lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terowong ECRL Di Terengganu Siap Enam Bulan Awal
Terowong ECRL Di Terengganu Siap Enam Bulan Awal
DUNGUN, 10 April - Terowong Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Paka di sini mencapai kemajuan 98.5 peratus dan siap enam bulan lebih awal daripada jadual asal. Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan, infrastruktur sejauh 1.1 kilometer itu adalah antara 59 terowong di laluan projek ECRL dalam Malaysia. “Pencapaian ini merupakan hasil usaha selama 620,000 jam bekerja dengan perlaksanaan kaedah gerudi dan letup terowong menembusi batu sederhana luluhawa granit di bawah kontraktor utama ECRL China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL). “Pelbagai cabaran dihadapi seperti penangguhan kerja-kerja pembinaan selama 9 bulan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat semasa pandemik COVID-19 yang telah mengurangkan tenaga dan tempoh bekerja," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan upacara letupan terakhir di Terowong Paka yang terletak lebih kurang 42 meter dari penghujung portal terowong (portal selatan), petang semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRL. Dato' Sri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan CCC-ECRL Bai Yinzhan. Menurut Ketua Setiausaha Negara itu, Terowong Paka dibina untuk mengelakkan penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan. "Terima kasih juga kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam meluluskan dan memberi kerjasama menjayakan projek ini," jelasnya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh yang hadir sama berkata, kerajaan Terengganu berbangga dengan kejayaan menjayakan projek tersebut tanpa sebarang masalah keselamatan. “Dengan ketinggian 11.8 meter dan kelebaran 12.9 meter, terowong ini adalah pertama yang siap di Malaysia dan seterusnya terowong kedua di Terengganu dijangka akan membuat penembusan pada pertengahan bulan Jun 2021. “Ini setelah Terowong Dungun yang mempunyai 871 meter panjang kini mencapai tahap kemajuan lebih daripada 760 meter bagi kerja-kerja penggalian “Kerajaan Negeri Terengganu memberi sokongan dan komitmen penuh terhadap ECRL dan CCC-ECRL dalam penyiapan projek ini,” jelasnya.
09 Apr 21
4307
Muaz, Nur Jannah Johan Qari, Qariah Terengganu
Muaz, Nur Jannah Johan Qari, Qariah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 April – Muhamad Muaz Mokhtar dan Nur Jannah Abd Rahman, muncul johan qari dan qariahn dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2021 malam kelmarin. Muaz yang juga seorang guru berkata, dia tidak menyangka dengan kemenangan tersebut dan menyifatkan ia sebagai penebus kekecewaannya yang hanya mendapat saguhati semasa pertandingan Tilawah tahun 2019. “Antara faktor kejayaan adalah dorongan daripada ayah mertua saya, Abd Rahman Omar yang tidak kenal erti penat lelah dalam mengajar saya pagi, petang, siang dan malam,” katanya kepada pemberita. Katanya, wang kemenangan itu akan dihadiahkan kepada ayahnya dan juga akan digunakan untuk memantapkan lagi ilmu al-Quran. Bapa kepada seorang cahaya mata itu turut menyeru orang ramai supaya menghayati bulan Ramadan sebagai Syahrul Quran dengan memperbanyakkan bacaan dan tadarus kitab suci itu. Sementara itu, Nur Jannah memaklumkan, kemenangan terbabit membuka peluang kepadanya untuk melakukan yang terbaik pada peringkat kebangsaan selepas hanya meraih tempat ketiga pada 2020. “Sejak 2009, saya telah bertanding dalam tilawah peringkat negeri hasil daripada latihan konsisten dari segi taranum dan tajwid," jelasnya. Menurut guru di Pusat Pengajian al-Quran Braille, Paka itu, kata-kata semangat yang sentiasa diberi oleh pelajar dan bapanya menjadi tonik kejayaan. Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM8,000 berserta piala iringan dan sijil. Dalam majlis itu, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah pada Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man. Turut berangkat, dua lagi anakanda pasangan Diraja iaitu Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’. Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Zahari Md Azahar. Naib Johan kategori Qari dimenangi oleh Wan Amirul Shamnie Wan Rosli (Marang) dengan market 87.3 peratus manakala tempat ketiga dimenangi Mohamad Hafas Ali dengan skor 86.9 peratus. Bagi kategori Qariah, naib johan diperoleh oleh Nur Afifah Zaki (Marang) dengan markah 82.4 peratus dan tempat ketiga diduduki Nasirah Ibrahim (Hulu Terengganu) dengan 81.9 peratus. Kedua-dua juara qari dan qariah akan mewakili Terengganu bagi Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 13 hingga 18 Jun ini.
09 Apr 21
1537
Proses Naik Taraf Internet Setiu Di Fasa Akhir
Proses Naik Taraf Internet Setiu Di Fasa Akhir
Oleh : Faris Ameir Ibrahim SETIU, 8 April - Penduduk di Setiu kini boleh menarik nafas lega apabila proses untuk menaik taraf sistem jalur lebar di daerah berada di fasa akhir pemilihan tender. Ahli parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, isu itu sudah lama menjadi masalah bagi penduduk Setiu khususnya di pedalaman. Katanya, oleh itu kerja-kerja meningkatkan kemudahan infrastruktur dan membina menara pemancar baharu akan dilaksanakan meliputi sebahagian besar kawasan parlimen setiu terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dan Permaisuri.  “Saya sendiri telah membawa usul ke parlimen dalam ucapan saya dan soalan-soalan secara lisan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Seri Saifuddin Abdullah dan saya juga telah menyerahkan surat rasmi kepada beliau ketika sidang Parlimen sedang berehat sebelum ini. "Di dalam surat tersebut telah saya sertakan dengan lampiran kawasan yang belum lagi mempunyai liputan internet 4G," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, semasa proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) awal tahun ini, di sesetengah kawasan pelajar-pelajar perlu pergi ke tempat yang tinggi untuk mendapat liputan internet 4G. "Misalnya mereka perlu pergi ke atas bukit untuk mendapatkan liputan internet.    "Jadi Alhamdullilah, setelah pelbagai usaha dibuat kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia di bawah Program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pembinaan menara baru sebanyak 13 dan menaik taraf menara pemancar yang sedia ada di 57 tempat diluluskan. "Antara tempat yang dinaik taraf menara ialah Kampung Sungai Bari, Kampung Bahagia, Felda Chalok Barat, Kampung Telaga Papan, Kampung Gong Terap, Pusat Belia Bari, Kampung Guntung, Bandar Permaisuri, Kampung Penarik, Kampung Sungai Tong, Terengganu International Endurance Park iaitu di Lembah Bidong dan banyak lagi, kesemuanya melibatkan 57 buah kampung,” katanya. Menurut Shaharizukirnain lagi, menara pemancar yang akan dibina baru melibatkan Kampung Baru Tok Dor, Kampung Gong, Kampung Bukit Tanah, Kampung Kepala Gajah, Kampung Gong Lilit, Kampung Mangkuk, Kampung Air Sejuk dan Kampung Padang Serai. "Selain itu, Kampung Tayor Tengah, Hutan Lipur Lata Payong, Kampung Bukit Layat, Kampung Jelapang dan Kampung Pengkalan Gelap turut akan dibina baru. "Iklan sebut harga atau tender telah ditutup pada 31 Mac yang lalu dan sekarang dalam proses pemilihan kontraktor yang berjaya. "Dijangka penghujung April akan dimulakan pembinaan menara telekomunikasi itu," katanya.
08 Apr 21
1343
Peruntukan RM10 Juta Bangunkan Pelancongan Terengganu
Peruntukan RM10 Juta Bangunkan Pelancongan Terengganu
KUALA NERUS, 8 April - Terengganu menerima peruntukan lebih RM10 juta bagi membangunkan industri pelancongan negeri ini untuk tempoh dua tahun iaitu 2020 dan 2021. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu merangkumi satu projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK-12 iaitu empat projek penyelenggaraan kemudahan pelancongan termasuk pemuliharaan bangunan warisan tahun 2020. "Beberapa projek lagi berjalan tahun ini termasuk penyelenggaraan program homestay Malaysia dan tambahbaik infrastruktur serta promosi kampung budaya," katanya. Beliau berkata demikian ketika hadir ke Siri Jerayawara (Roadshow) Dasar Perlancongan Negara (DPN) 2020-2030 Zon Pantai Timur di Hotel Raia, di sini, hari ini. Siri Jerayawara DPN 2020-2030 melibatkan penggiat industri di Terengganu, Kelantan dan Pahang merupakan sesi ketiga diadakan selepas Sarawak pada Februari dan Zon Selatan iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor pada Mac. Menurut  Nancy, Pulau Bidong Terengganu dipilih sebagai lokasi Mercu Tanda Mini Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) Bawah Air Pertama yang akan dilancarkan pada Jun depan. Katanya, pelancaran mercu tanda itu akan diadakan sempena penganjuran ASEAN Seminar on The Preservation and Protection of Underwater Cultural Heritage pada 15 hingga 19 Jun nanti. "Projek di bawah Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memaparkan 11 monumen mercu tanda dari setiap negara ASEAN yang ditempatkan di dasar laut pada kedalaman 10 hingga 15 meter. "Antara monumen itu adalah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur-KLCC (Malaysia), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei), Cambodia Independence Monument (Cambodia), Patuxai Monument (LAOS), Indonesia National Monument (Indonesia) dan Shwedagon Pagoda (Myanmar). "Turut dipaparkan nanti adalah Joe Rizal Monument (Republik Filipina), Merlion (Singapura), Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan (Thailand), Tran Quoc Pagoda (Vietnam) dan ASEAN Secretariat (ASEAN)," katanya. Jelas Nancy, projek yang menelan kos sebanyak RM265,000 di bawah pembiayaan Tabung Kebudayaan ASEAN itu akan menjadi platform bagi perkongsian ilmu dan pertukaran budaya di antara negara-negara ASEAN.  "Ia juga bakal menjadi produk pelancongan budaya baharu yang akan merancakkan ekonomi dalam sektor pelancongan dan kebudayaan di samping meningkatkan lagi visibiliti dan imej Malaysia di mata dunia," katanya.
08 Apr 21
522
Abdul Hadi Dinobat Juara Hafazan Al-Quran
Abdul Hadi Dinobat Juara Hafazan Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 8 April - Abdul Hadi Nuhairi, 25, dari Daerah Kemaman telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri bagi kategori 30 juzuk bahagian lelaki. Abdul Hadi berkata kemenangan itu sangat berharga pada dirinya kerana ia merupakan penyertaan kali terakhir. "Sejujurnya saya sangat gembira dan bersyukur setelah terlibat semenjak tahun 2013 ketika masih belajar di sekolah Menengah Imtiaz Dungun. "Kemenangan ini adalah untuk ibu bapa saya yang selama ini memberi dorongan serta semangat yang kuat buat saya dalam menjaga hafalan al-Quran ini. "Tidak lupa kepada para guru yang pernah membimbing saya serta memberikan pertolongan samada dari segi fizikal atau mental termasuk rakan-rakan," ujarnya. Hadi berkata demikian ketika ditemui Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Majlis hafazan Al-Quran peringkat negeri hari ini, di Pusat Konvesyen, Taman Tamadun Islam (TTI) pada hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan negeri, Samiun Salleh, dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.  Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, proses untuk mengingati al-Quran dilalui dengan cabaran yang tersendiri. "Saya terpaksa menguruskan waktu dalam kesibukan menghabiskan pengajian sarjana saya di Universiti Malaya dalam bidang syariah dan ekonomi serta dalam masa yang sama menetapkan waktu untuk al-Quran, suasana tidak sama sebagaimana di bangku sekolah dahulu," ujarnya. Sementara itu, pemenang bagi kategori 30 juzuk wanita, Mawaddah Mohd Rani, 19, berkata kejayaan diperolehinya itu merupakan hasil didikan ibu bapanya. "Serta para guru di Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu membimbing saya, di mana saya sebelum ini banyak menyertai pertandingan hafazan di peringkat sekolah. "Ini kali pertama saya menyertai kategori ini dan dan bersyukur memenanginya. Minat menghafal al-Quran ini datangnya daripada diri sendiri," ujarnya. Mawaddah turut berkesempatan memberi nasihat kepada mereka yang berminat untuk mejadi penghafal al-Quran, katanya setiap individu perlu mempunyai semangat yang tinggi serta perlu berusaha tanpa putus asa.      
08 Apr 21
1258
'Pupuk Perpaduan dan Hargai Keharmonian'
'Pupuk Perpaduan dan Hargai Keharmonian'
KUALA NERUS, 8 April - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mengingatkan bahawa semua rakyat di negara ini khususnya di Terengganu perlu menerima hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum yang unik. "Keunikan inilah yang menjadikan kita istimewa dan terbilang di mata masyarakat dunia. "Jadi, pupuklah semangat perpaduan dan ukhuwwah sesama kita, hargailah keamanan dan peliharalah perpaduan dan keharmonian demi negara yang kita semua cintai," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Duyong Marina & Resort, semalam. Majlis berkenaan dihadiri wakil-wakil persatuan pelbagai bangsa dan kaum di Terengganu dengan tujuan mewujudkan penyatuan di kalangan masyarakat dalam membangun negeri yang maju, berkat dan sejahtera. Program makan malam tersebut disempurnakan Yang di Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Menurut Hanafiah, keamanan yang diperolehi hari ini adalah hasil perpaduan dan toleransi segenap masyarakat.  "Adalah menjadi tanggungjawab generasi baharu hari ini untuk menghargai dan menghayati konsep perpaduan. "Tugas dan tanggungjawab utama kita pada hari ini adalah memenuhkan dada dengan ilmu pengetahuan dunia dan ukhrawi agar perpaduan yang kita telah kecapi selama ini dapat dipertahankan dan seterusnya dikekalkan. "Tanpa ilmu pengetahuan dan usaha–usaha yang berterusan bagi mempertahankan perpaduan yang telah lama wujud ini, semuanya hanya akan tinggal kenangan dan menjadi lipatan sejarah sahaja," katanya.                    
08 Apr 21
148
APMM Sumbang Bot Vietnam Bagi Penyelidikan UMT
APMM Sumbang Bot Vietnam Bagi Penyelidikan UMT
SETIU, 8 April - Buat pertama kalinya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyumbangkan dua bot nelayan Vietnam yang dilucut hak kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi tujuan penyelidikan. Vessel lucut hak itu merupakan hasil OP KUDA LAUT yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh Kapal Maritim (KM) SATRIA dan KM MULIA dan dilabuhkan di perairan dengan kedalaman 13 hingga 15 meter pada kira-kira 600 meter dari pantai Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT di Pulau Bidong. Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda (M), Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, program pelupusan tersebut mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak. "Sebelum ini APMM dan UMT turut terlibat dalam program Eksesais Maritim sempena Hari Kemerdekaan pada tahun lalu. "Selain daripada Universiti Malaysia Terengganu, program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT)," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Melabuhkan Tukun Vessel Lucut Hak di Pulau Bidong, hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri b. Ibrahim dan Pengarah APMM Terengganu, Kapten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli. Mewakili Naib Canselor UMT, Dr. Zamri Ibrahim turut merakamkan rasa terima kasih atas sumbangan khusus APMM. "Vessel-vessel lucut hak yang dijadikan tukun ini membolehkan pelajar dan penyelidik UMT menjalankan aktiviti pengajawan dan pembelajaran serta penyelidikan berkaitan sumber perikanan dan beberapa aspek sains marin yang lain. "Program ini juga diharap dapat mengukuhkan hubungan antara UMT, agensi penguatkuasaan, kerajaan negeri dan masyarakat disamping dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap alam sekitar dan kelestarian sumber perikanan negara," katanya. Program kali ini merupakan pelupusan kesembilan dalam tahun ini oleh Maritim Negeri Terengganu dan dijangkakan sebanyak 38 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah. Sehingga kini, sejumlah 104 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu oleh Maritim Negeri Terengganu dengan anggaran nilai RM156 juta.  
08 Apr 21
1339
MB Terima Kunjungan Hormat Dato' Nancy
MB Terima Kunjungan Hormat Dato' Nancy
KUALA TERENGGANU, 8 April - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia, Dato' Nancy Shukri, hari ini. Bersempena Lawatan Kerja Siri Jerayawara (Roadshow) Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, Nancy meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk beramah mesra bersama Ahmad Samsuri di kediaman rasminya di Seri Iman. Turut sama dalam pertemuan tersebut, Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman. Lawatan ke Terengganu merupakan program pertama di negeri ini bermula dengan kunjungan hormat berkenaan. Selepas pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Terengganu, beliau mengadakan sidang media Siri Jerayawara (Roadshow) Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 bertempat di Hotel Raia, Kuala Terengganu. Kemudian, merasmikan Dataran Kampung Banggol Cempedak, Kuala Terengganu di Dataran Riverview kampung tersebut.
08 Apr 21
500
Setengah Juta Rokok Seludup Dirampas
Setengah Juta Rokok Seludup Dirampas
KUALA TERENGGANU, 7 April - Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan rokok dengan nilai rampasan berjumlah RM99,818.40 melibatkan jumlah cukai mencecah RM503,051. Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato' Sri Abdul Latif Abdul Kadir melaporkan, serbuan pertama melibatkan kes sejumlah rokok putih pelbagai jenama yang belum dilulus kastam dibungkus dalam plastik hitam di pesisir pantai Lembah Bidong, Jalan Merang, Setiu, pada jam 1.00 pagi, 31 Mac. “Anggaran jumlah rokok putih yang diperolehi adalah sebanyak 508,000 batang bersamaan dengan 2,540 karton yang dianggarkan bernilai RM66,040 dengan duti serta cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM341,884," katanya. Jelasnya, tiada penahanan dibuat kerana mereka yang disyaki terlibat berjaya meloloskan diri dalam cuaca gelap. “Kes kedua pada 10.30 pagi hari sama, sepasukan anggota JKDM menemui sejumlah rokok putih dan kretek dengan anggaran jumlah sebanyak 239,120 batang dengan nilai dianggarkan sebanyak RM33,778.40 dan duti serta cukai terlibat dengan anggaran berjumlah RM161,167.00. “Serbuan dibuat di sebuah rumah kedai beralamat di Kampung Pak Madah, Bukit Payung. Pasukan telah berjaya menahan dua Orang Yang DiSyaki (OYDS) yang merupakan warga tempatan seorang lelaki dan seorang wanita. Tambahnya, OYDS dalam lingkungan umur 20-an hingga 40-an dipercayai pemilik premis tersebut dan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Terengganu untuk siasatan lanjut. “Kedua-dua OYDS ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. “Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya. Mengulas lanjut berkenaan kerjasama bersama orang awam, Abdul Latif menyeru masyarakat dalam membantu Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. “Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. “JKDM juga menyeru masyarakat untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800 88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya lagi. Jelasnya, pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.  
07 Apr 21
1643
Sultan Mizan Bangga UniSZA Bakal Miliki Hospital Sendiri
Sultan Mizan Bangga UniSZA Bakal Miliki Hospital Sendiri
KUALA NERUS, 7 April – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyatakan perasaan bangga kerana Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal memiliki hospital sendiri dalam masa terdekat. Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) yang berketinggian enam tingkat dan berkapasiti 400 katil kini siap hampir 85 peratus. Ia dibahagikan kepada dua fasa pembinaan iaitu fasa 1 sebanyak 200 katil dan fasa 2 sebanyak 200 katil. Baginda bertitah, situasi itu akan memberikan impak berskala tinggi untuk penyediaan kemudahan rawatan dan pencegahan penyakit kepada rakyat. “Malah, Beta menjangkakan tenaga pakar dalam bidang perubatan mampu mencipta inovasi baharu bagi membendung penyakit berbahaya yang mengancam nyawa manusia. . “Dengan penggunaan peralatan dan teknologi tinggi, nescaya banyak perkara yang mampu ditangani dengan cepat dan efektif. Beta mengharapkan universiti ini menjadi sebuah pusat pendidikan yang menyediakan prasarana dan infrastruktur perubatan patuh syariah dan setanding dengan negara maju,” titah baginda. Sultan Mizan bertitah pada Majlis Syarahan Diraja sempena Sambutan ke-40 Tahun Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, di UniSZA, di sini hari ini. Turut berangkat pada majlis tersebut Sultanah Terengganu yang juga Canselor UniSZA, Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az serta dua lagi anakanda pasangan Diraja tersebut iaitu Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’. Keluarga Diraja itu diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Naib Canselor UniSZA ,Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan. Bersempena dengan sambutan ke-40 tahun UniSZA, Sultan Mizan turut berharap konsep kesepaduan ilmu yang pernah dikuasai cendiakawan Islam pada suatu masa dahulu diperhebatkan di negeri ini. “Terengganu sememangnya mempunyai pelbagai institusi ilmu dalam pelbagai bidang, namun agenda penting yang perlu difikirkan adalah bagaimana setiap institusi ilmu tersebut mampu memainkan peranan secara optimum. “Ia bertujuan melahirkan dan membangunkan anak negeri serta negeri ini secara muafakat agar tiada rakyat Beta yang terpinggir dalam menghadapi cabaran kepesatan teknologi terkini,” titah baginda.  
07 Apr 21
850