Artikel "Utama" Terkini
18,743 Calon SPM Terengganu Duduki Peperiksaan Mulai Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Seramai 18,743 calon termasuk 899 calon persendirian mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di 169 pusat peperiksaan seluruh Terengganu bermula hari ini hingga 25 Mac ini.
Salim Ab Ghani.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani berkata, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut, seramai 1,427 petugas peperiksaan dilantik.
"Berlaku penambahan petugas peperiksaan berikutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Bilik-bilik peperiksaan ditambah, begitu juga dengan petugas.
"Juga tinjauan kita di beberapa buah sekolah sebelum ini mendapati terdapat bilik-bilik yang dikhaskan dan mereka sangat akur dengan SOP yang ada. Kesemua calon serta petugas memakai pelitup muka sepanjang masa," katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media ketika lawatannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abbas, Tok Jiring di sini pagi tadi.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang memberi garis panduan serta SOP yang sangat jelas.
"Saya ucap terima kasih kepada kementerian yang memberi SOP yang sangat jelas serta pengetua-pengetua sekolah yang mematuhi arahan sepatutnya.
"Diingatkan agar ibu bapa calon khususnya memberi kerjasama sepenuhnya menjaga anak-anak mereka di rumah dengan mematuhi setiap arahan," jelasnya.
Semua calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusandan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 dan SOP yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan serta mencegah penularan wabak Covid-19.
22 Feb 21
431
Individu Tuba Udang Galah Bakal Dikenakan Tindakan
BESUT, 22 Februari – Kerajaan Terengganu memandang serius tindakan segelintir pihak yang menangkap udang galah dengan menggunakan taktik haram termasuk tuba atau racun ikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, pihaknya akan mengambil tindakan melalui Enakmen Peraturan Perikanan Darat.
Katanya, enakmen itu kini dalam peringkat akhir pembentangan kerana Akta Perikanan 1985 hanya meliputi aktiviti perikanan lautan sahaja.
“Dengan enakmen baharu, kita akan ada punca kuasa untuk mengambil tindakan dan kawal sumber perikanan darat sama ada di kawasan sungai dan tasik.
“Aktiviti angkat ikan melalui taktik kotor seperti dengan kaedah tuba, bahan letupan dan renjatan elektrik adalah salah, kerana ia mampu mengakibatkan kepupusan spesis ikan dan kesukaran pembiakannya dalam satu tempat.
“Situasi ini jelas berlawanan dengan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkayakan sumber perikanan laut dan darat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Mybest Buy Agrobazar di PTK Nyiur Tujuh.
Tambah Dr Azman, kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah proaktif dalam memperkayakan sumber perikanan melalui peruntukan bajet tahun 2021.
“RM1.21 juta atau 4 kali ganda jumlah berbanding tahun sebelumnya telah diperuntukkan sebagai langkah meningkatkan ekonomi lautan rakyat.
“Oleh itu, apabila kerajaan negeri bersungguh-sungguh dalam inisiatif pertanian maritim ini, anasir-anasir dan penangkapan menggunakan kaedah haram membawa risiko buruk terhadap matlamat tersebut,” ujarnya.
Beberapa hari lalu, media melaporkan tindakan menuba udang galah menggunakan racun semakin berleluasa di Sungai Kemaman, Kampung Pasir Gajah, Air Putih.
Penduduk Kampung Pasir Gajah mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang semakin kerap melakukan aktiviti itu sejak beberapa tahun lalu.
Dakwa penduduk, racun tuba atau racun tanaman digunakan dan ia dilakukan pada waktu malam bagi mengelak dikesan.
21 Feb 21
1630
Agrobazar Buka Peluang Pasarkan Produk Usahawan Tempatan
BESUT, 22 Februari – Kewujudan Agrobazar sebagai hab pemasaran dan jualan produk tempatan berpotensi meraih pendapatan lebih buat usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia juga dilihat mampu memenuhi keperluan barangan harian dengan harga lebih murah.
"Agrobazar pertama di Besut menyasarkan hasil jualan sebanyak RM5,000 sehari dan akan meningkat dari semasa ke semasa.
"Sasaran utama juga supaya Agrobazaar ini menjadi pusat pemasaran produk tempatan sama ada dalam bentuk IKS atau produk lain. Bagi memastikan matlamat tersebut tercapai, pihak kami mencadangkan sebuah ‘database’ bagi mengumpul maklumat pengusaha tempatan melalui pelbagai jabatan berkenaan, merangkumi produk lokal dan asas tani dari kawasan tepi pantai hingga ke pedalaman.
“Tujuannya supaya Agrobazaar menjadi pusat pemasaran utama dan teratur, menarik pengunjung dan menyokong IKS di sekitar kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Mybest Buy Agrobazar di PTK Nyiur Tujuh, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah FAMA Terengganu, Che Ghani Che Wan dan Pengarah Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh.
Tambah Dr Azman, Agrobazar tersebut kini membekalkan 30 peratus produk IKS dan bumiputera terdiri daripada sejuk beku, sayur-sayuran segar dan produk buatan tempatan dengan harga rendah berbanding di pasaran luaran.
“Insya-Allah dengan ‘pilot project’ yang diterajui FAMA ini adalah langkah pertama membuka ruang kemudahan pasaran dan serta peluang pekerjaan untuk penduduk sekitar,” jelasnya.
“Sebelumnya, bangunan Pasar Tani Kekal Nyiur Tujuh telah siap dibina tiga tahun lepas namun tidak dimanfaatkan secara optimum, hasilnya kerajaan negeri bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu menjadikan tapak ini sebagai Agrobazaar pertama di Besut.
Untuk rekod, Agrobazaar Nyiur Tujuh telah dibuka pada 1 Februari 2021 kini mencatatkan nilai jualan sebanyak RM52,364.37 sehingga 12 Februari tahun tersebut.
21 Feb 21
1017
Anak Terengganu Azizulhasni, Harrif Gegar Dunia
KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Dua pelumba basikal kelahiran Terengganu, Azizulhasni Awang dan Harrif Salleh mencipta nama di pentas dunia hari ini (Sabtu).
Di sebelah siang (waktu Malaysia), Azizul atau Jijoe memenangi pingat emas di Kejohanan Trek Elit Victoria, Australia.
Azizulhasni mencatat 10.126 saat dalam kelayakan pecut individu sekali gus meletakkan dirinya mengungguli kedudukan carta dalam saingan yang berlangsung di Velodrome Pusat Sukan Antarabangsa Darebin di Melbourne itu.
Manakala sebentar tadi, Harrif meraih kedudukan pertama di siri perlumbaan UCI, Grand Prix Velo Manavgat di Turki.
Harrif, 32, yang mewakili Terengganu Cycling Team (TSG) membuktikan kayuhannya masih berbisa walaupun hampir setahun tidak menyertai kejohanan besar akibat penularan COVID-19.
Kemenangan Harrif pada perlumbaan sejauh 147.5 kilometer itu menjadi tonik terbaik buatnya dan TSG untuk beraksi dalam saingan seterusnya di Grand Prix Alanya esok.
20 Feb 21
2379
Nasi Kandar Hotel Permai 'Laku Keras'
KUALA TERENGGANU, 18 Februari- Tidak sampai empat jam, lebih 600 set nasi kandar RM5 habis terjual melalui Jom Singgah Beli di Hotel Permai pada hari pertama dilancarkan semalam.
Antara pelanggan yang ditemui, Noraina Mahmud, 29, berkata, dia tidak melepaskan peluang mendapatkan set nasi kandar dengan harga RM5 selepas promosi itu tular di media sosial.
"Dalam tempoh pandemik ni, susah nak cari makanan yang sedap dengan kos mampu milik.Jadi saya tidak melepaskan peluang untuk beli makanan tengah hari di sini.
“Ini hari kedua saya datang untuk beli nasi kandar ni.Dengan harga RM5, saya boleh dapat ayam goreng, sayur kobis mamak, bendi, papadom dan air sirap yang diberikan percuma sahaja.
"Oklah macam ini. Saya dapat makan kenyang dengan menu yang sedap dari chef hotel dan harganya mampu milik untuk waktu ekonomi yang tidak berapa stabil ini,"ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika ditemui hari ini di tapak jualan Sik Kandar, hadapan Hotel Permai.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman berkata, pihaknya hanya memperuntukan 100 set nasi kandar pada hari pertama untuk percubaan namun tidak menyangka permintaan cukup luar biasa.
"Jualan bermula jam 11.30 sehingga 2.30 petang tetapi tak sampai setengah jam dah terjual 150 set dan pelanggan masih ramai termasuk tempahan.
"Pihak kami terpaksa menyediakan tambahan nasi kandar sehinggakan terjual lebih 600 pek dalam masa yang agak singkat,"ujarnya.
Menurut beliau, orang ramai juga boleh membuat tempahan lebih awal jika mahu membeli dalam kuantiti yang banyak.
"Tempahan juga dibuka sama ada pelanggan datang ambil sendiri atau pihak hotel buat penghantaran secara terus.
"Kami juga sediakan sembilan jenis lauk seperti kari kambing, kari telur sotong, kari ikan dan baby crab dengan harga RM1.50 hingga RM5 bergantung dengan selera pelanggan," tambahnya.
Bagi Chef Mat Andri Abas, 49, idea nasi kandar ini tercetus apabila beliau rasakan sukar untuk menikmati menu utara ini di Terengganu.
"Jadi lahirlah resepi nasi kandar dengan penggunaan rempah ratus tempatan tetapi masih mengekalkan keaslian rasa mamak yang unik.
"Rasa puas hati apabila pelanggan memberikan komen yang positif dengan rasa dan harga yang ditawarkan, Insha Allah akan pelbagaikan lagi lauk selepas ini,"katanya.
18 Feb 21
2210
Bakar Tong Sampah, PBT Beri Peringatan
KUALA TERENGGANU, 18 Februari - Sikap segelintir masyarakat membakar sampah di dalam tong sampah sehingga menyebabkan kemudahan tersebut rosak dan tidak boleh digunakan mengundang amaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed berkata, lebih 30 tong sampah yang diletakkan di bahu jalan untuk kemudahan orang awam di daerah ini rosak terbakar kerana sikap tidak bertanggungjawab tersebut.
"Tong sampah antara barangan yang sering rosak kerana penggunaan yang salah. Antara punca kerosakan itu disebabkan individu tidak bertanggungjawab yang bertindak membakar sampah di dalam tong sampah sehingga menyebabkan plastik tong sampah cair dan tidak boleh digunakan lagi.
"Masalah tong sampah terbakar ini adalah antara kerosakan yang sering dilaporkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sehingga memaksa PBT berkenaan meninggalkan notis supaya perbuatan serupa tidak berulang," katanya.
Selain itu, katanya, terdapat juga kes tong sampah terbakar berpunca daripada tindakan segelintir pengguna yang membuang puntung rokok masih menyala ke dalamnya.
"Perbuatan-perbuatan begini perlu dihentikan supaya harta benda awam ini terus terjaga dan boleh dimanfaatkan bersama.
"Selain tong sampah, kerosakan cermin cembung dan lampu isyarat juga antara perbuatan vandalisme yang dikesan berlaku," katanya.
18 Feb 21
1212
MSNT Mulakan Proses Sanitasi Kawasan Kemudahan Sukan
KUALA NERUS, 18 Februari - Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) hari ini memulakan kerja-kerja sanitasi di semua kemudahan sukan seluruh negeri Terengganu berikutan pembukaan sektor sukan pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula di negeri ini, esok.
Penolong Pengarah (Pengurusan Kompleks Sukan) MSNT, A. Zulkefli Mohammad memaklumkan, tugasan itu dimulakan di lapan kemudahan sukan utama di bawah pengurusan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak iaitu Stadium Sultan Mizan, Stadium Tertutup, Arena Lawnbowls padang latihan bola sepak dan ragbi, padang hoki, mini stadium serta litar permotoran.
"Proses sanitasi yang kita lakukan pada hari ini melibatkan anggota seramai 10 orang terdiri daripada kakitangan yang telah mahir dan mendapat tunjuk ajar dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu.
"Bahan yang digunakan juga merupakan bahan yang disyorkan Bomba serta menepati spesifikasi diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu program sanitasi di kemudahan sukan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, hari ini.
Jelasnya, program sanitasi itu merupakan proses kali keempat dilakukakn MSNT sejak pandemik Covid-19 lalu.
"Kita masih lagi berhati-hati menguruskan kemudahan sukan di Terengganu ini terutama di sini kerana ia menjadi tumpuan ahli-ahli sukan terutama pemain bola sepak dan atlet yang melakukan persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) nanti.
"Jadi, kawasan-kawasan yang kita jangka didekati atlet secara menyeluruh kita akan sanitasi. Selepas program hari ini, kita akan bergerak ke daerah-daerah contohnya asrama atlet, pusat latihan tinju di Besut dan dewan gimnastik di Marang. Kami berharap dengan adanya program sanitasi ini, kita dapat mengawal penularan di semua pusat sukan di negeri Terengganu," katanya.
Tambah A. Zulkefli lagi, usaha tersebut sebagai menyambut baik pembukaan semula sektor sukan dengan norma baharu yang diumumkan Kerajaan Persekutuan, baru-baru ini.
"Proses ini akan berjalan secara berkala, manakala bagi kemudahan yang bersaiz kecil, kita buat setiap hari contohnya kawasan gim akan dilakukan setiap sebelum dan selepas digunakan.
"Kalau pertandingan bola sepak pula, sehari sebelum pasukan bola sepak masuk stadium kita telah buat sanitasi dan selepas mereka keluar, keesokan harinya kita akan buat lagi sanitasi lokasi tersebut," katanya.
18 Feb 21
504
PKM Permaisuri Sumbang Katil Kepada Pesakit Strok
SETIU, 18 Februari - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Permaisuri menyumbangkan sebuah katil hospital bagi kegunaan seorang pesakit strok di Kampung Putera Jaya, semalam.
Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, Foo Chek Eng, 62, adalah penerima pertama katil tersebut pada tahun ini melalui sistem wakaf.
"Bantuan ini bagi memudahkan kehidupan mereka sekeluarga," katanya ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Chek Eng yang mengalami masalah kesihatan akibat serangan strok sejak lima tahun lalu tidak mampu melakukan tugasan harian seperti biasa dan tanggungjawab itu dipikul suaminya, Wang Kiat Wang, 66.
Menurut suaminya yang bekerja kampung dan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), anak lelakinya juga turut membantu menguruskan kehidupan mereka.
"Dia banyak membantu kami, menguruskan apa yang patut terutamanya membabitkan hal-hal dalam rumah ini.
"Terima kasih banyak kepada PKM dengan sumbangan yang bermakna ini," jelasnya.
18 Feb 21
222
'Ini Hanya Tanda Koma, Bukan Titik Noktah' - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 Februari - "Kalau ada sekelumit atau sedikit kelemahan dalam apa-apa jua subjek ataupun keputusan peperiksaan, jangan jadikan itu sebagai suatu titik noktah, sebalikanya ia koma sahaja.
"Kita berdiri dan akan bangkit kembali. Kalau orang main tinju, tak salah kena tumbuk, itu normal, yang salah bila jatuh tak bangun-bangun.
"Walaupun kamu jatuh berkali-kali, kamu tetap perlu berdiri, percayakan diri kamu melebihi segala-galanya," ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi laman facebooknya hari ini.
Dalam persiapan menghadapi ujian tersebut, Menteri Besar Terengganu menyifatkan bidang menuntut ilmu dan menghadapi peperiksaan seperti SPM sebagai satu perjalanan tidak boleh dijangka.
"Walaupun dalam 10 minit lagi, kita tidak akan tahu masa depan kita, banyak kejutan bakal berlaku.
"Contohnya seperti membawa kereta ke Kuala Lumpur, seperti di lebuh raya, pelbagai halangan kita akan hadapi tanpa disangka seperti lubang atau haiwan melintas. Ada masa kita atau ayah masing-masing 'drive' elok-elok, tiba-tiba ada kereta keluar, kita tidak akan tahu.
"Maknanya kita perlu bersedia dan waspada sepanjang masa, sama seperti anak-anak yang bakal menghadapi SPM tahun ini," katanya.
Beliau turut menasihati para pelajar supaya menjadi lebih tegas dan menguatkan azam serta menyesuaikan diri kepada cabaran akan datang.
"Percaya bahawa ekspidisi kehidupan akan datang juga tidak akan ceria dan menyenangkan sepanjang masa. Kehidupan dan perancangan tidak akan selalu terjadi seperti yang kita inginkan.
"Dah fikir macam-macam, buat macam-macam, kadangkala tak dapat apa yang kita nak kerana itu adalah kehidupan dan itu sifat manusia.
"Bukan hitam atau putih semata-mata tetapi penuh dengan warna-warnil, tetapi peperiksaan ini tidak bukan penghujungnya, ia hanyala satu koma dan bukan titik noktah," katanya lagi.
Berdasarkan rekod daripada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), seramai 18,743 pelajar bakal menduduki peperiksaan SPM 2020 di Terengganu, merangkumi 837 calon persendirian, pada minggu hadapan. - Gambar fail - Hishamuddin Abdullah.
18 Feb 21
1107
25 Bom Asap Ditemukan Di Felda Kertih 3
DUNGUN, 18 Februari – Situasi cemas dilalui seorang pemandu lori apabila menemui satu kotak berisi 25 bom asap yang masih aktif di tempat pembuangan sampah Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, objek menyerupai bom tangan tersebut dijumpai oleh pemandu tersebut kira-kira jam 4 petang pada 15 Februari.
"Susulan itu pemandu lori berkenaan telah memanggil beberapa rakan sebagai saksi ke lokasi pembuangan sampah itu kira-kira jam 10 malam, hari sama.
"Sepasukan anggota daripada bahagian persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dikerahkan ke lokasi untuk tindakan, beserta arahan kepada anggota Balai Polis Ketengah agar memasang rintangan kuning di lokasi.
“Hasil pemeriksaan menemukan 24 bom asap bertulis DK manakala sebutir lagi bertulis 518 Riot CS dalam sebuah kotak berwarna coklat yang ditutupi dua beg galas kanak-kanak,” katanya dalam satu sidang media.
Tambahnya, semakan oleh pihaknya mendapati bom tersebut tidak mempunyai sebarang nombor siri dan dipercayai buatan Korea Selatan.
“Bom seumpama itu lazimnya digunakan ketika latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di samping Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan merupakan bahan terlarang yang tidak boleh disimpan mana-mana individu.
“Kesemua barangan tersebut akan dilupuskan Unit Persenjataan (AMRA) IPD Dungun di Lapang Sasar Lembah Bidong dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957,” jelasnya.
18 Feb 21
678