Artikel "Utama" Terkini
Syarikat Terengganu Raih Pendapatan Tertinggi, Untung Lima Tahun Berturut-Turut
KUALA TERENGGANU, 17 Jun – Anak Syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad mencatat pencapaian cemerlang apabila merekodkan pendapatan sebanyak RM645.6 juta bagi tahun 2024 menjadikan ia tertinggi dalam sejarah, seterusnya mengekalkan keuntungan lima tahun berturut-turut.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, prestasi itu sangat membanggakan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan kos operasi.
“Daripada jumlah itu, Bahagian Penjagaan Kesihatan yang dikendalikan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) menyumbang RM354.4 juta, dengan rangkaian lima hospital pakar dan kapasiti katil sebanyak 412 buah. Sektor ini kini menjadi aset strategik utama kepada kumpulan dan dijangka terus berkembang hasil pelaburan berterusan.
“Sementara itu, Bahagian Perladangan di bawah TDM Plantation Sdn. Bhd. mencatat pendapatan sebanyak RM291.2 juta, meningkat daripada RM261.6 juta pada tahun sebelumnya, didorong oleh harga minyak sawit mentah (CPO) yang stabil serta output pengeluaran yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, hari ini.
Menurut beliau, kejayaan itu didorong kekuatan sebenar syarikat yang terletak pada struktur organisasi mantap, pasukan pengurusan cekap, serta hala tuju perniagaan jelas dan bersepadu.
“Perkara terbaik di TDM ialah kekuatan pasukan kami yang mantap, dari peringkat tertinggi hingga ke barisan hadapan.
“Kami juga memiliki pengurusan yang efisien dalam kedua-dua sektor, perladangan dan penjagaan kesihatan, dengan pengurus ladang antara tunjang utama kejayaan syarikat,” katanya
Beliau turut menegaskan komitmen TDM untuk terus memperkemas operasi dan mencapai tahap kecekapan maksimum demi menjamin pulangan jangka panjang yang mampan.
“Kita sedang mengoptimumkan lagi pengoperasian supaya mencapai tahap maksimum.
“Pertumbuhan yang kita capai dalam bahagian healthcare telah memberi pulangan yang sangat baik kepada syarikat,” jelasnya.
17 Jun 25
4277
Anak Syarikat Terengganu Buka Hospital Baharu di Pulau Pinang
KUALA TERENGGANU, 17 Jun – Anak syarikat Kerajaan Terengganu, TDM Berhad, terus mengukuhkan dominasi dalam sektor penjagaan kesihatan negara apabila bakal membuka sebuah hospital swasta baharu di Bertam, Pulau Pinang dengan pelaburan mencecah RM146 juta.
Hospital bertaraf moden itu dikenali sebagai KMI Bertam Medical Centre, lengkap dengan 100 katil dan dijangka menjadi pemangkin kepada lonjakan KMI Healthcare ke wilayah utara tanah air.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja, berkata pembukaan hospital baharu itu merupakan strategi pengembangan hijau (greenfield expansion) yang mengutamakan keunikan dan privasi pesakit.
"Bila kita buka hospital di sana, kita punyai dua kelebihan utama, konsep mesra ibadah dan bilik pesakit seratus peratus ‘single bedded’.
"Orang datang ke hospital swasta kerana mereka ada kemampuan, perlindungan insurans, dan yang paling penting mahukan privasi.
"Kita faham itu dan kita tawarkan,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa pelaburan ini bukan hanya tertumpu pada fizikal bangunan, sebaliknya turut menyasar pemantapan sistem digital dan teknologi perubatan.
"Sepanjang tahun, kita telah melabur dalam HIS (Sistem Maklumat Hospital), mempercepat penggunaan EMR (rekod perubatan elektronik), serta menerapkan analitik data untuk meningkatkan ketepatan diagnosis dan pengalaman pesakit," jelasnya.
Tambahnya lagi, keputusan untuk terus melabur dalam sektor kesihatan mencerminkan kepercayaan jitu terhadap daya saing industri itu.
"Kami melihat sektor penjagaan kesihatan sebagai salah satu teras utama yang sangat berpotensi dan menguntungkan buat syarikat.
"Pertumbuhan dalam bahagian healthcare telah memberi pulangan yang baik. Justeru, kami putuskan untuk terus memperluas pelaburan dalam sektor ini,” tambahnya.
Setakat ini, KMI Healthcare mengurus lima hospital pakar, KMI Kuala Terengganu, KMI Kuantan, KMI Kelana Jaya, KMI Taman Desa dan KMI Tawau, dengan jumlah kapasiti 412 katil.
TDM turut merancang penubuhan hospital di Kelantan, dan KMI Chukai.
17 Jun 25
6784
EPIC Berhad, GTR Kerjasama Jayakan Projek Panel Solar di Terminal Kargo
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik dengan Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) bagi meneroka projek pemasangan panel solar di Terminal Kargo dan Pusat Penyelenggaraan Peralatan Perkhidmatan Darat milik GTR.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, menerusi perjanjian itu, EPIC Berhad melalui anak syarikatnya, Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (EPPSB), akan menjadi penyedia utama infrastruktur solar, manakala GTR akan menilai integrasi sistem tenaga solar dalam operasi utama mereka.
Jelas beliau, kerjasama berkenaan adalah langkah signifikan menyokong peralihan tenaga rendah karbon negara.
“Kerjasama ini satu komitmen bersama dalam mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor sokongan penerbangan.
“Melalui inisiatif ini, kami menyokong matlamat kelestarian GTR dengan kepakaran EPIC dalam pemasangan sistem solar dan penyelesaian tenaga hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani MoU itu yang berlangsung sempena pembukaan Energy Asia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Menandatangani MoU tersebut ialah Dr. Muhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif GTR, Musdalifa Abdullah.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Haji Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun serta Ketua Pegawai Operasi GTR, Bobban Phillip Jose.
Menurut Dr. Muhtar, kerjasama tersebut seiring dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan memberi hasil nyata dalam pelaksanaan tenaga bersih.
Sementara itu, Musdalifa berkata kerjasama dengan EPIC adalah satu langkah penting ke arah operasi darat yang lebih mampan.
“Dengan mengintegrasikan tenaga solar dalam fasiliti kargo dan penyelenggaraan kami, kami memperkukuh komitmen terhadap penerbangan lestari. Kami yakin kerjasama ini akan membawa impak yang ketara dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia,” jelasnya.
Untuk rekod, GTR sebelum ini mencatat kejayaan dengan pelancaran armada Traktor Elektrik (EV Tractors) terbesar dalam industri penerbangan Malaysia pada 2024, dan kini terus melangkah maju dalam strategi nyahkarbon melalui pelaburan dalam teknologi hijau.
17 Jun 25
579
Kerajaan Negeri Telah Hantar Surat Jaminan Bayar Rawatan Mangsa Nahas UPSI
IPOH, 17 Jun - Kerajaan Negeri menerusi Tabung Darul Iman telah menghantar Surat Jaminan (Guarantee Letter) kepada pengarah hospital bagi menanggung sepenuhnya kos rawatan mangsa kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlaku di Gerik, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pihaknya telah menerima surat rasmi daripada Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh berhubung kos rawatan salah seorang mangsa, Nur Erika Elisha Mohd Zaidi.
Menurut beliau, jumlah kos rawatan yang dikenakan kepada pesakit tersebut adalah sebanyak RM18,588.
“Alhamdulillah, kita telah menghantar Surat Jaminan (Guarantee Letter) kepada pengarah hospital yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu akan menanggung sepenuhnya kos tersebut melalui Tabung Darul Iman,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Maliaman turut memberi jaminan bahawa keluarga mangsa tidak perlu risau atau bimbang mengenai beban kewangan rawatan kerana kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.
Tambah beliau, sebelum ini kerajaan negeri juga telah menanggung kos rawatan dua lagi mangsa iaitu Tuan Muhammad Adhan sebanyak RM2,900 dan Wan Masyitah sebanyak RM600, di mana kedua-dua mereka telah pun pulang ke rumah masing-masing di Besut.
“Mengikut maklumat terkini, masih terdapat beberapa lagi pelajar yang sedang menerima rawatan di beberapa hospital iaitu dua orang di Hospital Ipoh, seorang di Hospital Taiping, seorang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, seorang di Hospital Jerteh dan seorang lagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).”
Beliau turut memaklumkan telah pun melawat salah seorang mangsa yang menerima rawatan di Hospital Jerteh baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar mana-mana keluarga mangsa yang masih memerlukan bantuan atau menanggung kos rawatan agar segera menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat ADUN masing-masing untuk tindakan lanjut dan bantuan daripada Tabung Darul Imam.
“Masyarakat juga diharap dapat sama-sama mendoakan agar semua mangsa diberikan kesembuhan segera dan kelapangan untuk menyambung semula pengajian mereka seperti biasa,” katanya.
17 Jun 25
875
Masalah Elektrik Kampung Jerlan Bukan Isu Baru, Dah 30 tahun
HULU TERENGGANU, 16 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim, tampil memberikan penjelasan berhubung isu ketiadaan bekalan elektrik yang dihadapi enam keluarga di Kampung Jerlan, Ajil, yang tular baru-baru ini.
Menurut beliau, isu tersebut bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu melibatkan tiga isu utama iaitu ketiadaan jalan perhubungan, bekalan air bersih dan bekalan elektrik.
“Penduduk di kawasan ini sebenarnya tinggal agak terpencil, kira-kira 1.5 kilometer dari perkampungan utama Jerlang. Ketika kami mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2018, saya sendiri telah memohon kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit.
“Alhamdulillah, dua daripada tiga masalah utama telah berjaya diselesaikan. Bekalan air bersih telah disalurkan dengan kos sebanyak RM280,000, manakala kemudahan jalan juga sudah dibina sehingga ke hadapan rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Maliaman, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, mengakui bahawa bekalan elektrik masih belum dapat disalurkan ke kawasan berkenaan berikutan kos pemasangan tiang elektrik yang agak tinggi.
“Saya sendiri telah membuat permohonan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak tahun 2019. Malah pihak TNB juga sudah turun padang meninjau lokasi tersebut, dan perkara ini telah saya bangkitkan berkali-kali dalam Mesyuarat Pembangunan Daerah.
“Kita harap selepas tularnya berita ini, semua pihak akan memberikan perhatian serius terhadap keperluan penduduk Kampung Jerlan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan individu yang prihatin dengan nasib penduduk dan berharap usaha membawa bekalan elektrik ke kawasan tersebut dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
“Saya amat menghargai keprihatinan semua pihak. Insya-Allah, dengan kerjasama semua, masalah ini akan dapat diselesaikan demi keselesaan dan masa depan anak-anak di kampung ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan enam keluarga di Kampung Jerlan, Ajil, masih bergantung kepada generator sejak lebih 30 tahun lalu untuk mendapatkan bekalan elektrik terhad hanya lima jam setiap malam, dengan kos bahan api mencecah RM300 sebulan.
16 Jun 25
723
Nahas Pelajar UPSI : Liyana Selamat Jalani Dua Pembedahan
TAIPING, 16 Jun – Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Liyana Zanudin, 23, yang cedera parah dalam nahas bas di Jalan Raya Timur Barat dekat Gerik baru-baru ini, kini dilaporkan stabil selepas menjalani dua pembedahan bagi merawat kecederaan serius pada bahagian tangan kirinya.
Pegawai Perubatan Ortopedik Hospital Taiping, Dr. Arvind Rao berkata, mangsa mengalami luka terbuka parah sehingga menampakkan tulang yang patah, selain kehilangan sebahagian besar kulit di bahagian hadapan dan belakang tangan.
“Dalam pembedahan pertama, kami membersihkan luka dan memasukkan besi untuk menstabilkan tulang patah. Dua hari kemudian, kami lakukan pembedahan kali kedua apabila luka didapati belum menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.
“Namun, selepas pemeriksaan pagi ini, luka kelihatan lebih bersih dengan aliran darah yang baik. Ini satu petanda positif terhadap proses penyembuhan,” katanya ketika ditemui di Hospital Taiping, semalam.
Tambahnya lagi, pemulihan penuh dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan kerana kecederaan turut melibatkan struktur tulang dan saraf.
“Saraf yang tercedera dijangka pulih dalam tempoh lima hingga enam minggu, bergantung kepada tindak balas tubuh pesakit terhadap rawatan. Besi yang dipasang buat masa ini hanyalah sementara. Selepas risiko jangkitan menurun barulah kami akan mempertimbangkan prosedur susulan untuk pemasangan besi dalaman secara kekal,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tahap kesakitan yang dialami mangsa kini berkurangan dengan kawalan ubat tahan sakit dan pesakit menunjukkan tanda-tanda stabil untuk dipertimbangkan bagi discaj dalam masa terdekat.
“Kami pantau luka setiap hari. Jika tiada lagi keperluan untuk ubat tahan sakit yang kuat dan keadaan pesakit kekal stabil, kemungkinan besar beliau akan dibenarkan keluar hospital esok atau lusa,” katanya.
Jelas Dr. Arvind lagi, keluarga mangsa juga telah membuat permohonan pemindahan ke Terengganu bagi membolehkan rawatan susulan dilakukan lebih dekat dengan kediaman mereka.
Mengulas keadaan emosi pesakit, Dr. Arvind berkata, Nur Liyana masih dalam keadaan trauma dan terkesan dengan apa yang berlaku.
Dalam pada itu, kakak mangsa, Shafiqatul Najwa Zanudin, 27, memaklumkan urusan membawa adiknya pulang ke Terengganu sedang dibincang melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.
Menurutnya, keadaan Nur Liyana yang masih trauma memerlukan pertimbangan rapi termasuk cadangan menggunakan helikopter untuk pemindahan.
Mengimbau detik cemas yang dialami keluarga mereka, Shafiqatul berkata, pada sekitar jam 3 pagi, mereka menerima panggilan telefon daripada ayah memaklumkan bas dinaiki Nur Liyana kemalangan.
"Ayah cuma beritahu kena terus ke hospital (di Perak) tanpa nyatakan keadaan sebenar,” katanya.
Jelasnya, dalam perjalanan, mereka sempat melihat satu hantaran di Facebook adik bongsu yang menyebut Nur Liyana duduk di bahagian kiri bas, lokasi kebanyakan mangsa tercedera parah.
“Memang terasa antara hidup dan mati. Abang sulung keluarga yang tiba terlebih dahulu di Hospital Gerik terus ke Jabatan Kecemasan dan bertanya kepada petugas mengenai keberadaan adiknya.
“Mula-mula tak jumpa. Tapi bila diberi petunjuk berdasarkan warna kulit pesakit, alhamdulillah, dia masih bernyawa. Allah beri peluang kedua untuk hidup,” katanya sebak.
16 Jun 25
3293
EXCO Terengganu Rai Sukarelawan Bawa Pulang Jenazah Nahas UPSI
KUALA TERENGGANU, 16 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim meraikan sukarelawan Pertubuhan Amal Komuniti Besut yang membantu menguruskan jenazah dalam tragedi kemalangan bas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengorbankan 15 nyawa, baru-baru ini.
Azman berkata, pertubuhan tersebut menyediakan khidmat pengurusan jenazah, van jenazah dan ambulan komuniti secara percuma kepada masyarakat.
“Mereka tak minta dikenali tapi saya ingin memperkenalkan mereka. Inilah wajah-wajah wira tak didendang yang telah berkorban masa, tenaga, wang ringgit, hati dan perasaan dalam menguruskan mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas Jalan Raya Timur Barat samada yang terkorban atau mengalami kecederaan.
“Bukan sedikit cabaran yang mereka semua lalui. Dengan pertolongan Allah, tragedi besar ini dapat diuruskan dengan sebaiknya. Allah menyatukan hati-hati kita semua atas rasa kebersamaan dan kemanusian,” tulisnya dalam satu hantaran di laman facebook.
Katanya, majlis makan malam yang diadakan itu adalah sebagai penghargaan daripada pihaknya kepada anggota pertubuhan yang telah mengurus dan membawa pulang jenazah ke Terengganu mengikut perancangan tanpa sebarang masalah,
“Malam ini sebagai tanda penghargaan, kita raikan wira-wira ini dalam majlis seadanya. Ia terlalu kecil berbanding khidmat yang telah dicurahkan.
“Terima kasih serta penghargaan yang setulusnya kepada penaung, pengerusi dan semua sahabat-sahabat Pertubuhan Amal Komuniti Besut. Saya sangat menghargainya,” ujar beliau.
16 Jun 25
592
“Saya Sedar Masa Bas Nak Terbalik” – Liyana Terselamat di 'Seat' Maut
IPOH, 16 Jun – “Saya tidur sejak naik bas dari Jerteh sebab takut mabuk. Bila sedar, bas dah berpusing nak terbalik. Saya tak sempat buat apa, muka saya jatuh dulu,” luah Nur Liyana Zanudin, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terselamat dalam tragedi menyayat hati di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.
Tragedi tersebut meragut 15 nyawa yang majoritinya duduk di bahagian kiri bas, lokasi tempat duduk Liyana.
Ujar Liyana, dia sedih apabila mendapat berita rakan-rakan meninggal dunia walaupun tidak mengenali mereka secara dekat.
“Saya duduk di kerusi ketiga, sebelah kiri, sebelah cermin. Memang kawasan itu yang paling teruk, saya betul-betul di tempat bas jatuh dan tersepit. Ramai yang meninggal dunia duduk di bahagian kiri,” katanya.
Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas diziarahi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Hospital Taiping semalam.
Jelasnya, selepas bas terbalik, dia masih sedar namun tak mampu berbuat apa-apa apatah lagi membantu kawan-kawan.
“Saya cuba kuatkan diri, cuba pusingkan badan, tapi tangan saya langsung tak rasa apa-apa. Saya tak boleh bergerak, apatah lagi keluar. Saya cuma mampu tunggu,” ujarnya.
Dia turut memaklumkan bahawa pihak bomba mengambil masa untuk menyelamatkannya kerana perlu menyelamatkan beberapa mangsa lain yang lebih kritikal terlebih dahulu.
Katanya, pihak bomba juga terpaksa memotong struktur bas yang remuk untuk membebaskan semua mangsa.
“Saya dengar orang luar bas cakap, siapa yang boleh berjalan, mereka cuba bantu dulu. Tapi saya memang tak boleh. Tersepit dan tak ada daya,” ceritanya.
Liyana turut memaklumkan bahawa selepas beberapa hari menerima rawatan, dia menunjukkan perkembangan positif namun masih dibayangi trauma.
“Alhamdulillah, hari ini saya rasa sedikit lebih baik. Terima kasih kepada semua yang doakan, bantu dan datang ziarah.
“Keluarga saya pun datang dari jauh, mereka semua jadi kekuatan untuk saya teruskan hidup, terima kasih warga Terengganu dan Malaysia,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.
16 Jun 25
666
Kerajaan Negeri Salur Bantuan Segera Kepada Mangsa Kebakaran di Bukit Kuang
KEMAMAN, 16 Jun – Kerajaan Terengganu menerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menyalurkan bantuan segera berupa wang tunai dan pelbagai bentuk bantuan lain kepada tiga keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran di Taman Rakyat Bestari, Bukit Kuang malam tadi.
ADUN Kijal, Datuk Razali Idris berkata, sebuah rumah akan dibina semula melalui peruntukan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), manakala dua buah rumah lagi akan dibaik pulih sepenuhnya dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan barangan keperluan asas serta sebuah kerusi roda baharu kepada salah seorang mangsa yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), manakala MAIDAM bersetuju menanggung sepenuhnya kos rumah sewa mangsa sehingga rumah kekal siap dibina.
"Mengulas lanjut mengenai kejadian malam tadi, tiga buah rumah teres terjejas hampir 80 peratus dalam kebakaran, namun kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian," katanya ketika ditemui pemberita selepas tinjauan di tapak lokasi pada hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.03 malam dan menggerakkan 11 anggota dari Balai Bomba Kemaman dan Kijal ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, api sedang marak. Operasi pemadaman mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran. Operasi tamat sepenuhnya sekitar jam 12.14 tengah malam,” katanya.
Menurut beliau, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Salah seorang mangsa, Norhayati Abd Rahman, 41, berkata dia bertindak pantas menyelamatkan suaminya, Rosmadi Abd Razak, 42, seorang OKU fizikal, serta anak perempuan mereka, Nur Aisy Aira, 7 tahun.
“Saya terbau hangit dan terdengar bunyi percikan api. Dapur dipenuhi asap. Saya gagahkan diri pimpin suami keluar, walaupun dia tidak mampu berjalan,” katanya.
Norhayati yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, tiada sebarang harta benda sempat diselamatkan kerana api marak dengan cepat.
“Buat masa ini kami menumpang di rumah adik. Suami sudah lama tidak bekerja, hanya saya yang menyara keluarga. Bantuan segera daripada kerajaan negeri sangat melegakan,” ujarnya.
16 Jun 25
190
Peluang Emas Untuk Mahasiswa Terengganu - Akses Percuma Ke Forum Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 16 Jun - Pelajar dari universiti tempatan di Terengganu bakal menikmati peluang eksklusif menyertai Young Leaders Program sempena East Coast Energy (ECE) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 Jun ini di Taman Tamadun Islam (TTI), tanpa sebarang bayaran penyertaan.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu ECE 2025, Mohd Zamri Abdul Ghani, langkah menaja penyertaan pelajar ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada golongan muda terhadap topik-topik semasa berkaitan tenaga boleh baharu, industri masa hadapan serta cabaran kerjaya profesional.
"Akademik adalah satu hal, kerjaya pula satu hal yang lain. Kita mahu bantu pelajar bersedia menempuh dunia luar. Mereka akan diberi ‘coaching’ tentang penulisan CV dan pendedahan peluang pekerjaan yang sepadan dengan bidang mereka.
"Jadi, ini adalah satu peluang yang baik untuk pelajar-pelajar yang berada di universiti di Terengganu.
"Setakat hari ini, kita sudah berjaya mendapatkan pengesahan penyertaan 50 orang pelajar-pelajar daripada universiti-universiti sekitar Terengganu seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu," katanya.
Ahli Jawatankuasa Pemandu ECE 2025, Mohd Zamri Abdul Ghani
Pelajar yang terlibat juga bakal digabungkan dalam kumpulan tertentu bersama penceramah, moderator dan wakil industri sepanjang dua hari persidangan, menjadikan program ini platform rangkaian profesional yang berharga.
Program anjuran bersama kerajaan negeri dan Terengganu Petroleum Council (TPC) itu sekali gus menzahirkan komitmen penganjur untuk mendidik dan mencungkil potensi kepimpinan dalam kalangan belia negeri, seiring matlamat jangka panjang pembangunan tenaga mampan dan pembangunan sumber manusia tempatan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili juga memaklumkan penglibatan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) bagi mempromosikan kebudayaan yang boleh didapati di negeri tersebut.
"Sempena dengan ECE 2025 ini, Tourism Terengganu (JPNT) juga akan menganjurkan program yang dinamakan 'Beautiful Terengganu' yang akan dijalankan di dua tempat, iaitu di Pasar Payang dan juga di Taman Tamadun Islam sendiri akan ada program persembahan kebudayaan yang akan dilaksanakan oleh Tourism Terengganu.
"Bagi orang luar daripada Terengganu (peserta ECE 2025), yang datang ke negeri Terengganu boleh datang melihat sendiri budaya masyarakat negeri Terengganu melalui persembahan kebudayaan yang akan diadakan ketika majlis pembukaan, majlis penutupan dan juga semasa selingan antara program.
"Antaranya ialah seperti persembahan gamelan, persembahan tarian, kebudayaan dan lain-lain yang dianjurkan bagi memberi nilai tambah kepada persidangan ECE 2025," jelasnya.
Persidangan julung kali diadakan itu telah berjaya meraih melebihi 700 penyertaan delegasi dari dalam serta luar negara dan akan berlangsung secara keluruhannya selama tiga hari iaitu pada 22 Jun, hari pra-persidangan dan hari persidangan penuh yang akan dijalankan pada 23 sehingga 24 Jun 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili
16 Jun 25
607