Artikel "Utama" Terkini
PKPD : Polis Laksana Sembilan Sekatan Jalan Raya Di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Sebanyak sembilan sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama di daerah dilaksanakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa hari ini sehingga 12 Jun.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din melaporkan, pihaknya juga melaksanakan 10 sekatan di beberapa laluan alternatif melibatkan sempadan daerah Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu yang menghubungkan Kuala Terengganu.
“Dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR), sekatan penghadang plastik dan batu dikenakan di laluan tersebut," katanya kepada pemberita selepas memantau SJR di Jambatan Sultan Mahmud, hari ini.
Beliau turut memberi amaran keras kepada sesiapa yang bertindak mengalih atau mengubah penghalang yang diletakkan di jalan-jalan berkenaan.
“Pihak PDRM tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas jika penduduk di sekitar SJR berbuat kesalahan sedemikian," katanya lagi.
Abdul Rahim turut mengingatkan masyarakat khususnya di kawasan PKPD di 21 mukim Kuala Terengganu supaya duduk di rumah dan hanya keluar atas urusan perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Sekiranya ingin membeli barangan keperluan, hanya seorang wakil isi rumah sahaja dibenarkan keluar membeli kemudian terus pulang ke rumah,” jelasnya.
30 May 21
2711
'Jangan Buat Pembelian Panik' - Exco Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Susulan pengumuman Perdana Menteri berkenaan pelaksanaan ‘total lockdown’ di seluruh negara, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik kerana bekalan barang keperluan dijamin mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan, barangan harian masih boleh dibeli di kedai runcit terpilih dan pasar raya semasa 'lockdown' dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu.
"Sehubungan dengan penularan gambar orang ramai berpusu-pusu membeli barangan di beberapa pasar raya besar di sekitar Kuala Terengganu, saya nasihat elaklah pembelian panik kerana kuantiti barang keperluan harian tetap boleh dibeli dan mencukupi.
“Jika berlaku, ia akan menimbulkan keadaan yang sesak dan kerisauan terhadap kemungkinan penyebaran wabak COVID-19 adalah tinggi, terutamanya pada masa kini.
“Oleh itu, kurangkan bersesak-sesak dan patuhi (SOP) kerana situasi stok barangan masih terkawal,” jelasnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim turut menyuarakan peringatan sama.
"Ini adalah bahaya kepada diri sendiri, orang ramai bila terlalu ramai berada berdekatan antara satu sama lain dengan kemungkinan penularan virus boleh berlaku.
"Saya mohon supaya rancang dengan baik keperluan kita. Pilih kedai yang tak terlalu sesak serta hindar daripada membeli pada kuantiti berlebihan," katanya menerusi laman rasminya di Facebook, hari ini.
Hari ini tular gambar orang ramai bersesak-sesak di beberapa pasar raya di negeri ini.
29 May 21
703
COVID-19 : Kluster Raya Terbesar Badai Hulu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Daerah Hulu Terengganu kini berisiko tinggi dalam penularan COVID-19 jika penduduk di kawasan itu gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, daerah yang sebelum ini berstatus hijau bertukar ke status merah dalam sekelip mata angkara kluster raya yang telah membuahkan hasilnya.
Katanya, sehingga kini terdapat 124 kes Covid-19 aktif daripada lima kluster di daerah berkenaan berpunca daripada pelanggaran SOP dengan melakukan ziarah raya.
"Gara gara masih ada yang melanggar SOP hanya kerana ingin beraya maka mereka rentas negeri masa raya dan ziarah raya..Hulu Terengganu tidak boleh lagi dianggap daerah selamat.
" Akhirnya seluruh mukim Kuala Berang dilaksanakan PKPD bagi membendung penularan yang besar.
" Sekarang bukan mukim Kuala Berang saja yang ada kluster. mukim Hulu Telemong dan mukim Tanggol juga sudah dilanda badai Covid-19. Jika perlanggaran SOP berterusan maka bersedialah rakyat Hulu Terengganu menghadapi kluster yang lebih besar,"katanya menerusi hantaran di laman facebooknya pada Sabtu.
Tambah Nor Azimi, terdapat kes indeks dari Johor yang pulang beraya dan berlaku ziarah raya antara ahli keluarga terdekat.
"Akhirnya seramai 24 orang disahkan positif dan merebak ke pasar pula di mana empat pekerja am di pasar itu telah disahkan positif.
"Bagaimana risiko peniaga dan pembeli di situ. Semuanya terdedah dan ditakuti jangkitan telah meluas tanpa sedar," ujarnya lagi.
Tambahnya, ia termasuk dengan kluster di sebuah taman perumahan yang pulang beraya di Bentong dan balik beraya pula dengan jiran jiran.
" Akhirnya enam disahkan positif dan kontak rapat juga menjangkau ratusan orang," ujar beliau.
Selain itu katanya, kluster di mukim Hulu Telemong berpunca daripada sejarah balik beraya dari Melaka yang sudah kembali semula ke negeri terbabit.
"Kes tersebut balik dalam keadaan bergejala dan telah menular ke sebuah pejabat. Akhirnya 10 pekerja pejabat disahkan positif dan kontak rapat sedang dikesan,"katanya.
Jelas beliau lagi, walaupun nasihat telah diberikan supaya menangguh rentas negeri, majlis raya atau ziarah raya namun gagal dipatuhi menyebabkan musibah melanda.
"Sekarang musibah telah berlaku angkara tangan sendiri bukan tangan orang lain dan tak perlu tuding jari kepada sesiapa kerana kita yang salah.
"Jangan sampai katil wad kecemasan (ICU) di Terengganu sudah tidak berbaki kerana impak Kluster Raya sedang aktif maka kes dijangka terus meningkat," tambahnya.
29 May 21
1797
Lockdown Terengganu, Kerajaan Negeri Salur Bantuan Segera RM420,000
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 'total lockdown', kerajaan negeri akan memperuntukkan bantuan bersasar di Mukim Kuala Berang dan Kuala Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak RM420,000 akan disalur bagi meringankan beban mereka yang terjejas susulan penguatkuasaan PKPD.
"Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan bantuan bersasar buat 15 mukim di daerah Besut yang turut dikenakan PKPD sebanyak RM400,000," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Samsuri turut menyeru seluruh masyarakat Terengganu untuk kekal bertenang dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) selepas pengumuman pelaksanaan 'total lockdown' yang akan bermula pada 1 hingga 14 Jun.
Beliau menasihati rakyat supaya berganding bahu dan bersatu dalam memutuskan rantaian COVID-19.
"Usah kita menuding jari sehingga mencetuskan suasana yang tidak harmoni, teruskan bermunajat kepada Allah dan berdoa agar ujian ini segera berakhir dan kehidupan kita kembali normal seperti biasa," jelasnya.
Untuk rekod, keputusan 'lockdown' diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes dalam negara.
29 May 21
4033
Komen Peniaga Tentang PKP 3.0, ‘Total Lockdown’
KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan kerajaan dalam memutuskan penularan wabak COVID-19 mendapat respon yang pelbagai oleh sebahagian peniaga kecil.
Seorang peniaga, Ahmad Firdaus Abdul Talib, 31, berkata, kebenaran berniaga diberikan pihak berwajib melegakan mereka yang bergantung hidup menjual makanan.
“Alhamdulillah dalam keadaan PKP 3.0 ini, kerajaan masih benarkan kami berniaga untuk mencari pendapatan harian.
“Walaupun jualan tidak banyak seperti sebelum ini, namun cukup untuk saya sekeluarga untuk makan dan minum,” katanya ketika ditemu bual pemberita.
Luahan yang sama turut dikongsikan Wan Zaib Wan Abdullah, 42, ujarnya perniagaan yang diusahakan itu merupakan satu-satunya sumber mata pencarian untuk menyara kehidupan mereka.
“Ketika PKP 1.0 dulu, memang sangat terjejas sehingga hendak bayar sewa pun saya tidak mampu. Bila boleh berniaga dalam keadaan sekarang saya rasa bersyukurlah,” katanya.
Namun, Zulhisyam Awang, 36 pula memberikan pendapat berbeza dengan berharap agar kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’.
“Saya bersetuju sekiranya pihak kerajaan membuat ‘total lockdown’ untuk menurunkan bilangan kes jangkitan COVID-19.
“Apabila kes turun dan semua aktiviti dapat dibenarkan semula, orang ramai dibenarkan semula untuk berekreasi di pantai dan kita boleh berniaga dan mendapat ramai pelanggan seperti sedia kala,” tambahnya.
Sebentar tadi, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata. sepanjang tempoh ini semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Katanya, bantuan ekonomi kepada golongan tertentu sedang diperinci dan diumumkan dalam masa terdekat.
28 May 21
4242
Sah, ‘Total Lockdown’ Bermula 1 Jun
PUTRAJAYA, 28 Mei - Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata. sepanjang tempoh ini semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.
Muhyiddin berkata, sekiranya 'lockdown' Fasa Pertama itu berjaya mengurangkan kes-kes harian COVID-19, kerajaan akan melaksanakan 'lockdown' Fasa Kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.
"Lockdown Fasa Kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri itu.
Katanya, setelah berakhirnya lockdown Fasa Kedua, langkah seterusnya ialah memasuki Fasa Ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berkuat kuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.
Walau bagaimanapun, katanya keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19.
"Kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara kita tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.
"Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini," katanya sebagaimana dilapor Astro Awani.
Beliau berkata, susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.
"Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata, semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
"Yang terbaik ialah duduk di rumah atau stay at home untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19," katanya.
28 May 21
760
Bantuan PKP, PKPD Diagih Secara Telus
BESUT, 28 Mei – Kerajaan Terengganu memberi jaminan bahawa agihan bantuan kepada rakyat yang berdepan dengan situasi terdesak akibat wabak COVID-19 terutama di daerah Besut, dibuat secara telus.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, di Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau, setiap tugasan yang diberikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan dipantau perlaksanaannya.
Malah jelasnya, laporan mesti dihantar ke Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk direkodkan.
"Mohon jangan ada pihak terlalu mudah buat tohmahan tanpa bukti bahawa agihan tidak telus, ‘Tok Ngulu’ makan sendiri, ‘Tok Ngulu’ bagi anak beranak dan sebagainya.
"Kalau ada bukti, saya terbuka untuk terima dan buat tindakan pembetulan. Setiap kelemahan mesti diperbaiki," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bekalan barangan bantuan sempena PKPD Besut di setiap rumah Pengerusi JPKK Dun Jabi, semalam.
Ujar Dr Azman, bilangan keluarga yang dikuarantin di Jabi semakin meningkat, sehubungan dengan itu pihaknya akan menyelesaikan dulu agihan bekalan untuk mereka yang tidak dapat keluar rumah kerana dihadkan pergerakan.
"Untuk meminimakan pergerakan, ‘Tok Ngulu’ hanya perlu tunggu di rumah. Saya akan menghantar barang untuk diagihkan kepada penerima yang telah disenaraikan.
"Ingatan kepada 'Tok Ngulu' jangan ada seorang pun anak buah kita yang memerlukan pertolongan tercicir daripada menerima bantuan. Kena perhatikan sebaiknya dalam kampung masing-masing. Slogan PKPD kita, biar sama lapar sama kenyang," katanya.
Tambahnya, bantuan sebanyak RM400,000 yang diluluskan Kerajaan Negeri untuk Besut baru-baru ini sedang dan akan diberikan kepada mereka yang memerlukan.
"PKPD mungkin berlanjutan melihat kepada situasi kes sekarang. Kita perlu rancang program bantuan sebaiknya agar memberi manfaat dengan tepat kepada sasaran dalam tempoh PKPD berkuatkuasa.
"Dalam masa yang sama, Pejabat ADUN Jabi menggunakan sumber-sumber tambahan lain agar keperluan rakyat mampu dipenuhi dalam situasi mendesak sekarang," tambah beliau.
Tegasnya, setiap sen yang dibelanjakan adalah direkodkan dengan laporan lengkap perlu dihantar kepada pentadbiran negeri.
28 May 21
510
PKPD : KPDNHEP Jamin Barang Keperluan Utama Mencukupi
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan barang keperluan untuk penduduk Mukim Kuala Berang yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) cukup untuk menampung apa yang mereka perlukan dalam tempoh pelaksanaan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya telah membuat pemantauan malah KPDNHEP negeri sudah mengeluarkan kelulusan kepada Peruncit Daerah Terpilih (DDR) dan Pemborong Daerah Terpilih (DDW) untuk menyimpan lebih 20 peratus daripada had simpanan barangan kawalan.
"Sebanyak 20 DDR dan satu DDW di daerah Hulu Terengganu termasuk di kawasan Mukim Kuala Berang yang dikenakan PKPD berkuat kuasa esok dibenarkan membuat simpanan barang kawalan melebihi 20 peratus daripada had simpanan," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu ketika dihubungi, hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Rosol berkata KPDNHEP juga membenarkan semua pasaraya di kawasan beroperasi bermula daripada jam 8 pagi hingga 8 malam.
Justeru itu katanya, dakwaan yang tular di media sosial bahawa semua pasar raya di kawasan PKPD hanya dibenarkan beroperasi separuh hari adalah palsu.
Jelasnya, berita palsu yang viral sejak semalam telah menyebabkan berlakunya pembelian barangan keperluan utama secara panik dikalangan penduduk yang terlibat dengan pelaksanaan tersebut
"Kita sudah membuat semakan dengan pelbagai agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka menafikan mengeluar notis tempoh operasi pasaraya hanya sehingga jam 2 petang.
"Walaupun kerajaan mengumumkan PKPD di Mukim Kuala Berang berkuat kuasa esok, tetapi ketua keluarga dibenarkan untuk keluar membeli belah barangan keperluan utama termasuk di pasaraya," ujarnya.
Terdahulu dalam satu tinjauan, pengunjung di pasaraya di Bandar Kuala Berang sanggup beratur panjang dan didapati membeli pelbagai barangan secara panik susulan dakwaan pasaraya hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 2 petang.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mukim Kuala Berang dikenakan PKPD berkuat kuasa esok hingga 11 Jun depan susulan berlaku peningkatan kes COVID-19 amat ketara dalam masa yang singkat.
28 May 21
397
COVID-19 : Penggunaan Katil Hospital Terengganu Hampiri Maksimum
KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Terengganu dilaporkan antara beberapa negeri dengan kadar penggunaan katil hospital kerajaan bagi rawatan COVID-19 yang telah mencapai penggunaan maksimum.
Menurut laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), sehingga hari ini peratusan penggunaan katil semasa berbanding kapasiti sebenar di empat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dalam negeri kini mencecah 76 peratus.
Jelasnya, PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Kuala Terengganu mempunyai kapasiti 162 katil dengan 88 daripadanya dipenuhi, diikuti Kem Wawasan di besut dengan 132 buah katil dipenuhi daripada jumlahnya iaitu 200 buah katil.
“Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering 999 buah katil diisi pesakit daripada 1,128 katil dan PKRC Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, dengan 150 katil dipenuhi daripada jumlah 305 katil,” katanya menerusi laman rasmi twitter NADMA.
Kerisauan tersebut turut dibangkitkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang menyenaraikan Terengganu bersama negeri lain seperti Johor, Kelantan, dan Sarawak yang katilnya mencapai had maksimum
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan kaedah ‘repurpose’ serta mempertingkat kerjasama dengan hospital swasta dan pusat pengajar hospital universiti bagi memastikan jumlah katil untuk rawatan kes COVID-19 mencukupi,” katanya seperti dilaporkan Bernama, semalam.
Terbaharu, PKRC kelima telah dibuka semalam di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus yang menempatkan sebanyak 484 katil bagi menampung peningkatan pesakit virus.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, melihat trend peningkatan kes dalam negeri berkemungkinan memberi petanda katil PKRC sedia ada masih tidak mencukupi.
“Oleh itu, saya pohon semua rakyat Terengganu kekalkan kepatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya kita bukan menjadi salah seorang penghuni katil di PKRC itu,” katanya menerusi laman Facebook miliknya.
28 May 21
1297
17 Ribu Penduduk Terlibat PKPD Mukim Kuala Berang
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Hampir 17 ribu penduduk Mukim Kuala Berang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) yang akan bermula 29 Mei hingga 11 Jun sebagaimana pengumuman oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ia melibatkan 3,500 buah rumah meliputi kawsan seluas 7,000 hektar persegi.
Katanya, pihak polis akan mengadakan sekatan-sekatan dan aktiviti pemantauan di kawasan PKPD bagi memastikan semua keluarga dan penduduk terlibat di kesemua 23 lokaliti mematuhi SOP yang ditetapkan.
Justeru itu, seramai 80 anggota melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah mengaturkan perancangan untuk melaksanakan sekatan-sekatan jalan raya (SJR) di laluan-laluan utama, jalan kampung dan jalan tikus.
" Bagi jalan utama yang merupakan laluan utama keluar masuk ke mukim Kuala Berang, kita laksanakan lima SJR secara 24 jam.
"Ini termasuk empat jalan kampung dan jalan tikus yang telah dikenalpasti untuk kita adakan sekatan secara kekal," ujarnya ketika membuat tinjauan pemasangan SJR di Bandar Kuala Berang, hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Adli berkata sekiranya ada penduduk luar mukim yang ingin memasuki ke kawasan PKPD atas urusan 'essential' seperti kesihatan, farmasi dan lain-lain, mereka perlu mendaftar di sekatan SJR laluan pintu masuk yang berkaitan.
"Apa yang perlu dilakukan adalah dengan menulis nama, nombor kad pengenalan dan tujuan ke mana.
"Semasa hendak keluar, kena kemukakan bukti contohnya My Sejahtera jika ke bank, farmasi dan resit-resit pembelian yang berkaitan dengan aktiviti yang telah dilakukan," jelas beliau.
Tambahnya lagi, jika mereka gagal menunjukkan bukti, ia bermakna telah berlaku penipuan dan telah melanggar syarat PKPD.
"Maka tindakan saman atau kompaun akan diambil terhadap mereka yang lakukan kesalahan tersebut," ujarnya.
28 May 21
1383