lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

#Aid4Palestine : Terengganu Berjaya Kutip RM1.2 Juta Dalam Tiga Hari
#Aid4Palestine : Terengganu Berjaya Kutip RM1.2 Juta Dalam Tiga Hari
KUALA TERENGGANU, 17 Mei - Kutipan Tabung #Aid4Palestine di Terengganu sudah mencecah RM1.2 juta walaupun baru tiga hari dilancarkan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sumbangan pelbagai pihak termasuk pemimpin, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat korporat dan orang perseorangan berjaya melepasi sasaran awal. "Alhamdulillah sehingga jam 6 petang ini (Isnin) kutipan tabung untuk membantu saudara Islam kita di Palestin telah mencapai dan melebihi sasaran dengan kutipan sebanyak RM1.2 juta.  "Kita masih membuka ruang kepada mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan bagi fasa pertama kutipan yang akan dikumpul sehingga 30 Mei depan," katanya kepada media hari ini. Menurut Mohd Nor, beliau teruja apabila usaha itu mendapat sambutan dan sokongan memberangsangkan daripada pelbagai pihak.  "Sambutan oleh masyarakat negeri amat membanggakan. Syabas kerana rakyat Terengganu amat prihatin dan menunjukkan solidariti tinggi terhadap musibah yang menimpa rakyat Palestin," katanya.  Pada 14 Mei lalu, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Exco Kerajaan Negeri telah mengumumkan untuk menyumbang sebulan gaji ke Tabung #Aid4Palestine. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS pula menyumbang RM3,000 seorang sebagai komitmen membantu umat Islam di Palestin yang diserang tentera Zionis.
17 May 21
358
Nafi Kuat Kuasa Had masa Keluar Rumah
Nafi Kuat Kuasa Had masa Keluar Rumah
KUALA TERENGGANU, 17 Mei – Polis Marang menafikan pihaknya telah mengeluarkan arahan perintah berkurung bermula jam 10 malam dan akan menangkap sesiapa yang melanggar arahan berkenaan. Ketuanya, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya mengesan berita palsu berkenaan yang ditularkan melalui media sosial sejak Ahad lalu. "Kenyataan yang dikeluarkan itu adalah tidak benar.  "Justeru, orang ramai dinasihatkan bertenang dan tidak mudah mempercayai serta terpengaruh dengan berita yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan. Tambah beliau lagi, penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dengan niat membuat penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun. PDRM bagaimanapun meminta orang ramai patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan ketika ini bagi mengelakkan penularan wabak pandemik COVID-19 dalam komuniti. Pada Ahad, tular maklumat palsu mengatakan PDRM Marang akan melaksanakan pematuhan PKP dan menguatkuasakan had masa PKP bermula malam Ahad. Info tersebut turut mengatakan mana-mana individu atau kumpulan yang didapati berada di luar rumah atau premis kediaman melebihi jam 10 malam tanpa alasan munasabah akan dikenakan tindakan dan kompaun mengikut Akta 134. Berdasarkan maklumat tersebut, nilai kompaun yang akan dikenakan ialah sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kesalahan.  
17 May 21
1035
Malaysia Iktiraf Perjuangan Palestin Sejak 1957
Malaysia Iktiraf Perjuangan Palestin Sejak 1957
KUALA TERENGGANU, 16 Mei – Malaysia telah berperanan lama dalam mengiktiraf dan menyokong perjuangan Palestin iaitu sejak awal penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia pernah memainkan peranan yang sangat berani semasa pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. “Beliau tegar menjemput Syeikh Mohammed Amin al-Hussaini, Mufti Palestin dan pemimpin gerakan Palestin yang diharamkan oleh negara-negara barat daripada mendapat visa untuk melawat seluruh dunia kerana tidak mendukung Berikat yang mempunyai Zionis dalamnya ketika Perang Dunia Kedua. “Tindakan Syeikh Amin al-Hussaini yang tidak mendukung Berikat menyebabkan beliau sudah disekat pergerakannya. “Namun, ketika Musabaqah al-Quran yang pertama pada tahun 1960, saya masih ingat lagi walaupun masih remaja, Almarhum Syeikh Amin al-Hussaini dijemput oleh Kerajaan Malaysia untuk datang ke Malaysia dan berucap dalam Musabaqah al-Quran yang pertama itu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya sempena Majlis Pelancaran Kempen #Aid4Palestine, malam semalam. Sementara itu, beliau yang juga Presiden PAS tidak menolak kemungkinan besar berlakunya gencatan senjata di kawasan bergolak itu namun berpendapat ia bukan bertujuan untuk berdamai. “Senario ini kemungkinan digerakkan oleh Amerika dan kuasa-kuasa besar dunia bagi mempengaruhi negara-negara Islam dan Arab supaya menerima gencatan senjata. “Tujuannya bukan untuk berdamai, namun untuk menyelamatkan Israel yang ganas. Usaha itu sedang dijalankan sekarang. “Kita doakan supaya Allah SWT memberikan kekuatan iman, ikhlas, dan istiqamah kepada saudara-saudara kita di Palestin yang sedang mengorbankan diri, jiwa raga, keluarga, anak-anak, harta, dan segala nikmat, termasuklah bekalan air yang terputus. Inilah pengorbanan,” katanya lagi.
16 May 21
260
Taman Awam Pantai Batu Burok Ditutup Hingga 7 Jun
Taman Awam Pantai Batu Burok Ditutup Hingga 7 Jun
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Taman awam pantai Batu Burok, di sini, ditutup buat sementara waktu berkuatkuasa semalam sehingga 7 Jun depan bertepatan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lukema Meri Salleh berkata, penutupan taman awam itu dibuat kerana sikap pengunjung yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk berkumpul. "Sikap masyarakat yang berkumpul tanpa mematuhi SOP termasuk membawa anak kecil berkumpul menyebabkan tindakan penutupan taman awam pantai Batu Burok terpaksa dilakukan. "Tindakan penutupan taman awam itu antara kaedah bagi mengelakkan berlaku penularan pandemik Covid-19 kalangan komuniti," katanya. Justeru itu katanya, pihak MBKT telahpun memasang pagar menghalang kemasukkan pengunjung ke kawasan rekreasi taman awam Pantai Batu Burok berkenaan. Sementara itu, beberapa taman rekreasi termasuk di Bukit Besar juga akan ditutup sementara sepanjang tempoh PKP sehingga 7 Jun depan.
16 May 21
2312
1,627 Kompaun Dikeluarkan Sehingga Kini, Masih Ramai Keliru SOP
1,627 Kompaun Dikeluarkan Sehingga Kini, Masih Ramai Keliru SOP
KUALA TERENGGANU, 15 Mei – Sejumlah 1,672 kompaun telah dikeluarkan daripada 8 April sehingga kini atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, kes terbaharu melibatkan 43 individu yang bersiar-siar sekeliling tempat awam di dataran drawbridge Kuala Terengganu. “Sebanyak 43 kesalahan adalah melibatkan individu tidak mematuhi SOP penjarakan fizikal di kawasan sepanjang Pantai Seberang Takir kemudian kawasan sekeliling Jambatan Angkat sehingga ke Pantai Batu Buruk. “Jumlah keseluruhan kompaun adalah RM172,000 telah dikeluarkan kepada 43 individu ini mengikut Seksyen 17 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. Sementara itu, sepanjang tempoh Hari Raya pada jumaat dan hari ini, 47 individu dikompaun dengan tiga kesalahan tiada surat rentas negeri, rentas daerah dan dua kesalahan langgar SOP. Menurutnya juga sepanjang Khamis dan Jumaat minggu ini, sembilan individu dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memakai topeng pelitup muka, tidak mendaftar nama dan mengimbas suhu dengan empat kesalahan tiada surat rentas negeri. Tambah Roslee, beliau turut menasihati masyarakat supaya mematuhi peraturan SOP semasa PKP pada musim Aidilfitri bagi mengelakkan penularan COVID-19. “Masih ramai keliru mengenai aktiviti ziarah sepanjang musim perayaan, saya ingin tegaskan sekali lagi, walaupun rumah bersebelahan dengan jiran atau keluarga masih tidak boleh ziarah. “Kita sudah PKP setahun lebih dan masih lagi segelintir yang tidak faham, terdapat garis panduan menentukan aktiviti apa dibenarkan dan dilarang sepanjang tempoh PKP. “Kita terpaksa bertegas jika ada yang masih tidak mengambil cakna tentang peraturan SOP, diharapkan agar masyarakat terus mematuhinya demi menjaga kita semua,” jelasnya.
15 May 21
1454
Hanya Tinggal Hulu Terenggganu, Zon Hijau Di Semenanjung
Hanya Tinggal Hulu Terenggganu, Zon Hijau Di Semenanjung
KUALA TERENGGANU, 15 Mei -Daerah Hulu Terengganu, menjadi satu-satunya daerah di Semenanjung Malaysia yang masih 'selamat' dari jangkitan pandemik COVID-19 dalam kalangan penduduknya apabila berada dalam kategori Zon Hijau. Berdasarkan infografik yang dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Facebook rasminya, beberapa negeri dilihat berstatus merah sepenuhnya iaitu Selangor dengan 17,738 kes diikuti Kuala Lumpur (5, 327), Pulau Pinang (3,422) dan Melaka (100,9) serta Putrajaya (136). Sementara itu, di Sarawak, kawasan berstatus hijau adalah daerah Kabong dan Telang Usan manakala Sabah pula adalah di daerah Tambunan, Kudat, Nabawan, Pilas, Tenom, Kuala Penyu, Tongod dan Telupid. Menurut CPRC, status merah adalah daerah yang mempunyai bilangan 41 kes ke atas manakala jingga (21-40 kes), kuning (1-20 kes) dan hijau (tiada kes). Dalam masa yang sama KKM juga berkata, Varian Afrika Selatan B.1.351 kini telah menular dalam komuniti.  Justeru itu, orang ramai diminta  berhati-hati dan duduk di rumah bagi mengelakkan penularannya.
15 May 21
826
Semua Dikompaun, Tiada 'Double Standard'
Semua Dikompaun, Tiada 'Double Standard'
BESUT, 14 Mei - “Semua orang tanpa terkecuali tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan saya akan menjelaskan kompaun sebagaimana orang lain,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim. Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi seperti yang dipetik dalam Utusan Malaysia memaklumkan, kompaun tersebut dibayar di Pejabat Kesihatan Besut, Ahad ini. Beliau hari ini dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berhubung larangan aktiviti ziarah pada Aidilfitri. Terdahulu, Azman dalam hantaran terbaharu di laman Facebook turut memaklumkan selesai memberikan keterangan berhubung isu berkenaan dan menerima kompaun atas kesalahan dilakukan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, turut dikenakan kompaun RM2,000 ialah tetamu yang juga jirannya, Zakaria Mahmud. “Kedua-dua mereka menerima kompaun berkenaan selepas hadir memberikan keterangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut kira-kira pukul 12 tengah hari ini,” katanya. Sejak semalam, tular dua gambar yang memaparkan Zakaria berkunjung ke kediaman Azman di Besut selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri. Bagaimanapun, kedua-dua gambar yang dimuat naik Zakaria di laman Facebook miliknya itu didapati sudah dipadam.
14 May 21
425
COVID-19: 41 Pelajar SM Agama Setiu Positif
COVID-19: 41 Pelajar SM Agama Setiu Positif
KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Seramai 41 pelajar Sekolah Menengah (SM) Agama Setiu di Setiu disahkan positif COVID-19 hasil keputusan sampel kedua, setelah mereka dikuarantin 10 hari di asrama sekolah.  Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sehingga semalam hampir 50 peratus iaitu 99 orang dari 208 pelajar perempuan di asrama SM Agama Setiu telah dijangkiti virus tersebut. Katanya, indek kes merupakan seorang guru perempuan yang merupakan kontak rapat kepada kes Kluster Tok Has yang didaftarkan pada 3 Mei lalu. “Bila dikuarantin lama di asrama terutama pada hari raya, hanya Allah jer tahu hati dan perasaan pelajar termasuk ibu bapa mereka.Mau meraung nya budak budak ini. Bukan sahaja pelajar yang 'menderita', pihak pengurusan sekolah malah ibu bapa akan 'menderita' sama. "Saya sentiasa cakap bahawa Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di asrama sangat sukar walaupun mereka mungkin tinggal tiga atau empat orang sebilik. Mereka bergaul rapat dan berkongsi segala galanya. “ Sebab itu, virus Covid-19 mesti dihalang masuk ke sekolah bermula dari pintu masuk lagi terutama di sekolah-sekolah berasrama,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook hari ini. Justeru itu, beliau memohon kerjasama semua pihak agar sentiasa memastikan kawalan pencegahan yang ketat dan maksimum supaya kluster sama tidak berulang di masa depan. Dalam perkembangan sama, satu lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan di Besut semalam dan kematian terbaru ini menjadikan jumlah kematian  di Besut seramai 11 orang dengan 525 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam tempoh dua minggu Mei. Kes kematian terbaru membabitkan wanita berusia 63 tahun dari Kampung Gertak 100 yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan angin ahmar.    
14 May 21
2500
MB, Exco Terengganu Sumbang Sebulan Gaji Untuk Palestin
MB, Exco Terengganu Sumbang Sebulan Gaji Untuk Palestin
KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan Terengganu bersetuju memotong sebulan gaji untuk disalurkan ke Tabung #Aid4Palestine. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, usaha itu turut mendapat sokongan wakil rakyat penyokong kerajaan (backbenchers) apabila mereka menyumbang sebanyak RM3,000 seorang. "Manakala syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut memberi dana dengan bantuan terkumpul setakat ini adalah sebanyak RM100,000. "Ini komitmen serta solidariti kerajaan negeri dalam membantu saudara kita di bumi Palestin yang sememangnya terkesan dengan kekejaman zionis Israel," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Mohd Nor. Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah sedang giat menggerakkan kempen bagi meningkatkan lagi kutipan dana untuk Palestin. "Ini dilakukan mengikut NGO yang ada di Terengganu ,supaya ia memudahkan seluruh rakyat untuk sama-sama menyumbang. "Di kesempatan ini juga saya menyeru kepada pihak-pihak seperti syarikat swasta, NGO dan rakyat untuk menyumbang demi kebaikan penduduk Palestin," tambah beliau. Pada 12 Mei lalu, Kerajaan Malaysia menubuhkan sekretariat #Aid4Palestine bagi menyelaras bantuan kewangan untuk Palestin dan menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta. Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, perkembangan terkini yang berlaku di Palestin dengan serangan berterusan oleh regim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah suatu tindakan zalim dan wajib dikecam.
14 May 21
4211
Kempen #Aid4Palestine Target Bantuan RM1 Juta Untuk Palestin
Kempen #Aid4Palestine Target Bantuan RM1 Juta Untuk Palestin
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Kerajaan Malaysia menubuhkan sekretariat #Aid4Palestine bagi menyelaras bantuan kewangan untuk Palestin melalui kaedah ‘crowdfunding’ dan menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta. Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, perkembangan terkini yang berlaku di Palestin dengan serangan berterusan oleh regim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah suatu tindakan zalim dan wajib dikecam. "Justeru itu, kami telah mengadakan perbincangan khas pada petang 30 Ramadhan, melibatkan beberapa tokoh masyarakat dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), untuk mengambil tindakan proaktif dan segera bagi membantu perjuangan Palestin. "Kami dengan penubuhan 'Sekretariat #Aid4Palestine' yang akan dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan kerjasama lebih 40 buah NGO yang akan bersama menggerakkan misi ini. "Sekretariat ini turut akan berfungsi sebagai koordinator jaringan NGO dan masyarakat sivil bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin," katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam. Menurut beliau yang juga Presiden PAS, hasil kutipan fasa pertama berjumlah RM350 ribu akan disalurkan pada 10 Syawal. "Hasil kutipan terkumpul melalui NGO PAS Relief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia. "Manakala kutipan fasa kedua minima RM650 ribu akan dibuka sehingga 30 Syawal. "Mudah-mudahan segala usaha yang dilakukan ini menjadi ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah sebagai tanda keimanan dan kasih sayang umat Islam kepada Palestin. "Intifadhah di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam seluruhnya melangkaui batas sempadan negara dan perbezaan mazhab, demi membela keadilan dan hak rakyat Palestin," jelasnya lagi. Tambah Abdul Hadi, infak dan sumbangan setiap umat Islam bagi membantu perjuangan rakyat Palestin perlu diteruskan, sebagai tanda pengorbanan dan kasih kepada Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang dimuliakan oleh Allah.  
13 May 21
894