Artikel "Utama" Terkini
Akademi Robotik Pertama Di Terengganu, Lahir Generasi Al-Jazari
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kewujudan Akademi Robotik TD1303 X Jazari Robot (JAZRO) pertama dalam negeri mampu menjadi platform pembelajaran teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) berteraskan nilai kemahiran teknologi dan pembentukan sahsiah.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, selaras dengan agenda kementeriannya, pelbagai peringkat daripada kanak-kanak sehingga golongan belia boleh memanfaatkan fasiliti dalam meningkatkan penguasaan teknologi.
“Kita tidak lagi boleh bergantung semata-mata penggunaan tenaga buruh upah, melalui pendidikan robotik produktiviti yang efisien dapat diwujudkan dalam pelbagai sektor.
“Ini dapat dilihat hasil pandemik COVID-19, menyebabkan Malaysia mempercepatkan penguasaan dan penggunaan teknologi sebegini dalam pelbagai sektor.
“Contohnya seperti Robot FARMO yang diperkenalkan dalam sektor pertanian digunakan untuk kerja penyemburan racun, baja dan memetik buah-buahan,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Perasmian Akademi Robotik TD1303 X JAZRO di TD1303, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, pagi semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri yang juga Pengerusi TD1303, Ariffin Deraman, Ketua Pengurus JAZRO Robotic Academy, Ir Dzulfarqeish Zainuddin.
Ketua Pengurusnya, Ir Dzulfarqeish memaklumkan, penyertaan program tersebut telah melibatkan antara 40 hingga 50 pelajar sebulan disertai pelajar berusia seawal lima tahun sehingga 17 tahun.
“JAZRO Robotic Academy komited untuk berkongsi kemahiran yang relevan dengan IR 4.0, seterusnya membolehkan warga muda di Terengganu tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital global.
“Modul disediakan bukan sahaja menekankan kemahiran teknologi semata-mata, malahan menyelitkan elemen pembentukan sahsiah melalui modul al-Jazari berteraskan nilai-nilai murni Islam,” jelasnya.
06 Mar 21
920
Lebih 900,000 Benih Ikan Dilepaskan Di Tasik Kenyir Tahun Lepas
HULU TERENGGANU, 6 Mac- Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah ( Ketengah) melepaskan 935,460 pelbagai benih spesies ikan bernilai lebih RM500 ribu di Tasik Kenyir pada tahun 2020.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 2, Che Abdullah Mat Nawi, berkata pelepasan itu bagi meningkatkan stok ikan perikanan darat dan sumber perikanan darat dalam menjamin bekalan makanan.
Katanya, ia juga bagi meningkatkan sosio-ekonomi nelayan darat di sungai dan tasik.
"Antara benih ikan yang telah dilepaskan pada tahun 2020 adalah kelah, temoleh, sebarau, lampam, baung dan udang galah.
"Pelepasan ini telah bermula secara berperingkat pada Julai hingga November 2020," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelepasan Sejuta Benih Ikan di Sungai Leban, Tasik Kenyir, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Ketengah, Dato' Razali Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat dan Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali.
Sebanyak 300 ribu benih pelbagai spesies anak ikan iaitu kelah, baung, lampam dan udang galah yang bernilai RM379,668 dilepaskan sempena program tersebut.
Tambahnya lagi, pada bulan Februari 2021, sebanyak 5,000 ekor benih lampam bernilai RM10 ribu telahpun dilepaskan ke Sungai Leban.
06 Mar 21
743
Bekalan Air Mula Pulih Di Semua Kawasan
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Masalah gangguan bekalan air di beberapa kawasan di negeri ini mula pulih sejak pagi tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ir Atemin Sulong berkata, 100 peratus kawasan termasuk di Kampung Ladang, Pulau Kambing, Pasir Panjang dan Gong Kapas telah mendapat semula bekalan.
"Buat masa ini dengan sebahagian pengguna mengalami tekanan rendah daripada kebiasaan. Kami memerlukan beberapa hari untuk kembali normal sepenuhnya.
"Saya memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan berharap agar semua bersabar, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk selesaikan masalah ini sepenuhnya," katanya ketika dihubungi UPDI hari ini.
Ir Atemin.
Sementara, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh memaklumkan, masalah yang berlaku adalah berpunca daripada sistem penapisan.
"Ia sebenarnya berkaitan dengan masalah ketiadaan air minggu lepas.
"Bermula kelmarin proses penggantian giat dijalankan, tetapi kadar tekanan air rendah menyebabkan berlaku pula masalah tak boleh nak 'flush'.
"Dalam tempoh gangguan air itu kawasan yang terjejas pihak SATU sediakan lori tangki air," katanya.
Pada Januari lalu pihak SATU memberitahu, tiga loji baharu sedang dibina bagi menyelesaikan masalah air yang sering membelenggu penduduk di beberapa daerah .
Penyelesaian jangka panjang itu dijangkakan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu bermula Aidilfitri nanti.
"Insya-Allah, Loji Air Bukit Berapit, Kuala Nerus dan Loji Air Losong (tambahan) yang sedang dibina pada dijangka siap dan boleh beroperasi awal April depan.
"Manakala sebuah lagi iaitu Loji Air Pulau Bahagia dijangka siap dan boleh beroperasi dalam beberapa masa lagi," ujar SATU.
Difahamkan sistem termasuk infrastruktur di loji air di Terengganu sudah berpuluh tahun tidak diperbaharui dan diganti.
06 Mar 21
3090
Suami Tembak Isteri : Keluarga Harap Pembunuh Dihukum Setimpal
HULU TERENGGANU, 6 Mac - "Sekiranya dia (suspek) benar-benar didapati bersalah, kami harap hukuman setimpal dikenakan terhadapnya," luah adik perempuan mangsa yang ditembak suami sehingga mati sebelum ditanam dalam sebuah tong air di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, Johor Bahru.
Katanya, ahli keluarganya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.
"Kami akan cuba 'mengunci' mulut daripada memberi sebarang kenyataan yang dirisaukan akan menganggu siasatan polis nanti selain ingin menjaga perasaan kedua orang tua kami yang hari ini (Sabtu) baharu dilihat ada sedikit kekuatan selepas dikhabarkan berita menimpa arwah.
"Bukan bermaksud tidak mahu memberi kerjasama kepada sesiapa terutama pihak media, cuma situasi sekarang masih tidak membenarkan untuk kami mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Kami tahu tragedi menimpa arwah hari ini sudah menjadi tular di media sosial, jadi disebabkan itu kami hendak menjaga hati kedua orang tua kerana risaukan mungkin ada terbaca komen-komen negatif daripada netizen, semangat mereka akan jatuh kembali," katanya sebagaimana dilapor Sinar Harian.
Dia berkata, kali terakhir anak kedua daripada 11 beradik itu balik ke rumah di Kampung Telaga, Kuala Berang, di sini sekitar Ogos tahun lepas, tetapi mereka memang sentiasa berhubung dengan membuat panggilan video.
"Malah pada malam terakhir arwah dilaporkan hilang, dia masih sempat membuat panggilan video kepada kami dalam keadaan yang gembira selain dia masih sempat membuat memuat naik video mengajar anak-anaknya mengaji di dalam status Facebook (FB) miliknya.
"Walaupun arwah jarang balik ke kampung tetapi kami kerap berhubung dengan membuat panggilan video bersama dua anak saudara masing-masing berusia 4 dan 2 tahun," katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, ayah mangsa, Alias Salleh, 62, berkata, menantunya adalah lelaki yang baik dan tidak pernah membuat sebarang masalah sebelum ini.
"Dia (suspek) adalah seorang suami dan menantu yang baik dan tidak ada buat apa-apa masalah sebelum ini. Kami tak sangka yang perkara sebegini akan berlaku.
"Kami sekeluarga sedih dengan perkara ini tapi redha dengan apa yang berlaku,” katanya ketika dikunjungi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh hari ini.
Misteri kehilangan seorang wanita yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, Johor Bahru.
Lebih mengejutkan, suaminya yang berusia 43 tahun, menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya berusia 38 tahun, ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor Bahru.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.
Kes bermula apabila jiran mereka membuat laporan berkaitan kehilangan ibu dua anak berkenaan, pada Isnin lalu dan membawa penahanan suami wanita itu serta seorang lagi lelaki berusia 32 tahun yang juga rakan baiknya, pada keesokkan harinya, bagi membantu siasatan.
05 Mar 21
1675
Pasar Payang Lokasi Kempen Budaya Norma Baru COVID-19
KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Pasar Besar Kedai Payang terpilih antara enam pasar utama di seluruh negara yang perlu diberi tumpuan dalam Kempen Membudayakan Norma Baru Covid-19.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Sri Alexander Nanta Linggi berkata, lima lagi pasar yang tersenarai ialah Pasar Satok di Kuching Sarawak, Pasar Kraftangan Di Kota Kinabalu, Sabah, Pasar Siti Khadijah Kota Bharu Kelantan, Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah dan Pasar Chowrasta, Georgetown, Pulau Pinang.
Katanya, pasar-pasar ini perlu dipersiapkan bagi memastikan ia dapat menerima pengunjung luar dengan pematuhan SOP yang tinggi apabila sektor pelancongan
domestik dibuka seperti biasa.
"Pemilihan pasar-pasar utama ini adalah berdasarkan beberapa
kriteria. Antara kriteria utama ialah tempat pasar utama ini adalah merupakan tumpuan pengguna terutama pelancong domestik.
"Persekitaran yang berisiko rendah dan selamat akan memberi keyakinan kepada pengguna untuk terus mengunjungi premis-premis perniagaan tersebut,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Covid 19, Sektor Peruncitan Di Pasar-Pasar Utama di Pasar Payang, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato' Rosol Wahid; Ketua Setiausaha kementerian itu, Dato' Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman serta Pengarah KPDNHEP negeri, Shaharuddin Mohd Kia.
Tambahnya lagi, kempen itu juga adalah sebahagian strategi bersepadu Kerajaan dalam mengurus pandemik COVID-19 yang diterajui oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Sementara itu Alexander juga berkata, kadar pematuhan SOP sektor peruncitan sehingga 1 Mac 2021 adalah pada kadar 97.9 peratus dan menjadi sektor yang terbaik sehingga hari ini.
"KPDNHEP telah menjalankan lebih dari 400 ribu pemeriksaan premis diseluruh negara dan telah mengeluarkan sebanyak 151 kompaun.
"Berdasarkan jumlah pemeriksaan tersebut, KPDNHEP mendapati kadar pematuhan disektor peruncitan
adalah amat tinggi dan perlu dikekalkan sehingga berakhirnya
situasi pandemik di negara ini," ujarnya.
05 Mar 21
894
KPDNHEP Perkenal Penguatkuasaan Prihatin
HULU TERENGGANU, 5 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memperkenalkan kaedah baharu menerusi penguatkuasaan prihatin ekoran wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Menterinya, Dato' Sri Alexander Nanta Linggi berkata program kementerian itu bertujuan memantau dan melihat perniagaan bergerak semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Katanya, ia merupakan penguatkuasan secara berimbang iaitu gabungan penguatkuasaan berhemah dan legalistik terhadap peniaga dari kumpulan sasar tertentu yang tidak patuh undang-undang bawah KPDNHEP.
"Jika sebelum ini, penguatkuasa KPDNHEP lebih tegas ke atas peniaga yang melanggar undang-undang tetapi kali ini, kita lebih berhemah sesuai dengan keadaan semasa yang mana ramai di antara mereka baru memulakan kembali perniagaan.
"Pendekatan nasihat akan digunakan terlebih dahulu dan jika masih melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan maka tindakan yang lebih tegas akan diambil," ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di pelancaran Penguatkuasaan Prihatin Di Pasar Pagi Kampung Bukit Diman, Ajil di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ajil, Maliaman Kassim dan Pengarah KPDNHEP, Shaharuddin Mohd Kia.
Tambahnya, pihak penguatkuasa KPDNHEP hanya akan dilaksanakan ke atas perniagaan kecil termasuk premis terbuka, premis bermusim, gerai sementara, premis di kawasan pendalaman dan lain-lain yang difikirkan perlu.
" Penguatkuasaan prihatin ini terpakai atas kesalahan yang bersifat kecil oleh peniaga seperti penandaan harga barang dan caj perkhidmatan, penentusahan alat timbang dan sukat, jualan murah danjualan barang kawalan.
"Kaedah ini memberi ruang dan peluang kepada peniaga dari kumpulan sasar untuk buat tindakan pembetulan dan mematuhi peruntukan perundangan di bawah KPDNHEP," jelasnya.
Sementara itu mengulas tentang pembukaan cawangan KPDNHEP di Hulu Terengganu, Alexander berkata pihaknya akan membuat kajian terlebih dahulu sebelum memberikan kelulusan.
05 Mar 21
307
THRDC Terima 3,500 Surat Tunjuk Minat, Peluang Buat 'Pemburu' Kerja
KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (THRDC) merekodkan kira-kira 3,500 surat tunjuk minat (LOI) sekali gus memberi berita gembira kepada mereka yang sedang menganggur atau mencari kerja.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, surat daripada majikan pelbagai sektor tersebut menawarkan 3,000 lebih kekosongan pekerjaan.
“Proses itu akan dilaksanakan dalam memastikan rakyat yang tiada pekerjaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau baru tamat pengajian, kita akan isi kekosongan yang ada.
“Melalui THRDC, kita akan menjadi jambatan antara majikan bagi memenuhi keperluan tenaga dan institusi-institusi latihan yang membekalkan seperti mana yang diperlukan.
“LOI menyatakan apa kepakaran yang dikehendaki, oleh itu kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan elaun bagi melatih mereka yang berminat bagi mengisi keperluan tersebut,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI.
Tambahnya, THRDC sentiasa berhubung rapat dengan pelbagai majikan dan institusi latihan tentang maklumat kekosongan dalam bidang-bidang berkaitan bagi menjayakan konsep penyediaan tenaga kerja sesuai atau ‘Place and Train’.
“Di peringkat negeri, bagi mereka yang berminat untuk pendaftaran atas talian program ‘Place and Train’ boleh melawat laman web https://bit.ly/belia_kerja.
“Sementara itu, pencari kerja juga boleh berdaftar dengan https://www.myfuturejobs.gov.my/ , ini platform perkeso dimana Terengganu bergerak sekali dalam mencari jodoh pekerjaan bagi mereka yang ingin menceburi apa-apa bidang,” katanya lagi.
04 Mar 21
785
'Sediakan Payung Sebelum Hujan' - Isu Caruman Perkeso
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kesedaran mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dalam kalangan individu terutamanya usahawan dalam negeri masih perlu diwar-warkan supaya golongan tersebut tidak terlepas bantuan dan manfaat.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, apabila Kerajaan Persekutuan menurunkan bantuan melalui Perkeso seperti Program Subsidi Upah (PSU), hanya 30 peratus usahawan Terengganu yang layak menerimanya.
“Ini berlaku kerana kebanyakan mereka tidak pernah berdaftar dengan pertubuhan tersebut, situasi ini merugikan kerana walaupun besar peruntukan insentif, tetapi tidak digembleng dengan sebaiknya.
“Oleh itu, melalui kolaborasi bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), sesiapa yang menjadi ahli Sahabat Usahawan Terengganu (SUT), ini menjadi lesen kepada mereka untuk layak dapat permohonan dengan Perkeso.
“Sehingga kini, senarai berdaftar hanya mencatatkan 6,000 usahawan sahaja, tetapi Perkeso bersetuju untuk jadikan kita sebagai rakan strategik, keahlian SUT kini mencecah lebih 9,800 usahawan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.
Tambah Nurkhuzaini, beliau juga menggalakkan individu bekerja untuk mendaftar terus melalui Perkeso.
“Kepentingan dalam mencarum adalah supaya mempunyai perlindungan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini semasa mereka bekerja.
“Contohnya, jika ditimpa kemalangan jalan raya, jika didaftar pencarum akan mendapat bantuan kelas pertama, jika masuk wad ada elaun Perkeso. Jika ada kecacatan akibat kemalangan akan mendapat imbuhan, jika ada kematian, keluarga si mati akan dapat manfaat.
“Rakyat perlu faham dan manfaatkan sebaik mungkin bak kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’. Kos bagi mendaftar juga minimum serendah lingkungan RM100 hingga RM200 sahaja,” jelasnya.
04 Mar 21
347
Kerajaan Ajak Rakyat 'Hidupkan' Solat Berjemaah
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Bagi merancakkan lagi program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) peringkat Terengganu, kerajaan negeri bergerak mempromosikan kempen Jom Solat Berjemaah di Pasar Payang, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kempen tersebut dihidupkan sempena mengingati bulan Rejab yang padanya diturunkan kewajipan solat.
"Hari ini, kita mendekati peniaga-peniaga mempromosikan usaha yang digerakkan Rasulullah SAW dahulu iaitu solat berjemaah. Kita mahu peniaga di sini bukan sahaja menjual produk tetapi yang turut menerapkan budaya solat berjemaah apabila masuk waktu.
"Bukan sahaja mereka, malah kita mahu setiap pengunjung yang datang ke Terengganu juga terdidik dengan amalan mengerjakan solat secara berjemaah.
"Apabila semua lapisan masyarakat jaga ibadah dan amalan yang utama ini, kita akan membina masyarakat yang baik," katanya selepas menyampaikan sekitar 250 helai baju Jom Solat Berjemaah kepada pengunjung-pengunjung di lokasi berkenaan.
Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS), Kamaruzzaman Abdullah, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.
Menurut Mohd Nor, kerajaan negeri juga telah berbincang dengan Persatuan Pasar Kedai Payang dan Bazar Warisan bagi memakmurkan surau di sana dengan aktiviti-aktiviti ilmu yang bakal dikendalikan IMiTS dan DUAT.
"Solat berjemaah boleh dibuat di rumah, namun apabila ada ruang untuk solat di masjid disebalik kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita disarankan memenuhkan masjid.
"Kerajaan negeri ambil tanggungjawab menyemarakkan kempen ini kerana inilah teras sebagai sebuah kerajaan sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT. Ia bukan sahaja tanggungjawab badan individu, ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO), tetapi kerajaan juga perlu ambil peranan.
"Kita juga akan cuba luaskan kempen ini ke semua daerah. Setakat ini kita pilih tempat yang kita anggap biasanya membawa kepada kita lalai untuk solat seperti pasaraya, pasar-pasar, padang bola dan sebagainya," katanya.
Dalam pada itu, pengerusi persatuan Pasar Kedai Payang dan Bazar Warisan, Ahmad Syukri Abdullah mengalu-alukan kempen yang dianjurkan itu.
"Kempen ini sekurang-kurangnya dapat menyedarkan masyarakat untuk solat secara berjemaah kerana itu lebih afdal.
"Terengganu terkenal sebagai tamadun yang memiliki keilmuan dan penghayatan agama yang tinggi. Dalam hal ini, kita perlu bersama-sama mengekalkan dan menunjukkan identiti ini terutama kepada generasi muda hari ini," katanya.
03 Mar 21
672
KUTT Bangunkan Koridor Utiliti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) bakal menjadi sebagai pemain utama dalam membangunkan Koridor Utiliti Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Majlis Menandatangani Perjanjian antara kerajaan negeri dan KUTT di Wisma Darul Iman hari ini mengesahkan syarikat terbabit akan bertindak sebagai Agensi Hentian Setempat (One Stop Agency) bagi semua pemohonan permit kerja-kerja pengorekan di seluruh Terengganu.
Katanya, semua jajaran utiliti di negeri ini merangkumi tenaga eletrik, bekalan air, rangkaian telekomunikasi dan sistem kumbahan yang dinamakan sebagai Pengkalan Data Geospatial Negeri Terengganu (PDGNT).
“Bagi menangani kelemahan pengurusan infrastruktur utiliti, Kerajaan Persekutuan menerusi agensi-agensi seperti Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa (Plan MALAYSIA) dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah berusaha merangka perlbagai garis panduan dan ketetapan bagi memastikan pengurusan dan perancangan infrastruktur utiliti dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya dalam program terbabit.
Menurut Ahmad Samsuri, demi memastikan keberkesanan garis panduan yang telah dirangka itu, pihaknya akan melaksanakan segala saranan daripda agensi terlibat.
“Gabungan pelbagai garis panduan ini telah di rangkumkan oleh KUTT di dalam garis panduan baru yang dinamakan Garis Panduan Laluan Kemudahan Utiliti Negeri Terengganu – Edisi Pertama (2020).
“Industri ini diyakini mampu memberi kesan kepada ekonomi negeri melalui nilai tambah dalam pekerjaan, pembangunan kemahiran dan perolehan data maklumat negeri serta secara tidak langsung juga akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Terengganu,” katanya..
03 Mar 21
2544