Artikel "Utama" Terkini
Terengganu FC I, II Mulakan Camp Base Training
KUALA TERENGGANU, 25 Mei- Pasukan Terengganu FC dan Terengganu FCII menjadi pasukan pertama yang memperolehi kebenaran melakukan latihan secara Camp Based Training di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Melalui kebenaran diberikan Malaysian Football League (MFL), kedua-dua pasukan itu akan 'berkampung' di Kem Pengakap Tengku Mohd Ismail, Gong Badak, bermula semalam.
Perkara ini selaras dengan pengumuman MFL pada 19 Mei lalu yang pasukan-pasukan dalam hanya dibenarkan menjalani sesi latihan secara Camp Based Training sepanjang penguatkuasaan PKP dilaksanakan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan dalam kenyataannya memaklumkan, kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu merupakan usaha mengekang penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di negara ini.
Terdahulu, pemain-pemain Terengganu FC, Terengganu FCII dan pegawai-pegawai pasukan menerima suntikan vaksin sebagai persediaan menjalankan sesi latihan secara Camp Based Training, dua hari lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC Sdn. Bhd., Ab Rasid Jusoh menyatakan, semua pegawai dan pemain diberi kebenaran khas mengambil vaksin terlebih dahulu bagi memenuhi kehendak MFL bagi meneruskan latihan berdasarkan campbase training melalui gelembong sukan setelah mendapat kebenaran kerajaan (KKM & MKN) mengadakan latihan.
24 May 21
543
Solat Jumaat Di Kawasan PKPD Besut Diganti Solat Zohor
KUALA TERENGGANU, 24 Mei- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan solat Jumaat di kawasan Perintah kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi daerah Besut diganti dengan solat Zuhur bagi mencegah penularan COVID-19.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato’ Osman Muda berkata, baginda amat mengambil berat dan menzahirkan menzahirkan kebimbangan akan peningkatan kes positif jangkitan harian COVID-19 di daerah Besut.
Katanya, keputusan tersebut selaras dengan arahan Kerajaan Persekutuan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 15 mukim dalam Daerah Besut bermula 22 Mei sehingga 4 Jun 2021.
“Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu bersetuju selepas mengambil kira pandangan Sahibus Samahah Dato' Mufti Negeri Terengganu dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, perlaksanaan aktiviti ibadat di masjid dan surau di 15 mukim dalam daerah Besut yang dikenakan PKPD dengan tidak membenarkan aktiviti solat Jumaat di masjid untuk tempoh tersebut dan digantikan dengan solat Zohor.
“Sementara solat berjemaah di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan bilangan jemaah maksimum seramai lima orang sahaja melibatkan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau.
“Ahli qaryah hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan menunaikan solat Zohor dan menunaikan solat- solat fardhu yang lain di rumah masing-masing,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu Osman berkata, laungan azan di masjid dan surau adalah dibenarkan sebagai memakluman kepada ahli qaryah berkaitan masuk waktu solat tetapi aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain tidak dibenarkan.
Menurutnya lagi, solat jenazah di masjid dan surau juga tidak dibenarkan.
“Pengurusan dan solat jenazah hendaklah dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan hanya melibatkan kehadiran pegawai atau jawatankuasa masjid dan ahli keluarga terdekat tidak melebihi dua puluh orang sahaja.
“Pengurusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan pula dilaksanakan dengan kehadiran tidak melebihi dua puluh orang terdiri daripada pegawai atau jawatankuasa masjid, petugas dan ahli keluarga si mati sahaja,” jelasnya.
Katanya, mana-mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.
“Jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan dan Keselamatan dan garis panduan serta arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dari masa ke semasa,” ujarnya.
Osman berkata, Sultan Mizan menyeru rakyat jelata khususnya di kawasan yang terlibat dengan PKPD mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan sama-sama memainkan peranan bersama barisan hadapan dalam menangani wabak ini dari terus merebak dan seterusnya ianya dapat dikawal sepenuhnya.
24 May 21
843
Balak Besar : Lulus 2017, Dakwaan Tak Dibayar Cukai Fitnah
KUALA TERENGGANU, 24 Mei – Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kayu balak bersaiz besar dibawa dari Terengganu tidak dikenakan bayaran cukai kerana Balai Pemeriksaan Hutan ditutup pada Ahad, adalah tidak berasas.
Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Roslan Rani sebaliknya berkata, Balai Pemeriksaan Hutan di negeri ini dibuka pada hari tersebut bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan penafsiran cukai telah dibuat di Balai Pemeriksaan Durian Mas, Dungun.
Katanya lagi, kayu tersebut juga diambil daripada kawasan usahasil berlesen dan telah dibuat pemindahan mengikut peraturan yang berkuatkuasa.
“Kayu tersebut adalah dari kawasan lesen, kompartmen 80, Hutan Simpan Sungai Nipah, ia dibawa keluar melalui kawasan lesen ke Kilang Papan Lanjut Edaran, Durian Mas, Dungun melalui Balai Pemeriksaan Hutan Air putih melibatkan empat Pas Pemindah.
“Pada 10 Mei 2021, satu permohonan telah dibuat oleh pelesen Syarikat Zee Utuh Enterprise kepada Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan untuk memindahkan kayu itu ke Kilang Hong Seng Sawmil co., Rawang, permohonan itu diluluskan pada 18 Mei.
“Berpandukan itu, empat tual balak berkenaan telah dikeluarkan melalui satu Pas Pemindah di Balai Pemeriksan Durian Mas pada 23 Mei 2021, lori pengangkutan balak bernombor pendaftaran BQB 5512,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Mengulas mengenai kelulusan itu, Roslan berkata kawasan tersebut sudah lama diluluskan untuk tujuan itu iaitu sejak tahun 2017, dan ia sebenarnya dirancang untuk dibangunkan tanaman sawit di sana.
“Lesen pula berkuatkuasa pada Ogos 2019 hingga Ogos 2020 dan diberi pelanjutan sehingga April tahun ini untuk tujuan berkenaan.
"Kelulusan kawasan dan berkuatkuasa lesen adalah perkara berbeza, ini perlu difahami semua pihak dengan teliti, bagi isu ini kawasan itu diluluskan untuk aktiviti pembalakan pada 2017 kemudian lesen syarikat terbabit berkuatkuasa pada 2019,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan sedia ada tidak boleh membatalkan kelulusan itu, kerana syarikat terlibat telah mengeluarkan perbelanjaan untuk pelbagai perkara berkaitan.
"Jika dibatalkan kerajaan negeri boleh disaman atau diambil tindakan undang-undang, termasuk terdedah dengan isu integriti dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh siasat kenapa ia dibatalkan," katanya.
24 May 21
12126
JPKK Dun Jabi Bantu Golongan Terjejas PKPD
BESUT, 24 Mei – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi bersiap sedia membantu golongan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, PKPD selama dua minggu di kawasan terbabit menyebabkan ada golongan yang terputus bekalan makanan.
"Beras MyGAP Ganu akan disalurkan untuk warga Jabi yang kehabisan bekalan dalam tempoh dua minggu PKPD.
"Ada orang kita yang berkemampuan dan boleh manfaatkan kelonggaran ‘Standard Operating Procedures’ (SOP) PKPD untuk keluar beli barangan keperluan harian.
"Tetapi ada orang kita yang walaupun diberi kelonggaran keluar cari bekalan, mereka tak dapat bekerja dan tiada duit, mereka inilah yang kita nak bantu dan wajib dibantu. Bukan beras saja, ada lagi barangan harian lain diberi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bekalan bantuan makanan kepada semua JPKK DUN Jabi, hari ini.
Dr Azman turut menegaskan kepada semua Pengerusi JPKK agar meningkatkan lagi tahap kecaknaan terhadap keadaan rakyat di bawah dalam menghadapi hari-hari sukar ini.
"Kepada yang memerlukan, jangan segan dan malu untuk beritahu kepada 'Tok Ngulu' kita di kampung masing-masing. Beritahu terus kepada saya pun tak mengapa.
"Untuk keluarga yang sedang dikuarantin memang ada dalam senarai kita dan sudah dibantu. Jiran-jiran pun tolong prihatin tentang sesama kita Biar kita bersatu hati sama lapar dan sama kenyang dalam keadaan susah ketika ini" katanya lagi.
24 May 21
3674
Operasi Mencari Pemancing Jatuh Laut Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 23 Mei- Pasukan Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan meneruskan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT)m bagi hari keempat seorang pemancing bot fiber disyaki jatuh laut di sekitar perairan Kuala Terengganu.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sektor pencarian hari ini merangkumi 332.37 batu persegi bagi mengesan mangsa Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34 tahun disyaki hilang di lokasi terakhir bot mangsa ditemui oleh nelayan tempatan pada kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
Jelasnya, operasi CARILAMAT melibatkan dua aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) iaitu Kapal Maritim (KM) NUSA dan pesawat udara AW139 bagi mengesan kedudukan mangsa yang mungkin hanyut dari lokasi yang dipercayai berlakunya insiden.
"Operasi pencarian turut menerima bantuan aset bot PSC 25 dan dua jetski Pasukan Polis Marin serta bot P308 Jabatan Perikanan dan juga komuniti nelayan setempat," katanya melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan, petang ini.
Muhammad Suffi turut memaklumkan penemuan seorang lagi mangsa bot nelayan tempatan kelas A yang hilang 19 Mei lalu, di sekitar 4.7 batu nautika dari penemuan mayat pertama, semalam.
"Mangsa dipercayai Ja’afar bin Sulong, 66 tahun yang menaiki bot TFA 663 bersama Baharudin bin Abdullah, 47 tahun yang ditemui meninggal dan terapung semalam oleh nelayan tempatan.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu. Seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi proses pengecaman dan bedah siasat," katanya.
23 May 21
268
'Kami Juga Penat, Rindu Keluarga'
KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Di kala netizen mula meluahkan rasa penat kerana terpaksa menjalani hidup dengan penuh kesukaran termasuk beberapa Perintah Kawalan Pergerakan berbeza, petugas kesihatan turut mengakui perkara sama namun menganggap ia sebagai pengorbanan untuk 'memerdekakan' negara.
Doktor Pakar Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Nurul Ashikin Adnan berkata, letih tidak patut dijadikan alasan ketika ini sebaliknya semua pihak perlu bekerjasama dan cekal dalam membendung pandemik COVID-19.
"Rakyat merasa letih kerana tidak boleh melakukan perkara yang mereka selalu buat sebelum ini seperti tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri.
"Kami juga tidak boleh lari daripada perasaan demikian, namun perlu teruskan juga kerana ia merupakan amanah dan jalan untuk kita selamatkan negara, walaupun jelas kepenatan pada setiap petugas, malah berisiko lebih tinggi untuk menjangkiti ahli keluarga apabila pulang ke rumah.
"Sebagai manusia biasa sebahagian kami juga turut merindui ahli keluarga masing-masing, kerana kebanyakan bukan orang Terengganu, ada yang dah dua tahun tidak menemui keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di HSNZ, di sini hari ini.
Mengulas mengenai pesakit COVID-19, Dr Nurul Ashikin berkata, merawat individu positif pandemik merupakan detik yang sangat sukar dan mencabar dalam hidup terutama apabila berhadapan dengan mereka yang berada di ambang kematian.
"Terutama di waktu kita hendak memaklumkan kepada ahli keluarga pesakit bahawa keadaan dah semakin teruk, ia bukan mudah buat kami.
"Jika mereka boleh diselamatkan itu merupakan perkara yang sanggat mengembirakan. Tetapi perlu diingat virus ini bukan sesuatu yang biasa dan tidak mudah," ujarnya.
Oleh kerana itu katanya sangat wajar untuk setiap anggota masyarakat mengikuti saranan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah agar setiap rakyat melakukan 'self lockdown'.
"Bantulah kami petugas kesihatan, kalau tidak ada keperluan jangan keluar terus mematuhi SOP, serta pemakaian topeng dan penjarakkan sosial perlu diamalkan jika perlu keluar untuk menyelesaikan perkara penting.
"Kerana itu merupakan langkah yang terbaik untuk dihentikan penularan wabak ini," jelasnya.
23 May 21
4300
PKPD : Kerajaan Negeri Salur RM400,000 Bantu Penduduk Besut
KUALA TERENGGANU, 23 Mei – Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 15 mukim di daerah Besut, kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan sebanyak RM400,000 kepada penduduk terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, peruntukan itu diluluskan sebaik sahaja Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meninjau perkembangan PKPD di daerah terbabit semalam.
“Kerajaan Negeri sangat mengambil cakna tentang perkembangan COVID-19 dalam negeri ini, terutamanya Besut yang telah dikenakan PKPD yang berkuatkuasa bermula semalam sehingga 4 Jun.
“Oleh yang demikian, kerajaan negeri telah bersetuju memperuntukkan sumbangan RM400,000 kepada penduduk terjejas di kawasan yang dikenakan PKPD.
“Diharapkan bantuan tersebut dapat membantu rakyat yang terjejas terutama dari sudut ekonomi sepanjang tempoh PKPD dikenakan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau menyeru agar seluruh rakyat Terengganu untuk terus berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
“Seluruh rakyat Terengganu sama-samalah kita menjaga diri dan keluarga. Ikuti SOP yang ditetapkan, dan menyokong saranan 'lockdown' kendiri sebagai langkah mengekang COVID-19 di saat ini,” tambah beliau.
23 May 21
2663
'Patuh SOP, Balas Pengorbanan Frontliners' - Pesakit COVID-19
KUALA TERENGGANU, 23 Mei – Rakyat di Malaysia dan Terengganu khususnya dirayu supaya serius dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19 bagi membalas segala penat lelah petugas barisan hadapan.
Pesakit COVID-19, Abdul Halim Zakaria, 33, berkata, trend peningkatan kes di Terengganu dalam beberapa hari ini memerlukan kesatuan antara rakyat, petugas kesihatan dan kerajaan.
"Masyarakat perlu mengingati pengorbanan frontliners dan berusaha untuk mengekang wabak dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Mereka ini tiada masa untuk diri sendiri, ada yang mula kerja pagi sehingga malam dan sentiasa bergerak ke hulu hilir dalam pakaian pelindung diri (PPE).
“Besar pengorbanan mereka dari sudut kerja jiwa dan masa, mereka juga ada keluarga namun demi keselamatan negeri dan masyarakat, itu daripada sudut saya sebagai pesakit yang telah saksikan disebalik tabir,” katanya lagi.
“Kita siapa bagi mereka, kita tidak kenal sesama sendiri namun saya telah saksikan suatu pengorbanan besar daripada frontliners,” luah seorang pesakit COVID-19 menceritakan pahit getir para petugas barisan hadapan ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Menceritakan jasa besar petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Halim menyifatkan sikap profesional mereka sangat tinggi walaupun terpaksa berdepan pelbagai karenah pesakit.
“Pesakit pula masing-masing ada karenahnya, kalau kita lihat dengan mata kepala kita, banyak jasa diberikan dalam memastikan kita mendapat layanan dan rawatan terbaik,” tambahnya.
Menurut Halim, kebanyakkan pemandu ambulans mengambil pesakit positif COVID-19 dari daerah lain termasuk hingga ke Besut dan Dungun untuk ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Chendering.
“Bayangkan memandu sehingga dua jam dalam ketebalan pakaian pelindung diri (PPE), itu antara pelbagai sumbangan besar yang kita perlu tahu.
"Jadi, hargailah pengorbanan mereka, sama-sama kita putuskan rantaian COVID-19," jelasnya.
23 May 21
412
PKPD : Masih Ada Penduduk Gemar Keluar Rumah
BESUT, 22 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegur sikap penduduk di daerah ini yang masih gemar keluar rumah meskipun kawasan terbabit dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, sikap sambil lewa dalam penjagaan prosedur operasi standard (SOP) itu termasuk keluar membeli barangan tanpa mengira masa berisiko menyebabkan jangkitan COVID-19 terus menular dalam komuniti.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar merancang pergerakan masing-masing terutama dari segi pembelian barangan keperluan sekali gus mampu membantu kerajaan memutuskan rantaian virus tersebut.
“Saya harap dalam tempoh dua minggu ini, orang ramai bertahanlah dahulu dan keluar hanya apabila perlu atau semasa kecemasan.
“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada sekatan jalan raya (SJR), didapati ada penduduk yang pagi keluar membeli telur, tengah hari membeli bawang dan petang pula membeli ayam, sepatutnya kita rancanglah pembelian,” katanya kepada pemberita selepas melawat SJR Seberang Jertih di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rozak Muhammad.
Seluruh daerah Besut dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 4 Jun susulan sembilan daripada 17 kluster aktif di Terengganu dikesan membabitkan daerah berkenaan dan menjadi penyumbang kepada peningkatan kes COVID-19.
Dalam pada itu, Roslee berkata, seramai 254 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dikerah sepanjang PKPD di Besut dengan sembilan SJR yang diadakan di daerah berkenaan.
“Saya merayu semua penduduk di 15 mukim di sini supaya mematuhi SOP ditetapkan kerana tanggungjawab memutuskan rantaian ini bukan peranan barisan hadapan tetapi tanggungjawab setiap individu.
“COVID-19 ini bukan cerita dongeng atau rekaan sebab hari-hari ada kematian dengan 14 kes direkodkan setakat ini,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri mahu keluarga atau individu yang mengalami kesempitan sepanjang PKPD melaporkan perkara itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri masing-masing.
"Saya mohon yang mana terhimpit untuk berhubung dengan setiap wakil rakyat supaya mereka boleh berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyalurkan bantuan," tambah beliau.
22 May 21
1031
Terengganu Kutip RM4.7 Juta Untuk Rakyat Palestin
KUALA TERENGGANU, 22 Mei - Tabung Kemanusiaan Palestin yang digerakkan kerajaan negeri serta badan bukan kerajaan dan parti politik di Terengganu berjaya mengumpulkan RM4.7 juta dalam tempoh satu minggu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah kutipan untuk #Aids4Palestine itu termasuk pemotongan sebulan gaji beliau dan barisan Exco.
“Selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS menyumbang RM3,000 seorang, selebihnya syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan yang diuruskan sekretariat Majlis Muafakat NGO Terengganu, menjadikan jumlah sebanyak RM1 juta dikumpulkan.
“Manakala saluran kedua melibatkan Urus setia PAS Relief Terengganu dan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang berjumlah RM3.7 juta.
“Semoga Allah SWT menerima sumbangan ini sebagai amal soleh yang menjadi jariah berpanjangan," ucapnya ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Aid4Palestine peringkat tiga negeri, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kutipan diraih PAS Terengganu adalah melalui Kawasan, Pemuda, Muslimat dan Ameerah.
“Daripada jumlah keseluruhan, PAS kawasan Marang memberi sumbangan paling banyak iaitu RM671,055 diikuti kawasan Kemaman (RM600,037) dan Kuala Terengganu (RM535,555).
“Saya berterima kasih kepada semua yang menyumbang ke dalam Tabung #Aid4Palestine, ia jelas menunjukkan keprihatinan rakyat Terengganu dengan penderitaan saudara kita di Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, hasil derma bermula 15 Mei lalu telah diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Datuk Husain Awang secara atas talian dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Aid4Palestine peringkat negeri Terengganu, semalam.
22 May 21
781