lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Elaun Atlet Diteruskan Walaupun SUKMA 2021 Ditunda
Elaun Atlet Diteruskan Walaupun SUKMA 2021 Ditunda
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Elaun atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 tetap dibayar seperti biasa meskipun acara dwi-tahunan yang sepatutnya berlangsung pada 2021 itu dibatalkan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi menjaga kebajikan kepada altet sukan negeri ini. Katanya, elaun bulanan berfasa kepada para atlet SUKMA diteruskan dengan perubahan minima akibat pertukaran tarikh baharu acara itu ke tahun hadapan. “Fasa pertama melibatkan pembayaran elaun kepada penggiat sukan sebanyak RM130 sebulan, jumlah bagi fasa kedua juga sama manakala bagi seterusnya kita akan bayar sebanyak RM390 sebulan. “Sehingga sekarang kita masih meneruskan bayaran elaun seperti biasa kepada warga sukan, jurulatih dan selebihnya yang terlibat. Namun kini kita kembali kepada fasa pertama dan akan mulakan fasa ketiga jika menghampiri tarikh pertandingan. “Selain itu, Skim Penggiat Sukan sebanyak RM650 sebulan kepada atlet Terengganu berusia 18 tahun ke atas turut diwujudkan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini. Tambah Wan Sukairi, Kerajaan Negeri melalui Badan Pengurus Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) juga telah meluluskan Skim Khas Sukma 2022. “Seperti sedia maklum, had umur atlet bagi SUKMA adalah tidak lebih daripada 21 tahun kebawah, namun begitu dengan berlaku tundaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk melonggarkan syarat tersebut. “Peserta boleh berdaftar dalam acara yang akan diadakan di Johor Darul Takzim itu walaupun berumur dengan maksimum sehingga 23 tahun dan layak menerima skim tersebut. “Jumlah elaun tersebut bergantung kepada pencapaian dan syarat ditetapkan, contohnya jumlah diberikan adalah RM650, namun jika dinilai, mereka layak menerima RM1,000,” katanya lagi. Jelasnya, insentif kebajikan khas tersebut berperanan sebagai penyunting semangat dan persediaan dalam menghadapi acara sukan tahunan kebangsaan tersebut.
19 Jun 21
544
Terengganu Buka Pusat Pemberian Vaksin Masjid Pertama
Terengganu Buka Pusat Pemberian Vaksin Masjid Pertama
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Terengganu membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masjid yang pertama di negeri itu bagi menyemarakkan program imunisasi kebangsaan sekali gus mewujudkan pelbagai kaedah dalam pelaksanaan vaksinasi. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyasarkan pembukaan PPV masjid di setiap daerah Terengganu bergantung kepada perancangan dan bekalan vaksin yang diterima. "Kita mahu mempelbagaikan kaedah penyampaian vaksin kepada rakyat yang mana selain daripada PPV awam kita ada juga PPV nstitut pengajian tinggi (IPT) dan program bantuan (outreach) ke kawasan-kawasan pedalaman. "PPV masjid akan dikembangkan ke seluruh negara terutama di kawasan-kawasan pedalaman yang dihuni orang-orang Melayu dan pendekatan ini membantu menimbulkan minat dan kefahaman yang benar tentang vaksin kepada umat Islam," katanya. Beliau berkata demikian selepas tinjauan PPV masjid di Masjid Al-Taqwa, Durian Burung, hari ini. Turut serta, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus dan pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, Dr. Muhammad Zuraizi Jaafar. Jelasnya, program PPV masjid masih diperingkat perintis yang akan dikembangkan. "Berbanding program vaksinasi masjid di Kelantan yang lebih kepada program outreach, PPV masjid di sini lebih tersusun, lengkap dan ia akan jadi tetap. "Kiita juga akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) melalui perbincangan saya dengan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir sebab kita tidak mahu ada tohmahan tidak boleh solat di masjid tetapi boleh berkumpul untuk terima suntikan," katanya. Menurut Amzad, PPV masjid itu diselia sepenuhnya oleh PAPISMA dengan seliaan dan pemantauan JKNT. "Hari ini, kita ada 10 doktor pakar dan 30 doktor perubatan, saya telah lihat hari ini dan dapati ia telah berjalan seperti mana yang kita harapkan, kita telah berjaya menyelesai vaksinasi seramai 90 orang dalam masa dua jam sahaja. "Mereka ini bertugas secara percuma atas dasar kesedaran meringankan beban barisan hadapan dan perancangan kita setakat ini, PPV ini beroperasi pada hujung minggu sahaja," katanya.  
19 Jun 21
2494
COVID-19 Di Terengganu Catat Dua Angka 8 Hari Berturut-turut
COVID-19 Di Terengganu Catat Dua Angka 8 Hari Berturut-turut
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Perkembangan kes COVID-19 di negeri ini terus menunjukkan trend penurunan yang memberangsangkan selepas mencatat kes harian bawah 100 lapan hari berturut-turut. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, bermula 11 Jun lalu, kes baharu yang dicatatkan hanya 66. "Menurun kepada 42 kes pada 12 Jun, seterusnya 13 Jun 46 kes, 14 Jun (86 Kes), 15 Jun (43 Kes), 16 Jun (56 kes), 17 Jun (77 kes) dan 18 Jun (32 kes), " katanya ketika bersiaran secara maya di TV Darul Iman, hari ini. Katanya, faktor penurunan kes di negeri ini salah satunya disebabkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan orang ramai. "Tahniah kepada rakyat Terengganu yang patuh SOP seterusnya membolehkan kes menurun. "Harap orang ramai teruskan pematuhan ini supaya kes terus berkurangan dan membolehkan kita membendung penularan COVID-19 di negeri Terengganu," ujarnya.
18 Jun 21
1660
Munajat Rakyat Harungi Musibah COVID-19
Munajat Rakyat Harungi Musibah COVID-19
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Pelaksanaan program Munajat Rakyat Terengganu oleh Kerajaan Negeri adalah sebagai salah satu usaha meningkatkan semangat rakyat dalam mengharungi musibah pandemik COVID-19. Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menyifatkan, antara dua syarat untuk Allah SWT mengampunkan dosa umat-Nya ketika menghadapi malapetaka adalah dengan mengamalkan sifat redha dan berusaha untuk bermunajat. “Allah SWT ingin mengajar kita dengan musibah, ini kerana apabila manusia melaluinya, kita akan kembali untuk beribadat kepada-Nya. “Antara hikmah berlakunya sesuatu kejadian yang tidak baik, pertama Nabi Muhammad SAW berkata tuhan memberikan kita susah begini, dengan sebab itu dosa kita sebesar gunung Allah ampunkan,” katanya ketika bersiaran langsung sempena Kuliah Dhuha Munajat Rakyat, pagi tadi. Dalam bual bicara yang dipengerusikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah itu, Ustaz Azhar turut berkata, musibah bermakna perkara atau kejadian tidak baik menimpa ke atas manusia. “Persoalannya jika penularan virus ini musibah atau tidak, jawapannya semua yang tidak baik tidak disukai manusia dipanggil musibah, apatah lagi keadaan semasa dengan kes kematian yang meningkat,” katanya lagi. Sementara itu, Pendakwah Selebriti, Ustaz Syed Mohd Norhisyam berkata, dalam menghadapi masalah seperti kesihatan, kewangan dan sebagainya, Islam mengajar umatnya untuk berikhtiar. “Khususnya apabila dilanda wabak, antara ikhtiar yang boleh diambil seperti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), mengambil vaksin, pemakanan sihat dan lain-lain lagi. “Hanya istimewa untuk orang Islam sahaja, munajat sebenarnya juga adalah bentuk yang paling utama sekali, kerana Allah SWT adalah maha berkuasa untuk mencipta dan menghapuskannya (virus), alhamdullilah Munajat rakyat yang diadakan ini juga adalah di antaranya,” jelasnya.  
18 Jun 21
393
COVID-19 Ajar Masyarakat Cakna Golongan Miskin
COVID-19 Ajar Masyarakat Cakna Golongan Miskin
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - COVID-19 telah memberi banyak pengajaran kepada seluruh masyarakat antaranya seperti bersikap cakna terhadap golongan yang tidak bernasib baik serta paling terkesan dalam menghadapi Perintah kawalan Pergerakan (PKP). Pengerusi  Pembangunan Belia, Sukan dan  Badan Bukan Kerajaan  (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia telah membentuk satu perubahan sikap di kalangan rakyat yang memiliki keupayaan dan kemampuan daripada pelbagai sudut untuk menghulurkan bantuan. "Oleh kerana itu kita melihat telah diwujudkan pelbagai program kebajikan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak pertubuhan yang kebanyakan dipelopori oleh belia dan  beliawanis negeri ini. "Saya sangat kagum melihat usaha yang dilakukan bersungguh-sungguh menerusi lebih 1,600 NGO ini yang datang daripada pelbagai kluster yang menzahirkan keprihatinan mereka kepada mereka yang memerlukan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pidato 'Belia Melawan COVID-19 'Terengganu Pasti Menang', melalui TV Darul Iman kelmarin. Wan Sukairi berkata, orang ramai bukan sahaja bersimpati kepada golongan yang memerlukan bahkan mereka turut memastikan segala keperluan diperlukan petugas barisan hadapan adalah mencukupi tanpa diminta. "Meliputi pihak keselamatan, petugas di pusat kuaratin dan vaksinasi serta pelabagai lagi telah diberikan bekalan makanan, malah NGO yang ada di negeri ini juga begitu aktif mengumpulkan wang dan mengerakkan tenaga-tenaga wanita menyediakan pakaian pelindung khas (PPE) sebagaimana setahun yang lalu ia sangat terhad," katanya. Kerajaan pula katanya, sama ada di peringkat persekutuan dan negeri tidak berlepas tangan sebaliknya turut membantu para petugas juga rakyat melalui pelbagai alternatif. "Banyak peruntukkan melalui pelbagai program dan saluran dikeluarkan kepada rakyat untuk mengimbangi kesulitan serta kepayahan yang dialami dibelanjakan dengan jumlah yang begitu besar bagi membantu pelbagai segmen masyarakat bertujuan menampung kesusahan," katanya. Malah jelasnya, kerajaan negeri juga turut memberi pengisian rohani dengan menganjurkan pelbagai program bagi memastikan rakyat negeri ini terus berada dalam keadaan sejahtera dan tidak murung. "Malah bagi memastikan rakyat negeri ini terus mengekalkan kesihatan pihak Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) telah mengadakan program senamrobik secara virtual. "Insya-Allah dengan adanya pelbagai program kebaikan yang berterusan akan menjadikan ujian yang dihadapi pada ketika dapat diuruskan dengan baik di samping ia menjadi satu pengalaman yang sangat berharga untuk dijadikan satu azimat bagi menghadapi kemungkinan akan perkara yang lebih sukar di masa akan datang," tambahnya.
18 Jun 21
217
Perkukuh Institusi Keluarga Semasa Pandemik - Senator
Perkukuh Institusi Keluarga Semasa Pandemik - Senator
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Rakyat di negeri ini disaran agar menggunakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Penuh sebagai peluang memperkukuhkan institusi kekeluargaan. Ahli Dewan Negara (Terengganu), Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengembalikan semula kesejahteraan rumah tangga lebih-lebih lagi ketika semua ahli keluarga menghadapi waktu sukar. Tambahan pula katanya, ibu bapa mempunyai masa yang lebih untuk memberi tumpuan kepada  proses pendidikan anak-anak agar dibentuk menjadi modal insan berguna. "Mungkin kita kata perkara tersebut telah berlalu kerana kesibukan yang kita hadapi ketika sebelum datangnya ujian pandemik ini, kita mengabaikan apa yang sepatutnya kita buat, jadi kita mesti menginsafi kembali dengan mengambil peluang untuk memperbaiki segalanya. "Melalui nasihat menasihati antara satu sama lain, berbincang, berkongsi segala ilmu yang didapati selama ini melalui kuliah agama yang selama ini kita tidak sempat, jadi ini peluang," ujarnya. Beliau berkata demikian pada Program Munajat Rakyat Terengganu di TV Darul Iman, pada semalam. Nuridah berkata, anggota masyarakat tidak perlu merasa bosan dengan situasi yang dilalui ketika ini, sebaliknya perlu lebih cekal dan tabah mengharunginya. "Juga ini masanya memperbaiki ibadat bersama ahli keluarga, yang dulu mungkin dilakukan secara tergesa-gesa dan cepat serta perlu ingat bahawa ujian yang diberikan Allah ini pastinya mengandungi hikmahnya yang tersendiri. "Projek kita panjang bukan hanya sekadar hidup di dunia ini, bahkan perlu menyelamat dan melindungi setiap ahli keluarga daripada jurang api neraka sebagaimana yang difirmankan oleh Allah," ujarnya. Di samping meluangkan masa dengan pelbagai perkara yang positif, jelasnya aspek kesihatan juga perlu menjadi keutamaan. "Waktu berada di rumah sudah pasti banyak makan, tambahan pula wanita suka memasak, kena ingat Rasulullah memberi peringatan bahawa penyakit berpunca dari gaya pemakanan, maka kena mengamalkan diet yang seimbang, mungkin hari Isnin dan Khamis boleh dilatih untuk berpuasa sunat," ujarnya.
18 Jun 21
204
Terengganu Terima 200,000 Dos Tambahan Pfizer Pada Julai
Terengganu Terima 200,000 Dos Tambahan Pfizer Pada Julai
KUALA NERUS, 17 Jun - Kerajaan Pusat memberi jaminan bahawa Terengganu akan menerima 200,000 dos tambahan vaksin jenis Pfizer-BioNTech pada Julai depan. Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, beliau yakin dengan tambahan dos ke Terengganu itu lebih ramai penduduk akan divaksin dengan kadar segera. “Keyakinan itu disuarakan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) yang memberi jaminan mampu meningkatkan kadar suntikan kira-kira 12,000 sehari sebaik terima sejumlah 200,000 dos tambahan vaksin pada Julai nanti,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Tertutup, Gong Badak, di sini, hari ini. Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak dan Pengarah JKNT Dr. Nor Azimi Yunus. Khairy yang juga Menteri MOSTI turut memberitahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkemungkinan akan menyediakan unit bergerak (mobile unit) bagi memberi suntikan vaksin satu dos kepada penduduk di pulau-pulau di Terengganu. “Vaksin yang sama iaitu CanSino dan Johnson & Johnson sebelum ini turut diberi kepada penduduk di kepulauan Sabah, Sarawak dan kepada Orang Asli,” katanya.    
17 Jun 21
1030
SOP Ibadah Korban Yang Tersebar Belum Muktamad
SOP Ibadah Korban Yang Tersebar Belum Muktamad
KUALA TERENGGANU, 17 Jun - Prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban negeri Terengganu yang tersebar di media sosial adalah masih belum muktamad. Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata, perkara tersebut masih di peringkat perbincangan dan semakan. "JHEAT akan memaklumkan dan mewarwarkan kepada semua sekiranya SOP yang sebenar telah dimuktamadkan. "Sebarang pemakluman akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Mohon semua bersabar," ujar JHEAT dalam satu kenyataan sebentar tadi.
17 Jun 21
1528
Usahawan Kecil Diberi Moratorium Pinjaman, Sewa Premis 2 Bulan
Usahawan Kecil Diberi Moratorium Pinjaman, Sewa Premis 2 Bulan
KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bersetuju memberi moratorium terhadap pinjaman dan sewa premis perniagaan 630 usahawan kecil selama dua bulan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nur Khuzaini A. Rahman berkata, inisiatif khas untuk peminjam dan penyewa premis YPU itu membabitkan peruntukan berjumlah RM867,395. "Maknanya kita tidak ambil bayaran peminjam Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) yang melibatkan seramai 522 orang selama dua bulan iaitu Julai dan Ogos dengan jumlah RM506,612. "Manakala bagi penyewa premis perniagaan juga dikecualikan bayaran sewa untuk bulan Jun dan Julai yang membabitkan 108 penyewa bagi 134 premis tidak termasuk pasar raya Giant. "Fokus untuk membantu mereka yang terlibat dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berjumlah RM 360,783, maknanya ada insiatif untuk mereka menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Penuh,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung pada Program Bicara Khas EXCO 'Cabaran dan Peluang Usahawan Hadapi PKP', di TV Darul Iman (TVDI), baru-baru ini. Dalam perkembangan berbeza Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri  terus komited menambahbaik aplikasi Ganu Shop yang dimulakan pada tahun lalu sebagai usaha membantu para usahawan. "Sekarang ini dalam proses penambahbaikan melibatkan sistem perakaunan, transaksi atas talian melibatkan beberapa bank yang terpilih telah diatasi. "Sekarang ini telah ada jalan penyelesaian iaitu mengenai jaminan wang dikembalikan, E-Wallet dan penghantaran," ujarnya. Katanya, Pos Malaysia telah bersetuju menjadi penghantar rasmi bagi aplikasi tersebut dan telah melalui ujian fasa pertama. "Ujian kedua akan dilakukan dalam masa terdekat, sekarang ini laman web ganushop.com.my telah pun boleh dilayari sama ada melalui peranti android dan IOS. "Ia akan dibuat pelancaran secara ringkas jika tidak boleh diadakan secara fizikal akan dibuat secara atas talian," ujarnya. Ujarnya, pendaftaran untuk usahawan memasarkan produk mereka melalui aplikasi berkenaan telah pun dibuka. "Sekarang ini dah ada seramai 450 syarikat PKS telah pun mendaftarkan 1,057 produk mereka untuk sedia dipasarkan. "Dalam masa yang sama saya mengambil peluang menyeru usahawan yang mempunyai produk yang ingin dipasarkan melalui aplikasi ini boleh menghubungi YPU untuk proses pendaftaran dan satu syarikat boleh memasarkan sebanyak mana pun produk yang mereka miliki," ujarnya lagi.    
17 Jun 21
783
Wad Kelas Ketiga Percuma Bermula 1 Julai
Wad Kelas Ketiga Percuma Bermula 1 Julai
KUALA NERUS, 17 Jun - Pelaksanaan caj percuma bagi wad kelas ketiga bagi seluruh hospital kerajaan di Terengganu akan dilaksanakan bermula 1 Julai ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak memaklumkan, dianggarkan kira-kira 1.2 juta rakyat Terengganu akan menerima manfaat pelaksanaan manifesto PAS Terengganu bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu. "Kita telah melalui proses yang panjang untuk melaksanakan satu lagi manifesto bagi memenuhi janji kepada rakyat iaitu untuk melaksanakan rawatan kelas ketiga percuma. Alhamdulillah, persiapan kita dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Persekutuan kini dilaksanakan, terima kasih bagi membantu menjayakan program ini di Terengganu. "Caj Wad Kelas Ketiga Percuma ini akan melibatkan enam buah hospital iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Dungun, Hopsital Kemaman, Hospital Setiu, Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu melibatkan anggaran 1,390 buah katil secara keseluruhannya," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, semalam. Jelasnya, golongan yang menerima faedah program tersebut ialah semua pemegang kad pengenalan Terengganu merangkumi caj katil, makan minum dan rawatan. "Semua caj ini adalah percuma dan ditanggung oleh kerajaan negeri melibatkan jumlah kira-kira kos RM3.7 juta setahun. "Berdasarkan rekod kita dapati jumlah rakyat yang mendapatkan rawatan dan menggunakan wad dalam tempoh setahun adalah sekitar 90 ribu orang.  "Buat masa ini, program ini tidak terpakai kepada bukan rakyat Terengganu, namun akan dipertimbangkan untuk lebih baik pada masa akan datang atau mereka yang tidak bernombor kad pengenalan 11 tetapi mengundi di Terengganu turut dapat mendapat manfaat ini. Ini kerana, kita fokus untuk meringankan golongan berpendapatan rendah (B40) yang terbeban dengan pendapatan harian dan sebagainya. "Bagaimanapun, insya-Allah, selagi PAS Terengganu terus memerintah, caj percuma wad kelas ketiga akan diteruskan," katanya.  
17 Jun 21
1309