lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Moratorium Untuk Pengusaha Bas, Teksi
Moratorium Untuk Pengusaha Bas, Teksi
PUTRAJAYA, 31 Mei - Kerajaan pusat akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan nilai peruntukan RM1 bilion selewat-lewatnyanya minggu ini melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+). Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui skim itu pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan. Katanya, kerajaan menyarankan agar agensi dan syarikat menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan.  "Pihak MARA akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind yang dibuka sehingga 31 Julai 2021. "Peminjam boleh memohon secara dalam talian untuk membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran atau moratorium.  "Manakala usahawan MARA yang terkesan akibat penutupan ekonomi, pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan akan diberi untuk bulan Mei sehingga Julai  2021," ujarnya. Muhyiddin berkata demikian pada Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan PKP 3.0 di sini, malam ini. Sementara itu, kerajaan turut bersetuju untuk melanjutkan Program Subsidi Upah di bawah PERKESO selama satu bulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan. Jelas Muhyiddin, kerajaan akan menanggung kos RM1.5 bilion dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan yang memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja dan lebih 200 ribu majikan. "Selain itu, majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan diberikan pengecualian pembayaran levi selama satu bulan pada bulan Jun 2021.  "Pada masa yang sama, pekerja juga boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui portal pembelajaran e-LATiH secara percuma yang melibatkan lebih 400 modul dan kursus kemahiran," tambah beliau.  
31 May 21
182
Penerima BPR Dapat Bayaran Tunai Tambahan
Penerima BPR Dapat Bayaran Tunai Tambahan
PUTRAJAYA, 31 Mei - Penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan mendapat bantuan tunai tambahan selepas kerajaan pusat memperuntukkan RM 2.1 bilion untuk inisiatif itu dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan.  Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bagi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup golongan yang paling terkesan susulan penguatkuasaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang bermula esok sehingga 14 Jun. Katanya, bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500, mereka akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500 dan isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000, akan menerima RM300.  "Golongan bujang pula akan menerima RM100. BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti. "Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak RM2.4 bilion," ujarnya. Muhyiddin berkata demikian pada Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan PKP 3.0 di sini, malam ini. Tambahnya lagi, beliau juga  mendengar permintaan rakyat supaya Kerajaan menimbang semula pemberian moratorium. Justeru itu katanya, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.  "Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan. "Mereka juga boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan," tambah beliau. Katanya, inisiatif itu akan dilaksanakan pada bulan Jun yang dijangka memanfaatkan lebih dari lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.
31 May 21
1158
Gerai Tepi Jalan Di Kuala Terengganu Dilarang Beroperasi
Gerai Tepi Jalan Di Kuala Terengganu Dilarang Beroperasi
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Semua gerai dan aktiviti penjaja di tepi jalan termasuk penjaja beredar di 21 mukim dalam daerah ini dilarang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuatkuasa 30 Mei. 21 mukim terlibat adalah Manir, Bukit Besar, Pengadang Buluh, Belara, Paloh, Kubang Parit, Serada, Rengas, Chendering, Bandar, Chabang Tiga, Kepong, Gelugur Kedai, Kuala Ibai, Atas Tol, Tok Jamal, Losong, Batu Burok, Pekan Chabang Tiga, pulau-pulau dan Gelugor Raja. Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, larangan turut melibatkan kenderaan bersaji (food truck), medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk kecuali gerai bahan mentah makanan dan hasil tani. "Walau bagaimanapun restoran, kedai, gerai makan dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam dengan pembelian makanan secara bawa pulang (take away), pandu lalu (drive-thru) atau penghantaran (delivery) sahaja. "Begitu juga dengan kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian juga dibenarkan dengan tempoh operasi yang sama," ujarnya ketika bersiaran di Terengganu Fm, hari ini. Katanya, sepanjang berada dalam tempoh PKPD, kesemua mukim ini juga tidak dibenarkan menjalankan operasi pasar harian, pasar tani, pasar malam dan bazar larut malam. "Sementara, pasar awam dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 2 petang manakala pasar borong dibenarkan beroperasi bermula 1 pagi hingga 9 pagi sahaja," ujarnya.
31 May 21
17670
'Lockdown' : Solat Jumaat Diganti Solat Zuhur Di Masjid
'Lockdown' : Solat Jumaat Diganti Solat Zuhur Di Masjid
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Ibadah solat Jumaat akan diganti dengan solat Zuhur di semua masjid dan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau 'total lockdown' bermula esok hingga 14 Jun ini. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato' Osman Muda berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri ini amat membimbangkan. "Solat Zuhur itu mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk kehadiran jemaah yang dibenarkan ialah seramai 12 orang sahaja terdiri dari pegawai dan ahli jawatankuasa masjid. “Di samping itu, laungan azan di surau dan masjid turut dibenarkan sebagai makluman kepada ahli kariah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Menurut Osman, sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain adalah dilarang sepanjang tempoh PKP termasuk tidak membenarkan solat jenazah di masjid dan surau. "Upacara akad nikah hanya dibenarkan dilaksanakan di pejabat agama daerah dengan kehadiran seramai lapan orang sahaja termasuk wali dan jurunikah. "Mana-mana kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hendaklah mematuhi arahan sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini. “Masjid dan surau yang diarah tutup mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan,” katanya. Dalam pada itu, Osman berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat Terengganu mematuhi setiap arahan ditetapkan dan bersama-sama memainkan peranan dengan barisan hadapan untuk menangani wabak daripada terus merebak.
31 May 21
760
Lindungi Diri, Perintah Agama
Lindungi Diri, Perintah Agama
KEMAMAN, 1 Jun - Perlindungan diri daripada sebarang perkara yang boleh mencederakan individu adalah perlu malah wajib dilakukan kerana ianya adalah salah satu tuntutan agama. Salah seorang penerima suntikan vaksin Covid-19, Razali Awang, 51, ketika ditemui menyeru semua masyarakat di Kemaman agar jangan mengambil mudah tentang wabak yang melanda negara sekarang. Razali Awang di Pusat Suntikan Vaksin Covid-19. "Marilah sama-sama kita menyahut seruan kerajaan agar mengambil suntikan vaksin Covid-19 ini. "Ini adalah satu pertahanan untuk diri kita dalam melawan wabak yang melanda negeri dan negara kita sekarang," katanya. "Malah ianya juga dituntut di dalam Islam agar mempertahankan diri daripada sebarang ancaman yang boleh memudaratkan diri, keluarga dan masyarakat di ,sekitar kita," ujarnya. Razali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Cicar, Kijal ditemui di Pusat Suntikan Vaksin Covid-19 setelah selesai mengambil dos pertamanya di Dewan Seri Amar, Kemaman pagi semalam. Penerima suntikan sedang menunggu giliran. "Jangan kita mudah terpedaya dengan dakyah yang cuba mengelirukan kita semua tentang vaksin ini. "Di samping berdoa kepada Allah, ini juga adalah salah satu ikhtiar bagi kita untuk melandaikan wabak ini yang masih membimbangkan kerajaan," ujarnya.
31 May 21
167
11,975 Individu Diperiksa Dalam Op 2 Jam
11,975 Individu Diperiksa Dalam Op 2 Jam
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Sepanjang lima hari pelaksanaan operasi had dua jam (Op Had 2J) seramai 11,975 individu di 1,257 premis perniagaan telah diperiksa di seluruh negara.  Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid berkata, operasi berkenaan bagi memantau dan memastikan pematuhan had masa pelanggan. Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat adalah baik dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan sejak operasi itu dilancarkan pada 25 Mei lalu. Bagaimanapun katanya, pelaksanaan Op Had 2J kini ditangguhkan selepas kerajaan mengumumkan 'total lockdown' (yang bermula esok) bagi mengelakkan situasi pembelian panik di kalangan orang awam. “Kita sangat gembira dengan pematuhan orang ramai terhadap SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkaitan had masa dua jam di sesebuah premis seperti pusat beli-belah dan pasar raya. “Ini menunjukkan masyarakat sebenarnya memahami dan mendengar kata mengenai usaha kerajaan melawan penularan COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan barangan keperluan di sebuah pasar raya di sini, hari ini. Sementara itu Rosol berkata, seramai 160 peruncit dan pemborong terpilih di negeri ini diberikan kebenaran menyimpan barang kawalan melebihi 20 peratus daripada had simpanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 'total lockdown'. Sehubungan itu, katanya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan barangan keperluan asas di semua sektor peruncitan di Terengganu dijamin mencukupi berdasarkan pemantauan. “Premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa, jadi bekalan barangan mencukupi dan orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik,” katanya.
31 May 21
1052
Besut Tertakluk Kepada SOP PKPD
Besut Tertakluk Kepada SOP PKPD
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Seluruh daerah Besut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Am Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Daerah Besut yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara bermula pada 22 Mei lalu sehingga 4 Jun nanti. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Besut (JPBD), Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, makluman itu dibuat selepas terdapat kekeliruan dalam kalangan orang awam khususnya berkenaan SOP yang digunapakai dan dikuatkuasakan di daerah itu. “Ini adalah lanjutan daripada pengumuman oleh Menteri Kanan Pertahanan pada hari ini berkenaan 17 senarai perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi, ramai yang terkeliru. “Untuk makluman, daerah Besut masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Daerah Besut yang melibatkan 15 Mukim. Oleh yang demikian JPBD ingin memaklumkan bahawa seluruh daerah Besut adalah tertakluk kepada SOP Am Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” jelasnya dalam satu kenyataan sebentar tadi.  Dalam perkembangan sama, beliau mengharapkan agar seluruh rakyat sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19. Untuk rekod, selain Besut, Kuala Terengganu dan mukim Kuala Berang turut dikenakan PKPD.
30 May 21
816
‘Lockdown’ : Hanya Dua Orang Dibenar Dalam Satu Kenderaan
‘Lockdown’ : Hanya Dua Orang Dibenar Dalam Satu Kenderaan
PUTRAJAYA, 30 Mei – Kerajaan hanya membenarkan dua orang dalam satu kenderaan bagi tujuan mendapatkan keperluan asas dan makanan sepanjang tempoh pelaksanaan ‘total lockdown’ bermula Selasa ini. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, bagi tujuan perubatan dan kesihatan pihaknya memberi kelonggaran sebanyak tiga orang termasuk pesakit dalam satu-satu masa.  “Pergerakan yang dibenarkan adalah dalam radius 10 kilometer dari kediaman, namun jika perkhidmatan perubatan dan kesihatan tiada dalam radius tersebut, pergerakan dibenar ke kawasan lain tetapi mesti paling hampir dengan tempat tinggal,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh hari ini. Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, taman asuhan kanak-kanak (Taska) turut diberikan kebenaran beroperasi untuk petugas barisan hadapan serta ibu bapa yang kedua-duanya bekerja. “Begitu juga dengan taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) swasta di sekolah swasta, antarabangsa dan ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun, hanya dibenarkan untuk petugas barisan hadapan serta ibu bapa yang kedua-duanya bekerja,” katanya. Jelas Ismail Sabri, turut dibenarkan ialah aktiviti solat di surau dan masjid yang terhad kepada maksimum 12 ahli jawatankuasa (AJK) manakala aktiviti lain tidak dibenarkan. “Upacara pernikahan (akad nikah) Islam dibenarkan hanya di pejabat Jabatan Agama Islam dengan kehadiran mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing manakala aktiviti rumah ibadat bukan Islam adalah dihadkan kepada maksimum 12 AJK rumah ibadat dengan kehadiran penganut tidak dibenarkan,” katanya. Tambah beliau lagi, semua premis makanan, termasuk gerai dibenarkan beroperasi tetapi hanya untuk pembungkusan dan penghantaran seperti yang dilaksanakan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) sejak 12 Mei lalu.
30 May 21
875
'Lockdown' : Pasar Raya Ditutup Kecuali Premis Jual Keperluan Asas
'Lockdown' : Pasar Raya Ditutup Kecuali Premis Jual Keperluan Asas
PUTRAJAYA, 30 Mei - Kompleks beli-belah ditutup kecuali premis pasar raya jualan makanan dan  keperluan asas sepanjang tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh, bermula Selasa depan. Menteri Kanan (Keselamatan), Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembukaan premis yang dibenarkan melibatkan bahagian makanan dan minuman, keperluan asas, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, 'mini mart' dan restoran untuk bawa pulang serta penghantaran ke rumah. Katanya, pasar raya, pasar raya besar, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, 'mini mart', kedai runcit dan 'departmental store' boleh dibuka dengan terhad kepada seksyen makanan, minuman serta keperluan asas saja. "Antara sektor lain yang dibenarkan beroperasi adalah restoran, gerai makan, kedai dobi, kedai cermin mata termasuk aktiviti e-dagang membabitkan semua kategori produk, serta pemborongan dan pengedaran untuk semua kategori produk perkhidmatan perlu sahaja. "Semua sektor perniagaan itu hanya dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam,"ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika memperincikan sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk beroperasi sepanjang pelaksanaan, hari ini. Sementara itu, perkhidmatan pengangkutan awam laut dan darat seperti pengangkutan pekerja, bas henti-henti, bas ekspres, LRT, MRT, ERL, Monorel, feri dan lain-lain pengangkutan awam dibenarkan beroperasi berdasarkan 50 peratus kapasiti kenderaan.             
30 May 21
461
'Lockdown' : Terengganu Mohon Kebenaran Untuk Pesawah
'Lockdown' : Terengganu Mohon Kebenaran Untuk Pesawah
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Terengganu akan memohon kebenaran dengan pihak berkuasa supaya penanam padi di negeri ini diberi kelonggaran turun ke sawah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasakan bermula 1 Jun ini.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, permohonan itu akan diserah kepada Jawatankuasa Khas Negeri dalam masa terdekat untuk dinilai Majlis Keselamatan Negara (MKN). Menurutnya, kelonggaran itu penting supaya padi dapat ditanam seperti biasa mengikut jadual ditetapkan dan pengeluaran beras tidak terjejas. “Jadual tanaman padi sepatutnya bermula 5 Jun tapi kerajaan umumkan PKP penuh pada 1 Jun. Jika betul-betul ikut jadual mula 5 Jun, kita jangka masa tuai padi adalah hujung bulan Oktober dan ia sudah hampir tibanya musim banjir. “Jadi kita akan mohon kepada Jawatankuasa Khas Negeri untuk diaju kepada MKN supaya petani dibenar turun ke sawah dalam PKP penuh agar padi dapat dituai sebelum banjir,” katanya dalam sidang media secara dalam talian pada hari ini. Menurut Dr Azman, terdapat kira-kira 6,000 penanam padi di seluruh Terengganu dengan sebahagian besar kawasan jelapang padi bertumpu di daerah Besut dan Setiu melibatkan keluasan tanaman 4,876 hektar. Beliau berkata, selain penanam padi pihaknya juga akan memohon kelonggaran sama kepada sektor pertanian lain seperti nelayan dan petani bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan. “Dari segi pemasaran hasil pertanian seperti buah tembikai pula, kita jamin tiada lambakan HB besar-besaran sebagaimana PKP pertama tahun lepas. Kebanyakan tembikai sudah dituai dan dianggarkan tinggal kira-kira 10,000 hektar lagi. “Jika ada berlaku lambakan pun, ia tidak banyak dan kita akan tempatkan di pasaran sedia ada seperti pasar tani kekal dan sebagainya,” katanya.
30 May 21
600