Artikel "Utama" Terkini
Kawasan Industri Terengganu Dikembali Kepada PMINT
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Kerajaan negeri mengembalikan tanggungjawab membangun dan menguruskan kawasan industri negeri kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sebagaimana keputusan yang telah dipersetujui pada 29 Julai 2020 yang lalu.
Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, sebelumnya tanggungjawab tersebut dikendalikan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan akan diserahkan kepada PMINT secara berperingkat.
"Sebagai permulaan, PMINT bakal memiliki tanah industri yang masih milikan kerajaan yang mana masih belum ditawarkan kepada mana-mana pelabur.
"Berdasarkan rekod, negeri Terengganu mempunyai 25 kawasan perindustrian yang telah dizonkan melibatkan lapan daerah," katanya pada satu sidang media sempena Majlis Penyerahan Pembangunan dan Pengurusan Kawasan Industri Negeri Terengganu Kepada PMINT di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pengarah Tanah Dan Galian negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Pengarah UPEN, Samiun Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman.
Mengulas lanjut, menurut Tengku Hassan, PMINT selaku agensi di bawah kerajaan negeri akan memastikan tanah industri yang diberikan itu dibangunkan sepenuhnya mengikut tempoh masa yang ditetapkan sebagaimana yang dirancang.
Tambahnya, dalam masa yang sama pihaknya juga sedang melakukan pemutihan dan akan mengambil tindakan terhadap 776 pemilik tanah perindustrian di seluruh Terengganu yang telah dikenal pasti tidak mengusahakan tanah tersebut.
08 Mar 21
1060
Kawasan Pendaratan Tuntung Jadi Pusat Pelancongan Komuniti
HULU TERENGGANU, 8 Mac - Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan kawasan pendaratan tuntung di Kampung Temir sebagai pusat pelancongan berteraskan komuniti.
Pengerusi Jawatankuasa pelancongan Kebudayaan dan Teknologi negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu bagi memastikan lebih ramai pengunjung datang ke negeri ini apabila aktiviti rentas negeri dibenarkan.
Katanya, usaha itu juga diyakini mampu memelihara spesies haiwan yang kian pupus terbabit.
"Kalau dahulu di Rantau abang ada tempat penyu bertelur yang mana sekarang ini masih ada tapi bilangannya sedikit sangat.
"Sebenarnya pelancong sama ada dari luar atau dalam negeri kita sendiri pun ada yang tidak pernah kenal tuntung, maka ia dijadikan 'edutourism', memberi pendidikan kepada seluruh masyarakat, sama ada anak-anak, pelajar-pelajar untuk mengenali tuntung ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada UPDI ketika mengadakan lawatan ke Kampung Temir bagi aktiviti melihat tuntung bertelur dan aktiviti konservasi, di daerah ini, semalam.
Ariffin berkata, usaha yang dilakukan Jabatan Pelancongan negeri itu melibatkan kerjasama Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Perlindungan Hidupan liar dan Taman Negara, Persatuan pelancongan Negeri Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
"Usaha yang dilakukan ini juga adalah untuk memberi manfaat dan kesedaran kepada masyarakat agar tidak berlaku sebarang pencemaran yang boleh merosakkan khazanah alam semula jadi terutama di kawasan pasir Temir ini.
"Dalam mesyuarat exco bulan lepas banyak permohonan-permohonan pasir yang dibuat telah ditolak oleh kerajaan dalam usaha pemeliharaan tuntung dimana dalam radius 4 kilometer di kawasan ini, kita tidak dibenarkan aktiviti pengorekan pasir.
"Kerana kita bimbang aktiviti ini jika diteruskan boleh menjejaskan jangka hayat tuntung ataupun kita tak dapat melihat lagi apa yang kita lihat sekarang ini. Ini yang menjadi kesungguhan kerajaan negeri dalam hal ini," katanya.
Selain itu sebarang aktiviti memancing, menjala atau yang boleh mengganggu habitat berkenaan terutama pada Februari hingga Mei setiap tahun di waktu tempoh haiwan itu bertelur di kawasan berkenaan adalah dilarang.
"Ini bertepatan dengan Akta Hidupan Liar 2010 yang melarang mana-mana pihak untuk menangkap, memakan menjual tuntung dan telurnya.
"Pada tahun 2021 sebanyak 50 ekor telah direkodkan setakat 13 Februari 2021. Purata kutipan telur di kawasan Pasir Temir ini pada tahun 2021 sebanyak 500 biji yang mana telur ini telah dipindahkan ke Pusat Konservasi Tuntung Bukit Paluh untuk proses pengeraman selama 85 hari sehingga proses penetasan tuntung," ujarnya.
Katanya lagi, kawasan tuntung bertelur tersebut bukan merupakan produk baru tetapi ia kembali digilap bagi menyesuaikannya mengikut perkembangan produk pelancongan kontemporari pada waktu ini.
08 Mar 21
1855
Tebatan Banjir Kemasik Perlu Disegerakan
KEMAMAN, 7 Mac - Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kemasik perlu disegerakan untuk mengelakkan kejadian banjir besar berulang di Mukim Kemasik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili memaklumkan, beliau telah memohon Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyegerakan pembinaan RTB itu.
Lawatan YAB Perdana Menteri Malaysia, ke Daerah Kemaman pada December 2020 lalu.
Cadangan RTB Kemasik ini telah diserahkan oleh Menteri Besar, Dr. Samsuri Mokhtar sendiri semasa Lawatan Pasca Banjir YAB Perdana Menteri ke Daerah Kemaman baru-baru ini.
Ir Saiful menegaskan, RTB itu sahaja jalan penyelesaian untuk mengelak bencana banjir berulang setiap tahun di Mukim Kemasik. Walaupun pelbagai pembangunan menaiktaraf infrastruktur dijalankan, namun ianya tidak dapat juga menampung kuantiti air yang banyak.
Ucapan ADUN Kemasik di Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Kerajaan Negeri Terengganu dan MAIWP.
"Sebelum ini projek RTB Kemasik ini juga dipohon dan dirancang di mana yang terakhir semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan, tetapi kerja-kerja masih tidak berjaya dilaksanakan.
"Kepada pihak berkenaan, harap menyegerakan pembinaan RTB Kemasik ini demi keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat dalam Mukim Kemasik," ujarnya pada Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Kerajaan Negeri Terengganu dan MAIWP kepada 322 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir dalam DUN Kemasik, pagi semalam.
07 Mar 21
597
Graduan Reka Bentuk Tempa Nama Dalam Bisnes
Oleh : Nur Farah Amirah Hamzah
KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian, Nur Sarah Adlina Mohammad, 25, mula menempa nama dalam bidang perniagaan selepas bisnes keknya mendapat sambutan orang ramai terutamanya di media sosial.
Menurut Nur Sarah, walaupun kafe hipster kini bagai cendawan tumbuh selepas hujan, dia menyatakan bahawa PastelMonoMY yang dibinanya adalah berdasarkan minat mendalam dalam perniagaan dan bukannya sekadar trend.
“Sebelum ini, saya pernah memohon kerja di beberapa syarikat namun kecenderungan saya lebih kepada bisnes.
“Sejak 17 tahun saya telah terlibat dalam dunia perniagaan dengan menjual aksesori elektronik, kaca mata, beg dan jam tangan 'custom',” katanya ketika ditemui di kafe miliknya di Kuala Ibai, Ahad lalu.
Tambah Sarah, minat dan kesungguhan sejak kecil itu ternyata berbaloi apabila dia kini mula membina empayar perniagaan sendiri sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.
“Sebelum memiliki kafe sendiri saya hanya mengambil tempahan untuk ‘cash on delivery’ (COD).
“Kemudian, hasil duit simpanan COD saya berjaya membuka kedai, dan pada permulaan saya hanya bercadang untuk beroperasi secara ‘pick up’ sahaja, tetapi ayah memberi cadangan supaya menambah meja dan kerusi,” jelasnya.
Ujar Nur Sarah lagi, perniagaannya itu kini makin maju apabila sering dikunjungi orang ramai setiap hari meskipun kafe tersebut baru berusia 3 bulan.
“Di awal operasi dulu, kedai hanya dibuka pada jam 1 tengah hari hingga 5 petang, namun sekarang kedai terpaksa dibuka bermula 11.30 pagi hingga 7 petang,
“Alhamdulillah, berkat usaha dan minat, saya telah berjaya mencapai apa yang dicitakan. Saya terfikir untuk menambah lagi menu resepi-resepi lain untuk perancangan masa hadapan,”
Sementara itu, ibunya, Haninah Yusof, 57, berkata, dia tidak menyangka minat mendalam Sarah itu membuahkan hasil yang lumayan.
“Dia memang minat berniaga sejak darjah 2. Contohnya kuih yang dibeli dengan harga RM0.50 dia akan menjual semula kuih itu dengan harga RM0.60 di sekolahnya,” jelas ibu Sarah.
PastelMonoMY yang terletak di Kuala Ibai menyediakan pelbagai jenis kek dan pastri antaranya Lotus Biscoff Cheesecake, Baby Burnt Cheesecake dan lebih daripada 20 pilihan menu.
Untuk makluman lanjut, layari PastelMonoMY di Instagram dan Facebook. Lokasi kafe juga boleh didapati applikasi Waze. Waktu operasi kafe adalah pada jam 11.30 petang - 7.00 malam setiap hari / 2.30 petang - 7.00 malam hari Jumaat kecuali cuti pada hari Rabu.
07 Mar 21
2115
‘Gugurkan’ Kes Sekutu Politik, Perundangan Era PH Bermasalah
KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Beberapa peristiwa yang berlaku ketika era pemerintahan kerajaan terdahulu seperti pengguguran kes sekutu politik membuktikan sistem perundangan Pakatan Harapan (PH) bermasalah.
Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ia laksana lampu Aladdin yang memanggil jin iaitu untuk membebaskan pemimpin-pemimpin dengan cepat atau tidak melalui proses yang betul.
“Lebih parah ketika itu, PH berani membuat kenyataan yang mencabar kedudukan Islam, Raja-raja Melayu, hak istimewa bumiputera, dan beberapa asas dalam Perlembagaan yang lain.
“Semuanya berlaku sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke Putrajaya,” ujar Presiden PAS itu dalam satu kenyataan sempena setahun Pemerintahan Perikatan Nasional (PN) hari ini.
Tegas Abdul Hadi, kegelojohan PH tidak terhenti setakat itu sahaja apabila mereka turut ‘berebut’ menentukan kerusi siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.
“Laksana berebut pusaka ketika si ayah masih hidup segar. Masing-masing menunjukkan penumbuk sesama sendiri, selepas beberapa hari pilihan raya berlalu.
“Sehingga mereka yang bersama dalam PH mula menyedari bahawa sudah tiada harapan lagi, yang tinggal hanya harapan pada namanya sahaja,” jelasnya.
Katanya lagi, kedudukan pakatan politik PH yang rapuh juga memberi kesan besar kepada negara dan rakyat.
“Laksana sudah mahu bercerai dan bersedia membahagikan perabot rumah dan membahagi-bahagikan anak pinak. Bahkan sekarang pun mereka sedang berebut anak pinak antara PAN dan PKR, apabila slogan amanahnya berkecai, keadilannya terpilih,” ujar Abdul Hadi.
Tambah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu, kini wujud dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) tidak berpolitik secara melampau ketika tempoh darurat tidak ubah seperti Burung Kasuari Padang Pasir.
“Padahal mereka tetap juga berpolitiking dengan mendesak agar diadakan Sidang Parlimen ketika tempoh masa darurat kerana Tuanku yang mengisytiharkannya boleh bersidang.
“Telatah mereka yang kononnya tidak berpolitiking, seperti burung kasuari padang pasir yang menyembunyikan diri dengan menyorok kepalanya yang kecil ke dalam tanah, dan mendedahkan badannya yang besar nampak dari jauh mata memandang,” katanya.
07 Mar 21
801
RM13 Juta Projek Penempatan Semula Nelayan Di Tiga Daerah
KUALA TERENGGANU, 7 Mac - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyediakan peruntukan sebanyak RM13 juta tahun ini untuk Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) yang melibatkan tiga daerah di Terengganu.
Timbalan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan I, Dato’ Seri Ahmad Hamzah berkata, peruntukan yang disalurkan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu bagi melaksanakan projek di Pulau Sekepeng, Kemaman, Seberang Penarik, Setiu dan Benting Lintang, Besut.
"Setiap kawasan ini masing-masing membabitkan sebanyak 50 buah rumah dengan peruntukan pembinaan rumah RM3,500,000 dan RM2,500,000 kos infrastruktur," katanya pada sidang akhbar selepas Program Misi Bantuan Pasca Banjir MAFI Prihatin 2021 di Pelabuhan Perikanan LKIM Chendering di sini, semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan Ahmad berkata, misi MAFI Prihatin yang dilancarkan di Wisma Tani, Putrajaya pada 21 Januari lalu melibatkan penghantaran bantuan keperluan makanan, barangan peralatan elektrik dan kelengkapan asas ke negeri yang terjejas banjir iaitu Pahang, Kelantan, Sabah, Johor dan Terengganu.
"Terengganu merupakan negeri kelima Misi MAFI Prihatin Banjir 2021 dengan menyasarkan nelayan, petani dan penternak yang terjejas banjir. Antara bantuan yang akan disampaikan ialah keperluan makanan, barangan peralatan elektrik dan kelengkapan asas.
"Seramai 500 penerima dalam kalangan peladang, penternak dan nelayan di pelbagai kawasan dikenal pasti untuk menerima bantuan MAFI Prihatin iaitu dari Kemaman, Kijal, Kemasik, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.
"Program yang merupakan salah satu tanggungjawab sosial dan keprihatinan MAFI dan LKIM kepada golongan sasar turut menghulurkan sumbangan keperluan makanan seperti ikan segar beku (Q' Fish) kepada penerima yang diagihkan oleh LKIM," katanya.
Beliau turut menasihatkan kepada para nelayan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan semasa menjalankan tugas atau menangkap ikan di laut seperti sentiasa memakai jaket keselamatan dan menghubungi pihak berkuasa jika melihat jenayah di laut.
"Contoh jenayah kebiasaan berlaku di laut hari ini pencerobohan nelayan asing dan penyeludupan barangan terlarang dan pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Saya juga berharap warga kerja MAFI terutama semasa bertugas di lapangan dan masyarakat nelayan untuk terus mengamalkan norma baharu seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata, sehingga kini sebanyak 135 buah pasar nelayan dibuka di negara ini dan sembilan daripada jumlah tersebut beroperasi negeri ini.
"Daripada jumlah pasar nelayan yang beroperasi ini melibatkan seramai 550 peserta keseluruhannya telah berjaya merekodkan jumlah jualan sebanyak RM45 juta sehingga November tahun lalu.
"Dengan pencapaian memberangsangkan ini, kami mensasarkan jualan pada tahun ini sehingga RM55 juta," katanya.
07 Mar 21
662
Gajah Betina Seberat 2.5 Tan Berjaya Ditangkap Di Durian Bador
HULU TERENGGANU, 7 Mac – Seekor gajah betina yang dipercayai menceroboh Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS) dan merosakkan kebun penduduk di Kampung Durian Bador dekat Kuala Berang, akhirnya berjaya ditangkap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Khamis lepas.
Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata haiwan liar seberat 2.5 tan itu ditangkap kira-kira pukul 10 pagi sewaktu berkeliaran di Kampung Durian Bador yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari TPNS.
Katanya, proses penangkapan gajah betina itu melalui kaedah tembakan ubat pelali dalam operasi yang dijalankan enam kakitangan Unit Tangkapan Gajah, Terengganu.
“Perhilitan Terengganu telah membuat pemantauan sejak Selasa (2 Mac), selepas menerima aduan daripada penduduk kampung sekitar mengenai sekumpulan gajah yang sering berkeliaran di kampung mereka dan merosakkan tanaman penduduk.
"Hasil risikan mendapati terdapat sembilan ekor gajah dalam kumpulan ini dan Perhilitan Terengganu akan terus memantau pergerakan gajah lain yang masih berkeliaran.
"Kumpulan gajah ini dipercayai keluar dari hutan berhampiran dan menceroboh masuk ke perkampungan penduduk untuk mencari makanan," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata berita kejayaan menangkapan haiwan itu, melegakan penduduk di sekitar Kampung Sekayu, Kuala Menjing, Durian Bador Kemat, Padang Setar dan Taman Pertanian Negeri Sekayu, kerana tanaman mereka sering dimusnahkan, sebelum ini.
Tambahnya lagi, gajah tersebut akan dilepaskan ke habitat asalnya di Taman Negara Terengganu, Hulu Terengganu pada masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.
“Lokasi pemindahan serta pelepasan semula gajah liar terbabit ialah di Taman Negara, Tanjung Mentong di Hulu Terengganu," kata Abdul Malek.
Media sebelum ini melaporkan lebih 117 pokok palma yang terdapat di TPNS telah musnah dirosakkan sekumpulan gajah sejak tahun lalu dan merosakkan tanaman sehingga penduduk kampung terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.
07 Mar 21
1074
Tiada Urusan Vaksin COVID-19 Swasta Buat Masa Ini
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kerajaan Malaysia masih menjadi pengendali utama proses vaksinasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) manakala perancangan serta dasar pemvaksinan melibatkan sektor swasta masih belum ditentukan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, proses pembelian vaksin adalah di bawah Kerajaan Malaysia kerana ia melibatkan bekalan terhad.
“Jadi boleh dikatakan semua pengeluar vaksin berurusan dengan kerajaan, oleh itu, kami nasihatkan jangan percaya terhadap sebarang pihak yang menyediakan perkhidmatan perubatan demikian.
“Vaksin yang diperoleh kerajaan adalah diyakini dan melalui proses kawalan dan pengawasan ketat oleh Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).
“Kebelakangan ini, ada tular iklan jualan vaksin di platform e-dagang Shopee, jadi masyarakat dinasihatkan supaya berhati-hati dan ikuti saranan kerajaan,” katanya selepas merasmikan Akademi Robotik TD 1303 x Jazro di TD1303, pagi semalam.
Mengulas lanjut mengenai usul agar pihak swasta dibenarkan membeli dan menawarkan suntikan vaksin Covid-19, beliau berkata, keputusan belum dikeluarkan kementerian.
“Namun Ia bukan mustahil, tetapi jika mengikut kerangka PICK, ia mungkin berkemungkinan dapat menimbulkan isu ketidakselarasan,” tambahnya.
Menurut Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, lebih dua juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19, manakala sehingga 5 Mac, kira-kira 112,000 petugas barisan hadapan telah disuntik.
06 Mar 21
190
'Ingatkan Panas Hingga Ke Petang, Rupanya...' - Rintih Dr Nor Azimi
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - "Ingatkan panas hingga ke petang, rupanya 'joong' (redup) di tengah hari," rintih Dr Nor Azimi Yunus di facebooknya selepas Terengganu mencatatkan 22 kes positif hari ini.
Pengarah Kesihatan Terengganu itu berkata, pihaknya menjangkakan kes COVID-19 di negeri ini semakin berkurang, namun ia berlaku sebaliknya gara-gara individu merentas negeri.
"R-naught (Rt) Terengganu pada 5 Mac adalah 0.56. Kes terbaharu hari ini melibatkan beberapa keluarga dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang balik untuk menziarahi datuk yang meninggal dunia.
"Apabila ada kematian, kebiasaannya akan ada majlis tahlil dan kenduri tahlil melibatkan perkumpulan keluarga yang agak ramai iaitu sekitar 45 orang. Akhirnya 15 dari mereka disahkan positif," jelasnya.
Katanya lagi, dalam keluarga terbabit ada yang bergejala turut serta dan ia menyebabkan jangkitan sangat tinggi.
"Sepatutnya sudah tahu bergejala tangguhkan dulu atau patuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.
"Sama seperti kisah di Besut sebelum ini. Beberapa keluarga dari Kuantan dan Johor balik menziarahi nenek yang berumur 100 tahun dan sakit tua. Akhirnya lima ahli keluarga dijangkiti pandemik termasuk nenek ini. Nenek ini akhirnya meninggal dunia.
"Ada juga kisah jiran disahkan positif COVID-19 hanya kerana menziarahi keluarga arwah," ujarnya.
Nor Azimi.
Susulan itu, beliau merayu agar orang ramai mengambil serius tentang wabak yang sedang dihadapi.
"Tolonglah, kita dah hadap wabak ini lebih setahun. Bila ramai kes baru maka proses mengesan kontak rapat yang ramai itu akan bermula lagi. Sampai bila lagi kita nak macam ini.
"Tolonglah, ambik iktibar dari kisah ini. Elak perkumpulan keluarga ramai, kecuali kita boleh sahkan tiada pembawa COVID-19 dalam keluarga kita," rayu beliau.
06 Mar 21
50817
Sinovac Bukan Vaksin Murahan
KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Tanggapan segelintir pihak mengenai Sinovac sebagai vaksin murahan adalah tidak benar kerana proses kelulusan di bawah kawal selia Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) sangat ketat.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, vaksin yang dibeli secara pukal dari China itu adalah lebih mahal dan dipercayai di peringkat dunia kerana penghasilannya menggunakan teknologi ternama.
“Proses pembotolan dijalankan oleh Pharmaniaga Berhad, namun lambat sedikit dari segi kelulusan, kerana ia tidak bergantung kepada kelulusan 200 liter vaksin secara pukal.
“Vaksin tersebut perlu diproses dan dibotolkan dengan betul seperti ditetapkan piawaian,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Robotik TD1303 X JAZRO di TD1303, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, pagi tadi.
Mengulas isu vaksin Pfizer-BioNTech yang menjadi rebutan warga kasta tinggi, Ahmad Amzad memaklumkan, semua vaksin mempunyai keberkesanan yang sama.
“Bagi meningkatkan keyakinan masyarakat awam, saya telah mendaftar untuk divaksin melalui aplikasi MySejahtera dan sedang menunggu giliran.
“Bila sampai giliran saya, vaksin selain Pfizer yang diluluskan NPRA akan disuntik, jika ia Sinovac maka itulah vaksin saya, semoga ini menimbulkan keyakinan terhada vaksin yang diluluskan kerajaan,” jelasnya.
Menjawab dakwaan sesetengah penerima vaksin meninggal setelah disuntik, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menegaskan NPRA iaitu badan kawal selia ubat-ubatan di Malaysia dirujuk sebagai agensi yang paling ketat dalam kerja kelulusan vaksin.
“Berkaitan insiden kematian, apabila diteliti tiada kaitan langsung disebabkan vaksin, jika berlaku sedemikian maka laporan penerima vaksin akan dirujuk untuk mengkaji punca kematian.
“279 juta dos vaksin telah disuntik sehingga kini di 107 negara, sehari purata enam juta orang disuntik, kesan sampingan iaitu anaphylaxis pada kadar sangat minimum iaitu sekitar 0.0003 hingga 0.0004 peratus.
“Di United Kingdom, alahan kacang lebih tinggi berbanding kesan vaksin pada 0.025 peratus atau 1/200 orang dewasa boleh alami kesan sampingan daripada makanan tersebut,” tambahnya.
06 Mar 21
612