Artikel "Utama" Terkini
Program Cakna Komuniti Eratkan Masyarakat, Wakil Rakyat
Oleh : Syahida Mohd/Safwan Syakir
KUALA NERUS, 22 Jun – Program YB Cakna Komuniti Sejahtera di lokaliti Duyong dan Pulau Ketam berjaya dianjurkan dengan sambutan luar jangka, menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana santai dan mesra komuniti.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Tunggal dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat itu bermula seawal jam 5.45 pagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharudin Zahid berkata, program seumpama itu akan diperluas ke lokasi lain secara berkala bagi memastikan setiap komuniti dalam DUN Bukit Tunggal mendapat manfaat.
“Kita rancang untuk adakan program YB Cakna Komuniti ini di setiap lokaliti, dua atau tiga bulan sekali. Ini usaha kita untuk lebih dekat dengan rakyat dan mendengar sendiri permasalahan mereka,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah pertandingan mewarna.
Antara pengisian utama sepanjang program termasuk gotong-royong di Kubur Cengal, pemeriksaan kesihatan percuma, sukaneka di Hujung Tanjung Pulau Ketam, pertandingan memasak, serta aktiviti ziarah komuniti dua sesi (pagi dan petang).
Turut menarik perhatian adalah inisiatif penukaran minyak hitam secara percuma untuk penduduk Pulau Sekati sebagai tanda cakna terhadap kesejahteraan rakyat.
Seorang penduduk, Zahawi Puteh, 60, dari Kampung Duyong Kelab Aya menyambut baik penganjuran program sebegini yang menurutnya mampu merapatkan jurang antara wakil rakyat dan golongan yang jarang keluar rumah akibat keuzuran.
“Memang perlu program macam ni dibuat selalu. Ada orang tak mampu nak keluar rumah kerana sakit atau kekangan lain. Jadi bila wakil rakyat datang jumpa, barulah kita tahu masalah sebenar mereka,” ujarnya.
22 Jun 25
176
Kekurangan Bukan Halangan, Damia Cipta Sejarah di TTITC
HULU TERENGGANU, 23 Jun - Keterbatasan fizikal tidak menjadi penghalang buat seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU)dari Kampung Padang Setebu, Telemong untuk terus melangkah jauh dalam bidang kemahiran yang diminatinya.
Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 18, yang dilahirkan tanpa anggota tangan dan kaki yang sempurna, membuktikan bahawa semangat dan ketekunan mampu membuka peluang besar apabila berjaya melanjutkan pengajian ke Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam jurusan Pelukis Kanan Rekaan Dalaman di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC), Kampung Teris.
Menurut Damia, pengiktirafan yang diterimanya ibarat satu titik tolak kepada pencapaian lebih besar dalam hidupnya.
“Saya mula mendalami bidang ini sejak Tingkatan Empat dan berjaya menyelesaikan SKM Tahap 1 dan 2 semasa di sekolah menengah.
"Impian saya memang mahu teruskan ke Tahap 3, tetapi beberapa pusat latihan sebelum ini menolak permohonan saya atas alasan kekurangan kemudahan untuk pelajar OKU seperti saya,” katanya ketika ditemui selepas menerima surat tawaran rasmi kemasukan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah TTITC, Maliaman Kassim.
Namun semuanya berubah apabila TTITC membuka pintu dan memberi peluang kepada anak muda itu untuk merealisasikan cita-citanya.
“Bila dimaklumkan saya diterima, perasaan saya bercampur baur , terharu, gembira dan rasa dihargai. Saya mahu buktikan bahawa walaupun saya berbeza dari segi fizikal, saya tetap mampu menyumbang sesuatu dalam bidang ini,” ujarnya.
Sokongan padu daripada keluarga turut memainkan peranan penting dalam perjalanan Damia. Ibunya, Rosnaini Mohamad, 47, menyatakan mereka sekeluarga sentiasa berdiri teguh di belakang Damia.
“Dia tidak pernah mengeluh. Kami percaya dia mampu mengharungi tempoh setahun ini. Setiap hari, kami akan bergilir menghantarnya ke pusat latihan, yang jaraknya hampir 60 kilometer pergi balik dari rumah,” kata Rosnaini.
Sementara itu, Maliaman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri menyatakan, kemasukan Damia menjadikan beliau pelajar OKU keempat yang menuntut di TTITC.
“Tiga pelajar OKU sebelum ini terdiri daripada kategori pendengaran dan bisu. Kehadiran Damia jelas menunjukkan bahawa institusi ini mengutamakan inklusiviti dan peluang sama rata untuk semua,” katanya.
22 Jun 25
142
Penyu Mati, Paru-Paru Cedera Parah Terima Hentakan Kuat
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Seekor penyu hijau (Chelonia mydas) ditemui mati terapung berhampiran Teluk Dalam, Pulau Redang baru-baru ini akibat kerosakkan teruk pada paru-paru selepas terhentak kuat pada objek tertentu.
Penemuan menyedihkan itu dilakukan oleh pasukan penyelidik dari Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam misi pemuliharaan penyu dan ekosistem marin di kawasan Taman Laut Malaysia.
Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT, Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata, hasil bedah siasat mendapati penyu yang dianggarkan berusia 10 tahun itu mengalami kecederaan parah pada paru-paru serta keretakan teruk pada cangkerang dipercayai akibat hentakan kuat.
“Pemerhatian lanjut menunjukkan berlaku pendarahan dalaman dan keradangan pada organ pernafasan yang menyebabkan penyu itu lemas,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, insiden kematian penyu ini menimbulkan kebimbangan terhadap kesan aktiviti pelancongan tidak terkawal di kawasan Taman Laut, khususnya pemanduan bot laju di habitat sensitif.
“Kami dapati peningkatan aktiviti pelancongan yang tidak dipantau rapi termasuk pergerakan bot laju secara sembarangan memberi tekanan besar kepada ekosistem marin dan hidupan terancam seperti penyu,” katanya.
Lebih membimbangkan, penyu-penyu di perairan Pulau Redang diketahui jinak dan tidak menghindari kehadiran manusia serta bot, menjadikan mereka lebih terdedah kepada perlanggaran.
“Maklumat tidak rasmi daripada komuniti setempat menganggarkan sekurang-kurangnya dua ekor penyu mati setiap bulan,” jelasnya.
Justeru, beliau menyeru agar penguatkuasaan lebih tegas dilaksanakan terhadap sebarang aktiviti pelancongan yang mengancam hidupan marin.
Katanya, standard kompetensi pemandu bot pelancong perlu diperkukuh termasuk aspek pengetahuan zon larangan kelajuan dan kawasan habitat sensitif.
“Kerjasama rentas agensi dan komuniti setempat juga perlu diperkasa bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan seiring dengan usaha memelihara biodiversiti marin negara,” ujarnya.
22 Jun 25
128
SST : Shahidan Minta PM Bersumpah
SETIU, 22 Jun - Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim meminta Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim bersumpah bahawa kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan menaikkan harga barangan.
Katanya, kegagalan seorang pemimpin menunaikan janji, khususnya yang dibuat secara terbuka adalah sesuatu yang amat tidak wajar kerana mencerminkan kelemahan integriti kepimpinan.
Ujar beliau, seorang pemimpin sepatutnya menunjukkan teladan baik dengan berpegang teguh kepada janji, bukannya menjadikan isu sebagai modal politik semata-mata.
"Perdana Menteri (PMX) perlu bersumpah dengan nama Allah bahawa tiada sebarang kenaikan harga barang berkaitan pelaksanaan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan bermula 1 Julai ini.
"Jika tidak, ia hanya tinggal janji kosong kerana kita perlu bertanggungjawab dari sudut hukum," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Setiu kali ke-47 di Dewan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, pada semalam.
Menurut beliau, dalam Islam janji adalah amanah dan tidak boleh dimain-mainkan.
“Kalau orang Islam sendiri berani buat janji secara terbuka, tetapi tidak tunaikan itu amat mengecewakan.
“Nanti orang bukan Islam pun tak akan hormat pada kita. Orang Islam sendiri pun sudah tidak peduli. Bersumpah, Anwar, tak jadi (laksanakan),” tegas beliau.
Mengulas isu kemungkinan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau melahirkan kebimbangan bahawa kerajaan mungkin menggantikannya dengan pelaksanaan SST secara menyeluruh, walaupun sebelum ini menolak GST atas alasan ia membebankan rakyat.
"Kalau kerajaan melaksanakan GST secara menyeluruh, maka SST ini akan digantikan sepenuhnya, jika itu yang cuba dipertahankan mereka.
"Seluruh dunia menggunakan GST, tetapi sekarang mereka mungkin kata mahu perkenalkannya secara berperingkat atau ditangguhkan dahulu.
"Saya pun tak pasti, apa sebenarnya yang dimaksudkan 'General Service Tax' atau 'Goods and Services Tax'?" soalnya secara sinis.
22 Jun 25
111
RM2 Juta Pulih Sekayu, Bakal Beroperasi Pada Julai
HULU TERENGGANU, 22 Jun – Taman Pertanian Negeri Sekayu yang pernah menjadi ikon pelancongan Terengganu kini dalam fasa kebangkitan semula selepas menerima peruntukan pemulihan berjumlah RM2 juta, dan dijangka kembali dibuka kepada pengunjung seawal Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata proses baik pulih dilaksana secara berperingkat ekoran kerosakan teruk yang berlaku akibat banjir besar, gangguan gajah liar dan fenomena kepala air pada tahun 2022.
"Pagi ini, saya bersama Pengarah Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka dan ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail turun ke lokasi meninjau usaha pemulihan taman yang pernah menjadi tumpuan seluruh negara.
"Taman ini pernah gemilang, namun kini sunyi dan rosak akibat bencana alam.
"Kita mulakan semula dengan bajet yang terhad," katanya kepada pemberita ketika lawatan ke Taman Petanian Negeri Sekayu, di sini hari ini.
Menurutnya, kerja pemulihan tidak dijalankan secara menyeluruh sekali gus, sebaliknya dilakukan secara bertahap dengan penglibatan pelbagai jabatan dan komuniti tempatan.
"Setakat ini, lebih RM2 juta disalurkan untuk membaik pulih kawasan-kawasan utama.
"Saya berterima kasih kepada Pejabat ADUN Telemong, JKR, Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan semua agensi yang mengambil kawasan angkat untuk dijaga dan diceriakan semula," jelasnya.
Tambah beliau, dalam tempoh setahun ini, banyak perubahan ketara telah dicapai hasil semangat gotong-royong dan komitmen semua pihak.
"Taman tema air di sini sangat unik kerana menggunakan air semula jadi yang mengalir secara graviti tanpa pam.
"Kita juga ada pelbagai spesies pokok buah, tapak perkhemahan dan kemudahan aktiviti outdoor yang mampu tarik pengunjung," tambahnya.
Beliau memaklumkan kadar bayaran masuk masih dalam pertimbangan, namun ia dijamin sangat rendah dan tidak membebankan.
"Bayaran masuk belum ditentukan, tapi kalau ada pun hanya bayaran minimum seperti parkir.
"Jangan risau soal bayaran, keindahan taman ini jauh lebih berharga daripada harganya," ujarnya.
22 Jun 25
2777
33,000 Benih Ikan Dilepaskan di Kampung Temir
HULU TERENGGANU, 22 Jun - Sebanyak 33,000 ekor benih ikan telah dilepaskan di Sungai Terengganu, Kampung Temir, Hulu Terengganu.
Program kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu itu menyaksikan pelepasan 30,000 benih udang galah, 2,000 benih ikan lampam sungai dan 1,000 baung sungai yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM9,500 melalui peruntukan kerajaan negeri.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang
Pengarah DOF Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, program itu merupakan salah satu inisiatif dibawah Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024 - 2030 subsektor perikanan.
Menurutnya, ia merujuk kepada strategi memperkaya sumber perikanan melalui program serta pelepasan benih ikan ke perairan umum negeri Terengganu.
"Objektif utama Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum adalah bagi meningkatkan sumber dalam memastikan keterjaminan makanan.
"Disasarkan sebanyak 350,000 ekor benih ikan dilepaskan setiap tahun," katanya.
Menurut beliau, program sedemikian juga dapat membantu meningkatkan ekonomi nelayan darat serta menjadi pemangkin aktiviti perikanan rekreasi dan eko-pelancongan.
"Program pelepasan benih ikan ini dijangka akan memberi manfaat bagi 178 orang nelayan darat yang berdaftar.
"Selain itu, ia juga akan memberi manfaat kepada penduduk setempat serta pengusaha eko-pelancongan.
Pang berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan Dan Insentif Input Akuakultur Serta Pelancaran Penandaan Peralatan Menangkap Ikan Nelayan Darat, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Pada tahun 2025, kerajaan negeri telah menyalurkan sejumlah RM280,000 peruntukan bagi perolehan benih ikan dan bantuan peralatan nelayan darat.
"Dianggarkan sebanyak 346,000 ekor benih ikan dan udang akan dilepaskan ke perairan seluruh daerah.
"Antara benih ikan yang akan dilepaskan adalah terdiri daripada baung sungai, lampan sungai, udang galah, siakap dan kelah," jelasnya.
22 Jun 25
415
PHB Buka Peluang 300 Juta Unit AHB Untuk Warga Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Penaja Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) telah mengumumkan pembukaan sebanyak 300 juta unit AHB, mulai hari ini.
Pengerusi PHB, Yang Mulia Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda berkata pembukaan itu boleh dilanggan oleh pelabur bumiputera di seluruh negara, khususnya di wilayah Pantai Timur.
"300 juta unit AHB ini merupakan peluang terbaik bagi Bumiputera, untuk menjadikan AHB sebagai instrumen utama pelaburan dan simpanan mereka dengan risiko yang rendah serta disokong oleh aset hartanah sebenar.
"Sebagai penaja kepada AHB, saya berbesar hati untuk berkongsi sedikit maklumat bahawa sehingga hari ini AHB telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 82,000 pelabur individu Bumiputera dan sekitar 19 institusi pelaburan Bumiputera.
"Setiap pelabur ini memiliki pegangan unit dalam hartanah strategik yang menjana pendapatan sewaan tetap dan pemilikan benefisial hartanah komersial bernilai tinggi," katanya ketika sembah ucapan dalam majlis perasmian pusat beli-belah Mayang Mall, semalam.
Menurut Tan Sri Arshad, sejak pelancarannya pada tahun 2010, sebanyak RM2.32 bilion pendapatan telah diagihkan kepada pelabur AHB.
Mengulas lebih lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PHB, Mohamad Damshal Awang Damit menjelaskan pembukaan sedia ada itu ditujukan kepada individu yang berminat untuk melanggan pelaburan tersebut.
"Sempena majlis perasmian Mayang Mall pada hari ini, kami akan memberi keutamaan kepada rakyat Terengganu (untuk melanggan AHB).
"Untuk makluman, individu Terengganu yang melanggan kepada AHB secara kasarnya lebih dalam 2800 orang. Keseluruhan pelaburan dalam Terengganu lebih kurang 200 juta, jadi ianya amat membanggakan.
"Walaupun baru buka hari ini, respon dalam pembukaan akaun amat tinggi.
Beliau berkata demikian kepada pihak media dalam satu sesi sidang media selepas majlis perasmian itu tadi.
"Pada hari ini, kami memperkenalkan MyAHB, satu aplikasi baharu dimana individu atau pelabur yang baru boleh melabur secara 'direct' kepada PHB melalui MyAHB.
"Ianya merupakan satu perkhidmatan digital yang kami sediakan kepada pelabur individu AHB," tambahnya.
Bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat pendaftaran dan mengetahui lebih lanjut mengenai AHB, reruai AHB telah dibuka di Mayang Mall pada 19 Jun hingga 28 Jun 2025.
Untuk makluman, AHB adalah unit amanah patuh syariah pertama di Malaysia, diuruskan oleh PHB yang dilancarkan pada 29 November 2010 dengan permulaan 1 bilion unit.
22 Jun 25
858
Lebih 350 Peserta Sertai Kejohanan Badminton Piala MB
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kejohanan Badminton Tertutup Piala Menteri Besar Terengganu berlangsung dengan penuh meriah apabila berjaya menarik penyertaan seramai 350 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.
Program tersebut telah dianjurkan oleh Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT) merangkumi lima kategori iaitu 'Open', 'Novis C', Bawah 15 Tahun (U15), Bawah 12 Tahun (U12) dan Bawah 9 Tahun (U9).
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kejohanan berkenaan merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam menjayakan program Sukan Untuk Semua (SUS) yang bertujuan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan hasrat Kerajaan Malaysia ke arah negara bersukan.
“Malah, kejohanan ini bukan sekadar satu acara sukan semata-mata, bahkan menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta mencungkil bakat-bakat baharu khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Badminton Tertutup Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Negeri, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ab Rasid Jusoh dan Pengarah UBSNT, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin.
Dalam pada itu, Ahmad Amzad turut menyatakan bahawa sambutan hangat rakyat Terengganu terhadap kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu membuktikan sukan badminton mempunyai kelompok peminat tersendiri di negeri ini.
“Saya percaya program seperti ini memberi impak langsung kepada pembangunan sukan dari peringkat akar umbi dan menjadi platform terbaik untuk melahirkan atlet masa depan dari Negeri Terengganu yang mampu mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa,” katanya.
22 Jun 25
407
Produk Tradisional Terengganu Gamit Senyuman Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli meluangkan masa sehingga satu jam setengah meneliti hasil buatan tangan tradisional yang dipamerkan dalam karnival sempena Sambutan Dua Dekad Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM), hari ini.
Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda iaitu Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Seri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja melawat semua reruai yang ada.
Antara pameran yang menjadi tumpuan Baginda tentunya produk tradisional seperti peralatan seni keris, batik, songket, ukiran kayu dan anyaman kercut.
Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Nara Setia, serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato' Mohd Fadzli Yusof pada jam 3.00 petang.
Sebaik tiba, Sultan Mizan bersama Sultanah dan paduka-paduka anakanda berkenan mencemar duli meluangkan masa kira-kira 15 minit bagi menyaksikan pameran bergerak gajah asia, salah satu aktiviti yang diwujudkan dalam karnival itu.
Pameran berkenaan adalah satu inisiatif YDSM bersama Kenyir Elephant Conservation Village (KECV) bagi menjelajah komuniti untuk menyemai kesedaran dan kasih sayang terhadap penjaga rimba negara itu.
Seterusnya, Tuanku berkenan melawat tarikan utama karnival yang menampilkan pameran produk usahawan-usahawan bimbingan YDSM.
Pada jam 4.45 petang, Tuanku berkenan menyempurnakan Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Dua Dekad YDSM yang dihadiri pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri. Sultan Mizan, Sultanah Nur Zahirah, Yang di-Pertuan Muda Terengganu bersama paduka-paduka anakanda berangkat pulang pada jam 5.30 petang.
22 Jun 25
1191
PHB Nyata Hasrat Untuk Terus Melabur Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengesahkan komitmen jangka panjangnya untuk melabur di pantai timur, khususnya di Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata kenyataan itu adalah sorotan daripada pembukaan Mayang mall, bakal menjadi pemangkin kepada perkembangan portfolio hartanah syarikat di negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Pahang.
Menurutnya, Mayang Mall dengan jumlah pelaburan melebihi RM400 juta bukan sekadar pusat beli-belah, malah simbol kepada pembukaan peluang pelaburan strategik PHB di wilayah pantai timur.
"Bukan hanya tertumpu kepada pusat beli-belah, kita akan tengok pendidikan dan juga 'healthcare' di Terengganu. Sebab kami melihat Terengganu ini banyak potensi terutamanya dari segi pendidikan dan 'healthcare'.
"Memang ada kami telah membuat perbincangan secara formal dengan beberapa institusi korporat dan pendidikan di Terengganu. Tetapi ianya masih di tahap perbincangan.
"Tapi insya-Allah kami yakin ia akan membuahkan hasil perkongsian perniagaan yang berdaya maju dan kolaborasi yang lebih berjangka panjang," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pelaburan Hartanah Berhad, Mohamad Damshal Awang Damit
Sebagai syarikat pengurus amanah hartanah untuk Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), PHB juga optimis pelaburan di Terengganu akan memberikan pulangan jangka panjang kepada para pelabur, khususnya rakyat negeri itu yang melabur dalam AHB.
"Istimewanya, kami bukan sahaja menawarkan unit 'trust' AHB, tetapi kami akan berusaha keras untuk dapatkan pelaburan di Terengganu.
"Rakyat Terengganu yang melabur dalam AHB akan dapat merasai hasil daripada pembangunan aset di negeri mereka sendiri.
"Meskipun ia mengambil masa, usaha ke arah pelaburan tersebut telah pun dimulakan.
Beliau yang juga merupakan mantan Pengarah Eksekutif (Pelaburan) LembagaTabung Haji (TH) berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media yang bertempat di Mayang Mall, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Damshal turut menjelaskan bahawa pihaknya hanya akan menumpukan fokus kepada hartanah komersial seperti pembangunan kediaman.
"Kami tidak masuk dalam industri perhotelan, kami lebih kepada 'commercial property' tetapi dari segi 'living quarters' yang berkaitan dengan penempatan, kemungkinan kita juga boleh masuk dalam kuarters pekerja ataupun penginapan pelajar.
"Tetapi bukan hotel," ujarnya.
22 Jun 25
1752