Artikel "Utama" Terkini
Kerajaan Sasar 200 Ribu Vaksin Sehari Bulan Depan
KUALA NERUS, 13 Jun - Kerajaan Persekutuan menyasarkan sebanyak 200 ribu suntikan vaksin sehari dapat dicapai pada bulan depan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sasaran itu selari dengan hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dan menyelesaikan PICK secara menyeluruh menjelang akhir tahun ini.
Menurutnya, langkah kerajaan menambah lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan bekalan lebih banyak vaksin mampu meningkatkan kadar penggunaan (utilization rate) vaksin dalam masa singkat.
“Bagi bulan Jun, kadar yang telah dicapai adalah sebanyak 150 ribu peserta sehari, cuma ada sedikit perkara yang perlu dilakukan untuk kita mengekalkan angka ini secara konsisten.
“Selanjutnya, pada Julai nanti apabila bekalan vaksin lebih banyak lagi kita jangkakan akan mencapai sasaran 200 ribu peserta sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan Pelancaran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin, di Gong Badak, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus dan Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Ahmad Amzad turut memaklumkan, pihaknya mensasarkan sebanyak 19 institut pengajian tinggi akan beroperasi sebagai pusat pemberian vaksin.
“Kita menyasarkan dengan kapasiti mengendalikan vaksinisasi sekitar 14 ribu peserta sehari dan mampu mencapai 430 ribu peserta sebulan,” katanya.
Tambahnya, PPV UniSZA merupakan antara pusat terawal melibatkan Institut Pengajian Tinggi dengan kapasiti mengendalikan 1,500 peserta pada satu-satu masa.
“Tahniah kepada UniSZA kerana penglibatan sumber kepakaran yang ada merupakan langkah penting bagi membantu usaha negara melaksanakan lebih banyak suntikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.
13 Jun 21
445
Terengganu Rekod 'Utilization Rate' Vaksin Covid-19 Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Terengganu menjadi negeri tertinggi merekodkan kadar penggunaan (utilization rate) vaksin Covid-19 iaitu sebanyak 93 peratus mengatasi negeri-negeri lain.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, daripada 183,700 vaksin yang diterima oleh negeri itu, hanya 13,239 dos vaksin yang masih belum digunakan.
“Pencapaian ini lebih baik berbanding sebahagian negeri yang mana ada negeri diberi sehingga 860,000 vaksin, tetapi masih berbaki sekitar 300,000 dos lagi yang belum digunakan.
“Kita akan menjustifikasikan bekalan vaksin yang dihantar kepada negeri yang menunjukkan pencapaian baik kepada penggunaan vaksin yang dihantar yang mana kedudukan hari ini negeri Terengganu mencatatkan paling tinggi.
“Bagi memberi dorongan kepada jentera meningkatkan prestasi, merit akan diberikan kepada negeri-negeri yang mencatatkan prestasi yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam siding media selepas melakukan pemantauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus dan Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Tambah Ahmad Amzad, PPV UniSZA merupakan antara pusat terawal melibatkan Institut Pengajian Tinggi dengan kapasiti mengendalikan 1,500 peserta pada satu-satu masa.
“Hari ini, pihak PPV melakukan pemberian vaksin kepada 150 peserta bagi menguji sistem yang dilaksanakan. Saya diberi tugas melakukan pemantauan dan mendapati, persiapan dilakukan dengan baik melebihi apa yang diharapkan.
“Tahniah kepada UniSZA kerana penglibatan sumber kepakaran yang ada merupoakan sesuatu yang sangat penting bagi membantu usaha negara melaksanakan lebih banyak suntikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.
13 Jun 21
6364
PKPD : 15 Jalan Ditutup Di Mukim Bukit Besar, Serada
KUALA TERENGGANU, 13 Jun – Sebanyak 15 laluan ditutup berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilanjutkan di Mukim Bukit Besar dan Serada bermula hari ini sehingga 26 Jun.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din melaporkan, pihaknya turut membuka lima Sekatan Jalan Raya (SJR) di dua mukim terbabit.
Katanya, empat SJR di Mukim Bukit Besar dilaksanakan di Jalan Masuk Panji Alam dari Simpang Pengadang Akar, Jalan Keluar Panji Alam ke Simpang Pengadang Akar, Jalan Masuk Pasir Panjang dari Gong Kapas dan Jalan Keluar Pasir Panjang ke Gong Kapas.
Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din
“Di Mukim Serada, hanya satu SJR iaitu di Jalan Kepong, tujuan sekatan ini bagi mengelakkan berlaku pergerakan keluar dan masuk kenderaan serta orang ramai di kawasan PKPD berkenaan.
“Pihak polis juga akan membuat rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengenalpasti lorong-lorong yang masih digunakan orang ramai bagi tujuan keluar dan masuk,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, dua balai polis bergerak atau subtek Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuka di Hadapan Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar dan Dewan Sivik Serada.
“Ia khusus bagi memudahkan penduduk di kawasan berkenaan untuk mendapatkan sebarang maklumat atau bantuan hal-hal kecemasan semasa kawalan pergerakan dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan cubaan atau tindakan untuk mengalih, mengubah, melanggar atau merosakkan penghadang jalan (barricade) yang telah ditempatkan di kawasan pkpd boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang.
“Bagi 19 mukim yang lain pula hendaklah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (Pkp 3.0) dan mengurangkan pergerakan kecuali atas sebab dan urusan-urusan yang telah ditetapkan mengikut SOP,” katanya lagi.
Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Pusat Kawalan COVID-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di talian 09-6322377.
13 Jun 21
6162
'Outreach' Daftar Vaksinasi Covid-19 Diaktifkan
KEMAMAN, 12 Jun - Program 'Outreach' pendaftaran pengambilan vaksin Covid-19 telah digerakkan di daerah Kemaman bagi memudahkan urusan penerimaan vaksin.
Penyelia program, Khairuddin Ahmad memberitahu, seramai 20 orang sukarelawan terlibat dalam program tersebut di bawah kelolaan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Kemaman.
"Program di bawah kelolaaan PKM Ahli Parlimen Kemaman dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, UPDI Kemaman, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kemaman dan Pejabat Penerangan Daerah Kemaman serta Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat.
"Seramai 20 orang petugas sukarelawan terlibat di dalam program ini yang dipilih dan telah menerima suntikan vaksin untuk keselamatan mereka," katanya.
"Alhamdulillah, hari pertama program ini, kita telah berjaya mendaftarkan seramai 705 orang melibatkan dua JPKK iaitu Kampung Perasing Jaya dan Taman Perasing Jaya," ujarnya ketika ditemui semalam di Taman Perasing Jaya.
"Penduduk bersyukur dengan adanya program 'Outreach' seumpama ini dapat memudahkan pendaftaran mereka dan memberikan lebih jaminan kepada mereka untuk menerima vaksin.
"Sambutan penduduk sekitar amat menggalakkan dan saya amat berharap agar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) setempat dapat diwujudkan bagi memberikan kemudahan kepada mereka yang berada jauh dari PPV utama," tambahnya.
12 Jun 21
817
PKP 3.0 Dilanjut Hingga 28 Jun
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambung selama dua minggu bermula 15 Jun sehingga 28 Jun ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari.
Melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan, beliau menyatakan senarai positif/negatif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal sama seperti mana diumumkan sebelum ini.
"Kerajaan persekutuan turut melanjutkan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di dua mukim di Kuala Terengganu iaitu Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada bermula 13 Jun sehingga 26 Jun 2021.
"Keputusan melanjutkan PKPD di kedua-dua mukim berkenaan
dibuat setelah KKM mendapati masih terdapat peningkatan ketara kes di kawasan terbabit hasil daripada saringan bersasar," katanya.
Tambahnya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan Persekutuan bersetuju menamatkan PKPD di baki 19 Mukim di daerah berkenaan pada 12 Jun 2021.
Menurutnya lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan 461 kes positif COVID-19 di semua mukim sepanjang tempoh tersebut dan terdapat penurunan kes kecuali melibatkan dua mukim itu.
Selain itu, PKPD turut di beberapa kawasan di Kedah, Sabah, Johor dan Sarawak bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
11 Jun 21
718
Perkampungan 'Darul Barakah' Harapan Ke Pangkal Jalan
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Pusat Pemulihan Dadah Holistik yang dijenamakan sebagai Perkampungan Darul Barakah berfungsi membantu golongan yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah untuk kembali ke pangkal jalan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah, berkata projek yang bertempat di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cenderawasih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan itu akan bermula dengan 50 bekas penagih untuk fasa pertama dalam masa terdekat.
"Kita namakan ia Perkampungan Darul Barakah bagi mengelak persepsi negatif daripada masyarakat dan mereka yang tinggal di sini tidak merasa malu untuk mengikuti segala program yang disusun bagi mengubah hidup ke arah yang lebih baik.
"Suasana yang akan mereka lalui di sini adalah seperti pengajian pondok, bukannya seperti merasai berada di penjara sebaliknya menjadi tempat yang menceriakan serta akan hidup seperti orang lain yang kita khususkan kepada anak-anak sesiapa yang terlibat dengan masalah penggunaan dadah untuk menyertainya,"katanya.
Beliau berkata demikian, ketika bersiaran dalam program Bicara Khas EXCO 'Self Lockdown Bukan Jiwa Lockdown' di TV Darul Iman baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, Mohd Nor berkata rawatan yang dijalankan adalah mengikut empat kaedah meliputi rohani dan jasmani.
"Iaitu melalui fasa pembersihan jiwa melalui zikir, bacaan al-Quran, munajat, Qiamulail, mengerjakan solat-solat sunat serta pelbagai kaedah wirid sebagaimana yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW.
"Juga akan mempelajari ilmu fardu ain yang menjadi asas utama dalam kehidupan beragama. Manakala daripada sudut jasmani sama seperti tempat lain dikendalikan pihak kementerian kesihatan di samping akan turut menggunakan kaedah rawatan dalam Islam," katanya.
Ujarnya, masyarakat di negeri ini harus menyambut baik usaha dilakukan kerajaan ini dengan turut memberikan kerjasama.
"Jangan sembunyikan atau merasa hina sehingga mengambil keputusan tidak menghantar anak atau mana-mana yang mereka kenali untuk hantar ke sini.
"Sebaiknya kita mencontohi Thailand yang menjadikan sebuah pulau untuk memulihkan mereka yang terlibat dengan masalah ini, sehingga mendapat sambutan yang cukup baik.
"Saya merayu sungguh-sungguh untuk hantar mereka yang menghadapi perkara ini untuk dihantar ke sini semuanya akan ditanggung dengan harapan akan berjaya mengubah diri dan akan berada dalam situasi yang lebih baik," ujarnya.
Di samping itu katanya, penghuni tempat berkenaan selain didedahkan ilmu pangajian agama turut didedahkan dengan ilmu kemahiran dengan kerjasama beberapa agensi dan jabatan.
"Kita mahu mereka mempunyai usul kemahiran dalam bidang pertanian,penternakan dan juga pertukangan, pada peringkat awal ini kita akan tumpu pada pertanian dan penternakan dahulu dimana akan ada modul khas," ujarnya lagi.
11 Jun 21
1242
PKPD Kg Tajin : Tiga SJR Dan Laluan Utama Ditutup
HULU TERENGGANU, 11 Jun -Tiga sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di sekitar Kampung (Kg) Tajin berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula jam 12.01 tengah malam ini.
Antara SJR terbabit termasuk di hadapan Surau Hijau Kampung Telaga, hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) dan hadapan gelanggang Futsal Kg Kuala Akob.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata PKPD berkenaan membabitkan seramai 1,403 orang penduduk dan 270 buah rumah meliputi kawasan seluas 10 kilometer persegi.
"Sekatan ini didirikan untuk mengawal dan menyekat pergerakan keluar dan masuk ke kawasan kampung tersebut.
"Seramai 70 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Malaysia(APM) dan RELA terbabit dalam penugasan di sini.
"Pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya turut diperketat dengan tapisan individu dibuat lebih teliti bagi memastikan hanya mereka yang dibenarkan sahaja boleh berada di jalan raya,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pemasangan SJR di Kg Tajin, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.
Tambahnya lagi, laluan jalan utama Kg Tajin (kawasan PKPD) hanya akan dibenarkan kepada kenderaan Jabatan/Agensi dan pembekalan 'esential' ke kawasan PKPD sahaja.
"Oleh kerana Kg Tajin terletak di laluan utama Sungai Tong ke Kuala Berang, jadi pengguna perlu menggunakan jalan altenatif Kg Kepah-Payang Kayu untuk ke Kuala Berang dan sebaliknya kerana penutupan jalan ini.
"Papan tanda laluan alternatif akan disediakan," kata beliau.
Untuk rekod, penularan jangkitan mula berlaku di kg Tajin akibat dari kluster berkaitan pergerakan semasa sambutan Aidilfitri 2021 yang berlaku di Kampung Matang dan Kampung Tengkawang.
Akibat daripada penularan jangkitan dari kedua-dua kluster tersebut seramai 502 orang penduduk telah disaring dan 31 orang dilaporkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti direkodkan ialah 6.17 peratus dan seramai 57 orang sedang dikuarantin.
11 Jun 21
2204
'Total Lockdown', PKPD Di Terengganu Tunjuk Hasil Positif
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Pelaksanaan 'total lockdown' fasa pertama bermula 1 Jun lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di negeri ini mula menunjukkan perkembangan yang positif.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, perkara itu terbukti selepas kes positif yang dicatatkan hari ini adalah 108.
"Semalam 171, lebih 70 daripadanya adalah kes positif COVID-19 di kawasan industri Teluk Kalong yang melibatkan warga asing dan tidak ada risiko kepada rakyat negeri kita kerana mereka tidak keluar dari kawasan industri tersebut.
"Jadi bila ditolak hanya 98 kes tempatan untuk semalam," ujarnya ketika bersiaran secara maya di TV Darul Iman, hari ini.
Jelas beliau, kadar kebolehjangkitan turut menunjukkan penurunan iaitu tidak lebih dari 1.
"Semalam 0.9 bermakna kadar jangkitan akan makin berkurangan dari hari ke hari yang akan membawa lekuk kepada mendatar," ujarnya.
Dr Alias berkata, PDRM turut memaklumkan tahap kepatuhan rakyat Terengganu terhadap SOP 'total lockdown' dan PKPD sangat baik.
"Contohnya, Besut semalam dan hari ini hanya catat empat kes baru dan ini suatu kejayaan, begitu juga di mukim Kuala Berang, penularan sudah boleh dikawal.
"Di Kuala Terengganu hanya mukim Bukit Besar dan Serada kawasan PKPD yang masih tidak dapat dikawal dan lain-lain semakin baik," ujarnya.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan sebenarnya untuk membawa kebaikan kepada rakyat.
"Ini bukanlah kejayaan kerajaan tetapi rakyat yang bekerjasama sehingga membolehkan kes COVID-19 di negeri kita semakin menurun," ujarnya.
Sementara itu katanya, kerajaan negeri juga sedang giat berusaha supaya lebih ramai rakyat Terengganu mendaftar vaksin.
"Kita sasarkan dapat capai 70 peratus daftar vaksin untuk meningkatkan imuniti kelompok.
"Walaupun peratusan pertambahan yang mendaftar masih rendah tetapi kehadiran ke pusat penerimaan vaksin semakin meningkat ," ujarnya.
10 Jun 21
5085
PKPD Di Kampung Tajin Bermula 12 Jun
HULU TERENGGANU, 10 Jun - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Tajin, Kuala Berang bermula 12 Jun sehingga 25 Jun 2021.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat susulan penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan.
Katanya, sehingga kini, seramai 502 individu telah disaring dan daripada jumlah itu 31 dilaporkan positif COVID-19 dengan kadar positiviti direkodkan ialah 6.17 peratus.
"Pelaksanaan PKPD ini untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti dan kampung lain," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu, yang dijadualkan tamat pada 11 Jun 2021 (11.59 malam), seperti yang dijadualkan.
Ismail berkata, keputusan ini diambil setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM.
Tambahnya, sepanjang tempoh itu, KKM telah melakukan 946 ujian saringan dan 62 daripadanya disahkan positif COVID-19.
KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.
10 Jun 21
2487
328 Jurumandi Jenazah, Pembantu Terima Elaun RM100 Sebulan
KUALA TERENGGANU, 10 Jun – Kerajaan Negeri meneruskan pemberian insentif bulanan kepada Jurumandi Jenazah dan Pembantu Jurumandi Jenazah yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebanyak RM100 sebulan dengan bayaran enam bulan pertama 2021 pada Julai ini.
Ketua Penolong Pesuruhjaya (Dakwah) JHEAT, Zahari Sulong berkata, bayaran bagi enam bulan pertama 2021 akan dibuat pada Julai depan selepas mengalami sedikit kekangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal 2021.
Katanya, kerja kemaskini borang baharu sedang giat dilaksanakan dengan turut menyenaraikan penerima tahun sebelumnya.
"Pembayaran yang bermula sejak tahun 2019 hingga kini memberi manfaat kepada seramai 328 orang golongan sasar yang berdaftar.
“Semua ini ditambah lagi dengan peruntukan sebanyak RM720,000 setahun bagi pembayaran imbuhan pemandian jenazah dengan kadar RM100 kepada jurumandi dan RM50 kepada pembantunya, yang juga berjalan seperti biasa.
"Kerajaan Negeri juga turut menyediakan bantuan khairat kematian sebanyak RM2,000 bagi Jurumandi Jenazah dan Pembantu Jurumandi Jenazah berdaftar yang berkhidmat melebihi lima tahun. Manakala RM1,000 kepada yang berkhidmat kurang daripada lima tahun,” katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Jelasnya, sumbangan insentif dan khairat kematian oleh kerajaan Terengganu itu adalah sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan atas khidmat bakti golongan itu dalam menunaikan tuntutan Fardu Kifayah kepada masyarakat Islam.
Untuk rekod, peruntukan pemberian elaun bulanan tersebut telah diumumkan semasa perbentangan bajet negeri 2019 daripada teras ketiga iaitu kebajikan.
10 Jun 21
1175