lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Sasar 841 Ribu Penduduk Terima  Vaksin Dalam Tempoh Enam Bulan
Sasar 841 Ribu Penduduk Terima  Vaksin Dalam Tempoh Enam Bulan
SETIU, 5 Jun - Terengganu kini menyasarkan dapat mencapai  80 peratus imuniti kelompok pemberian vaksin dalam tempoh enam bulan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ( PICK). Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata dijangkakan seramai 841,000 penduduk di Terengganu  akan lengkap divaksin pada ketika itu. Katanya, sasaran tersebut berdasarkan lima strategi yang dirangka bersama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang sedang dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.  "Kita sasar 193,340 individu menerima vaksin dalam tempoh sebulan sekiranya penerimaan vaksin mengikut jadual dan melalui tambahan lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam yang telah beroperasi sejak 1 Jun lalu.  "Pada April hingga Mei, 3,808 individu menerima suntikan setiap hari dan jumlah itu meningkat kepada 5,380 individu setiap hari berikutan penambahan PPV menjadikan jumlah keseluruhan ialah 13 PPV beroperasi ketika ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program bantuan (outreach) imunisasi peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mundok, di sini, hari ini. Tambahnya, selain meningkatkan jangkauan (outreach) pemberian vaksin di kawasan pedalaman, pihak kesihatan turut bekerjasama dengan Pengamal Perubatan Swasta (GP) di negeri ini bagi melancarkan proses pemberian vaksin.  "GP juga ada membuat PPV sendiri dan akan menyediakan khidmat suntikan vaksin kepada pesakit mereka. Setakat ini sebanyak 12 GP yang menyatakan kesediaan untuk menjadi pusat vaksin (PVGP)," katanya.  Nor Azimi juga berkata, satu kolaborasi turut diadakan bersama bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menubuhkan sebuah PPV yang mampu memberi suntikan kepada 1,500 individu hingga maksimum 3,000 individu setiap hari. Selain katanya, JKNT turut merancang untuk mewujudkan PPV di masjid terpilih di setiap daerah untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin ini kepada rakyat Terengganu. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sambutan terhadap proses vaksinasi di negeri itu memberangsangkan dimana kini berlaku lonjakan kepada 40 peratus individu yang mendaftar untuk menerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera berbanding hanya 20 peratus yang direkodkan sebelum ini.       
05 Jun 21
366
PKP : Kebenaran Pergerakan Boleh Dimohon Dengan Surat Jabatan Pertanian Berkaitan
PKP : Kebenaran Pergerakan Boleh Dimohon Dengan Surat Jabatan Pertanian Berkaitan
KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Penggiat pertanian dalam negeri kini boleh menggunakan surat pengesahan jabatan atau agensi dalam sektor tersebut untuk mendapatkan kebenaran pergerakan daripada pihak berkuasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) adalah antara kementerian yang dikecualikan daripada mengguna pakai Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 daripada MITI. "Ini bermakna warga pertanian boleh terus menggunakan surat pengesahan pergerakan dalam tempoh PKP 3.0 dan PKPD daripada MAFI yang telah dikeluarkan sebelum ini.  "Bagi yang belum memohon, permohonan boleh diajukan di Pejabat Pertanian, Veterinar, Perikanan,Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Peladang dan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) di daerah masing-masing mengikut sektor yang berkaitan," katanya menerusi laman Facebook rasminya, semalam. Tambahnya, beliau turut menasihati golongan industri tersebut supaya sentiasa menjaga kesihatan diri serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19. Sebelumnya, kgeerajaan negeri turut melancarkan bantuan khas input pertanian sebanyak RM300,000 kepada 500 pengusaha cili di seluruh Terengganu dalam menangani kesan ekonomi di musim pandemik ini.
05 Jun 21
1058
ADUN Batu Buruk Agih 2000 Kg Ikan Segar
ADUN Batu Buruk Agih 2000 Kg Ikan Segar
KUALA TERENGGANU, 5 Jun – Sebanyak 2000 kilogram ikan segar diagihkan kepada mereka yang terjejas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, semalam. Agihan tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0) yang diumumkan oleh kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini bagi meringankan bebanan mereka yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) dijalankan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk akan menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas pendapatan secara berperingkat. “Peringkat awal ini kita adakan agihan ikan sebanyak 2000 kilogram dan selepas ini kita akan agihkan bantuan makanan asas kira-kira 900 pek. “Terima kasih juga saya ucapkan kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, YB Datuk Ahmad Amzad Hashim yang turut memberikan sumbangan untuk diagihkan kepada warga DUN Batu Buruk,” katanya lagi. Menurutnya, separuh daripada jumlah agihan ikan tersebut ialah sumbangan daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, manakala separuh lagi merupakan peruntukan daripada DUN Batu Buruk.  
05 Jun 21
347
4 Tan Ikan Diagih Kepada Penduduk
4 Tan Ikan Diagih Kepada Penduduk
KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Sebanyak empat tan ikan cencaru diagih kepada penduduk di daerah ini khususnya golongan B40 dan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sumbangan kepada lebih 4,000 keluarga itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pihaknya bagi mengurangkan beban rakyat. “Setiap golongan sasar akan menerima satu kilogram ikan tersebut yang telah diagihkan melalui wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), saya anggarkan 16,000 orang akan menerima manfaat itu. “Untuk tempoh seminggu ini kita telah membelanjakan sekitar RM200,000 untuk daerah, sebelum ini kita turut agihkan barangan keperluan harian kira-kira 1,200 bakul makanan berisi beras, minyak masak, tepung dan lain-lain lagi kepada golongan memerlukan,” katanya selepas Program Bantuan Bekalan Basah di Flat Ladang, hari ini. JPKK sedang membungkus ikan untuk diagihkan kepada penduduk. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi. Menurut Ahmad Amzad, sebelum ini pihaknya turut mengagihkan 10,000 keping roti canai kepada penduduk dan ia dapat membantu menjana ekonomi lebih 30 peniaga roti canai sekitar Kuala Terengganu. Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu berkata, selepas ini pihaknya juga akan mengagihkan bahan mentah seperti ayam kepada golongan memerlukan selain sumbangan 1,200 bakul makanan. "Keutamaan sumbangan bakul makanan kali ini adalah mereka yang belum terima bantuan yang diuruskan oleh Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK). Seiring dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh dan PKPD, mereka akan hantar sumbangan terus ke rumah penerima,” katanya. Tambah Ahmad Amzad lagi, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu dengan kerjasama setiap DUN turut bersedia jika ada sebarang keciciran dalam agihan bantuan yang berlaku. “Kita juga membuat persiapan jika ada yang tercicir, jika ada orang keputusan bekalan makanan di rumah tolong beritahu kepada wakil rakyat masing-masing, kita akan bantu,” katanya.  
04 Jun 21
822
Rohaimi Dilantik Ketua Polis Terengganu  Baharu
Rohaimi Dilantik Ketua Polis Terengganu  Baharu
KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Timbalan Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md Isa secara rasminya dilantik sebagai Ketua Polis Terengganu yang baharu berkuatkuasa pada 3 Jun. Pelantikan itu bagi menggantikan Dato' Roslee Chik yang dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Polis dengan menjawat jawatan Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Pembangunan dan Penyelidikan) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Terdahulu Majlis Serah Terima Tugas antara kedua-dua pihak itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, semalam. Majlis serah terima tugas Ketua Polis Terengganu baharu di antara Rohaimi dan Roslee disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husin @ Abd Rasid. Menerusi satu kenyataan, Rohaimi mengucapkan tahniah kepada Roslee atas kenaikan pangkat berkenaan. "Syabas dan tahniah kepada Dato' Roslee Chik atas kenaikan pangkat ke Bukit Aman," katanya. Rohaimi turut mengucapkan terima kasih kepada pengamal media atas sokongan dan kerjasama yang diberikan. Selain itu, Majlis Serah Terima Tugas melibatkan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Terengganu turut dilakukan antara pengerusi, Datin Zainun Embong dengan Datin Azizah Malisa Ramli sambil disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datin Zainah Othman.  
04 Jun 21
4759
PKPD Besut Dilanjutkan Sehingga 18 Jun
PKPD Besut Dilanjutkan Sehingga 18 Jun
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 15 mukim di Besut, Terengganu yang sepatutnya berakhir esok (4 Jun), dilanjutkan sehingga 18 Jun depan. Mukim-mukim terlibat ialah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan masih terdapat penularan kes berlaku di lokaliti itu. "Sehingga kini, KKM telah melakukan 3,569 ujian saringan dan 281 daripadanya disahkan positif COVID-19. "KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baru direkodkan di lokaliti tersebut. "Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di 15 mukim dalam daerah Besut, Terengganu  bermula 5 Jun sehingga 18 Jun 2021," ujarnya dalam satu kenyataan.
03 Jun 21
1041
Terengganu FC- ESMT Tubuhkan Pasukan Bola Sepak Virtual Pertama Negara
Terengganu FC- ESMT Tubuhkan Pasukan Bola Sepak Virtual Pertama Negara
KUALA TERENGGANU, 3 Jun- Terengganu Football Club ( Terengganu FC) mengorak langkah menceburi bidang sukan elektronik (e-sukan) menubuhkan pasukan bola sepak virtual Terengganu FC. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi pasukan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh memaklumkan, usaha melalui kerjasama strategik Esports Malaysia Terengganu (ESMT) menjadikan pasukan itu sebagai kelab bolasepak professional Malaysia yang pertama yang mempunyai pasukan bola sepak virtual. "Kerjasama strategik bersama pihak ESMT ini juga bakal membantu pengurusan TFC membentuk pengurusan operasi pasukan dan semua yang berkaitan sukan ini. "Pemain yang bakal menyertai pasukan Terengganu FC bakal menyertai kejohanan permainan FIFA dan Pro Evolution Soccer (PES) khususnya di peringkat kebangsaan", katanya. Menurutnya, bidang e-Sukan juga dirancang mampu membawa nama Terengganu FC ke peringkat antarabangsa bagi jangka masA panjang. Selain itu, kerjasama dalam penganjuran kejohanan juga turut menjadi cabang kerjasama diantara kedua-dua belah pihak untuk terus memperkembangkan penyertaan Terengganu FC dalam arena e-Sukan. "Melihatkan pasaran besar penggiat dan peminat e-Sukan di Malaysia, ia menjadi sasaran yang relevan untuk memasarkan jenama TFC ke peringkat global. "D isamping itu juga, penubuhan pasukan di landasan e-Sukan ini juga memastikan bidang sukan elektronik berkembang dan terus bertapak di Malaysia seiring dengan perkembangan di peringkat global," katanya. Bagi Presiden ESMT, Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani, ini merupakan kerjasama yang sangat positif dan apa yang lebih menarik, pertama kali dijayakan di Malaysia yang melibatkan pasukan bola sepak utama negeri. "Melalui kerjasama ini ESMT akan berupaya menjadi sebuah organisasi sukan yang mampu menyediakan landasan terbaik untuk melahirkan atlet pelapis serta juara sukan elektronik terutama dari negeri Terengganu pada masa akan datang sekali gus mampu mengharumkan nama Terengganu di peringkat yang lebih tertinggi", katanya.    
03 Jun 21
427
Terengganu Anjur Hari Munajat Rakyat Esok
Terengganu Anjur Hari Munajat Rakyat Esok
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Kerajaan negeri akan menganjurkan program Hari Munajat Rakyat pada 3 Jun, esok sebagai usaha memohon perlindungan daripada wabak COVID-19. Antara pengisiannya termasuk solat hajat, zikir dan doa munajat, yang akan diadakan bermula jam 4.30 pagi Khamis. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan berkata, program  serentak di kediaman masing-masing itu dibuat susulan situasi terkini penularan wabak COVID-19 dalam negara dan negeri agak membimbangkan. "Segala yang berlaku di atas muka bumi ini terjadi atas kehendak-Nya dan Dia jualah yang Maha Penyembuh segala penyakit.  "Mari sama-sama kita tingkatkan munajat kepada Allah SWT agar segera mengangkat wabak ini dan mengurniakan kesihatan yang baik kepada kita semua," ujarnya. Untuk rekod, Terengganu mencatatkan kes positif baharu sebanyak 224 hari ini.
02 Jun 21
1370
‘Lockdown’ : 32 Dun Terengganu Terima Peruntukan RM200,000
‘Lockdown’ : 32 Dun Terengganu Terima Peruntukan RM200,000
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Kerajaan Terengganu bersetuju untuk menyalurkan peruntukan RM200,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menghadapi pelaksanaan ‘total lockdown’ dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, merasakan penguatkuasaan ‘total lockdown’ mungkin berlanjutan, pihaknya melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini memutuskan untuk melancarkan program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0). “Oleh itu, bantuan secara bersasar yang berjumlah RM200,000 akan diagih kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). “Ini meliputi 32 DUN dengan jumlah keseluruhan RM6,400,000 yang akan diagihkan secara dua fasa,” katanya ketika melancarkan BERKAT 3.0 hari ini. Dalam kenyataan sama, Ahmad Samsuri menyeru agar semua rakyat Terengganu bersatu hati dalam tempoh yang kritikal ini. “Setiap langkah dan pematuhan arahan dan SOP amatlah signifikan untuk mengatasi pandemik COVID-19 yang semakin serius. Pastikan mendaftar vaksin dalam Program Imunisasi Negara.   “Akhirnya, jangan lupa jadikan doa dan munajat dalam rutin kita setiap hari. Sayangi nyawa keluarga anda dan hargailah petugas barisan hadapan yang masih belum berhenti berjuang sejak lebih setahun yang lalu,” katanya.  
02 Jun 21
3597
Naik Taraf Katil PKRC, Strategi Hadapi Peningkatan COVID-19
Naik Taraf Katil PKRC, Strategi Hadapi Peningkatan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengambil langkah proaktif dengan menaik taraf 71 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kolej Jururawat sebagai katil tambahan wad COVID-19 untuk Hospital Sultanah Nur Zahirah. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes COVID-19 bagi kategori 3. Namun katanya, ia tidak bermaksud katil biasa COVID-19 di Terengganu sudah tenat sebaliknya ia merupakan strategi dan keperluan. "Manakala untuk katil ICU pula, seiring dengan peningkatan pesakit yang memerlukan perawatan ICU maka 17 katil ICU tambahan telah disediakan menjadikan jumlah katil ICU untuk merawat kes COVID adalah 37 buah semuanya. “Setakat semalam hanya 14 kes sedang dirawat di ICU yang mana darinya memerlukan bantuan pernafasan. Katil ICU untuk merawat kes bukan COVID-19 juga disediakan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau turut menjelaskan bahawa HSNZ merupakan satu-satunya hospital dalam negeri ini yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kepakaran di Terengganu. “Oleh itu, hanya 236 katil atau 21 peratus daripada 1,107 katil di HSNZ yang boleh dikhaskan untuk merawat kes COVID-19. “Justeru, HSNZ tidak boleh dijadikan hospital rawatan COVID-19 sepenuhnya kerana mereka turut merawat kes bukan virus pandemik termasuk dari daerah luar seperti Marang, Hulu Terengganu dan Setiu jika perlu dimasukkan ke wad," katanya lagi. Jelasnya, dua hospital lain iaitu Hospital Setiu (76 katil) dan Hospital Hulu Terengganu (124 katil) turut dikhaskan untuk merawat kes virus itu sepenuhnya. Dr Nor Azimi turut menasihati seluruh rakyat Terengganu agar kekalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengelakkan berlakunya masalah kekurangan katil. “Namun sekiranya peningkatan kes positif berterusan, tidak mustahil kita juga mungkin akan mengalami masalah ketiadaan katil biasa atau katil ICU untuk merawat kes virus di Terengganu,” tegasnya.
02 Jun 21
702