lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PKPD Di Mukim Kuala Berang 29 Mei Hingga 11 Jun
PKPD Di Mukim Kuala Berang 29 Mei Hingga 11 Jun
HULU TERENGGANU, 27 Mei - Mukim Kuala Berang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 29 Mei hingga 11 Jun ini susulan berlaku peningkatan kes Covid-19 amat ketara dalam masa yang singkat. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung situasi kes Covid-19 di kawasan berkenaan. Katanya dalam satu kenyataan, keputusan ini diambil setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Menurutnya lagi, pelaksanaan PKPD untuk menyekat pergerakan dan jangkitan COVID- 19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut. Sehingga hari ini KKM melaporkan sebanyak 37 kes positif telah direkodkan hasil daripada 213 ujian saringan dengan kadar positiviti 17.4 peratus. Pada masa sama, telah berlaku penularan kes di semua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.    
27 May 21
1966
COVID -19 : Pasar Besar Kuala Berang  Ditutup 7 Hari
COVID -19 : Pasar Besar Kuala Berang  Ditutup 7 Hari
HULU TERENGGANU, 27 Mei  - Pasar Besar Kuala Berang ditutup sementara selama 7 hari bermula tengahari hari ini hingga 2 Jun depan. Penutupan pasar utama di daerah ini tersebut diarahkan Jabatan Kesihatan Terengganu mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. Ia susulan operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas beberapa pekerja am di premis itu dilaporkan telah dijangkiti Covid-19. Sementara itu, Pejabat RELA Hulu Terengganu yang berda di dalam Pasar Besar berkenaan juga diarahkan tutup sementara mulai 27 Mei hingga 3 Jun. Sehubungan dengan itu semua pegawai dan kakitangan Pejabat RELA  akan Bekerja Dirumah( BDR) selama tempoh tersebut dan sebarang urusan boleh berhubung melalui telefon peribadi masing-masing.  
27 May 21
1129
Polis Nafi Laksana PKPD Di Kuala Terengganu
Polis Nafi Laksana PKPD Di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Ketua Polis Terengganu, DCP Datuk Roslee Chik tampil membetulkan fakta radio yang tular berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pagi tadi. Jelasnya, audio yang mengesahkan bandar raya Kuala Terengganu akan dikenakan PKPD sebenarnya tidak betul. "Setakat ini, belum ada lagi perintah PKPD diputuskan. Apa yang berlaku ialah kita hendak mengurangkan jumlah kenderaan masuk ke bandar yang masih banyak, disebabkan itu banyak sekatan jalan raya yang dilaksanakan," katanya ketika dihubungi media, hari ini. Beliau turut menambah, larangan keluar selepas jam lapan malam perlu difahami dengan jelas oleh rakyat. "Sebenarnya, larangan tersebut adalah bagi sebarang bentuk perniagaan kecuali farmasi dan stesen minyak di laluan utama. "Tiada sekatan untuk keluar selepas jam lapan malam dan ke atas, tetapi kita galakkan masyarakat duduk di rumah sekiranya tiada apa-apa keperluan bagi mengelakkan penularan pandemik ini semakin parah," katanya.
27 May 21
4160
Angka COVID-19 Bukan Rekaan, Keadaan Makin Teruk
Angka COVID-19 Bukan Rekaan, Keadaan Makin Teruk
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Jumlah harian individu dijangkiti COVID-19 di seluruh negara dan negeri adalah benar dan bukan rekaan yang dibuat untuk menafikan pergerakan rakyat. Pakar Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Nurul Asyikin Adnan berkata, masih ada golongan tertentu yang menganggap angka daripada Kementerian Kesihatan Malaysia adalah palsu. Katanya, tidak cukup dengan itu. KKM dan petugas kesihatan dicemuh saban hari oleh sebahagian kecil masyarakat kerana mereka percaya COVID-19 tidak wujud. "Kita sering mendengar orang kata KKM menipu, netizen suka sangat mengambil maklumat yang tidak sahih, kenapa kami perlu menipu data, tidak ada manfaat dan kelebihan pun jika kami berbuat demikian. "Kalau tanya kepada saya keadaan di wad, saya boleh ceritakan katil yang kita ada sekarang ini sangat terhad, kebanyakan pesakit telah berada dalam kategori tiga dan empat, dan akhirnya jadi kategori lima. "Memang boleh saya katakan agak mencabar, memberi rawatan kepada mereka yang positif untuk gelombang sekarang ini berikutan varian yang agak agresif," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di HSNZ baru-baru ini. Mengulas lanjut Dr Nurul Asyikin berkata, pihaknya mempunyai bukti bahawa mereka yang harus berada di wad kerana memerlukan oksigen semakin bertambah. "Pada awalnya ada dua wad sekarang ini telah bertambah kepada lima, 95 peratus sangat memerlukan bantuan oksigen kerana itu ditempatkan di hospital bagi mendapat rawatan lanjut. "Kalau kita tengok dokumentari pesakit dari India, mereka memerlukan oksigen dengan banyak kerana kapasiti oksigen dalam badan sangat rendah. "Tapi kita berharap agar kita tidak sampai lagi ke tahap terdesak sebagaimana yang dipaparkan itu, kami harap tidak seteruk itu dan masih akan cuba semampu mungkin memberikan yang terbaik untuk pesakit," ujarnya. Menjawab mengenai penularan kes dengan begitu cepat disebabkan varian dari India dan Afrika di negeri ini, katanya ia masih lagi dalam peringkat kajian. "Pada kesempatan ini saya juga menyeru kepada orang ramai yang mana masih belum mendaftar vaksin tolong mendaftar untuk mendapatkannya. "Kami lihat varian ini dah semkain ganas dan mula menjelajah kepada negara kita walaupun sudah mendapat dua dos vaksin masih berisiko, namun yang sudah mendapatkannya keadaan mereka cepat stabil dan hanya bergejala sedikit sahaja," ujarnya.
27 May 21
480
Lockdown Diri Sendiri Putuskan Rantaian COVID-19
Lockdown Diri Sendiri Putuskan Rantaian COVID-19
Oleh: Faizal Ghani Al Medaniey KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Masyarakat digesa untuk sama-sama berganding bahu membantu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi merayu agar rakyat negeri ini dapat mengikuti kempen yang disarankan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).  "Saya menyeru dan merayu agar kita semua rakyat negeri Terengganu khususnya penduduk di dalam kawasan DUN Batu Buruk agar melakukan "Lockdown Diri Sendiri" sebagaimana pesanan dari JKNT bagi membantu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negeri kita," katanya dalam satu status Facebook miliknya, semalam. Tambahnya lagi, melihat keadaan kes harian yang makin meningkat, amat wajar pada waktu ini rakyat menyahut seruan JKNT untuk menyekat penularan virus tersebut. Beliau juga mengingatkan bahawa ini bukan masa untuk masyarakat bertelingkah sebaliknya semua pihak perlu bersatu bagi menghadapi musuh COVID-19. "Bukan masanya kita menuding jari dan berbalah menuduh kepada sesiapa sebaliknya kita tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik, perlu bersatu memerangi musuh yang tidak kelihatan ini," jelasnya.  
27 May 21
199
Malam PKP Di Terengganu 'Sunyi'
Malam PKP Di Terengganu 'Sunyi'
KUALA NERUS, 26 Mei – Suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada waktu malam di Terengganu kelihatan agak 'sunyi' berbanding sebelum ekoran peningkatan kes mendadak di negeri berkenaan. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab ketika dihubungi berkata, beliau merasakan orang ramai mula sedar akan kepentingan mematuhi perintah tersebut memandangkan kes kematian juga meningkat. "Tinjauan saya selepas isyak malam semalam mendapati jalan sudah pun lengang daripada kenderaan dan kedai-kedai dilihat tutup berikutan arahan tutup jam 8.00 malam "Semoga ‘trend’ ini kekal sehingga ke tamat PKP 3.0 ini nanti,” jelasnya lagi Sementara itu, seorang warga Seberang Takir, Adhha Yassin, 31, ketika ditemui berkata, seluruh rakyat diharap lebih peka akan prosedur operasi standard (SOP) kerana DUN berkenaan tidak terlepas daripada peningkatan kes yang ketara. “Keluar jika perlu, sebelum menyesal kemudian lebih baik mencegah daripada sekarang. “Berperang dengan apa yang tak nampak di mata, jadi kita hendaklah sentiasa berhati-hai dan jangan pentingkan diri sendiri," nasihatnya.  
26 May 21
1396
Cahaya 'Bulan Berdarah' Terangi Bandar Pesisir Pantai
Cahaya 'Bulan Berdarah' Terangi Bandar Pesisir Pantai
KUALA TERENGGANU, 26 Mei – Fenomena gerhana bulan penuh atau ‘bulan berdarah’ kelihatan di sekitar bandar persisir pantai Kuala Terengganu bermula pada 4.47 petang tadi dan berakhir malam ini. Menurut laman rasmi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena itu mempunyai nama unik berdasarkan bulan kelihatan berwarna kemerahan selama kira-kira 14 minit pada fasa gerhana penuh. Katanya, fenomena gerhana itu akan berlaku selepas beberapa jam bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Bumi (perigee) dengan jarak 357,309 km. “Sekitar jam 7.19 malam kemuncak gerhana maksimum boleh dilihat di Semenanjung ketika bulan sedang terbit dan rendah di ufuk timur,” jelasnya. Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman di kawasan Drawbridge mendapati peristiwa astrologi yang terakhir berlaku pada tahun 2018 itu kelihatan terang walaupun dikaburi dengan cuaca mendung. Fenomena Bulan Berdarah di langit Drawbridge Kuala Terengganu Berdasarkan kenyataan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), masyarakat diseru melakukan solat sunat gerhana bulan antara pukul 7.13 malam sehingga 8.52 malam bagi memenuhi tuntutan sunat muakkadah. Selain solat sunat, antara sunnah ketika fenomena gerhana termasuk beristighfar memohon keampunan Allah, takbir, tasbih, tahmid, sedekah dan memperbanyakkan amalan sunat.  
26 May 21
902
90 Positif Akibat Rentas Negeri, Daerah Sambut Aidilfitri
90 Positif Akibat Rentas Negeri, Daerah Sambut Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 25 Mei – Kegembiraan dapat merentas negeri dan daerah dengan pelbagai alasan untuk menyambut Aildilfitri bertukar hiba buat 90 individu apabila mereka disahkan positif COVID-19, setakat semalam. Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, antara kisah yang berjaya dibongkar ialah apabila ramai ahli keluarga positif di satu lokaliti dan dikaitkan dengan pulang dari zon merah secara ‘senyap-senyap’. “Seramai 30 orang telah merentas negeri dan daerah atas pelbagai sebab melibatkan daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Kemaman menyebabkan sejumlah 90 orang disahkan dijangkiti virus. "Pihak berkuasa larang ziarah hari raya. Kita buat juga secara diam-diam dengan alasan anak-beranak sahaja. Kalau betul patuh  prosedur operasi standard (SOP) jangkitan mesti kecil, kita dan anak-anak sahaja, bukan semua dijangkiti termasuk datuk, nenek, mak saudara, bapa saudara, cucu dan sepupu," katanya menerusi laman facebook rasminya. Menurutnya, situasi peningkatan kes positif COVID-19 di Terengganu sehingga tiga angka masih tidak menunjukkan jalan keluar berikutan sikap masyarakat yang tidak serius. Dr Nor Azimi menjelaskan, trend kenaikan kes hasil daripada anjuran majlis berbuka puasa dan jemaah tadarus dapat dielakkan jika SOP dipatuhi. “Pelanggaran demi pelanggaran berlaku. Hasilnya kita nampak kes naik dan kematian juga berkali ganda. Walaupun pahit, kita perlu akui hakikat kita turut sama penyumbang kepada kenaikan kes meningkat ini,” luahnya. "Kita larang buat majlis berbuka, tadarus dan gotong-royong tetapi kita buat juga, siiap sembelih kerbau lagi, buat di kamung sebab orang tak nampak, akhirnya terbongkar apabila ramai jemaah masjid, tadarus positif," katanya. Tegasnya lagi, aktiviti perkumpulan di kawasan sesak seperti pusat membeli belah dan kedai makan turut menjadi penyumbang virus berleluasa. "Terbaru, sebuah pasar raya baru saja ditutup 14 hari kerana 17 pekerjanya disahkan positif. Mereka bertebaran di beberapa daerah, pastinya beribu-ribu orang masuk ke pasar raya itu sebelum hari raya baru-baru ni. "Kita pakaikan gelang suruh duduk rumah, bukan merayau-rayau memberi risiko kepada orang lain. Orang suruh patuhi SOP kita langgar, segala-galanya tak kena," tegasnya. Jesteru, beliau menegaskan kepentingan pematuhan SOP kepada semua lapisan masyarakat demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dengan cepat. “Kali ini pengamalan SOP mesti ketat dan bukan 'suku-suku, separuh', ini kerana peranan tersebut kita yang tentukan,” nasihatnya. "Ada yang bagus dengan menjalani penilaian risiko dan kuarantin kendiri. Ini sekali gus dapat membataskan penularan, virus hanya menjangkiti keluarga sahaja," tambah beliau.
25 May 21
4218
Positif Covid-19 Kali Kedua, Cikgu Shafruddin Redha
Positif Covid-19 Kali Kedua, Cikgu Shafruddin Redha
KUALA TERENGGANU, 25 Mei - Belum lagi hilang rasa bimbang, ketakutan dan perit akibat disahkan dijangkiti virus Covid-19 buat kali pertama awal Januari lalu, Ketua Nazir, Jemaah Nazir, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Shafruddin Ali Hussin terpaksa akur kerana disahkan terkena jangkitan virus sama buat kali kedua pada 10 Mei baru-baru ini. Shafruddin yang membahasakan diri sebagai cikgu memberitahu, beliau kali pertama positif pada 9 Januari lalu, puncanya tidak pasti, berkemungkinan diperoleh daripada rakan mesyuarat atau ahli jemaah surau. Katanya, sebelum tarikh itu, tekaknya merasa perit, hilang deria bau dan rasa, badan mula gementar, beliau hampir demam tetapi masih lagi di bawah suhu 37.5. “Bimbang dengan keadaan itu, cikgu ada menghubungi kenalan di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT),  bertanya hal berkaitan, bagaimanapun rakan seakan menafikan, sebaliknya mendakwa mungkin demam denggi. “Disebabkan tekak semakin sakit, cikgu memilih untuk membuat ‘swab test’ (ujian saringan) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). “Cikgu minta jasa baik petugas berkaitan agar menyegerakan keputusan kerana ada mesyuarat  penting di Ipoh pada keesokan harinya,” katanya ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini. Menurutnya, keputusan yang diperoleh selepas tiga jam swab test sangat mengecewakan sedangkan dia tidak bersedia untuk menerima ujian seberat itu. “Cikgu dipantau pegawai perubatan HSNZ kerana oksigen mula turun di bawah 95 peratus dan doktor menyatakan  kemungkinan ada pembekuan darah. “Tiada rawatan khas, hanya diminta melakukan senaman dan latihan penafasan, di samping perlu makan vitamin c dan pil wuhan secara berkala dan beberapa prosedur rawatan lain yang perlu diikuti,” katanya yang disahkan negatif Covid-19 selepas sepuluh hari bertarung dengan virus itu. Shafruddin berkata, belum pun melepasi tempoh enam bulan bebas daripada jangkitan Covid-19, dia terpaksa redha dengan ujian buat kali kedua pada 10 Mei di mana sebelum itu mempunyai kontak rapat dengan jurusolek program televisyen. Katanya, positif kali kedua tidak bergejala kecuali kadar darah dan gula dalam badan tinggi. “Waktu itu, cikgu jadi seakan bingung dan keliru kerana ada pihak tertentu menyatakan, sekiranya sesorang itu telah dijangkiti virus Covid-19, kadar kebolehan jangkitan untuk kali kedua sangat rendah. “Bagaimanapun, cikgu redha dengan ujian Allah dan menganggap semuanya ada hikmah,“ katanya yang juga bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan kini sudah bebas daripada Covid-19 sejak 17 Mei lalu.    
25 May 21
4561
Warga Tua Kritikal Akibat Covid-19 Bertambah
Warga Tua Kritikal Akibat Covid-19 Bertambah
KUALA TERENGGANU, 25 Mei - Semakin ramai warga tua di Terengganu berada di tahap kritikal ekoran penularan terbaru pandemik Covid-19. Pakar Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Mohamad Faizal Zulkhifli berkata, terdapat peningkatan ketara pesakit Covid-19 yang berada dalam keadaan kritikal sejak akhir-akhir ini. "Dahulu, pesakit kami datang ke bahagian kecemasan sama ada kritikal, separa kritikal dan tidak kritikal. Namun, selepas peningkatan kes Covid-19 kita dapati semakin ramai yang datang sebab sesak nafas, cuma sekarang kita sukar untuk membezakan mereka disebabkan Covid-19 atau tidak.  "Banyak pesakit berumur 60 tahun ke atas sebab mereka banyak penyakit lain yang berisiko mendapat kesan Covid-19 lebih teruk dan kebanyakannya berpunca disebabkan kunjungan ke kawasan zon merah," katanya ketika ditemui di HSNZ, hari ini. Jelasnya, peningkatan lebih ketara berlaku sebelum hari raya baru-baru ini, di mana banyak situasi ahli keluarga yang balik ke Terengganu tanpa menyedari mereka dijangkiti Covid-19 dan menjangkiti orang tua mereka. "Banyak berlaku, anak-anak pulang berjumpa ibu bapa mereka akhirnya menyebabkan ibu bapa yang mengalami simptom teruk akibat jangkitan itu, sedangkan mereka pula hanya mengalami simptom ringan. "Selalu yang kritikal, biasanya mereka akan dikomakan dan sambung bantuan pernafasan sebab mereka tidak boleh bernafas macam biasa, oksigen mereka hanya tinggal sekitar70-80 peratus," katanya. Justeru, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan pengawalan kendiri yang optimum. "Pertama, kita tahu vaksin membantu, bagi masyarakat di luar ketahuilah ia sangat berfungsi di mana staf kami yang sudah divaksin kadang-kadang terdedah dengan pesakit Covid-19, apabila di 'swab' alhamdulillah masih kekal negatif. Jadi, galakkan mak ayah dan ahli keluarga dapatkan vaksin. "Kedua, kawalan kendiri. Kita kena ingat risiko yang kita bawa balik ke rumah, kadang-kadang disebabkan kita mak ayah yang terima kesannya. Ingatlah, supaya tiada penyesalan di hari kelak," katanya.  
25 May 21
1666