lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Penduduk Rhu 10 Lega Bakal Terima Klinik Baharu
Penduduk Rhu 10 Lega Bakal Terima Klinik Baharu
Oleh : Faris Ameir Ibrahim SETIU, 27 April – Pembinaan klinik kesihatan baharu di Kampung Rhu 10 di sini membabitkan peruntukan RM26 juta nyata melegakan penduduk terutamanya yang menetap di kawasan pantai. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, projek tersebut dapat memanfaatkan sebahagian besar penduduk yang sebelum ini terpaksa menempuh perjalanan lebih 30 minit bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Permaisuri dan Batu Rakit. Katanya, alhamdulilah hasil usaha semua pihak projek itu telah diluluskan dalam pembentangan Sidang Bajet 2020 selepas dibangkitkan dalam ucapan perbahasan dan soalan lisan sebelum ini. “Pada 22 Oktober 2018, saya telah kemukakan dalam parlimen melalui pertanyaan lisan kepada menteri yang terlibat tentang pembinaan klinik ini. "Pada asalnya, pelan ini dicadangkan di dalam ‘Rolling Plan’ 1 (RP1) dan ‘Rolling Plan’ 2 (RP2) dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) tetapi tidak diluluskan dan dicadangkan disenarai dalam Rancangan RMK12.  "Alhamdullilah, akhirnya kelulusan diperawalkan dalam RP4 RMK11. Turut diajukan ketika itu, permohonan berkaitan bina baru Klinik Kesihatan Jabi yang uzur dan tidak lagi mampu menampung kepadatan penduduk sekitar," katanya kepada UPDI.  Katanya, Klinik Rhu Sepuluh ini merupakan klinik kesihatan jenis empat, ia akan dibina di atas tanah seluas lapan ekar dan dijangka siap pada Februari 2023. “Sekarang pembinaan klinik ini dalam proses pembersihan tapak oleh pihak pemaju," jelas beliau. Selain itu, pembinaan Klinik Kesihatan Batu Rakit juga telah diluluskan dalam RP4 RMK11 dengan kos RM23 juta dan sekarang dalam proses pembersihan tapak manakala bagi Klinik Kesihatan Batu Rakit pula, pembinaan akan dilakukan diatas tapak yang sedia ada. “Semua kuarters lama akan dirobohkan dan akan dibina di bahagian belakang dahulu, sebelum dirobohkan klinik sedia ada selepas dibina klinik baharu di bahagian belakang. Tapak klinik yang sedia ada pada masa kini akan dijadikan ruang untuk tempat letak kenderaan,” tambahnya. Menurut beliau lagi, dalam Sidang Belanjawan 2021 pada penghujung tahun 2020, beliau telah membangkitkan isu pembinaan Pejabat Kesihatan Daerah Setiu dan Klinik Kesihatan Permaisuri di samping turut menghantar surat permohonan rasmi kepada Menteri Kesihatan sewaktu melakukan kunjungan hormat di Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya. “Permohonan yang diusulkan ini telah dijawab oleh Timbalan Menteri Kesihatan, dan kesemua cadangan ini akan disenaraikan dalam RMK12," ujarnya.  
27 Apr 21
2239
Sumbangan Tablet Tepat Pada Masanya
Sumbangan Tablet Tepat Pada Masanya
SETIU, 27 April - Rata-rata penerima tablet di bawah inisiatif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 2021 (BERKAT) gembira kerana sumbangan itu hadir tepat pada waktunya. Ia susulan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui menterinya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) akan kembali dilaksanakan. Sesi PdPR selama dua minggu selepas sesi perayaan Aidilfitri adalah bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa musim perayaan. Caption Menurut pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Kampung Bukit, Siti Nur Balqis Mazlan, tablet sumbangan kerajaan negeri itu akan lebih memudahkan beliau untuk fokus belajar secara dalam talian. "Sebelum ni saya terpaksa meminjam telefon dengan emak saudara disebabkan tidak mampu beli yang lain. Terima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan ini," katanya. Seramai 50 orang pelajar yang layak menerima tablet dalam program penyerahan yang disampaikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof pagi tadi di Dewan Komuniti Sejahtera Sri Langkap. Azmi Maarof berpesan agar ibu-bapa atau penjaga sentiasa memantau penggunaan agar tidak disalahgunakan "Semoga anak-anak pelajar dapat memanfaatkan sumbangan ini sebaiknya, gunakan dengan betul bagi menuntut ilmu. Azmi Maarof turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Jabatan Penyelidikan Komuniti TSIS, Mohd Alghazali Abu Bakar dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Suridah Sufian atas segala kerjasama yang diberikan.
27 Apr 21
838
Terengganu Manfaat Kepakaran Ulama Bangunkan Negeri
Terengganu Manfaat Kepakaran Ulama Bangunkan Negeri
KUALA NERUS, 27 April - Kerajaan Terengganu terus komited untuk terus memanfaatkan ilmu dan kepakaran golongan ulama dalam membangunkan negeri mengikut landasan yang dihasratkan demi kepentingan rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya sangat gembira apabila banyak pandangan dilontarkan mengenai pentadbiran islam semasa pertemuan secara bersemuka bersama para asatizah terbabit. "Daripada awal lagi selaku pemimpin kerajaan kita mengambil prinsip sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah iaitu agama itu nasihat, jadi kita berlapang dada dalam setiap teguran demi penambahbaikan untuk masyarakat. "Sebagaimana pertemuan bersama Syeikh Syed Suhaimi Syed Hassan Abdul Hadi, pada hari ini, ia memberi satu semangat kepada kami untuk berwaspada memikul amanah yang sangat berat ini, bukan sahaja mengingatkan tentang kerja dunia tetapi juga mengenai akhirat. "Kesimpulan terbaik pada hari ini ialah kita bersedia untuk bersama-sama dengan tuan guru pondok dalam usaha membina negeri ini, agar mendapat berkat daripada Allah SWT," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas menziarahi Syeikh Syed Suhaimi di Madrasah Darul Muhajirin, Bukit Jong, di sini, pada hari ini. Turut hadir, Timbalannya, Ridzuan Hasim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah, Pengarah Akademik Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood dan Timbalan Pengarah (Operasi) Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Sazali Mohd Noor. Mohd Nor berkata pertemuan dengan guru pondok berkenaan sangat bermakna apabila diberi pandangan serta nasihat untuk dilaksanakan pihak kerajaan. "Saya juga telah menceritakan beberapa perkara terakhir yang akan kita laksanakan dan beliau memberi respon yang sangat positif. "Insya-Allah melalui DUAT dan i-MiTS juga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) agar terjalin hubungan yang lebih baik agar mendapat kebaikan yang berterusan. Mewakili kerajaan negeri, beliau mengajak seluruh rakyat mendoakan kesembuhan Tuan Guru Syeikh Suhami ketika ini sedang uzur agar berupaya untuk terus menyampaikan ilmu bagi melahirkan lebih ramai ulama di negeri ini.
27 Apr 21
471
Projek Terbengkalai, Kerajaan Jumpa Pemaju Rabu Ini
Projek Terbengkalai, Kerajaan Jumpa Pemaju Rabu Ini
MARANG, 25 April – Kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan projek perumahan bermasalah di Kampung Gong Cempedak di sini melalui beberapa kaedah termasuk dengan mengadakan pertemuan bersama pemaju swasta terlibat, Grand East Coast Construction Sdn. Bhd pada rabu ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, tindakan lanjut itu diambil selepas projek seluas 48.671 ekar itu masih tertangguh meskipun aduan kepada pihak berwajib telah dibuat. Katanya, pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 adalah 100 peratus di bawah pengurusan sendiri dan tidak melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri serta campur tangan kerajaan negeri. “Mengikut prosedur ditetapkan, antara penyelesaian awal pada Jun 2020 adalah melalui penghantaran aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT). “Walau bagaimanapun sehingga kini kerajaan negeri  masih menunggu jawapan, oleh itu, satu lagi inisiatif proaktif disusun iaitu dengan perbincangan bersama pihak pemaju dan Pejabat Tanah Marang pada minggu ini bagi menyelesaikan isu tersebut. “Sebenarnya projek ini sudah terbengkalai sejak 2013, namun tiada tindakan diambil oleh kerajaan persekutuan, meskipun pada tahun 2018 Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah Senator Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah sendiri, sepatutnya pada waktu itu beliau boleh menyelesaikan isu ini dan membantu pembeli, namun itu tidak berlaku sehingga menyebabkan pembeli terus sengsara,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Sementara itu, Ketua Penolong SUK (Perumahan), Nor Sophia Azura Mohd Husin berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Pejabat Daerah Dan Tanah Marang untuk menghantar aduan kelewatan projek ke peringkat pusat. “Kerajaan negeri bertindak sebagai pemudah cara kerana langkah selanjutnya akan diambil oleh JPN,” katanya. Dalam pada itu, Pegawai Khas Menteri Besar DUN Rhu Rendang, Wahad Osman memaklumkan, pihaknya telah mengambil langkah sejak 2019 melalui perbincangan bersama Pegawai Bahagian SUK Perumahan mengenai aduan berkenaan. “Hasil siasatan, pengisian projek tersebut bukan di bawah Pengkalan Data SUK Perumahan Negeri, tetapi pembelian terus pembeli dengan pemaju. “Projek bermula tahun 2006 dengan tanah kerajaan (MMKN) bersetuju menyerahkan kepada pemaju (di bawah konsep penswastaan) telah diserah secara pajakan selama 99 tahun membabitkan 497 buah rumah dan dipecahkan kepada lima zon. “Zon 1 (53 unit) dan 2 (112 unit) telah siap manakala zon 3 melibatkan 120 buah unit yang sepatutnya siap pada tahun 2018 masih dalam pembinaan dan hanya mencecah 70 peratus sahaja,” jelasnya. Tambahnya, zon 4 (104 unit) dan 5 (108 unit) masih belum mendapat pengesahan status tanah oleh Pejabat Tanah Marang.
25 Apr 21
1225
Penguatkuasaan Serius Ke Atas Pemborong
Penguatkuasaan Serius Ke Atas Pemborong
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu supaya tidak hanya memastikan peruncit atau peniaga sahaja mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sebaliknya pemantauan dan penguatkuasaan lebih serius juga harus dilakukan ke atas pemborong. Beliau berkata, berdasarkan tinjauan dibuat pihaknya mendapati kebanyakan peruncit masih mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan walaupun terpaksa menerima margin keuntungan yang sangat kecil kerana tidak boleh menaikkan harga runcit sesuka hati. “Cuma ada beberapa isu yang diberitahu oleh peniaga antaranya pemborong kurang mematuhi harga yang dicadangkan pihak kerajaan. “Saya mengharapkan pihak penguatkuasa semak semula keadaan yang berlaku di pasar-pasar borong yang telah dikenalpasti kerana kita tidak mahu peruncit tertekan dengan kawalan harga ini,” ujarnya kepada pemberita selepas meninjau jualan barangan basah di Pasar Besar Kedai Payang, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Mohd Nurkhuzaini berkata, pihaknya mengharapkan KPDNHEP Terengganu akan mengambil tindakan segera terhadap aduan peniaga berkaitan isu pemborong ini dan dapat diselesaikan dalam masa terdekat. “Bila sembang dengan peniaga tadi, kita dapati mereka terpaksa menerima keuntungan yang sedikit kerana patuh akan saranan kerajaan ekoran berlaku kegagalan pematuhan di peringkat pemborong. “Sebagai contoh, harga maksimum ayam standard yang ditetapkan kerajaan untuk pemborong ialah RM7.10 tapi ditolak kepada peniaga sehingga RM7.50 ada yang dapat RM7.80 sedangkan harga saranan runcit RM7.90,” ujarnya. Katanya, bagi memastikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 dipatuhi dan peniaga tidak ditindas, perkara ini perlu diselesaikan di peringkat pemborong terlebih dahulu.  
25 Apr 21
241
Penyu 'Moreh' Daging Harimau Menangis
Penyu 'Moreh' Daging Harimau Menangis
KUALA TERENGGANU, 25 April - Terengganu Football Club (Terengganu FC) meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila menang tipis 1-0 ke atas pendahulu Liga Super 2021 itu, malam tadi. Jaringan tunggal pemain muda, Hakimi Abdullah pada minit ke-57 memastikan Sang Penyu membawa pulang tiga mata sekali gus terus mengekori rapat Harimau Selatan dengan perbezaan dua mata. Beraksi di Iskandar Puteri, malang berganda buat JDT apabila pertahanan kentalnya, Mauricio Dos Santos turut cedera dipercayai terseliuh ketika cuba menghalang pergerakan Faisal Halim. JDT cuba menyamakan kedudukan dengan memperkuatkan serangan apabila Benjamin Mora memasukkan Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah dan Nazmi Faiz. Namun, anak buah Nafuzi Zain kental bertahan sehingga wisel penamat ditiupkan. Kemenangan tersebut menoktahkan 'maraton' tanpa kalah JDT yang kali terakhir tewas di tempat sendiri dalam saingan Liga Super kepada PJ City pada Julai 2019. Sumber foto: Media Terengganu Football Club    
24 Apr 21
1154
Terengganu FC II, Selangor FC 2 Kongsi Mata
Terengganu FC II, Selangor FC 2 Kongsi Mata
KUALA TERENGGANU, 24 April- Terengganu Football Club (Terengganu FC) II sekadar mengutip satu mata selepas seri 2-2 ketika menentang Selangor FC 2 dalam aksi kesembilan Liga Premier 2021, sebentar tadi. Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), tuan rumah bermula garang apabila mendahului lawan menerusi sepakan percuma Jordan Mintah pada minit ke-23. Pasukan pelawat cuba menyamakan kedudukan namun keputusan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, The Turtle semakin menjarakkan kedudukan apabila Mintah sekali lagi muncul penjaring dengan rembatan deras tepat ke sisi kiri gol lawan. Bagaimanapun, tuan rumah nyata mensia-siakan kelebihan dua gol apabila lawan kembali merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import tunggal Selangor FC 2, George Tetteh pada minit ke 63. Pelawat turut mengejutkan The Turtle dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-71 apabila Mohamad Shafawi menampan rembatan Saiful Iskandar Adha ke gawang sendiri. Keputusan kekal 2-2 sehingga tamat perlawanan.       
24 Apr 21
913
Bergejala Tetapi Masih Merentas Negeri
Bergejala Tetapi Masih Merentas Negeri
KUALA TERENGGANU, 24 April - Aktiviti rentas negeri melibatkan mereka yang bergejala tanpa kuarantin kendiri adalah pencetus utama berlaku penularan COVID-19 di dalam negeri. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, isu rentas negeri adalah sesuatu yang sensitif untuk diperkatakan kerana antara faktor penyebaran COVID-19 adalah merentas sempadan tanpa rasa tanggungjawab. "Yang jadi isu, seseorang yang bergejala balik rentas negeri tetapi tetap masuk kerja, masih ambil masa dua hari untuk pergi klinik (melakukan 'swab test') menyebabkan semua rakan sekerja disaring dan dikuarantin. "Contoh lain, yang bergejala masih lagi bersama dalam majlis berbuka puasa bersama 25 ahli keluarga, akhirnya semua terlibat terpaksa disaring dan dikuarantin, keluarga di sana sudah ada positif dan di sini belum tahu lagi. Kita berharap sangat tiada kluster baru akibat ini. "Kita perlu ingat tiga atau empat hari sebelum dan selepas seseorang itu bergejala, kadar jangkitan sangat tinggi," katanya di laman facebook rasminya, hari ini. Tambahnya, beliau menasihati agar semua masyarakat tidak mengambil mudah dengan situasi COVID-19 yang kini semakin membimbangkan. Sementara itu, beliau turut menyarankan supaya mengekalkan adab sopan berbudi bahasa serta empati kepada warga petugas kesihatan barisan hadapan. "Mereka bekerja tanpa rehat cukup sejak setahun yang lalu. Bulan puasa ini ke hulu hilir buat saringan, kesan kontak rapat, angkut pesakit ke hospital. "Orang tanpa segan silu maki, kutuk dan kecam. Kita sudah jauh terpesong daripada budaya adab sopan berbudi bahasa. Petugas kesihatan yang terkena tempias sedangkan mereka hanya menjalankan tugas," jelasnya. Beliau juga mengibaratkan cabaran pandemik sebagai berdepan dengan api dan bara yang perlu dipadam. "Jika api sahaja dipadam dan bara dibiarkan, bara ini lah nanti akan membakar semula," nasihatnya. Sehingga hari ini, Terengganu merekodkan 50 kes positif baharu dengan jumlah kes keseluruhan dikesan berjumlah 4,002 kes, peningkatan mendadak daripada 11 kes pada semalam.
24 Apr 21
656
600 Nelayan Terengganu Terima Lesen
600 Nelayan Terengganu Terima Lesen
BESUT, 22 April - Sebanyak 600 Lesen Sampan Khas diluluskan ibu pejabat Jabatan Perikanan Malaysia buat nelayan-nelayan negeri Terengganu.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim berkata, Terengganu menjadi negeri pertama yang menerima kelulusan lesen dengan jumlah sebanyak itu. "Tidak keterlaluan juga jika saya katakan, selain menjadi negeri pertama mengangkat permohonan lesen bagi rakyat, Terengganu juga menjadi perintis ke arah penyelesaian isu lesen nelayan sampan bagi seluruh negara yang berjumlah puluhan ribu. "Ini kerana, ekoran permohonan ini pihak kementerian dan Jabatan Perikanan Malaysia telah membuka kembali permohonan dari seluruh negara sejak ia dibekukan pada tahun 1982,' katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan lesen kepada 85 nelayan di Beting Lintang, semalam. Dalam program tersebut, sebanyak 53 nelayan sampan Besut dan 31 nelayan dari Setiu menerima lesen bagi sesi agihan pertama oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT). Jelas Dr. Azman, daripada 800 permohonan yang diangkat, sebanyak 600 lesen diluluskan bagi fasa pertama dengan Setiu serta Besut menjadi daerah pertama menerimanya. "Untuk baki 200 permohonan lagi, saya telah mohon dengan JPNT untuk kita buat rayuan bagi fasa kedua.  "Mungkin ada beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan dan kita yakin akan dapat diselesaikan," katanya. Tambahnya lagi, dengan adanya lesen maka dapatlah nelayan menikmati beberapa kemudahan dari kerajaan dan mereka dapat turun dengan tenang ke laut serta tidak dinafikan darpada dapat elaun sara hidup nelayan, bantuan bencana dan sebagainya. Beliau berharap, dengan usaha tersebut sektor perikanan akan berkembang dan hasil tangkapan yang didaratkan akan dapat direkodkan. "Sebelum ini, memang ada ikan didaratkan nelayan sampan tetapi banyak yang tidak direkodkan kerana mereka tidak mempunyai lesen.  "Tujuan asal direkodkan supaya mereka dapat subsidi minyak. Tetapi, apabila mereka tiada lesen maka mereka tidak layak dapat subsidi minyak," katanya. Tegasnya, kejayaan memperoleh lesen tersebut merupakan kejayaan bersama para nelayan dan agensi. "Kita mahu industri perikanan kita melonjak lebih jauh selepas ini. "Kita jauh ditinggalkan oleh Perak dari segi jumlah pendaratan hasil dan tidak seiring dengan panjang pantai dan keluasan zon tangkapan kita kerana beberapa isu berbangkit sebelum ini. "Satu daripada isu besar yang dihadapi nelayan iaitu perlesenan berjaya diselesaikan, sekurang-kurangnya kita sudah mengorak langkah," katanya.
24 Apr 21
1485
Primula Beach Hotel Ukir Senyuman Anak Yatim, Asnaf
Primula Beach Hotel Ukir Senyuman Anak Yatim, Asnaf
KUALA TERENGGANU, 23 April - "Ini adalah kali pertama saya berbuka puasa di hotel tetapi bukan bersama keluarga sebaliknya bersama rakan senasib," kata  Arash Armawi, 16, salah seorang penghuni Asrama Darul Falah yang diraikan Primula Beach Hotel dalam majlis berbuka puasa. Dia yang tinggal bersama tiga lagi adik-beradiknya di asrama berkenaan sejak tahun lepas berkata, peluang untuk berbuka puasa di hotel sangat dinantikan kerana dapat merasai makanan yang dianggap mewah bagi mereka sekeluarga. "Saya tidak pernah merasainya sebelum ini, kerana keluarga kami orang susah dan tidak mampu berbuat demikian,” katanya yang berasal dari Gong Bayor, Besut ketika ditemui selepas majlis Iftar di Dewan Gamelan Ballroom, Primula Beach Hotel(PBH), hari ini. Dalam majlis tersebut, seramai 60 orang anak-anak yatim dan kanak-kanak asnaf dari Asrama Darul Falah, SK Pagar Besi, SK Kampung Tengah dan Pusat Tahfiz Tengku Ampuan Bariah turut memeriahkan majlis tersebut. Hadir sama, Pengerusi Primula Beach Hotel, Dato’ Mustafa Ali dan ahli Lembaga Pengarah PBH iaitu  Burhanuddin Hilmi Harun Turut diraikan ialah kakitangan Primula Beach Hotel yang berstatus ibu tunggal seramai 11 orang.  Bagi Siti Nur Intan Zulieya Ahmad Zul Hatta,15, bulan Ramadan adalah bulan yang paling ditunggu sejak tinggal di Darul Falah, dia tidak pernah terlepas daripada menyertai majlis berbuka puasa di hotel. "Kalau saya tidak tinggal di Darul Falah, sudah tentu tidak merasai suasana ini, kerana ibu tidak mampu membawa saya dan adik beradik berbuka di tempat mahal. "Kadang-kadang saja dapat makan dekat hotel, itu pun masa bulan puasa... tapi memang seronok sebab lauk banyak dan sedap,"katanya lagi. Dalam majlis yang sama, Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata,  program khidmat masyarakat itu diadakan untuk mengeratkan hubungan di antara staf hotel dan masyarakat luar. "Saya berbesar hati dapat berkongsi kegembiraan bersama anak-anak ini dan berharap majlis sebegini sedikit sebanyak dapat memberi senyuman kepada mereka di bulan mulia ini. "Apa yang kami harapkan, mereka rasa dihargai dan tidak rasa terpinggir, kerana ada ramai insan lain di luar sana yang mengambil berat serta menyayangi mereka,” katanya. Sementara itu, Penyelia Asrama Darul Falah, Bukit Payung, Nurul Fatihah Razali, berterima kasih kepada Hotel Primula kerana menjemput mereka dan dirai di majlis berbuka puasa. "Saya bersyukur kerana banyak menerima sumbangan aripada pelbagai pihak dan majlis sebegini sudah tentu dapat memberi sinar kegembiraan kepada anak-anak ini terutama menjelang Syawal yang bakal tiba.  "Majlis ini sekurang-kurangnya dapat memberi peluang anak-anak ini berasa dikasihi, sekali gus membuktikan mereka tidak disisihkan," katanya.
22 Apr 21
1023