lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

15 Mukim Besut Dikenakan PKPD Bermula Esok
15 Mukim Besut Dikenakan PKPD Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 21 Mei – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di 15 mukim dalam daerah Besut bermula esok, 22 Mei sehingga 4 Jun. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “KKM mengesahkan sembilan daripada 17 kluster aktif di negeri Terengganu adalah melibatkan daerah Besut yang telah menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19 di negeri ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti. “15 mukim yang terlibat ialah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Sebelumnya, PKPD di Mukim Pelagat turut dilaksanakan di daerah sama sehingga 2 Jun akibat peningkatan kes, kadar positiviti tinggi serta kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi di lokaliti tersebut. “Justeru, sebagai rakyat Malaysia, selain menghulurkan doa, ayuh kita sama-sama berganding bahu membantu memerangi wabak ini dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” rayu beliau. Menurut Jabatan Kesihatan negeri, tiga kematian direkodkan di Besut akibat COVID-19 dengan kes baharu di seluruh negeri hari ini kekal tiga angka sebanyak 233 menjadikan jumlah keseluruhan 1,350 kes.
21 May 21
525
Mayat Nelayan Hilang Ditemui
Mayat Nelayan Hilang Ditemui
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Satu mayat dipercayai salah seorang mangsa yang dilaporkan terlibat dengan kejadian hilang di laut pagi ini, ditemui terapung pada jarak lebih kurang 17 batu nautika dari Pulau Kapas. Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli memaklumkan, mangsa ditemui oleh nelayan tempatan yang terlihat objek terapung di laut semasa Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada jam lebih kurang jam 1.00 tengahari. "Mayat disyaki mangsa yang hilang dalam kes bot kelas A, Baharudin Abdullah, 47 tahun telah dibawa ke jeti Maritim Terengganu, Kuala Terengganu oleh bot maritim Pengawal 16. "Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat dan proses pengesahan oleh ahli keluarga dilakukan oleh pihak polis," jelasnya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini. Menurutnya, Maritim Malaysia masih meneruskan Operasi CARILAMAT melibatkan sebuah kapal peronda, sebuah bot peronda dan sebuah pesawat dalam penugasan mencari dan menyelamat di kedua-dua lokasi tersebut. Pencarian merangkumi kepada 211.54 batu radius dari kawasan mangsa dipercayai hilang turut melibatkan Jabatan Perikanan dan dibantu persatuan nelayan. Terdahulu, kehilangan sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama dua kru termasuk tekong yang dipercayai mengalami kerosakan selepas terputus hubungan sejak semalam, dilaporkan media, pagi tadi. Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 9.40 pagi oleh Maritim Malaysia bagi mengesan kedudukan bot Jaafar Sulong, 66, dan kru dikenali sebagai Baharuddin, 30-an.      
20 May 21
897
Tiga Nelayan Dikhuatiri Hilang
Tiga Nelayan Dikhuatiri Hilang
KUALA TERENGGANU, 20 Mei – Tiga nelayan dikhuatiri hilang melibatkan dua kejadian berlainan meliputi kawasan perairan Kuala Terengganu. Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, disyaki hilang di laut selepas bot miliknya ditemukan nelayan tempatan di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu. Bot milik mangsa yang ditemui “Antara aset yang diatur gerak adalah Kapal Maritim (KM) GEMIA, Bot Maritim Pengawal 16 dan pesawat udara maritim AW139 bagi mengesan kedudukan bot dari lokasi yang dipercayai berlakunya insiden. “Operasi pencarian turut menerima bantuan aset daripada Jabatan Perikanan serta komuniti nelayan setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Salah seorang nelayan tempatan yang juga rakan sekampung mangsa, Mazlan Mamat, 58, memberitahu bot Sufian dijumpai nelayan lain sekitar jam 9 pagi dengan enjin bot masih berfungsi. “Hanya peralatan mengail dan beg peribadinya yang dijumpai, Sopi (Sufian) ini seorang yang mahir dengan laut namun susah untuk tentukan bagaimana dia terjatuh kerana tiada saksi berada di perairan tersebut,” jelasnya. Dalam kejadian berbeza, sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama dua kru termasuk tekong yang dipercayai mengalami kerosakan selepas terputus hubungan sejak semalam. “Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 9.40 pagi tadi bagi mengesan kedudukan bot Jaafar Sulong, 66, dan kru dikenali sebagai Baharuddin, 30-an. “Dikatakan sepatutnya pulang semalam dan cubaan ahli keluarga menghubungi kedua-dua mangsa juga gagal,” katanya lagi. Tambah Suffi, laporan meteorologi hari ini menunjukkan cuaca baik dengan tiada amaran angin kencang atau laut bergelora serta tiada amaran hujan berterusan atau rebut petir. Menurutnya, Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Terengganu 09-6224357.
20 May 21
787
Nilai R-Naught Negara Naik 1.10, Kedah Dan Terengganu Tertinggi
Nilai R-Naught Negara Naik 1.10, Kedah Dan Terengganu Tertinggi
KUALA LUMPUR, 20 Mei - Kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 di Malaysia mencatatkan peningkatan untuk tiga hari berturut-turut. Angka itu naik pada kadar 1.10 pada Rabu berbanding 1.08 hari sebelumnya. Kedah dan Terengganu masing-masing mencatatkan nilai R-naught tertinggi dengan 1.27. Manakala negeri dan wilayah lain yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan tinggi dan melebihi angka 1.0 ialah Pahang, Labuan, Perak, Melaka dan Johor. Ini termasuk Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Putrajaya dan Sabah. Kelantan dan Sarawak merekodkan kadar kebolehjangkitan di bawah angka 1.0. Sementara itu, Perlis satu-satunya negeri mencatatkan enam kes baharu COVID-19. Setakat ini, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 13 Januari ialah 0.81 pada 3 Mac lalu. Manakala yang tertinggi pernah dicatatkan ialah 1.19 pada 17 April lalu. Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif. -- AWANI
20 May 21
729
HSNZ Tak Benar Pelawat Masuk Wad
HSNZ Tak Benar Pelawat Masuk Wad
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Pengurusan Tertinggi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini memutuskan untuk tidak membenarkan pelawat masuk ke wad hospital berkenaan. HSNZ dalam satu kenyataan berkata, ia susulan penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di negeri ini dengan kes mencecah tiga angka dalam beberapa hari berturut-turut. "Namun, kebenaran masuk hanya diberikan kepada penjaga yang telah mendapat kebenaran bertulis daripada wad. "Arahan ini terpakai kepada semua tanpa mengira siapa anda. "HSNZ memohon maaf di atas keputusan yang terpaksa diambil, namun ia demi menjaga kesihatan awam dan demi membendung penularan wabak COVID-19," jelas kenyataan itu Jelasnya, diharapkan agar arahan tersebut dapat dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat. Pada masa kini, Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kini menempatkan 13 kes COVID-19 dengan tujuh daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
19 May 21
2836
Terengganu Terus Catat Tiga Angka COVID-19
Terengganu Terus Catat Tiga Angka COVID-19
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Terengganu terus mencatat tiga angka bagi kes harian baharu COVID-19 apabila sebanyak 203 kes baharu dilaporkan, hari ini. Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah merekodkan pertambahan 64 kes discaj dan dengan 203 kes baharu menjadikan terdapat 1,230 kes COVID-19 yang aktif di negeri ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,144 kes. Menurut kenyataan tersebut, sebanyak 1,217 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala 13 kes menerima rawatan di ICU HSNZ dan tujuh daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. Berdasarkan infografik, daerah Besut tetap mendahului dengan 83 kes positif baharu, diikuti dengan Setiu sebanyak 35 kes dan Kuala Terengganu (32 kes). Turut direkodkan ialah satu kluster baharu, kluster Jalan Tuan Hitam yang mana kes indeks bagi kluster ini adalah Kes 4813 yang merupakan seorang lelaki berusia 33 tahun, Warganegara Malaysia dan dilaporkan positif COVID-19 pada 9 Mei 2021 hasil saringan individu bergejala.  Terkini, enam daerah yang diletakkan di bawah zon merah ialah Kuala Terengganu, Besut, Dungun, Setiu, Kuala Nerus dan Marang dan dua daerah di bawah zon kuning iaitu Kemaman dan Hulu Terengganu. Untuk makluman, daerah yang mempunyai 41 kes aktif dan ke atas dikategorikan sebagai zon merah manakala bagi yang mempunyai satu hingga 40 kes adalah zon kuning. Sementara itu, kes positif harian hari ini (6,075) adalah tertinggi pernah dilaporkan sejak pandemik COVID-19 melanda negara. Kali terakhir Malaysia merekodkan angka harian tertinggi ialah pada Januari lalu membabitkan sebanyak 5,725 kes.  
19 May 21
2035
PKPD Di Mukim Pelagat Bermula Khamis
PKPD Di Mukim Pelagat Bermula Khamis
KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Kerajaan mengambil langkah drastik dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Pelagat, Besut bermula Khamis ini sehingga 2 Jun. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan sebanyak 199 kes positif COVID-19 telah direkodkan sehingga kelmarin. “Kes tersebut direkodkan di semua lokaliti terbabit (13 Kampung) selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan 1,092 ujian saringan. "KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes yang amat ketara dengan kadar positiviti tinggi serta kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi di lokaliti tersebut. Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengehadkan pergerakan penduduk dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 serta memudahkan KKM menjalankan ujian saringan secara besaran dalam kalangan penduduk di Mukim Pelagat, Besut," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Jelasnya, 13 kampung yang terbabit di mukim berkenaan ialah Kampung Alor Selinsing, Kampung Bukit Yong, Kampung Tok Motong, Kampung Lak Lok Dalam, Kampung Lak Lok, Kampung Padang Landak, Kampung Padang Luas, Kampung Padang Luas Hilir dan Kampung Padang Tapong. "Turut terbabit ialah Kampung Paroh, Kampung Kubang Siam, Kampung Seberang Jerteh, Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Seberang Jerteh dan RAKR Pelagat 1, 2 & 3," tambahnya.  
18 May 21
565
COVID-19 : Lepak, Cetus Jangkitan Baharu Di Terengganu
COVID-19 : Lepak, Cetus Jangkitan Baharu Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 Mei – Tindakan rakyat Terengganu yang tidak menghiraukan arahan pihak berkuasa dengan melakukan aktiviti lepak membawa padah apabila negeri itu terus mencatatkan kes positif COVID-19 sebanyak tiga angka hari ini. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, jangkitan bertambah buruk dan berlaku dengan pantas selepas kebanyakkan aktiviti yang dilakukan disahkan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). “Lepak bersama 18 orang kawan di sebuah rumah kosong di Setiu. Akhirnya 17 disahkan positif melibatkan kawan lepak dan ahli keluarga. Seramai 162 kontak rapat dikesan,” katanya menerusi laman Facebook rasmi, sebentar tadi. Menurut Nor Azimi, penganjuran majlis berbuka puasa melibatkan 20 individu turut menyumbang kepada peningkatan kes di Terengganu dan mencetuskan Kluster Bukit Pauh di Dungun. "Kluster itu merekodkan 78 orang positif dan 496 orang kontak rapat dikesan setakat ini. Situasi kedua melibatkan majlis jenis sama di sebuah surau di Marang dengan 26 orang positif serta 283 orang kontak rapat," jelasnya. Tegas Nor Azimi, beliau tidak menolak kemungkinan trend kes tiga digit akan terus berlaku esok akibat sikap rakyat sendiri. "Sebagai contoh kes terbaru, pergi mesyuarat di Kuala Lumpur. Tidak buat penilaian risiko, masuk kerja macam biasa. Akhirnya 36 disahkan positif dan ribuan kontak terpaksa disaring "Berpuluh-puluh kisah yang disahkan tiada pematuhan SOP boleh dikongsi untuk diambik iktibar. SOP semua 'ke laut'. Sebab apa 'ke laut'. Sebab mereka tak cakna, sambil lewa dan perlekehkan pematuhan SOP. Semuanya dianggap rekaan dan menyusahkan," katanya. Sehubungan dengan itu, beliau mahu semua pihak serius, tidak pandang rendah terhadap SOP seperti mengadakan perbincangan menyemak kertas peperiksaan hingga mengakibatkan tiga guru positif. “Semua pemimpin masyarakat daripada semua peringkat dan ketua jabatan perlu memastikan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat, anggota dan organisasi masing-masing,” rayu beliau. Untuk rekod katanya, seramai 14 orang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) buat masa ini.
18 May 21
1773
16 Kes Positif, UniSZA Tutup 14 Hari
16 Kes Positif, UniSZA Tutup 14 Hari
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kampus Gong Badak di Kuala Nerus ditutup selama 14 hari berikutan 16 kes positif Covid-19 yang dikesan di institusi itu. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata arahan penutupan tersebut dibuat mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). "Arahan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja sanitasi bagi mengelak perebakan  penyakit berjangkit dan mengesan kontak rapat kepada semua kes positif tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Justeru itu, Nor Azimi berkata, sekiranya ada kakitangan atau mana-mana individu datang dari zon merah, penilaian risiko mesti dibuat dan mereka yang mempunyai gejala sepatutnya tidak dibenarkan memasuki kampus. "Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sangat penting. "Oleh semua kakitangan, pelajar kampus tersebut dan pelajar yang telah pulang ke kampung agar sentiasa mematuhi dan segera menjalani ujian kesihatan sekiranya mengalami sebarang gejala," ujarnya.  
18 May 21
2586
Drawbridge Diwarnai Cahaya Bendera Palestin Tanda Solidariti
Drawbridge Diwarnai Cahaya Bendera Palestin Tanda Solidariti
KUALA TERENGGANU, 17 Mei -Jambatan angkat atau drawbridge dilimpahi cahaya lampu  melambangkan warna bendera Palestin sebagai tanda solidariti barisan kepimpinan dan rakyat Terengganu terhadap penduduk  di sana yang sedang diserang rejim Zionis Israel ketika ini. Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated (TI) Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud berkata limpahan cahaya lampu empat warna iaitu merah, hijau, putih dan hitam mula dipasang pada pukul 7 malam ini selama tujuh hari berturut-turut. "Disebabkan ketika ini adalah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka tempoh pemasangan lampu adalah selama lima jam sahaja setiap hari iaitu sehingga 12 tengah malam. "Nyalaan cahaya lampu ini merupakan tanda solidariti kepada rakyat Palestin. Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan penduduk Palestin dan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin," katanya ketika dihubungi. Tambahnya lagi, pihaknya akan memasang  selama seminggu dan akan diselaraskan dengan perkembangan di Gaza.  Jambatan angkat yang pertama  di Asia Tenggara itu mula dibuka kepada orang ramai pada 2019 menelan kos sebanyak RM248 juta kini menjadi ikon kebanggaan Malaysia khususnya rakyat Terengganu.          
17 May 21
1092