lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Fatwa SIS : Semua Negeri Mesti Bersatu – Dr. Khalil
Fatwa SIS : Semua Negeri Mesti Bersatu – Dr. Khalil
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kerajaan Terengganu menggesa semua negeri di Malaysia bersatu mempertahankan akidah umat Islam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sisters In Islam (SIS) Forum Malaysia yang dilihat membuka ruang kepada penyebaran fahaman sesat melalui institusi yang berselindung atas nama Islam.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan keputusan tersebut sebagai cabaran besar kepada usaha negeri dalam mengekang ideologi liberalisme dan pluralisme agama. Beliau turut menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan fatwa terhadap fahaman liberalisme dan pluralisme agama.  "Kami menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan status fatwa bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. "Ia juga mengesahkan bahawa ia sah dari sudut perlembagaan dalam konteks kuasa negeri seperti termaktub dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau dalam satu kenyataan media di laman sosial rasmi beliau hari ini. Namun, beliau turut menzahirkan kebimbangan apabila mahkamah memutuskan bahawa fatwa itu hanya terpakai ke atas individu dan bukan terhadap pertubuhan seperti SIS Forum Malaysia.  "Kerajaan Negeri Terengganu berkongsi rasa dukacita sebagaimana dizahirkan oleh DYMM Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor. "Keputusan ini boleh mengundang kekeliruan kepada masyarakat awam terhadap apa yang dikira sebagai benar dan sah menurut ajaran Islam," ujarnya. Tambah beliau, penyebaran fahaman songsang melalui pertubuhan berdaftar yang membawa nama Islam amat berbahaya dan mesti ditangani dengan tegas.  "Perkataan ‘Islam’ tidak wajar disalah guna dalam nama syarikat atau pertubuhan yang membawa agenda bertentangan dengan prinsip syariah. "Sebarang entiti sama ada individu, pertubuhan mahupun syarikat yang mengangkat fahaman ini perlu dihadapkan tindakan," tambah beliau lagi. Dr. Khalil turut menyokong pandangan penghakiman bertentangan (dissenting judgment) oleh YA Hakim Dato’ Abu Bakar Jais.  "Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menilai dan memutuskan isu sebegini. "Pertubuhan yang ditadbir oleh individu Muslim tidak boleh dikecualikan daripada fatwa berkaitan," jelasnya. Beliau menyeru Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Kerajaan Persekutuan dan semua pihak berkepentingan untuk memperkukuh undang-undang serta mekanisme penguatkuasaan.  "Ini penting untuk membanteras penyebaran fahaman sesat melalui medium bukan individu. "Kerajaan Terengganu komited memartabatkan syariah Islam serta mengukuhkan dakwah dan pendidikan akidah kepada masyarakat,” tegasnya.
22 Jun 25
87
Sultan Terengganu Rasmi Mayang Mall
Sultan Terengganu Rasmi Mayang Mall
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan kompleks beli-belah Mayang Mall bertempat di Dewan Bankuet Aras 5, Mayang Mall, pagi tadi. Berangkat sama, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku  Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Yang Mulia Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda. Usai majlis, Sultan Mizan bersama Sultanah Nur Zahirah, Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda berkenan untuk meninjau sekitar kompleks beli-belah itu. Bangunan yang mampu memuatkan 308 lot kedai dengan berkeluasan sebanyak 1.66 juta kaki persegi itu merupakan pusat beli-belah kedua terbesar di Terengganu, menjadi mercu tanda pembangunan yang semakin pesat di negeri tersebut. Dato' Seri Arshad berkata,  perasmian pada hari ini merupakan tanda pelaksanaan strategik PHB di Terengganu. "Kuala Terengganu dipilih sebagai destinasi pertama PHB di Pantai Timur berdasarkan potensi besarnya dalam sektor pelancongan, perdagangan dan perkhidmatan. "Kedudukan geografinya yang strategik, kemudahan infrastruktur yang serba lengkap serta bekalan modal insan yang kukuh, Kuala Terengganu mampu menjadi hab ekonomi baharu Pantai Timur. Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada majlis perasmian kompleks berkenaan, di sini, hari ini. Tambah beliau, Mayang Mall merupakan pelaburan pemangkin utama oleh PHB di Terengganu menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dan rakan strategik tempatan. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (Kanan) berkenan menyempurnakan gimik perasmian diiringi Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Yang Mulia Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda (Kiri) "Hasil hubungan baik bersama Kerajaan Negeri dan rakan strategik tempatan, PHB kini sedang meneroka peluang pelaburan pembangunan hartanah baharu di negeri ini, khususnya dalam sektor kesihatan dan pendidikan. "Lebih membanggakan, Mayang Mall menjadi lokasi cawangan keempat SOGO di Malaysia dan yang pertama di Pantai Timur. Cawangan ini telah memulakan operasinya di sini sejak Disember 2024. "Kehadiran SOGO, diikuti jenama-jenama terkemuka antarabangsa dan tempatan yang kami bawa khas untuk kepelbagaian pilihan serta pengalaman membeli-belah yang lancar buat para pengunjung Mayang Mall," jelasnya. Dalam pada itu, Pengerusi PHB juga menekankan potensi Mayang Mall untuk menjadi pengganda ekonomi yang akan memberi manfaat kepada masyarakat negeri tersebut. "Ia termasuk dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan penawaran platform kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan pasaran mereka di dalam Mayang Mall itu sendiri," ujarnya.  
21 Jun 25
967
GLC Terengganu, EPIC Berhad Catat Peningkatan Pendapatan, Untung
GLC Terengganu, EPIC Berhad Catat Peningkatan Pendapatan, Untung
KUALA TERENGGANU, 20 Jun – Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) mencatat prestasi cemerlang bagi tahun 2024 dengan pendapatan berjumlah RM403.8 juta, peningkatan 17.4 peratus berbanding RM344 juta pada tahun sebelumnya. Keuntungan kasar syarikat turut meningkat kepada RM164.8 juta, berbanding RM129.8 juta pada 2023, hasil kecekapan operasi dan pengurusan kos secara berhemah. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, pencapaian kewangan dan kejayaan mendapatkan kontrak baharu meletakkan EPIC di landasan kukuh untuk meneruskan pertumbuhan berdaya saing dan mampan pada tahun 2025. “Gabungan prestasi operasi, pengambilalihan strategik dan projek baharu meletakkan EPIC dalam kedudukan bersedia untuk terus menyokong ekosistem minyak dan gas negara, khususnya di Pantai Timur,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-44 EPIC Berhad yang dipengerusikan oleh Pengarah EPIC, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim, mewakili Pengerusi EPIC, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Untuk rekod, meneruskan momentum tersebut, EPIC Berhad berjaya memperoleh dua kontrak utama daripada PETRONAS. Kontrak pertama adalah bagi penyediaan perkhidmatan Penyelenggaraan, Pentauliahan dan Ubah Suai (MCM & HUC) Pan Malaysia untuk Pakej A2 – Aset Gas Semenanjung Malaysia dengan tempoh perjanjian selama 5+3+2 tahun. Kontrak kedua pula melibatkan pelantikan sebagai kontraktor panel kerja pembinaan dan ubah suai (CMW) bagi unit operasi hiliran PETRONAS di tiga wilayah utama iaitu Pantai Timur, Pantai Barat dan Selatan, bagi tempoh 3+1+1 tahun.
20 Jun 25
1049
Wanita Mesti Cakna, Jangan Leka
Wanita Mesti Cakna, Jangan Leka
KUALA TERENGGANU, 20 Jun – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) komited dalam usaha memperkasakan wanita negeri ini secara holistik merangkumi aspek akidah, ilmu, akhlak dan kemahiran. Menurut Pengarahnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, wanita Terengganu bukan sahaja perlu celik ilmu dan berkemahiran, malah mesti tampil sebagai pemimpin yang berprinsip dan berwibawa. “Kita adalah pemimpin yang perlu teguh dalam memimpin.  “Wanita Terengganu sedang membangun daripada segi akidah, dan ilmunya terus berkembang melalui pelbagai program dan inisiatif di seluruh negeri,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Wanita Terengganu Berinformasi yang berlangsung di Dewan PPR Hiliran, kelmarin. Tuan Roslina turut menekankan keperluan menangani isu sosial secara serius, khususnya masalah anak luar nikah yang berlaku di dalam negeri sendiri. “Isu ini sememangnya berlaku dalam negeri kita. Sebagai pemimpin wanita, kita tidak boleh leka. Kita perlu sentiasa proaktif dan berfikir secara serius bagaimana untuk menangani isu ini dengan berkesan,” tegas beliau. Tambah beliau, USWa juga menekankan anjakan paradigma kepimpinan yang berteraskan prinsip dan nilai, serta memastikan hak wanita sentiasa terpelihara. “Kerja kami adalah membangunkan wanita dan juga memastikan anjakan paradigma Terengganu berprinsip, paradigma dan berwibawa. “Melestarikan wanita dengan pastikan hak wanita terpelihara,” ujarnya. Menurutnya lagi, rakyat perlu mengambil peluang berjuta-juta ringgit peruntukan kerajaan pusat  ke negeri Terengganu dalam bidang usahawan. “Rakyat kita perlu bijak ambil peluang. Berjuta-juta ringgit peruntukan usahawan disalurkan melalui pelbagai agensi, ambillah inisiatif untuk ke pejabat koperasi dan usahawan. “Rebut peluang yang ada,” serunya. Tuan Roslina memaklumkan bahawa satu Himpunan Wanita Berwibawa akan dianjurkan pada Julai ini, menghimpunkan para pemimpin wanita pelbagai peringkat. “Saya tidak mahu wanita yang memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau pemimpin NGO hanya sekadar ada jawatan, tetapi tidak tahu bagaimana untuk membawa manfaat kepada orang bawah.  “Ini yang paling penting,” tambah beliau lagi.
20 Jun 25
67
Sawit TDM Diiktiraf Antarabangsa
Sawit TDM Diiktiraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – TDM Berhad terus memperkukuh kedudukannya sebagai pelopor industri sawit mampan negara apabila anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) berjaya meraih pengiktirafan tempatan dan antarabangsa atas komitmennya terhadap kelestarian alam dan pematuhan etika industri. Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menyatakan bahawa pensijilan yang diterima membuktikan pendekatan TDM bukan sahaja selari dengan dasar hijau negara, bahkan membuka akses pasaran yang lebih luas dan bernilai tinggi. "TDMP telah diiktiraf menerusi pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), yang melibatkan pengeluaran Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) dan Isirung Sawit Mampan Diperakui (CSPK)," kata beliau. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun Beliau menyifatkan pencapaian ini sebagai manifestasi usaha konsisten dalam mematuhi garis panduan ketat yang ditetapkan industri, dengan menekankan aspek kelestarian, hak pekerja, pemeliharaan biodiversiti dan integriti rantaian bekalan. "Ini adalah pengiktirafan terhadap amalan ladang yang bertanggungjawab, dan sekaligus meletakkan TDM sebagai peneraju industri sawit yang beretika dan berpandangan jauh," ujarnya. TDMP turut melaksanakan transformasi ladang secara menyeluruh, melibatkan sistem pemantauan berasaskan data seperti Estate Block Analytical System (E-BAS), penggunaan teknologi GPS dan GIS, serta mekanisasi penuaian bagi meningkatkan hasil secara mampan. Menurut beliau lagi, pensijilan ini akan meningkatkan daya saing syarikat di peringkat antarabangsa, khususnya di pasaran Eropah dan Asia Timur yang amat menitikberatkan sumber sawit yang beretika dan mapan.
19 Jun 25
235
Pusat Rawatan Kanser Swasta TDM Pertama di Pantai Timur
Pusat Rawatan Kanser Swasta TDM Pertama di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Satu lagi sejarah bakal dilakar apabila TDM Berhad melalui anak syarikatnya, Kumpulan Medic Iman (KMI Healthcare), akan membina pusat rawatan kanser swasta pertama di Pantai Timur. Projek bernilai RM70 juta itu bakal didirikan di KMI Kuantan Medical Centre (KMC) dan dijangka siap menjelang suku ketiga tahun 2027, menjadikan ia antara pusat onkologi swasta paling lengkap di rantau ini. Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pembinaan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kumpulan dalam memperkukuh sektor penjagaan kesihatan swasta yang lebih inklusif dan pakar. "Pusat Onkologi ini akan dilengkapi fasiliti menyeluruh termasuk rawatan kemoterapi, radioterapi dan perubatan nuklear. "Ketika ini, kemoterapi sudah pun bermula di KMC dengan kehadiran pakar onkologi, Dr. Hadi Ab Jalil.  "Tapi pembangunan pusat khusus ini akan menambah baik kemudahan sedia ada termasuk rawatan radioterapi yang perlukan peralatan khas berasaskan bahan radioaktif," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 TDM Berhad yang berlangsung di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun Tambah beliau, kehadiran pusat ini amat dinanti kerana sebelum ini pesakit kanser dari Pantai Timur terpaksa bergantung kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjutan. "Dengan adanya pusat onkologi ini, pesakit dari Kuantan, Kemaman, Dungun dan kawasan sekitar yang ada perlindungan insurans atau mahukan rawatan swasta kini ada pilihan lebih dekat dan selesa," katanya. Mengulas lanjut, beliau turut mendedahkan bahawa satu lagi pusat rawatan kanser bakal dibina di Terengganu. "Kita belum umum secara rasmi, tetapi memang dalam perancangan jangka panjang untuk bina pusat onkologi di KMI Kuala Terengganu," ujarnya.  
19 Jun 25
923
TDM Pacu Agenda Sifar Karbon, Tenaga Hijau Jadi Keutamaan
TDM Pacu Agenda Sifar Karbon, Tenaga Hijau Jadi Keutamaan
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – TDM Berhad melangkah berani ke hadapan dengan komitmen jangka panjang untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang tahun 2050, seiring hasrat menjadi peneraju kelestarian dalam sektor strategik negara. Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menjelaskan bahawa syarikat telah menyusun pelan halatuju jelas bagi menangani isu perubahan iklim secara berkesan. "Kami menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 30 peratus menjelang 2030, dan akhirnya mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, kelmarin.  Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.  Menurutnya, TDM telah melaksanakan pelbagai pendekatan hijau bagi memastikan matlamat itu bukan sekadar retorik, malah realiti yang boleh diukur dan dikekalkan. "Antara usaha utama termasuk pemasangan panel solar, sistem pendingin HVAC cekap tenaga, pelaksanaan dandang hijau di kilang sawit, serta inisiatif program kredit karbon yang menyokong imbangan pelepasan," jelasnya. Beliau turut menyifatkan keberkesanan strategi itu dapat dilihat menerusi peningkatan prestasi dua loji biogas milik TDM di Sungai Tong dan Kemaman yang mula beroperasi sepenuhnya sejak 2022. "Pada tahun 2024 sahaja, loji-loji ini berjaya menjana lebih 18.8 juta kilowatt jam tenaga boleh diperbaharui, meningkat lima peratus berbanding tahun sebelumnya," tambahnya lagi. Menurut beliau, lonjakan ini membuktikan keupayaan TDM dalam memanfaatkan teknologi hijau bukan sahaja demi kelangsungan alam sekitar, bahkan menjana pulangan operasional yang mampan.
19 Jun 25
88
Wanita Desa Peneraju Pelancongan Komuniti
Wanita Desa Peneraju Pelancongan Komuniti
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Wanita desa di Terengganu kini muncul sebagai antara peneraju utama dalam menggerakkan sektor pelancongan komuniti. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penglibatan aktif telah memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi setempat. "Pengusaha inap desa adalah kalangan wanita. Sebagai contoh di Kampung Mangkuk, Setiu.  "Bukan sekadar bagi sewa tapi memberi pelancong sebuah sebuah pengalaman kehidupan kampung," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Wanita Terengganu Berinformasi yang diadakan di Dewan PPR Hiliran, semalam. Walau bagaimanapun, penyertaan wanita Terengganu dalam bidang pemandu pelancong bertauliah masih rendah berbanding negeri lain seperti Kelantan, yang telah berjaya melahirkan ramai pemandu pelancong wanita Muslimah. "Di Kelantan, ada pemandu pelancong wanita muslim. Mereka bagi gambaran keislaman produk islam di negeri kelantan. Alhamdulillah mereka berjaya," ujarnya. Sebaliknya kata beliau, di Terengganu, wanita tidak berminat dengan program berkait dengan seminar.  "Kita ada juga produk pelancongan tempatan dipanggil 'Community Beach Tourism' satu Produk baru.   "Ada yang berjaya dan produk makan tradisi cukup hebat, contoh keropok lekor, nasi dagang, 70 peratus dalam bidang pelancongan," tambah beliau lagi.
18 Jun 25
68
Akui Silap? - Menteri Padam Gambar Abdul Hadi di Wad IJN
Akui Silap? - Menteri Padam Gambar Abdul Hadi di Wad IJN
MARANG, 18 Jun – Menteri Kesihatan dilapor telah memadam gambar privasi berkait lawatan beliau terhadap Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) selepas menerima kritikan berhubung pelanggaran privasi pesakit dan keluarga. Semakan TRDI.my setakat jam 9.20 malam ini mendapati gambar berkenaan, yang dimuat naik melalui akaun rasmi Facebook Dr. Dzulkefly Ahmad petang tadi, telah dipadamkan daripada tatapan umum. Terdahulu, tindakan berkongsi gambar tersebut mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan ahli keluarga dan orang ramai yang menyifatkannya sebagai tidak sensitif terhadap privasi pesakit yang sedang menjalani rawatan kritikal. Pihak keluarga Presiden PAS itu turut menyatakan rasa kecewa dengan penyebaran gambar tersebut yang dianggap melanggar etika ziarah dan tatacara hospital. Gambar berkenaan memaparkan Menteri berdiri di sisi katil pesakit dalam wad CCU, ruang yang lazimnya memerlukan kawalan ketat dari segi lawatan dan dokumentasi bergambar. Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kementerian berhubung pemadaman gambar tersebut.
18 Jun 25
883
'Menteri Tak Hormat Privasi Keluarga, Tak Beretika'
'Menteri Tak Hormat Privasi Keluarga, Tak Beretika'
MARANG, 18 Jun - Pihak keluarga Ahli Parlimen Marang yang Juga Presiden PAS meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang disifatkan tidak menghormati privasi pesakit dan keluarga semasa lawatan ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini. Menurut wakil keluarga, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, lawatan tersebut bukan sahaja melanggar tatacara dan SOP hospital, malah gambar-gambar lawatan yang dimuat naik ke media sosial Menteri Kesihatan juga dianggap tidak wajar serta mencabuli etika privasi perubatan. “Kami menyatakan rasa kecewa dengan sikap YB Menteri Kesihatan yang tidak menghormati privasi keluarga dan SOP lawatan di hospital, ketika melawat Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) di wad CCU, IJN. “Malah penyebaran gambar Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) yang dimuat naik di Facebook YB Menteri untuk tatapan awam amatlah tidak wajar dan sangat tidak beretika,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri itu dalam satu kenyataan hari ini. Tindakan tersebut menurut beliau bukan sahaja tidak profesional, malah mengecewakan.  “Sikap tidak profesional ini sangat dikesali,” tambahnya. Setakat ini, tiada sebarang penjelasan rasmi atau permohonan maaf dikeluarkan oleh pihak Menteri Kesihatan berhubung isu berkenaan. Terdahulu Facebook rasmi Dr. Dzulkefly memuatnaik gambar Abdul Hadi yang selesai menerima rawatan di IJN. Abdul Hadi Awang kini masih dalam pemantauan rapi di CCU, IJN dan keluarga memohon semua pihak terus mendoakan kesembuhan serta menghormati ruang privasi beliau sepanjang tempoh rawatan.
18 Jun 25
1286