Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Inc Agih 3,000 Bubur Lambuk Percuma
KUALA TERENGGANU, 14 April – Kumpulan Terengganu Inc meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) di bulan Ramadan dengan mengagihkan 3,000 bekas bubur lambuk di Masjid Negeri, Kuala Terengganu semalam.
Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, agihan bubur lambuk menjadi salah satu aktiviti penghubung antara pihaknya bersama penduduk setempat sekaligus menjalinkan ikatan silaturahim secara terus bersama masyarakat.
“Terengganu Inc dan anak-anak syarikat Kumpulan meneruskan CSR Ramadhan bagi agihan bubur pada tahun ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Kami berharap, usaha ini dapat membantu mereka yang tiada juadah untuk berbuka atau bagi mereka yang tiada kesempatan untuk menyediakan juadah berbuka puasa menikmati keenakan bubur lambuk Terengganu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Turut hadir Yang Dipertua Maidam, Dato’ Hj Osman Muda dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Abidin, YM Dato’ Dr Syed Mohammad Salleh bin Syed Yusof Al Zawawi dan Pengurusan Terengganu Inc.
Tambah Burhanuddin, usaha itu diharap mampu mengekalkan tradisi pengagihan bubur lambuk di sekitar kawasan masjid, sekali gus dapat mengekalkan jalinan kerjasama antara kumpulan Terengganu Inc sendiri.
Menurut beliau, program pengagihan makanan tradisi bulan Ramadan itu merupakan aktiviti tahunan Terengganu Inc dan anak-anak syarikat kumpulan bersama komuniti masjid dan sekitarnya.
"Agihan bubur lambuk bermula pada jam 2 petang sehingga selesai mulai 13 April sehingga 15 April 2021 bertempat di Masjid Negeri, Kuala Terengganu. Sebanyak 1,000 bekas diperuntukkan untuk agihan pada setiap hari.
"Bubur lambuk merupakan makanan tradisi Terengganu yang biasanya disediakan pada bulan Ramadan untuk juadah berbuka puasa. Antara bahan asas yang digunakan termasuk beras, pucuk midin, pucuk paku, ikan, ubi keledek, lada hitam dan rempah ratus," jelasnya lagi.
13 Apr 21
1551
'Larangan' Berbuka Di Masjid : Rakyat Jangan Keliru
KUALA TERENGGANU, 13 April - Orang ramai dinasihatkan agar tidak terkeliru dengan 'larangan' mengadakan majlis jamuan berbuka puasa, moreh serta sahur di masjid dan surau di negeri ini.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad menegaskan, perkara yang tidak dibenarkan adalah jamuan berbuka, moreh dan sahur dengan cara hidangan seperti diamalkan sebelum-sebelum ini.
Sebaliknya beliau menjelaskan, penyediaan makanan secara bungkusan untuk tiga aktiviti itu boleh dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
"Ahli Jawatankuasa masjid dan surau atau orang perseorangan boleh sedia juadah untuk iftar, moreh dan sahur secara bungkus, yang pasti tidak boleh jamuan secara hidang.
"Garis panduan pematuhan SOP aktiviti sepanjang bulan Ramadan termasuk majlis berbuka puasa sudah diedarkan kepada jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Tambah Mat Azmi, jawatankuasa masjid dan surau diminta menyediakan kurma serta air mineral bagi membolehkan jemaah yang datang awal untuk menunaikan solat magrib berjemaah berbuka puasa.
13 Apr 21
4280
Manfaatkan Peluang Bulan Ramadan - Titah Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 13 April - Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru masyarakat Islam agar memperbanyakkan amal dan mengoptimumkan peluang dalam bulan Ramadan walaupun dalam kekangan perintah pergerakan.
Baginda bertitah, kesempatan untuk menghayati bulan Ramadan adalah kurniaan besar kepada seluruh umat dengan 1,000 rahmat dan keberkatan.
"Ramadan adalah bulan yang penuh dengan sejarah kemenangan bagi perjuangan umat Islam, di dalamnya tercatat sejarah hebat perjuangan Islam bermula dengan kemenangan di medan peperangan Badar sehingga kepada pembukaan Kota Mekah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW.
“Kemenangan umat Islam terhasil daripada jati diri yang teguh berpegang kuat dengan agama allah dan perpaduan yang sangat kukuh.
“Oleh itu, beta menyeru marilah kita sama sama memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan umat Islam agar segala cabaran dan dugaan yang kita hadapi akan dapat diatasi dengan jayanya titah baginda dalam perutusan menyambut ketibaan Ramadan,” titah Baginda dalam perutusan menyambut ketibaan Ramadan Al-Mubarak Tahun 1442 Hijrah kelmarin.
Sultan Mizan turut menyarankan supaya perpaduan dan kesatuan dibentuk melalui niat yang betul, serta mendidik diri merasai kesusahan saudara yang memerlukan.
“Ambil kesempatan bulan ini untuk membina ikatan silaturahim melalui medium solat berjemaah di masjid dan surau, sama ada solat fardhu, solat sunat tarawikh dan lain-lain lagi.
“Sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan ini, mari kita terjemahkan melalui ibadah berzakat, menerusi Malis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Bayar zakat menerusi amil-amil zakat yang telah dilantik oleh MAIDAM, mudah-mudahan zakat yang kita keluarkan dapat disalurkan sebaik mungkin kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya,” titah Baginda.
13 Apr 21
493
Terengganu Benar Aktiviti Qiamullail, Tadarus Di Masjid
KUALA TERENGGANU, 13 April - Terengganu membenarkan aktiviti qiamullail dan tadarus al-Quran diadakan di masjid serta surau sepanjang bulan Ramadan ini.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, ia selaras dengan ketetapan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berkaitan pelaksanaan aktiviti ibadat di masjid dan surau dalam negeri ini.
"Kebenaran ini terpakai dan berkuat kuasa pada 12 April 2021 mulai Solat Sunat Tarawih sehingga satu ketetapan baharu yang akan dikeluarkan oleh jabatan ini secara rasmi dari masa ke masa," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurut Mat Azmi, kebenaran itu diberikan bagi memastikan institusi masjid dan surau terus diimarahkan sepanjang bulan Ramadan.
Namun katanya, ia perlu tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Masjid dan surau hendaklah mewujudkan pasukan petugas yang terdiri daripada lelaki dan wanita untuk mengawal jemaah sepanjang keberadaan mereka di masjid dan surau.
"Jawatankuasa masjid dan surau hendaklah sentiasa mematuhi SOP Kesihatan dan Keselamatan yang berkuatkuasa sepanjang aktiviti ibadat di bulan Ramadan dilaksanakan," katanya.
12 Apr 21
888
Food Bank Ringankan Beban Rakyat Setiu
Oleh : Faris Ameir Ibrahim
SETIU, 12 April - Program Food Bank di Parlimen Setiu memberi banyak manfaat kepada penduduk setempat termasuk meringankan kos sara hidup golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
Program bantuan tersebut berbentuk bakul makanan yang menggabungkan keperluan dan makanan asas.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, pihaknya mengambil langkah melaksanakan inisiatif itu selepas menyedari kesusahan rakyat terutama di waktu pandemik.
Katanya, program itu telah dilancarkan pada awal Mac lalu dan pelbagai cara dibuat untuk mempromosikan bantuan tersebut kepada rakyat Setiu yang memerlukan.
"Kita telah meletakkan kain rentang di tempat-tempat yang strategik dan kita juga mengiklankan bantuan ini di facebook.
"Bagi yang memerlukan, bolehlah hubungi nombor telefon yang tertera pada kain rentang mengikut kawasan masing-masing yang dibahagikan mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Pegawai Ahli Parlimen di setiap DUN akan membantu dalam menyampaikan bantuan berupa bakul makanan ini," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) kelmarin.
Kata Shaharizukirnain, setakat ini ratusan keluarga telah menerima manfaat daripada program tersebut.
"Alhamdullilah, setakat ini sudah lebih ratusan isi rumah telah menjadi penerima Food Bank ini di seluruh Setiu.
"Program ini akan terus berlanjutan sehingga ke satu masa yang akan diberitahu.
"Bagi menyelaraskan urusan program ini, kita mewujudkan satu tempat yang memudahkan penerima untuk menerima bantuan ‘Food Bank’ ini, contohnya di DUN Batu Rakit, pusat pengagihan program ini terletak di Kedai Runcit Stemza (Kedai Pok Malik)," tambah beliau.
12 Apr 21
362
Rezeki Sempena Ramadan
KEMAMAN, 13 April - Seramai 85 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri Kawasan Air Putih kini tersenyum lebar setelah menerima suratan hak milik.
Jumlah tersebut melibatkan seramai 22 penerima dari RTB (lot tapak rumah) Kampung Ban Ho Cherul, 43 penerima RTB (lot tapak rumah) Kampung Lot Sri Jaya dan 20 penerima RTB Paloh Jenang Terkilan (lot pertanian).
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Air Putih, Ab.Razak Ibrahim, memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan kesempatan untuk menunaikan hak rakyat di kawasannya dengan kerja keras daripada semua pihak terutama kakitangan Pejabat Tanah Daerah Kemaman.
"Alhamdulillah di kesempatan ini kita diberikan ruang untuk menunaikan janji kerajaan dengan mengembalikan semula tanah RTB suatu ketika dulu yang belum selesai.
"Dengan komitmen yang tinggi daripada pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah Kemaman membolehkan majlis serahan hak milik RTB tersebut dapat disempurnakan pada hari ini.
"Saya sebagai wakil rakyat DUN Air Putih mengucapkan ribuan terima kasih, syabas dan tahniah kepada semua," katanya.
Dalam waktu yang sama, Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar yang turut berucap di majlis tersebut mengingatkan kepada penerima hak milik tanah RTB hari ini supaya tidak menjual tanah yang diterima mereka.
"Saya mengharapkan agar tanah yang dikurniakan oleh kerajaan ini hendaklah didirikan rumah dan jangan dijual," katanya.
12 Apr 21
820
Tidak Dibenarkan Jamuan Berbuka Puasa Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 11 April - Jamuan berbuka puasa tidak dibenarkan diadakan di semua masjid dan surau sepanjang Ramadan yang dijangka Selasa ini.
Turut tidak dibenarkan adalah moreh dan juga jamuan makan sahur.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad memaklumkan, larangan majlis jamuan berbuka puasa, moreh dan makan sahur di semua masjid serta surau dilakukan bagi membantu kerajaan membendung penularan pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, jelasnya, jemaah masih dibenarkan berbuka puasa, moreh serta makan sahur makanan berbungkus dan tidak membabitkan jumlah yang ramai.
"Garis panduan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti sepanjang bulan Ramadan termasuk majlis berbuka puasa sudah diedarkan kepada jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri.
"Jawatankuasa masjid dan surau diminta menyediakan kurma serta air mineral bagi membolehkan jemaah yang datang awal untuk menunaikan solat magrib berjemaah berbuka puasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mat Azmi, sebelum berlakunya penularan pandemik COVID-19, menjadi kebiasaan bagi umat Islam di negeri ini mengadakan majlis berbuka puasa membabitkan penduduk kampung.
"Mereka kebiasaannya akan mengadakan gotong royong menyediakan masakan untuk berbuka puasa," ujarnya.
Namun, program dan aktiviti itu dilarang diadakan berikutan berlakunya penularan pandemik COVID-19, di seluruh negara sejak Mac tahun lalu.
"Semua jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini diminta sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi membantu kerajaan membendung penularan COVID-19," tegasnya.
11 Apr 21
5790
Terengganu Rekod Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 11 April - Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt di Terengganu berada di tahap membimbangkan apabila merekodkan nilai tertinggi di Malaysia.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, Ro/Rt tertinggi adalah di Terengganu 1.53 dan Putrajaya 1.32
"Manakala, pada jangkaan mengikut kes seharian pada 10 April untuk seluruh Malaysia turun sedikit kepada 1.03.
"Namun, Ro/Rt masih tinggi dan tersasar berbanding sasaran 1.0 hingga 0.8," kata KKM di facebook rasminya hari ini.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melaporkan, negeri ini mencatatkan 34 kes positif hari ini menjadikan 153 kes aktif keseluruhan.
"Pecahan kes baharu adalah import C empat kes dan penularan tempatan sebanyak 30 kes.
"Sembilan daripada kontak kes Kluster Kampung Tanjung iaitu enam kes daerah di Kuala Nerus, tiga kes daerah Kuala Terengganu manakala 1 kontak kes tempatan dari Kuala Terengganu.
"Selain 23 kes dari saringan ACD PKPD Kamounh Belaoh (Kluster Belaoh) dan
saringan individu bergejala 1 kes di Kuala Nerus)," tambah JKNT.
11 Apr 21
4137
Bagaimana Solat Tarawih, Ihya' Ramadan Terengganu?
Selaras dengan ketetapan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pada 2 Mac 2021 berkaitan pelaksanaan aktiviti ibadat di masjid dan surau dalam negeri Terengganu, berikut adalah garis panduan yang hendaklah dipatuhi sepanjang bulan Ramadan:
Solat Sunat Tarawih DIBENARKAN mengikut ruang solat dan kawasan Masjid dan Surau.
Kutipan zakat fitrah oleh amil-amil yang bertauliah DIBENARKAN dilaksanakan di masjid dan surau disamping pembayaran secara dalam talian (online).
Penyediaan Iftar, moreh dan sahur DIBENARKAN SECARA BUNGKUS SAHAJA.
Jawatankuasa masjid dan surau DIBENARKAN untuk menyediakan buah kurma dan minuman untuk berbuka apabila waktu berbuka telah tiba.
Tadarus Al-Quran DIBENARKAN diadakan di Masjid dan Surau.
Qiamullail DIBENARKAN diadakan di Masjid dan Surau.
Penggunaan penghawa dingin adalah DIBENARKAN.
Masjid dan surau hendaklah mewujudkan pasukan petugas yang terdiri daripada lelaki dan wanita untuk mengawal jemaah sepanjang keberadaan mereka di Masjid dan Surau.
Jawatankuasa masjid dan surau hendaklah sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan dan Keselamatan yang berkuatkuasa sepanjang aktiviti ibadat di bulan Ramadan dilaksanakan.
PENUTUP
Garis Panduan ini terpakai dan berkuat kuasa pada 12 April 2021 mulai Solat Sunat Tarawih sehingga satu ketetapan baharu yang akan dikeluarkan oleh Jabatan ini secara rasmi dari masa ke masa.
Mohon kerjasama daripada Jawatankuasa , Pegawai Masjid dan Jemaah untuk sama-sama mematuhi segala garis panduan ini bagi menjamin keselamatan bersama.
Sebagai Peringatan, adalah dimaklumkan pihak penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa. Jawatankuasa masjid atau surau boleh dikenakan tindakan jika berlaku pelanggaran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan dan Keselamatan serta arahan dan garis panduan ini.
11 Apr 21
1198
Jangkitan Harian COVID-19 Di Terengganu Melonjak
KUALA TERENGGANU, 10 April - Angka kes COVID-19 di Terengganu semakin meningkat apabila 44 kes baharu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari tadi.
Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di Terengganu melonjak kepada 3,723 orang dengan 126 pesakit masih dalam rawatan.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nur Azimi Yunus berkata, 24 kes yang dilaporkan hari ini adalah daripada Kluster Belaoh.
"Ini menjadikan jumlah kes COVID-19 daripada Kluster Belaoh adalah seramai 49 orang. Sekelip mata daerah Besut bertukar menjadi zon merah," katanya dalam satu kenyataan di facebook rasminya.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, kes dijangka lebih teruk sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dilaksanakan di kawasan terbabit.
"Bayangkan jika kita tidak laksanakan PKPD di kawasan tersebut. Kemungkinan akan berlaku kluster yang besar di daerah Besut akibat pergerakan bebas kes positif yang ramai itu.
"Pergerakan rentas negeri dari Besut ke Kelantan pun sangat rutin disebabkan pergerakan penduduk yang keluar masuk kerana urusan kerja.
"Kluster Tanjung yang baru didaftarkan pun juga akibat rentas negeri," jelasnya
10 Apr 21
2206