Artikel "Utama" Terkini
Kerajaan Negeri Alukan NGO Jalankan Kebajikan
SETIU, 7 Februari – Kerajaan Negeri Terengganu amat terbuka malah mengalu-alukan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin terlibat dalam aktiviti kebajikan dan dakwah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, berlumba-lumba melakukan kebaikan sama ada oleh individu, NGO dan kerajaan amat digalakkan dalam Islam.
"Bidang ini terlalu luas dan golongan sasar kita sangat ramai. Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua aktivis-aktivis NGO yang aktif membantu rakyat. Jasa dan sumbangan dihargai.
"Walaupun begitu, tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan tidaklah serupa dengan tanggungjawab NGO kerana di samping menyantuni rakyat di lapangan, kerajaan juga perlu fokus kepada usaha untuk merangka dasar yang baik.
"Selain itu, kerajaan perlu menumpukan kerja-kerja urus tadbir negeri, memastikan semua jentera kerajaan berjalan dengan baik dan seterusnya perlaksanaan dasar-dasar kerajaan sampai kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mala katanya lagi, kerajaan juga perlu melaksanakan agenda dan program yang mungkin tidak dilihat oleh rakyat pada hari ini tetapi hasilnya memanfaatkan mereka dalam tempoh jangka masa lebih panjang,
"Kalau ada sesuatu masalah atau isu yang timbul, kita turun untuk selesaikan. Pendekatan ini sangat penting tapi sebagai kerajaan terutamanya kita harus memikir jauh lebih jauh daripada itu,
"Begitu juga penyaluran wang kerajaan ada tatacara kewangan yang perlu dipatuhi. Ia tak semudah a, b, c sebagaimana kita nak salurkan dana daripada NGO," jelasnya lagi.
Menurut Dr Azman, sebelum menjadi anggota kerajaan beliau juga pernah menjadi aktivis NGO.
"Bukan setakat dalam negara bahkan aktiviti kebajikan kita sampai ke Mindanao, Palestin, Sudan, Indonesia, India dan perbatasan Jordan-Syria. Lantaran kerana latar belakang ini membolehkan kita merasai pengalaman dan cabaran berbeza dengan matlamat yang sama iaitu nak menyumbang bakti kepada sesama hamba Allah," tambahnya.
07 Feb 21
150
Ambil Ujian RBPT Sebelum Pindahkan Ternakan
SETIU, 7 Februari - Pemilik haiwan disaran melakukan pengambilan sampel darah ternakan untuk ujian ‘Rose Bengal Plate Test (RBPT) sebelum memindahkan ternakan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemindahan ternakan dalam Terengganu termaktub dengan perundangan Warta Kerajaan Negeri Terengganu T.r.P.U 10 dan T.r.P.U 4 iaitu Perintah Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut dan Hawar Berdarah (HS) yang berkuatkuasa sejak tahun 2006.
"Perintah ini dibuat di bawah Seksyen 36 Akta Binatang 1953. Sebelum sesuatu peraturan dikuatkuasakan, ruang perbincangan telah dan akan terus dibuka seluasnya untuk mewujudkan situasi menang-menang. Peranan kerajaan ialah untuk menjaga kepentingan semua pihak.’
"Selain daripada untuk menjamin daging ternakan yang disembelih selamat dimakan oleh manusia, ternakan yang akan dipindahkan juga perlu dipastikan sihat agar tidak berlaku pembawaan wabak penyakit seperti FMD, Brucellosis dan Hawar Berdarah ke kawasan lain ekoran pemindahan yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Dr Azman, beliau menerima banyak sungutan dan bantahan daripada penternak serta pemborong haiwan ternakan berkaitan cadangan untuk menguatkuasakan pengambilan sampel darah ternakan.
Katanya, kerajaan negeri telah dipersalahkan kerana kononnya telah mewujudkan 'budaya' baru yang menyusahkan penternak sedangkan peraturan tersebut telah ada sebelum ini.
"Peraturan ini sebenarnya sudah lama wujud. Dalam konteks Terengganu, pengambilan sampel darah bagi ujian RBPT tidak dipraktikkan dalam kes pemindahan antara daerah dalam negeri tapi telah dikuatkuasakan untuk pemindahan ternakan antara negeri. Negeri-negeri lain sudah lama menguatkuasakan ujian RBPT bagi pemindahan ternakan antara daerah.
"‘Brucellosis’ adalah penyakit zoonosis iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia. Kerana itu adalah sangat mustahak untuk memastikan bahawa haiwan ternakan yang dipelihara dan disembelih bebas dari Brucellosis melalui pengambilan sampel darah untuk ujian RBPT,’’ Jelasnya lagi.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang mengkaji daripada pelbagai aspek untuk menguatkuasakan ‘Standard Operating Procedur’ (SOP) bagi ujian RBPT terbabit.
"Kajian dijalankan dengan mengambil kira semua kepentingan samada penternak dan rakyat sebagai pengguna. Setakat ini ia belum dikuatkuasakan lagi,
"Untuk info, ujian sampel darah RBPT ini adalah percuma, boleh dibuat di lapangan dengan keputusan serta merta," katanya
07 Feb 21
232
Duyung Marina Jual Nasi Bajet Demi Pekerja, Kelangsungan Operasi
KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Demi kelangsungan operasi dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mendorong Duyung Marina & Resort (DMR) mengambil inisiatif membuka gerai hidangan nasi bajet berharga RM3 di tepi jalan berhampiran Jambatan Sultan Mahmud.
Pengurus Besarnya, Wan Mohd. Faizul Wan Abas berkata, ia dirancang secara proaktif supaya tidak mengharapkan sumber pendapatan teras sedia ada sahaja dan dalam masa yang sama menaikkan semula semangat 156 kakitangan hotel tersebut.
Katanya, cetusan idea ini adalah hasil perbincangan dengan chef dan strategi membuka gerai nasi bajet menjadi bukti pihak majikan tidak hanya berpeluk tubuh dalam berdepan dengan situasi ekonomi penuh mencabar akibat pandemik Covid-19.
"Setiap hari gerai kami akan beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 3 petang di Jambatan Sultan Mahmud di sini dengan menawarkan pelbagai menu menarik seperti ayam goreng berempah, gulai ayam, gulai lemak ikan masin nenas, sambal ikan tenggiri limau, sambal telur dan sayur goreng.
“Pada hari pertama beroperasi kelmarin (Khamis) kita hanya menyediakan hidangan untuk 80 orang sahaja tetapi sambutan yang di luar jangkaan mendorong kita menggandakan kuantiti makanan kepada 300 orang pada hari ketiga hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mempromosikan jualan nasi bajet tersebut.
Jelasnya lagi, tindakan DMR menjual nasi bajet tidak bermaksud mahu mengganggu punca pendapatan peniaga-peniaga lain.
"Ini merupakan salah satu usaha DMR untuk melakukan kebajikan kepada golongan B40 menerusi jualan makanan pada harga murah sekaligus pada masa yang sama membuka ruang sumber pendapatan baru bagi DMR.
"Keuntungan daripada jualan nasi bajet ini tidak sampai 10 peratus kepada perniagaan teras DMR tetapi sekurang-kurangnya kita dapat membawa keceriaan dan semangat kepada pekerja,” katanya.
Tambah Wan Mohd Faizol, DMR juga membuat promosi untuk bilik, iaitu pakej pada harga serendah RM280 untuk tiga hari dua malam.
"Beli satu pakej percuma satu pakej. Promosi ini akan tamat pada 18 Februari tidak lama lagi," katanya.
06 Feb 21
2801
Terengganu Sokong Pembukaan Sektor Sukan, Laung Komitmen Patuhi SOP
KUALA NERUS, 6 Februari- Kerajaan Terengganu menyokong penuh dan menyambut baik usaha yang dilakukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, yang telah membentangkan permohonan kelonggaran bagi sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berharap, cadangan tersebut diteliti sebaik mungkin Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
"Kita telah biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) dan malan norma baharu ini hampir setahun. Kita telah melalui fasa-fasa kedegilan dam semua telah tahu akibat yang berlaku jika tidak patuh SOP dari sudut jangkitan serta kita tidak akan dapat beraksi.
"Pengajaran sebelum ini sudah cukup memberikan sesuatu sebab yang kuat untuk kita patuhi SOP, katanya.
Beliau berkata demikian ketika di sidang media di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), hari ini.
Jelasnya, kelonggaran itu perlu memandangkan kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) akan berlangsung tidak sampai setahun lagi.
"Di sini sekarang ini, paling dekat adalah Sukan Terengganu (SUTERA) yang akan diadakan Oktober ini dan kita cuma ada masa dalam sembilan bulan untuk atlet di semua daerah melakukan persiapan.
"Kita juga di MSNT sangat perlu kepada kelonggaran ini kerana SUKMA untuk memastikan atlet kita dapat latihan yang maksimum. Ini termasuk antara sebab kita berikan sokongan atas cadangan ini," katanya.
Wan Sukairi turut menyokong penuh pelaksanaan SOP norma baharu dalam setiap latihan dan penganjuran kejohanan sukan yang akan diadakan.
"Sebab itu, antara yang dimohon ialah supaya diberikan garis panduan tertentu apa yang dibenarkan serta apa yang tidak dibenarkan. Bagi penggiat sukan, kita memberikan komitmen bukan sahaja untuk membiasakan tetapi untuk bersungguh-sungguh mengikuti apa sahaja SOP yang diberikan nanti kerana kita telah ambil pengajaran akibat pelanggaran SOP itu selama hampir setahun melaluinya," jelasnya.
Terdahulu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah membentangkan kepada Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi permohonan kelonggaran pembukaan sektor sukan dan rekreasi sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
06 Feb 21
1268
Lima Pemilik Premis Perniagaan Dikompaun RM1,000
KUALA TERENGGANU, 4 Februari- Lima pemilik premis melibatkan tiga kedai menjual telefon, karpet (1) dan pemborong (1) dikenakan tindakan kompaun RM1,000 seorang oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu selepas didapati gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, tiga kompaun dikeluarkan di daerah Kemaman manakala dua lagi di Kuala Terengganu.
Katanya, kesemua pemilik perniagaan tersebut dikompaun kerana melanggar PKP iaitu di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.
"Kesalahan yang dilakukan adalah gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran diri, gagal menyediakan peralatan suhu dan gagal mengawal laluan masuk
pelanggan tanpa merekodkan maklumat secara manual atau melalui aplikasi MySejahtera.
"KPDNHEP yang telah diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 8 Mei 2020," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pengusaha perniagaan dan orang ramai diharap agar sentiasa mematuhi SOP bagi membendung penularan wabak COVID-19
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah dan melanggar SOP yang ditetapkan.
"Pihak KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," ujarnya.
04 Feb 21
866
Pesakit COVID-19 Dan Petugas Barisan Hadapan Terima Hidangan Nasi Ayam Sosek
KUALA TERENGGANU, 4 Februari- Seramai 160 pesakit COVID-19 berisiko rendah yang sedang menjalani proses rawatan dan petugas barisan hadapan kesihatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID (PKRC), Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu menerima hidangan nasi ayam sosek.
Sumbangan juadah kepada pesakit dan petugas barisan hadapan kesihatan itu adalah program Tanggungjawab Sosial Koperat (CSR) Taman Tamadun Islam (TTI).
Pengerusi TTI, Ariffin Deraman berkata, pihaknya membelanjakan kira-kira RM2,500 untuk menyediakan hidangan istimewa itu.
“Hidangan nasi ayam sosek turut diberikan kepada petugas kesihatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Hiliran dan Klinik Kesihatan Manir.
“Kita juga akan mengagihkan bantuan itu kepada pesakit COVID-19, yang sedang menjalani rawatan di PKRC Chendering dan di Institut Pendidikan Guru Dato Razali, Gong Badak serta Hospital Hulu Terengganu (HHT),” katanya ketika menyampaikan sumbangan itu kepada Pengarah PKRC Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu, Dr Siti Salmy Mat Nor, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Wanita negeri, Zuraidah Md Nor.
Sementara itu, Dr Siti Salmy berkata, seramai 117 pesakit COVID-19 berisiko rendah sedang menjalani proses rawatan dan kuarantin di PKRC Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu.
“Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan sebanyak 262 katil untuk merawat pesakit COVID-19 berisiko rendah dan semua pesakit berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Mengulas mengenai bekalan air mineral yang dikatakan tidak mampu menampung keperluan pesakit, Dr Siti Salmy menjelaskan, bekalan air mineral sudah disediakan kerajaan.
“Bekalan air mineral tidak mencukupi berlaku kerana pesakit menggunakannya untuk dijadikan minuman panas,” katanya.
04 Feb 21
366
PKPD: Kawalan Ketat Di 10 Laluan Felda Tersat
HULU TERENGGANU, 4 Februari - Polis menutup sepuluh laluan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Tersat bagi mengelak penduduk menyelinap keluar dan masuk kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ini termasuk tujuh laluan tikus di lokaliti berkenaan turut dikawal rapi anggota keselamatan bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk di laluan berkenaan.
"Laluan tikus itu merupakan laluan dalam kawasan ladang dan kita difahamkan terdapat banyak laluan tetapi yang dikenalpasti sering digunakan penduduk ialah sebanyak tujuh laluan sahaja.
"Semua laluan berkenaan termasuk tiga pintu masuk utama dipasang penghadang simen dan kawad berduri.
"Seramai 30 anggota Polis dengan bantuan Rela akan bertugas untuk tiga syif bagi mengawal laluan tersebut sepanjang 24 jam PKPD dilaksanakan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Sekatan Jalan Raya di PKPD Felda Tersat, hari ini.
Mohd Adli berkata, PKPD yang berkuat kuasa pada 4 hingga 17 Februari ini membabitkan 250 keluarga dengan 650 penduduk.
Terdahulu, sehingga 1 Februari 2021, KKM telah melaksanakan 420 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 45 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
Dalam perkembangan yang sama, satu kematian telah direkodkan di Felda tersebut beberapa hari lepas melibatkan seorang warga emas lelaki berusia 73 tahun yang juga merupakan imam di penempatan felda tersebut.
Sementara itu Mohd Adli, berkata pihaknya turut memperketatkan kawalan di satu lagi PKPD di Tapak Projek Pembinaan Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kuala Berang.
04 Feb 21
2045
Pembinaan 64 Menara Selasai Masalah Capaian Internet
KUALA LUMPUR, 4 Februari - Masalah capaian internet kurang memuaskan di beberapa kawasan luar bandar kini dalam penyelesaian selepas projek menaik taraf menara sedia ada dan pembangunan 64 menara baharu dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, jumlah menara di Terengganu yang sedia ada adalah 1,000 dan ia memerlukan penambahbaikan kerana menara tersebut hanya mampu menampung 2G dan 3G sahaja.
Kata Ariffin, masalah di Lata Payung yang tular di media sosial baru-baru ini juga hampir selesai.
"Sebenarnya di sana (Lata Payung) telah ada menara, tetapi sedang dinaik taraf kepada capaian 4G, sebab itu ia mengalami sedikit gangguan.
"Perancangan akan melalui syarikat milik kerajaan negeri, Terengganu Telecommunications Sdn Bhd (TCOMM) akan mengambil tindakan lanjut dan meninjau isu tersebut dengan kerjasama pihak telco secepat mungkin.
"MCMC turut giat berusaha dalam kerja menaik taraf dan sedang melakukan proses tersebut beberapa kawasan. Insya-Allah, dalam tempoh dua tahun ini MCMC sedang membangunkan 64 menara baru di seluruh negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Peranan sama turut dimainkan oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir melalui projek bina baru menara telekomunikasi dan menaik taraf 57 pemancar di menara yang sedia ada di daerah Setiu.
Menurut Shaharizukirnain, permohonan tersebut telah diluluskan oleh pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), baru-baru ini.
"Projek ini kini dalam proses tender dan pembinaan menara telekomunikasi ini akan meluaskan rangkaian 4G dalam kawasan Parlimen Setiu.
"Insya-Allah isu yang selama ini membelenggu rakyat dalam Setiu akan tidak lama lagi diselesaikan.
"Antara kawasan terlibat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap antaranya Kampung Tayor Tengah Hutan Lipur Lata Payung, Kampung Bukit Layat, Kampung Jelapang, Kilang Sawit Chalok dan Bukit Lawang," jelasnya.
04 Feb 21
1316
84 Pusat Internet Di Terengganu Beroperasi Bantu PdPR
KUALA TERENGGGANU, 4 Februari - Sebanyak 84 pusat internet komuniti di Terengganu akan beroperasi bermula Ahad ini bagi menampung keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pelajar-pelajar sekolah di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, daripada jumlah itu sebanyak 20 Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) turut beroperasi bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang setiap hari kecuali Jumaat.
"Kita ada 37 buah PINTAR keseluruhannya, namun hanya 20 yang akan beroperasi dahulu sementara proses naik taraf dilakukan.
"Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Terengganu juga membantu kita dengan membenarkan 64 pusat internet komuniti turut beroperasi bagi menampung keperluan PdPR pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media PINTAR Terengganu sebagai Hab PdPR di Wisma Darul Iman, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat Negeri, Zuwislan Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif Top IT Industries Sdn Bhd, Azwa Othman.
Jelasnya, usaha tersebut bagi menyelesaikan masalah internet pelajar dan perkakasan untuk PdPR yang diperlukan.
"Kita akan buka kepada para pelajar yang memerlukan untuk berkunjung ke sini secara janji temu di mana terdapat kemudahan 10 hingga 20 buah komputer di setiap PINTAR yang mampu memberi manfaat kepada kira-kira lima pelajar dalam satu-satu masa, menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 900 pelajar bagi satu-satu masa.
"Setakat ini, kita sudah dapatkan pandangan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan sedang menunggu jawapan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) mereka untuk disesuaikan di PINTAR," katanya.
Tambahnya, 20 lokasi PINTAR yang akan beroperasi adalah Pengkalan Kubur, Kuala Besut, Kota Putera, Jertih, Padang Luas, Hulu Besut, Seberang Kastam, Permaisuri, Guntung Luar, Batu Rakit, Durian Burung, Paya Keladi, Teluk Ketapang, Bukit Tunggal, Teluk Pasu, Kuala Berang, Manir, Alor
Limbat, Rhu Rendang dan Paka.
Maklumat berkenaan lokasi, operasi, SOP dan janji temu bagi PINTAR boleh didapati di portal top-it.com.my.
04 Feb 21
1870
Dua Lokaliti Di Hulu Terengganu Dikenakan PKPD
HULU TERENGGANU, 3 Februari - Dua lokaliti di Hulu Terengganu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak selama tempoh 14 hari bermula esok sehingga 17 Februari.
Menteri Kanan Keselamatan, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan dua kawasan iaitu di Felda Tersat dan Tapak Bina Kuarters TNB di Kuala Berang.
"Sehingga 1 Februari 2021, KKM telah melaksanakan 420 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 45 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar yang melibatkan 583 penduduk di 198 buah rumah serta mengawal jangkitan dalam komuniti di felda tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai Tapak Bina Kuarters TNB, Ismail berkata, daripada 386 ujian saringan yang dijalankan sebanyak 62 kes positif telah direkodkan.
03 Feb 21
3298