Artikel "Utama" Terkini
PPTS Medium Bela Nasib Golongan B40
MARANG, 3 Mac - Kerajaan negeri melalui Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) telah banyak membantu masyarakat khasnya golongan B40 di negeri ini dalam memenuhi hasrat mereka bagi memiliki kediaman sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, kali ini melalui peruntukkan sebanyak RM250,000 lima unit rumah baru telah dibina serta sebuah rumah telah dibaik pulih bagi memastikan kesejahteraan penerima terlibat.
"Alhamdulillah peserta-peserta terpilih daripada golongan B40 yang memiliki kekurangan daripada sudut kewangan, namun dengan peruntukkan tersebut kita dapat membantu mereka untuk mendapatkan rumah sendiri.
"Moga-moga Allah SWT merahmati mereka dan memberkati mereka," katanya ketika menyantuni para penerima manfaat PPTS di DUN berkenaan, baru-baru ini.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri itu berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin bahawa terdapat ramai yang masih memerlukan rumah namun mengakui pihak kerajaan mempunyai peruntukkan yang sangat terhad bagi memastikan seluruh rakyat di negeri ini memiliki kediaman melalui sumbangan kerajaan.
"Masih ada saluran lain yang boleh dimohon termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat melayu (MAIDAM), Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta projek pembangunan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar," katanya.
03 Mar 21
236
Hampir 10,000 Jawatan Kosong Sempena Karnival Penjana Pekerjaan 2021
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Karnival Penjana Pekerjaan Negeri Terengganu 2021 yang dijadualkan pada bulan April ini bakal membuka hampir 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, karnival tersebut akan diusahakan pada pertengahan April dengan cadangan tempatnya di Pusat Sains dan Kreativiti (PSKT), Chendering.
“Peluang ini sangat menarik kerana ia mendapat sambutan baik daripada pelbagai majikan melalui peruntukan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menggunakan saluran ini.
“Insya-Allah, kerajaan negeri bersama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) akan menjadi perantara antara majikan dan rakyat yang terkesan dengan kemelesetan ekonomi akibat COVID-19 serta yang ingin mencari peluang pekerjaan.
“Setakat ini kita mendapat majikan-majikan berdaftar sama ada secara fizikal atau 'online' dengan menyediakan 9,900 lebih peluang pekerjaan yang menanti,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam.
Sementara itu, beliau turut meramalkan sambutan akan mencecah hingga 50,000 orang yang akan memeriahkan karnival peringkat negeri tersebut.
“Dengan norma baharu disebabkan pandemik, cadangan lokasi iaitu PSKT adalah strategik dan selesa buat para pengunjung," jelasnya.
Sebelumnya, Khuzaini menyifatkan karnival itu adalah yang terbesar pernah dianjurkan dalam tempoh COVID-19 dengan penglibatan lebih 80 majikan daripada pelbagai bidang.
Untuk rekod, Penjana Pekerjaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bertujuan untuk merangsang permintaan pekerjaan di kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan di kalangan pencari pekerja tempatan.
03 Mar 21
4046
'YouTuber, Jurutera Dan Terengganuan di Jepun' - Kisah Ridzwan
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Walaupun terpisah dengan jarak lebih 5,000 kilometer (km) daripada keluarga di Kuala Terengganu, ia bukan alasan bagi Muhammad Ridzwan Normahazan, 25, untuk berjaya dan bekerjaya sebagai jurutera dan 'YouTuber' di negara Matahari Terbit.
Ridzwan atau lebih mesra disapa Ridzwan-san di Jepun berkata, dia mula menjejakkan kaki di Jepun pada tahun 2016 bagi melanjutkan pelajaran di Universiti Meiji, Tokyo dalam bidang kejuruteraan mekanikal selama dua tahun selepas menghabiskan dua tahun pengajian di Malaysia.
“Kini saya telah menetap dan nak masuk tahun ketiga bekerja sebagai jurutera reka bentuk mekanikal, melukis cipta ‘design’ robot pembungkus di sebuah syarikat bernama Syntegon Technology, rumah saya di Wilayah Saitama kira-kira 30 km dari ibu negara," katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini.
Ridzwan yang juga anak kedua daripada tiga adik beradik, mengulas, antara cabaran dalam menyesuaikan diri dengan budaya negara lain adalah dari segi makanan dan bahasa.
“Walau bagaimanapun, nasihat dan bantuan daripada senior warga Malaysia berpengalaman di sini telah mengajar saya dan alhamdullilah setelah hampir lima tahun menetap di tempat orang, perbezaan budaya tidak menjanggalkan lagi," katanya lagi.
Ridzwan (di tengah hadapan) bersama warga Malaysia di Jepun.
Berkongsi mengenai karier sampingan sebagai YouTuber, beliau berkata, hobinya itu bermula sejak di bangku sekolah menengah sekitar 2011 dengan nama akaun 'ridzBORED', menghasilkan video alih suara inspirasi daripada YouTuber Malaysia seperti Faradyable.
Kini, jumlah 'subscribers' mencecah 46 ribu yang mengikuti salurannya berkaitan dengan kehidupannya dan isu-isu berkaitan budaya Jepun dan Terengganu.
“Antara video yang pernah viral seperti video berjudul 'Bila Orang Terengganu Cakap KL' dengan jumlah view mencecah 800 ribu serta 'Do Japanese Like Malaysia?' dengan jumlah penonton melebihi 400 ribu.
“Kebanyakan video dibikin sendiri yang ideanya datang daripada keinginan berkongsi pengalaman dan budaya di Jepun, mengisi ruang kekosongan Youtuber Malaysia di luar negara seperti 'Matluthfi90' (Australia)," jelasnya.
Beliau yang juga fasih berbahasa Jepun, turut menceritakan bisnes baharunya ‘Kirim Barang Jepun’, di mana perkhidmatan tempahan barangan dari Jepun diusahakan melalui platform Instagram.
“Memandangkan saya pulang ke Malaysia, tempahan dibuka untuk beli dan bawa pulang barangan seperti jam G-Shock, baju anime dan sebagainya sebagai pendapatan tambahan.
“Sekarang masih belajar lagi selok belok perniagaan dan juga merancang untuk mengirim barangan Malaysia ke Jepun juga,” tambahnya.
Ikutilah Ridzwan di saluran YouTube ‘ridzBORED’ manakala maklumat lebih lanjut berkenaan perkhidmatan kirim barang dari Jepun di profil Instagram ‘@kirimbarangjepun’.
02 Mar 21
2239
JPKK Lebih Efektif Dan Efisien Bagi Pembangunan Kampung
HULU TERENGGANU, 2 Mac-Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Manir disarankan menjadi institusi yang lebih efektif dan efisien dalam pembangunan kampung.
Timbalan Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, peranan JPKK amat penting bagi membantu dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dan menjadi agen penghubung antara rakyat dan kerajaan sehingga ke akar umbi.
“Sebab itu antara fungsi utama JPKK adalah membuat perancangan dan pelaksanaan program di kampung disamping menggerakkan penglibatan komuniti setempat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK bagi Dewan Undangan Negeri DUN Manir di Bilik Seminar Pusat Khidmat Masyarakat Kubang Lembek, hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut Penghulu Mukim Tanah Lot Manir, Khairul Syahril Othman dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera( I-MiTS )Manir, Zulkifli Abdullah.
Hilmi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, turut menyarankan JPKK agar bertindak sebagai ejen transformasi luar bandar yang bertindak membantu kerajaan mengenal pasti keperluan masyarakat di kampung masing-masing.
“Jawatankuasa JPKK juga boleh menjadi orang tengah dalam memberi penerangan yang jelas kepada rakyat tentang dasar dan polisi yang dilaksana kerajaan," tambahnya.
02 Mar 21
1026
Terengganu Benar Aktiviti Ibadat Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di negeri berkenaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir 4 Mac ini.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, kebenaran perluasan aktiviti-aktiviti tersebut tidak tertakluk kepada mana-mana masjid, surau dan pusat pengajian yang dikenakan arahan penutupan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit sepanjang tempoh penutupan.
"Penggunaan ruang dewan solat utama dan kawasan masjid bagi aktiviti solat Jumaat serta aktiviti pengajian dan kelas agama di masjid dan surau adalah dibenarkan.
"Majlis akad nikah di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan kapasiti tidak melebihi 20 orang," jelasnya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Menurut beliau, semua madrasah, pondok dan pusat tahfiz yang berada di bawah kawalan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dibenarkan beroperasi mulai 8 Mac 2021.
"Sultan Mizan Zainal Abidin juga mengingatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan," tambah Osman.
02 Mar 21
388
Jambatan Baharu Kampung Kuala Por Bakal Dibina
Oleh : Hanif Hamdan dan Mohd Adli
HULU TERENGGANU, 2 Mac - Jambatan baharu dengan peruntukan RM7 juta yang menghubungkan Kampung Kuala Por dan Kampung Pasir Nering bakal dibina dalam masa dua bulan lagi bagi menggantikan jalan yang runtuh akibat mendapan pada akhir tahun lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata kerja-kerja awal pembinaan jambatan boleh dilakukan sebaik sahaja 'soil investigation' selesai.
"Jambatan yang bakal dibina ini sejauh 40 meter dan selebar 11 meter. Ketinggiannya dari aras air 7 meter pada masa air pasang dan kita anggar harganya dalam RM7 juta.
"Jentera untuk melakukan 'Soil Investigation' sudah sampai hari ini dan kerja-kerja telah dimulakan yang mana proses ini mengambil masa dua hingga tiga hari," ujarnya ketika mengadakan lawatan ke tapak jambatan di Kampung Kuala Por pada pagi tadi.
Tambahnya, apabila selesai proses tersebut, ia akan diberikan kepada 'consultant' untuk membina jambatan baharu dalam masa sekitar satu bulan setengah.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri berkata, beberapa alternatif untuk penyelesaian sementara bagi memudahkan pengguna jalan raya tersebut telah difikirkan namun beberapa faktor tertentu perlu diambil kira bagi menjaga keselamatan bersama.
''Kita ada jalan raya daripada Kuala Berang ke Kampung Dusun melalui jambatan di Kuala Pueh, tetapi jarak perjalanan lebih panjang daripada biasa.
"Satu lagi kita ada jalan yang tidak didaftarkan ataupun tidak digazet melalui tanah-tanah kebun milik orang kampung tetapi agak bahaya kepada pengguna kerana sempit, berselekoh dan ada kawasan yang apabila hujan berlaku takungan air serta licin," katanya sebagai menjawab kekeliruan yang ditimbulkan ADUN Kijal, Ahmad Said.
Untuk rekod, pada Disember tahun lalu, Dr Mamad telah melakukan tinjauan ke kawasan terbabit dan mengarahkan agar tindakan segera diambil.
Pelantikan konsultant untuk kerja pembinaan telah dibuat pada 2 Februari baru-baru ini.
02 Mar 21
1732
Suntikan Vaksin Untuk ‘Frontliners’ Bermula
KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Program suntikan vaksin Covid-19 kepada melibatkan seramai 281 petugas barisan hadapan telah diadakan hari ini di Klinik Kesihatan Chendering.
Pakar Perunding Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Chendering, Dr Norhana Yazid memaklumkan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah memilih tarikh yang bersesuaian dengan hari bekerja dan bilangan anggota yang akan disuntik iaitu pada 2, 3, 7, 8, 9 dan 10 Mac.
“Di Kuala Terengganu terdapat dua buah pusat yang menjalankan suntikan vaksin iaitu Klinik Kesihatan Chendering dan Klinik Kesihatan Manir.
“Frontliner di Klinik Kesihatan Chendering hanya petugas dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas kesihatan manakala di selebihnya seperti anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Klinik Kesihatan Manir,” katanya.
Menurutnya lagi, suntikan kedua akan diberikan selepas 21 hari daripada tarikh menerima suntikan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi hadir ke Klinik Kesihatan Chendering bagi memantau proses suntikan vaksin yang dijalankan.
“Saya dimaklumkan bahawa persiapan untuk memulakan suntikan vaksin ini telah dibuat selama dua minggu.
“Alhamdulillah, saya lihat hari ini proses suntikan vaksin ini disusun dengan baik dan teratur termasuklah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan sangat memuaskan,” katanya.
02 Mar 21
874
Kursus Tampal Cantum Jana Ekonomi Wanita
KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Penganjur Program Kursus Jahitan Intensif mensasarkan 20 orang wanita yang terlatih dalam bidang jahitan tampal cantum dari setiap daerah di Terengganu bagi menjana ekonomi kendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata program yang diberi nama Program Kursus Jahitan Intensif Penghasilan Produk Dari Perca Kain / Pakaian Terpakai Melalui Jahitan Tampal Cantum (Patchwork / Quilting) itu merupakan salah satu daripada siri-siri Projek Jom Cipta Kerjaya (JCK) anjurannya.
Zuraida berucap ketika majlis perasmian.
Menurut beliau lagi, objektif utama penganjuran ialah untuk memberi kemahiran jahitan sulam tampal pelbagai jenis produk kepada wanita di samping bagi menambah pendapatan sampingan dengan memasarkan produk secara atas talian.
“Untuk program ini, kami sasarkan 20 usahawan jahitan tampal cantum di setiap daerah. Kami sudah selesai berkursus di Daerah Kuala Nerus, sekarang sedang berlangsung di Daerah Marang dan insya-Allah selepas ini, akan ke kawasan-kawasan lain pula.
“Pada masa yang sama, kami ingin beri pendedahan kepada wanita bahawa penghasilan produk tampal cantum ini boleh dilakukan dengan kos minima dan dengan hanya menggunakan mesin jahit ringan," ujarnya.
Zuraida berkata demikian ketika merasmikan kursus tersebut di Bengkel Jahitan Komuniti KAFA Masjid Titian Baru Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Dalam majlis yang sama, turut berlangsung gimik perasmian Pusat Komuniti Wanita Sejahtera Marang yang disempurnakan oleh ADUN Wanita dan penyerahan mesin jahit kepada penerima oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu.
Hadir bersama-sama, Pengerusi Majlis Permuafakatan Wanita Negeri Terengganu (MAWADDAH), To’ Puan Zarani Othman, Isteri Ahli Parlimen Marang, To’ Puan Seri Zainab Awang Ngah dan Isteri ADUN Bukit Payung, Zainun Abdul Wahab.
Sebahagian peserta program.
02 Mar 21
216
Ekonomi Malaysia Kembali Pulih
KUALA TERENGGANU, 1 Mac – Kedudukan ekonomi Malaysia bergerak ke arah positif pada tahun ini selari dengan aktiviti perdagangan dunia yang semakin pulih sejak menghadapi pandemik COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada tahun 2021 diunjur kembali pulih pada kadar 5.5 peratus.
"Badan-badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia pada bulan Januari 2021 mengunjurkan ekonomi negara kita akan berkembang pada kadar 7.0 peratus dan 6.7 peratus.
“Prestasi memberangsangkan melihat pasaran bon mencatatkan aliran masuk sebanyak RM23.1 bilion sehingga Ogos 2020 dan pelaburan asing bersih meningkat kepada RM6.1 bilion pada suku keempat 2020 berbanding RM22 bilion dicatatkan pada suku kedua 2020.
“Antara faktor keyakinan pelabur luar ini kerana usaha giat kerajaan untuk mengadakan libat urus dengan pelabur sedia ada bagi memahami kehendak industri dalam tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, barisan kepimpinan kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan dan swasta.
Sebelum ini Ahmad Samsuri menyifatkan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri Malaysia berada di landasan baik dalam mengurangkan ketidaktentuan politik dan meningkatkan kedudukan ekonomi meskipun dalam pandemik COVID-19.
"Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri dan barisan kepimpinan negara yang bertungkus-lumus dengan pelbagai agenda demi kesejahteraan rakyat dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan walaupun negara berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya pandemik COVID-19 ketika ini.
"Kerajaan negeri menyambut baik perkara yang disampaikan terutamanya agenda pemerkasaan bumiputera, usaha untuk membasmi kemiskinan dan pembangunan negara," katanya menerusi ciapan di halaman Facebooknya.
01 Mar 21
164
Pura Tanjung Sabtu Bangkit Kembali Sebagai Produk Pelancongan Komuniti
KUALA NERUS, 1 Mac - Kerajaan negeri sedang dalam kerja membangun kembali potensi Pura Tanjung Sabtu dan lain-lain lokasi pelancongan di Buluh Gading sebagai tarikan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) yang mampu menjana ekonomi bagi penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri bersama sokongan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah mengambil inisiatif melalui peruntukan pembangunan infrastruktur dan kebersihan serta sedang giat melestarikan lokasi seperti di Pura Tanjung Sabtu.
"Alhamdullilah, pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu turut bekerjasama dalam bergotong-royong di sini yang juga kelihatan seperti rumah tradisional antik dan pernah tular di media sosial.
"Konsep CBT ini mesti melalui usaha bersama JPKK, kerana mereka juga pemegang taruh dalam sektor pelancongan dalam komuniti mereka sendiri.
“Dengan harapan supaya masyarakat di sini terlibat sekali dan mendapat manfaat daripada peningkatan pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke lokasi CBT di Buluh Gading, baru-baru ini.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa mencari potensi baharu bagi menambahkan lagi lokasi menarik sebagai lubuk pelancongan, dan kertas kerja telah dimaklumkan dan akan dibincang di peringkat negeri dari semasa ke semasa.
Turut hadir, ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin.
Sementara itu, Ariffin turut menceritakan lokasi lain seperti tokong Sampohkong Keramat Cheng Ho yang merupakan tempat persinggahan Laksamana Cheng Ho dan Kampung Tanjung Bunut.
“Seperti difahamkan Laksamana Cheng Ho merupakan seorang tokoh pelaut tersohor yang dipercayai juga seorang muslim pada abad ke-15, lokasi ini dengan nilai sejarah tersebut mampu menjadi tarikan kepada pelancong terutamanya warga Cina.
“Produk pelancongn lain seperti ‘river trail’ atau bot menyusuri dua sungai iaitu ke Kuala Berang ke Kuala Terengganu dan Sungai Nerus juga akan diperkembangkan supaya ia menyusuri lokasi-lokasi sedemikian dalam satu pakej,” tambahnya.
Menurut ADUN kawasan tersebut, Ridzuan Hashim, beliau memaklumkan antara kerjasama terlibat bersama tiga JPKK iaitu JPKK Tanjung Sabtu, JPKK Tanjung Bunut dan JPKK Teluk Pasu.
“Secara tidak langsung, masyarakat setempat juga boleh meraih peluang ekonomi ini dalam menjana pendapatan di dengan komuniti sendiri,” katanya.
01 Mar 21
4530