lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Abai Kebersihan, 52 Notis Dikeluar Kepada Peniaga Bazar
Abai Kebersihan, 52 Notis Dikeluar Kepada Peniaga Bazar
KUALA TERENGGANU, 23 April - Sebanyak 52 notis dengan jumlah amaun kompaun RM5,450 dikeluarkan kepada peniaga bazar Ramadan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT). Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan dijalankan terhadap bazar Ramadan di seluruh negeri dan bagi mencegah berlakunya kejadian penyakit bawaan makanan seperti kes keracunan makanan, kolera dan kepialu. Katanya, kesemua 52 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM). "Daripada 52 notis itu, 31 notis disebabkan kesalahan tidak memakai apron, peniaga atau pekerja tidak mengikuti kursus pengendalian makanan (11), kebersihan diri yang tidak memuaskan (lapan) dan lain-lain kesalahan (dua). "Notis tertinggi dikeluarkan di daerah Besut iaitu 14, diikuti Marang (12), Setiu (sembilan), Kuala Nerus (tujuh), Kuala Terengganu (tiga), Dungun (tiga), Kemaman (tiga) dan Hulu Terengganu (satu)," katanya ketika dihubungi pemberita. Justeru itu katanya, pihak JKNT akan terus menjalankan pemantauan sehingga akhir Ramadan bagi tujuan pencegahan penyakit. "Sampel makanan yang dijual turut diambil secara rawak bagi memastikan keselamatan makanan yang dijual. "Oleh itu, pilih gerai jualan yang bersih, makanan yang bertutup serta guna kaedah hidu dan rasa sebelum makan juadah yang dibeli," katanya.    
22 Apr 21
243
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Mula Reda
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Mula Reda
KUALA TERENGGANU, 21 April - Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 di Terengganu kini mengalami penurunan kepada 1.15 setelah direkodkan menjadi negeri dengan kadar nilai tertinggi di Malaysia, baru-baru ini. Menurut statistik yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Terengganu masih antara negeri dengan kadar Rt melebihi 1 diikuti Selangor and Sabah (1.10), Johor and Kedah (1.09), Melaka (1.06), and Pahang (1.0). “Kelantan kini mempunyai angka Rt dengan 1.43 melepasi Rt negara iaitu 1.19. “Nilai tersebut merupakan jangkaan mengikut kes harian pada Selasa,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. Berdasarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Terengganu turut merekodkan penurunan kepada satu kes sahaja jumlah kes baharu COVID-19 seperti perlis (1 kes) diikuti dengan Labuan (2 kes) manakala jumlah kumulatif kes sebanyak 2,340 kes dalam negara, pada hari ini. Untuk pengetahuan, nilai Rt merujuk kepada tahap penularan virus, iaitu berapa jumlah individu yang mampu dijangkiti oleh satu kes positif. Contohnya, semakin rendah nilai tersebut, kemungkinan jangkitan bagi kes positif adalah berkurang.
21 Apr 21
1160
Modul Itqan Insani Bangunkan 10 Segmen Masyarakat
Modul Itqan Insani Bangunkan 10 Segmen Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 21 April – Modul Itqan Insani menyasarkan pembangunan insan secara holistik kepada 10 segmen masyarakat selaras dengan dasar Islam yang dibawa kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ia merupakan komitmen kerajaan dalam membangunkan aspek fizikal, intelektual dan spiritual melalui penghayatan modul yang digerakkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS). “Segmen yang terlibat bermula daripada pegawai dan penjawat agama negeri sehinggalah ke peringkat tenaga buruh. “Ia juga akan melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Guru KAFA di bawah kerajaan negeri, pimpinan ulamak dan pendakwah bebas, mahasiswa, remaja (belia dan beliawanis), peniaga dan usahawan serta golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)," katanya. Beliau berkata demikian semasa mempromosikan Modul Itqan Insani, di perkarangan Wisma Darul Iman hari ini. Mohd Nor turut mengajak seluruh masyarakat menyertai majlis pelancaran modul tersebut pada 28 April ini secara maya. “Insya-Allah, perasmian akan dibuat oleh Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dapat ditonton secara rasmi di laman Facebook Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI), TV Darul Iman atau ‘Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS),” katanya lagi. Untuk rekod, sebanyak RM3.75 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan modal tersebut bersama Program Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) sebahagian daripada teras pertama iaitu meneguhkan pelaksanaan agenda islam dan pembangunan modal insan. Sementara itu, Mohd Nor turut mengajak warga islam dalam mengikuti program Ramadan Di Hati bersama Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang berlangsung sepanjang bulan tersebut. “Antara pengisian adalah program Sahur Rohani (5.30 pagi) dan Ihya Ramadan (10.00 pagi) yang diadakan secara langsung di Facebook DUAT dari Ahad hingga Khamis, manakala setiap hari akan diisi dengan rancangan seperti 'Time for Quran' (1.30 petang) dan 'Time for Hadis' (5.00 petang),” jelasnya. Untuk maklumat lebih lanjut boleh melayari halaman page di Facebook @DUATterengganu.   
21 Apr 21
736
RM30 Ribu Dana Istimewa Untuk Fakir Miskin
RM30 Ribu Dana Istimewa Untuk Fakir Miskin
MARANG, 21 April - Seramai 300 penduduk di daerah ini terpilih menerima dana istimewa sempena Ramadan berupa pemberian secara langsung daripada Ahli Parlimen Marang.  Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berharap agar bantuan tersebut dapat meringankan beban mereka yang memerlukan. Katanya selain dana tersebut, turut diagihkan adalah bantuan berupa barangan keperluan hasil sumbangan pelbagai pihak.  “Inilah kelebihan yang ada pada orang Islam yang tak ada pada orang bukan Islam. Yang senang, bersyukur kepada Allah taala dan mendapat pahala syukur. Dan yang susah bersabar menghadapi kesusahan dan mendapat pahala sabar. “Bagi pihak Parlimen Marang, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi bantuan dan semoga Allah taala menggandakan pahala dan kelebihan kepada mereka,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan dan Dana Ramadan Parlimen Marang di Dewan MPKK Rhu Rendang, baru-baru ini. Abdul Hadi turut menyeru kepada masyarakat agar memanfaatkan bulan mulia ini bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadat tetapi juga gerak kerja kebajikan serta jihad. “Marilah kita melafazkan kesyukuran kerana diberi kesempatan menjadi tetamu Allah SWT pada bulan Ramadan, dihidangkan dengan amal ibadah dan kerja-kerja kebajikan, memberi sumbangan dan tolong menolong antara satu sama lain," tambah beliau.    
21 Apr 21
598
'Dah Tak Perlu Kongsi Telefon Ibu Untuk Belajar'
'Dah Tak Perlu Kongsi Telefon Ibu Untuk Belajar'
KUALA NERUS, 21 April – “Alhamdullilah, dengan tablet ini saya tidak perlu lagi berkongsi telefon ibu untuk belajar ‘online’,” luah seorang pelajar tingkatan empat, Nurin Atikah Ayuni Mohd Sufian setelah menerima sumbangan peranti pintar di bawah Inisiatif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT). Adik Nurin yang juga seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abbas berkata, dia akan memanfaatkan sebaik mungkin gajet tersebut dalam membantu pembelajaran atas talian. Menurut ibunya, Yusniza Maria Yasin, 41, situasi ekonomi keluarganya yang disara suami bekerja sendiri serta pendapatan tidak menentu memaksa empat orang anaknya berkongsi telefon bagi memperoleh bahan pendidikan digital. “Sekarang ini susah sedikit kerana telefon saya terpaksa dikongsi antara anak-anak semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). “Tapi pemberian ini, saya sebagai ibu berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha ini,” katanya ketika ditemubual pemberita.  Pengagihan sumbangan itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak, semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Tablet Kepada Murid Sekolah Di Bawah Inisiatif BERKAT 2021, semalam. Turut hadir, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun. Dr. Alias memaklumkan, seramai 50 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kumpulan B40 kawasan Bukit Tunggal menerima peranti digital merangkumi pakej data BeOne untuk memudahkan pembelajaran dalam talian mereka. “Harapan kerajaan negeri supaya ia dapat merapatkan jurang digital dan memberi peluang kepada para pelajar, membantu dalam hasil akademik mereka sambil terus mengikuti perkembangan teknologi,” jelasnya.
21 Apr 21
590
Ayam Tin Minyak Aluminium Laris
Ayam Tin Minyak Aluminium Laris
KUALA NERUS, 21 April -  Ramadan ibarat syurga bagi pembuat makanan atau menu yang unik kerana masakan mereka sering mendapat perhatian pembeli. Makanan itu juga menjadi kesukaan ramai kerana 'dicipta' dengan pelbagai teknik khusus termasuklah dimasak menggunakan pasu, buluh atau tempayan. Mohd Aisamuddin Razak, 34, dari Kampung Tok Jiring,  tidak ketinggalan mencipta keunikan itu apabila memilih tin minyak alumunium sebagai 'dapur' untuk menyediakan menu ayam bakar di gerai miliknya di Taman Mahadir, Gong Badak di sini. Bukan sekadar kelainan, kaedah itu sebaliknya terbukti menambah kelazatan ayam bakar dihasilkan terutama dari segi aroma, selain daging ayam tidak hangit, isi lebih lembut dan `jus' yang terdapat pada daging juga tidak hilang. Tidak hairanlah 80 hingga 95 ekor ayam yang siap dibakar menggunakan kaedah tin minyak di Gerai Ayam Teng JJJ habis dijual pada setiap hari. Mohd Aisamuddin berkata, dia tidak sangka jualan ayam bakar dalam tin yang diusahakan tetap mendapat sambutan walaupun harga agak tinggi pada Ramadan kali ini "Jika dilihat harga ayam segar sekarang memang pembeli bimbang untuk membelinya kerana harga jualan ayam bakar dalam tin itu pasti naik seiring harga ayam segar. "Apapun, Alhamdulillah apabila pelanggan tetap setia dan membeli seperti biasa walaupun harga jualan bagi ayam bakar dalam tin ini RM26 seekor. "Saya beli ayam segar di pasar RM9.50 sekilogram, jadi agak mustahil untuk menjual ayam dalam tin pada harga RM22-RM24 seekor seperti dua tahun lalu," katanya. Menurutnya, dia berniaga ayam bakar dalam tin sejak 2016 dan jualannya pernah mencecah 150 ekor sehari. "Sekarang sekitar 93 ekor dijual sehari dan dianggarkan pada pertengahan Ramadan ini jumlah jualan mencecah sehingga 120 ekor sehari,” katanya "80 peratus pembeli ialah pelanggan tetap sejak 2016, oleh itu saya tidak tergamak untuk tidak berniaga dan menghampakan permintaan pelanggan," katanya.  
21 Apr 21
1088
Teknologi Digital Hasilkan Melon Manis Berkualiti
Teknologi Digital Hasilkan Melon Manis Berkualiti
DUNGUN, 21 April - Teknologi Digital Automation yang dipraktikkan di Ladang Melon Manis Terengganu (MMT) Rimbunan Kaseh, Rantau Abang berjaya menghasilkan buah secara berterusan dan kualitinya terjamin. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, menerusi teknologi digital tersebut, kepekatan baja dan PH air dapat dikawal sepenuhnya berdasarkan pertumbuhan semasa pokok melon. "Maknanya kita boleh campur dengan lebih tepat dari segi kepekatannya, dari segi nisbah, di masa yang sama dapat memastikan PH air berada pada tahap optimum sekaligus boleh meminimakan 'human error', selain itu dapat menjimatkan ruang serta tenaga kerja untuk menjamin produktiviti yang lebih baik," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Teknologi Digital Automation MMT di Rimbunan Kaseh, Rantau Abang. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu (Ekonomi Makro), Ahmad Ridzwan Abd. Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Wan Adnan Wan Derahman,  Pengurus Besar Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), Azhar Jusoh dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkipli Amin Mat Jusoh.  Menurutnya, dengan penggunaan teknologi, projek MMT terus mengorak langkah  pada masa hadapan memandangkan pengeluaran buah tersebut masih lagi tidak mencukupi.  "Tanah yang terbiar di Rimbunan Kaseh ini akan dimanfaatkan untuk tanaman Melon Manis Terengganu di dalam menjayakan Tahun Pertanian Terengganu," katanya. 
21 Apr 21
1044
Hadiah Buat Peniaga Di Bazar Ramadan
Hadiah Buat Peniaga Di Bazar Ramadan
KEMAMAN, 21 April - Jarang peniaga-peniaga di bazar ramadan diraikan namun, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Kemasik mengambil satu inisiatif untuk meraikan mereka dengan memberi apron berserta sapu tangan untuk kegunaan berniaga. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili bersama kakitangan PKM ADUN Kemasik siap menghulurkan hadiah tersebut buat peniaga seramai 120 orang di bazar Ramadan Kampung Baru Kertih dan sekitarnya. Tumpuan sudah semestinya di sini, kerana ia adalah bazar ramadan yang terbesar dalam DUN Kemasik. Jabatan-jabatan kerajaan juga membantu kami bagi memudahkan program ini berjalan dengan lancar.  Program ini turut dihadiri Yang Di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim bersama pegawai-pegawainya. Dalam pada itu, mereka juga mengedarkan risalah pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 dan membuat pemantauan. Tidak ketinggalan dalam program ini, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman (Unit Inspektorat dan Perundangan) juga hadir bagi menjalankan audit pematuhan SOP COVID-19 serta menyampaikan maklumat dan panduan untuk terus mematuhi arahan yang telah ditetapkan. “Kepada seluruh pengunjung yang mengunjungi bazar ramadan, tak kiralah di sini atau di mana sekali pun. Kerjasama anda amatlah diperlukan bagi keselamatan serta kebaikan kita bersama. “Setakat ini untuk ranking pematuhan telah melebihi 80% (A), diharapkan semua terus patuhi setiap SOP yang telah ditetapkan," Ir Saiful.
20 Apr 21
369
Gadis Terengganu Dinobat Pelajar Ketujuh Terbaik Dunia
Gadis Terengganu Dinobat Pelajar Ketujuh Terbaik Dunia
KUALA TERENGGANU, 20 April - Niat tidak mahu menyusahkan ibu dan ayah mendorong Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, dari Kampung Tengkawang, Hulu Terengganu untuk memperoleh markah tertinggi setiap kali menduduki peperiksaan. Terbaru Fatin Nabihah dari Kampung Tengkawang, Kuala Berang, di sini diumumkan sebagai pelajar terbaik di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi peperiksaan Strategic Business Reporting (SBR). Pelajar  INTEC Education College (INTEC) di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu antara 92,000 calon di seluruh dunia yang menduduki peperiksaan tersebut baru-baru ini. Fatin Nabihah berkata, ibunya seorang suri rumah manakala ayah tirinya hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap. "Keadaan ini mendorong saya supaya sedaya upaya mencapai markah tertinggi setiap kali menduduki peperiksaan penting."ujarnya pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman. Katanya lagi, apabila mendapat keputusan cemerlang sudah pasti akan ada pihak yang memberi biasiswa dan ia secara tidak langsung tidak akan membebankan keluarga untuk menanggung perbelanjaannya sewaktu belajar. “Ketika mengambil Diploma di  Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun, saya berjaya memperoleh biasiswa dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). “Manakala ketika menyambung ijazah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor, rezeki masih menyebelahi saya kerana dapat pengecualian bayaran  Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  berikutan memperoleh Ijazah Kelas Pertama,” katanya. Anak sulung daripada empat beradik itu dibesarkan oleh ibu Noriah Ahmad, 47, dan ayah tiri, Mustape Che W Abdullah, 68, sebaik kematian ayah kandung ketika berumur 11 tahun akibat sakit jantung. Bercerita tentang peperiksaan SBR secara dalam talian, Fatin Nabihah berkata, banyak cabaran yang terpaksa dilalui terutama berkaitan capaian internet. “Saya hanya menggunakan telefon bukannya computer riba atau komputer meja, keadaan itu kadang kala menganggu tumpuan. “Berkat doa dan dorongan ibu supaya terus berusaha mencapai kejayaan demi kejayaan, akhir saya diumumkan pelajar terbaik Malaysia bagi peperiksaan SBR," katanya yang ketika ini menerima tajaan Yayasan Sime Darby. Fatin Nabihah turut berkongsi petua untuk mudah faham, sentiasa tenang dan ingat apa yang dipelajari, antaranya  memulakan ulangkaji pelajaran seawal 4.00 pagi hingga 6.00 pagi. “Sebelum ulangkaji buat solat sunat n baca al-Quran, lepas itu amalkan sedekah waktu subuh dan seterusnya Solat Dhuha,”katanya.    
20 Apr 21
78453
Kerajaan Perkemas Strategi Galak Rakyat Daftar Vaksin
Kerajaan Perkemas Strategi Galak Rakyat Daftar Vaksin
KUALA TERENGGANU, 20 April – Kerajaan negeri terus memperhebat tiga strategi utama dalam meningkatkan kesedaran rakyat untuk mendaftar sebagai penerima vaksin sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, langkah itu diambil selepas  jumlah pendaftaran PICK dalam kalangan rakyat Terengganu berada di tahap yang masih rendah. Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan seramai 250,399 rakyat Terengganu atau 29.7 peratus sahaja telah berdaftar dalam MySejahtera berbanding dengan 36.1 peratus untuk seluruh Malaysia. “Empat daerah telah menunjukkan pencapaian melebihi 30 peratus iaitu Kemaman tertinggi dengan 44,473 orang (33.6 peratus) diikuti dengan Kuala Terengganu seramai 59,713 orang (32.5 peratus). “Marang seramai 26,017 orang (32.0 peratus) dan Kuala Nerus dengan 33,161 orang (30.8 peratus), daerah yang tidak disebut masing-masing mencatatkan kurang daripada 30 peratus,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran PICK Fasa dua Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Chendering semalam. Mengulas lanjut Dr Alias menjelaskan, antara insiaitif yang diperkasakan ialah program bersemuka atau kempen rumah ke rumah oleh Pejabat Daerah masing-masing melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). “Kita pergi ke rumah untuk terangkan kepentingan vaksinasi dan kemudian terus daftar melalui secara langsung melalui pengisian borang atau aplikasi MySejahtera. “Selain itu, kaunter bergerak juga diadakan di kawasan tumpuan seperti pasar raya, bazar Ramadan dan pasar harian untuk memudahkan mereka yang belum berdaftar melalui pegawai bertugas. “Manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, kita buka pendaftaran statik di 40 buah Pusat Khidmat Masyarakat seluruh negeri di mana mereka boleh datang bila-bila masa untuk daftar,” katanya lagi. Tambah beliau, imunisasi kelompok mampu diwujudkan pada penghujung tahun ini jika lebih ramai yang berdaftar di dalam MySejahtera.
20 Apr 21
485