lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Tubuh Kelab, Bantu Ibu Tunggal
Tubuh Kelab, Bantu Ibu Tunggal
MARANG, 4 April - Penubuhan Kelab Ibu Tunggal Dewan Undangan Negeri (DUN)  Rhu Rendang nyata mampu menjadi medan perkongsian terbaik  dan  memperkasakan golongan itu ke arah penambahbaikan lebih positif, selain bertujuan menjaga kebajikan. Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, dia bersyukur kerana diberi kesempatan, ruang dan peluang untuk duduk bersama ibu-ibu yang kuat serta cekal dalam meneruskan kehidupan yang lebih baik kepada diri sendiri lebih-lebih lagi kepada anak-anak. "Tujuan ini diadakan juga untuk mengumpulkan ibu tunggal di samping mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita, katanya ketika merasmikan program Bual Bicara Bersama Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang anjuran Kelab Ibu Tunggal DUN Rhu Rendang di Rusila,"katanya. Turut hadir adalah Timbalan Pengarah Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Mohd Embong dan petugas Insititut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang. Menurutnya lagi yang merupakan Pengerusi Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), platform itu juga boleh dijadikan sebagai satu tempat untuk menambah ilmu pengetahuan terutamanya kefahaman agama dalam kalangan ibu tunggal. "Dalam masa yang sama, kita dapat sampaikan ilmu yang ada kepada anak-anak, jiran-jiran, masyarakat dan sebagainya. "Kita juga sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan idea penambahbaikan dalam soal pembangunan wanita sama ada melibatkan hal pekerjaan, ekonomi dan menjana pendapatan sampingan" tambahnya. Beliau juga sempat memberikan sedikit sumbangan daripada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kepada 50 orang ibu tunggal yang hadir dalam majlis bual bicara santai tersebut.  
04 Apr 21
394
Karnival Pekerjaan Elak Rakyat 'Tanam Anggur'
Karnival Pekerjaan Elak Rakyat 'Tanam Anggur'
KUALA TERENGGANU, 4 April - Karnival Penjana Kerjaya Terengganu yang berlangsung semalam dan berakhir hari ini berupaya mengurangkan kadar penganguran di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri,Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, inisiatif itu merupakan kesinambungan usaha Kemementerian Sumber Manusia dalam memastikan kestabilan pasaran buruh negara. Katanya, lebih 10,000 kekosongan jawatan melibatkan sekitar 80 majikan mengambil bahagian dalam program temu duga terbuka di Duyong Marina Resort. "Berita gembira buat semua pencari kerja, di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 kali ini, mereka yang menerima tawaran kerja dalam lingkungan jarak di bawah 100 kilometer akan diberi bantuan mobiliti sebanyak RM500. "Manakala bagi mereka yang sanggup berpindah keluar dari tempat mereka bermastautin dengan jarak 100 kilometer ke atas, layak diberikan bantuan mobiliti sebanyak RM1,000," katanya ketika berucap dalam program terbabit semalam. Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pihaknya teruja melihat kesungguhan kerajaan negeri, Perkeso dan THRDC dalam menjayakan karnival terbabit. "Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu khususnya Menteri Besar, Dato' Seri  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Nurkhuzaini, Perkeso dan THRDC atas penganjuran program yang amat bermakna ini," jelasnya. Sementara itu beberapa graduan yang ditemui berkata karnival penjana kerjaya itu membuka ruang dan peluang untuk mereka mendapat pekerjaan dengan kadar segera.  
04 Apr 21
800
Tiada Zumba, Hanya Senamrobik Bersyarat Dibenar
Tiada Zumba, Hanya Senamrobik Bersyarat Dibenar
KUALA TERENGGANU, 4 April – Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa aktiviti zumba di negeri ini tidak dibenarkan sejak beberapa tahun lalu, sebaliknya hanya acara senamrobik dengan beberapa syarat ketat diberi kebenaran. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bagi aktiviti senamrobik pihaknya telah memberi penerangan kepada penganjur mengenai garis panduan yang perlu dipatuhi ketika acara itu dilaksanakan supaya ia menepati syariat. “Pada tahun 2019, syarat dan garis panduan telah diterangkan kepada beberapa persatuan kecergasan berkaitan cara pengendalian program yang berlandaskan agama. “Alhamdulillah sambutan pihak penganjur amat positif dan dipatuhi, namun begitu, baru-baru ini kita menerima teguran Daie Ummah, Ustaz Azhar Idrus (yang dimaksudkan di Taman Rekreasi Hiliran, Bukit Besar), kita terima pandangan ini secara terbuka. “Hasilnya, saya bersama timbalan, Hishamuddin Abdul Karim sekali lagi berbincang bersama persatuan dan jurulatih terlibat bagi penerangan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Urus setia Penerangan Darul Iman baru-baru ini. Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri sentiasa menyokong aktiviti kecergasan dalam melahirkan rakyat yang sihat dan cergas. “Dalam masa sama kita beraktiviti sebagai sebuah negeri menjadikan Islam sebagai dasar,” jelasnya. Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan syarat-syarat senamrobik yang ditetapkan kerajaan negeri sebelum ini antaranya instruktor lelaki sahaja dibenarkan di tempat terbuka manakala instruktor perempuan dibenarkan untuk peserta perempuan sahaja. "Penganjuran untuk kaum wanita akan dipindahkan ke kawasan atau dewan-dewan yang sesuai dengan aktivtiti secara tertutup. Bagi tempat awam pula, pihak kami akan mengemukakan cadangan kepada pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk merangka cadangan ruang khas yang lebih mesra pengguna wanita di taman-taman rekreasi awam. "Konsep reka bentuk itu akan dinilai bersama terlebih dahulu bagi memastikan agar konsep Right Things Right Every Time (betul dan tepat setiap kali) bagi mengelakkan pembaziran dan kegagalan. "Selain itu, kaum wanita perlu berpakaian longgar dan hanya aktiviti senam robik, senaman regangan biasa dan tai chi sahaja dibenarkan di tempat awam dan tidak dibenarkan aktiviti zumba di tempat awam. Pemilihan muzik juga perlu sesuai dan aksi tidak keterlaluan," katanya lagi. Ujar Wan Sukairi, penganjur aktiviti sukan tersebut bersama Urus setia Belia dan Sukan Negeri Terengganu (UBSNT) telah bercadang untuk menjadikan dewan di Kompleks Seri Iman sebagai lokasi utama aktiviti itu bagi kaum wanita. Untuk rekod, aktiviti senam robik tersebut telah bermula semenjak tahun 1991, dianjurkan oleh Kelab Sukan Kecergasan Warisan dan telah berlangsung semenjak 28 tahun yang lalu.
03 Apr 21
4796
Terengganu Juara, ‘Bedal’ Ego UniKL
Terengganu Juara, ‘Bedal’ Ego UniKL
KUALA LUMPUR, 3 April - Hasrat Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk menjuarai Piala TNB 2021 tercapai selepas membenam cabaran UniKL dalam penentuan penalti ‘shoot-out’ 2-0 sebentar tadi. Penjaga gol, Mohd Hafizuddin Othman muncul wira THT selepas menafikan semua pukulan penalti UniKL di samping Terengganu berjaya meledak dua gol daripada empat pukulan. Lebih manis Mohd Faizal Saari serta Shahrun Nabil Abdullah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dan pemain terbaik perlawanan. Dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta itu, UniKL terlebih dahulu meledak gol pada minit ke-9 menerusi biasan menarik Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dalam kotak penalti THT. Berselang empat minit kemudian, Tengku Ahmad Tajuddin sekali lagi menjadi duri dalam daging Terengganu apabila menyempurnakan pukulan penalti ‘stroke’ untuk kedudukan menjadi 2-0. Tersentak dengan dua gol awal itu, THT memperkemaskan jentera pasukan dan membuahkan hasil apabila pada minit ke-15 Faizal Saari bijak memanfaatkan kelekaan penjaga gol UnikL. Luqman mudah melepasi halangan pemain UniKL. Jaringan terbabit ternyata menyuntik semangat pemain THT, hasil serangan bertali arus pada minit ke-17 pasukan pantai timur itu dihadiahkan pukulan sudut penalti dan Muhammad Arif Syafie Ishak tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk menyamakan kedudukan 2-2. Perlawanan terus berlangsung rancak apabila kedua-dua pasukan memperagakan aksi berbalas serangan, namun tuah lebih memihak THT. Pada minit ke-21, gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook menutup tirai separuh masa pertama untuk kelebihan satu jaringan kepada Terengganu. Bersambung babak kedua, UniKL menukar strategi apabila membuat penguasaan di bahagian tengah, hasilnya mereka mendapat pukulan sudut penalti dan ia disempurnakan Muhammad Razie Abd Rahim di minit 35. Gol itu tidak melemahkan semangat THT untuk menjulang piala TNB buat kali ke-6 apabila Faizal Saari sekali lagi mencetak gol selepas berjaya memperdayakan pertahanan UniKL. Namun, kelekaan pemain THT Sembilan minit sebelum perlawanan tamat membawa padah apabila gerakan solo Mohamad Ashran Hamsani dari luar kotak penalty berjaya disudahkan pemain itu bagi mengikat keputusan 4-4 dan membawa ke penentuan penalti 'shoot-out'. Foto ihsan - Hokita. Faizal Saari dikawal ketat pemain UniKL.  
03 Apr 21
1317
Lebih RM10,000 Anak Pokok Terjual Dalam Masa Setengah Hari
Lebih RM10,000 Anak Pokok Terjual Dalam Masa Setengah Hari
HULU TERENGGANU, 1 April - Lebih RM10,000 nilai anak pokok habis dijual dalam masa tidak sampai setengah hari sempena Hari Terbuka Jabatan Pertanian 2021 di Ajil, kelmarin. Pengetua di Kompleks Pertanian Negeri Ajil, Hulu Terengganu, Mohd Fauzi Mohd Zin yang menyelia proses jualan memaklumkan, setakat jam tiga petang, hanya anak pokok durian belanda yang berbaki. "Untuk jualan, kami ada empat jenis anak pokok iaitu durian musang king, limau kasturi, durian belanda dan lemon dengan harga yang ditetapkan kerajaan iaitu RM12 bagi durian musang king, RM7 (durian belanda) dan RM4 bagi lemon dan limau kasturi. "Itupun kami terpaksa hadkan tiga anak pokok sahaja bagi seorang pembeli kerana sambutan terlalu hangat," katanya. Tambahnya, sebagaimana nasihat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim, jabatan perlu melibatkan petani dalam program mengeluarkan anak benih pokok sendiri. "Potensi pertanian itu ada. Apabila kita libatkan petani secara langsung, jabatan cuma perlu bertindak sebagai fasilitator. "Apa yang penting, kita perlu memberikan pendidikan tentang pertanian supaya petani dapat bercucuk tanam dengan cara yang betul sejak awal supaya mereka dapat mengeluarkan hasil terbaik," katanya.              
03 Apr 21
1523
Seri Lagi...
Seri Lagi...
KUALA NERUS, 2 April- Terengganu Football Club (Terengganu FC) berkongsi satu mata dengan PJ City apabila seri satu sama dalam aksi keenam Liga Super 2021, sebentar tadi. Tanpa kelibat Rahadiazli, Sang Penyu meletakkan tonggak Terengganu FC II, Mohd Suhaimi Husin bagi mengawal gawang tuan rumah. Nafuzi juga dilihat mengekalkan Jordan Mintah dalam perlawanan ini. Melayan kunjungan PJ City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu FC cuba mendapatkan kelebihan awal, namun sepakan leret Jordan pada minit ketiga, lemah ke dakapan penjaga gol lawan. Pada minit kesembilan, pelawat mendapat peluang menjaringkan gol apabila hantaran lintang Gurusamy muntah dari dakapan Suhaimi, namun penjaga gol muda itu berjaya menghadang bola rembatan Kugan Dhevarajan dari menerjah jaring. Perlawanan berlangsung hambar kerana anak-anak buah P. Maniam menerapkan corak bertahan menyukarkan tuan rumah menyerang. Keputusan kekal 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, Sang Penyu cuba meningkatkan serangan ke kubu lawan. Pada minit ke-77, Makan Konate melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti, namun penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz cemerlang menepis keluar bola tersebut. Konate sekali lagi mendapat peluang, kali ini rembatannya turut ditepis keluar Al-Hafiz pada minit ke-89 membolehkan Terengganu FC mendapat sepakan sudut. Sepakan yang dilakukan Konate berjaya mencari Jordan, namun tandukan penyerang itu dinafikan tiang gol. Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan. PJ City berjaya mencuri satu mata untuk di bawa pulang. Terengganu FC kini berada di tangga ketiga liga dengan 12 mata.            
02 Apr 21
638
Persidangan TeMIC 2021, Wadah 188 Kajian Pelbagai Bidang
Persidangan TeMIC 2021, Wadah 188 Kajian Pelbagai Bidang
DUNGUN, 11 April - Sebuah persidangan kajian tiga bidang atau Terengganu Multidisciplinary International Conference atau TeMIC 2021 yang menempatkan hasil kumpulan sebanyak 188 kertas kerja menuju ke arah inovasi dan transformasi masa hadapan. Pengerusi TeMIC 2021, Assoc. Prof. Ts. Dr. Sarifah Fauziah Syed Draman berkata, persidangan pelbagai disiplin itu adalah hasil gabungan trio jurusan atas faktor strategi dan melibatkan bidang seperti pendidikan, pentadbiran, ekonomi, sains dan sebagainya. “Program dwitahunan ini kali kedua diadakan sejak tahun 2018, dan pertama kali dijalankan secara maya dengan penglibatan peserta tempatan dan luar negara. “TeMIC 2021 bertujuan untuk memberi peluang yang sangat baik kepada para profesional, jurutera, ahli akademik dan orang industri untuk berkongsi dan bertukar idea, kemajuan dan output penyelidikan serta aplikasi dalam berbagai bidang. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup TeMIC 2021, di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, baru-baru ini. Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar diringi Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Prof. Ts. Dr. Mazidah Puteh. Sementara itu, Dr. Sarifah memaklumkan, antara objektif acara tersebut adalah untuk mempromosikan perbincangan dan pertukaran idea dan pengetahuan di kalangan penyelidik dari pelbagai negara dalam pelbagai bidang sains sosial, kejuruteraan, dan teknologi. “Selain itu, untuk memudahkan pembentukan jaringan di antara industri dan antara institusi akademik tempatan dan antarabangsa dan untuk mengumpulkan dan membincangkan kertas kerja mengenai bidang multidisiplin. “Banyak penemuan baharu telah dikongsi dan para pengkaji terlibat boleh ambil peluang untuk aplikasi dalam kerja kajian dalam bidang berkaitan. Ia sangat membantu dan kebanyakan kertas selidik selari dengan revolusi industri 4.0,” jelasnya. Untuk rekod, TeMIC 2021 menggabungkan tiga sidang iaitu Terengganu International Business and Economics Conference (TiBEC VII), International Academic Conference (IAC V), and International Conference of Emerging Challenges in Engineering and Current Technology (ICECT III).
02 Apr 21
633
'Tak Sangka, Ini Sikap Kerajaan Terengganu'
'Tak Sangka, Ini Sikap Kerajaan Terengganu'
DUNGUN, 2 April - "Tak sangka, rupanya ini sikap (pemurah) kerajaan Terengganu," luah penghuni Taman Rimbunan Kaseh, Zarinah Mohamad, yang selama ini memikirkan dia perlu mengeluarkan wang yang banyak bagi mendapatkan hak milik rumah yang didiaminya sejak 2015. Katanya, dia sangat bersyukur kerana hasratnya yang tertangguh sejak 2017 dilunaskan tahun ini. Katanya lagi, dia juga berasa lega kerana tidak perlu membayar deposit rumah terbabit. "Bayaran sewa beli pun RM200 sahaja, memang kerajaan bersungguh nak beri kemudahan kepada kami penghuni rumah Taman Rimbunan Kaseh. "Latar belakang ekonomi kita yang bukan orang berada, terima kasih ADUN Rantau Abang, Cikgu Alias Harun yang memang bersungguh-sungguh nak tolong kami," katanya yang masih teruja. Zarinah yang pernah bekerja di ladang tersebut ditemui  media selepas Sesi Taklimat dan Libat Urus Skim Rumah Rimbunan Kaseh, Kampung Rantau Abang di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini. Taklimat berkenaan telah disampaikan oleh wakil Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan wakil Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (Bahagian Perumahan). Azlina (tengah) bersama rakan - rakan-rakan yang juga penghuni Taman Rimbunan Kaseh.  Dalam pertemuan itu, sesi dialog yang melibatkan 85 orang penghuni perumahan dan peserta-peserta projek pertanian yang menjalankan aktiviti  penanaman melon emas, limau kasturi serta penternakan ikan dalam tangki yang terhenti operasinya pada 2018 turut dijalankan. Sementara itu, bagi Mohamad Zulkifli Razali, 30, dia berasa beruntung kerana menjadi rakyat Terengganu. "Alhamdulillah, kita mempunyai kerajaan yang sangat memahami kehidupan rakyat berpendapatan rendah seperti kami. "Dengan keadaan sekarang, payah dah hendak mencari rumah seperti ini, rumah dengan tanah di sekeliling, berharga hanya RM68,000, kadar sewa beli pun hanya RM200," ujarnya yang tidak menduga berita gembira itu selepas pelbagai tanda tanya yang bermain di fikirannya selama ini. Manakala bagi Azlina Yaakub, 40, berkata, kekusutan yang selama ini menghantuinya sudah terlerai, dia kini sudah boleh menarik nafas lega.  "Nampak sangat kerajaan sekarang ini hendak menolong kami supaya dapat memiliki rumah yang kami duduk sekarang dengan bayaran yang sangat rendah. "Memandangkan suami sayapun sakit tak dapat bekerja, jadi dengan berita yang kami terima hari ini adalah berita gembira kami sekeluarga, " ujarnya. Sehubungan dengan itu, Alias di dalam ucapan ringkasnya berharap mereka mengambil berat bayaran sewa beli jangan bertangguh membayar. "Jagalah hubungan dengan Allah dan sesama jiran tetangga, ingatlah bersyukurlah dengan rezeki yang Allah pilih tuan puan menerimanya dalam masa ramai lagi memerlukan rumah sendiri," katanya.
02 Apr 21
18134
200 Penduduk Daftar Vaksin Respon Kempen Teganu Prihatin
200 Penduduk Daftar Vaksin Respon Kempen Teganu Prihatin
BESUT, 2 April- Sekitar 200 penduduk Pulau Perhentian mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam program Teganu Prihatin, petang semalam. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, hal itu merupakan perkembangan yang baik dikalangan rakyat terhadap program imunisasi ditetapkan kerajaan. "Hari ini kita berjaya mengumpulkan kira-kira 200 pendaftar vaksin di pulau ini. "Cuma mereka bertanya adakah mereka akan dibawa ke daratan atau proses vaksin akan diadakan di sini?," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan program berkenaan di Dewan Utama Balai Bomba Sukarela, Pulau Perhentian malam tadi. Turut hadir, pegawai penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh serta pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Terengganu, Ahmad Ammar Othman. Jelasnya lagi, penganjuran program lanjutan daripada Malaysia Prihatin itu memperlihatkan reaksi positif daripada rakyat. Usahasama JaPen, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Agensi Anti Dadah Malaysia (AADK), Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan sokongan padu Pejabat Daerah dan Tanah Besut serta pegawai penyelaras DUN memberikan banyak manfaat khususnya kepada penduduk pulau itu. "Kita ambil pendekatan bersama-sama agensi memberikan kesedaran kepada rakyat tentang dasar negara dan negeri, disamping mempromosikan pulau ini. "Kita juga tidak melupakan usaha dakwah apabila kempen Jom Solat Berjemaah serta aktiviti keagamaan turut diselitkan di dalamnya," katanya. Mohd Nor menambah, Program Teganu Prihatin kali ini diadakan untuk mendedahkan kepada penduduk tentang pandemik Covid-19 serta kempen kesedaran vaksinasi dan pengamalan norma baharu untuk penduduk di situ. "Ini usaha paling baik kerana kita turun bersama agensi dan jabatan untuk bantu komuniti lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman yang agak sukar untuk mereka keluar. "Program ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan rakyat dan agensi selain memudahkan mereka menyelesaikan urusan berkaitan jabatan," katanya.      
02 Apr 21
458
Permint Plywood Catat Hasil Membanggakan
Permint Plywood Catat Hasil Membanggakan
DUNGUN, 1 April - Anak syarikat Golden Pharos Berhad, Permint Plywood Sdn Bhd kini mula meraih keuntungan sejak memiliki mesin pengering viner bernilai RM440,000 pada November tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, berkata hasil yang diperoleh sangat membanggakan selain mampu mengembalikan modal selepas tiga bulan beroperasi. "Hasil jualan produk viner (papan lapis bahagian atas dan bawah) dalam tempoh itu atau berakhir Februari lalu berjumlah RM665,000," jelasnya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Dryer Machine (Mesin Pengering) Terbesar di Terengganu *di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, di sini hari ini. Menurut Tengku Hassan, melihat peningkatan jualan sangat positf itu, pihak syarikat turut bercadang menggantikan mesin pengering teras utama papan lapis supaya mampu menggandakan pendapatan syarikat. "Seterusnya menambah jumlah pekerjaan kepada 120 untuk tahun depan berbanding tahun ini 85 pekerja. "Pihak syarikat sangat memerlukan mesin teras utama itu kerana yang sedia ada di kilang itu sudah berusia hampir 40 tahun dan tidak boleh dibaik pulih. "Kos pembelian mesin itu juga agak tinggi dianggarkan antara RM800,000 sehingga RM1 juta," katanya yang juga Pengerusi Kumpulan Golden Pharos Berhad. Beliau berkata, pihaknya sedaya upaya akan mengumpulkan modal bagi mengantikan mesin itu dengan kadar segera. "Buat masa sekarang mesin pengering viner hanya mampu hasil produk lapisan papan lapis atas dan bawah. "Pasaran juga sangat terhad walaupun permintaan tinggi hanya untuk tempatan dan dieksport ke Australia dan India," katanya
01 Apr 21
1754