lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

HSNZ Terima 300 PPE Rakan 1.0
HSNZ Terima 300 PPE Rakan 1.0
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - 300 set peralatan perlindungan diri (PPE) dan pelindung muka sumbangan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) mula dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi membantu keperluan barisan hadapan menghadapi penularan pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penghantaran pertama tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah 2,000 set PPE yang dibuat UBSNT dalam program Bantuan Kelengkapan Frontliner (Rakan 1.0), baru-baru ini. "Pertama sekali, material PPE ini diproses setiap hari oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang berkerjasama dengan UBSNT dan apabila siap satu peringkat ia akan dihantar terus ke HSNZ. "Setakat ini, target kita adalah 2,000 set, namun sekiranya situasi belanjutan, bantuan demi bantuan akan cuba kita salurkan dari masa ke masa," katanya. Beliau berkata demikian sewaktu menyempurnakan program sumbangan 10,000 mushaf Al-Quran dan 50,000 pelitup muka ke Sabah di pejabat DUN Wakaf Mempelam, hari ini. Turut hadir, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak, dan pengerusi IMAN CARE, Mohd Nasrun Abdullah. Jelasnya, UBSNT menggerakkan usaha membantu barisan hadapan bersama Iman Care iaitu penyumbang utama serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), HANEES, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), TESDEC dan beberapa agensi lain. “UBSNT, melalui Unit NGO sentiasa terbuka menerima kerjasama daripada NGO-NGO di luar sana dalam membantu menyelesaikan dan menangani pelbagai keperluan sosial," katanya. Sumbangan tersebut disampaikan Wan Sukairi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan diterima oleh Timbalan Pengarah Perubatan II HSNZ, Dr. Mazila Mat Zin di lobi hospital berkenaan, hari ini.    
17 Feb 21
282
Kerajaan Optimis Tiada Hotel 'Gulung Tikar'
Kerajaan Optimis Tiada Hotel 'Gulung Tikar'
KUALA TERENGGANU, 17 Februari – Kerajaan Terengganu optimis tiada hotel di negeri ini gulung tikar walaupun sedang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, berbanding dengan negeri sebelah barat bisnes penginapan itu telah banyak ditutup. “Di Terengganu hotel bajet hingga bertaraf tiga dan empat bintang, tiada yang tutup operasi atau dijual, ia adalah suatu tanda baik dalam menghadapi kemelesetan akibat pandemik. “Ada juga pengusaha hotel kini mengambil inisiatif mengadakan jualan makanan pandu lalu, penghantaran makanan, hidangan bajet seperti diceburi oleh Duyong Marina & Resort, Grand Continental, Taman Tamadun Islam dan lain-lain lagi,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI. Menjawab persoalan tentang langkah menjual makanan pandu lalu dan berkonsep nasi bajet bakal merugikan peniaga kecil, Ariffin berkata, ia tidak berbangkit. "Ini kerana ia tidak menjurus kepada keuntungan tetapi memberi semangat kepada sektor perhotelan walaupun tidak mampu liputi kos tahunan. “Contohnya seperti Primula Beach Hotel melalui Primula Barakah dengan menerima bantuan dana daripada sesiapa sahaja untuk pengagihan makanan bagi mereka yang memerlukan," katanya lagi. Tambah Ariffin, kerajaan negeri turut memainkan peranan melalui insentif khas buat pengusaha hotel melalui Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Negeri Terengganu yang menerima pengecualian cukai taksiran bagi tahun 2020 yang terjejas akibat PKP. “Buat masa sekarang, kita sedang dalam proses kajian bagi menyelesaikan beberapa isu dalam melancarkan pelaksanaan kerana ia tidak melibatkan keseluruhan sektor perhotelan dan penginapan dalam negeri. “Setiap hotel juga berbeza dalam kiraan bayaran cukainya, ada yang RM10,000 dan ada sehingga RM1,000,000,” jelasnya.
17 Feb 21
626
50,000 Pelitup Muka, Al-Quran Belayar Ke Sabah
50,000 Pelitup Muka, Al-Quran Belayar Ke Sabah
KUALA TERENGGANU,17 Februari - Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Sejahtera (UBSNT) hari ini menghantar sebanyak 50 ribu pelitup muka dan 10 ribu naskhah al-Quran ke Sabah dalam usaha membantu negeri tersebut menghadapi penularan COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, Program Bayu Kasih 2021 itu merupakan kerjasama UBSNT bersama Iman Care sebagai penaja utama akan menyerahkan sumbangan tersebut kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan beberapa NGO terlibat di sana untuk diagihkan. "Barangan ini akan dihantar dengan kerjasama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) menggunakan KD Mahawangsa yang mana rombongan ini akan bergerak ke Kota Bharu mengambil baki barangan yang bakal dibawa dan seterusnya ke Lumut untuk dinaikkan ke kapal yang terus ke Sabah. "Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha ini. Mudah-mudahan segala seumbangan ini akan memberikan kelegaan dan membantu sedikit sebanyak situasi di sana yang kita sedia maklum menghadapi situasi yang agak luar biasa selain amat memerlukan keperluan ini," katanya. Beliau berkata demikian sewaktu menyempurnakan pelepasan delegasi tersebut di pejabat DUN Wakaf Mempelam, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md. Noor serta wakil-wakil dari NGO terlibat.  
17 Feb 21
459
Program Imunisasi Menyeluruh Pastikan Pandemik COVID-19 Tamat - Muhyiddin
Program Imunisasi Menyeluruh Pastikan Pandemik COVID-19 Tamat - Muhyiddin
PUTRAJAYA, 16 Februari - Semua sektor ekonomi termasuk pelancongan yang terjejas teruk sebelum ini serta aktiviti sosial akan dibuka sepenuhnya, sebaik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjaya dilaksanakan. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menjelaskan, program imunisasi menyeluruh itu untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik tersebut. "Apabila semua orang telah dilindungi dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini berjaya dilaksanakan, impak positif akan mula kita rasai. Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula, seperti pelancongan. "Kita boleh saling ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh kita amalkan, tetapi dengan mengamalkan norma baharu. "Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan bahawa vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19. "Pastinya, satu lembaran baharu bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini," katanya ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. Muhyiddin turut melancarkan laman web www.VaksinCovid.gov.my pada majlis ringkas itu.
16 Feb 21
249
Primula Barakah Bantu Golongan Terkesan COVID-19
Primula Barakah Bantu Golongan Terkesan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Di saat negara berdepan dengan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini, Primula Beach Hotel tidak ketinggalan dalam menghulurkan bantuan melalui Primula Barakah kepada mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun, berkata saat sekarang bukan masanya untuk mengira keuntungan, mengambil kesempatan daripada suasana gawat untuk meraih pendapatan tetapi ia perlu ditumpukan bagi membantu golongan yang berada dalam kesusahan sejak penularan wabak berbahaya COVID-19 Katanya, cetusan idea Primula Barakah ini bermula  sejak bulan Mac 2020 ketika pelaksanaan PKP pertama oleh kerajaan pusat. "Ramai yang ingin menderma tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk sampai kepada mereka yang berhak jadi kami menawarkan diri untuk membantu. "Primula Barakah ini beroperasi dengan menerima sejumlah dana dalam bentuk wang ringgit  daripada sesiapa sahaja yang ingin menghulurkan sedekah tanpa had. "Seterusnya, pihak kami akan  menyediakan makanan mengikut sumbangan yang dihulurkan oleh penderma dan mengagihkan makanan tersebut kepada mereka yang berkenaan pada waktu yang tertentu,"katanya kepada pemberita ketika ditemui, baru-baru ini. Tambah beliau, sasaran utama penerima sumbangan  adalah pekerja barisan hadapan, anak-anak yatim, pusat-pusat tahfiz, rumah-rumah orang tua, asnaf dan lain-lain yang terkesan dengan pandemik COVID-19. Menurut Suaibah, sehingga hari ini, pihaknya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada mereka yang prihatin. "Sejak bermulanya program ini, kami mendapat sambutan yang cukup memuaskan dengan kadar purata RM2,500 sehari untuk disedekahkan oleh penderma-penderma yang prihatin. "Selain daripada sumbangan kepada golongan yang memerlukan untuk kelangsungan hidup, ia juga memberi peluang kepada mereka yang kurang mampu untuk merasai hidangan yang disediakan oleh hotel bertaraf empat bintang ini," ujarnya.     
16 Feb 21
290
PKPD : Penduduk Felda Tersat Terima Sumbangan Pek Makanan
PKPD : Penduduk Felda Tersat Terima Sumbangan Pek Makanan
HULU TERENGGANU, 16 Februari – Lebih 220 sumbangan pek makanan diagihkan kepada setiap isi rumah melibatkan 583 orang penduduk di 198 buah rumah di Felda Tersat, Ajil yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Adun Ajil menyalurkan bekalan sumbangan kepada penduduk kampung Felda Tersat. Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, pihak kerajaan dan parti pemerintah tidak akan meminggirkan rakyat mahupun penduduk yang dikenakan PKPD khususnya dalam kawasan Hulu Terengganu ini. “Bantuan bekalan keperluan dan makanan yang disalurkan ketika PKPD dilakukan atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab kepada rakyat serta prinsip kemanusiaan sejagat,"jelasnya. Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan bantuan bekalan tersebut, baru-baru ini. Turut hadir dalam penyampaian sumbangan bekalan tersebut ialah Yang Berhormat Adun Ajil, Maliaman Kassim, Pegawai Penyelidik (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Negeri Terengganu, Naraza Muda, dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu, Mohd Harun Esa Terdahulu, kerajaan telah mengumumkan dua lokaliti di daerah Hulu Terengganu ini, iaitu  Felda Tersat, Ajil dan Tapak Bina Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Berang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan PKPD yang bermula pada 14 Februari sehingga 17 Februari 2021. Tambah Muhyidin, sumbangan yang diserahkan itu, telah diwakili oleh Pengerusi JPKK Felda Tersat untuk diagihkan bekalan makanan untuk keluarga yang dikuarantin di penempatan tersebut. “Ia bagi memastikan semua sumbangan-sumbangan ini dapat sampai ke setiap keluarga penduduk yang merupakan sebahagiannya adalah peneroka Felda bagi kawasan ini. “Saya berharap, dengan penyaluran bantuan sumbangan yang sedikit sebanyak ini, dapat membantu meringankan sedikit bebanan penduduk yang mana mereka ini tidak dapat keluar masuk untuk mencari bekalan ataupun keperluan yang lebih di luar sana, akibat daripada PKPD yang masih berkuatkuasa sehingga hari ini,"ujarnya lagi. Beliau juga menegaskan bahawa kerjasama sebegini akan diteruskan dari masa ke semasa, supaya kebajikan rakyat dan masyarakat setempat terus terjaga dan terbela.     ​​​
16 Feb 21
477
Abdul Hadi Dalam Keadaan Stabil
Abdul Hadi Dalam Keadaan Stabil
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kini berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat selepas dilapor mengalami sesak nafas malam tadi. Perkara tersebut disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga anaknya melalui ciapan di laman facebook. “Saya baru bercakap dengan ayahanda Tuan Guru sebentar tadi. Keadaan beliau stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadual yang padat. “Mohon doa daripada semua semoga beliau terus sihat untuk berkhidmat kepada ummah,” katanya. Terdahulu, Presiden PAS itu dimasukkan ke Hospital Putrajaya malam tadi selepas dilapor mengalami sesak nafas. Beliau kemudiannya dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.
16 Feb 21
922
Jadi Saudagar Mainan 'FB Live' Sara Keluarga Semasa PKP
Jadi Saudagar Mainan 'FB Live' Sara Keluarga Semasa PKP
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang seorang tukang gunting, Baharin Jaafar, 26, bagi mencari pendapatan lain sebagai seorang saudagar mainan melalui' Facebook live'. Baharin atau lebih dikenali sebagai Pok Ren di laman sosial tersebut berkata, dia telah mula berkecimpung dalam perniagaan atas talian sejak penguatkuasaan PKP pada bulan Mac tahun lepas ekoran pelaksanaan kawalan tersebut menghalangnya meneruskan kerja asal di kedai gunting rambut. “Ideanya datang daripada melihat trend peniaga lain menjual barangan seperti jam, baju dan sebagainya dalam ‘FB Live’, jadi saya mengambil peluang itu bagi menyara keluarga saya ketika waktu pandemik. “Antara mainan dijual adalah barangan ‘second-hand’ berjenama dari Jepun, Amerika Syarikat dan China seperti Kamen Rider, Dragonball, Star Wars, Ultraman dan lain-lain lagi, stok barangan ini dibeli daripada pengedar di Terengganu sehingga dari China dan Jepun. “Cara menjual saya kira siapa cepat kunci (lock) barangan dengan harga ditetapkan atau secara bidaan, contohnya seperti mainan ‘GI Joe’ ini saya lock dengan harga RM80, jadi siapa cepat dia dapat,” katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini. Tambahnya yang menetap di Kuala Terengganu, harga mainan dijualnya antara RM20 hingga RM100 bergantung kepada kos dan harga pasaran barangan, tetapi murah kerana kebanyakannya adalah barangan terpakai. “Pendapatan bulanan dengan lima hingga enam sesi siaran langsung boleh meraih daripada RM2,000 hingga RM4,000, dengan penonton boleh mencecah bermula dengan 20 hingga 200 orang,” katanya lagi. Mengulas tentang kebaikan berniaga atas talian, Pok Ren menyifatkan ia sebagai platform yang baik terutamanya apabila pergerakan fizikal membataskan perniagaan fizikal. “Kos perniagaan juga jimat dan mempunyai capaian luas dari segi potensi pelanggan, kebanyakan pembeli adalah penonton luar Terengganu dan ada juga dari Sabah dan Sarawak. "Jadi sementara menunggu PKP habis, saya boleh menyara isteri dan anak kecil saya dengan menjadi saudagar mainan 'online' sepenuh masa," tambahnya. Untuk maklumat lebih lanjut, Pok Ren bersiaran live di Facebook ‘Kedai Mainan Pok Ren’ setiap Rabu dan Jumaat pada pukul 9.00 malam sehingga 3.00 pagi.
14 Feb 21
1092
Teknologi CMA Bantu Lonjak Pasaran Getah Negara
Teknologi CMA Bantu Lonjak Pasaran Getah Negara
KUALA NERUS, 13 Februari - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berusaha memperluaskan penggunaan getah beku dalam pembinaan jalan raya bagi membantu meningkatkan pengeluaran getah negara. Menterinya, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan, pihaknya telah berbincang dengan The Iskandar Regional Development Authority (IRDA) untuk memperluaskan penggunaan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) dan teknologi turapan bitumen sekerap terubahsuai (CMB) bagi laluan baru sepanjang 20 kilometer (km) yang akan dikembangkan IRDA. "Kerjasama ini bagi memperluaskan penggunaan getah beku yang merupakan bahan komoditi utama tempatan sekaligus meningkatkan pengeluaran getah serta harganya di pasaran. "Walaupun penggunaannya untuk peringkat awal lebih mahal iaitu sekali ganda kos asal, tetapi ia memberi keuntungan jangka masa panjang dari segi penyelenggaraan kerana lebih tahan. Itu hasrat kita," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika menyantuni beberapa keluarga berbangsa Tionghua di Taman Wakaf Tembesu, hari ini. Mohd Khairuddin berkata, teknologi tersebut telah diperkenalkan sebelum ini, namun perlu diperluaskan lagi. "Sebelum ini, teknologi CMA dan CMB sudah berjaya digunakan bagi jalan selenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) sepanjang 200 km. "Kita berhasrat melaksanakannya bersama kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan negeri bagi pembangunan jalan-jalan kampung," katanya. Jelasnya lagi, usaha itu akan membantu dari sudut pembelian harga getah dan melonjakkan pendapatan pekebun kecil. "Sekarang kita bergantung kepada harga dunia yang tidak boleh dikawal. "Tetapi untuk pembelian dalam negara oleh syarikat yang membekalkan CMA dan CMB, kita mahu mereka membeli dengan harga tinggi daripada pengusaha kecil dan ini akan meningkatkan pengeluaran getah beku kita," katanya.
13 Feb 21
666
Bot Nelayan Vietnam Ditahan Ceroboh Perairan Terengganu
Bot Nelayan Vietnam Ditahan Ceroboh Perairan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Februari- Tujuh kru termasuk tekong dipercayai warganegara Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM/Maritim) berikutan dikesan menceroboh perairan negara, semalam. Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Suffi Mohd Ramli memaklumkan, bot nelayan asing itu ditahan Kapal Peronda KM Tegas yang sedang melaksanakan rondaan OP KUDA LAUT di sekitar perairan Terengganu sekitar jam 10 pagi, semalam. "Bersama-sama kru, kita turut merampas 500 minyak diesel dan hasil laut terdiri daripada ikan dan sotong sebanyak 90 kilogram.  "Bot nelayan Vietnam itu dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu, pagi ini untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini. Antara bot-bot Vietnam yang telah ditahan oleh APMM Terengganu. Jelasnya, Maritim Terengganu akan terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya ketika peralihan monsun timur laut. Suffi menyatakan, tindakan tangkapan yang dilaksanakan adalah bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang berkemungkinan datang dari warga asing yang menceroboh perairan negara. "Selaku pihak bertanggungjawab, kita ingin meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu untuk tindakan yang lebih pantas," katanya. Tambahnya, usaha keras Maritim selaras tema Hari Ulang Tahun ke-16 Maritim Malaysia iaitu 'Kami Serius Melaksanakannya'. "Orang awam boleh melayari laman Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai sambutan yang pertama kali diadakan secara maya ini," katanya.  
12 Feb 21
1125