Artikel "Utama" Terkini
Segera Daftar Vaksin COVID-19 - Titah Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 13 Mei – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh masyarakat negeri ini untuk mendaftarkan diri dalam program vaksinasi Covid-19.
Titah Baginda, pengambilan vaksin adalah mustahak kerana ia sebagai langkah keselamatan untuk keluarga dan masyarakat di negara ini supaya dilindungi daripada virus tersebut.
"Beta dan Sultanah mengharapkan semoga ia menjadi titik permulaan berakhirnya wabak penyakit ini dan kehidupan akan kembali seperti sedia kala," titah baginda dalam perutusan khas sempena sambutan Aidilfitri.
Baginda turut menyeru agar seluruh rakyat memberi kepercayaan penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani penularan Covid-19 menerusi penggunaan vaksin yang menjadi satu daripada ikhtiar melalui kaedah sains perubatan.
Sultan Mizan juga mengingatkan semua rakyat Terengganu supaya bersama-sama menghargai pengorbanan dan perkhidmatan diberikan pelbagai pihak terutamanya petugas barisan hadapan.
“Mereka sedang bekerja keras membendung wabak Covid-19 sehinggalah kemeriahan Aidilfitri dapat disambut dengan suasana aman, tenteram dan harmoni.
"Beta dan Sultanah menzahirkan penghargaan dan mendoakan segala khidmat bakti mereka diterima dan diberkati oleh Allah di dunia dan di akhirat," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Mizan berharap rakyat dapat meneruskan amalan menjalinkan hubungan silaturahim dengan memanfaatkan kemudahan media baharu dan elektronik untuk menghubungi kaum keluarga, sahabat dan jiran tetangga, bersempena Aidilfitri yang disambut dalam suasana norma baharu.
Baginda bertitah amalan salam-bersalaman dan ziarah-menziarahi ke rumah sanak saudara boleh diganti dengan bertemu di alam maya dari rumah masing-masing.
"Kerinduan pulang ke kampung halaman untuk bertemu ibu bapa serta ahli keluarga Insya-Allah akan terubat walaupun dapat bertemu dalam talian. Dengan cara ini dapatlah juga kita bertanya khabar dan bermaaf-maafan antara satu sama lain," titah baginda.
Sementara itu, Sultan Mizan turut menyeru umat Islam untuk terus merealisasikan dan mempraktikkan sifat sabar yang dipelajari sepanjang bulan Ramadan ini.
"Maka janganlah dengan ketibaan Syawal, segala pelajaran yang diterima sepanjang Ramadan dilupakan begitu sahaja. Inilah masa untuk umat Islam mempraktikkan pendidikan Ramadan hingga kembali Ramadan tahun hadapan, agar segala dosa kita dihapuskan Allah," titah baginda.
Sehingga semalam, Terengganu masih terendah berbanding negeri pantai timur lain dengan jumlah 280,900 pendaftaran, (Pahang: 398,027 pendaftaran) (Kelantan: 338,298 pendaftaran) berdasarkan laporan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
13 May 21
285
Besut Catat 10 Kematian Akibat Covid -19
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Daerah Besut kini mencatatkan lebih separuh daripada angka keseluruhan kematian di Terengganu selepas dua lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, jumlah tersebut menjadikan jumlah maut dari daerah itu kini seramai 10 orang daripada 17 orang di seluruh negeri sejak tahun lalu.
Katanya, kes kematian terbaharu membabitkan warga emas lelaki berusia 71 tahun dari Kampung Pelagat 3 di samping wanita berumur 55 tahun dari Kampung Bukit Tumbuh.
"Daripada 11 kes Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), tujuh merupakan warga Besut.
"Setiap kematian akibat Covid 19 sangat menyayat hati apabila berada di Hospital atau ICU keseorangan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Bila meninggal, juga kesorangan kerana yang menguruskan jenazah adalah pihak lain bukan ahli keluarga.
"Ahli keluarga hanya mampu melihat dari jauh atau mereka berada di Pusat Kuarantin,"katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook.
Tambahnya lagi, data harian kes Covid 19 adalah benar termasuk data harian kematian malah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga benar dalam mencegah jangkitan wabak.
Sehubungan itu, Nor Azimi menuntut orang ramai untuk berikrar kekal duduk di rumah di samping mengehadkan pergerakan dan mengelakkan berkumpul beramai-ramai sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini.
Katanya, langkah itu penting bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19 dengan cepat.
"Janganlah kita menjadi punca kemudaratan kepada orang lain," katanya.
13 May 21
1419
Lebih 400 Pelita Terangi Malam Raya Keluarga Zamani
KUALA NERUS, 13 Mei – Budaya malam pelita raya bagi menghidupkan suasana Aidilfitri diteruskan dengan rekaan tersendiri oleh sebuah keluarga di Kampung Padang Air.
Menurut Mohammad Zamani Harun, 45, lebih 400 pelita digunakan dengan reka bentuk unik menerangi kawasan rumahnya.
“Kos minyak kira-kira RM80 sehari, ia digunakan kerana harganya lebih murah berbanding minyak tanah.
“Setakat ini kami membelanjakan lebih RM500 untuk minyak diesel, pelita besi dan menggunakan kayu buluh untuk dijadikan pelita.
“Dengan adik beradik yang tinggal berdekatan disini, jadi ia memeriahkan dan memudahkan aktiviti menghiaskan sekeliling kediaman,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Tambahnya, penggunaan buluh sebagai pelita raya turut menjimatkan kos berbanding membeli pelita biasa namun cabarannya datang daripada mencari saiz yang sesuai.
Sementara itu, Zamani turut mencetuskan idea untuk membina replika kapal selam KRI Nanggala 402 yang karam di Indonesia baru-baru ini sebagai tanda mengingati pengorbanan mereka.
“Untuk memasang rekaan kapal selam itu pula memakan masa sehari, namun usaha itu berbaloi kerana ramai datang berkunjung untuk bergambar.
“Tahun lepas juga kita jadikan kereta using sebagai tarikan, ini adalah amalan tradisi keluarga yang diteruskan walaupun dalam norma baharu serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Walaupun hari raya disambut secara sederhana, aktiviti sebegini menaikkan semangat Aidilfitri dan eratkan hubungan kami sekeluarga," jelas Zamani.
13 May 21
755
Sultan Terengganu Tunai Solat Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 40 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Mizan pada jam 8.25 pagi dengan berpersalinan lengkap baju Melayu berwarna putih turut ditemani Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az.
Mengiringi baginda bertiga, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.
Solat sunat Aidiladha hari ini diimamkan Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Tidak sebagaimana kebiasaan, selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri, baginda bersama kedua anakanda berangkat pulang tanpa menziarahi makam diraja yang terletak di kawasan Masjid Al-Muktafi Billah Shah sebagai perkenan menghormati SOP yang ditetapkan kerajaan sempena sambutan Aidilfitri kali ini.
Para jemaah yang hadir juga dilihat mematuhi segala SOP dengan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.
Pihak pengurusan masjid turut membuat pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu bagi memastikan hanya jemaah yang sihat sahaja menunaikan solat.
13 May 21
645
Terengganu Benarkan Solat Aidilfitri Terhad 40 Jemaah
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Terengganu membenarkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid dan surau negeri ini terhad kepada 40 jemaah lelaki tidak termasuk Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, tetapi ia hanya membabitkan melibatkan jemaah lelaki dan pemastautin sahaja selain perlu jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, solat jumaat juga turut dibenarkan dengan kehadiran 40 jemaah tidak termasuk jawatankuasa masjid dan surau setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mengadakan ibadah itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).
"Solat sunat Aidilfiti di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan kehadiran jemaah lelaki sahaja seramai 40 orang tidak termasuk Ahli Jawatankuasa masjid dan surau.
"Manakala Solat fardu lima waktu di masjid dan surau juga dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 20 orang," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Osman lagi, kehadiran ahli jemaah ke masjid dan surau dibenarkan bagi kalangan ahli qaryah yang bermastautin sahaja kecuali mana-mana orang yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan ziarah tanah perkuburan ketika sambutan Aidilfitri tidak dibenarkan.
Jelas Osman, aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang lain juga tidak dibenarkan diadakan di semua masjid dan surau sepanjang tempoh PKP.
Beliau juga berkata, mana- mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988
(Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.
Sementara itu, Sultan Mizan dalam pada masa yang sama menzahirkan rasa dukacita dan memahami akan kesulitan dan kesusahan yang perlu dihadapi oleh rakyat jelata lebih-lebih lagi dalam suasana Hari Raya Aidilfitri yang tidak berapa hari lagi akan disambut oleh umat Islam.
Baginda juga mengharapkan semoga semua rakyat jelata bersabar dengan situasi yang perlu dihadapi dan berdoa semoga dilindungi dari wabak tersebut.
12 May 21
1402
Hotel Primula Bantu Penjaja Jalanan, Ikhlaskan Hati ‘Memberi’ Walau Sedikit
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Primula Beach Hotel terus komited menyantuni 25 penjaja jalanan di sekitar daerah ini menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata pihaknya terpanggil untuk tampil memberikan sumbangan seumpama makanan dan kuih raya agar penerima dapat menikmati kehidupan seperti orang lain.
"Jika kita daripada golongan yang kurang terjejas, masih ada makanan dan minuman diatas meja untuk disuap, masih ada menanti gaji tetap setiap bulan, inilah masalah untuk kita membantu golongan yang terkesan ini.
"Tidak salah untuk ikhlaskan hati ‘memberi’ kepada mereka walaupun sedikit. Semoga dengan cara ini dapat memberi kebahagiaan, harapan dan keazaman buat mereka untuk terus berniaga, mencari rezeki halal dan meneruskan kelangsungan hidup," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan sumbangan di hadapan Maybank Kuala Terengganu, hari ini.
Tambah Suaibah lagi, pihak hotel memperuntukan lebih RM3,000 ringgit bagi menyediakan makanan untuk berbuka puasa serta kuih raya untuk program CSR kali ini.
"Kami berharap program seperti ini dapat mendidik dan menjadi penggerak kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan buat golongan di luar sana yang amat memerlukan bantuan," ujarnya.
12 May 21
216
Rakyat Akur Arahan Kerajaan
KEMAMAN, 11 Mei - Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diumumkan di seluruh negara semalam, terdapat penurunan ketara dalam bilangan kenderaan yang memasuki negeri Terengganu.
Ketua Polis Terengganu, DCP Datuk Roslee Chik memaklumkan, pengurangan lebih kurang 12 peratus itu menunjukkan masyarakat memang akur dengan arahan kerajaan untuk tidak merentas negeri.
"Setakat ini, di Terengganu tidak berlaku lagi penyalahgunaan borang rantas negeri.
"Tetapi, ada yang merentas daerah sempadan secara haram di mana di Kemaman sendiri ada sebanyak tujuh lorong tikus telah dikenalpasti yang dicerobohi oleh mereka yang ghairah merentas daerah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu melakukan tinjauan bersama Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Sekatan Jalan Raya (SJR) Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Perasing, semalam.
Jelasnya, sebanyak enam kompaun telah dikeluarkan di Besut dan 11 di Kemaman dengan nilai satu kompaun sebanyak RM5,000 akibat rentas sempadan secara tidak sah.
"Untuk maklumat terbaru, di Besut sehingga hari ini kita telah menutup lebih kurang 30 lorong tikus yang digunakan untuk merentas daerah dan negeri.
"Situasi di India perlu dijadikan pengajaran bagi rakyat kita khususnya di Terengganu.
"Kita telah mempelajari PKP sejak tahun lalu, saya rasa masyarakat telah cekap dan mahir apa yang boleh dan tidak boleh dibuat.
"Harapan kami mewakili barisan hadapan, teruskan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.
Beliau turut menyatakan, sebanyak 25 SJR melibatkan 373 anggota telah didirikan di seluruh negeri.
"Selain itu, kita ada pasukan pematuhan dan pemantauan sebanyak 190 pasukan melibatkan hampir 800 anggota yang akan bergerak di kampung-kampung sepanjang hari raya untuk memastikan masyarakat sentiasa patuh kepada arahan yang dikeluarkan.
"Kita sebagai barisan hadapan amat mengharapkan masyarakat patuh kepada SOP ditetapkan kerana tanggungjawab memutuskan rantaian pandemik ini adalah tanggungjawab bersama," katanya.
12 May 21
259
Agenda Pemerkasaan Syariah Berada Di Landasan Tepat
KUALA TERENGGANU, 11 Mei – Selain berjaya melaksanakan 70 peratus manifesto dalam tempoh tiga tahun, agenda pemerkasaan syariah Islam turut diberi penekanan serius kerajaan negeri dan ia berada di landasan terbaik.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebagai sebuah kerajaan yang menjadikan Islam sebagai dasar sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan juga menjadi prinsip pertama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030), agenda itu terus menjadi fokus kerajaan.
Katanya, proses itu perlu dilakukan dengan cermat dan secara berperingkat serta tidak tergopoh-gapah.
“Beberapa inisiatif telah kita ambil antaranya ialah membangunkan Garis Panduan Patuh Syariah Hiburan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan.
“Ia termasuklah beberapa dasar dan polisi lain, seperti dasar perumahan Rumah Darul Imn (RAHMAN), Dasar Integriti Darul Iman, dan Modul Itqan Insani.
“Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan beberapa agensi bertindak dalam agenda ini seperti Skuad Amar Makruf Nahi Mungkar, Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dan juga Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS),” katanya dalam Perutusan Khas sempena 3 Tanun Pentadbiran semalam.
Menurut Ahmad Samsuri, bagi menjayakan agenda itu, pendidikan Islam terus diperkasakan dengan mewujudkan system yang komprehensif, bermula dari Tadika, Pendidikan Rendah dan Menengah, hinggalah kepada peringkat pengajian tinggi.
“Bahkan pada tahun ini kita menaik taraf Bahagian Pendidikan Islam, kepada Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, sebagai penyelia kepada sistem pendidikan Islam di Terengganu.
“Dalam soal urus niaga kerajaan, elemen patuh syariah amat dititik beratkan, antaranya ialah, kita adalah mendapatkan kembali status patuh syariah untuk TDM Berhad, setelah beberapa tahun status tersebut ditarik.
Jelasnya, agenda pemerkasaan syariat Islam ini, pastinya mengambil masa dan proses yang panjang.
“Oleh kerana itu, kerjasama dan kefahaman daripada semua pihak, amatlah diharapkan bagi merealisasi impian ini,” tambah beliau.
11 May 21
149
Bazar Aidilfitri Ditutup 10 Malam Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 11 Mei – Operasi bazar aidilfitri di Terengganu ditamatkan pada jam 10 malam tadi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dalam negeri.
“Bazar Aidilfitri sebelum ini sudah diputuskan untuk tutup sehari sebelum raya.
“Para peniaga bazaar Aidilfitri masih ada peluang untuk meneruskan perniagaan sehingga malam ini dan kita harap mereka dapat mematuhi arahan tersebut.
“Namun begitu, bagi bazar Ramadan, tarikh akhir operasi yang dibenarkan adalah sehingga jam 7 malam esok (Rabu),” katanya ketika dihubungi Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Jelasnya, penguatkuasaan tersebut adalah berdasarkan keputusan Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu sebelum ini.
“Peraturan ini melibatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah kecuali Besut,” katanya lagi.
Beliau turut menasihati kepada para pengunjung supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) di bazar dengan menjaga penjarakan sosial serta menghindari daripada aktiviti berkumpul beramai-ramai.
11 May 21
448
Air Percuma 20 Meter Padu: Bekalan Air Mencukupi
KUALA TERENGGANU, 11 Mei- Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), memberi jaminan bekalan air mencukupi bagi pelaksanaan Bekalan Air Percuma sebanyak 20 meter padu kepada semua rakyat di negeri Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong memaklumkan, keperluan bekalan air bagi rakyat Terengganu masih stabil menjelang perayaan hari raya Aidil Fitri yang bakal disambut, dua hari lagi.
"Berdasarkan anggaran penggunaan semasa, jumlah 20 meter padu yang diberikan secara percuma oleh kerajaan negeri dapat menampung keperluan penggunaan pada kadar biasa bagi lima orang pengguna dalam satu rumah selama 20 hari.
"Bekalan air percuma yang diumum oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dua hari lalu sebenarnya telah bermula sejak 1 Mei, bermakna rakyat Terengganu telah menikmati manfaat ini sejak sepuluh hari lalu," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.
Terdahulu, Dr. Samsuri mengumumkan memperluaskan bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu pertama kepada semua pengguna kategori rumah tangga sempena bulan perayaan Aidilfitri bagi membantu rakyat negeri ini menghadapi suasana hari raya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta dalam situasi pandemik COVID-19.
Bantuan ini melibatkan perbelanjaan yang berjumlah hampir RM570,000 untuk tempoh selama sebulan dan bakal meringankan impak keadaan ekonomi akibat wabak COVID-19 yang melanda kepada lebih 1.33 juta rakyat yang terdiri daripada isi rumah kategori rumah tangga.
11 May 21
306