lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

'Jangan Lari Dari al-Quran' - Nasihat Qariah OKU Penglihatan
'Jangan Lari Dari al-Quran' - Nasihat Qariah OKU Penglihatan
KUALA TERENGGANU, 8 April - Walaupun menjalani kehidupan tanpa deria penglihatan, namun ia bukan suatu yang mustahil bagi Afzam Mustafa, 41, bagi mewakili daerahnya ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman pada tahun ini. Qariah yang berasal dari Kertih berkata, kemahirannya dalam taranum diasah sejak di bangku sekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bharu dan kini mengajar di Pusat Pengajian al-Quran Braille, Paka. “Kini hampir 10 orang pelajar saya mengajar cara baca bentuk tulisan ini daripada tidak pandai kepada sekarang mampu untuk mengaji, reaksinya orang ramai kagum dan memberi semangat kepada kita. “Dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan yang mengenali memberi semangat kepada saya untuk mendalami teknik baca braille sehingga kini pertama kali dipilih untuk ke peringkat negeri. “Sebelum ini sudah banyak menyertai pertandingan sebegini, malah turut mewakili Terengganu dalam majlis tilawah al-Quran 2019 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat di Melaka dan diangkat sebagai naib johan," katanya ketika ditemubual pemberita, kelmarin. Anak keempat daripada 8 orang adik beradik (3 Orang Kurang Upaya penglihatan) menyifatkan kekurangannya bukan penghalang kepada jiwanya untuk menguasai bacaan taranum dan tajwid melalui titik Braille. “Jadi saya menyeru mereka yang celik terutamanya pada bulan Ramadan ini supaya tadarus dan perbanyakkan bacaan al-Quran. “Bukan sahaja pada bulan puasa, maknanya jangan kita lari daripada kitab suci ini, kita perlu sentiasa bersama al-Quran dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya lagi. Afzam adalah di antara 16 peserta dari seluruh daerah yang menyertai program tersebut selama tiga hari. Setakat ini, Pusat al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu di Besut mempunyai 12 pelajar sementara di Paka 10 pelajar dengan masing-masing mempunyai seorang guru. Untuk rekod, Kerajaan Terengganu turut merancang dalam menubuhkan dua lagi Pusat Pengajian al-Quran Braille di negeri ini membabitkan kos RM3 juta setiap satu.
07 Apr 21
804
Zoo Mini Tok Dir Terima Peruntukan RM10 Ribu
Zoo Mini Tok Dir Terima Peruntukan RM10 Ribu
KUALA TERENGGANU, 7 April - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM10 ribu bagi pembangunan Zoo Mini Kampung Tok Dir yang kini mula dikunjungi orang ramai. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu diambil untuk menggalakkan penduduk memajukan produk pelancongan komuniti (CBT) sekali gus menjadi sumber ekonomi penduduk sekitar. "Saya bangga dengan usaha Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tok Dir dan orang kampung dalam merancakkan lagi tempat ini sejak diviralkan baru-baru ini. “Walaupun tak sama seperti Zoo Negara atau Zoo Kemaman, namun keunikan suasana kampung sekeliling cukup untuk menarik perhatian pelawat bukan sahaja dari Terengganu, malah di seluruh negara. “Ini adalah contoh baik dalam CBT, di mana komuniti sendiri membina tarikan tersebut, antaranya di kawasan saya di Alor Limbat seperti Pengkalan Warisan dan Dataran Banggol Chempedak,” ucapnya dalam Majlis Perasmian Zoo tersebut di Perkarangan Zoo Kampung Tok Dir, Bukit Payong baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah dan Pengerusi JPKK Kampung Tok Dir, Muda Abdullah. Tambah Ariffin, lokasi strategik zoo tersebut yang terletak di kawasan baruh sawah padi mampu menjadi produk viral seperti dikenali di serata Malaysia seperti Warung Roti Canai Pok Ripin di Padang Maras, Batu Rakit. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah yang hadir sama berkata, pihaknya menghulurkan sokongan dalam bentuk pembinaan jalan tar bagi memudahkan kemasukan pengunjung ke zoo tersebut. “Hasil komuniti dalam mewujudkan tempat ini memberi kebaikan sebagai pusat rekreasi penduduk sekitar, mudah-mudahan dapat memberi kebaikan dan sumber pendapatan kepada warga Bukit Payong,” jelasnya. Dalam pada itu, pemilik zoo berkenaan, Mohd Hilmie Muda, 30, berbesar hati menerima bantuan daripada kerajaan negeri dan dia bertekad membangunkan lagi kawasan tanah milik ayahnya itu. “Insya-Allah kita akan naik taraf dan beli binatang spesies lain seperti Rusa Bintik dan burung-burung yang ramai masih tidak kenali,” katanya.  
07 Apr 21
3201
Genap Enam Dekad Bangunkan Ummah Rabbani
Genap Enam Dekad Bangunkan Ummah Rabbani
KUALA TERENGGANU, 7 April - Genap 64 tahun Majlis Tilawah Al-Quran diadakan di peringkat negeri dan ia selari dengan hasrat kerajaan Terengganu dalam meletakkan prinsip Islam selari dengan pembangunan semasa. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan majlis norma baharu bertemakan ‘Ummah Rabbani, Negara Harmoni’, kerajaan menekankan prinsip agama dan penghayatan taqwa. “Ini adalah penting dalam pembangunan modal insan dan fizikal negeri demi kecapi keharmonian dan rahmat Allah. “Usaha ini direalisasikan oleh kerajaan negeri melalui pendidikan dengan penubuhan Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyung, Pusat Bahasa Arab Al-Azhar As-Syarif Darul Iman dan sebagainya,” katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 1442H/2021M di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man semalam. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan Negeri, Samiun Salleh, Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-Ahli Parlimen. Hadir Sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, penyertaan masyarakat di peringkat daerah amat menggalakkan dengan penyertaan 159 orang terdiri daripada 109 Qari dan 50 Qariah. “Sejak 64 tahun lalu, Menteri Besar Terengganu pada masa itu, Mohd Daud Abdul Samad menyahut hasrat Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk mengadakan majlis seumpama itu. "Kesinambungan daripada itu, buat julung kali majlis sebegini diadakan pada 14 Mac 1960 di Istana Maziah," jelas beliau. Katanya, sejak dari itu sehingga kini, Terengganu menjadi salah sebuah negeri yang mencatat sejarah penting dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan. “Johan kali ini akan mewakili Terengganu di peringkat negeri yang dicadangkan berlangsung pada 13 sehingga 18 Jun di Ibu Negara,” katanya yang juga merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri. Program berkenaan berlangsung selama tiga hari ini melibatkan 16 peserta dari seluruh daerah.
07 Apr 21
215
Terengganu FC Sekadar Kutip Satu Mata
Terengganu FC Sekadar Kutip Satu Mata
KUALA TERENGGANU, 7 April - Terengganu Football Club (Terengganu FC) mengikat Sri Pahang FC 1-1 untuk membawa pulang satu mata dalam aksi ketujuh Liga Super 2021, semalam. Skuad kendalian Nafuzi Zain berkunjung ke Kuantan menentang pasukan kedua tercorot liga dengan misi memperbaiki persembahan pasukan selepas aksi kurang menyakinkan pada tiga perlawanan terakhir. Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan rentak tinggi. Sri Pahang mendapat peluang mendahului, namun rembatan Lee Tuck berjaya ditepis penjaga gol Terengganu FC, Mohd Suhaimi Husin seawal minit kelima. Pada minit ke-15, Sang Penyu pula memiliki peluang, bagaimanapun rembatan Nik Akif Syahiran hanya menerjah sisi gol. Dua minit kemudian, tuan rumah mengejutkan pelawat selepas tonggak kebangsaan, Azam Azih melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti sekali gus meletakkan Tok Gajah di depan. Terengganu FC berpeluang menyamakan kedudukan, namun kapten pasukan, Carlos De Murga mensia-siakan penalti dengan tendangan tinggi melepasi palang pada minit ke-40. Bersambung babak kedua, Terengganu FC menggandakan asakan dan berhasil memperolehi penalti kedua pada minit ke-75. Jordan Mintah menyempurnakan peluang tersebut untuk keputusan 1-1 yang kekal sehingga akhir perlawanan. Sumber foto: Media Terengganu FC.
07 Apr 21
448
5,478 Kedai Makan Di Terengganu Diserbu
5,478 Kedai Makan Di Terengganu Diserbu
KUALA TERENGGANU, 7 April - Sebanyak 5,478 kedai di seluruh negeri Terengganu dijalankan pemeriksaan melalui satu Operasi bersepadu “Ops Kedai Makan Tumpuan” Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT). Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus memaklumkan, berikutan Ops tersebut, sejumlah enam tindakan kompaun dengan nilai RM26,000 dikenakan dengan pemeriksaan dijalankan bermula 13 Mac sehingga semalam. “Tujuan Ops ini adalah bagi memastikan semua masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKPP ini. “Dari enam tawaran kompaun yang dikeluarkan, lima kompaun telah dijelaskan dengan nilai kutipan sebanyak RM4,015," katanya. Mengulas lanjut berkenaan Ordinan Darurat (Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, beliau memaklumkan, arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan itu berperanan dalam menangani penularan wabak COVID-19. "Perintah ini berkuatkuasa daripada 11 Mac 2021 yang merangkumi pindaan lima peruntukan sedia ada dan penambahan lima peruntukan baharu. “Salah satu pindaan berkaitan pengkompaunan kesalahan. Kadar kompaun asal adalah tidak melebihi RM1,000 dipinda kepada tidak melebihi RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi pertubuhan perbadanan,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Tambahnya, semua lapan pejabat kesihatan daerah di negeri Terengganu telah menjalankan operasi oleh Pasukan Task Force Pematuhan SOP PKPP. “Operasi adalah serentak dan melibatkan seramai 52 orang anggota penguatkuasa. “Sepatutnya setiap rakyat mengambil pendekatan kawalan kendiri bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak menular akibat ketidakpatuhan kepada SOP. Penguatkuasaan adalah jalan terakhir. “Namun pihak jabatan perlu bertindak tegas jika didapati perlangaran SOP berlaku dengan terang," jelasnya. Sementara itu, pihaknya turut melaporkan sebanyak 14 kesalahan di bawah Akta PPKHT 2004 (merokok di kedai makan) juga dikesan dengan nilai kompaun sebanyak RM3,500.
06 Apr 21
3659
Mangsa Banjir Di Dungun Terima Bantuan RM1,000
Mangsa Banjir Di Dungun Terima Bantuan RM1,000
DUNGUN, 6 Mac - Lebih 1,000 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Rantau Abang, Paka dan Sura menerima bantuan wang tunai sebanyak RM1,000 kelmarin. Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, semua DUN di Dungun terlibat dengan banjir tetapi fasanya berbeza. "Di Dungun ini ada lima fasa, banjir dalam Terengganu bencana banjir berlaku dalam fasa kedua hingga kelima," katanya. Kamal berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ehsan Kepada Mangsa Banjir Tahun 2020 /2021 DUN Bukit Besi yang diadakan di Balai Raya Kampung Jerangau di sini. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Penghulu Mukim Jerangau, Hassidy Hassan. Menurut Ahmad Kamal, APM yang merupakan anggota Sekretariat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Daerah Dungun telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500 kepada setiap penerima. "Oleh kerana, kerajaan negeri pun ada juga memperuntukkan sebanyak RM500 kepada setiap ketua keluarga mangsa banjir, jadi kita buat majlis penyerahan bersekali, jadi setiap penerima akan menerima sebanyak RM1,000," jelasnya lagi. Sementara itu, Alias di dalam ucapan berkata, sumbangan tersebut walaupun dikatakan agak lambat tetapi sebenarnya tepat pada masanya. "Memandangkan kita akan berpuasa tidak lama lagi dan setelah itu akan berhari raya dengan suasana norma baharu susulan pandemik Covid-19, wang yang diterima perlu dibelanjakan sebaiknya, jangan membeli barang-barang yang tidak penting," ujarnya. 
06 Apr 21
407
Teganu Prihatin, Rintis Penduduk Cakna Isu Semasa
Teganu Prihatin, Rintis Penduduk Cakna Isu Semasa
KUALA TERENGGANU, 6 April - Program Teganu Prihatin kini dilihat menjadi medium terbaik dalam menyampaikan dasar negara dan negeri kepada masyarakat. Pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Terengganu, Ahmad Ammar Othman berkata, tujuan program berkenaan diadakan bagi melaksanakan hebahan pelbagai maklumat berkaitan isu semasa, kempen dan dasar kerajaan seperti pengamalan norma baharu pasca pandemik COVID-19.  "Setiap hari, JaPen akan mengadakan hebahan dan penyampaian maklumat kepada masyarakat dalam pelbagai medium. "Dari sini, timbul idea daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah supaya kita adakan satu program turun padang dengan mengumpulkan pelbagai agensi persekutuan dan negeri agar kita dapat uar-uarkan mesej terus kepada masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam program Teganu Prihatin siri pertama di Pulau Perhentian, baru-baru ini. Jelasnya,kempen berkenaan diwujudkan dengan tema, Merintis Komuniti Berinformasi bagi membina masyarakat bermaklumat dengan penyampaian info berkaitan daripada pelbagai agensi. "Gabungan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Agensi Anti Dadah Malaysia (AADK), Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan sokongan padu Pejabat Daerah dan Tanah Besut serta pegawai penyelaras DUN mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat. "Selain itu, kita akan adakan beberapa siri program selepas ini, mungkin kita akan pergi ke kawasan pedalaman dan cuba mendekati masyarakat dengan pelbagai medium supaya masyarakat selesa dengan kami," katanya. Tambah Ahmad Ammar, kempen-kempen ini perlu sentiasa dilaksanakan supaya masyarakat faham betapa pentingnya komuniti yang berinformasi. "Terutama pada waktu sekarang, kita perlu ingatkan masyarakat tentang pengamalan norma baharu dalam kehidupan, kita tidak mahu jika berlaku jangkitan Covid-19 di sini, pulau akan ditutup dan situasi itu akan menyusahkan semua penduduk.  "Justeru, menjadi kewajipan kami untuk turun kepada masyarakat dan memberi penerangan tentang kepentingan vaksin dan sebagainya, serta memberi kefahaman tentang kewajipan masyarakat untuk cakna dengan isu semasa bersumberkan maklumat sahih," katanya. Dalam program selama dua hari itu, hampir 200 penduduk mendaftar vaksinisasi, 13 penduduk melaksanakan urusan berkaitan Mykad dan 72 orang berurusan dengan SPR bagi daftar pemilihan.
06 Apr 21
817
Beras Terengganu myGAP Tampil Ke Pasaran Bulan Ini
Beras Terengganu myGAP Tampil Ke Pasaran Bulan Ini
KUALA TERENGGANU, 8 April - Pertengahan April ini, rakyat Terengganu buat kali pertamanya akan menikmati beras jenama Terengganu dengan persijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian sebagai pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan amalan pertanian bagi menghasilkan produk berkualiti, selamat dan sesuai dimakan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kejayaan itu diperoleh hasil perancangan rapi semua pihak berkaitan. "Sebelum ini, kita ada padi yang bertaraf myGAP, tetapi sayangnya kita tiada beras myGAP.  "Kesilapan kita adalah kerana rantaian kita tidak lengkap. Kita ada sawah myGAP, petani myGAP dan penerima insentif dari myGAP tetapi apabila kita mesin padi, kita campur dengan padi-padi lain menyebabkan ia tidak mencapai kualiti ditetapkan myGAP," katanya. Khabar gembira itu disampaikan Azman kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Hari terbuka Jabatan Pertanian Negeri, di Ajil, baru-baru ini. Jelasnya, melalui perancangan dan penyusunan rapi dari peringkat awal sehingga akhir, rakyat Terengganu kini akan dapat menikmati beras jenama Terengganu yang lebih berkualiti. "Segala rantaian dari petak sawah sehingga mesin padi, pengangkutan untuk di bawa ke kilang, pembungkusan dan pemasaran telah kita persiapkan dengan rapi. "Persiapan kita ini bukan semata-mata pada satu tahap, sebaliknya kita menyusun rantaian lengkap dari sawah padi sehinggalah kepada pemasaran," katanya. Menurutnya, Terengganu memiliki sekitar 413 hektar iaitu lebih 1,000 ekar sawah padi samada dalam IADA Ketara atau di luar kawasan jelapang di bawah Jabatan Pertanian Malaysia yang telah mendapat persijilan myGAP. Dari jumlah itu, sekitar 3,000 metirk tan padi dapat dihasilkan. "Berapa beras yang akan dihasilkan? Selalunya dalam 60 peratus daripada padi akan jadi beras,jadi itulah anggaran keluaran beras myGAP yang akan kita hasilkan dari sawah-sawah negeri Terengganu. "Dua hari lepas, kita telah merasmikan penuaian padi myGAP di Kubang Lembu, Besut iaitu dalam kawasan Jelapang IADA Ketara. Sekarang, musim menuai telah bermula dan akan sampai kemuncaknya pada pertengahan April. Insya-Allah, pertengahan bulan ini  kita kan dapat menikmatinya," katanya.  
06 Apr 21
969
Kerajaan Negeri, Perkeso Bantu Pemburu Kerja
Kerajaan Negeri, Perkeso Bantu Pemburu Kerja
KUALA TERENGGANU, 5 April – Kerajaan Terengganu akan meneruskan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dalam negeri. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, cadangan tersebut tercetus hasil sambutan memberangsangkan daripada masyarakat setelah 936 orang berjaya mendapat temuduga kedua dalam Karnival Penjana kelmarin. “Insya-Allah dengan Perkeso, kerajaan negeri akan cuba bantu mereka yang sudah sebelah kaki untuk dapat kerja, kalau dapat lagi separuh (peserta) mungkin akan tolong 1,500 orang mendapat pekerjaan. “Perkeso boleh cadangkan untuk panggil majikan bagi pemusatan kerja temuduga, alternatifnya kita boleh diteruskan padanan kerja secara bentuk maya, ia boleh ditingkatkan kerana data pencari kerja sudah ada. “Pihak kami melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (THRDC) akan bersedia untuk menyokong usaha sebegini jika dapat direalisasikan,” jelasnya semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, petang semalam. Perkara sedemikian turut disuarakan Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, Dato’ Mohd Sahar Darusman yang menceritakan pelbagai inisiatif karnival kerja dijalankan pihaknya dalam bentuk fizikal dan maya. “Jika hasrat ini diteruskan di Terengganu, pihak kami boleh aturkan sokongan kewangan dan tenaga dengan setiap program temuduga kerja pada setiap suku tahun,” jelasnya. Mengulas lanjut berkenaan usaha Perkeso berkenaan temuduga secara maya, ia melibatkan dalam lingkungan 40 majikan dengan satu pegawai Perkeso mendidik beberapa calon untuk ditemuduga. “Setiap hari, sebarang kekosongan akan dipromosikan dalam portal Perkeso, manakala setiap minggu pihak kami adakan temuduga kecil bersama majikan dan pekerja (mengikut jadual dan kekosongan),” ulasnya. Untuk maklumat lebih lanjut, boleh layari https://www.myfuturejobs.gov.my/ atau laman web perkeso di https://www.perkeso.gov.my.
06 Apr 21
1425
Terengganu FC II Impi Kekal Rekod Tanpa Kalah
Terengganu FC II Impi Kekal Rekod Tanpa Kalah
KUALA TERENGGANU, 6 April- Pengendali Terengganu Football Club (Terengganu FC) II, Badrul Afzan Razali berharap pasukannya akan terus mengekalkan rekod tanpa kalah menjelang pertemuan dengan Perak II, petang ini. Beraksi di gelanggang lawan, beliau jelas mahu anak-anak buahnya tetap bersemangat untuk mencari kemenangan dan mengambarkan perubahan kesebelasan utama dalam perlawanan itu. "Kita kehilangan Masaki (Watanabe) dalam perlawanan ini, jadi mungkin kita akan ubah 'line-up' berdepan Perak II," katanya. Terdahulu, Terengganu FC II jatuh ke kedudukan kelima Liga Premier apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan kedua tercorot, PDRM dalam akis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Sabtu lalu. Dalam perlawanan itu, kelekaan tuan rumah apada awal separuh masa kedua memakan diri sehingga membuka ruang kepada skuad ‘Sang Saka Biru’ menyamakan kedudukan pada minit ke 49 melalui tandukan Alexander Amponsah.  Terengganu FC II sebelum itu menunjukkan aksi yang baik pada separuh masa pertama dengan meledakkan gol pendahuluan pada minit 35 melalui sepakan dalam kotak penalti Mohammad Ramzi Sufian. "Bagi saya, masa pertama pemain bermain dengan baik, tetapi kita hilang kosentrasi pada minit awal masa kedua, menyebabkan kita terkena gol mudah dan mereka menghukum kita dengan hilang mata ditempat sendiri. “Saya selalu ingatkan pemain 10 minit terawal sama ada separuh masa pertama atau kedua, perlu fokus. Kita mempunyai peluang tetapi tidak menyempurnakannya dengan baik," kata Badrul. Skuad 'feeder' itu kini telah merekodkan lima keputusan seri selepas merakam kemenangan 4-0 ke atas skuad Projek FAM-MSN iaitu bertemu Kuching City FC (1-1), Negeri Sembilan (2-2), Kelantan FC (0-0), Sarawak United (0-0) dan PDRM (1-1). Tidak mahu kelekaan terus menghantui anak-anak buahnya, Badrul mengharapkan aksi lebih baik dalam perlawanan ini. "Harapan saya, Jordan Mintah kembali ke pasukan dan dapat menaikkan semangat pemain lain untuk mencari kemenangan, bagi saya Christopher Herd memberikan motivasi kepada pasukan dengan pengalamannya, tetapi mungkin kerana masalah kecergasan, impaknya tidak ketara pada perlawanan sebelum ini," katanya.
06 Apr 21
786