Artikel "Utama" Terkini
'Lockdown’ : MB Terengganu, Exco Potong Sebulan Gaji Untuk Rakyat
KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Menteri Besar Terengganu dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bersetuju memotong sebulan gaji masing-masing untuk disalurkan ke dalam Tabung COVID-19 negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penjawat awam juga turut bersama menyumbang melalui potongan elaun mereka.
"Kita akan campurkan dengan potongan elaun pegawai kerajaan untuk dimasukkan ke dalam Tabung COVID-19 Negeri sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19
“Setiap usaha kerajaan negeri adalah sebagai nilai tambah untuk mengurangkan impak sosio-ekonomi rakyat yang terkesan ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena pelancaran Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) hari ini.
Terdahulu Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berhubung dengan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).
“Program ini amat dinantikan oleh rakyat Malaysia termasuk rakyat Terengganu untuk mengurangkan beban golongan yang terjejas akibat penutupan beberapa sektor semasa ‘total lockdown’ yang bermula 1 Jun 2021,” tambahnya.
02 Jun 21
786
‘Lockdown’ : Terengganu Tangguh Bayaran Sewa Premis Perniagaan
KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Terengganu akan menangguhkan bayaran sewa premis perniagaan milik kerajaan negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selama dua bulan susulan pelaksanaan ‘total lockdown’ serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penangguhan bagi bulan Jun dan Julai itu dilakukan bagi mengurangkan bebanan peniaga yang terkesan dan terjejas pendapatan.
“Kerajaan negeri bersetuju menangguhkan bayaran sewaan premis perniagaan ini hanya diberikan kepada premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi.
“Penangguhan juga diberikan kepada premis dengan kadar sewa tidak melebihi kadar sewaan RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak menara telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan media sempena pelancaran Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri memaklumkan pihaknya turut memberi moratorium selama 3 bulan untuk peminjam Yayasan Terengganu.
“Namun, kelonggaran ini hanya diberikan kepada mereka yang bergaji RM2,500 ke bawah, dan mereka juga diberi pilihan untuk memohon atau menangguhkan bayaran atau tidak,” tambahnya.
02 Jun 21
1068
Terengganu Salur RM300,000, Bantu Penanam Cili
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Kerajaan negeri melancarkan bantuan khas input pertanian sebanyak RM300,000 kepada 500 pengusaha cili di seluruh Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah itu diambil selepas kelompok terbabit antara yang sangat terkesan akibat kejatuhan mendadak harga lada di pasaran.
"Tinjauan kami mendapati penanam lada antara yang terkesan akibat kejatuhan harga secara mendadak sehingga mencecah RM1.50 satu kilogram. Malah ada yang membiarkan saja buah lada rosak di kebun kerana tiada pasaran.
"Keadaan ini meletakkan petani bukan setakat tidak mendapat keuntungan, malah kehabisan modal untuk memulakan penanaman baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Dr Azman, berdepan dengan keadaaan yang sukar di musim pandemik COVID-19 ini, langkah segera perlu diambil sebagai ‘suntikan’ kepada pengusaha cili agar kembali bangkit dan bersemangat.
"Memahami rintihan para petani khususnya untuk kitaran modal bagi penanaman semula, inisiatof perlu dibuat bagi memastikan petani mampu bangkit semula dalam situasi sukar sekarang.’
"Jabatan Pertanian Negeri Terengganu telah diarahkan untuk menyediakan data bagi tujuan penyaluran bantuan segera," tambah beliau.
02 Jun 21
331
PKPD : Tiga Penghadang Laluan Tikus Dialih Individu Tidak Bertanggungjawab
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Penghadang batu yang menutup jalan alternatif memasuki daerah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Terengganu telah dialih oleh individu yang tidak dikenali melibatkan tiga lokasi berbeza, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, kejadian disyaki berlaku pada waktu malam 30 Mei hasil rondaan polis di 10 laluan yang ditutup.
“Hasil siasatan mendapati tiga lorong tikus yang ditutup iaitu di susur keluar Kampung Jeram, laluan Kampung Tiruk (bersempadan Hulu Terengganu) dan Jalan Surau Haji Yaakob (bersempadan Marang) telah berlakunya perbuatan khianat mengalihkan penghadang yang diletakkan polis dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Terengganu.
“Mereka yang tidak bertanggungjawab ini dipercayai menggunakan motosikal bagi merentas daerah dan juga daripada penduduk setempat, kertas siasatan telah dibuka bagi mengesan individu terlibat,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di susur keluar kampung jeram, pagi tadi.
Abdul Rahim menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan keras mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan boleh jatuhkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, hasil tinjauan polis di lokasi sama turut mengenakan kompaun dan saman kepada beberapa individu yang rentas daerah menggunakan lorong tikus (Jeram Tepoh ke Jeram Manir) serta kesalahan lain seperti menunggang motosikal tanpa topi keledar.
“Jika ada dikalangan mereka yang didapati bersalah merentas daerah tanpa kebenaran sah juga akan dikenakan kompaun sebanyak RM5000, diharapkan agar masyarakat boleh beri kerjasama dalam sama-sama memutuskan rantaian COVID-19,” tambah Abdul Rahim.
Untuk rekod, sebanyak sembilan sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama di Kuala Terengganu dilaksanakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa sehingga 12 Jun bagi mengekang peningkatan virus dalam bandar raya itu.
02 Jun 21
5166
Terengganu Perhalusi Strategi Atasi Kegagalan Hadir Vaksinasi
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Kerajaan negeri sedang giat merangka strategi bagi mengatasi masalah ketidakhadiran penerima vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah tersebut diambil setelah melihat lebih 10,000 individu dalam negeri gagal menghadiri sesi temu janji vaksinasi.
“Jumlah ini melibatkan warga emas dan golongan ‘co-morbid’ yang rata-rata memberi alasan seperti tidak ingat tarikh temu janji dan tiada kenderaan untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan.
“Menjangka akan berlakunya perkara ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah bersiap sedia dengan senarai pengganti lain, hasilnya tidak berlaku pembaziran dos vaksin setakat ini,” katanya dalam satu sidang media, kelmarin.
Mengulas lanjut berkenaan jalan penyelesaian itu, Dr Alias memaklumkan, Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Terengganu (JKKNT) mencadangkan kaunter pemberian vaksin di masjid-masjid di semua daerah.
“Perbincangan sedang diadakan bersama JKNT dalam mengatasi keperluan tenaga kerja dan jurusuntik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekurang-kurangnya kita sasarkan satu masjid di satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Cadangan lain seperti daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mewujudkan pusat suntikan bergerak juga disuarakan, namun kita perlu selesaikan masalah kakitangan dan pemantau selepas sudah disuntik, perkara sebegini perlu diambil kira terlebih dahulu.
“Bagi kawasan DUN dan Parlimen, pusat khidmat masyarakat masing-masing ada menyediakan perkhidmatan kenderaan percuma untuk hantar ke PPV, hanya perlu hubungi sahaja," katanya.
Menurut statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sehingga 31 Mei, seramai 345,492 individu di negeri ini telah mendaftar sebagai penerima vaksin manakala daripada jumlah itu seramai 79,185 individu sudah disuntik.
01 Jun 21
263
Terengganu Perbanyak Kuliah Agama Sepanjang ‘Lockdown’
KUALA TERENGGANU, 1 Jun – Terengganu mengambil langkah proaktif dengan memperbanyakkan program keagamaan susulan pelaksanaan ‘total lockdown’ dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini.
Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood berkata antara aktiviti yang diperkenalkan ialah program Sanitasi Jiwa Bersama DUAT.
“Sebenarnya pelbagai slot secara dalam talian disajikan kepada seluruh masyarakat, namun yang paling istimewa adalah slot Sanitasi Jiwa Bersama Daie yang telah pun berlangsung dari 27 Mei 2021.
“Sanitasi Jiwa Bersama Daie mempunyai tiga segmen siaran langsung yang berlainan waktu iaitu Bicara Dhuha, Bicara Zuhur dan Bicara Maghrib, marilah kita berazam untuk perbaiki diri dengan mengikut program ini," katanya kepada UPDI hari ini.
Menurutnya, sesemua slot itu menampilkan pegawai-pegawai DUAT yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Terengganu.
"Pastikan semua daripada kita duduk di rumah dan tonton segmen ini sebagai pengisian jiwa seisi keluarga,” jelasnya.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pihaknya juga merancang untuk mengadakan slot pengisian jiwa secara atas talian bersama pendakwah terkenal di Malaysia dan Nusantara.
“Kita ada ramai asatizah yang tinggi ilmu dan hebat dalam menyampaikan sesuatu ilmu seperti Ustaz Abdul Somad, Ustaz Syed Nor Hisyam Tuan Padang, Ustaz Haslin Bollywood, Ustaz Abdullah Khairi dan Ustazah Asma Harun, insya-Allah kita akan usahakan program ini bagi mendidik masyarakat.
"Kepakaran mereka ini akan kita manfaatkan, kita faham sepanjang kita berada di rumah, pasti akan ada satu masa kita merasa puas dan kosong, jadi program-program seperti inilah yang akan menjadi peneman,” tambah beliau.
01 Jun 21
1291
Menteri, Timbalan Sumbang Tiga Bulan Gaji
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Kerajaan Persekutuan memutuskan gaji kesemua menteri dan timbalan menteri selama tiga bulan tidak akan diambil sebagai tanda sokongan kepada Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) yang diumumkan, semalam.
Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Muhyiddin Mohd Yassin berkata, sepertimana yang telah diamalkan semasa PKP pertama tahun lalu, gaji yang tidak diambil itu akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.
"Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian, keputusan untuk melaksanakan lockdown ini adalah satu keputusan yang sukar tetapi terpaksa dibuat.
"Samada lockdown yang dilaksanakan ini akan berjaya atau tidak semuanya terserah kepada saudara dan saudari serta ketentuan Ilahi," katanya ketika berucap dalam pengumuman PEMERKASA+, malam tadi.
Jelasnya, kerajaan telah menutup hampir semua sektor ekonomi dan sosial untuk mengurangkan pergerakan rakyat dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Dalam pada itu, keputusan tersebut turut disokong ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Menurutnya dalam satu kenyataan di laman Facebook peribadinya semalam, beliau menyokong sepenuhnya tindakan itu digunakan untuk kebaikan dan kebajikan rakyat yang memerlukan.
"Keutamaan kita adalah bagi memastikan supaya sektor kesihatan dapat berfungsi dengan penuh efisien, meneruskan agenda kebajikan rakyat serta menyokong kelangsungan perniagaan.
Semoga inisiatif yang diumumkan ini akan dapat mengurangkan bebanan yang dihadapi rakyat semasa kita berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal wabak pandemik COVID-19," katanya.
01 Jun 21
278
Anak Terengganu Juara Badminton Terbuka Austria
KUALA TERENGGANU, 1 Jun – Anak kelahiran Terengganu, Wan Arif Wan Junaidi berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di persada dunia selepas menjuarai acara beregu lelaki kejohanan Badminton Terbuka Austria, Ahad lalu.
Wan Arif yang bergandingan dengan atket Kelantan, Mohd Haikal Nazri berjaya membuat kejutan apabila pengalahkan pilihan kelima kejohanan dari Perancis, Lucas Corvee dan Ronan Labar secara ‘straight set’ 21-17, 21-15 pada aksi final.
Menurut Wan Arif yang berasal dari Kemaman berkata, kemenangan tersebut diraih hasil perbincangan dan penambahbaikan bersama pasangan regunya selepas kekalahan semasa perlawanan suku akhir di Slovenia.
“Kita akan cuba buktikan kebolehan kami dan menunjukkan prestasi terbaik di Austria dan Alhamdullilah hasilnya kami berjaya,” katanya yang juga daripada Akademi Badminton Malaysia menerusi panggilan video.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menyifatkan kejayaan Wan Arif sebagai tanda potensi badminton sebagai sukan teras dikuasai Terengganu seperti basikal, hoki dan lain-lain lagi.
“Sebelumnya, pencapaian tertinggi negeri dalam sukan ini adalah semasa acara SUKMA 2018 Perak dengan atlet Terengganu meraih pingat gangsa.
“Kita juga berhasrat untuk kuasai bidang permainan ini dan sedang giat merangka pelan bagi memperkasakan penguasaan dan memasukinya dalam senarai sukan teras di negeri,” katanya menerusi panggilan video bersama Wan Arif, baru-baru ini.
Wan Sukairi turut mengucapkan tahniah ke atas pasangan beregu tersebut dalam menjadi kebanggaan untuk rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu.
“Tahniah juga saya ucapkan juga buat ibubapa saudara Wan Arif, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Akademi Badminton Malaysia dan para jurulatih yang telah berjaya melahirkan seorang atlet yang mempunyai pencapaian sebegini,” katanya lagi.
01 Jun 21
2474
Rakyat Teruja Menteri, Timbalan Sumbang 3 Bulan Gaji
KUALA NERUS, 1 Jun – Pengumuman Pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) Tambahan bernilai RM40 bilion oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberi kegembiraan kepada rakyat.
Langkah Menteri dan Timbalan Menteri pula yang menyumbangkan gaji tiga bulan ke Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19 mendapat pujian ramai.
Peniaga ikan, Ariffin Ahmad, 28 berkata, beliau menyambut baik pengumuman PM bahawa semua Menteri dan Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan.
“Tindakan itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu mereka yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
"Ia juga sebagai langkah berani kerajaan dan menjawab seagala tohmahan yang diberikan kepada mereka selama ini, kita harap ramai lagi pihak bermurah hati untuk menyumbang gaji dalam tempoh sukar ini,” ujarnya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, pengumuman untuk menyalurkan bantuan tunai kepada isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500 dan ke atas sebanyak RM500 dan isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 sebanyak RM300 melegakan ramai pihak.
Bagi Khairiah Mansor, 28, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap rakyat ketika dilanda wabak COVID-19.
“Pengumuman pertambahan bantuan prihatin rakyat (BPR) merupakan satu berita gembira buat semua. moga bantuan ini dapat membntu sedikit sebanyak golongan yang terjejas.Terima kasih abah,“ jelasnya.
Dalam pada, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab ketika dihubungi berkata, pengumuman tersebut tepat pada waktunya memandangkan semua rakyat tertanya-tanya apakah bantuan yang diberikan selepas pengumuman ‘Total Lockdow’.
“Saya pergi mana-mana semua soalan sama sahaja, ada bantuan daripada kerajaan tak.
“Daripada pihak Pusat Khidmat Masyarakat saya ada dan biasanya barangan dapurlah,” ujarnya lagi.
31 May 21
164
Pemandu Bas, Teksi Dan Kereta Sewa Terima 'One-Off' RM500
PUTRAJAYA, 31 Mei - Kerajaan memperuntukan RM67 juta untuk bantuan khas secara one-off sebanyak RM500 kepada 17,000 pemandu pelancong, 40,000 pemandu teksi, 11,000 pemandu bas sekolah, 4,000 bas persiaran dan 62,000 pemandu kereta sewa dan e-hailing.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, insentif itu akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada bulan Julai.
"Bantuan ini akan disalurkan kepada penerima berdaftar yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada bulan Julai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) hari ini.
Sementara itu, beliau berkata Geran Khas Prihatin (GKP) akan ditambah kepada RM1,500.
"Ini bermakna, hampir satu juta PKS dan perusahaan mikro akan menerima RM1,000 pada pertengahan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada bulan Julai ini," ujarnya.
31 May 21
739