Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Salur RM500 Kepada Warga Tani Positif COVID-19
KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Kerajaan Terengganu bersetuju untuk menyalurkan bantuan ‘one-off’ tambahan sebanyak RM500 kepada warga tani dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan yang dijangkiti COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri , Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan itu akan disalurkan dengan kadar segera.
“Jabatan-jabatan yang terlibat telah mngumpul data lengkap dari setiap daerah dalam usaha memastikan tiada yang tercicir atau terpinggir.
“Data terkini menunjukkan seramai 60 orang telah disahkan positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pihaknya mengambil serius perkara itu kerana rata-rata rakyat Terengganu berkecimpung dalam industri terbabit.
“Kesemua mereka bergantung nasib sepenuhnya kepada rezeki daripada hasil pertanian untuk menyara hidup. Apabila disahkan positif COVID-19, mereka melalui tempoh rawatan dan kuarantin, ini telah menjejaskan kehidupan serta pendapatan mereka.
“Sumbangan ini bukanlah besar, namun ia cukup menggambarkan keprihatinan pentadbiran negeri kepada mereka yang telah menyumbang tenaga membekalkan sumber makanan negeri, seterusnya menghadirkan sedikit khabar gembira buat warga tani,” jelasnya.
Dr Azman.
Untuk rekod, sebelum ini kerajaan negeri turut memberikan bantuan sebanyak RM300,000 kepada 500 pengusaha tanaman cili yang terjejas akibat 'total lockdown'.
Ujar Dr Azman, langkah itu diambil selepas kelompok terbabit antara yang sangat terkesan akibat kejatuhan mendadak harga lada di pasaran.
"Tinjauan kami mendapati penanam lada antara yang terkesan akibat kejatuhan harga secara mendadak sehingga mencecah RM1.50 satu kilogram. Malah ada yang membiarkan saja buah lada rosak di kebun kerana tiada pasaran.
"Keadaan ini meletakkan petani bukan setakat tidak mendapat keuntungan, malah kehabisan modal untuk memulakan penanaman baru," katanya.
Dr Azman berharap agar bantuan itu dapat memberikan suntikan motivasi kepada warga tani untuk terus berbakti seterusnya menyemarakkan lagi kejayaan Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021.
07 Jun 21
863
Terengganu Cadang Buka PPV di Kawasan Kampung
KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Kerajaan negeri bercadang menambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan pendalaman di negeri ini bagi memudahkan orang ramai terutama warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mendapat suntikan vaksin.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata ia akan digerakkan dengan ‘mobile team’ dalam tempoh terdekat melibatkkan 50 pakar klinikal.
Katanya, langkah itu pada masa sama mampu menyedarkan orang ramai tentang kepentingan vaksin yang sebelum ini sering dimomokkan dengan pelbagai hasutan, termasuk mendapat pelbagai penyakit dan boleh mati mengejut.
“Sehingga 5 Jun, seramai sekitar 85,000 penduduk Terenggganu direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mendapat suntikan dos pertama dan suntikan dos kedua pula lebih 50,000 orang.
“Angka itu masih rendah berbanding negeri lain. Oleh itu, kerajaan negeri dibantu JKNT dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan terus berusaha membantu menyedarkan rakyat termasuk termasuk membuat hebahan melalui pelbagai saluran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung melalui TV Darul Iman, pagi ini.
07 Jun 21
1516
Kluster Berkait Ziarah Raya Merebak Ke Tiga Kampung
HULU TERENGGANU, 7 Jun - Kluster Kampung (kg) Matang menjadi kluster terbesar di daerah ini apabila telah merebak ke generasi kelima melibatkan tiga buah kampung.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, seramai 127 kes positif dikesan daripada kluster, 725 orang kontak rapat dan 975 sampel sedang menunggu keputusan.
Katanya, ini tidak termasuk saringan bersasar yang melibatkan ke tiga buah kampung iaitu Felcra Bukit Kepah, Kg Tengkawang dan Kg Pulau Kudat dan penularannya masih aktif.
"Kluster ini merupakan yang terbesar di Hulu Terengganu hasil rentas negeri sebelum raya, ziarah raya dan kunjung mengunjung melibatkan keluarga besar.
"Bayangkan 19 dikesan positif dari hanya dua buah keluarga. Habis raya yang bekerja masuk kerja. Tanpa sedar menjangkiti rakan sekerja pula.
"Lebih risau sudah ada jemaah masjid dijangkiti. Akhirnya jangkitan bersambung sambung dan anda boleh sambung sendiri cerita ini...," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Tambah beliau, pihaknya akur bahawa jangkitan dalam keluarga agak sukar dibendung namun apabila melibatkan beberapa keluarga, jiran tetangga dan pejabat akhirnya merebak hingga ke beberapa buah kampung, ia amat dikesali.
"Situasi ini kita amat kesal dan marah. Jika keadaan begini berterusan dan kluster baru tumbuh bagai cendawan bila masa kita boleh kawal semua kluster tu serentak?.
"Jika keadaan begini berterusan mampu ke kita landaikan lekuk epid dalam masa dua minggu ini?," ujarnya.
Justeru itu kata Nor Azimi, kawalan kendiri sangat penting dan kekal duduk rumah kecuali ada urusan penting maka tidak ada akan dijangkiti atau menjangkiti orang lain.
"Insya-Allah, pencegahan itu sangat lebih baik daripada merawat.
"Fikir orang lain, jaga orang lain dan jangan fikir diri kita sahaja," rayu beliau.
07 Jun 21
2098
PKP 3.0 : KETENGAH Peruntuk Hampir RM1 Juta Bantu Masyarakat Luar Bandar, Para Usahawan
KUALA TERENGGANU, 7 Jun- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukan RM917,443 bagi meringankan beban masyarakat luar bandar terutamanya para usahawan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata, insentif selama tiga bulan bermula bulan Mei hingga Julai 2021 melibatkan seramai 4443 orang penerima manfaat meliputi tiga program.
"Pertama, program KETENGAH ambik Cakna Lockdown dimana bantuan bakul makanan diagihkan kepada seramai 3200 buah keluarga dengan implikasi kewangan sebanyak RM366,000.
"Selain itu, kita turut mengenakan pengecualian penyewaan premis perniagaan KETENGAH dalam tempoh tiga bulan buat 1042 orang usahawan dengan perbelanjaan sebanyak RM397,263.
"Ketiga, pihak kami juga akan membuat penangguhan bayaran sewa beli rumah kediaman KETENGAH melibatkan 201 buah keluarga dengan peruntukan sebanyak RM172,180," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, insentif penangguhan tersebut turut disertakan dengan penjadualan semula moratorium atau bayaran balik serta pengecualian bayaran sewa premis perniagaan dan rumah kediaman.
"Ini akan diberikan secara automatik dan serta merta tanpa perlu mengemukakan permohohan," katanya.
Tambah Dato' Razali, tiga bantuan tersebut merupakan kesinambungan daripada insentif terdahulu yang telah dilaksanakan bermula PKP 1.0 yang lalu di mana melibatkan kos RM1.1 juta bagi tujuan yang sama.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga mengambil langkah bagi menjayakan program vaksinasi nasional melalui Stay Safe-KETENGAH Region (S-Reg) bagi membantu meningkatkan kecekapan peratusan pendaftaran vaksinasi nasional dalam Wilayah KETENGAH.
"Data kaji selidik penduduk diwujudkan bagi mendapat data tepat bagi dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kita turut bersedia berkerjasama menyediakan persiapan tempat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu serta kemudahan pengangkutan kepada penduduk," jelasnya.
07 Jun 21
1096
Polis Guna Dron Pantau Pergerakan Orang Ramai
KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Polis Terengganu menggunakan dron bagi memantau pergerakan individu bergejala atau yang mempunyai suhu tinggi tetapi berada di tempat awam sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dron yang dilengkapi teknologi tinggi itu mampu mengesan suhu badan dalam masyarakat pada jarak 20 meter dari udara.
“Dron ini akan menyalakan lampu merah sekiranya individu yang mempunyai suhu badan tinggi seperti 37.5 darjah Celsius dan ke atas dikesan, anggota penguatkuasa kita akan segera ke lapangan untuk mengenal pasti individu terbabit.
“Kita telah gunakan teknologi ini bermula sekitar tiga hari lepas,” katanya kepada pemberita selepas memantau sekatan jalan raya di Jambatan Sultan Mahmud di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rohimi berkata penggunaan dron sangat membantu pasukan pemantauan sedia ada yang melibatkan 157 pasukan.
“Hingga kini kita ada 157 pasukan pemantauan SOP (Prosedur Operasi Standard), mereka bergerak dari satu lokasi ke tempat lain seperti Pasar Besar Kedai Payang dan KTCC Mall.
“Mereka tidak dapat memantau semua tempat secara serentak termasuk mengesan individu bergejala yang berada di tempat awam, oleh kerana itu, dron ini sangat membantu kami
“Dron yang berpangkalan di Kuala Terengganu ini dipinjamkan oleh sebuah syarikat swasta di negeri itu untuk kegunaan pihak polis sepanjang penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh.
06 Jun 21
1084
Tiada Kematian Di UK Bukti Program Vaksin Skala Besar Berkesan
KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Kejayaan United Kingdom (UK) yang tidak merekodkan sebarang kematian akibat COVID-19 sejak beberapa hari lalu merupakan bukti keberkesanan program vaksinasi besar-besaran.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kejayaan itu turut memberi keyakinan bahawa vaksin dapat meningkatkan imuniti seseorang individu dalam melawan wabak berkenaan.
Jelasnya, disebabkan itu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) perlu dijayakan dengan kerjasama rakyat negara ini.
“Saya dapati data yang kita peroleh dari UK menunjukkan program vaksinasi berjaya catat sifar kematian. Ini memberi kita semangat untuk melaksanakan program pemberian vaksin pada skala besar.
“Disebabkan itu penting untuk kita tingkatkan imuniti dan perlindungan kepada seramai mungkin agar situasi COVID-19 di negara ini tidak sampai ke tahap lebih serius,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru, hari ini.
Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan UK tidak merekodkan sebarang kematian akibat COVID-19 sejak beberapa hari lalu dipercayai selepas pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran di negara berkenaan.
Sehubungan itu, Dr. Adham sekali lagi menegaskan kepentingan masyarakat negara ini untuk beramai-ramai mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin menerusi PICK dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.
“Menerusi PICK fasa pertama, seramai kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan menerima suntikan manakala dalam fasa kedua pula dijangkakan seramai 9.3 juta individu akan disuntik. Program itu kemudian akan diteruskan dalam fasa ketiga di mana dianggarkan seramai lebih 13 juta individu akan disuntik.
“Oleh kerana itu kerajaan mengambil inisiatif menyediakan lebih banyak kemudahan PPV di seluruh negara termasuk PPV Mega, PPV Bergerak, PPV Klinik Kesihatan, PPV Hospital Awam dan lain-lain,” katanya. - Utusan Online.
06 Jun 21
210
216 Permohonan Rentas Negeri Ditolak Polis Terengganu
KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Sebanyak 216 permohonan rentas negeri telah ditolak polis Terengganu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh 1 Jun lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, ia ditolak kerana pemohon tiada dokumen sokongan, menyalah guna surat bekerja dan gagal mengemukakan alasan munasabah.
“Polis Terengganu telah menerima 5,756 permohonan merentas negeri atas pelbagai alasan sejak PKP penuh dikuatkuasa.
“Kebanyakan permohonan yang diluluskan ialah pekerja sektor perkhidmatan perlu dan memiliki surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya selepas meninjau SJR Jambatan Sultan Mahmud di sini hari ini.
Mengulas mengenai pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, beliau berkata, pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kadar pematuhan dalam kalangan rakyat negeri ini pada tahap 96 peratus.
“Berdasarkan pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan-sempadan negeri terutama di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), bilangan kenderaan yang memasuki Terengganu sejak PKP Penuh berkurangan sebanyak 75 peratus,” ujarnya.
06 Jun 21
1223
COVID-19 : Semakin Ramai Ingin Divaksinasi - Kajian
KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Kajian terhadap sikap rakyat Malaysia mengenai kesedaran dan keyakinan mengenai usaha pemvaksinan COVID-19 menunjukkan keputusan memberangsangkan dengan 85 peratus rakyat menerimanya secara positif.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia adalah suatu perkembangan positif terutamanya apabila dibandingkan dengan hasil dapatan sebelumnya pada akhir Februari iaitu hanya 67 peratus daripada responden memilih untuk disuntik.
“Peningkatan penerimaan hasil selidik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbanding sebelum bermula Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sehingga April merupakan petanda baik dalam mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin pada hujung tahun ini.
“Selain itu, peratusan golongan yang menolak vaksin sepenuhnya atas pelbagai sebab dan dakyah turut berkurang daripada 16 peratus (Februari) menurun sehingga lima peratus (April).
“Keyakinan ini juga boleh disumbangkan oleh keadaan semasa dunia dengan 1.8 bilion dos vaksin yang telah disuntik di seluruh dunia dengan kadar kesan sampingan yang sangat rendah,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai masalah keraguan kalangan umat Islam dalam negeri, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mencadangkan supaya masjid dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Kita telah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) yang tawarkan sukarelawan dalam usaha memulakan projek perintis ini di Terengganu.
“Diharapkan agar ia dapat menyelesaikan masalah berkaitan keberkesanan dalam salah faham berkaitan vaksin dalam komuniti islam yang sebilangannya masih teragak-agak untuk pergi ke pusat vaksinasi,” jelasnya lagi.
Menurut statistik daripada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sehingga 5 Jun, Terengganu mencatatkan jumlah pemberian dos vaksin seramai 85,595 orang untuk dos pertama dan 50,053 untuk dos kedua.
06 Jun 21
168
Warga Emas Terima Baik Suntikan Vaksin
HULU TERENGGANU, 6 Jun - "Pak cik rasa lega sebab sudah terima vaksin, orang tua (warga emas) yang lain kena datang ambil suntikan supaya tidak dijangkiti COVID-19," kata Ismail Ibrahim, 79.
Dia merupakan salah seorang warga emas yang menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri bermula April lalu, turut mengajak lebih ramai rakyat di negeri ini terutama warga emas untuk mendaftar sebagai penerima vaksin itu.
Tambahnya lagi, selepas menerima suntikan dos pertama, dia berasa lega dan rasa lebih selamat daripada ancaman COVID-19 yang semakin mengganas di daerah itu.
"Saya tahu suntikan ini bertujuan untuk melawan Covid-19, tetapi, rasa takut tetap ada.
"Walaupun ada segelintir pihak kata tak elok dan ada pihak lain pula kata tidak ada masalah apa..lepas pak cik sendiri cucuk vaksin ini barulah pak cik rasa tindakan ini adalah tepat demi kebaikan semua," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menjalani suntikan tersebut.
Sementara itu, seorang lagi penerima vaksin, Wan Hawa Wan Ismail, 77, berkata, dia tidak merasa sakit ketika disuntik mahu pun selepas segala urusan berkaitan selesai.
“Saya bersyukur kerana sudah diberi peluang untuk menerima vaksin dan saya mengajak semua untuk mendaftar vaksinasi, kerana ini merupakan salah satu cara untuk kita bersama memerangi penularan COVID-19.
“Selepas disuntik, saya tidak rasa apa-apa kesan atau gangguan kesihatan. Malah, rasa seronok pula kerana sudah divaksin.
“Saya rasa program ini bagus dan takkan ragu-ragu untuk datang bagi menerima suntikan buat kali kedua nanti,” katanya.
Bagi, Tengku Azman Shah Tengku Adnan, 55, yang turut menerima vaksin berkata, orang ramai terutamanya golongan warga emas tidak perlu takut dengan program vaksinasi ini, kerana ia bertujuan untuk memulihkan keadaan.
Tambahnya, kehadiran ke PPV membuktikan dia telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang warganegara.
Dalam perkembangan yang sama, Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sivik Ajil, Dr. Izwan Syafiq Zakaria memaklumkan, seramai 100 individu disasarkan menerima vaksin di Dewan Sivik Ajil setiap hari bagi fasa kedua ini dan setakat ini 370 penerima telah menerima suntikan vaksin disini.
“Jumlah itu bagaimanapun akan berganda kerana nanti akan sampai satu tahap di mana kita perlu menguruskan suntikan penerima dos pertama dan dos kedua.
"Jadi, kita akan laksanakan program ini secara teratur,” katanya.
06 Jun 21
400
Cara Semak Keputusan SPM Esok
KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 akan diumumkan pada Khamis depan mulai jam 10.00 pagi.
Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan berkata calon sekolah dan persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui beberapa kaedah.
Katanya, ia merangkumi semakan secara dalam talian talian di pautan http://myresult1.moe.gov.my/ atau http://myresult2.moe.gov.my/ untuk mendapatkan keputusan penuh.
"Calon juga boleh buat semakan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 dengan menaip SPM[jarak]NoKP[jarak]AngkaGiliran dan hantar ke 68886.
"Perkhidmatan ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada Khamis depan sehingga jam 6 petang, 17 Jun ini.
"Bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan mengenal pasti calon berkenaan dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan," ujarnya.
Bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet, KPM berkata, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti individu berkenaan dan memaklumkan kaedah sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.
Terdahulu, seramai 401,105 calon sekolah yang menduduki SPM 2020, mulai 22 Februari lalu, melakar sejarah tersendiri apabila peperiksaan itu diadakan dalam keadaan norma baharu, berikutan penularan jangkitan COVID-19 di samping mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang, iaitu hampir 14 bulan,
06 Jun 21
269