lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Orang Ramai Dipelawa Sertai Skim Hafaz Al-Quran Terengganu
Orang Ramai Dipelawa Sertai Skim Hafaz Al-Quran Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 April - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mengadakan Skim Hafaz Al-Quran Dewasa Terbuka Negeri Terengganu bagi penggal pertama tahun 2021. Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad berkata, pihaknya mempelawa sesiapa yang berminat dan memenuhi syarat ditetapkan untuk menyertai program ini. “Antara syaratnya adalah beragama lslam serta merupakan rakyat negeri Terengganu yang bermastautin di negeri ini. “Tahap minima hafaz adalah tidak kurang dari 7 juzu' pertama mengikut susunan mashaf dan berumur tidak kurang dari 18 tahun dan tidak melebihi 29 tahun bagi mereka yang memohon tahap di bawah 30 juzu'.  “Manakala seseorang yang berumur 30 tahun dan ke atas hendaklah memasuki tahap 30 juzu',” ujarnya dalam satu kenyataan. Tambah beliau, mana-mana pelajar dan lulusan Maahad Tahfiz atau Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran atau yang seumpama dengannya yang ingin menyertai ujian ini hendaklah memasuki ujian tahap 30 juzu'. “Peserta juga perlu bersedia dan sanggup memberi sumbangan sukarela di negeri Terengganu sahaja iaitu di tempat-tempat yang diarahkan atau dipersetujui oleh jabatan sekurang-kurangnya dua kali seminggu.  “Penyertaan masyarakat/kanak-kanak (pelajar-pelajar tuan/puan) dalam sumbangan tersebut hendaklah melebihi 15 orang di mana sumbangan bermaksud kesediaan untuk mengadakan pengajaran kelas al-Quran, kelas fardu ain, mengajar Bahasa Arab, mengajar ilmu Tafsir Al-Quran,Tajwid, Fiqh dan lain-lain,” ujarnya. Menurut beliau, setiap permohonan hendaklah dibuat melalui borang JHEAT/D 2021 yang boleh didapati dari Pejabat Agama Daerah masing-masing atau boleh dimuat turun melalui laman web http://jheatweb.terengganu.gov.my dan bagi hafiz/pemohon 30 juzu' hendaklah mengisi Borang Maklumat Sumbangan Sukarela Berkembar. Katanya, borang permohonan yang lengkap hendaklah dihantar ke Pejabat Agama Daerah masing-masing untuk pengesahan dan sokongan sebelum atau pada 3 Mei depan.  
20 Apr 21
1489
Kongsi Rezeki, Hotel Primula Agih 800 Bungkus Bubur Lambuk
Kongsi Rezeki, Hotel Primula Agih 800 Bungkus Bubur Lambuk
KUALA TERENGGANU, 19 April - Primula Beach Hotel salah sebuah hotel milik kerajaan negeri di sini, meneruskan tradisi memasak dan mengedarkan 800 bungkus bubur lambuk sempena bulan Ramadan sebagai tanggungjawab sosial korporatnya (CSR). Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata ia juga merupakan program tahunan hotel itu sejak 2017. "Pengagihan bubur lambuk kali ini bertujuan  menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam suasana wabak pandemik COVID-19 masih melanda negara.  "Walaupun penduduk tempatan bukan pelanggan utama yang menginap di sini, tetapi kita tetap menghargai mereka dan ia bukan alasan untuk kita tidak membuat kebaikan tambahan lagi pada bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui selepas pembahagian bubur lambuk  di Tempat Letak Kereta Zon F, Primula Beach Hotel, hari ini. Suaibah juga berkata,  sebanyak 30 kilogram (kg) beras digunakan untuk menghasilkan bubur lambuk menggunakan gabungan  rempah ratus istimewa. "Kerja memasak bubur ini bermula pada pukul 9 pagi dan selesai sekitar pukul 3 petang oleh 20  kakitangan hotel sebelum diagihkan," ujarnya. Tambah beliau lagi, pihak pengurusan dan kakitangan hotel juga amat terharu dengan sambutan orang ramai yang datang untuk mengambil bubur lambuk yang diedarkan pada kali ini.  
19 Apr 21
1111
Selepas Berpuluh Tahun, Kampung Jerong Ada Internet
Selepas Berpuluh Tahun, Kampung Jerong Ada Internet
MARANG, 19 April – Selepas berpuluh tahun hidup dalam keadaan signal telefon yang lemah dan tanpa capaian internet, ‘derita’ penduduk di sekitar Kampung Jerong, Pengkalan Berangan di sini bakal berakhir. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, kerja-kerja teknikal menarik kabel ‘fibre optic’ sedang berjalan sejak beberapa hari yang lalu. Katanya, bagi permulaan, projek yang bermula dari Kampung Bukit Parit dan berakhir di klinik Desa Jerong Seberang itu meliputi laluan melebihi 3 kilometer. “Selepas ini akan ada beberapa lagi proses lain seperti pemasangan ‘box’ dan sistem, kita jangka akan ambil masa sekitar satu hingga dua bulan untuk sempurna. “Insya-Allah kemudahan internet berkelajuan tinggi Unifi bermula daripada 30Mbps sehingga 800Mbps akan dibekalkan kepada penduduk untuk melakukan aktiviti harian,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.  Sulaiman Sulong. Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, masalah berkaitan signal telefon dan capaian internet menjadi fokus utamanya di kawasan itu sebaik sahaja dipilih menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu. “Terlalu banyak aduan yang dibuat penduduk di sini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), saya sendiri turut beberapa kali membuat aduan. “Alhamdulillah setelah beberapa perbincangan dibuat bersama pihak terlibat, Telekom Malaysia (TM) sudah memulakan kerja ini untuk kemudahan masyarakat setempat,” ujarnya. Menurut beliau, sebelum ini rakyat di sini sangat sukar untuk melakukan kerja-kerja harian seperti belajar, mengisi borang bantuan dan urusan peribadi serta keluarga. “Sehinggakan ada antara mereka terpaksa keluar ke pekan Wakaf Tapai untuk mencari 'line' bagi memberitahu saudara terdekat tentang kematian atau bekalan elektrik di kampung terputus, inilah contoh kesusahan yang mereka tanggung.  “Jadi semoga dengan penyediaan talian Unifi ini ia akan memudahkan urusan komuniti, khususnya para pelajar dan mereka yang terlibat dalam perniagaan ‘online’. “Insya-Allah ini adalah permulaan, kita akan luaskan lagi projek ini ke kampung lain di DUN ini yang turut mengalami masalah sama,” tambah beliau.
19 Apr 21
5784
Ingkar SOP : Tutup Bazar Ramadan Pilihan Terakhir
Ingkar SOP : Tutup Bazar Ramadan Pilihan Terakhir
KUALA TERENGGANU, 19 April - Kerajaan negeri menyifatkan tindakan menutup bazar Ramadan akibat kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah terakhir demi mengekang penyebaran wabak COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, sebelum penutupan bazar tersebut semua aspek termasuk kebajikan peniaga dan pengunjung akan dinilai pihak berkuasa.  Sebelum ini katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengatakan prestasi pematuhan penjarakan fizikal di beberapa bazar dalam negeri ini kurang memuaskan. “Namun begitu, kita tidak mahu tutup bazar, kerana peniaga sudah bayar tapak sewa termasuk kos persiapan manakala orang ramai mahu membeli. “Tetapi kebimbangan penyebaran COVID-19 masih dirisaukan kerana kita tidak tahu mereka yang merupakan pembawa wabak mampu merebak ke satu kampung. “Pertimbangan perlu dilakukan antara faktor kesihatan serta ekonomi dan pihak kami juga tidak mahu saman kerana masyarakat ingin mencari rezeki, tetapi kalau degil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa bertindak sebagai pilihan terakhir,” katanya kepada pemberita bagi mengulas isu penutupan Bazar Ramadan Tok Adis di Kuala Ibai. Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa dua Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Chendering hari ini. Sementara itu, mengulas lanjut mengenai keraguan sebilangan masyarakat terhadap vaksin, Dr Alias menyarankan supaya masyarakat tidak perlu bimbang dan anggap ia sebagai ikhtiar. “Ini sama seperti pakai topi keledar, risiko kemalangan ada tetapi kecederaan akan berkurang, sama seperti pemvaksinan di mana kesan teruk dielakkan dan tidak mudah jangkitkan orang sekeliling. “Namun begitu, sebilangan orang kita bersifat ‘tunggu dan lihat’, kerana pandangan negatif masih berlegar. “Justeru, bendunglah perasaan takut atau terpengaruh dengan maklumat media sosial yang belum disahihkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tambahnya.  
19 Apr 21
762
Penduduk Kampung Apal Bakal Terima Masjid Baharu
Penduduk Kampung Apal Bakal Terima Masjid Baharu
Oleh : Faris Ameir Ibrahim  SETIU, 19 April – Penduduk di Kampung Apal dapat menarik nafas lega apabila bakal menerima sebuah masjid baharu sekali gus memberi keselesaan untuk beribadat dan melakukan aktiviti komuniti. Ahli parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, beliau bersyukur dan berpuas hati selepas proses pembinaan syiar bagi umat Islam itu telah bermula sejak semalam meskipun terpaksa melalui proses yang agak panjang. Katanya, bermula tahun lalu, pihaknya telah mengemukakan surat permohonan rasmi kepada Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur melalui peruntukkan khas PM.  "Dalam permohonan itu, sebanyak 13 projek infrastukur telah dikemukakan dan lima daripadanya telah diluluskan pada November 2020. Antara permohonan pembinaan yang diluluskan ialah Masjid Kampung Kuala Kubang, pembinaan Masjid Pengkalan Merbau, Dewan terbuka Kampung Kerandang dan dua jalan pertanian Felda Kampung Rahmat dan Felda Kampung Chalok Barat. ”Kemudian pada 3 Disember 2020, saya telah mengemukakan rayuan terhadap pembinaan Masjid Kampung Apal dan di samping mencadangkan enam projek bina baru masjid, iaitu Masjid Bukit Layat, Masjid Kampung Kasar, Masjid Merbau Menyusut, Masjid Kampung Beris Tokku, Masjid Maras dan Masjid Guntong Dalam. "Cadangan-cadangan yang dibuat ini berdasarkan keadaan bangunannya yang sudah uzur dan usang. Bahkan dinding dan lantai reput dimakan anai-anai dan ada yang sudah beralih kiblat," katanya kepada UPDI. Menurut beliau, permohonan pembinaan Masjid kampung Apal asalnya tidak diluluskan kemudian pada bulan yang sama beliau terus mengemukakan rayuan. "Alhamdullilah, pada penghujung Mac yang lalu, PM telah meluluskan peruntukkan untuk bina baru Masjid Apal," jelasnya. Mengulas berkenaan pembinaan Masjid Felda Chalok Barat pula, beliau memaklumkan semasa penghujung tahun 2019 kelulusan untuk pembinaan bina baru Masjid Felda Chalok Barat dengan kos RM2 juta telah diluluskan selepas permohonan rasmi dihantar kepada mantan Menteri Hal Ehwal Ekonomi. "Kos pembinaan masjid ini menelan belanja RM4 juta tetapi dikongsi bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri. "Selain itu juga, Kerajaan negeri juga ada meluluskan dua pembinaan masjid iaitu Masjid Mengabang Lekar dan Masjid Bukit Tanah," tambahnya.
19 Apr 21
1046
Pemandu Kereta Sewa Di Terengganu Terima RM85,200
Pemandu Kereta Sewa Di Terengganu Terima RM85,200
KUALA TERENGGANU, 19 April - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM85,200 untuk bantuan tunai pemilik-pemilik kereta sewa. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman, terdapat 284 pemandu kereta sewa yang beroperasi di seluruh negeri. Menurutnya, kerajaan mendapati pemandu kereta sewa juga layak untuk menerima bantuan sekali bayaran berjumlah RM300 seorang melalui program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu. "Golongan itu juga turut terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti diumumkan kerajaan, berikutan penularan pandemik COVID-19, sejak Mac tahun lalu. "Walaupun kerajaan sudah membenarkan rentas daerah, tetapi pemandu kereta sewa masih berdepan masalah untuk mendapatkan penumpang berikutan persaingan daripada kereta sapu dan kenderaan e-hailing," jelasnya ketika dihubungi, hari ini. Tambah Ariffin, bantuan sekali bayaran kepada pemandu kereta sewa berjumlah RM300 seorang itu merupakan tambahan kepada penggiat industri pelancongan yang terkesan susulan pandemik COVID-19. Terdahulu, kerajaan mengagihkan bantuan sekali bayaran berjumlah keseluruhan berjumlah RM119,100 untuk membantu meringankan bebanan kepada penggiat industri pelancongan yang pendapatan terjejas susulan PKP. "Bantuan sekali bayaran itu diberikan kepada 43 orang pemandu teksi airport berjumlah RM300, membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM12,900. "Bantuan itu termasuk kepada 22 pengayuh beca roda tiga berjumlah RM400 membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM8,800 serta pemandu bot penambang seramai 17 orang sebanyak RM400 seorang membabitkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM6,800," katanya. Mengulas lanjut, katanya, turut menerima bantuan berjumlah RM300 seorang adalah 167 pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM50,100 serta malim gunung seramai 33 orang pula menerima RM300 membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM9,900. "Dan juga 102 pemandu pelancong yang menerima bantuan sebanyak RM300 seorang membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM30,600," ujarnya.
19 Apr 21
1285
Sasar 258,000 Penerima Vaksin Fasa Dua
Sasar 258,000 Penerima Vaksin Fasa Dua
KUALA TERENGGANU, 19 April – Terengganu menyasarkan seramai 258,000 penerima vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat negeri yang bermula hari ini sehingga Ogos 2021. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fasa itu akan memberi keutamaan kepada golongan warga emas, golongan yang mempunyai penyakit atau co-morbid dan Orang Kelainan Upaya (OKU). “Program imunisasi menyeluruh ini adalah bertujuan untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19. “Ringkasnya, imunisasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga individu yang tersayang dan sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita termasuklah ahli keluarga, rakan sekerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran PICK Fasa dua Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Kampung Laut, Chendering, sebentar tadi. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Zahari Md Azahar, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus serta Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah. Tambah Ahmad Samsuri, fasa tiga akan bermula pada bulan Mei 2021 dan dijangkakan akan berakhir pada hujung tahun 2021 yang melibatkan golongan dewasa yang berumur 18 tahun dan ke atas. Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan, peringkat permulaan fasa kedua melibatkan tiga buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu Pusat Sains dan Kreativiti Kuala Terengganu (PSKT), Dewan Dato' Seri Amar Diraja, Kemaman dan Dewan Serbaguna Sungai Tarom, Setiu. "Manakala untuk bulan Mei dan seterusnya bilangan PPV Awam akan ditambah berdasarkan keperluan dan keadaan semasa," ujarnya. Dalam pada itu, seorang pesara kerajaan, Khalid Salleh, 61, menjadi diantara individu pertama dalam kira-kira 150 lebih warga sasar yang disuntik vaksin sempena pelancaran fasa dua peringkat negeri. Dia menerima suntikan kira-kira jam 10 pagi tadi oleh jurusuntik Noraini Mohd Mokhtar, seorang Ketua Jururawat Kesihatan. Khalid yang berasal daripada Kampung Manir berkata, dakwaan akan wujud kesan sakit keterlaluan selepas divaksin adalah tidak benar. Khalid Salleh setelah selesai disuntik vaksin “Kita ada rasa juga, macam digigit semut sahaja. Oleh itu, saya ambil peluang mengajak seluruh warga emas dan orang ramai supaya tidak takut, daftar dan tampil untuk divaksin segera. “Mana-mana pihak yang sebarkan perkara tidak sahih berkaitannya, kita elakkan, Insya-Allah dengan ikhtibar ini kita serahkan kepada Allah SWT,” jelasnya ketika ditemubual pemberita.
19 Apr 21
481
Jamin Patuh SOP, Bazar Tok Adis Dibenar Beroperasi Esok
Jamin Patuh SOP, Bazar Tok Adis Dibenar Beroperasi Esok
KUALA TERENGGANU, 18 April – Bazar Ramadan Tok Adis di Kuala Ibai di sini dibenar kembali beroperasi esok selepas ditutup sementara bermula 16 April lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pengumuman itu diharap memberi kelegaan kepada peniaga-peniaga di bazar berkenaan setelah dua hari tidak beroperasi akibat masalah prosedur operasi standard (SOP). “Sebelum ini ditutup sebab tidak patuh SOP, namun apabila pihak penganjur telah memberi jaminan untuk patuh SOP maka ia dibenarkan beroperasi semula (lebih awal daripada tempoh penutupan selama 14 hari yang ditetapkan pihak berautoriti). “Tetapi bazar tersebut masih dalam pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), untuk membolehkan ia terus dibenarkan beroperasi pihak penganjur dan orang ramai diminta terus patuhi SOP,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman sebentar tadi. Muhammad Khalil dan wakil KKM turun ke Bazar Tok Adis sebentar tadi bagi melihat persiapan pematuhan SOP. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerumitan itu dapat diselesaikan setelah beberapa perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diadakan. “Malah kami dan pihak KKM turut turun meninjau perjalanan SOP yang dijalankan di sini sebentar tadi, terima kasih kepada semua pihak terutamanya KKM atas budi bicara ini.  “Saya juga menyeru kepada semua pengunjung untuk sama-sama menjaga SOP yang ditetapkan demi kebaikan bersama,” jelasnya. Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) Terengganu, Jamil Mat menegaskan, penganjur harus memastikan setiap pelanggan dan peniaga mendaftar masuk mengikut laluan yang telah ditetapkan, dilarang masuk melalui laluan tepi dan sebagainya. “Kedua, penganjur hendaklah memastikan penjarakan fizikal  satu meter antara pelanggan dipatuhi dalam bazar, ketiga setiap gerai hanya dua pengendali dibenar bertugas. “Keempat setiap gerai hanya dibenarkan dua orang pelanggan sahaja berurusan pada satu-satu masa, kelima pelitup muka harus dipakai pengunjung dan peniaga setiap masa, yang terakhir semua harus mendaftar masuk menerusi MySejahtera atau buku nama, jadi kita minta semua untuk patuhi SOP ini,” jelasnya.
18 Apr 21
582
Tiada Kes COVID-19 Di Terengganu Semalam, Tapi...
Tiada Kes COVID-19 Di Terengganu Semalam, Tapi...
KUALA TERENGGANU, 18 April - Terengganu merekodkan kosong kes COVID-19 pada semalam, namun penduduk diseru agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi meneruskan trend penurunan tersebut. Menurut statistik yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, negeri itu kekal dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 3,879 kes. Katanya, Terengganu turut kekal mencatatkan kadar kebolehjangkitan, Rt tertinggi di Malaysia dengan 1.49 berbanding 1.30 sebelumnya. Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus menyarankan supaya semua lapisan masyarakat terus bersatu bagi melawan COVID-19. "Hargai penat lelah mereka (petugas barisan hadapan) dengan cara kekalkan kepatuhan SOP. "Ke bazar ramadan tu berhati hati, patuhi peraturan setiap masa. Tangguh dulu berbuka puasa ramai ramai demi kesihatan kita bersama," nasihatnya.  
18 Apr 21
3824
Terengganu FC 2 'Comeback' Tumpaskan JDT2
Terengganu FC 2 'Comeback' Tumpaskan JDT2
KUALA TERENGGANU, 17 April- Terengganu Football Club II (Terengganu FC 2) 'comeback' sebanyak tiga kali sebelum menumpaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT 2) 4-3, sebentar tadi. Tujuh jaringan yang terhasil di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyaksikan anak buah Badrul Afzan Razali menamatkan kemarau seri dalam enam perlawanan sebelum ini. Berdepan skuad dari selatan, Terengganu FC2 lebih banyak bertahan di awal permainan. JDT2 lebih banyak menguasai bola namun kedua-dua pasukan dilihat berhati-hati dalm mengatur serangan. Pada minit ke -20, Nicolas Alberto cuba memecahkan kubu tuan rumah dengan rembatan dari luar kotak penalti, namun berjaya ditepis keluar Mohamd Shafawi Mohamad. Bagaimanapun, seminit kemudian rembatan deras Nicolas berjaya menerjah jaring meletakkan pelawat di depan. Pada minit ke-40, Jordan Mintah berjaya memadam kelebihan pelawat apabila meledak gol penyamaan hasil kesilapan pertahanan lawan. Namun, di minit ke-44 permainan, JDT2 sekali lagi menunjukkan taringnya. Kali ini, Fernando Rodriguez menampan mudah bola muntah hasil tandukan Gary Steven Robat, tuan rumah ketinggalan 1-2 di babak pertama. Memasuki babak kedua, Terengganu FC2 kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-51 melalui tandukan kemas Argzim Redzovic untuk 2-2. Pasukan pelawat terus menggasak dan Fernando sekali lagi meledak melalui tandukan menjangkaui kawalan Shafawi pada minit ke-68. Ketinggalan 2-3, Badrul memasukkan penyerang, Muhammad Isa Raman untuk meningkatkan asakan ke kubu lawan. Pada minit ke-82, Masaki Watanabe menghidupkan peluang tuan rumah untuk mencuri mata apabila menguis mudah bola ke gawang gol JDT2. Jaringan tersebut menjadi 'turning point' Terengganu FC2 menggandakan asakan. Akhirnya, bermula dengan serangan balas pada minit ke-90, Isa Raman berjaya merampas bola yang terlepas dari dakapan Izham Tarmizi dan melakukan rembatan ke arah gol. Namun, rembatan yang ditampan pertahanan JDT2 itu disusuli tolakan mudah Mintah untuk gol keempat pasukan. Hasil kemenangan tersebut, Terengganu FC2 naik ke kedudukan keenam Liga Premier 2021 dengan 12 mata.                  
17 Apr 21
933