari lalu untuk memberi peluang kepada orang ramai bagi turut sama menghulurkan sumbangan. “Fasa kedua agihan nanti, kita akan kumpulkan semua barang sumbangan dan pihak DUN akan cukupkan bilangan barang agihan tersebut menjadi 360 pek,” kata ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.  Beliau berkata ketika meninjau kerja-kerja agihan barangan sumbangan bagi fasa pertama kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan Kampung dan Keselamatan (JPKK) dijalankan di Dewan Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong, Kuala Ibai, semalam. “Insya Allah, sekiranya ada rezeki lagi pada masa akan datang kita akan adakan lagi agihan ini. “Terima kasih saya ucapkan kepada semua penyumbang yang turut sama-sama ingin membantu mereka yang terjejas pendapatan sepanjang PKP ini,” tambahnya lagi. Pusat Pengumpulan Barangan Sumbangan masih lagi dibuka hingga 4 Februari (Khamis) ini.
03 Feb 21
283
Kerajaan Terengganu Salur Insentif Khas Kepada Pengayuh Beca, Pengusaha Bot
Kerajaan Terengganu Salur Insentif Khas Kepada Pengayuh Beca, Pengusaha Bot
KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Seramai 50 pengayuh beca dan 18 pengusaha bot penambang di Terengganu merupakan antara pemain industri pelancongan yang bakal menerima bantuan 'one-off' berjumlah RM132 ribu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, sektor tersebut menjadi antara industri yang paling terkesan selepas aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sehubungan dengan itu katanya, kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan insentif pandemik COVID-19. "Bagi meringankan beban golongan yang terlibat secara langsung dalam sektor ini, pihak kerajaan bersetuju membantu 50 pengayuh beca dan 18 pengusaha bot penambang yang mana masing-masing akan menerima bantuan sebanyak RM400. "Manakala, bagi pengusaha pemandu teksi lapangan terbang yang juga berada di bawah porfolio saya iaitu seramai 44 orang, pemandu pelancongan (99 orang) yang aktif dan beroperasi, pemandu 'house bot' Tasik Kenyir (244 orang) dan malim gunung (33 orang) yang berdaftar akan menerima RM250," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) Terengganu sebagai Hab Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, pengumuman itu merupakan sebahagian daripada bantuan yang akan disalurkan kerajaan negeri untuk membantu rakyat Terengganu. "Saya hanya mengumumkan bantuan pandemik bagi sektor pelancongan dan teknologi digital sahaja hari ini. Manakala, sedikit masa lagi insya-Allah, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri akan memaklumkan perkara-perkara lain yang berkaitan. "Bagi bantuan ini, kita akan agihkan secepat mungkin kepada penerima terlibat," katanya.
03 Feb 21
547
Kerajaan Negeri Tidak Abai Pesara Sukan
Kerajaan Negeri Tidak Abai Pesara Sukan
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Kerajaan negeri memberi komitmen untuk tidak mengabaikan keperluan bekas atlet selepas bersara atau tidak lagi aktif dalam karier mereka. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau memberi perhatian kepada keperluan tersebut seawal memegang jawatannya kerana umur atlet aktif kebanyakannya antara 15 hingga 35 tahun. “Mereka masih muda jika bersara selepas itu, maka kita mengambil inisiatf tertentu untuk memberi kelegaan kepada atlet-atlet serta ibu bapa yang mungkin runsing untuk menjadikan sukan sebagai sumber pendapatan. “Kita memperkenalkan kerjasama dengan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Kolej Universiti TATI (UC TATI) bagi mengalakkan dan memberi peluang mudah untuk atlet menyambung pelajaran. “Kemasukan dan syarat kemasukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkenaan lebih mudah sekiranya mereka melalui program ini,” katanya katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam. Tambahnya, usaha itu dilakukan agar mereka berminat untuk melanjutkan pelajaran dan sebagai persiapan mendapat sijil bersesuaian dengan kelayakan. “Paling kurang pesara terlibat dapat meraih sijil atau diploma untuk menempatkan kerjaya meneruskan kehidupan mereka selepas gantung kasut,” katanya lagi. Sementara itu, Sukairi turut menjelaskan usaha seterusnya dengan mewujudkan sebuah jawatankuasa dipengerusikan timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim, dengan melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan IPT. “Pihak-pihak berkaitan dengan pekerjaan seperti T-JOB, Sumber Manusia, Pegawai Daerah, IPT, TEKUN, TESDEC dan sebagainya akan bekerjasama dan berbincang penyelesaian bagi atlet yang bersara atau tidak aktif. “Jawatankuasa ini berperanan memudahkan cara mereka yang ingin menjurus kepada satu bidang pekerjaan, contohnya mereka berminat meniaga, jadi kita akan beri latihan sehingga mereka bergelar usahawan. “Kita bukan sahaja memberi jalan tetapi juga mengusahakan keperluan mereka dalam apa jua bidang selepas tempoh beraksi selepas bergelar atlet, kita akan jaga kebajikan mereka,” jelasnya.
03 Feb 21
348
Tiga Inisiatif Khas COVID-19 Bantu Golongan Belia
Tiga Inisiatif Khas COVID-19 Bantu Golongan Belia
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Kerajaan negeri memperkenalkan tiga inisiatif khas dalam membantu golongan belia dan beliawanis Terengganu yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha tersebut termasuk tabung pemulihan Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) berjumlah RM3.5 juta. “Tabung ini berperanan membantu pemulihan peniaga termasuk usahawan belia yang terlibat dalam projek pembangunan kecil dan sederhana terkesan akibat pandemik, golongan tersebut adalah diantara sasaran kerajaan. “Kedua, Bantuan Cakna Rakyat Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM9.7 juta, memfokuskan golongan b40 disertai belia dibawah kategori tersebut dengan pengagihan ‘One-off’ sebanyak RM200 untuk satu isi rumah (keluarga). “Inisiatif ketiga adalah pengecualian bayaran lesen perniagaan kecil dan penjaja disamping penerusan program penangguhan dan diskaun diberi oleh pihak Yayasan Terengganu (YT),” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam. Tambah beliau, peminjam tabung YT telah membuat keputusan bagi penangguhan dan diskaun pinjaman sejak tahun lepas, meringankan beban usahawan yang kebanyakan terdiri daripada golongan belia. Mengulas lanjut berkenaan Pelan Literasi Kewangan, Wan Sukairi memaklumkan, inisiatif tersebut juga boleh dimanfaatkan oleh belia dan beliawanis untuk meluaskan lagi rangkuman pendidikan kewangan pada situasi mencabar tersebut. “Selain itu, lapan program dibawah rangka latihan kemahiran dan peluang pekerjaan juga membuka pintu kepada golongan belia dan akan dilaksanakan segera jika keadaan mengizinkan. “Program sebegini dibawah pengelolaan portfolio Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, namun kerjasama sentiasa diadakan merentasi portfolio kerana ia melibatkan inisiatif buat warga belia juga,” tambahnya.
03 Feb 21
2178
Kerajaan Kaji Tindakan Terbaik Selesaikan Rintihan Nelayan
Kerajaan Kaji Tindakan Terbaik Selesaikan Rintihan Nelayan
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Kerajaan sedang mengkaji tindakan terbaik bagi menyelesaikan rintihan nelayan tidak berlesen yang menyulitkan mereka mencari rezeki. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, masalah timbul di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana golongan tersebut gagal menunjukkan dokumen pengenalan nelayan ketika melalui sekatan jalan raya. "Dalam perbincangan bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat COVID-19 pagi tadi (semalam), saya telah membawakan suara para nelayan yang belum mempunyai lesen tetapi mereka adalah nelayan tulen dengan turun ke laut sebagai sumber rezeki utama. "Kerja mereka dikategorikan sebagai perikanan rekreasi yang tak dibenarkan sepanjang PKP. Memang mereka tak ada dokumen pengenalan sebagai seorang nelayan walaupun sebenarnya mereka seorang nelayan sejati," katanya dalam satu kenyataan semalam. Menurut Dr Azman, definisi perikanan rekreasi perlu diperhalusi dalam konteks negeri Terengganu di masa akan datang. "Isu kenapa mereka tak mempunyai lesen sedang ditangani sebaiknya yang insya-Allah telah menghampiri titik penyelesaian. Hanya PKP yang menghalang kita menyelesaikan proses akhir agihan lesen nelayan sampan. "Alhamdulillah, respon daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sangat positif untuk menyelesaikan isu ini segera sebaiknya," tambah beliau.
02 Feb 21
348
Sasar Bantu 100 Pelajar Miliki Telefon Pintar Mudahkan PdPR
Sasar Bantu 100 Pelajar Miliki Telefon Pintar Mudahkan PdPR
MARANG, 2 Februari - Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Marang menyasarkan 100 pelajar kurang berkemampuan memiliki kemudahan peranti mudah alih atau telefon pintar sendiri agar sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara atas talian berjalan lancar. Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata, selain itu menerusi Program Cakna Didik Marang Hebak itu juga, pihaknya akan mendapatkan sumbangan bagi 1,000 lagi pelajar bagi bantuan kewangan untuk pembelian tambah nilai internet. “Program ini bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan, mempunyai bilangan anak yang ramai serta ibu bapa yang bekerja dan keperluan kepada telefon serta keperluan kos tambah nilai internet untuk pelajar mengikuti pembelajaran secara atas talian. “Kita sasarkan dapat bantu 100 pelajar miliki telefon pintar menjelang akhir bulan ini dan 1,000 pelajar akan dapat manfaat bantuan kewangan secara tunai bagi pembelian data atau tambah nilai secara berperingkat,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 10 unit telefon pintar hasil sumbangan pelbagai pihak kepada Pejabat Pendidikan Daerah Marang untuk diagihkan kepada pelajar yang layak di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Sulaiman Sulong. Katanya, program tersebut telah mendapat perhatian pelbagai pihak yang ingin turut sama membantu dengan dana permulaan yang diterima sebanyak RM5,000 untuk perolehan 10 unit telefon pintar dan simkad serta bantuan kewangan bagi pembelian tambah nilai internet. “Sumbangan awal diterima melalui Syarikat Marang Coara Sdn Bhd dan beberapa penyumbang individu, dimana seorang penyumbang boleh membantu seorang pelajar dengan kadar RM250 satu peranti mudah alih dan RM20 untuk pembelian data. “Justeru pihak kami sangat mengalu-alukan lebih ramai pihak untuk tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu pelajar menghadapi cabaran PdPR di kala kita semua diuji dengan pandemik COVID-19,” ujarnya.  
02 Feb 21
354
13 Pusat Penilaian COVID-19 Lancarkan Pengurusan Pesakit Di Terengganu
13 Pusat Penilaian COVID-19 Lancarkan Pengurusan Pesakit Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Kewujudan 13 Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Terengganu sejak 22 Januari lalu berjaya melancarkan proses penguruskan pesakit pandemik berkenaan yang menjalani rawatan di rumah. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, CAC berperanan untuk menilai pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 yang memenuhi kriteria untuk pengasingan di rumah (home isolation). "Prosesnya melibatkan stratifikasi risiko, saringan fizikal dan penilaian kesesuaian rumah sebelum layak dipertimbangkan untuk perawatan dan pengasingan di rumah. "Sehingga 31 Januari 2021, bilangan kes COVID-19 kategori 1 dan 2 di seluruh negeri Terengganu yang layak menjalani pemantauan di rumah melalui penilaian CAC adalah sebanyak 72 kes (jumlah kumulatif) dengan 50 kes masih aktif,” jelasnya seperti yang dipetik dalam laman facebook rasminya, semalam. Terdahulu beliau melawat sebuah CAC di Klinik Kesihatan (KK) Chendering, Kuala Terengganu selepas lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan COVID-19 ke Terengganu di Wisma Darul Iman. Hadir sama, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus. Mengulas mengenai CAC di Chendering itu, Dr Noor Hisham berkata ia berada di bawah Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu. "CAC KK Chendering memberi liputan untuk kawasan Kuala Terengganu Tengah dan Selatan. Manakala KK Manir memberi liputan untuk Kuala Terengganu Utara. "Syabas dan tahniah kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri yang telah berjaya memulakan operasi CAC dalam masa yang singkat. "Semoga melalui pelaksanaan CAC ini, penilaian risiko dan koordinasi pengasingan dan perawatan pesakit COVID-19 dapat dilaksanakan dengan lebih lancar," katanya. Infografik CAC di Terengganu  
02 Feb 21
4754
Penularan COVID-19 Di Terengganu Terkawal
Penularan COVID-19 Di Terengganu Terkawal
KUALA TERENGGANU, 1 Februari – Penularan COVID-19 di Terengganu masih terkawal walaupun mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian yang tinggi sejak minggu lepas. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pergerakan rentas negeri bermula pada 7 Disember lalu menjadi punca kes di negeri ini menaik secara mendadak. “Walaupun kes meningkat tetapi kes masih terkawal.  “Namun begitu, kita akan meningkatkan aktiviti kesihatan awam di Terengganu dengan memantapkan perkhidmatan di hospital bagi mengekang penularan wabak ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan COVID-19 ke Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus. Untuk rekod, Terengganu mencatatkan 38 kes positif baharu dan 74 kes sembuh setakat jam 12.00 tengah hari, hari ini. Dr Noor Hisham. Mengulas tentang penularan pandemik berkenaan ke atas kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Noor Hisham memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dalam proses melakukan sanitasi di hospital tersebut. “KKM juga akan memberikan sokongan kepada petugas kesihatan bagi meningkatkan kembali semangat mereka dalam memberikan bakti dan khidmat kepada masyarakat,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Malaysia akan menerima bekalan pertama vaksin COVID-19 pada 26 Februari ini. Jelas Dr Noor Hisham, proses pengagihan vaksin itu ke negeri-negeri bagi Program Imunisasi Kebangsaan dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu selepas bekalan tersebut tiba. “Jangkaan kita pada 26 Februari sampai di pintu masuk antarabangsa Malaysia, kemudian kita akan agihkan kepada semua dan mungkin dalam tempoh seminggu dua,” tambah beliau.  
01 Feb 21
2253
TSG Terbang Ke Turki Esok
TSG Terbang Ke Turki Esok
KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Terengganu Cycling Team (TSG) kini dalam fasa akhir persiapan sebelum pasukan itu berlepas ke Turki, esok. Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood menjelaskan, hanya empat pelumba tempatan yang akan menyertai sesi latihan di Turki iaitu Mohd Harrif Saleh, Irwandie Lakasek, Mohammad Nur Aiman Mohd Zariff dan Wan Abdul Rahman Hamdan. "Sebelum ini, kita maklumkan semua rider akan turut serta, tetapi barisan kejurulatihan telah memutuskan bahawa seramai empat pelumba tempatan sahaja akan berlatih di sana. Manakala, kelima-lima pelumba import akan terlibat dalam sesi tersebut. Ini adalah keputusan pihak kejurulatihan dan antara sebabnya mungkin akibat penundaan  perlumbaan Tour du Rwanda yang dijadualkan pada 21 Februari ini ke bulan Mei. "Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu TSG dalam proses untuk ke Turki terutamanya Kerajaan Terengganu, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan paling utama, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana membenarkan kita untuk menjalani latihan seterusnya memungut sebanyak mana mata yang boleh sekali gus mempersiapkan atlet untuk Sukan SEA dan Sukan Olimpik 2021," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabat TSG, di sini hari ini. Jelasnya lagi, sepanjang sebulan di sana, pasukan TSG akan turut menyertai enam perlumbaan dalam usaha mencapai sasaran yang ditetapkan walaupun berdepan kekangan pandemik Covid-19 buat masa ini. Bagi pelumba yang berlatih dalam negara pula, TSG memaklumkan latihan tetap diteruskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan MKN.  "Oleh kerana situasi masa ini, kita juga telah mendapatkan kebenaran PDRM untuk menjalankan latihan berbasikal melebihi jarak 10KM daripada yang ditetapkan dan Alhamdulillah telah diluluskan, saya juga mengucapkan terima kasih kerana memahami situasi TSG. "Tahun 2020, kita dapat menyertai beberapa kejohanan sahaja. Jadi tahun ini, kita akan cuba yang terbaik untuk memuaskan hati semua pihak," katanya. Menurut Che Ku Izmuddin, TSG ingin membuktikan kemampuan pasukan sebagaimana tahun 2019 lalu apabila berjaya berada di kedudukan pertama UCI Tour dan menjadi satu-satunya pasukan Malaysia yang berada dalam ranking dunia di kedudukan ke-28. Namun, masih ada kekangan yang perlu diatasi terutama dalam pandemik ini kerana ia bukan sahaja melibatkan kesihatan awam tetapi terkesan juga pada ekonomi. "Buat masa ini, seluruh pasukan TSG bersih dari jangkitan covid-19. Kami sentiasa meminta kakitangan dan pengurusan mengamalkan SOP secara konsisten. Tambahan pula, pada peringkat dunia juga mengikut SOP yang sama," katanya.      
01 Feb 21
1646
248 Notis Dikeluarkan Sepanjang Ops Catut 8.0
248 Notis Dikeluarkan Sepanjang Ops Catut 8.0
HULU TERENGGANU, 1 Februari -  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan  248 notis kepada peniaga peranti elektronik di seluruh negara berhubung harga jualan dan kos barang yag dijual mereka. Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata kesemua notis tersebut dikeluarkan oleh pihak KPDNHEP ketika Ops Catut 8.0 dijalankan sejak 25 Januari sehingga 8 Februari ini bagi menilai sama ada berlakunya elemen percatutan ataupun tidak. Katanya, ia bagi memantau harga jualan komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak, telefon bimbit dan alat komunikasi terutama perkakasan internet. "Sebelum ini, pihak kami dah keluarkan sebanyak 130 notis ketika melakukan pemantauan di premis-premis yang berkaitan dan  hari ini jumlah tersebut telah meningkat kepada 248 notis. "Peniaga yang menerima notis ini diberi tempoh dua hari untuk mengemukakan maklum balas dan maklumat secara terperinci pemborong dan peruncit untuk mengistiharkan harga barang yang mereka beli daripada sumber asal. “Daripada situ kita dapat nilai sama ada berlakunya elemen percatutan ataupun tidak. "Kita ingin elakkan manipulasi harga peranti elektronik oleh peniaga susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke program Prihatin Mart di Dataran Kuala Telemong, hari ini. Tambahnya, notis itu dikeluarkan kepada peniaga mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011. Justeru itu, orang ramai yang membuat pembelian barangan elektronik dan aksesori komputer menyimpan resit pembelian dan membuat laporan kepada pihak KPDNHEP sekiranya berlaku peningkatan harga yang tidak munasabah untuk tindakan susulan.    
01 Feb 21
351