lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Prihatin Mart Kurangkan Kos Hidup Rakyat
Prihatin Mart Kurangkan Kos Hidup Rakyat
HULU TERENGGANU, 1 Februari - Kerajaan pusat dengan inisiatif Ahli Parlimen Hulu Terengganu memperkenalkan  projek untuk komuniti, Prihatin Mart di saat ekonomi negara serba mencabar lantaran pandemik COVID-19. Ahli Parlimennya, Dato' Rosol Wahid berkata, langkah tersebut yang menggunakan kaedah kedai runcit bergerak menjual barangan keperluan asas pada harga borong dengan potongan 30 peratus. Katanya, Prihatin Mart memuatkan 91 barangan runcit dan bernilai sehingga RM15,000 akan bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi mengikut jadual ditetapkan. "Saya rasakan ini adalah perkara penting kepada masyarakat terutama yang terkesan dengan wabak ini  kerana diberhentikan kerja, kerja berkurangan, bekerja dari rumah dan sebagainya yang menyebabkan pendapatan mereka berkurangan. "Prihatin Mart menawarkan pelbagai barangan makanan asas seperti gula, beras, minyak masak, dan banyak lagi pada harga patut yang lebih murah dan kompetitif ke arah menangani kos sara hidup rakyat. "Jadi saya memberikan inisiatif dengan memberikan 30 peratus diskaun supaya semua orang yang ada sedikit kemampuan boleh beli," ujarnya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke jualan perintis Prihatin Mart di Dataran Kuala Telemong, hari ini.  Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata usaha itu akan diperluaskan ke seluruh negara  secara berperingkat untuk menjamin kepentingan dan kesejahteraan hidup rakyat. Sementara itu, seorang penduduk, Zairah Hassan, 67, berkata, program tersebut amat bermakna dan sangat membantu masyarakat setempat. Katanya, dengan harga yang sangat murah dijual di kedai bergerak ini, pastinya orang ramai akan menunggu setiap kali jualan di kedai bergerak ini. "Mak cik baru tahu pagi pasal jualan ni dan rancang nak jalan-jalan sahaja, akan tetapi bila tengok harga yang murah daripada asal, terus beli. "Biasa minyak masak 5 kilogram kat kedai RM26 hingga RM27 sebotol, hari ni mak cik dapat beli dengan harga tak sampai RM19..memang berbaloi sangat terutama keadaan ekonomi sekarang ni,"ujarnya
01 Feb 21
840
25 Jururawat UniSZA Sertai Misi Sukarelawan Bantuan KKM
25 Jururawat UniSZA Sertai Misi Sukarelawan Bantuan KKM
KUALA NERUS, 1 Februari - Seramai 25 sukarelawan jururawat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menyertai Misi Bantuan COVID-19 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masa terdekat. Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, daripada jumlah itu, seramai 12 sukarelawan ditempatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering. "Manakala 7 orang ditempatkan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dan baki seramai 6 orang sukarelawan jururawat UniSZA akan bertolak ke Pusat Kuarantin Malaysia di Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada hari ini dan dijangka akan melaporkan diri pada hari esok bagi menjayakan misi bantuan tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Semalam, Dr. Hassan mengadakan satu sesi taklimat bersama sukarelawan-sukarelawan terlibat di Bangunan Canselori UniSZA sebelum mereka memulakan misi masing-masing. "Semoga sukarelawan jururawat UniSZA yang terlibat dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan sentiasa dilindungi daripada jangkitan virus Covid-19," jelasnya. Untuk rekod, UniSZA telah melaksanakan beberapa inisitif seperti menubuhkan pasukan khas 'Pasukan Covid Buster UniSZA 'dalam usaha membendung penularan COVID-19. Selain itu, UniSZA melalui ahli Fakulti Farmasi dan Pusat Pengurusan Makmal Berpusat (CLMC) turut menghasilkan formulasi cecair disinfeksi sendiri.   
01 Feb 21
445
Sambutan Terengganu Hijab Day Dengan Norma Baharu
Sambutan Terengganu Hijab Day Dengan Norma Baharu
Foto: 3N Nisa' Terengganu KUALA TERENGGANU, 31 Januari – Sambutan Terengganu Hijab Day (THD) akan diteruskan penganjurannya buat tahun ketiga meski pun berada dalam keadaan norma baharu. Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Wanita Nur Insani (Nisa’) Negeri Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata, objektif utama penganjuran ialah untuk menyedarkan masyarakat tentang kewajiban menutup aurat dengan sempurna. “Selain itu, kita juga nak menggalakkan masyarakat khususnya kaum wanita Islam untuk bertudung dengan lebih sempurna mengikut syariat Islam, di samping untuk menyatakan sokongan terhadap kempen World Hijab Day serta menyedarkan masyarakat mengenai kempen tersebut. “Oleh kerana dunia sedang berdepan dengan wabak sekarang ini, kami tambahkan satu lagi objekti baharu iaitu menggalakkan generasi muda untuk menjalankan aktiviti dakwah jalanan kepada masyarakat umum walaupun secara norma baru," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini. THD merupakan program sambutan tahunan pada 1 Februari anjuran Nisa’ Negeri Terengganu dengan kerja sama Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Wanita (ADUN) Terengganu, selain badan bukan kerajaan (NGO) wanita iaitu Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES). Menurut Sakinah lagi, THD dianjurkan bermula 2019 dan kali ini merupakan tahun ketiga penganjuran dan akan diteruskan dengan metod secara atas talian sesuai dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Insya-Allah kita akan lancarkan kempen bermula esok (1 Februari 2021) dan akan berlangsung selama sebulan, kemuncaknya pada 13 dan 15 Februari 2021 ini. “Antara program yang dirancang ialah pertandingan ‘selfie and wefie’ (swafoto) dan video pendek, ‘live sharing with influencer’ (perkongsian secara atas talian bersama pesohor) serta video-video berkaitan hijab daripada wanita. “Paling istimewa, kita akan bawakan selebriti dan ‘insta-famous’ (pesohor Instagram) dalam sesi perkongsian atas talian kita, kalau nak tahu siapa, kena ikuti hebahan di halaman rasmi Nisa’ Terengganu," ujarnya lagi. Justeru itu, wanita di negeri ini diseru untuk sama-sama mengambil bahagian dalam gelombang THD ini menyertakan tanda pagar Terengganu Hijab Day, Sempurnakan Auratmu dan End Hijabophobia di media sosial masing-masing. Beliau juga mengingatkan bahawa ujian pandemik ini mengajar umat untuk kembali kepada tuhan dan manfaatkan peluang ini sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Gelombang sambutan THD 2020.  
31 Jan 21
1260
PKP 2.0 : Lebih 600 Kit Makanan Telah Diagih
PKP 2.0 : Lebih 600 Kit Makanan Telah Diagih
Foto: Media HANEES KUALA TERENGGANU, 31 Januari – Sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0), lebih 600 kit makanan telah diagihkan kepada rakyat Terengganu yang dikenakan arahan kuarantin. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, Zuraida Md Noor berkata kit makanan tersebut diagihkan secara berperingkat meliputi pesakit yang dikuarantin di pusat kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau yang menjalani arahan kuarantin wajib di kediaman masing-masing. Zuraida mengangkut kit makanan untuk diagihkan. Menurutnya lagi, di samping kit makanan, beberapa makanan asasi seperti beras, minyak dan lain-lain keperluan asas turut diagihkan kepada keluarga yang teruk terjejas kerana arahan kuarantin. “Ada dalam kalangan rakyat kita yang bekerja dengan gaji harian, jadi bila tidak dapat keluar bekerja kerana mematuhi arahan kuarantin, mereka terputus sumber pendapatan untuk membeli makanan asas, maka kita bantu mereka dengan menghantar bantuan sebegini. “Beberapa tempat yang telah kami agihkan ialah di Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 berisiko rendah di Kolej Kejururawatan, Kuala Terengganu dan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Marang, selain pusat kuarantin di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail (IPG), Batu Rakit. “Bantuan kit makanan ini juga turut dihantar ke Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah (MTT) Darul Iman, Kuala Terengganu dan juga ke kediaman-kediaman penduduk yang dikuarantin, " ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Zuraida turut melahirkan rasa simpati kepada mereka yang telah dijangkiti virus Covid-19 dan mendoakan mereka agar diberi kekuatan dan kesembuhan. “Saya berharap agar rakyat dapat menghadapi ujian wabak ni dengan positif, insya-Allah yakinlah bahawa Allah sentiasa ada untuk membantu kita. “Sebenarnya apa yang saya sedang lakukan ini adalah sebahagian daripada cara untuk memberi sokongan fizikal dan mental kepada mereka agar mereka terus kuat. “Saya juga menyeru kepada masyarakat yang berkemampuan untuk sama-sama menyumbang kepada Tabung Cakna Covid-19, sebagai bukti kebersamaan kita untuk melawan virus ini,"tambahnya lagi. Beliau yang juga merupakan penaung Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) telah mengembleng usaha bersama-sama beberapa pertubuhan yang lain untuk membantu rakyat yang terjejas. Agihan kit makanan kepada guru MTT.  
31 Jan 21
261
Pasang Jeriji Demi Keselamatan Mak Ngah
Pasang Jeriji Demi Keselamatan Mak Ngah
MARANG, 31 Januari - Demi keselamatan seorang warga emas, Fatimah Puteh yang tinggal seorang diri, usaha memasang jeriji telah dilakukan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), di Kampung Kelulut, di sini. Sebelum ini, Fatimah atau lebih dikenali Mak Ngah, 67, pernah mengadu kepada pihak JPKK Kelulut, bahawa ada cubaan memecah masuk ke dalam rumahnya melalui tingkap dapur yang dicungkil oleh pencuri. "Alhamdulillah, dengan memasang jeriji di setiap tingkap rumah ini, saya rasa lebih selamat apabila tinggal di rumah ini lebih-lebih lagi dengan keadaan seorang diri. "Terima kasih diucapkan kepada pihak JPKK yang sudi datang membantu," katanya yang juga berstatus ibu tunggal. Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah berbincang dengan JPKK untuk memasang jeriji bagi menjaga keselamatan Mak Ngah. "Pihak PKM juga telah bersetuju untuk menanggung segala kos pemasangan, katannya ketika hadir meninjau keadaan Mak Ngah bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang. "Sebelum ini, kita jarang mendapat aduan seperti ini, tetapi kita mengambil perhatian serius atas permintaan bantuan daripada setiap golongan masyarakat mengikut keutamaan. "Dalam makluman saya, bantuan berbentuk seperti ini adalah pertama kali disalurkan, tetapi jika diteliti adalah sangat penting bagi mengelakkan cubaan pecah masuk rumah berlaku selepas ini. "Kita juga harap Mak Ngah dapat menjaga keselamatannya walaupun tinggal seorang diri, di samping boleh mendapatkan bantuan daripada JPKK sekiranya berlaku kecemasan atau perkara tidak diingini." Menurutnya lagi, selain daripada bantuan jeriji tersebut, beliau juga membawa agensi JKM untuk menyerahkan bantuan keperluan asas di samping menyalurkan bantuan seperti bantuan am warga emas.
31 Jan 21
541
PKM Batu Buruk Bina Rumah Baharu Untuk Mangsa Kebakaran
PKM Batu Buruk Bina Rumah Baharu Untuk Mangsa Kebakaran
KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk mengambil inisiatif untuk membina sebuah Rumah Mampu Milik (RMM) kepada mangsa kebakaran di Kampung Kuala Ibai Pantai, Disember lalu. ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menjelaskan pembinaan rumah tersebut adalah bagi membantu meringankan bebanan kerugian yang ditanggung oleh mangsa.  "Insya-Allah menurut kontraktor, rumah ini dijangka akan siap sebelum tiba bulan Ramadan. "Apabila berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 4 Februari nanti, kerja-kerja pembersihan tapak akan dimulakan dan proses pembinaan rumah mangsa akan terus dijalankan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, baru-baru ini. Tragedi kebakaran di rumah mangsa, Hasnah Yahya berlaku pada 26 Disember lalu akibat litar pintas. Keadaan rumah mangsa selepas tragedi kebakaran Terdahulu, agensi-agensi kebajikan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu telah hadir bagi menyampaikan sumbangan secara 'one off'.    
31 Jan 21
331
COVID-19 : SMK Bukit Besar Ditutup 14 Hari
COVID-19 : SMK Bukit Besar Ditutup 14 Hari
KUALA TERENGGANU, 30 Januari – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berikutan penularan pandemik Covid-19. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sekolah berkenaan ditutup selama 14 hari bermula Khamis lalu bagi pelaksanaan kawalan perebakan penyakit berjangkit. Katanya, penutupan dilakukan setelah seorang guru dan pelajar sekolah itu telah disahkan dijangkiti Covid-19. "Penutupan sekolah itu dilakukan mengikut Seksyen 18 (1), (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 (Akta 342). "Kerja-kerja pembasmian kuman perlu dilakukan sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sementara itu, proses sanitasi dan ujian saringan Covid-19 terhadap calon SPM dan guru telah  dilakukan.  Semua calon SPM yang tinggal di asrama serta guru turut dipakaikan gelang kuarantin dan diarahkan tidak keluar daripada kawasan sekolah dalam tempoh ditetapkan. Untuk rekod, sehingga kini, 16 sekolah yang kebanyakannya terletak di bandar raya ini telah diarahkan ditutup oleh Jabatan Kesihatan negeri berikutan penularan Covid-19 sejak 22 Januari lalu.
30 Jan 21
1765
Elak Kluster Tempat Kerja, TDM Saring 1,376 Pekerja
Elak Kluster Tempat Kerja, TDM Saring 1,376 Pekerja
KUALA TERENGGANU, 30 Januari – Bagi mengelakkan munculnya kluster tempat kerja, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu, TDM Berhad melakukan saringan ke atas 1,376 pekerja asing syarikat terbabit. Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, ia penting bagi menjaga keselamatan tenaga kerja syarikat di samping melindungi kelangsungan operasi perniagaan. “Peka dengan perkembangan semasa COVID-19, TDM Plantation, bahagian Perladangan TDM Berhad, dengan kerjasama Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTSH) baru-baru ini menjalankan saringan COVID-19 bagi pekerja-pekerja asing dari semua ladang kelapa sawit syarikat di Terengganu.  “Ujian sarıngan yang dijalankan melalui kaedah Rapid Test Kit (RTK) Antigen dan Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) tersebut memakan masa 10 hari. “Ia melibatkan sejumlah 1,376 pekerja asing dari 13 ladang kelapa sawit syarikat di Sungai Tong, Bukit Besi dan Kemaman,” katanya Ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Jelas Najman lagi, langkah tersebut adalah salah satu komitmen berterusan TDM bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pekerja, dan mengelakkan risiko penyebaran COVID-19 di tempat kerja.  “Sejak awal pandemik COVID-19, TDM telah berganding bahu bersama bahagian penjagaan kesihatannya, KMI Healthcare dalam melaksanakan prosedur yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti pengimbasan suhu, penyediaan cecair sanitasi tangan dan pembersihan menyeluruh ruangan kerja. “Amalan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka juga ditekankan terutamanya dalam bangunan tempat kerja di mana pekerja banyak berinteraksi bagi menjalankan tugasan harian,” tambah beliau.
30 Jan 21
1385
COVID-19:48 Petugas Kesihatan HSNZ Positif
COVID-19:48 Petugas Kesihatan HSNZ Positif
KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan terdapat 48 orang petugas kesihatan yang telah dijangkiti COVID-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata,  mereka yang positif telah diasingkan dan diberi rawatan. "Manakala siasatan untuk mengenalpasti punca jangkitan sedang dijalankan dan kontak rapat bagi kes telah disaring dan diasingkan," katanya dalam satu kenyataan. Namun begitu, Dr Nor Azimi menegaskan, pengurusan rawatan pesakit di HSNZ masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal. Tambahnya, Perkhidmatan rawatan rapi (ICU), Dewan Bedah dan perkhidmatan kecemasan masih berjalan. "Namun bagi mengurangkan gangguan pada perkhidmatan sedia ada, rawatan kes-kes ringan di Jabatan Kecemasan & Trauma HSNZ ditutup sementara bermula 29 Januari 2021. "Pihak JKN Terengganu menasihati orang awam yang ingin mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan (Green Zone) masih boleh mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan di Jabatan Pesakit Luar, HSNZ atau klinik-klinik kesihatan yang berdekatan,"ujarnya lagi. Sementara itu, beliau turut menasihati orang awam agar diminta untuk tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.  
30 Jan 21
5680
Enam Masjid Ditutup Untuk Proses Sanitasi
Enam Masjid Ditutup Untuk Proses Sanitasi
KUALA TERENGGANU, 29 Januari- Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan kerajaan Jumaat lalu, sebanyak enam masjid di negeri ini terpaksa ditutup untuk proses sanitasi.  Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M Rozi Bidin berkata, penutupan masjid antara tiga dan lima hari itu hanya untuk disanitasi susulan rumah ibadat itu dikunjungi jemaah disyaki kontak rapat kepada individu dijangkiti virus COVID-19. Katanya, bagi mengelakkan lebih banyak masjid ditutup untuk disanitasi, masyarakat digesa terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Jelasnya, arahan mengehadkan jumlah jemaah ke masjid untuk solat Jumaat dan surau antara kaedah terpaksa dilakukan bagi mengelak penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan komuniti. "Tindakan mengehadkan jumlah jemaah untuk menunaikan solat jumaat dan solat fardhu di semua surau bukan bertujuan menghalang mereka ke masjid dan surau, sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan berlakunya kluster masjid. "Kita dimaklumkan, jumlah jangkitan tempatan COVID-19, sejak pelaksanaan PKP 2.0 dikuatkuasakan kerajaan adalah berjumlah 480 kes. "Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dimaklumkan sejak berlakunya penularan pandemik COVID-19, kalangan tempatan, enam masjid diarahkan untuk proses sanitasi," katanya. M Rozi berkata demikian ketika menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM50,000 kepada petugas barisan hadapan kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini. Penyampaian replika cek daripada MAIDAM itu disampaikan kepada Pengarah HSNZ, Dr Amizan Mohamed. M Rozi berkata, masyarakat Islam di negeri ini digesa supaya mengutamakan pemantuhan SOP untuk bersama membantu kerajaan memutuskan rantaian jangkitan dan menghalang perebakan COVID-19 dalam komuniti.
29 Jan 21
1545