lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kerajaan Bina Rumah Baharu Untuk Keluarga Mangsa Kebakaran
Kerajaan Bina Rumah Baharu Untuk Keluarga Mangsa Kebakaran
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Kerajaan negeri akan membina rumah baharu untuk keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Losong Haji Su, di sini baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed berkata, pembinaan kediaman itu adalah melalui peruntukan Tabung Darul Iman. “Di samping itu kita juga melalui Pusat Khidmat Masyarakat telah memberi sumbangan segera berbentuk bantuan kewangan. “Kerjasama melalui pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) turut digerakkan bagi membantu keluarga, alhamdulillah setakat ini sekitar RM60 ribu telah disalurkan,” ujarnya. Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga mangsa kebakaran rumah bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Kampung Losong Haji Su hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. Sementara itu, Ahmad Samsuri memaklumkan pihaknya akan menilai dan memperincikan kerugian yang dialami keluarga terbabit bagi menyalurkan bantuan lain. “Kita akan tengok nilai dulu apa yang boleh dibantu, sudah tentu bantuan segera ini akan dipantau oleh jawantakuasa kebajikan, yang lain saya akan tunggu maklumat dari ADUN setelah bincang dengan keluarga itu,” katanya. Pada 7 Jun lalu, seorang warga emas rentung manakala suaminya melecur selepas kediaman terbakar. Dalam insiden kira-kira jam 10.35 pagi itu, mangsa Fatimah Mohd, 79 tahun, maut selepas terperangkap di dalam kediaman yang dihuni bersama suaminya itu. Kebakaran juga menyebabkan suaminya, Jusoh Muda, 82 tahun, melecur kira-kira 30 peratus di bahagian kaki serta belakang badan, dia dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah selama dua hari dan dilaporkan meninggal dunia pagi tadi.
10 Jun 21
594
'Saya Masih MB Terengganu, Biar Polis Siasat Fitnah'
'Saya Masih MB Terengganu, Biar Polis Siasat Fitnah'
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - "Saya masih lagi Menteri Besar (MB)Terengganu sehingga pagi ini ," demikian kata Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Katanya, perkara tersebut tidak perlu diulas lagi kerana ia telah diserahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan terperinci berkenaan spekulasi pergolakan politik yang membabitkan dirinya dengan pihak istana Terengganu mengenai jawatan MB. "Bangun pagi ini, masih lagi seorang MB, walaupun setiap jam ada sahaja gambar tentang 10 orang bakal MB baharu. "Rasanya perkara ini tidak perlu ditimbulkan lagi, biarlah polis jalankan siasatan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat kediaman mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Su di sini hari ini. Tambahnya, orang ramai diminta untuk menghentikan spekulasi tentang politik di Terengganu dan membuat sebaran fitnah tentangnya. Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyiarkan artikel fitnah membabitkan MB, pentadbiran kerajaan negeri dan pihak istana. Mengikut laporan portal itu antara lain mendakwa Ahmad Samsuri  hilang sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS selain wujud usaha-usaha menjatuhkan beliau daripada seorang Ahli Parlimen parti berkenaan.
10 Jun 21
2201
Terengganu Negeri Terbaik SPM 2020, MB Ucap Syabas, Tahniah
Terengganu Negeri Terbaik SPM 2020, MB Ucap Syabas, Tahniah
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Negeri Terengganu berjaya mencatatkan rekod baharu negeri melalui Prestasi Gred Purata Negeri (GPN) dan Pencapaian Lulus Semua Mata Pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan, hari ini. Terengganu kekal mengungguli carta negeri terbaik SPM 2020 dengan pencapaian gred purata 4.55, mencatatkan peningkatan prestasi gred sebanyak 0.14, sekali gus merupakan rekod baharu negeri. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan SPM, hari ini. Mendahului Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik di Terengganu, Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut dan SM Imtiaz Kuala Terengganu di mana masing-masing mengungguli tempat pertama dan kedua. Seterusnya SM Sains Sultan Mahmud di tempat ketiga, SM Sains Dungun di tempat keempat dan SM Imtiaz Kuala Berang di tempat kelima. Ahmad Samsuri tidak lupa mengingatkan pelajar agar menghargai jasa semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan mereka. "Jangan lupa, tuturkan kata terima kasih kepada ibu ayah serta guru-guru yang telah banyak berkorban dan mendidik kalian. "Syabas saya ucapkan kepada yang berjaya mencapai keputusan cemerlang. Kepada yang belum berjaya, teruskan melihat dan merebut peluang yang ada di hadapan. Tahniah buat anak-anak pelajar SPM Tahun 2020," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa kebakaran rumah di Kampung Losong Haji Su di sini pagi tadi. Dalam tumpuan sama, beliau turut menyifatkan pelajar SPM 2020 sebagai individu hebat memandangkan peperiksaan kali ini amat jauh berbeza cabarannya berbanding tahun-tahun sudah dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik Covid-19. "Pernah saya katakan dalam suatu majlis di sebuah sekolah, SPM merupakan satu tanda koma dan bukanlah satu titik noktah, perjalanan hidup anak-anak pelajar masih panjang, berjaya atau belum berjaya, yang paling utama adalah jangan sesekali berputus asa," jelasnya. Terdahulu, seramai 18,743 calon termasuk 899 calon persendirian mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2020 di 169 pusat peperiksaan seluruh Terengganu bermula 22 Februari hingga 25 Mac lalu. Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 yang dicatat bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun. Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ia merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun apabila GPN bagi SPM 2016 ialah 5.05, 217 (4.90), 2018 (4.89) dan 2019 (4.86).
10 Jun 21
4761
Projek Lulus, Masalah Muara Merchang Cetek Bakal Berakhir
Projek Lulus, Masalah Muara Merchang Cetek Bakal Berakhir
MARANG, 8 Jun – Masalah muara cetek yang dihadapi lebih 300 nelayan di Kuala Merchang bakal berakhir selepas satu projek berskala besar di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah diluluskan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, tender bagi projek itu sudah dibuka pada 3 Jun lalu dan akan ditutup pada 13 Julai nanti sebelum kerja-kerja mendalamkan muara berjalan. “Difahamkan, masalah ini berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu. Kuala Merchang menjadi laluan utama nelayan ke laut, apabila semakin cetek serta menjejaskan dan merugikan nelayan. “Usaha kita bersama kerajaan negeri dan Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang bagi memulihkan semula muara Sungai Merchang kepada muara yang akan membolehkan nelayan Merchang ke laut kini hampir menemui penyelesaian,” ujarnya kepada UPDI. Pada Mac tahun ini, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata lebih RM1.5 bilion diperuntukkan kerajaan untuk projek pembangunan JPS di Terengganu menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan RMK-12. “Daripada peruntukan tersebut, dianggarkan RM861 juta untuk projek pemuliharaan muara sungai yang melibatkan muara Sungai Paka, Sungai Besut, Sungai Ibai, Sungai Merchang, Sungai Setiu dan Sungai Dungun,” katanya. Sementara itu, sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sementara menanti projek berjalan sepenuhnya, kerja-kerja pengorekan pasir bagi tujuan alur pelayaran sebagai langkah penyelesaian jangka pendek telah dijalankan.
09 Jun 21
2840
Pasar Besar Kuala Berang Kembali Beroperasi Esok
Pasar Besar Kuala Berang Kembali Beroperasi Esok
HULU TERENGGANU, 9 Jun - Pasar Besar Kuala Berang kini dibuka kembali kepada orang ramai bermula esok setelah ditutup sementara selama 14 hari. Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) dalam satu kenyataan berkata kebenaran membuka semula premis yang diberi perintah penutupan di bawah subseksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988(Akta 342). Terdahulu, penutupan pasar utama di daerah ini tersebut diarahkan Jabatan Kesihatan Terengganu mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. Ia susulan operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas beberapa pekerja am di premis itu dilaporkan telah dijangkiti Covid-19.
09 Jun 21
919
Terengganu Negeri Kedua Paling Sejahtera - Skor IKK
Terengganu Negeri Kedua Paling Sejahtera - Skor IKK
KUALA TERENGGANU, 9 Jun – Terengganu menjadi negeri kedua tertinggi di Malaysia dari segi tahap kesejahteraan keluarga berdasarkan Skor Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) yang dikeluarkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negeri (LPPKN) Terengganu, Muhamad Noh Abdullah berkata, negeri ini mencatatkan skor 8.10 daripada 10 diikuti Negeri Sembilan (8.03) dan didahului Wilayah Persekutuan Putrajaya (8.37). “Penanda aras tersebut dibuat berdasarkan lapan domain seperti hubungan kekeluargaan, ekonomi keluarga, kesihatan dan lain-lain lagi dimana kita menyasarkan skor 8 di semua aspek tersebut. “Contohnya, domain keluarga, peranan agama dan amalan kerohanian memperoleh markah tertinggi dengan 8.75 diikuti dengan domain hubungan kekeluargaan (8.63).   Infografik Skor IKK mengikut lapan domain “Berdasarkan skor itu, kita boleh menganggap bahawa rakyat disini telah mencapai indeks keluarga yang baik serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan negeri telah dizahirkan dalam tindakbalas positif itu,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI. Tambahnya, skor IKK Terengganu pada 2019 merupakan peningkatan daripada berbanding pada tahun terakhir pada 2016 (7.56) dan melepasi nilai kebangsaan iaitu 7.72. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menyifatkan pencapaian penilaian tersebut adalah selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030. “Kerajaan negeri akan terus komited dalam meneruskan dasar merangkumi Maju, Berkat dan Sejahtera serta bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam perancangan program lebih tepat dan releven dengan keperluan kekeluargaan semasa,” katanya. Untuk rekod, IKK bertujuan untuk memantau kesejahteraan keluarga Malaysia serta menjadi panduan kepada para penggubal dasar membentuk strategi yang lebih efektif dan program yang tepat kepada sasarannya.
09 Jun 21
4018
'Keadaan Terengganu Tenang, Tiada Pergolakan Politik' - Polis
'Keadaan Terengganu Tenang, Tiada Pergolakan Politik' - Polis
HULU TERENGGANU, 9 Jun - Polis hari ini mengesahkan bahawa keadaan politik di Terengganu berada dalam keadaan tenang sekali gus menafikan dakwaan yang tular semalam berkait perubahan Menteri Besar. Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md Isa berkata, tiada bukti dan sumber kukuh yang boleh mengesahkan berlaku masalah perkara terbabit. Katanya, sehubungan dengan itu orang ramai diingatkan agar tidak menyebar atau berkongsi maklumat tidak sahih di media sosial. "Tindakan tegas dari segi undang-undang boleh diambil ke atas mereka yang terlibat dengan berita palsu sebegini. "Dan saya nasihatkan masyarakat agar tidak memviralkan isu sensitif yang boleh menjejaskan ketenangan negeri," ujarnya ketika ditemui dalam lawatan ke lokasi Sekatan Jalan Raya di Kampung Kuala Kejir, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan sebuah portal berita berhubung kedudukan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang didakwa dalam situasi genting ketika ini.  Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyiarkan artikel fitnah membabitkan MB, pentadbiran kerajaan negeri dan pihak istana. Laporan portal itu antara lain mendakwa Ahmad Samsuri hilang sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS selain wujud usaha-usaha menjatuhkan beliau daripada seorang Ahli Parlimen parti berkenaan. Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan selepas laporan polis lain turut dibuat oleh wakil-wakil rakyat daripada PAS dan penegasan Yang Dipertua PAS Kawasan melalui satu kenyataan hari ini.
09 Jun 21
2278
Di Sebalik Fitnah, MB Tetap Turun Padang Agih Bantuan
Di Sebalik Fitnah, MB Tetap Turun Padang Agih Bantuan
MARANG, 8 Jun – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tetap meneruskan agihan bantuan kepada rakyat seperti biasa meskipun dilempar fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab kebelakangan ini. Pegawai Khasnya, Sabri Zakaria berkata, Menteri Besar dilihat tenang dan gembira dapat bertemu rakyat seolah-olah tiada apa yang berlaku. “Hari ini heboh berita pasal Menteri Besar. Goyah la, tergugat la dan macam-macam lagi cerita rekaan yang ada.  “Namun ia tidak menjejaskan Menteri Besar untuk terus membantu rakyat, pagi tadi saya ada bersama beliau dalam agihan bantuan COVID-19 di Kampung Kuala Tengah.  “Mengikut jadual, beliau ada mesyuarat hari ini, tetapi tetap ‘mencuri’ masa untuk turun menyampaikan bantuan pada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang,” katanya ketika dihubungi UPDI hari ini. Mengulas tentang laporan polis yang dibuat terhadap pengfitnah, Sabri berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak.  “Kita fokus buat kerja bantu rakyat lagi baik daripada melayan benda-benda rekaan seperti itu,” jelasnya. Tambah Sabri, selepas selesai mengagih bantuan, Menteri Besar terus meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Marang.  “Sebelum hadir mesyuarat Menteri Besar hadir ke PPV Marang untuk melihat sendiri proses vaksinisasi yang berlangsung dan menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas frontliner,” katanya.     
08 Jun 21
2209
Vaksin Satu Dos Antara Kaedah Terbaik Pujuk Orang Asli
Vaksin Satu Dos Antara Kaedah Terbaik Pujuk Orang Asli
HULU TERENGGANU, 8 Jun - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menggunakan pendekatan baharu dalam memastikan 63,734 Orang Asli yang menolak vaksinasi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 mereka. Timbalan Menteri 1, Dato Sri Abdul Rahman Mohamad berkata walaupun ia bukan satu tugas yang mudah untuk meyakinkan mereka, namun pihaknya dan JAKOA akan terus meningkatkan pemahaman terhadap kepentingan dan manfaat apabila menerima vaksin dengan kerjasama pelbagai pihak. Katanya, antara kaedah yang difikirkan adalah pemberian vaksin hanya satu suntikan sahaja yang sedang dipertimbangkan Menteri Penyelaras Vaksin, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. "Vaksin jenis CanSino hanya memerlukan satu dos bukan sahaja praktikal kepada masyarakat Orang Asli malah lebih menjimatkan kos logistik penghantaran. "Mereka yang menolak ini merupakan yang terpengaruh dengan hasutan oleh golongan antivaksin yang datang ke perkampungan mereka, ada juga yang memberi alasan tertentu tidak mahu divaksin kerana takut mati. "Sekarang ini kita berkempen dan cari kaedah terbaik untuk perjelaskan kembali kepada mereka, memandangkan ramai yang menerima maklumat yang salah dan kurang jelas mengenai kebaikan vaksin Covid-19, " katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Bantuan Bakul Makanan kepada 136 Ketua Isi Rumah di Kampung Orang Asli Sungai Berua, di sini hari ini. Dalam masa yang sama, KPLB melalui JAKOA meluluskan peruntukan sebanyak RM100 ribu bagi proses menaiktaraf dewan serbaguna di perkampungan berkenaan. Tambah Abdul Rahman lagi, sehingga hari ini, JAKOA telah menerima sebanyak 15,307 borang pendaftaran daripada masyarakat Orang Asli yang bersetuju untuk menerima suntikan vaksin. Beliau berkata kira-kira 3,018 Orang Asli  telah menerima suntikan dos pertama dan seramai 1,330 orang telah menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Sementara itu, Tok Batin Kampung Sungai Berua, Rosli Desoh, 48, berkata dia berharap kerajaan dapat mempercepatkan suntikan vaksin kepada semua rakyat kerana bimbang dijangkiti Covid-19 ketika keluar. "Kita tidak seharusnya terpedaya dan percaya dengan cerita palsu mengenai vaksin yang disediakan kerajaan, jagalah diri dan keluarga serta masyarakat Orang Asli," ujarnya. Bagi, Ishak Namat, 58 yang ditemui berkata  dia menerima baik untuk suntikan vaksin bagi keselamatan diri dan keluarga. "Walaupun ada perasaan takut tapi vaksin tu penting sebagai perlindungan dari wabak Covid-19 dan saya rasa kalau diwajibkan suntikan ini lagi bagus. "Betul orang asli kat sini lebih selamat sebab tidak keluar tapi bila orang luar datang, mereka boleh mengancam keselamatan kami semua," ujarnya yang mengisi borang persetujuan vaksinasi pada bulan lepas.  
08 Jun 21
266
Fitnah : SU Politik MB Terengganu Lapor Polis
Fitnah : SU Politik MB Terengganu Lapor Polis
KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyiarkan artikel fitnah membabitkan MB, pentadbiran kerajaan negeri dan pihak istana. Menurut Muhyiddin, antara dakwaan jahat dan tidak benar yang disiarkan dalam artikel itu adalah MB Terengganu kini tersepit dengan pihak istana serta wujud usaha daripada dalam PAS untuk mengambil alih jawatan MB. "Berita dan kenyataan ini adalah satu fitnah, tidak benar dan berniat jahat terhadap kredibiliti Ahmad Samsuri dan wakil-wakil rakyat kerajaan. "Oleh itu, saya hadir ke balai polis hari ini mewakili MB untuk membuat laporan polis kerana kenyataan dalam artikel terbabt sama sekali tidak betul," kata Muhyiddin kepada IPDI di perkarangan IPK Kuala Terengganu sebentar tadi. Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu berkata, pentadbiran kerajaan negeri tidak mengalami apa-apa masalah sebagaimana yang didakwa, malah semua pihak bekerja secara harmoni dan sedang melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa demi kepentingan rakyat. "Saya percaya bahawa ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan mencari sokongan politik murahan dalam keadaan kerajaan sedang dan rakyat sedang menghadapi krisis COVID-19. "Perbuatan fitnah ini hanya mahu menimbulkan prasangka buruk, keresahan masyarakat dan kebencian memuncak rakyat terhadapa kerajaan yang dipilih secara demokratik," katanya. Muhyiddin berkata, beliau menggesa pihak polis menjalankan siasatan segera terhadap portal tersebut kerana menabur fitnah. Laporan polis dibuat bagi mewakili Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira jam 4.00 petang tadi. Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi, Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim yang turut dikaitkan dengan isu terbabit tegas menafikan dakwaan itu. Kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal dan sesiapa yang mengfitnahnya. “Laporan menyebut saya diminta menjadi orang tengah bagi meredakan ketegangan antara Ahmad Samsuri dan pihak istana tidak benar sama sekali, ia tidak pernah berlaku dan sengaja direka-reka,” jelasnya.  
08 Jun 21
10495