lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Sang Penyu Tetap Waspada Ancaman Tok Gajah
Sang Penyu Tetap Waspada Ancaman Tok Gajah
KUALA TERENGGANU, 6 April- Terengganu Football Club (Terengganu FC) tidak memandang rendah kemampuan Sri Pahang FC, sekalipun pasukan lawannya itu berada dalam prestasi merudum ketika ini. Pengendali skuad Penyu, Nafuzi Zain menyifatkan tentangan Tok Gajah tidak harus dipandang remeh dalam pertemuan kedua-dua pasukan itu di Stadium Darul Makmur, malam ini.  "Sri Pahang walaupun tewas kepada Kedah Darul Aman FC tetapi mereka bermain dengan baik, mungkin keputusan perlawanan sahaja tidak memihak mereka," katanya. Sekalipun kehilangan ramai tonggak akibat kecederaan, dengan Rahadiazli memasuki senarai terbaru, Nafuzi tetap percaya pasukannya mampu bersaing pada kedudukan teratas liga dengan baki perlawanan yang ada. "Itu bukan alasan, saya percaya dengan semua pemain saya. Sesiapa yang saya letak bermain, saya tahu mereka boleh melakukan yang terbaik," katanya. Jumaat lalu, Terengganu FC jatuh ke kedudukan ketiga Liga Super 2021 apabila seri 0-0 dengan PJ City di laman sendiri.  Kemenangan ke atas Sri Pahang malam ini dijangka mampu melonjakkan kembali semangat pasukan itu yang mencatatkan dua seri dan satu kekalahan dalam tiga perlawanan terakhir mereka.
06 Apr 21
173
Kerjasama APMM-Vietnam Coast Guard Selesai Isu Pencerobohan Nelayan Asing
Kerjasama APMM-Vietnam Coast Guard Selesai Isu Pencerobohan Nelayan Asing
KUALA TERENGGANU, 5 April- Isu pencerobohan nelayan asing khususnya dari negara Vietnam bakal berakhir dengan perjanjian persefahaman yang bakal dimeterai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Vietnam Coast Guard. Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som memaklumkan, dengan persefahaman yang dipersetujui kedua-dua negara itu, beliau percaya isu pencerobohan nelayan Vietnam ke perairan negara dapat diselesaikan. Jelasnya, draf persefahaman tersebut sedang disemak pada peringkat Peguam Negara sebelum langkah terakhir diputuskan. "Apabila kedua-dua pihak bersetuju, kita akan ada kerjasama dua hala dari segi penguatkuasaan dan latihan. "Hubungan ini memudahkan kita melaporkan secara terus pencerobohan bot-bot nelayan mereka ke perairan negara," katanya. Menurut Mohd Zubil, draf persefahaman itu dijangka akan dimeterai tahun ini. Beliau yang ditemui dalam sidang media di pejabat APMM Terengganu hari ini menyatakan, perairan pantai timur khususnya sering menjadi sasaran nelayan Vietnam berikutan jarak yang lebih dekat dari negara mereka selain hasil laut yang lebih banyak dan bernilai. "Sejak APMM ditubuhkan pada 2006 hingga kini, kita telah berjaya menahan dan melupuskan hampir 2,000 bot nelayan asing terdiri daripada pelbagai negara. "Sepanjang Op Naga dan Op Kuda Laut yang dilancarkan pada April 2019 sehingga 2021 iaitu selama dua tahun, sebanyak 159 bot serta 1609 kru berjaya kita tangkap dengan nilai tangkapan sebanyak RM493.5 juta," katanya.  
05 Apr 21
573
'Mini Slipway' Baharu Beri Manfaat Kepada 600 Nelayan
'Mini Slipway' Baharu Beri Manfaat Kepada 600 Nelayan
MARANG, 5 April -  Pembinaan 'mini slipway' atau tempat pembaikian bot dan bilik sejuk yang membabitkan peruntukan lebih RM700,000  nyata melegakan hampir 600 nelayan di daerah ini. 'Mini slipway' yang ditempatkan di Kampung Alur Pak Bang dan bilik sejuk di hadapan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu itu mula dibina pada akhir 2019 dan kini dapat digunakan sepenuhnya. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini golongan nelayan terpaksa membaiki bot di 'slipway' swasta dan ada antaranya terpaksa menempuh perjalanan jauh sehingga ke daerah lain bagi tujuan itu. Katanya, kemudahan itu sudah diserahkan kepada Persatuan Nelayan Kawasan Marang dan beliau pasti ia dapat mengurangkan kos-kos berkaitan. “Manakala kewujudan bilik sejuk pula mampu meringankan  kudrat nelayan yang sebelum ini terpaksa menyediakan puluhan tong berisi ais untuk menyimpan hasil laut. “Bilik sejuk mampu menyimpan sekurang-kurangnya 10 metrik tan ikan pada satu-satu masa, selain mampu mengekalkan daya tahan hasil laut dalam tempoh sebulan dengan penetapan suhu 0 hingga -25°C,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada merasmikan Mini Slipway  dan Cold Room di hadapan LKIM, di sini, hari ini. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah LKIM, Mastam Nodo. Pada majlis yang sama, Ahmad Samsuri turut menyatakan persetujuan untuk membaik pulih Jeti Marang dan meluluskan peruntukan RM500,000. Katanya, melalui peruntukan sama, turut akan dibina kedai makan, surau dan tandas. “Kerajaan faham dengan keperluan nelayan di kawasan ini yang mahukan jeti yang lebih selesa untuk mendaratkan hasil laut. “Oleh itu, dia berharap pihak berkaitan menyegerakan pembinaan kemudahan itu dan berharap dapat dimanfaatkan awal tahun depan,” katanya.    
05 Apr 21
921
TDM Plantation, Syarikat Perladangan Pertama Diiktiraf ISCC EU
TDM Plantation, Syarikat Perladangan Pertama Diiktiraf ISCC EU
KUALA TERENGGANU, 5 April – Bahagian perladangan TDM Berhad, TDM Plantation (TDMP) menjadi syarikat perladangan Terengganu pertama yang menerima pengiktirafan daripada Suruhanjaya Eropah (ISCC EU). Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Mohd Ghozali Yahaya berkata, pengiktirafan kepada anak syarikat TDM itu diberikan selepas penilaian teknikal dijalankan terhadap rantaian bekalan, operasi dan gas rumah hijau (GHG) syarikat oleh badan pensijilan yang berdaftar dengan ISCC di unit operasi Zon Selatan TDMP. “Ia telah diperakui dengan Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa yang diluluskan oleh ISCC EU berkuatkuasa mulai 17 Mac 2021 hingga 16 Mac 2022. “Keputusan penilaian menunjukkan bahawa pendekatan kelestarian syarikat memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mengulas lanjut beliau berkata, TDMP telah diaudit pada 10 serta 11 Februari 2021 dan keputusan mengenainya diumumkan pda 13 Mac 2021 . "Kami sangat berbesar hati untuk menerima pengiktirafan yang memperkuatkan lagi komitmen berterusan syarikat terhadap amalan lestari. "Kejayaan ini juga merupakan bukti dedikasi kami dalam menghijaukan operasi dan amalan syarikat melalui inovasi dan teknologi untuk mengurangkan jejak karbon dan kesannya terhadap persekitaran di samping menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab," jelasnya. Sementara itu, Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, komitmen jangka panjang TDM terhadap kelestarian tidak hanya terhad di semua ladang dan kilang syarikat tetapi juga dapat dilihat dengan jelas di bahagian penjagaan kesihatan TDM. “Empat hospital komuniti kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) yang menawarkan penjagaan sekunder dalam semua bidang utama kesihatan.  “Saya berbesar hati dapat menyaksikan satu lagi hasil titik peluh pasukan perladangan yang telah membawa syarikat ke arah kejayaan, satu perakuan nilai tambah diatas penghargaan dan penanugerahan yang sedia ada. "Pencapaian yang signifikan ini juga memberikan inspirasi kepada kami untuk terus mengurus dengan teliti kesan operasi perniagaan terhadap alam sekitar, memberikan sokongan kepada komuniti di kawasan syarikat beroperasi, dan mengekalkan persekitaran kerja yang selamat," tambahnya lagi. Untuk rekod, TDM berdiri sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Malaysia pertama yang memperolehi 100 peratus Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).  
05 Apr 21
1042
Hampir 40 Peratus Pengunjung Karnival Kerjaya Dapat Kerja
Hampir 40 Peratus Pengunjung Karnival Kerjaya Dapat Kerja
KUALA TERENGGANU, 5 April - Hampir 40 peratus daripada bilangan calon yang hadir ke temuduga Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 mendapat kerja setakat semalam.  Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, selama dua hari program itu berjalan padanan pekerjaan berjaya adalah sebanyak 839 orang . Katanya, peratusan tersebut adalah indikator utama kejayaan program daripada bilangan pendaftaran pengunjung mencecah hampir 3,000 pengunjung. “Bilangan temuduga dijalankan berjumlah 3,665 iaitu seorang calon lebih satu temuduga, manakala jumlah yang berjaya untuk temuduga kedua adalah 936 orang atau 42.6 peratus. “Kejayaan penempatan pekerjaan yang berlaku akan memberi 'spill over economics effect' atau limpahan ekonomi yang sangat baik kepada negeri dan negara," katanya Tambahnya lagi, kesan limpahan ekonomi yang bakal wujud bermula bulan hadapan adalah sebanyak RM750,000 iaitu RM1,500 didarabkan dengan 500 orang. Beliau berkata demikian semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, petang semalam. Turut hadir, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato’ Mohd Sahar Darusman Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Farihah Che Husin. Sementara itu, Nurkhuzaini turut mencadangkan agar ada lanjutan program kepada peserta yang berjaya ke temuduga kedua. "Ini boleh dilakukan melalui kerjasama dengan PERKESO untuk latih dan sediakan mereka langkah seterusnya. “Bagi mereka yang tidak dapat, jangan berputus asa, mungkin PERKESO akan adakan program sebegini di negeri terdekat serta usaha secara maya melalui pertubuhan tersebut juga boleh dilakukan. Seorang pemburu kerja, Suhaimi Ghani, 36 yang juga seorang penghantar barang di Manir menyifatkan usaha pihak penganjur amat membantunya dalam mencari pekerjaan baharu dalam bentuk ‘one-stop center’. “Saya telah bertemu dengan tiga majikan, walaupun tiada jawapan lagi namun rezeki peluang cerah, orang macam saya tak perlu lagi pergi jauh-jauh mencari kerja kerana pelbagai jenis majikan ada di sini,” katanya selepas ditemu bual di meja SAA Engineering dan Marine Sdn Bhd. Nurkhuzaini beramah mesra bersama Suhaimi di salah satu booth  
05 Apr 21
798
Wanita Bekerja Sendiri Diseru Rebut Dana RM10 Juta
Wanita Bekerja Sendiri Diseru Rebut Dana RM10 Juta
KUALA TERENGGANU, 5 April – Golongan wanita kategori orang bekerja sendiri (OBS) daripada pelbagai sektor diseru agar merebut faedah di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Prihatin Wanita (SPW). Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, dengan skim itu, bermula 1 April kerajaan akan membayar 70 peratus daripada pelan caruman berjumlah RM232.80, iaitu sebanyak RM163. “Sementara para usahawan serta wanita bekerja sendiri hanya perlu membayar RM69.80 iaitu 30 peratus daripada caruman setahun Pelan 2 skim tersebut. “Ini peluang baik untuk wanita OBS kerana dengan hanya peratusan itu akan mendapat faedah perlindungan setahun “Contohnya seperti usahawan wanita meniaga atas talian, sekiranya berlaku kemalangan atau tidak mampu bekerja dalam tempoh sakit mereka berhak mendapat faedah, sama seperti kematian boleh mendapat pencen dan sebagainya," katanya. Beliau berkata demikian semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, Petang kelmarin. Tambahnya, permohonan untuk program SPW tersebut boleh dibuat mulai 1 April hingga 31 Disember 2021. Mengulas tentang Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso, Farihah memaklumkan, pihaknya menerima pendaftaran 109 OBS di karnival tersebut dan masih mengalukan mereka yang belum mendaftar. “Sehingga Mac 2021, kira-kira 4,400 OBS telah mendaftar dan kita masih mewar-warkan usaha ini supaya mereka ini mempunyai perlindungan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini semasa mereka bekerja,” jelasnya. Untuk rekod, pihaknya menganggarkan terdapat kira-kira 25,000 individu yang bekerja sendiri di negeri itu. Untuk maklumat lebih lanjut boleh layari laman web perkeso di https://www.perkeso.gov.my/ atau ke kaunter fizikal di Wisma Perkeso, Kuala Terengganu.
05 Apr 21
9940
Kejayaan Ariffin Milik Penggiat Pelancongan Terengganu
Kejayaan Ariffin Milik Penggiat Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 April - Kejayaan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman menggondol anugerah 'Malaysia Tourism Hero' 2020 baru-baru ini disifatkan sebagai kejayaan buat semua penggiat industri pelancongan di Terengganu. Jelas Ariffin, anugerah tersebut bukan semata-mata hasil kerjanya seorang sebaliknya usaha dan kerjasama yang diberikan semua pihak. "Terima kasih kepada Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) atas anugerah ini, kejayan ini bukan untuk saya seorang tetapi seluruh warga pelancongan dan jabatan pelancongan negeri (Tourism Terengganu) serta organisasi yang bersama-sama seperti Persatuan Hotel Terengganu (MAH) dan sebagainya. "Tidak lupa juga kepada seluruh penggiat industri di Tasik Kenyir, pulau-pulau dan Kuala Terengganu dan daerah-daerah lain yang mana kita tahu pelancongan ini memberikan impak dan pulangan kepada rakyat secara langsung," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima anugerah berkenaan di Seri Pacific Hotel, baru-baru ini. Dalam majlis tersebut, Ariffin terpilih bersama 17 pemenang lain menerima anugerah sempena Malaysia Tourism Gold Summit 2020 yang telah berlangsung secara maya September lalu. Acara berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Dato' Dr. Ammar Abd Ghapar. Ariffin sewaktu mengulas kejayaan itu menyatakan, dirinya yakin dengan usahasama semua pihak, industri pelancongan di Terengganu akan dapat bertahan meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19 ketika ini. "Saya yakin kita akan bertahan dan akan mencapai kegemilangan selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan rentas negeri nanti. Harapan saya, ketika rentas negeri dibenarkan dan kita telah bersedia," katanya.            
04 Apr 21
2370
89 Bot 'Berlayar' Bersihkan Sungai Nerus
89 Bot 'Berlayar' Bersihkan Sungai Nerus
KUALA NERUS, 4 April – Sebanyak 89 bot nelayan bergotong-royong menyelusuri lembangan Sungai Nerus semalam bagi memelihara sumber alam tersebut. Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ekspedisi meliputi tiga daerah itu disertai 224 peserta dan dicetuskan oleh para nelayan darat setempat. “Ini bertujuan sebagai usaha dalam pembersihan sungai daripada sisa sampah, jala-jala dan sebagainya. “Penglibatan mereka adalah besar untuk negara kerana idea ini datang dari mereka (nelayan), oleh itu ia wajar dijadikan inspirasi kepada kita semua,” katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian selepas upacara pelepasan Ekspedisi Sungai Nerus 2021 Negeri Terengganu Darul Iman di Jeti Kampung Tanjung Sabtu, pagi tadi. Turut hadir, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim memaklumkan sungai sepanjang 76 kilometer meliputi Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu adalah nadi sumber hidupan yang wajib dipelihara. “Sebanyak 20 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) termasuk JPKK Tanjung Sabtu mengambil bahagian dalam kecaknaan ini melibatkan empat kawasan DUN demi mengembalikan kegemilangan Sungai Nerus. “Usaha usaha yang sewajarnya digembleng terutamanya melibatkan masyarakat di sepanjang sungai ini bersama-sama memelihara khazanah alam yang tidak ternilai. “Masyarakat sekitar tebing sungai juga seharusnya memupuk kesedaran menjaga,” jelasnya.
04 Apr 21
472
Labuh Unjam, Tingkat Pendapatan Nelayan
Labuh Unjam, Tingkat Pendapatan Nelayan
KUALA NERUS, 4 April - Kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan Malaysia melabuhkan unjam komuniti nelayan Tanjung di perairan Kuala Terengganu hari ini diyakini mampu memberikan impak positif kepada nelayan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program melabuh unjam itu bertujuan menambah habitat pelbagai spesies ikan sekaligus meningkatkan pendapatan nelayan sekitar. “Program memperkayakan sumber perikanan pada hari ini melibatkan 22 orang nelayan Tanjung, Pangkalan Kuala Terengganu yang menggunakan peralatan kail mengail, bubu dan pukat hanyut. “Sebanyak 40 unit unjam dijalankan secara bergotong-royong bersama ahli komuniti perikanan sehari sebelum program melabuh unjam,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Melabuh Unjam Nelayan Tanjung dan Perasmian Jeti Nelayan Kampung Batin di jeti tersebut, hari ini. Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab. Menurut Dr Azman, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM160,000 tahun ini bagi pembangunan unjam di seluruh Terengganu. “Sebanyak 280 unit unjam akan dilabuhkan di tujuh kawasan yang terlibat di mana Kuala Terengganu (nelayan Tanjung), Kuala Nerus (Batu Rakit), Setiu (Pangkalan Bari), Besut (Kuala Besut), Marang (Pasir Putih), Dungun (Kampung Sura) dan Kemaman (Kijal) yang mana setiap kawasan dilabuhkan 40 unit unjam seperti hari ini,” ujarnya. Katanya, program melabuh unjam yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu ternyata memberi impak positif kepada sumber perikanan negeri ini. Sementara itu, mengulas mengenai Jeti Nelayan Kampung Batin beliau menyifatkan infrastruktur untuk kegunaan nelayan itu walaupun dilihat kecil berbanding kemudahan lain, ianya cukup bermakna buat komuniti terbabit. “Jeti yang dibina November lalu dengan kos kira-kira RM100,000 dan siap dalam tempoh tiga bulan sebenarnya keperluan penting buat nelayan disini.  “Sebenarnya tidak perlu kepada projek megah yang tidak dapat mereka nikmati, sebaliknya jeti ini lebih bernilai dan memberi manfaat kepada sekitar 20 bot nelayan di kawasan ini,” ujarnya.  
04 Apr 21
783
KASA Tekad Selamatkan Pantai Berpasir Di Terengganu
KASA Tekad Selamatkan Pantai Berpasir Di Terengganu
KUALA NERUS, 4 April – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta kerajaan negeri tekad mahu memelihara keindahan pantai berpasir di Terengganu melalui beberapa strategi termasuk melaksana kajian mendalam. Menteri KASA, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha itu sentiasa berjalan namun hakisan teruk memaksa penggunaan kaedah pemecah ombak (breakwater) menyebabkan kehilangan pantai pasir di beberapa kawasan. “Oleh itu, kajian terperinci perlu diperhalusi dalam mengelakkan kehilangan pasir kerana ia sebahagian daripada nikmat negeri ini. “Melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sebuah modul baharu dibangunkan yang telah dibentangkan dalam Majlis Air Negara baru-baru ini tentang risiko hakisan pantai tentang bagaimana kita perlu lakukannya. “Pantai perlu dibekalkan dengan pasir cukup, paling tidaknya di kawasan muara dimana banyak pasir mesti ditambung balik, ini kaedah yang ditumpukan JPS,” katanya kepada pemberita selepas program Ekspedisi Sungai Nerus 2021 di Jeti Kampung Tanjung Sabtu, semalam. Mengulas tentang dua keutamaan dalam memelihara khazanah alam tersebut, Tuan Ibrahim menerangkan, pertama adalah fokus keselamatan di muara dan kuala buat para nelayan untuk keluar masuk di beberapa muara dalam negeri. “Contohnya insiden di Muara Kuala Dungun, beberapa nelayan mati kerana kapal dipercayai terdampar di pasir mengakibatkan kapal terbalik dipukul ombak. “Kedua, kita perlu pastikan pasir yang diambil akan dipulangkan kepada pantai semula supaya pantai itu kekal indah,” katanya lagi. Tambah beliau, antara projek yang sedang dijalankan dibawah kementeriannya bersama kerajaan negeri di Kuala Nerus adalah seperti projek tebatan banjir Kuala Terengganu Utara di kawasan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebanyak RM10 juta. “Selain itu, projek pengawalan hakisan Pantai Kuala Nerus berjumlah RM90 juta, kerja-kerja pengawalan hakisan pantai di kawasan Sungai Kampung Telipot dalam RM6.2 juta. “Keempat, kerja-kerja pengawalan hakisan tebing Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Maras kira-kira RM600 ribu, pengawalan hakisan tebing pantai Kampung Tanjung Gelam berjumlah RM250 ribu, sistem tebatan banjir dan pencegahan hakisan pantai di UMT RM40 juta dan RM87 juta untuk projek tebatan banjir Tok Jiring,” ucapnya.  
04 Apr 21
1403