lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Bazar Ramadan Tok Adis Ditutup 14 Hari
Bazar Ramadan Tok Adis Ditutup 14 Hari
KUALA TERENGGANU, 17 April - Bazar Ramadan Tok Adis, Kuala Ibai ditutup sementara selama 14 hari bermula semalam hingga 30 April depan.  Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengesahkan tentang notis penutupan itu dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) susulan operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata ia adalah bazar Ramadan pertama yang diarah tutup sementara di Terengganu Katanya, pemantauan telah dilakukan oleh pegawai penguatkuasa di lokasi itu selama beberapa hari dan didapati banyak pelanggaran SOP berlaku. "Penutupan ini bagi memberi masa kepada penganjurnya, dapat memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan memastikan ia dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung. "Arahan penutupan bazar itu bukan secara mengejut kerana nasihat telah pun diberi... .penutupan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan dan berharap langkah ini akan menjadi iktibar kepada semua agar mereka tidak cuai dalam pematuhan SOP," katanya ketika dihubungi. Menurut kenyataan tersebut, notis perintah tutup itu adalah di bawah Seksyen 18 (1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 oleh KKM.
17 Apr 21
3801
Konate 'Makan' KL City
Konate 'Makan' KL City
KUALA NERUS, 16 April- Jaringan pertama Makan Konate bagi musim ini, menghadiahkan Terengganu Football Club (Terengganu FC) tiga mata dalam pertemuan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City), sebentar tadi. Melayan kunjungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), sasaran Terengganu FC untuk melakarkan kemenangan di hadapan hampir 3,000 penyokong yang hadir buat kali pertama ke stadium bagi musim ini, tercapai apabila menang 1-0 ke atas Skuad Kota itu. Anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan permainan dengan serangan ke kubu lawan. Dua rembatan deras Hakimi Abdullah pada minit ke 5 dan 8 bagaimanapun berjaya dihadang benteng KL City.  Pelawat kemudian lebih banyak menguasai bola dan melancarkan serangan ke kubu tuan rumah. Pada minit ke 27, rembatan deras penyerang lawan, Romel Morales hanya singgah di tiang gol Sang Penyu. KL City sekali lagi berpeluang menjaringkan gol awal, namun tandukan Giancarlo Gallifuoco dinafikan palang gol. Kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar penguasaan bola, namun keputusan kekal tanoa gol di babak pertama. Memasuki babak kedua, Terengganu FC meningkatkan asakan ke kubu lawan, bagaimanapun kedua-dua pasukan buntu mencetak gol. Detik kemenangan Sang Penyu muncul pada minit ke-88, apabila Konate melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk gol tunggal perlawanan. KL City cuba bangkit menyamakan kedudukan namun keputusan 1-0 kekal sehingg tamat perlawanan. Kemenangan itu menyaksikan Terengganu FC naik ke tangga kedua Liga Super 2021 dengan 18 mata.    
16 Apr 21
689
Gara-Gara Rentas Negeri, Terengganu Menangis Lagi
Gara-Gara Rentas Negeri, Terengganu Menangis Lagi
KUALA TERENGGANU, 15 April - Aktiviti merentas negeri kerana menghadiri majlis perkahwinan adik menyebabkan 26 individu disahkan positif Covid-19. Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, kes terbaharu ini telah mencetuskan Kluster Taman Rakyat di Terengganu menjadikan kes positif terkini seramai 57 orang. "Rentas negeri dari Sabah untuk menghadiri perkahwinan adik akhirnya menjangkiti 26 orang di mana 11 ahli keluarga dan 15 tetamu kenduri.  "Hasil pertemuan hanya untuk 'KIRIM' duit kenduri serta 'goodies' telah menjangkiti kawan baik yang mengadakan majlis akikah di kampung akhirnya menjangkiti lima ahli keluarga dan tujuh tetamu akikah," katanya di laman facebook rasminya hari ini. Tambah Nor Azimi, ia turut menular kepada kawan yang lain melalui penghantaran barang yang dipesan selain aktiviti 'mengeteh' sebelum ini. Beliau juga berkata sehingga kini seramai 109 dilaporkan dari Kluster Belaoh di Terengganu. Justeru itu katanya, orang ramai dinasihatkan menangguh perkumpulan ramai orang.  "Kita tak tahu siapa yang kita jumpa walaupun ahli keluarga atau rakan sekerja.  "Jika SOP dipatuhi tak akan ada jangkitan. Kalau ada pun sangat minima bukan kluster besar sebegini," ujar beliau lagi. Nor Azimi juga tidak menolak kemungkinan tercetusnya kluster baharu jika pematuhan SOP di Bazar Ramadhan tidak berlaku.
15 Apr 21
7009
KKM Cadang Rentas Negeri Sempena Aidilfitri Ditangguh
KKM Cadang Rentas Negeri Sempena Aidilfitri Ditangguh
KUALA LUMPUR, 15 April - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan agar aktiviti rentas negeri untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri ditangguh. Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini. Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM perlu membuat pengumuman lebih awal berhubung rentas negeri sempena perayaan Aidilfitri ini. "Apabila mereka (KKM) membuat penilaian risiko, mereka tahu sekiranya buka, apa risikonya atau kesannya. Jadi kita tunggu daripada KKM sama ada boleh atau tidak rentas negeri sempena Aidilfitri nanti. "Ia bukan kuasa kita, kita lihat apa yang berlaku dulu apabila kerajaan membenarkan dan rentas negeri dibuka, terdapat 31 kluster balik kampung, sebab itu KKM perlu berhati-hati kali ini. "Kita akan umum dalam waktu terdekat kerana kita pun tidak mahu ganggu orang balik kampung, mahu beli tiket pesawat atau bas," katanya sebagaimana dilapor Berita Harian.  
15 Apr 21
550
Bantuan Zakat Terengganu Naik Hingga 25 Peratus
Bantuan Zakat Terengganu Naik Hingga 25 Peratus
KUALA TERENGGANU, 14 April - Kadar bantuan zakat kepada golongan asnaf iaitu fakir dan miskin di negeri ini dinaikkan antara 16.6 peratus dan 25 peratus tahun ini. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, seramai 22,857 Ketua Isi Rumah (KIR) golongan fakir dan miskin akan menerima bantuan zakat membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM13.5 juta. Jelasnya, KIR fakir dan miskin yang mempunyai tanggungan tiga ke bawah akan menerima kenaikan 25 peratus iaitu daripada RM400 tahun lalu kepada RM500 tahun ini. "KIR yang mempunyai tanggungan lebih daripada empat orang pula akan menerima kenaikan sebanyak 16.6 peratus iaitu dari RM600 kepada RM700 tahun ini. "MAIDAM memahami kesusahan dihadapi golongan asnaf dalam menghadapi bulan Ramadan, terutamanya dalam keadaan pandemik COVID-19 yang belum pulih sepenuhnya," ujarnya kepada media selepas mengagihkan bubur lambuk di perkarangan masjid negeri di sini hari ini. Tambah Osman, bantuan zakat sempena Ramadan itu akan diagihkan minggu hadapan dengan kaedah disalurkan terus kepada akaun penerima. "Kenaikan kadar bantuan itu dipersetujui ahli majlis mesyuarat MAIDAM bertujuan meringankan bebanan semua golongan asnaf. "Kita meminta agar bantuan yang akan disalurkan digunakan dengan sebaiknya," katanya.
14 Apr 21
1411
Taman Kucing Destinasi Pelancongan Baharu
Taman Kucing Destinasi Pelancongan Baharu
DUNGUN, 14 April - Taman Kucing yang terletak di Bukit Bauk, Dungun bakal menjadi tarikan baharu pelancong untuk datang ke daerah dan negeri ini. Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli memuji usaha murni Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mengumpulkan kucing-kucing jalanan yang ditemui di pasar, kedai makan dan tempat-tempat awam di Bandar Dungun sehingga berjaya mewujudkan Taman Kucing. "Saya dimaklumkan oleh pihak MPD, taman ini telah beroperasi sepenuhnya bermula 2 November 2020 dengan menempatkan 30 ekor kucing dan alhamdulillah kini terdapat peningkatan menjadikan 90 ekor," ujarnya. Ustaz Wan Hassan berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Taman Kucing di sini baru-baru ini. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan Yang Dipertua MPD, Lizan Che Mat. Wan Hassan(tiga dari kiri) bergambar selepas melancarkan Direktori Daerah  Taman itu turut dilengkapi dengan ruang Unit Rawatan Rapi, Unit Pemulihan, Wad Rawatan Ibu dan Anak dan Wad Keluarga Bahagia serta beberapa ruang lagi.  Direktori Dungun yang akan menjadi rujukan pengunjung turut dilancarkan dalam majlis tersebut. Ujar Wan Hassan, beliau menghargai usaha penyumbang-penyumbang yang membantu MPD menyelenggara taman tersebut.  "Dengan sumbangan ini, kita mencari kebaikan, dengan adanya pusat jagaan ini, insya-Allah, Allah Subhanahu Wa Ta'ala berjanji, rezeki kita tetap ada jika kita sentiasa membantu, (rezeki) untuk kesihatan kita, untuk kemudahan urusan kita," jelasnya. - Foto Oleh : Amirullah Mansor dan Mohd Afiq Fahmi
14 Apr 21
845
Bantuan Zakat Untuk Asnaf Diagih Minggu Depan
Bantuan Zakat Untuk Asnaf Diagih Minggu Depan
KUALA TERENGGANU, 14 April - Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan menyalurkan Bantuan Zakat Ramadan sebanyak RM13,495,300 melibatkan seramai 22,857 Ketua Isi Rumah (KIR) dari golongan asnaf. Yang Dipertuanya, Datuk Osman Muda berkata pengagihan ini akan bermula pada minggu hadapan. "MAIDAM memahami kesusahan yang dihadapi oleh asnaf dalam menghadapi bulan ramadhan al-mubarak, lebih-lebih lagi wabak Covid-19 yang belum pulih sepenuhnya, "Oleh itu, kadar bantuan zakat dinaikkan dari RM400 kepada RM500 bagi bilangan isi rumah tiga  orang dan ke bawah termasuk KIR manakala bagi isi rumah empat orang ke atas, kadarnya dinaikkan dari RM600 kepada RM700,"katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tambah beliau lagi, bayaran akan  terus dimasukkan kepada akaun bank penerima bermula minggu hadapan bagi meringankan sedikit bebanan yang perlu dihadapi oleh asnaf, penerima bantuan MAIDAM.  
14 Apr 21
1390
Tangguh Dulu Iftar Di Kawasan Lapang, Pantai - Dr Alias
Tangguh Dulu Iftar Di Kawasan Lapang, Pantai - Dr Alias
KUALA TERENGGANU, 14 April - Orang ramai di negeri ini dinasihatkan agar menangguhkan dahulu iftar di kawasan terbuka selepas Terengganu tidak membenarkan sebarang aktiviti di kawasan terbuka dan lapang sepanjang Ramadan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu hari ini bagi mengawal penularan Covid-19. "Keputusan mesyuarat JKKN sebentar tadi memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti berbuka puasa di kawasan lapang kerana kes Covid-19 di Terengganu masih tinggi. "Selain itu, di Terengganu juga masih wujud kluster-kluster baharu berpunca daripada tindakan rentas negeri dan kurang pematuhan prosedur operasi standard (SOP)," katanya ketika dihubungi hari ini.  Terdahulu, Pahang turut melarang aktiviti sama yang lazimnya dilakukan di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 berhadapan Masjid Sultan Ahmad itu sepanjang Ramadan kali ini, ekoran pandemik Covid-19. - 
14 Apr 21
1549
COVID-19 : 11 Kakitangan Kompleks Seri Iman Positif
COVID-19 : 11 Kakitangan Kompleks Seri Iman Positif
KUALA TERENGGANU, 14 April - Enam premis di pusat pentadbiran Islam negeri, Kompleks Seri Iman ditutup sementara bagi proses nyahkuman selepas terdapat sebelas kes positif koronavirus (Covid-19) dalam kalangan kakitangannya. Keenam-enam premis melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu, Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus serta Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu.  Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, enam premis berkenaan ditutup selama tiga hari bermula 14 hingga 16 April 2021. "Perintah penutupan premis ini dilakukan bagi melaksanakan kerja-kerja pembasmian kuman bagi mengawal perebakan penyakit berjangkit.  "Ia berkuatkuasa dibawah Seksyen 18 (1) (1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya. Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya semalam, Terengganu merekodkan satu kematian menjadikan keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini sebanyak 14 kes.  Menurut kenyataan tersebut, sehingga Selasa, sebanyak tujuh kes discaj dan 13 kes baharu direkodkan menjadikan terdapat 177 kes Covid-19 aktif  dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,792 kes.  "Kesemua 177 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa," katanya. 
14 Apr 21
3648
Anak Terengganu ‘Diburu’ Agensi Pelancongan Jepun
Anak Terengganu ‘Diburu’ Agensi Pelancongan Jepun
KUALA TERENGGANU, 14 April - Seorang anak tempatan, Muhammad Ridzwan Normahazan, 25, atau lebih dikenali sebagai ‘RidzBORED’ di YouTube pernah ditawar untuk mempromosikan tempat menarik di Jepun oleh pelbagai agensi pelancongan negara matahari terbit itu. Beliau yang berasal dari Kuala Terengganu berkata, antara tawaran diterima adalah daripada ‘Tobu Railway’ bagi mempromosikan bandar Nikko kepada pengikut di Malaysia. Ridzwan mempromosikan bandar Nikko bersama penggiat digital antarabangsa “Agensi lain turut menawar saya mewar-warkan lokasi lain seperti Kobe, Osaka dan sebagainya pada bulan Disember hingga Januari tahun ini, tetapi terpaksa menolak kerana bercuti pulang di Terengganu,” katanya. Mengulas lanjut permulaan kariernya sebagai YouTuber dengan ‘subscriber’ berjumlah lebih 40 ribu, Ridzwan berkata, Ibu bapa dan rakan-rakannya memberi sokongan berterusan terhadap hobinya Ibu bapanya pernah semangat berkongsi videonya ketika baru bermula. Dia yang pernah bekerja sebagai jurutera reka bentuk mekanikal di Wilayah Saitama, menambah, sambutan kenalan jepun seperti Kaiji Kadir, juga positif dan gembira jika ditawarkan masuk di dalam video YouTubenya. “Buat masa sekarang, kandungan video saya lebih kepada memperkenalkan budaya Jepun kepada penonton Malaysia, perancangan seterusnya supaya turut mempromosikan tempat dan budaya di negara kepada orang Jepun juga,” katanya ketika dihubungi pemberita. Apabila ditanya kenapa tidak menjadikan platform YouTube sebagai karier sepenuh masa, beliau menjawab, ia hanya menjurus kepada hobi dan kerja sampingan. “Sejak kebelakangan ini, video juga tidak sempat dibuat kerana beban kerja utama dan urusan lain, cabarannya adalah mencari masa untuk merakam dan menyunting video. “Dengan percubaan rakaman berpuluh kali, masa untuk menghasilkan satu video boleh mengambil dua hingga tiga hari, biasanya pada waktu petang selepas bekerja saya cari masa tersebut," jelasnya. Namun begitu, Ridzwan menyuarakan perasaan puas hati apabila membaca reaksi positif penonton dalam ruangan komen dipenuhi pandangan positif terutamanya daripada peminat budaya dan animasi Jepun. “Ada juga mereka yang bertanya dan ingin tahu lebih lanjut tentang bahasa Jepun dan kehidupan di situ, ada yang lebih suka saya berbahasa Jepun kerana ingin mendengarnya. “Kepuasan jadi penggiat digital juga datang daripada kebolehan mengekspresi diri sendiri, dia memberi platform berkongsi idea dan fikiran bersama orang yang sependapat dengan kita. “Contohnya, bila berkongsi nilai ‘Omoiyari’ iaitu bertimbang rasa dan memudahkan kerja orang lain, walaupun kita bukan orang Jepun tetapi ia boleh dipraktikkan dengan cara membersihkan tempat makan dan pinggan semasa makan di restoran. “Apabila ada peminat ambil nasihat dan amalkan dalam hidup mereka dan bercerita dalam komen, perkongsian tersebut memberi motivasi dalam meneruskan minat saya ini,” katanya lagi. Ikutilah Ridzwan di saluran YouTube ‘ridzBORED’ manakala maklumat lebih lanjut berkenaan perkhidmatan kirim barang dari Jepun di profil Instagram ‘@kirimbarangjepun’.
14 Apr 21
6211