Artikel "Utama" Terkini
Dr Azman Seru Rakyat Terus Kuat Hadapi COVID-19
SETIU, 10 Februari – Dr Azman Ibrahim menyeru rakyat di negeri dan negara ini untuk terus cekal menjalani Kehidupan di era pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri itu berkata ini kerana terdapat ramai individu yang berdepan dengan ujian tekanan hidup yang kadang kala diluar kawalan emosi normal manusia.
Oleh yang demikian katanya, ia menjadi tanggungjawab semua pihak untuk saling membantu terutamanya pemimpin masyarakat.
"Dalam apa jua situasi sekalipun, pemimpin perlu bergerak untuk menjaga rakyat dan rakyat juga perlu bergerak untuk mencari rezeki.
"Tidak tepat kalau kata, rakyat duduk diam-diam biar pemimpin yang bergerak buat urusan. Kita tidak akan mampu untuk menghantar makanan ke setiap pintu rumah rakyat apabila sampai waktu makan.
"Kita perlu realistik dan berpijak di bumi nyata. Walau setiap hari kita masuk kampung pikul barangan bantuan untuk rakyat, ia tak mencukupi. Bantuan hanya bersifat meringankan beban," jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Kuala Kubang, Jabi, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Sudin Awang, Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera (I-MiTS), Norisabri Ismail dan Penolong Hal Ehwal Masyarakat i-MiTS, Zakaria Mahmud.
Bercakap tentang agihan bantuan tersebut, Dr Azman memaklumkan sumbangan adalah berbentuk makanan seperti beras, minyak, gula dan gandum bagi mereka yang terkesan akibat COVID-19.
Menurut beliau, turun padang merupakan aktiviti yang tidak asing bagi dirinya.
"Ini kerana, sebarang aduan, permasalahan yang dihadapi rakyat lebih ‘jelira’ dan lebih mengutamakan ‘first hand info’ tanpa ditokok tambah.
"Jadilah kita sebagaimana orang di hadapan kita dan bercakaplah dengan bahasa mereka. Hati akan bertaut dan kita mudah berbicara.
"Kurangkan jurang birokrasi nescaya kita akan dapat mendekatkan hati. Kita mari nak tanya masalah rakyat maka jangan sampai rakyat segan nak bercakap dengan kita," jelasnya.
10 Feb 21
242
'Task Force' Polis Tekad Tangkap Penagih Setiap Minggu
KUALA TERENGGANU, 10 Februari – Polis Terengganu sedang mempergiatkan usaha memerangi najis dadah dengan penguatkuasaan ‘Task Force’ terdiri daripada 36 ketua polis balai (OCS) melalui tangkapan penagih setiap minggu.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik, berkata usaha tersebut ditubuhkan bagi mengawal statistik 70 peratus penglibatan golongan muda dalam jenayah dadah, pelapis kepimpinan negara suatu hari nanti.
Katanya, setiap OCS diwajibkan buat tangkapan paling kurang satu atau dua orang penagih yang memiliki dadah walaupun dalam kuantiti kecil.
“Selain itu, satu lagi pasukan petugas di seluruh daerah dalam negeri terdiri daripada 50 orang lebih yang membantu Jabatan Narkotik.
“Hasilnya daripada tahun lepas sehingga sekarang, sebanyak 400 orang penagih hasil tangkapan telah dibuat dalam usaha memerangi statistik satu peratus (12,000 orang) rakyat Terengganu yang merupakan penagih.
“Namun begitu, usaha pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja tidak mampu memerangi sepenuhnya ancaman ini, oleh itu, setiap lapisan masyarakat bermula dari keluarga sehingga pentadbiran dan pemerintah perlu memainkan peranan dan bekerjasama membanteras gejala ini,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, semalam.
Mengulas tentang kategori penagih dalam negeri, beliau memaklumkan kategori pertama adalah kategori penagih tegar ‘hardcore’ terlibat dalam 5 hingga 20 tahun dan ‘digunakan’ tokan dadah sebagai penjual dadah kecilan.
“Penagih baru ‘newcomer’ ini kita ingin selamat dan pisahkan daripada kategori tegar kerana kebanyakan golongan ‘hardcore’ mempunyai rangkaian dengan tokan besar.
“Hukuman boleh dijatuhkan kepada kesalahan dadah kali ketiga, makhamah boleh ambil tindakan dibawah Seksyen 39C (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 penjara antara lima tahun hingga tujuh tahun serta tiga sebatan.
“Hasilnya kita asingkan mereka daripada masyarakat dan elakkan penagih baru mula lebih mengikuti jejak langkah mereka,” katanya.
Tambah beliau, strategi serampang dua mata tersebut mampu kurangkan kadar jenayah dalam negeri bersama dengan penurunan kes berkaitan dadah.
10 Feb 21
1235
Jijoe Rampas Gelaran Nombor 1 Dunia Pecut Individu
KUALA TERENGGANU, 10 Februari - Jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang mendapat tonik berharga menjelang temasya Olimpik Tokyo apabila berjaya merampas ranking pertama dunia dalam acara pecut individu.
Berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) semalam, anak kelahiran Terengganu itu berjaya mengumpul 1,600 mata sekali gus berjaya menghuni ranking pertama.
Menerusi ciapan di laman facebooknya tengahari tadi, 'The Pocket Rocketman' ternyata gembira dengan kedudukan ranking semasa tersebut.
"Sudah tentu ia menjadi pembakar semangat buat saya yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo nanti.
"Bagi saya, ia juga adalah berita gembira buat arena sukan negara kita juga, diharap agar sedikit sebanyak menjadi sumber inspirasi buat atlet-atlet muda di tanah air kita.
"Di samping itu, saya juga berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan agar segala persiapan berjalan lancar dan saya berjaya memenangi pingat Emas di Sukan Olimpik Tokyo nanti Insya-Allah," kata pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016.
Pengumuman UCI itu juga turut menyaksikan Azizulhasni atau Jijoe menduduki tempat kedua dunia bagi acara keirin setelah meraih 1,740 mata di belakang Kevin Quintero dari Colombia yang mengumpul 1,790 mata.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mewakili kerajaan negeri mengucapkan tahniah dan setinggi-setinggi penghargaan atas kejayaan berkenaan
"Ranking tertinggi dalam dua kategori tersebut diharapkan akan memberi semangat lebih besar untuk memberi aksi terbaik di Tokyo.
"Semoga kejayaan ini juga memberi semangat kepada atlet lain seperti atlet memanah negara, Khairul Anwar Mohamad dan atlet-atlet lain dalam mengharumi nama negeri dan negara.
"Seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia akan mendoakan kejayaaan buat mereka Insya-Allah," katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan sokongan atlet sukan olimpik Tokyo sebanyak RM200,000 kepada Jijoe dan atlet memanah negara, Khairul Anwar Mohamad, sebagai usaha menjayakan persiapan atlet tersebut dalam temasya berkenaan..
10 Feb 21
7338
'Cakna Didik Marang Hebak' Siri Dua Bantu 20 Pelajar Miliki Telefon Pintar
MARANG, 9 Februari - Pemberian bantuan telefon pintar untuk melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) melalui program Cakna Didik Marang Hebak diteruskan lagi untuk fasa kedua dengan melibatkan 20 pelajar kurang berkemampuan dalam kalangan keluarga B40 di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Marang itu menyasarkan 100 pelajar kurang berkemampuan menerima kemudahan tersebut sebelum akhir bulan ini.
"Program ini telah dilaksanakan secara berperingkat dengan permulaan agihan sebanyak 10 unit telefon pintar dan 100 tambah nilai internet kepada pelajar kurang berkemampuan di Marang bagi fasa pertama.
“Hari ini, program diteruskan lagi dengan agihan 20 unit telefon pintar untuk diserahkan kepada pelajar yang telah dikenalpasti oleh Pejabat Pendidikan Daerah Marang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, SMK Seri Payong, SMK Tengku Lela Segara serta SMK Seberang Marang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Penyerahan Telefon Pintar oleh Pejabat Daerah Marang kepada Pejabat Pendidikan Daerah Marang untuk diagihkan kepada pelajar yang layak di Pejabat PINTAR, DUN Alur Limbat, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak.
Katanya, Program Cakna Didik Marang Hebak yang digerakkan menerusi hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk Pejabat Parlimen Marang, syarikat swasta serta individu itu akan diteruskan untuk fasa ketiga pada 16 Februari ini dengan agihan sebanyak 20 unit telefon pintar kepada pelajar memerlukan di setiap DUN di daerah Marang ini.
“Diharapkan ini bukan yang terakhir dan kita mengalu-alukan syarikat korporat serta orang perseorangan tampil menyumbang untuk meneruskan program yang sangat baik ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ariffin berkata, kerajaan negeri memandang serius isu dan kesukaran yang dihadapi pelajar yang tidak berkemampuan untuk menjalani pdPR ketika ini.
“Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengumumkan Bantuan Ekonomi Rakyat 2021 (BERKAT) yang merangkumi bantuan 1,600 tablet kepada pelajar miskin serta tambah nilai internet RM100 kepada semua pelajar daripada keluarga yang berpendapatan kurang RM2,500.
“Bantuan seumpama ini akan membantu lebih ramai pelajar yang tidak berkemampuan khususnya untuk menjalani PdPR serta dapat meringankan beban ibu bapa untu kmemastikan anak-anak mereka dapat belajar dengan sempurna dalam norma baharu ini,” ujarnya.
09 Feb 21
1238
'Tiada Lagi Amaran, Terus Kompaun' - Polis Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Kompaun terus akan diberikan kepada mana-mana pihak atau individu yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, tempoh nasihat atau amaran telah berakhir pada tahun lalu.
“Pada PKP 2.0 yang berkuatkuasa sejak Januari lalu, sejumlah 373 kompaun dikeluarkan, satu kompaun adalah RM1,000, PKP ini benda lama tapi masih ada yang berdegil dan pandang ringan terhadap SOP yang dikuatkuasakan.
“Oleh itu, saya mengingatkan seluruh masyarakat supaya lebih berhati-hati kerana kita tidak akan lagi beri amaran terakhir.
“Jika didapati melanggar peraturan, maka kompaun akan terus dikenakan. Arahan telah dikeluarkan kepada penguatkuasa bawahan untuk bertindak sekiranya berlaku demikian kerana peningkatan kes di Terengganu amat membimbangkan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam.
Beliau juga berpendapat, tempoh nasihat dan amaran telah berakhir tahun lepas dan masyarakat perlu memandang serius dalam mematuhi SOP sebagai senjata paling berkesan.
“Sebagai contoh, kita lihat tempat tumpuan awam dimana SOP yang dipatuh adalah topeng pelitup muka, tetapi aspek penjarakan fizikal tidak diamalkan.
“Kita bersentuhan juga akan menyebabkan kemungkinan jangkitan, perkara ini perlu difahami masyarakat, bukan pakai ‘face mask’ sahaja, tapi kerapkan basuh dan cuci tangan serta amalkan penjarakan sosial.
“Jangan angkuh ingat mereka kebal, perlu diingatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguatkuasa lain terpaksa berperang dengan musuh halimunan ini,” tambah beliau.
09 Feb 21
14623
Pasar Malam Dibenarkan Beroperasi
KUALA TERENGGANU, 9 Februari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bersetuju memberi kebenaran kepada peniaga yang telah mendapat kelulusan tapak pasar malam daripada pihak majlis untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Shahidan Embok berkata, kebenaran operasi di pasar malam Kuala Terengganu dan Kuala Nerus itu bagaimanapun perlu mematuhi syarat yang ditetapkan MBKT.
Katanya, waktu operasi yang dibenarkan adalah dari pukul 4 petang hingga 10 malam sahaja.
"Aktiviti jualan yang dibenarkan adalah makanan dan minuman, bahan makanan segar dan bahan mentah.
"Hanya penjaja yang dilesenkan oleh MBKT dan mematuhi keluasan tapak dan lokasi ditetapkan sahaja dibenarkan untuk berniaga," ujarnya menerusi notis pemberitahuan yang dikeluarkan pihak MBKT.
Katanya, laluan keluar dan masuk yang berasingan dan laluan satu hala sahaja dengan jarak antara gerai peniaga antara 1.5 meter sehingga 2.0 meter perlu diwujudkan.
"Hendaklah mengawal atau menghadkan bilangan pengunjung dan pembeli dalam satu tempoh masa bagi memastikan jarak fizikal satu meter antara pengunjung.
"Semua jenis jualan hanya dibenarkan dijual secara bungkus sahaja dan kanak-kanak (12 tahun ke bawah) dan warga emas (60 tahun ke atas) tidak dibenarkan masuk ke kawasan tapak pasar malam," ujarnya.
Disamping itu katanya, pelanggan dan peniaga wajib memakai pelitup muka dengan betul sepanjang masa.
"Termasuk perlu mengadakan kawalan anggota RELA di laluan keluar dan masuk sepanjang tempoh operasi dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Alat penyukat suhu, hand sanitizer, buku rekod kehadiran pelanggan dan kod
imbasan aplikasi Mysejahtera juga perlu disediakan," ujarnya.
Shahidan berkata, kegagalan mematuhi syarat yang diatas boleh dikenakan denda RM1,000 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan penganjuran pasar malam boleh dibatalkan. - Gambar Fail.
08 Feb 21
822
Terengganu Benarkan Solat Di Masjid Ikut Kapasiti
KUALA TERENGGANU, 8 Februari - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melalui Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) berkenan mengumumkan bahawa solat fardu berjemaah dan solat Jumaat di rumah ibadah di negeri berkenaan dibenarkan mengikut kapasiti keluasan masjid dan surau.
Memahami keperluan dan hasrat umat Islam untuk mengerjakan ibadah tersebut, MAIDAM setelah mengambil kira pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan, kapasiti jemaah dibenarkan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kesihatan dan Keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Menurut Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Osman Muda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, turut digariskan beberapa SOP iaitu pemasangan penghawa dingin tidak dibenarkan sepanjang ibadah solat sedang berjalan.
Manakala, para jemaah yang hadir pula diwajibkan membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka sepanjang berada di masjid.
"Selain itu, jawatankuasa masjid juga bertanggungjawab melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitar termasuk tandas sebanyak tiga kali seminggu.
"Sekiranya SOP tidak dipatuhi, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu berhak mengambil tindakan dengan menutup masjid dan surau berkenaan," jelasnya dalam kenyataan itu.
Bagaimanapun, dalam kenyataan tersebut turut menyatakan, sebarang kuliah harian, aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid masih tidak dibenarkan.
08 Feb 21
1543
Jabatan Amal Malaysia Pantau Pembukaan PASTI
SETIU, 8 Februari - Jabatan Amal Malaysia Kawasan Setiu (JAMKS) yang diberi jolokan 'semut merah' ditugaskan memantau sesi pembukaan persekolahan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang memulakan operasinya, Sabtu lalu.
Komandan Jabatan Amal Malaysia Kawasan Setiu, Wan Mohammad Izzuddin Wan Hamzah berkata, pihak Jabatan Amal telah mengambil langkah awal dengan mengadakan operasi sanitasi yang melibatkan sebanyak 30 buah PASTI di kawasan Setiu.
Operasi sanitasi oleh Jabatan Amal Malaysia
"Langkah kedua yang kita ambil dengan membuat penaziran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) setiap PASTI seperti penjarakan antara meja murid, panunjuk arah dan tahap kesihatan setiap murid yang hadir ke PASTI," katanya.
Sesi persekolahan bersemuka PASTI yang bermula hari ini menekankan pematuhan SOP yang ketat dengan tidak membenarkan ibu bapa atau penjaga memasuki premis dan anak-anak pelajar yang tidak sihat tidak dibenarkan mengikuti sesi persekolahan.
Tambahnya lagi, diharap kepada semua ibu bapa supaya dapat mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan demi keselamatan bersama.
08 Feb 21
1161
Legasi Dan Keunikan Cina Peranakan Terengganu Sejak Tujuh Abad
KUALA TERENGGANU, 8 Februari – Legasi sejarah dan budaya yang diamalkan masyarakat Cina Peranakan Terengganu membawa pelbagai keunikan hasil asimilasi sejak kedatangannya pada abad ke-14 hingga ke-17.
Dekan Fakulti Farmasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Lua Pei Lin berkata, keturunannya yang berasal dari daerah Fujian, China, merupakan hasil adaptasi dan asimilasi dengan budaya gaya pakaian, makanan dan percakapan komuniti Melayu Terengganu.
“Ramai bertapak di Kampung Tiruk, Kampung Banggol Kemang (17Km dari bandaraya Kuala Terengganu), Wakaf Tapai serta di kawasan Sungai Nerus, berdekatan dengan tempat asal saya di Kampung Batu Enam.
“Sejak itu, kami menerima, menghayati dan mengamalkan budaya seperti masyarakat Melayu, contohnya seperti pemakanan di mana keturunan kami makan ikan singgang, budu, petai dan sambal belacan. Makan nasi pun boleh dengan tangan.
“Dari segi percakapan pula, kita mahir guna loghat atau dialek Terengganu seperti ‘guane gamok’, ’dokrok cetong’,” katanya ketika bersiaran langsung menerusi sesi Sembang Pagi UniSZA, semalam.
Tambahnya yang juga generasi kelima keturunan tersebut, budaya pemakaian juga menerima pengaruh Terengganu seperti perempuan kebaya potong kot ikonik dengan Masyarakat Cina Peranakan Terengganu, manakala lelaki menyarung kain pelikat.
Sementara itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan jika gagal mewarisi legasi identiti Cina Peranakan menghadapi peredaran masa kerana ramai yang berhijrah ke luar Terengganu berikutan tuntutan kerja.
“Namun begitu, salah satu usaha bagi mengekalkan khazanah tersebut melalui Persatuan Peranakan Cina Terengganu bagi mengeratkan silaturahim antara golongan peranakan di dalam negeri.
“Setiap tahun juga ada Festival Cina Peranakan yang diadakan di Kampung Cina, Kuala Terengganu di mana pameran dan persembahan budaya dianjurkan sebagai tanda meraikan warna-warni budaya ini.
Jelas Dr Lua berkenaan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun 2021, walaupun dalam keadaan pandemik dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), perayaan tersebut akan diraikan secara sederhana meneruskan adat budaya dan bangsa.
Sumber foto : Prof Dr. Lua Pei Lin, Dekan Fakulti Farmasi UniSZA
08 Feb 21
4093
Parlimen Kuala Terengganu Taja Yuran Pelajar Genius
KUALA TERENGGANU, 7 Februari - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, pihaknya telah bersetuju menaja yuran pengajian pelajar genius, Muhammad Mu’az Zhofri Mohamad Yong, 13, yang menyambung pelajaran ke Kolej Genius Insan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan.
Jelasnya, tajaan itu dimaklumkan melalui pegawainya yang berkunjung ke kediaman pelajar tersebut di Kampung Losong Wakaf Nyor Kembar, baru-baru ini.
"Kita bersetuju parlimen bantu membayar yuran pendaftaran dan sediakan pengangkutan. Manakala, kita telah berbincang dengan pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan untuk membantu keperluan dan kelengkapan kolejnya," jelasnya melalui satu kenyataan di laman Facebooknya, baru-baru ini.
Sementara itu, ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah sempat menziarahi keluarga berkenaan minggu lalu dan menyatakan kesediaan kerajaan negeri membantu mereka.
“Jika pelajar biasa pun kita bantu, apatah lagi seorang pelajar yang cerdik, akan lebih lagi kita (kerajaan) bantu. Beliau dari keluarga yang susah kerana ketua keluarga (bapa) sakit dan tidak boleh bekerja.
"Pihak kerajaan negeri dan saya sendiri selaku ADUN tidak akan membiarkan adik Muhammad ini terkandas di sini, kerana beliau selayaknya dibantu," katanya.
Jelas Wan Sukairi, bapa Muhammad, Mohamad Yong Awang, 62, mengalami masalah lumpuh sebahagian anggota badan hampir dua tahun lalu. Kini, ibunya Rosimah Yusof, 50, yang menggalas tugas mencari sumber pendapatan dengan mengambil upah menjaga bayi.
07 Feb 21
561