Artikel "Utama" Terkini
Loji Biogas TDM Sumbang Tenaga Hijau
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – TDM Berhad memperkukuh langkahnya ke arah tenaga mampan apabila dua loji biogas miliknya berjaya menjana hampir 19 juta kWh tenaga hijau sepanjang tahun 2024, sekaligus menyumbang kepada grid nasional dan menyokong agenda sifar karbon negara.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pencapaian ini adalah bukti nyata bahawa pelaburan TDM dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui bukan hanya bersifat simbolik, malah memberi impak sebenar kepada alam sekitar dan ekonomi negara.
"Sepanjang tahun 2024, sejumlah 18,868,173 kilowatt-jam (kWh) tenaga boleh diperbaharui berjaya dijana dan disalurkan ke grid nasional,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun
Beliau turut menjelaskan bahawa peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding tahun sebelumnya merupakan petunjuk jelas terhadap kecekapan operasi dan keupayaan loji tersebut dalam memenuhi sasaran kelestarian jangka panjang syarikat.
"Kita sedang memacu perubahan, daripada loji yang dulu hanya memproses sisa, kini menjadi sumber tenaga hijau yang menyumbang kepada sistem tenaga negara," jelasnya.
Tambah beliau, loji biogas TDM yang beroperasi di Sungai Tong dan Kemaman dibangunkan sebagai sebahagian daripada strategi hijau TDM yang turut merangkumi penggunaan panel solar, sistem HVAC cekap tenaga dan projek dandang hijau (green boiler).
Kejayaan ini sekaligus menyokong sasaran TDM untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 30 peratus menjelang 2030 serta mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050.
Menurut beliau, TDM akan terus meningkatkan kapasiti tenaga bersih dengan pelaburan tambahan dalam teknologi hijau dan memperluaskan skop tenaga boleh diperbaharui di ladang-ladang miliknya.
18 Jun 25
183
Tegas Kawal Aspek Keselamatan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Kerajaan Negeri menegaskan komitmennya dalam memastikan aspek keselamatan pelancong dan petugas sektor pelancongan, khususnya wanita, terus diberi perhatian serius.
Katanya ia seiring usaha memajukan pelancongan komuniti yang berteraskan nilai Islam dan budaya tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap soal pematuhan pemakaian sopan dalam sebarang bentuk pertunjukan, persembahan, penggambaran drama atau filem yang dijalankan di Terengganu.
“Kajian menunjukkan bahawa aspek pemakaian menjadi antara indikator kepada persekitaran sosial yang sihat atau sebaliknya.
"Sekiranya pakaian tidak mengikut garis panduan syariah, risiko keselamatan wanita akan meningkat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Wanita Terengganu Berinformasi yang diadakan di Dewan PPR Hiliran, semalam.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga memberi penekanan terhadap keperluan penyediaan papan tanda keselamatan yang mesra wanita di lokasi pelancongan utama sebagai satu bentuk sokongan kepada perlindungan dan keselesaan pengunjung.
Bagi memperkukuh pemantauan keselamatan, kerajaan negeri turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), unit pelancongan daerah dan agensi berkaitan bagi memantau dan bertindak terhadap sebarang bentuk gangguan atau ancaman terhadap pelancong.
Dalam perkembangan berkaitan, Razali turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersedia untuk menerima wanita sebagai ketua komuniti pelancongan pantai (beach tourism), selaras dengan dasar pemerkasaan wanita di peringkat akar umbi.
“Kita tidak menolak wanita sebagai pemimpin komuniti pelancongan.
"Namun, pendekatan yang dibawa mestilah berdasarkan kekuatan produk tempatan dan kefahaman terhadap ekosistem pelancongan komuniti,” katanya.
Beliau mengambil contoh kawasan Tebakang Kampung, sebuah destinasi yang semakin dikenali kerana berjaya mengekalkan keunikan kampung sambil memajukan pelancongan berasaskan komuniti.
Tebakang Kampung kini menawarkan aktiviti ATV untuk pelancong, pasaraya komuniti, produk makanan tradisional seperti rempah gulai kawah, serta institusi pendidikan seperti madrasah.
Justeru itu, katanya, usaha ini seiring dengan hala tuju kerajaan negeri dalam menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang mesra syariah, selamat dan inklusif.
"Di samping menjana pendapatan kepada komuniti setempat terutama golongan wanita," tambah beliau.
18 Jun 25
13
EPIC Berhad, HRD Corp Jayakan National Training Week (NTW) 2025
KEMAMAN, 18 Jun – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) dengan kerjasama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) bakal menjayakan Minggu Latihan Kebangsaan 2025 atau National Training Week 2025 (“NTW 2025”) peringkat Negeri Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, EPIC Berhad, Dr. Ts.Muhtar Suhaili, berkata , pihaknya telah merangka pelbagai pengisian bagi menyemarakkan semangat pembelajaran sepanjang hayat, termasuk Learn-A-Thon Fun Run, Latihan Berimpak Tinggi (High Impact Training) dan Minggu Sumber Manusia 2025 (Human Resources Week 2025 – “HR Week 2025”).
Katanya, penyertaan EPIC Berhad dalam penganjuran NTW 2025 adalah manifestasi komitmen syarikat dalam memperkasa modal insan secara menyeluruh, sejajar dengan keperluan industri serta cabaran pasaran kerja masa kini.
“EPIC Berhad cukup berbesar hati kerana diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada NTW 2025 peringkat Wilayah Pantai Timur kerana ia mengangkat potensi dan peranan syarikat dalam memperkasa agenda pembangunan modal insan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
“Selain itu, selaras dengan aspirasi yang ingin dicapai melalui NTW, EPIC Berhad turut menjalankan sesi perkongsian dan latihan berimpak tinggi meliputi pelbagai topik relevan termasuk keselamatan siber, kecerdasan buatan, pengurusan kewangan peribadi, etika dan imej professional serta pengurusan kendiri, kesemuanya bertujuan untuk memperlengkapkan warga kerja dengan kemahiran semasa dan nilai tambah bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan,” ujarnya.
Terdahulu Majlis Pelancaran Latihan Berimpak Tinggi berlangsung di premis operasi EPIC Berhad di Teluk Kalong, Kemaman, telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, mewakili YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat.
Tambah beliau, acara pembuka tirai Learn-A-Thon Fun Run yang dianjurkan bersama HRD Corp Sabtu lalu telah berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Kolaborasi strategik antara EPIC Berhad dan HRD Corp ini jelas memperkukuh komitmen kedua-dua pihak terhadap pembangunan bakat tempatan, di samping mewujudkan ekosistem pembelajaran yang mampan, dinamik dan inklusif,”katanya.
18 Jun 25
141
Hospital Mesra Ibadah Jadi Identiti KMI Healthcare
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Konsep Hospital Mesra Ibadah yang diperkenalkan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) di bawah TDM Berhad kini menjadi pembeza utama dalam landskap penjagaan kesihatan swasta di negara ini, mendekatkan rawatan perubatan dengan nilai spiritual dan ketenangan jiwa.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menegaskan bahawa nilai ini bukan sekadar pelengkap, tetapi menjadi tunjang kepada pendekatan holistik KMI dalam menjaga kesihatan fizikal dan rohani pesakit.
"Inisiatif Hospital Mesra Ibadah ini memberi nilai tambah yang besar dan menjadi identiti tersendiri buat KMI Healthcare di pasaran," kata beliau kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun
Beliau menjelaskan, setiap hospital KMI menampilkan fasiliti dan pegawai syariah khusus bagi membimbing pesakit dalam soal ibadat, selain menyediakan persekitaran rawatan yang menghormati keperluan spiritual pesakit.
"Kami pastikan setiap pesakit yang datang ke hospital KMI, terutamanya yang Muslim, diberi perhatian dari sudut ibadah, ada yang bertanya waktu solat, cara berwuduk, rukhsah ketika sakit, dan semuanya dijawab oleh pegawai syariah yang terlatih," ujarnya.
Tambah beliau, antara elemen eksklusif yang ditawarkan ialah bilik rawatan seratus peratus berkonsep ‘single bedded’, sesuatu yang jarang ditawarkan hospital swasta lain dengan harga kompetitif.
"Hospital swasta biasanya ada empat katil sebilik atau berkongsi, tetapi di hospital KMI, semuanya bilik seorang. Ini beri privasi penuh, dan sebenarnya inilah yang ramai pesakit cari," tambahnya.
Beliau turut menyatakan bahawa pesakit dari luar kawasan, termasuk dari Dungun, Kemaman dan Kelantan memilih hospital KMI kerana konsep ini memberi rasa lebih dihargai, tenang dan berperikemanusiaan.
18 Jun 25
129
Tenaga Baharu : Persidangan East Coast Energy 2025 Tarik 800 Pemain Industri
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Negeri Terengganu bakal menjadi tumpuan dunia apabila lebih 800 delegasi dari pelbagai latar belakang termasuk pembuat dasar, pemimpin industri, penyedia teknologi serta pendokong kelestarian berkumpul dalam Persidangan dan Pameran Tenaga Pantai Timur (ECE 2025) yang berlangsung 23 hingga 24 Jun nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad). Dr.Ts Muhtar Suhaili berkata, berkata penyertaan besar itu jelas menunjukkan keyakinan terhadap peranan strategik Terengganu sebagai pemacu tenaga masa depan negara.
“ECE 2025 adalah platform utama yang membuka jalan kepada pelaburan, perkongsian ilmu dan kerjasama strategik.
“Kehadiran lebih 800 delegasi menunjukkan bahawa dunia luar melihat Terengganu sebagai rakan kongsi penting dalam transformasi tenaga Malaysia,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Jelas beliau, empat objektif utama digaris bagi menjadikan ECE 2025 bukan sahaja relevan kepada industri tetapi juga berimpak tinggi kepada rakyat.
“Antara objektifnya ialah mengukuhkan dialog antara kerajaan, industri dan komuniti dalam isu tenaga, memastikan komuniti tempatan turut serta dalam proses pembangunan tenaga.
“Selain itu ECE juga berbincang tentang peranan memaksimumkan peluang untuk PKS, belia dan usahawan agar pembangunan tidak bersifat eksklusif selain menekankan isu peralihan tenaga, kelestarian dan pendigitalan sebagai asas masa depan sektor tenaga,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof, turut menyuarakan sokongan penuh terhadap platform ini.
“Kami percaya Pantai Timur, khususnya Terengganu, memainkan peranan penting dalam landskap tenaga negara. PETRONAS komited untuk terus memupuk inovasi dan kerjasama demi masa depan yang mampan,” katanya.
18 Jun 25
211
Wanita Berinformasi, Negeri Terpelihara
Oleh : Daing Siti Nur Baity
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – "Ilmu adalah kunci kepada kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat," demikian tegas Pengerusi Pertubuhan Wanita Terengganu Darul Iman Sejahtera (Wardah), To’ Puan Hajah Zarani Othman.
Beliau menegaskan bahawa ilmu bukan hanya untuk golongan muda atau pelajar, tetapi menjadi kewajipan sepanjang hayat bagi semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, pangkat mahupun latar belakang.
"Menuntut ilmu itu bukan pilihan, tapi kewajipan. Tanpa ilmu, kita akan kekal dalam kejahilan dan kejahilan itu membawa kepada kehancuran, bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat," jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Wanita Terengganu Berinformasi yang berlangsung di Dewan PPR Hiliran, semalam.
To' Puan Zarani turut menekankan kepentingan ilmu Fardhu ain sebagai asas utama bagi setiap Muslim untuk mengenal Allah, Rasul, memahami perintah dan larangan agama serta menempuh hidup berlandaskan syariat.
Menyokong kenyataannya, beliau memetik sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa Allah menjamin rezeki bagi penuntut ilmu dan memelihara mereka daripada kesusahan.
“Ilmu bukan hanya untuk orang muda, bukan hanya di sekolah atau universiti. Ilmu perlu dicari oleh semua tidak kira umur, pangkat, atau latar belakang. Nak masak pun kena ada ilmu, apatah lagi nak urus keluarga dan masyarakat.
“Menuntut ilmu bukan menghabiskan duit, bahkan menjaga rezeki dan menarik keberkatan. Allah mempermudahkan jalan hidup bagi mereka yang menuntut ilmu, tak kira Muslim atau bukan Muslim,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, darjat orang yang berilmu dan tidak berilmu tidak sama.
“Mereka yang berilmu akan lebih mudah memahami isu-isu semasa, termasuk hal politik dan fardhu kifayah, sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan umat dan negeri.
“Kelebihan orang yang menuntut ilmu berdasarkan sabda Nabi SAW bahawa Allah menjamin rezeki kepada penuntut ilmu, bahkan dijauhkan dari kesusahan hidup.
“Lihat saja burung yang keluar pagi mencari rezeki, balik petang dengan tembolok penuh. Begitulah perumpamaan mereka yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu,” tambah beliau.
Turut sama dalam program ini ialah, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris dan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman.
18 Jun 25
20
Aspirasi Lepasan SPM: PKM Manir Tampil Cakna Masa Depan Anak Muda
HULU TERENGGGANU, 18 Jun – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Manir terus membuktikan kecaknaan terhadap generasi muda dengan penganjuran Program Aspirasi Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memastikan masa depan mereka dengan lebih terjamin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, penganjuran program yang menghimpunkan pelbagai agensi pendidikan dan latihan kemahiran itu merupakan salah satu inisiatif berterusan PKM Manir dalam memastikan anak-anak muda tidak tercicir dalam membuat pilihan selepas tamat persekolahan.
"Kami mahu anak muda kita jelas dengan hala tuju selepas SPM. Ramai yang berbakat tetapi tidak tahu pilihan yang ada. Jadi, kami bawakan agensi terus kepada mereka agar tiada lagi alasan untuk teraba-raba dalam membuat keputusan,” ujar beliau.
Program yang berlangsung di Dewan Al-KAWTHAR Kubang Lembek itu berjaya menarik penyertaan seramai 60 orang peserta lepasan SPM serta berpeluang mendapatkan informasi secara langsung daripada agensi-agensi yang dijemput khas oleh Pejabat ADUN.
Antara agensi yang terlibat termasuklah antaranya Giat Mara, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), University College TATI (UC TATI), Akademi Binaan Malaysia (ABM), ILP Kolej Komuniti dan banyak lagi, yang menawarkan pelbagai laluan pendidikan, latihan kemahiran, serta peluang kerjaya.
Setiap agensi turut berpeluang menyampaikan taklimat ringkas kepada peserta, memperkenalkan kursus, kelebihan dan syarat kemasukan membolehkan para peserta membuat pilihan yang lebih bijak dan sesuai dengan minat masing-masing.
Lebih menarik, program turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah sebagai penghargaan kepada peserta yang hadir, termasuk hadiah antaranya yang paling utama sebuah motosikal, telefon bimbit, cincin emas dan lain-lain lagi.
Tambah Hilmi, PKM Manir turut merancang untuk menganjurkan lebih banyak program seumpama ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pendidikan dan pembangunan belia selaras keinginan kerajaan negeri Terengganu ingin melahirkan Pembangunan Modal Insan secara holistic dan komprehensif.
18 Jun 25
24
Terengganu Pelopori Pelancongan Mesra Syariah
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Terengganu bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi sebuah negeri yang menawarkan pengalaman unik kepada pelancong untuk merasai keindahan hidup bersyariat, berteraskan nilai Islam, budaya dan adab ketimuran.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, dasar pelancongan negeri telah lama digariskan sebagai pelancongan mesra Muslim (Islamic Tourism), selari dengan komposisi lebih 95 peratus penduduk negeri yang beragama Islam.
“Sejak awal lagi telah menetapkan dasar pelancongan negeri sebagai Islamic Tourism atau pelancongan mesra Muslim.
“Melalui pendekatan ini, pelbagai aspek keagamaan dan nilai-nilai murni Islam diketengahkan dalam sektor pelancongan. Antaranya ialah pematuhan kepada SOP pemakaian menepati syariah dalam semua persembahan, nyanyian, filem, aktiviti sukan dan hiburan yang berkaitan dengan industri pelancongan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas program Wanita Terengganu Berinformasi di Dewan PPR Hiliran, pada hari ini.
Menurutnya, antara garis panduan yang diterapkan termasuk pematuhan kepada kod pemakaian patuh syariah dalam kalangan peserta muslim, manakala pelancong bukan Islam pula diminta berpakaian sopan dan menghormati norma masyarakat setempat.
.
“Apa yang kita mahu tonjolkan ialah keindahan hidup bersyariat. Pelancong datang ke Terengganu bukan untuk mabuk atau berhibur secara melampau, tetapi untuk menikmati keindahan semula jadi seperti Tasik Kenyir, aktiviti menyelam skuba dan pengalaman budaya Islamik,” ujarnya.
Beliau berkata, garis panduan ini telah dipersetujui oleh ramai penerbit filem termasuk dari luar negara seperti China, Dato’ Nain Shie Hue yang menyambut baik hasrat kerajaan negeri telah bersetuju dengan garis panduan yang ditetapkan.
“Ramai penerbit memilih Terengganu sebagai lokasi penggambaran kerana keindahan alam dan budaya serta keharmonian dasar pelancongan mesra Muslim yang diamalkan,” katanya.
Jelasnya, semua persembahan di negeri ini tertakluk kepada pemantauan ketat termasuk jenis lagu, pemakaian peserta dan kandungan persembahan, sebagai sebahagian daripada pendekatan edukatif kepada masyarakat.
“Ini juga menjadi satu bentuk pendidikan masyarakat (educational approach) secara berperingkat, khususnya kepada pelancong bukan Islam. Namun, perlu diakui bahawa di Terengganu sendiri, wanita Muslim hampir 99 peratus memakai tudung, dan ini telah membentuk budaya setempat yang kuat dan sukar digugat.
“Pendekatan ini bukan mudah, namun inilah keindahan hidup bersyariat yang cuba dibudayakan. Kita mahu pelancong datang ke Terengganu hadir dengan akhlak baik, tidak mabuk, tidak liar, dan bukan untuk aktiviti tidak bermoral.
“Mereka datang untuk menikmati keindahan semula jadi seperti Tasik Kenyir, aktiviti menyelam skuba dan keindahan budaya,” kata Razali.
Beliau menambah, sekiranya mereka mencari aktiviti yang melampaui batas, mungkin negara lain lebih sesuai.
“Di Terengganu, hotel-hotel telah dimaklumkan untuk mengingatkan pelancong agar menjaga adab dan pakaian, termasuk pakaian mandi yang sopan. Ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Setakat ini, berdasarkan statistik yang ada, kejadian jenayah terhadap pelancong seperti rogol atau cabul belum pernah direkodkan. Kes-kes berlaku bukan melibatkan pelancong,” tambahnya.
Justeru itu, beliau berharap dasar itu akan terus dilaksanakan dengan baik bagi menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan Islamik unggul di rantau ini, bukan sahaja menarik pelancong tetapi turut membentuk masyarakat berakhlak dan berbudaya tinggi.
17 Jun 25
88
Laporan Khas Sumber Air Bawah Tanah Bakal Dibentang di Parlimen
KUALA LUMPUR, 18 Jun - Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan, Dewan Rakyat akan menyediakan satu laporan khas mengenai potensi air bawah tanah untuk dibentangkan di Parlimen.
Pengerusi JKPK, Dato' Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata, ia susulan dapatan dan syor hasil daripada Seminar Potensi Air Bawah Tanah: Alternatif Pengurusan Sumber Air di Malaysia yang berlangsung di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia, semalam.
Menurut beliau, laporan tersebut akan dibina berdasarkan input seminar serta sesi libat urus lanjutan bersama agensi-agensi teknikal berkaitan bagi memastikan dasar yang dicadangkan benar-benar berpaksikan bukti saintifik dan analisis menyeluruh.
“JKPK komited untuk memastikan sebarang cadangan penambahbaikan dasar dan perundangan berkaitan pengurusan sumber air negara dapat disokong dengan bukti dan analisis yang kukuh,” katanya dalam ucapan penutup seminar berkenaan.
Mengulas lanjut katanya, laporan itu dijangka membantu Parlimen merangka dasar awam yang lebih berkesan dan berpandangan jauh dalam menangani isu keselamatan bekalan air negara melalui eksplorasi sumber air alternatif.
Seminar yang dianjurkan bersama oleh Parlimen Malaysia dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul, manakala ucapan alu-aluan disampaikan oleh Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Empat pembentangan utama telah diadakan melibatkan:
• Dr. Kotaro Takemura (Japan Water Forum) – berkongsi pengalaman Jepun dalam pengurusan lestari sumber air bawah tanah;
• Dato’ Ir. Mohd Zaki Mat Amin (NAHRIM) – mempersembahkan dapatan penyelidikan kebangsaan dan transformasi industri air tanah;
• Dato' Zamri Ramli (JMG) – membentangkan teknologi pemetaan dan eksplorasi akuifer;
• Dato’ GS. Azlikamil Napiah (MYSA) – menampilkan teknologi angkasa dan geospatial untuk pemantauan sumber air masa nyata.
Pameran agensi teknikal seperti NAHRIM, JMG, MYSA, Agensi Nuklear Malaysia dan LUAS turut diadakan sebagai sebahagian daripada program, mempamerkan data, inovasi dan aplikasi teknikal terkini dalam pengurusan sumber air tanah.
Amzad berkata, pendekatan rentas agensi dan berasaskan sains amat penting bagi menjayakan pengurusan sumber air tanah secara holistik di Malaysia.
“Seminar ini bukan titik akhir, tetapi satu permulaan ke arah pelaksanaan dasar air yang lebih mampan, menyeluruh dan berorientasikan masa depan negara,” katanya.
17 Jun 25
87
Prestasi PAS Kini Terbaik, Mengapa Nak Tukar Presiden?
BESUT, 17 Jun - "Prestasi PAS sekarang adalah antara yang terbaik, kenapa perlu tukar Presiden," itu lontaran suara Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditanya tentang kewajaran Tan Sri Abdul Hadi Awang berundur dari jawatan presiden parti berkenaan berikutan keadaan kesihatannya.
Menurut Dr. Samsuri, buah fikir dan kepimpinan Ahli Parlimen Marang itu masih diperlukan.
"Tidak timbul persoalan itu (undur diri), semua ahli di pelbagai peringkat semuanya mendoakan kesihatan Tuan Guru (Abdul Hadi) supaya dapat terus kembali seperti biasa dan tentunya paling penting kepimpinan dan pemikiran Tuan Guru itu dapat memberi semangat kepada kami dari segi gerak kerja.
"Dalam PAS, perjuangan adalah bukan politik semata-mata tetapi mencakupi lebih daripada itu lagi.
"Tuan Guru masih sangat diperlukan, lihatlah dalam ucapan saya (sebelum ini) bahawa prestasi terbaik sehingga PAS muncul sebagai sebuah parti yang paling besar dalam negara memenangi kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen iaitu hampir 200 orang adalah di zaman Tuan Guru, mengapa pula apabila berada dalam keadaan cemerlang kita mahu memikirkan benda yang bukan-bukan pula?.
"Tentulah kita mengharapkan suapaya momentum yang sedia ada dibawa oleh Tuan Guru ini dapat diteruskan," katanya ketika ditemui pemberita dalam sesi ziarah bertemu keluarga Muhammad Mustaqim Rosde, di Kampung Telaga Nibong, Jerteh hari ini.
Mustaqim merupakan salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi nahas bas sewa khas di Gerik, Perak, 9 Jun lalu.
Dr Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut menziarahi keluarga 14 pelajar yang turut terkorban dalam peristiwa itu.
"Ziarah ini sebagaimana sedia maklum adalah kesinambungan santunan daripada kerajaan negeri bermula dari Gerik lalu.
"Semua pihak ada peranan masing-masing. Ini adalah tempoh yang sangat penting dalam dua minggu ini bagi meredakan tekanan psikologi keluarga dan melihat di mana kerajaan negeri boleh memberi bantuan kepada semua keluarga yang terlibat.
"(Setakat ini), sumbangan telah selesai, ada yang disampaikan lebih awal oleh Yang Berhormat (YB) kawasan dan kita melengkapkanlah, kita juga sangat mengalu-alukan sumbangan dari pihak-pihak di luar atau mana- mana organisasi yang diharap boleh memberi satu suntikan motivasi kepada ahli keluarga," katanya.
17 Jun 25
173