lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Gabungan NGO Terengganu Sumbang 2,000 Set PPE Buat 'Frontliners'
Gabungan NGO Terengganu Sumbang 2,000 Set PPE Buat 'Frontliners'
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dengan gabungan NGO lain mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan berupa 2,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) dan pelindung muka kepada barisan hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, NGO memainkan peranan besar dalam membantu kerajaan menyelesaikan isu terkini seperti masalah kebajikan dan sosial. “Oleh itu, UBSNT menggerakkan usaha ini bersama IMAN CARE iaitu penyumbang utama serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), HANEES, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK), TESDEC dan agensi lain yang terlibat. “UBSNT, melalui Unit NGO sentiasa terbuka menerima kerjasama daripada NGO-NGO di luar sana dalam membantu menyelesaikan dan menangani pelbagai keperluan sosial,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi tadi. Tambah Sukairi, Kerajaan Negeri melalui UBSNT turut merancang untuk program sumbangan 10,000 mushaf Al-Quran dan 50,000 pelitup muka ke Sabah dalam masa terdekat, dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia serta agensi lain. Sementara itu, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak memaklumkan, pihaknya turut berjaya menubuhkan tabung kecemasan COVID-19 hasil kerjasama pelbagai badan terlibat diselaraskan Majlis Muafakat NGO Terengganu (MMNT). “Melalui tabung tersebut, ia sedikit sebanyak akan lancarkan pergerakan NGO mengutip dana ketika menghadapi cabaran wabak semasa. “Manakala objektif sumbangan hari ini menyasarkan 2,000 set diselesaikan mulai hari ini sehingga akhir bulan Februari, dengan hantaran pertama pada minggu hadapan dan hantaran kedua selewatnya pada Mac. “YPK, TESDEC dan HANEES akan bertindak menyusun dan menyiapkan kelengkapan PPE yang dihasilkan sendiri oleh mereka,” katanya.
12 Feb 21
686
10 Tahun Hidup Bersumberkan Air Kotor
10 Tahun Hidup Bersumberkan Air Kotor
SETIU, 11 Februari – Sekitar 20 keluarga di pedalaman Kampung Kuala Kubang, Jabi di sini akhirnya dapat menikmati bekalan air bersih selepas projek menaiktaraf paip dengan kos RM30 ribu siap. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, gangguan bekalan air serta sumber yang kotor ketika waktu hujan itu berlaku akibat proses penyelenggaran sebelum ini tidak dilakukan dengan baik. "Sudah berpuluh tahun saliran paip sepanjang lebih tiga kilometer dari kaki gunung ke rumah penduduk tak diselenggara dan sudah banyak yang rosak serta bocor. Kita keluarkan sedikit belanja bagi kerja-kerja penggantian paip dan beberapa peralatan lain, "Alhamdulillah, siap akhirnya projek penyambungan paip dari Air Terjun Lata Belatan untuk bekalan air kepada hampir 20 buah rumah di Kampung Kuala Kubang, "Pemasangan paip dari air terjun yang terletak di kaki Gunung Tebu ke kawasan penempatan sejauh 4.3 kilometer melibatkan kos lebih RM30 ribu yang dibiayai Pejabat ADUN Jabi," katanya. Beliau berkata demikian setelah melihat hasil projek tersebut di Kuala Kubang, Jabi, semalam. Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Sudin Awang, Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera (I-MiTS), Norisabri Ismail, Pengerusi JPKK Jabi, Rahim dan Penolong Hal Ehwal Masyarakat (I-MiTS), Zakaria Mahmud. Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid yang hadir sama dalam tinjauan tersebut berkata, bekalan air terputus terjadi pada setiap masa dan tidak menentu. "Boleh dikatakan dalam tempoh sebulan ia berlaku dalam lima hingga enam kali, kadang-kadang lebih. "Paling teruk, dua hingga tiga hari tiada air dalam seminggu kerana paip yang tersumbat, selain air kotor di musim hujan," jelasnya.
11 Feb 21
358
MAIDAM Sumbang 4,000 Topeng Muka Untuk Calon SPM
MAIDAM Sumbang 4,000 Topeng Muka Untuk Calon SPM
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Seramai 120 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar menerima 4,000 topeng hidung dan mulut daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin berkata, topeng hidung dan mulut itu amat diperlukan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada Isnin depan selepas seorang guru dan dua pelajar sekolah tersebut disahkan positif COVID-19 akhir bulan lalu. "Melalui semakan dilakukan, hampir 95 peratus ibu bapa calon SPM didapati berkerja sendiri dan pendapatan mereka terjejas susulan pelaksanaan PKP. "Antara barangan amat diperlukan calon SPM adalah topeng hidung dan mulut untuk menduduki peperiksaan selama tiga hari mulai Isnin depan," katanya Beliau berkata kepada media selepas menyampaikan bantuan, termasuk makanan dan minuman ringan bernilai RM3,000  kepada pengetua SMK Bukit Besar, Ismail Md Ali, di sini, hari ini. Berikutan arahan penutupan sekolah itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) terpaksa ditangguhkan, manakala 18 calon terpaksa menjalani proses kuarantin di asrama sekolah selama 14 hari berakhir Isnin lalu. Menurut beliau, pihaknya amat prihatin dengan nasib semua calon peperiksaan SPM, terutama 18 calon yang terpaksa menjalani proses kuarantin di asrama sekolah. Justeru itu katanya, selain topeng hidung dan mulut untuk 120 calon SPM serta pengurusan sekolah, pelbagai makanan dan minuman ringan turut diberikan untuk keperluan 18 pelajar yang terpaksa tinggal di asrama.
11 Feb 21
340
KPDNHEP Cadang Hasilkan Peranti Khas Untuk Pelajar
KPDNHEP Cadang Hasilkan Peranti Khas Untuk Pelajar
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bakal bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyediakan peranti khas berikutan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR). Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya bercadang menetapkan model khas alat peranti seperti komputer riba atau tablet yang memenuhi spesifikasi minimum PdPR. "Kita dengan pemain industri akan mengadakan pertemuan dengan KPM untuk mencipta satu produk yang sesuai bagi pelajar dalam masa terdekat. "Selepas mendapat spesifikasi dan saranan yang sesuai daripada KPM yang dijangka bermesyuarat pada hari Rabu ini, baru kita boleh tentukan harga di bawah paras RM2,000. "Idea bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa yang perlu membeli gajet untuk keperluan sekolah anak mereka untuk PdPR susulan pandemik COVID-19,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan dan pemeriksaan di pusat penjualan dan servis komputer, Aidea.com di Panji Curve, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman dan Pengarah KPDNHEP negeri, Shaharuddin Mohd Kia. Mengulas tentang Ops Catut 8.0, Rosol berkata, bermula 25 Januari sehingga 7 Februari seramai 341 peniaga telah dikemukakan notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011. Katanya, tindakan lanjut boleh diambil mengikut Seksyen 14 AKHAP 2011 atas kesalahan mencatut dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sekiranya suatu perbadanan. "Sekiranya bukan perbadanan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
11 Feb 21
201
Elak Perjumpaan Besar Pada Tahun Baharu Cina - Dr Noor Hisham
Elak Perjumpaan Besar Pada Tahun Baharu Cina - Dr Noor Hisham
KUALA LUMPUR, 11 Februari - Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengadakan perjumpaan besar-besaran semasa sambutan Tahun Baru Cina. Dr Noor Hisham dalam hantaran menerusi Facebook beliau berkata walaupun situasi COVID-19 di negara ini beransur baik, perjumpaan besar boleh menyebabkan peningkatan kes. "COVID-19 sekali lagi menahan diri kita daripada menyambut satu lagi perayaan dan perjumpaan semasa Tahun Baru Cina ini. "Sama ada kita melakukannya atau memutuskannya semasa perayaan ini bagi mengawal situasi. Tanggungjawab terletak pada bahu semua orang," katanya. Dr Noor Hisham juga mengingatkan mereka yang menyambut perayaan itu supaya berada di rumah dan meraikannya bersama ahli keluarga, dan paling penting melindungi ahli keluarga yang rentan. "Semoga Tuhan membimbing dan melindungi kita untuk menamatkan pandemik ini pada waktunya. Insya-Allah, semoga tahun lembu emas ini membawa kekuatan kepada kita untuk berhadapan dan mengatasi setiap kesukaran yang dilalui. Selamat Tahun Baru Cina," katanya. Masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru Cina esok dan Sabtu dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, sama seperti sambutan Aidilfitri dan Deepavali tahun lepas. -- BERNAMA  
11 Feb 21
217
KPDNHEP Rampas 615 Liter Diesel
KPDNHEP Rampas 615 Liter Diesel
DUNGUN, 11 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Dungun berjaya merampas 615 liter minyak diesel  bernilai RM1,297.65 di sebuah stesen minyak di sini, semalam. Pengarah KPDNHEP negeri, Shaharuddin Mohd Kia berkata pihaknya telah membuat risikan dan siasatan berhubung aduan daripada orang awam berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel di stesen minyak berkenaan dan risikan selama tiga hari telah dilakukan sebelum tindakan serbuan dijalankan. “Semasa serbuan yang dijalankan pada jam 1.40 tengah hari, seorang lelaki tempatan berusia dalam linkungan 40-an dilihat sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong drum yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.  “Soal siasat yang dijalankan mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi membeli barangan bersubsidi tersebut.  “Susulan daripada itu, pasukan serbuan telah merampas 615 liter minyak diesel, tiga tong drum dan sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk siasatan lanjut dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM72,047.65,” ujarnya dalam satu kenyataan. Shaharuddin berkata,  tindakan ke atas pengusaha stesen minyak di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar arahan pengawal bekalan iaitu telah melanggar syarat lesen tidak boleh menjual petrol atau diesel kepada mana-mana orang yang tidak mempunyai kebenaran bertulis dari pengawal bekalan. “Pihaknya mengambil tindakan tegas ke atas aktiviti penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana orang dan juga ke atas pengusaha stesen minyak,” katanya. Beliau berkata jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM 2 juta. Pihak KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
11 Feb 21
355
Latihan 'Online' Atlet Turut Berdepan Cabaran
Latihan 'Online' Atlet Turut Berdepan Cabaran
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Cadangan pembukaan sektor sukan dengan prosedur operasi standard (SOP) dalam program Gelembung Sukan disambut baik semua penggiat sukan. Menurut Ketua Bahagian Teknologi Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Afiqi Afendi, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama pada Mac tahun lalu, pihak MSNT telah melaksanakan kaedah latihan secara dalam talian namun, mengakui berdepan cabaran dalam memastikan atlet-atlet negeri itu kekal cergas dan bersedia. "Kita sedia maklum, cabarannya sama seperti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di mana tidak semua atlet tinggal di kawasan yang ada akses internet yang baik, ada yang duduk di pedalaman dan ada juga dari keluarga yang susah tidak mampu untuk melanggan data banyak. Bagi yang yang tidak dapat bersama secara 'live', kita berikan program untuk diikuti dari masa ke masa. "Latihan kita juga ada tiga kategori iaitu teknikal, taktikal dan fizikal. Bagaimanapun setakat ini, kita hanya dapat pantau secara langsung dari segi latihan fizikal sahaja. Tetapi, ia juga terhad kerana tidak semua rumah ada ruang yang sesuai untuk sesi latihan. "Cuma, apa yang penting mereka dapat sentiasa bersedia supaya boleh meneruskan latihan apabila PKP tamat nanti," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika Latihan Kecergasan Persediaan SUKMA 2022 Secara Dalam Talian di pejabat MSNT, semalam. Tambahnya, latihan dari segi taktikal dan teknikal agak bermasalah kerana memerlukan peralatan tertentu dan sesi bersemuka. "Setakat ini, kita jalankan kaedah 'online monitoring' serta 'online training' menggunakan aplikasi Google Zoom secara live bersama atlet-atlet dan jurulatih sepanjang PKP, selebihnya melalui video latihan daripada atlet sendiri sebagaimana yang dilakukan atlet-atlet pada peringkat dunia,' katanya. Pegawai Suaian Fizikal MSNT, Mohd Hafizuddin Ramli sedang memantau latihan kecergasan atlet Badminton dan Bola Jaring Terengganu.    
11 Feb 21
473
Hasrat Miliki Geran Tercapai Selepas 50 Tahun
Hasrat Miliki Geran Tercapai Selepas 50 Tahun
HULU TERENGGANU, 11 Februari - Rasa terharu dan bersyukur, hanya itu mampu diluahkan oleh Minah Sulaiman, 77, apabila geran tanah yang di tunggu sejak 50 tahun akhirnya dalam genggaman.   Namun katanya, rasa gembira itu diiringi hiba apabila mengenangkan arwah suaminya, Ismail Idris, yang meninggal dunia pada tahun 1996.   "Alhamdulillah, makcik rasa syukur sangat, tapi dalam gembira tu banyak yang sedih sebab sepatutnya pakcik (arwah) yang menerimanya, bukan makcik. Itu yang rasa sebak sebab dia yang bertungkus lumus, sepatutnya dia yang dapat tapi makcik yang terima hari ini. "Makcik nak ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri kerana apa yang ditunggu-tunggu sudah kesampaian," katanya ketika ditemui pemberita selepas penyampaian surat hakmilik kepada 92 orang penerima di Dewan orang ramai Kampung Baru Sungai Binjai,semalam.   Bagi seorang lagi peserta Rancangan Tanah Berkelompok(RTB), Rosnani Awang, 55, dia amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim kerana menunaikan impian mereka untuk memiliki geran tanah.  Menurutnya, penat lelah peserta Rancangan Tanah Berkelompok(RTB), sejak kampung itu diteroka akhirnya berbaloi dan menganggapnya sebagai satu hadiah yang paling bermakna dalam hidupnya.  "Kerajaan buat dah baik dah. Mereka jaga kita pun dengan baik. Terima kasih Kerajaan Negeri, terima kasih MB (Menteri Besar).  "Hari ini akan menjadi satu sejarah dalam hidup saya dan saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Menteri Terengganu kerana membantu menunaikan impian kami,"ujarnya lagi. Sementara itu Maliaman berkata, sehingga hari ini kerajaan negeri telah berjaya merealisasikan janji dan manifesto dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sekali gus mengembalikan tanah-tanah terkilan selepas pemerintahan kerajaan tahun 2004. "Kita seboleh-bolehnya akan cuba memastikan yang sebarang isu berkaitan dengan hak milik hartanah diselesaikan dengan kadar  segera. semua urusan berkaitan dengan hak milik tanah ini adalah perkara yang memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit,"tambah beliau.  
11 Feb 21
501
Mualaf Terima Bantuan Rai Sambutan Tahun Baru Cina
Mualaf Terima Bantuan Rai Sambutan Tahun Baru Cina
KUALA TERENGGANU, 10 Februari - Golongan mualaf di negeri ini menerima bantuan awal untuk membuat persiapan menyambut Tahun Baru Cina (TBC) bersama keluarga Jumaat ini. Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M Rozi Bidin menjelaskan, bantuan keseluruhan berjumlah RM59,000 kepada 173 orang saudara baru itu dimasukkan terus ke akaun penerima secara berperingkat mulai hari ini. "Bantuan itu sepatutnya dibayar akhir bulan ini, tetapi sebagai tanda keprihatinan dan kesusahan dihadapi berikutan pelaksanaan PKP, kita setuju untuk membuat pembayaran awal bagi meringankan bebanan mereka. "Walaupun golongan itu berlainan agama, tetapi mereka juga perlu membuat persediaan membeli barangan keperluan untuk meraikan TBC bersama keluarga," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kecemasan berjumlah RM3,000 kepada mangsa kebakaran, Mohd Johan Sidek, 49, di Kampung Merbau Patah, di sini, hari ini. Kediaman Mohd Johan yang juga pengusaha kedai makan di Pasar Borong Gong Pauh, terbakar kira-kira jam 3 petang, semalam. Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku ke atas Mohd Johan dan 13 orang ahli keluarga termasuk dua bayi. M Rozi berkata, selain saudara baru, bantuan bulanan kepada golongan asnaf fakir membabitkan seramai 2,195 orang juga turut terbabit dengan pembayaran awal membabitkan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM761,500. Jelasnya, MAIDAM juga dalam proses untuk membuat pembayaran awal kepada golongan asnaf yang menerima bantuan dibawah kategori sara hidup. "Sejak awal Januari lalu, MAIDAM sudah meluluskan bantuan sara hidup kepada 1,399 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM2.7 juta," katanya.
10 Feb 21
356
Anak Pesakit Strok Bersyukur Terima Telefon Pintar
Anak Pesakit Strok Bersyukur Terima Telefon Pintar
MARANG, 10 Februari - Rasa sedih seorang pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang terpaksa menggunakan telefon uzur untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), terubat apabila menerima sumbangan telefon pintar dan pembelian data (tambah nilai internet). Telefon pintar sumbangan pelbagai pihak menerusi program Cakna Didik Marang Hebak inisiatif Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Marang itu diserahkan kepada Nur Asyikin Ismail, 17, oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman di rumahnya di Kampung Wakaf Kedondong, disini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak. Nur Asyikin, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payong berkata, dia amat terharu apabila menerima peranti berkenaan kerana dia sebelum ini terpaksa menggunakan telefon lama yang mempunyai pelbagai masalah serta selalu berdepan kesukaran untuk tambah nilai internet. “Alhamdulillah, syukur dengan bantuan ini, terima kasih kepada kerajaan negeri dan pelbagai pihak lain yang memberikan bantuan kepada pelajar seperti kami yang sangat memerlukan. “Sepanjang PdPR, saya menggunakan sedikit duit Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) yang saya dapat untuk tambah nilai internet kerana tidak mahu susahkan keluarga memandangkan ayah tidak lagi mampu bekerja selepas diserang strok lapan tahun lalu, sementara emak pula hanya suri rumah. “Ketika ini, kami sekeluarga hanya bergantung kepada duit pencen ayah yang tidak sampai RM200 dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima ayah dan emak untuk meneruskan kelangsungan hidup,” ujar anak bongsu daripada enam beradik itu. Tidak mahu menjadikan kesusahan keluarga sebagai halangan untuk dia mencapai cita-citanya sebagai seorang guru, Nur Asyikin berazam untuk menjadikan ‘hadiah’ yang diterimanya itu sebagai sebagai pembakar semangat untuknya mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.
10 Feb 21
542