Artikel "Utama" Terkini
'Food Pas' Pusing Kampung Bantu Rakyat Susah
SETIU, 16 Jun - Memahami dan merasai kesusahan rakyat di sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil inisiatif menubuhkan 'Food Pas'.
Mohd Shafizi Ismail berkata, dengan tema ‘Berkebajikan Sepanjang Hayat’ bantuan makanan itu mula disalurkan kepada golongan sasar sejak kelmarin.
"Operasi kami mudah iaitu hanya meronda ke setiap kampung dalam DUN ini, kemudian mengagihkan barangan keperluan harian kepada semua penduduk yang terjejas.
“Beras, tepung, gula, susu dan lain-lain kami agihkan kepada rakyat yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik, sesiapa yang merasa memerlukan boleh segera berhubung dengan Jawatankusa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Langkah proaktif ini penting bagi memastikan barangan sampai dengan cepat dan kena pada sasaran, ia juga bagi kelangsungan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dan masyarakat, ini juga platform kepada orang ramai berkongsi rezeki,” katanya kepada UPDI.
Mengulas lanjut, Mohd Shafizi memaklumkan inisiatif murni itu mendapat kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) Batu Rakit Care.
“Idea mewujudkan ‘Food Pas’ ini hadir selepas banyak sokongan yang diberikan daripada pihak tertentu terutamanya JPKK DUN Batu Rakit.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kami ucapkan kepada Pengerusi JPKK Kampung Wakaf Chagak, Che Rahim Che Harun,” jelas Shafizi.
Tambah Mohd Shafizi, demi memastikan kebajikan rakyat terjamin, inisiatif itu akan dikekalkan dan ditambah baik.
“Saya juga secara khusus akan mewujudkan ‘Food Pas’ ini di semua JPKK dalam DUN Batu Rakit agar kita dapat terus membantu mereka-mereka yang memerlukan tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit,” ujarnya.
16 Jun 21
908
Terengganu Sasar Capai 80 Peratus Vaksinasi Pada November
KUALA NERUS, 17 Jun - Kerajaan Terengganu meletakkan sasaran untuk mencapai 80 peratus vaksinasi bagi rakyat negeri itu dalam tempoh empat bulan, sehingga November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak berkata, setakat 14 Jun, sebanyak 12.77 peratus iaitu berjumlah 103,297 individu di negeri itu telah memperolehi vaksin dos kedua.
"Sasaran kita kini adalah untuk capai target 80 peratus vaksinasi dalam tempoh empat bulan. Saya jangkakan, pada awal November kita akan capai sasaran jika bekalan vaksin tidak tergendala.
"Kemampuan pemberian vaksinasi kita sekarang ialah seramai 205,800 individu sebulan, membolehkan 841,800 penduduk menerima vaksin pada fasa kedua dan ketiga ialah dalam masa empat bulan," katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, hari ini.
Jelasnya, usaha tersebut turut dibantu dengan peningkatan kadar kehadiran warga emas untuk menerima vaksin.
"Kadar warga emas yang hadir juga sudah semakin tinggi iaitu sekitar 70 peratus. Sebelum ini, pengangkutan dikatakan menjadi antara masalah utama, jadi seluruh pusat khidmat DUN di seluruh Terengganu kini menyediakan kenderaan untuk menjemput dan menghantar mereka dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
"Kita juga akan membuka PPV di masjid-masjid dengan Masjid Durian Burung menjadi projek peneraju (pilot project) pada 19 Jun ini dengan anggaran peserta seramai 250 orang," katanya.
16 Jun 21
364
Agihan Bantuan : Jangan Buat Spekulasi, Fahami Isu Sebenar
HULU TERENGGANU, 16 Jun - Dakwaan agihan bantuan di Ajil hanya tertumpu kepada golongan berada disifatkan sebagai satu spekulasi dan provokasi politik melampau daripada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim menegaskan, bantuan di negeri ini termasuk di tempatnya terbahagi kepada dua kategori iaitu sumbangan kuarantin dan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0.
Katanya, apa yang diviralkan di media sosial itu bukan BERKAT 3.0 sebaliknya ia adalah bantuan kepada golongan dihad pergerakan kerana perlu menjalani perintah kuarantin.
"Bantuan itu untuk mereka yang menjalani kuarantin di rumah kerana kesukaran mereka untuk keluar mencari bekalan makanan, bantuan ini tidak kira golongan berada atau tidak.
"Tambahan pula bantuan ini juga datang daripada sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap golongan yang dikuarantin. Tidak timbul soal pilih kasih bantuan seperti yang heboh diperkatakan di media sosial baru-baru ini," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Susulan itu, Maliaman merayu agar orang ramai tidak merumitkan lagi keadaan dalam tempoh yang sukar ini kerana dibimbangi akan merencatkan usaha kerajaan membantu golongan terjejas.
"Tolonglah, jangan menjadikan keadaan lebih parah. Kalau ada isu, ada penduduk di DUN Ajil dikatakan layak menerima bantuan, tolong maklumkan secepat mungkin siapa orang itu," ujar beliau lagi.
Terdahulu, satu tuduhan dimuat naik di Facebook melaporkan BERKAT 3.0 yang disalurkan hanya tertumpu kepada golongan berada semata-mata.
Dakwaan itu menyatakan, ada beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan beberapa ADUN di Terengganu atas dakwaan itu.
16 Jun 21
403
Pusat Pemulihan Dadah Holistik Mula Operasi, Manifesto Tertunai
MARANG, 16 Jun - Pusat Pemulihan Dadah Holistik atau Perkampungan Darul Barakah telah beroperasi selepas pengambilan pelatih sesi pertama dibuka bermula semalam.
Pengurus perkampungan terbabit, Alif Mahari berkata, kerajaan negeri kini berada di landasan tepat untuk mengurang dan membasmi masalah penagihan dadah susulan pelaksanaan salah satu manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 itu.
Katanya, pada hari pertama pendaftaran semalam seramai hampir 10 peserta telah mendaftar dan beliau yakin bilangan itu akan meningkat berikutan proses itu masih dibuka sehingga ke tarikh yang diberitahu kelak.
“Konsep asas pusat pemulihan dadah holistik ini ialah mereka yang berkampung di sini hadir secara sukarela dan mereka serius mahu berubah.
“Ketika mereka di sini, pelatih akan dididik dengan pelbagai pengisian termasuk ilmu dunia dan akhirat, dalam masa yang sama mereka juga akan diberi peluang untuk membina kerjaya seperti dalam bidang pertanian dan penternakan dengan kelebihan kem yang berkeluasan melebihi 40 ekar,” katanya kepada UPDI.
Mengulas lanjut, pusat yang diselia Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu menyasarkan 50 bekas penagih untuk fasa pertama.
“Ini komitmen kita untuk menyelesaikan masalah penagihan dadah, kerana penagih baru sentiasa lahir bermula daripada bangku sekolah rendah.
“Melihat perkara itu Terengganu menjadi negeri pertama membuka pusat pemulihan dadah holistik di bawah naungan mereka sendiri,” jelasnya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memberitahu, pusat itu tidak sama seperti penjara sebaliknya ia berpontensi besar membantu golongan terlibat untuk kembali ke pangkal jalan sepenuhnya.
Katanya, projek yang bertempat di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cenderawasih, Cador, Marang itu telah disusun dengan sistem dan silibus terbaik melibatkan pelbagai badan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia dan YIT.
"Suasana yang akan mereka lalui di sini adalah seperti pengajian pondok, bukannya seperti di penjara, ia sebaliknya menjadi tempat yang menceriakan serta akan hidup seperti orang lain yang kita khususkan kepada anak-anak sesiapa yang terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah,” tambah beliau.
Untuk rekod, pada Mei 2021 kerajaan negeri telah mengumumkan 14 daripada 20 manifesto telah dilaksanakan, Pusat Pemulihan Dadah ini merupakan manifesto ke-15 yang ditunaikan.
16 Jun 21
1567
Cadang Utamakan Vaksin Kepada Pemain Industri Pelancongan
HULU TERENGGANU, 15 Jun – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu) sedang dalam usaha bagi memberi keutamaan vaksin COVID-19 kepada para penggiat industri tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, perbincangan sedang berjalan dengan agensi pelancongan bagi menyusun maklumat tentang angka sebenar pemain pelancongan yang akan didahulukan.
Katanya, jika pemberian vaksin dilaksanakan dan aktiviti pelancongan dibenarkan, orang ramai akan berasa selamat apabila melancong.
“Semalam kita sudah ada pertemuan dengan 76 orang pengayuh beca dan pemandu bot penambang di Kuala Terengganu dan Seberang Takir untuk proses seterusnya.
“Cadangan saya mungkin akan dimasukkan dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Antara golongan yang dicadangkan seperti pengayuh beca tiga tayar, pemandu ‘houseboat’ Tasik Kenyir, pemandu teksi, pengusaha pulau dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemubual pemberita, pagi tadi.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni petugas barisan hadapan dan penerima vaksin di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang.
Hadir sama, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan penyelaras PPV Kuala Berang, Zuraidah Embong
Dalam program tersebut, Ariffin bersama Tourism Terengganu, Persatuan Hotel Terengganu (MAH) dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu turut menyantuni dam memberi penghargaan di sini kepada 297 penerima vaksin dan 45 orang ‘frontliners’.
“Siri jelajah ketiga ini sedang dilaksanakan di seluruh negeri dengan Dungun sebagai destinasi seterusnya.
“Sumbangan makanan disediakan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan minuman MyCoklat adalah sebagai tanda sokongan kepada petugas di sini dan sokongan terhadap PICK," jelasnya.
15 Jun 21
547
19 Kompaun Premis Dikeluarkan Sepanjang 'Total Lockdown'
KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Sebanyak 664 premis telah diperiksa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu dalam tempoh 14 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (Fasa Pertama) yang bermula 1 Jun lalu.
Pengarah KPDNHEP, Saharuddin Mohd Kia berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 19 kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Ia membabitkan kesalahan gagal mengamalkan penjarakan fizikal (6 kes), gagal menyediakan peralatan saringan suhu/ merekod butiran diri (2 kes) dan apa-apa aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal dan lain-lain kesalahan (11 kes).
"Kesemua tindakan kes tersebut membabitkan nilai keseluruhan kompaun sebanyak RM173,500," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, di samping pemeriksaan pematuhan SOP rutin yang dilaksanakan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Terengganu, pemeriksaan secara bersama juga dilaksanakan melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.
"Agensi berkenaan termasuklah Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan.
"Pemain industri dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil mudah dengan kepentingan menjaga SOP bagi mengelak risiko jangkitan dan pengwujudan kluster baharu Covid-19.
"Sekiranya berlaku penularan, ia sekali gus akan merencatkan serta menyukarkan usaha pemulihan ekonomi, sektor perniagaan dan perdagangan domestik," jelasnya.
Premis perniagaan hendaklah memainkan peranan mereka seperti menampal notis jumlah had pelanggan yang dibenarkan di pintu masuk premis, menyediakan alat pengimbas suhu, buku rekod pelanggan, kod QR MySejahtera dan melakukan penilaian risiko terhadap pelanggan melalui semakan suhu badan.
"Serta memastikan hanya pelanggan dengan status 'Low Risk' dalam MySejahtera sahaja yang dibenarkan masuk ke kompleks / premis masing-masing.
"KPDNHEP Terengganu ingin menegaskan bahawa individu yang didapati melanggar SOP yang ditetapkan akan dikenakan tindakan berdasarkan kuasa yang telah diberikan di bawah Akta 342," tegasnya.
15 Jun 21
383
Pengayuh Beca Gembira Kerajaan Bagi RM200 Sebulan
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Rata-rata pengayuh beca di negeri ini gembira dengan keputusan kerajaan negeri yang akan menyalurkan bantuan bulanan bernilai RM200 bermula Julai.
Asmat Muhammad, 73, berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dia tidak lagi berkayuh membawa pelanggan seperti dahulu.
“Kami hanya duduk berehat sahaja, ini membuatkan kami hilang mata pencarian,” luahnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Asmat atau mesra disapa Mat berkata, kariernya sebagai pembawa pelancong di kawasan Pasar Payang bermula sejak 1974.
"Bermula dari situ kami mendapat rezeki yang agak baik untuk menyara keluarga, namun sejak COVID-19 melanada, kami mengalami penyusutan kewangan kerana ketiadaan pelancong tempatan apabila sempadan daerah dan negeri ditutup.
“Sekarang ini kita termenung sahaja, sebelum ini (PKP) kebiasaannya sehari ada boleh sehingga RM40 dengan pelanggan sehingga 10 orang, kebanyakkan daripada hotel yang ingin pergi ke Pasar Payang.
“Sekarang punca rezeki saya selama empat dekad ini memang terjejas, boleh kira hampir tiada pelanggan langsung,” katanya.
Mengulas mengenai bantuan bulanan yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, semalam, Asmat mengakui dia sangat bersyukur.
“Alhamdullilah, dengan bantuan oleh Exco pada hari ini (semalam) dan sebelumnya ada juga, ia dapat meringankan beban membeli barangan dapur untuk empat orang anak bersama isteri di Flat Bukit Kecil, Kuala Terengganu.
“Saya berharap supaya virus ini terhapus, dan jalan (sempadan) dapat dibuka kembali seperti biasa,” katanya lagi.
Terdahulu, Kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan sebanyak RM27,200 kepada dua golongan tersebut sebahagian daripada Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) PKP 2.0 (Sektor Pelancongan), awal tahun ini.
15 Jun 21
330
Pengayuh Beca, Pemandu Bot Penambang Terima Elaun RM200 Sebulan
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Pengayuh beca dan pemandu bot penambang di negeri ini akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 bermula bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif kerajaan negeri itu berikutan kesan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap golongan terbabit.
Katanya, sumbangan tersebut akan memberi manfaat kepada 57 pengayuh beca dan 18 pemandu bot yang telah direkodkan.
“Bantuan berjumlah RM15 ribu sebulan yang akan berjalan sehingga Disember nanti itu juga bertujuan untuk mengekalkan nostalgia dan nilai warisan pelancongan negeri yang dibawa oleh mereka.
“Fokus sekarang adalah bagi mengenalpasti jumlah sebenar mereka yang beroperasi dalam sektor ini kerana sesetengah kalangan penggiat berumur lebih daripada 80 tahun, Insya-Allah kita akan perincikan kembali data senarai tersebut.
"Saya turut menyarankan kepada mereka supaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar nasib mereka terbela sebaiknya," katanya ketika ditemubual di Jeti Bot Penambang, Pasar Payang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak.
Tambah Ariffin, beliau turut berterima kasih kepada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab yang sentiasa berhubung dengan pihaknya bagi menyalurkan maklumat berkait nasib golongan itu.
Pada masa yang sama, Ariffin turut menyampaikan bantuan RM2,000 dan barangan keperluan harian kepada 10 wakil penarik beca dan persatuan bot penamban.
Untuk rekod, pada awal bulan ini, pengayuh beca dan pemandu bot penambang telah menerima elaun bulanan sebanyak RM300 seorang daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Ketengah berkata, pembayaran elaun khas selama tiga bulan itu bertujuan meringankan bebanan mereka yang terkesan susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).
"Golongan ini adalah ikon kepada sektor pelancongan di Terengganu dan khidmat mereka perlu dihargai.
"Kebanyakan pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang berusia antara 70 tahun dan 85 tahun menghadapi kesukaran mencari rezeki berikutan ketiadaan pelanggan," jelasnya.
14 Jun 21
891
Peningkatan Insiden Laut Di Terengganu Membimbangkan
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Statistik operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) atau insiden laut terkini menunjukkan peningkatan membimbangkan setelah merekodkan tujuh kes dalam enam bulan pertama tahun ini.
Pegawai SAR Maritim Negeri Terengganu, LT KDR (M) Mohd Arizan Hakimi Mohd Zin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan kadar insiden tersebut bagi enam bulan berbaki terutamanya pada musim monsun timur laut nanti.
“Bagi tahun 2020, jumlah insiden perairan direkodkan adalah 14 insiden termasuk situasi seperti bantuan kecemasan, mangsa lemas atau hilang, kerosakan bot dan seumpamanya.
“242 kejadian direkodkan pada tahun lepas dan 81 kes pada pada tahun ini sehingga 31 Mei bagi seluruh Malaysia melibatkan insiden kehilangan nyawa, harta benda, mangsa lemas atau tidak dijumpai dan sebagainya.
“Namun begitu sejak penubuhan pada 2006 sehingga kini, statistik harta benda yang diselamatkan adalah agak besar sebanyak RM622 juta, menggambarkan usaha dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam usaha mengurangkan kadar penswastaan, kehilangan dan kerosakan harta benda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bersiaran langsung di TVDI bersempena Hari Kesedaran Keselamatan Maritim, baru-baru ini.
Mengulas tentang berlakunya insiden melibatkan penggiat aktiviti laut, Arizan menjelaskan antara punca-punca utama adalah kurang kesedaran tentang pemakaian jaket keselamatan dan penggunaan peralatan sokongan kecemasan yang dapat membantu operasi CARILAMAT.
“Oleh itu, pertama sekali kita sarankan kepada sesiapa yang menjalankan aktiviti perairan untuk sediakan jaket dan peralatan keselamatan di atas bot, kerana kita tidak pasti bila kejadian akan berlaku.
“Kedua, kita galakkan penggunaan lampu isyarat kecemasan atau PLP, alat sebesar tapak tangan ini akan beri isyarat kepada pusat kawalan dan memudahkan kerja mencari jika berlaku kecemasan.
Beliau turut menasihati kepada komuniti maritim agar merujuk laporan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum turun ke laut dan tangguh jika keadaan tidak mengizinkan.
14 Jun 21
632
Terengganu Catat Penurunan, Kes Covid-19 Dua Digit Berturut-turut
KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Kes baharu Covid-19 dalam negeri Terengganu berkurangan dalam tempoh tiga hari berturut-turut, dengan sejumlah 46 kes dilaporkan hari ini.
Jumlah itu menjadikan jangkitan kumulatif meningkat kepada 10,567.
Terdahulu, negeri berkenaan mencatatkan 82 kes baharu positif semalam selepas 66 kes baharu, kelmarin.
Terengganu kekal menjadi antara tiga negeri terendah angka harian dalam tempoh tersebut mengikuti Putrajaya dengan tujuh kes dan Perlis (5).
Negeri lain mencatatkan angka bawah 200 iaitu Kelantan dengan 179 kes, Labuan (158), Melaka (145), Perak (121) dan Pahang (78).
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes Covid-19 dalam negara turut berkurangan buat hari kedua berturut-turut, dengan sejumlah 5,304 kes dilaporkan hari ini.
Jumlah itu menjadikan jangkitan kumulatif meningkat kepada 657,508.
13 Jun 21
1807