lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PMINT Terengganu Pula Tubuh Taska Baharu
PMINT Terengganu Pula Tubuh Taska Baharu
KUALA TERENGGANU, 1 April - Sebahagian kakitangan jabatan di negeri Terengganu sekali lagi mampu menarik nafas lega dengan pertambahan Taska Permata Keluarga di negeri berkenaan selepas Taska Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) pula dirasmikan hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menyifatkan, perasmian taska berkenaan melengkapkan lagi manifesto kerajaan negeri iaitu membuka pusat asuhan di setiap jabatan kerajaan negeri. Hanafiah Mat. "Saya ucapkan tahniah kepada PMINT dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang menubuhkan taska ini dan diwujudkan hasil inisiatif majikan untuk kebajikan pekerjanya. "Taska Permata Keluarga PMINT pasti dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat untuk anak-anak dihantar di sini. "Di samping dapat memberikan ketenangan bekerja kepada para ibu bapa dalam meningkatkan produktiviti dan mutu perkhidmatan di tempat mereka bekerja," katanya ketika berucap merasmikan Taska PMINT di sini pagi tadi. Hadir sama dalam majlis tersebut, isteri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datin Nur Diyana Takri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman dan Pengarah YPKT, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah. Dengan berkeluasan lantai 4,902 kaki persegi di tingkat 2 Menara PMINT, taska itu merupakan taska di tempat kerja yang ketujuh diwujudkan selain di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Wisma Darul Iman dan Majlis Perbandaran Dungun (MPD). Wan Adnan Wan Derahman. Sementara itu, menurut Wan Adnan Wan Derahman, pihaknya meneruskan kerjasama dengan pihak YPKT untuk menguruskan taska ini menggunakan kurikulum dan modul PERMATA serta guru-guru yang terlatih sebagaimana taska permata keluarga yang lain. "Taska kita telah memulakan operasi di Menara PMINT bermula pada 1 Februari 2021 dengan menempatkan seramai 80 orang kanak-kanak yang berumur seawal 3 bulan hingga 4 tahun dengan 9 orang tenaga pengajar. "Sebahagian daripada anak-anak adalah daripada Taska Permata Keluarga UTC yang sedia ada dan selebihnya adalah penyertaan baharu daripada anak-anak kakitangan PMINT, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Syarikat Anak PMINT, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta jabatan dan agensi swasta sekitar Bandar Kuala Terengganu. "Inilah kelainan penubuhan Taska PERMATA Keluarga PMINT berbanding taska jabatan lain yang tidak terhad kepada anak-anak warga kerja PMINT sahaja," jelasnya.
01 Apr 21
1772
Naib Johan KRT 2021 Peringkat Kebangsaan Diraikan
Naib Johan KRT 2021 Peringkat Kebangsaan Diraikan
KUALA TERENGGANU, 1 April - Kerajaan negeri sentiasa meraikan dan menyokong usaha Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dalam kejayaan dan pembangunan ekonomi setempat melalui pelbagai penghasilan produk keluaran tempatan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kejayaan yang dicipta KRT Kampung Gong Baru dalam meraih Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021 sebagai Naib Johan peringkat kebangsaan adalah tanda tercapai matlamat penubuhannya. “Oleh itu, pada bulan lepas saya hadir di kampung ini bagi mendengar keluhan KRT di sini yang memerlukan dana pembaikan infrastruktur dan atap dewan. “Jadi kerajaan negeri telah agihkan RM10,000 bagi membantu Kampung Gong Baru dan meningkatkan lagi semangat komuniti dalam aktiviti kemasyarakatan. “Dulunya KRT ditubuhkan di bawah portfolio perpaduan dan pembangunan masyarakat, cuma pada dekad ini kita letak bawah skop perpaduan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Jalinan Mesra Bersama KRT Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek, petang semalam. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah. Sementara itu, Muhammad Khalil menyatakan sokongan penuh terhadap usaha KRT di Batu Buruk itu dalam menambahkan keunikan pelancongan serta produk hasil komuniti. “Kita telah dikenali dengan produk-produk dihasilkan masyarakat setempat seperti batik, songket, keropok lekor dan sebagainya, namun bukan sahaja boleh dibeli malah pengunjung boleh datang melihat kerja penghasilan oleh penduduk setempat,” jelasnya. Menurut Pengerusi KRT Kampung Gong Baru Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, Hanafiah Ismail, pihaknya pernah meraih Johan kategori Rukun Tetangga Terbaik pada tahun 2008 dan 2012, dan kini terkenal dengan produk seperti Songket Gong Baru.
01 Apr 21
620
UBSNT Buka Kaunter Di KTCC, Galak Masyarakat Daftar Vaksin
UBSNT Buka Kaunter Di KTCC, Galak Masyarakat Daftar Vaksin
KUALA TERENGGANU, 2 April- Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) membuka kaunter pendaftaran di KTCC Mall bagi menggalakkan orang ramai mendaftarkan diri dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Timbalan Pengarah UBSNT, Ahmad Zul Karami Salleh berkata, pembukaan kaunter pentaftaran itu merupakan inisiatif pihaknya menyemarakkan kempen daftar vaksin sekali gus membantu kerajaan meningkatkan kadar pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini yang masih rendah. "Sukarelawan pendaftaran vaksin COVID-19 telah kita lancarkan secara rasmi pada Isnin lalu dan telah mula bergerak termasuk di tempat tumpuan awam dan dari rumah ke rumah. "Hari ini, kita buka kaunter di KTCC Mall yang menjadi tumpuan ramai bagi memberi pemahaman kepada pengunjung dan orang ramai mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksinasi ini dengan dibantu sukarelawan terlibat," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di kaunter pendaftaran terbabit kelmarin. Menurut beliau, para sukarelawan bergerak dari tingkat ke tingkat di pasar raya berkenaan untuk membantu orang ramai membuat pendaftaran secara 'online'. "Kita letakkan sasaran seramai 200 orang akan mendaftar pada hari ini dimana KTCC Mall merupakan lokasi tumpuan awam pertama yang kita buka kaunter pendaftaran. "Selepas ini, UBSNT akan bergerak ke tempat tumpuan awam yang lain termasuk pasar malam, pasar pagi dan sebagainya," ujarnya.
01 Apr 21
809
Pusat Pakar Jantung Pertama Dibina Terengganu
Pusat Pakar Jantung Pertama Dibina Terengganu
KUALA TERENGGANU, 1 April - Institut Jantung Negara (IJN) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menubuhkan pusat pakar jantung di Terengganu bagi memenuhi keperluan kesihatan di luar ibu negara. Usaha itu akan direalisasikan menerusi pembinaan Hospital Pengajar UniSZA di Gong Badak dan menjadi fasiliti pertama di luar Kuala Lumpur sejak ditubuhkan 29 tahun lalu. Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, pihaknya akan mula bekerjasama peringkat awal dalam perkhidmatan perundingan dan khidmat nasihat kardiovaskular serta toraks (rongga dada) di Hospital Pengajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu. “Kita akan mulakan rawatan pesakit luar pakar terlebih dahulu, dan berkembang ke perkhidmatan lain seperti kardiovaskular dan toraks pediatrik. "Pusat ini akan dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 pesakit di Pantai Timur manakala baru-baru ini banyak permintaan sama ada kami akan memberikan rawatan di luar Kuala Lumpur. "Jadi, ini adalah langkah pertama untuk membawa perkhidmatan kami kepada orang ramai, malah kami akan melihat kemungkinan pembukaan pusat seperti itu di kawasan lain selepas ini," katanya sebagaimana dilapor Harian Metro.. Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis menandatangani MoU antara kedua-dua institusi bagi memeterai kerjasama, semalam. Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Ketua Pegawai Klinik IJN, Dr Hasri Samion dan Pengarah UniSZA, Hilmi Mohd Nashir. Memorandum dua tahun itu menggariskan kepentingan menjalin kerjasama dalam perkhidmatan perubatan, kesihatan, kemudahan, latihan, penyelidikan dan perkhidmatan perubatan lain yang berkaitan di Terengganu. Menurut Dr Hassan Basri, pembinaan hospital itu sudah siap 85 peratus dan dijangka dibuka tahun depan. - Sumber foto: Muhammad Muhairi Jasmani dan Ahmad Kamal Ramli
01 Apr 21
2904
Penternak Kerapu Hybrid Lega Kerajaan Hulur Bantuan
Penternak Kerapu Hybrid Lega Kerajaan Hulur Bantuan
SETIU, 31 Mac - Penternak ikan kerapu hybrid yang terkesan dengan peralihan monsun timur laut baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir. Shaharizukirnain berkata, ramai golongan terbabit yang mengalami kerugian termasuk kematian ternakan diberi bantuan agar kesusahan dapat diringankan. "Saya menyelami permasalahan akibat peralihan musim yang mana mengakibatkan kematian dan kerugian kepada hasil ternakan tuan-tuan semua. "Sedikit sumbangan ini diharap membantu menampung kerugian yang dialami dan saya berharap kita semua menerima ujian ini dengan hati yang terbuka," katanya. Sangkar ikan di Sungai Kampung Gong Batu, Setiu Beliau berkata demikian ketika ucapan ringkas pada majlis penyampaian bantuan kepada penternak kerapu hybrid yang terkesan akibat monsun timur laut di Jeti Nelayan Gong Batu, Setiu semalam. Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah (KPPD), Muhamad Azmidi Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gong Batu, Aziz Mohd. Pada majlis itu, seramai 30 orang penternak menerima bantuan wang tunai di bawah peruntukan Ahli Parlimen Setiu. Sementara itu, Mohd Fajri Ab Rahim, 35 salah seorang penternak yang ditemui berkata, dia sudah 10 tahun terlibat dengan penternakan ikan kerapu hybrid dan kejadian berlaku pada akhir dan awal tahun ini berada luar jangkaannya. "Disebabkan oleh faktor air yang tidak mampu untuk spesis ikan bertahan dalam perubahan air pada peralihan monsun. Mohd Fajri Ab Rahim, 35  
31 Mar 21
301
RMM Bukit Gasing Catat Unit Rumah Tertinggi
RMM Bukit Gasing Catat Unit Rumah Tertinggi
MARANG, 1 April - Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing mencatat rekod tersendiri apabila menjadi projek pembinaan unit rumah tertinggi iaitu sebanyak 238 buah rumah berbanding RMM di kawasan lain. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, RMM Bukit Gasing yang berkeluasan 23 ekar merangkumi 238 unit rumah dengan kos pembinaan sebanyak RM34 juta yang ditanggung oleh kerajaan negeri. “Di negeri Terengganu ini kita melancarkan konsep perumahan patuh syariah yang kita namakan sebagai Rumah Darul Iman yang dikenali sebagai RAHMAN. Di mana semua rumah di Terengganu diharapkan dapat mengikuti ciri-ciri dan spesifikasi RAHMAN yang telah ditetapkan kerajaan negeri,” ucapnya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek RMM Bukit Gasing II, Marang. Untuk rekod, sebelum ini, kerajaan negeri telah melancarkan empat projek RMM iaitu RMM Tajin Hulu Terengganu sebanyak 250 unit, RMM Tok Jembal Kuala Nerus sebanyak 160 unit, RMM Tempinis Jabi Besut sebanyak 100 unit dan RMM Gong Cengal Kertih Kemaman sebanyak 200 unit. Turut hadir dalam majlis tersebut, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri, Wan Adnan Wan Derahman.
31 Mar 21
884
'Terima Kasih Kerana Menegur'
'Terima Kasih Kerana Menegur'
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Kerajaan negeri Terengganu sentiasa terbuka untuk menerima sebarang nasihat, teguran dan kritikan daripada semua pihak. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menyifatkan, sesiapa sahaja berhak untuk membuat teguran dan nasihat dalam menambah baik kepimpinan kerajaan negeri. "Di samping itu, kami juga bersedia untuk bersemuka dan bertemu untuk mendengar penjelasan tentang satu-satu teguran. "Namun, kami juga mengharap sesiapa yang memberi teguran atau nasihat supaya menemui mana-mana pimpinan Kerajaan serta bersedia dan berlapang dada untuk mendengar pencerahan dan penerangan daripada kami," jelasnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, semalam. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung itu, keterbukaan pihak kerajaan negeri juga perlu diraikan oleh masyarakat di mana mereka juga perlu terbuka dalam mendengar penjelasan terhadap sesuatu isu. "Ini kerana, tidak semestinya orang yang memberi teguran sentiasa betul dan tidak semestinya orang yang ditegur memang benar-benar salah. Tidakkah Allah SWT menyebut dalam surah al-Asr : "Berpesan-pesan dengan kesabaran dan berpesan-pesan dengan kebenaran," katanya.  
31 Mar 21
2288
Terengganu Gerak Sukarelawan Ke Rumah Bantu Daftar Suntik Vaksin
Terengganu Gerak Sukarelawan Ke Rumah Bantu Daftar Suntik Vaksin
MARANG, 31 Mac - Kerajaan negeri menggerakkan kira-kira 300 sukarelawan dari rumah ke rumah dan tempat tumpuan awam bagi membantu orang ramai khususnya warga emas mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, sukarelawan yang terdiri daripada gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) itu merupakan inisiatif kerajaan bagi meningkatkan kadar pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini yang masih rendah. Katanya, sukarelawan pendaftaran vaksin COVID-19 telah dilancarkan secara rasmi pada Isnin dan mula bergerak semalam. "Warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit tidak aktif di luar, mereka hanya tinggal di rumah serta kurang mendapat maklumat. "Jadi, sukarelawan daftar vaksin COVID-19 ini akan bergerak dari rumah ke rumah dan tempat tumpuan awam untuk bantu mereka daftar secara terus melalui dalam talian. "Kita harap orang ramai dapat beri kerjasama jika sukarelawan ini datang ke rumah. Jika ragu-ragu boleh minta mereka tunjukkan kad pengesahan sukarelawan kerana setiap mereka diberi kad itu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Perumahan Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Tapak RMM Bukit Gasing II, semalam. Dr Alias berkata, selain mengunjungi rumah ke rumah pihaknya turut membuka kaunter pendaftaran di lokasi tumpuan ramai seperti pasar awam, pasar raya, pasar malam dan pasar pagi bagi memberi penerangan serta membantu masyarakat mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19. Katanya, agensi seperti pejabat daerah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebelum ini ada membantu memberi penerangan mengenai vaksin. "Diharap dua strategi baharu ini dapat meningkatkan lagi jumlah pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini," katanya.  
31 Mar 21
924
Transaksi Jual Beli Dalam Talian Melonjak
Transaksi Jual Beli Dalam Talian Melonjak
KUALA BERANG, 30 Mac- Transaksi aktiviti jual beli dalam talian melonjak ketara sehingga RM2.5 billion tahun lalu, berbanding RM1.7 billion pada 2019, selaras peralihan kepada trend perdagangan dalam talian kesan pandemik COVID-19. Malah, jumlah pendaftaran perniagaan dalam talian yang direkodkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menunjukkan peningkatan sehingga 240,000 tahun lalu berbanding 40,000 setahun sebelum ini, menjadikan keseluruhan 489,958 perniagaan dalam talian yang mendaftar sehingga 2020. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, jumlah itu melonjak ketara berbanding hanya 243,560 perniagaan dalam talian yang berdaftar dengan SSM sehingga 2019. "Pandemik COVID-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan sejak tahun lalu membuatkan peniaga dan pengguna beralih kepada aktiviti jual beli dalam talian.  "Ia satu perkembangan yang sangat baik dalam pada kita menghadapi cabaran pandemik COVID-19 ini kerana mempercepatkan penerimaan dan penggunaan terhadap digitalisasi dalam sektor peruncitan selaras hasrat kementerian," katanya selepas Program Malaysia Prihatin di Dewan Sivik Ajil, di sini.   Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.  Selain itu Rosol berkata, rekod juga menunjukkan transaksi e-wallet melonjak sehingga lebih 100 peratus iaitu daripada RM300 juta pada 2019 kepada RM600 juta tahun lalu.  Mengulas mengenai kecenderungan baharu masyarakat pengguna itu, Rosol berkata, penawaran harga yang lebih kompetitif berbanding jual beli secara fizikal merupakan antara faktor perniagaan dalam talian semakin mendapat tempat di hati pengguna.  Katanya ramai peniaga terutama daripada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana yang memiliki tapak perniagaan secara fizikal juga semakin beralih kepada platform e-dagang yang terbukti membantu melonjakkan pulangan perniagaan mereka. Sementara itu mengulas mengenai Program Malaysia Prihatin, Rosol berkata, ia adalah platform untuk menjelaskan dan memberi maklumat tepat kepada masyarakat mengenai usaha Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menangani pandemik COVID-19. "Di Terengganu, saya bersama Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato' Ahmad Amzad Hashim akan menjelajah ke lapan kawasan Parlimen di Terengganu untuk bertemu masyarakat dan menyampaikan fakta dan kebenaran mengenai usaha kerajaan menangani COVID-19 kepada masyarakat, " katanya.
30 Mar 21
192
Empat Daerah 'Juara Bersama' Liga Darul Iman
Empat Daerah 'Juara Bersama' Liga Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 30 Mac – Empat daerah dinobatkan juara bersama Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman Piala Menteri Besar Terengganu 2019 setelah perlawanan suku akhir yang dijadualkan pada April 2020 tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik COVID-19. Kemenangan itu menyaksikan Persatuan Bola Sepak Daerah Dungun, Kemaman, Setiu dan Besut masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai RM4,500. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 2019 telah bermula seawal Julai dan berakhir November. “Manakala bagi peringkat parlimen kejohanan ini telah bermula seawal bulan Oktober 2019 dan berakhir pada bulan Februari 2020 sebelum disambung untuk kejohanan di peringkat negeri pada bulan Mac tahun lepas namun terpaksa dibatalkan. “Untuk makluman semua, pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM300 ribu bagi membantu pelaksanaan ini bermula di peringkat DUN, Parlimen dan Negeri. “Jika diizinkan pada tahun 2021 kita akan kembali melaksanakannya namun masih menunggu perkembangan terkini daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Bola Sepak Liga Darul Iman Piala Menteri Besar Terengganu di Paya Bunga Hotel hari ini.  Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Merangkap Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Rashdi Hamat, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahaya dan Pengarah Urus Setia Belia, Sukan Dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razak. Tambahnya, cadangan tarikh Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman seterusnya adalah pada bulan Julai 2021 jika kelonggaran diberikan. Sementara itu, Wan Sukairi turut mengulas mengenai peruntukan RM2 juta melalui Belanjawan 2021 bagi menjayakan program sukan komuniti melibatkan beberapa sukan iaitu bola sepak, sepak takraw, badminton dan bola jaring. “Berdasarkan potensi dan perkembangan sukan bola sepak yang ada, saya percaya Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan kepada program ini dan lain-lain lagi kejohanan yang dianjurkan. Program ini akan diselaras melalui UBSNT,” jelasnya.
30 Mar 21
909