Artikel "Utama" Terkini
230 KIR Terima Kit Bantuan BERKAT 3.0 Di Seri Bandi
KEMAMAN, 22 Jun - Seramai 230 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima kit bantuan BERKAT 3.0 yang terdiri daripada golongan sasar berikutan pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan di Bandar Seri Bandi, Kijal.
Ianya melibatkan tiga Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan tersebut iaitu Felcra Seri Bandi, Seri Bandi dan JPKK Sungai Ibok.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika ditemui oleh media semasa pengagihan di bandar tersebut kelmarin menyatakan akan ada lagi bantuan untuk fasa yang seterusnya.
Hazri Jusoh (kiri) menyerahkan kit bantuan BERKAT 3.0.
"Insya-Allah, akan ada lagi bantuan untuk fasa yang seterusnya oleh kerajaan negeri bagi meringankan bebanan yang dirasai oleh mereka yang terkesan.
"Kami berusaha untuk membantu semua keluarga di mana KIRnya tidak dapat bekerja atau yang hilang sumber pendapatan dalam tempoh PKP ini akibat pendemik Covid-19," katanya.
Hazri mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua JPKK di seluruh DUN Kijal di atas kesungguhan mereka dalam membantu penduduk kampung masing-masing.
"Jutaan terima kasih kepada semua JPKK di Kijal kerana meringankan dan mempermudahkan urusan bantuan oleh kerajaan negeri ini, alhamdulillah," ujarnya.
Sebanyak 2,000 kit bantuan telah diagihkan di seluruh Kijal kepada KIR yang dikenal pasti terkesan pada fasa ini.
21 Jun 21
552
Degil, Polis 'Terjah' Rumah Penduduk
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Gara-gara kedegilan segelintir penduduk Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga yang enggan menjalani ujian calitan Covid-19 menyebabkan rumah mereka diterjah pihak berkuasa.
Pihak polis dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa mengambil langkah itu bagi memastikan penduduk melakukan 'swab test' di balai raya kampung yang diadakan selama dua hari sejak semalam.
Rata-rata penduduk yang enggan keluar memberikan alasan mereka bukan kontak rapat, tidak bergaul dan tidak keluar rumah.
Terdahulu, penduduk Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga disarankan supaya menjalani ujian saringan Covid-19, kerana dikhuatiri mempunyai risiko selepas beberapa penduduk di kampung berkenaan didapati positif.
Ujian calitan dilakukan berikutan terdapat 11 orang daripada beberapa keluarga didapati positif Covid-19 selepas mereka dikatakan menziarahi kematian di Telemong, Hulu Terengganu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seberang Baruh, Mohd Junaidi Long yang ditemui berkata, seramai 1,000 penduduk dikenal pasti untuk menjalani ujian berkenaan.
Namun begitu katanya, tidak semua memberi kerjasama dan meletakkan sasaran hanya 700 orang daripada jumlah yang dikenal pasti akan keluar menjalani ujian berkenaan.
"Ini terbukti apabila dalam tempoh dua hari, hanya 690 penduduk yang keluar menjalani ujian berkenaan yang ditutup setakat 2 petang tadi.
"Hari pertama sambutan agak baik iaitu seramai 398 orang, tetapi pada hari ini sambutan dingin iaitu hanya sekitar 50 orang sahaja yang keluar menyebabkan polis terpaksa campur tangan," jelas beliau.
Justeru itu katanya, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan dengan pergi dari rumah ke rumah penduduk bagi memastikan mereka keluar untuk mengambil ujian calitan Covid 19 walaupun pelbagai alasan diberikan.
"Ternyata tindakan yang diambil pihak berkuasa dilihat berkesan bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19 di kampung berkenaan," ujarnya.
21 Jun 21
10020
Samiun Bersara, Tengku Farok Pegawai Kewangan Negeri Baharu
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Bekas Pegawai Kewangan Negeri, Samiun Salleh bersara wajib berkuatkuasa semalam (20 Jun) selepas hampir tiga bulan memegang jawatan itu.
Sementara itu, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil telah memulakan tugas sebagai Pegawai Kewangan Negeri bermula hari ini.
Samiun yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Universiti of Wales, United Kingdom (UK) sebagai Pegawai Kewangan Negeri Terengganu bermula pada 14 Mac 2021 bagi menggantikan Dato Zainal Abidin yang bersara wajib pada 10 Mac 2021.
Samiun.
Terdahulu, beliau berkhidmat sebagai Pengarah/Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK) (Pembangunan) di Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) bermula 3 November 2019.
Samiun adalah seorang yang berpengalaman dalam pentadbiran negeri, termasuk pernah menjadi Setiausaha Majlis Daerah Kemaman; Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT);Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu (MDS) dan Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Pada 2 Jun 2014, beliau berkhidmat sebagai TSUK (Pengurusan) dan kemudiannya Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) (2016-2017), Datuk Bandar MBKT (2017-2019) serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT (15 Januari 2019 - 02 November 2019).
21 Jun 21
2284
Tujuh Beranak Hilang Tempat Berteduh Dapat Perhatian MB
MARANG, 21 Jun - Peristiwa tragis tujuh beranak yang hilang tempat berteduh akibat kebakaran mendapat perhatian Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah berkata, Ahmad Samsuri hadir ke tempat kejadian di Kampung Batu 9, Bukit Payong semalam dan mahu agar bantuan segera disalur kepada keluarga terbabit.
Katanya, susulan itu, keluarga Abd Wahab Ismail akan ditempatkan di rumah sewa sementara milik orang kampung dan bantuan lain akan menyusul.
“Dalam jam sekitar 9 malam semalam, Saya bersama MB bergegas ke rumah Abd Wahab untuk meninjau apa-apa keperluan yang perlu disalurkan segera.
“Kebakaran yang difahamkan berpunca daripada litar pintas telah memusnahkan keseluruhan rumah, akibatnya mangsa hanya tinggal sehelai sepinggang kecuali sebuah kereta yang sempat diselamatkan,” katanya menerusi Facebook rasminya, semalam.
Kejadian yang berlaku pada 4.50 petang itu turut melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun dan 12 bulan, namun kedua-duanya dilaporkan selamat.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai, Khairul Azmi Ismail, pihaknya menerima panggilan pada 5 petang, susulan itu tiga jentera termasuk dari BBP Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi.
"Anggota mengambil masa selama 30 minit untuk kerja-kerja pemadaman dan selesai sepenuhnya pada 6.10 petang,” katanya sepertimana dilaporkan Harian Metro.
21 Jun 21
932
Agihan Bantuan COVID-19 DUN Batu Buruk Masuk Fasa Empat
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – 2,000 pek bantuan makanan asas bagi fasa keempat Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk telah mula diagihkan kepada masyarakat yang terjejas pendapatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bantuan tersebut disalurkan melalui kesemua 36 buah Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) sejak beberapa hari lepas.
“700 pek daripada jumlah bantuan tersebut telah diagihkan lebih awal kepada kawasan di Mukim Bukit Besar yang termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan 12 buah JPKK.
“Manakala selebihnya diagihkan pada pada hari-hari seterusnya,” katanya ketika ditemubual oleh pemberita baru-baru ini.
ADUN Batu Buruk turut sama membantu dalam proses agihan
Menurutnya lagi, sejurus Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0), Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah menyusun bantuan untuk disalurkan secara berperingkat.
“Pada fasa pertama, kita telah agihkan sebanyak 2,000 kilogram ikan kepada masyarakat yang terjejas.
“Manakala fasa kedua sebanyak 900 pek bantuan makanan asas telah diagihkan.
“Fasa ketiga pula, kita telah agihkan sebanyak 1,100 ekor ayam kepada mereka yang terjejas pendapatan,” tambahnya lagi.
Beliau juga berharap agar bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan dalam tempoh PKP ini.
“Bantuan ini tidak terhenti setakat ini dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.
Selain itu, beliau menasihatkan agar masyarakat kekal berada di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar dan menjaga keselamatan dengan mengikut arahan yang ditetapkan sekiranya berada di luar rumah.
Proses agihan makanan asas dijalankan
21 Jun 21
410
Sasar 80 Peratus Penduduk Disuntik Vaksin Sebelum Tengkujuh
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Kerajaan Pusat menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 26.5 juta penduduk di negara ini mendapat suntikan vaksin sebelum menjelang tengkujuh akhir tahun ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato' Ahmad Amzad Hashim berkata, angka itu perlu dicapai berikutan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir antara lokasi yang berisiko tinggi kebolehanjangkitan Covid-19.
Katanya, pelbagai langkah diambil kerajaan bagi membolehkan angka itu mampu dicapai .
"Antaranya menambah lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan tenaga kerja terutama vaksinator.
"Mewujudkan unit vaksinasi bergerak ke kampung dan kawasan pedalaman untuk memudahkan proses vaksinasi kepada penduduk kampung, Orang Asli, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta gelandangan," katanya ketika bersiaran secara langsung di TV Darul Iman semalam.
Ahmad Amzad berkata, kerajaan turut berusaha menyasarkan hampir 200,000 penduduk mendapat suntikan sehari mulai Julai ini.
"Peningkatan kepada 300,000 sehari pada bulan seterusnya dan pada September pula kemungkinan mampu mencapai 400,000 suntikan sehari.
"Peningkatan jumlah suntikan pada setiap bulan diyakini mampu mencapai angka 80 peratus penduduk mendapat suntikan," katanya.
.
21 Jun 21
276
Tiga Kes Varian Baharu Beta Dikesan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Tiga kes varian baharu varian Beta (B.1.351) COVID-19 dikesan di Terengganu antara 11 Jun hingga semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes tersebut adalah antara 22 kes varian baharu varian membimbangkan (VOC) yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, negeri lain yang turut mencatatkan tiga kes itu ialah Selangor dan Sabah tiga kes selain dua kes di Kedah, dan masing-masing satu kes di Perak, Johor, dan Kelantan.
"Lapan kes baharu bagi varian Delta (B.1.617.2) pula dikesan masing-masing dua kes di Johor, Labuan, dan Negeri Sembilan; serta masing-masing satu kes di Perlis dan Pulau Pinang.
"Sehingga 19 Jun 2021, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus COVID-19 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) sebanyak 183 kes, iaitu 167 kes ialah VOC dan 16 kes VOI," katanya hari ini.
Untuk rekod, awal Jun lalu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menamakan varian COVID-19 kepada nama baharu untuk mengelak stigma dan memudahkan perbincangan
Varian United Kingdom kini dikenali sebagai varian Alpha, Afrika Selatan sebagai Beta, Brazil sebagai Gamma dan India sebagai Delta.
20 Jun 21
8057
KPDNHEP Mohon Pertimbang Kebenaran Operasi Kedai Alat Tulis
HULU TERENGGANU, 20 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu mengemukakan permohonan supaya premis alat tulis dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).
Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata, permohonan itu akan dikemukakan kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Dato Seri Ismail Sabri Yaakob atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dibincangkan dalam mesyuarat yang terdekat.
Katanya, beliau difahamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga telah mengemukakan permohonan sama kepada MKN kelmarin.
"Kedai alat tulis serta barangan persekolahan termasuk fotostat wajar dibenarkan beroperasi semasa sekolah ditutup dan kelas berjalan di rumah.
"Ini merupakan antara permintaan ibu bapa bagi memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya.
Rosol berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas Sekatan Jalanraya (SJR) di Kampung Tajin, hari ini.
Justeru itu katanya, beliau berkeyakinan permohonan pembukaan semula kedai alat tulis dan fotostat tersebut akan diputuskan MKN pada masa terdekat.
20 Jun 21
1078
Rakyat Teruja Terengganu Laksana Wad Kelas 3 Percuma
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Rata-rata rakyat di negeri ini teruja dan menyambut baik inisiatif kerajaan yang melaksanakan wad kelas 3 percuma.
Tinjauan di media sosial mendapati orang ramai termasuk rakyat di luar Terengganu gembira selepas Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan manifesto itu akan bermula 1 Julai.
Seorang pengguna media sosial menyifatkan usaha tersebut bakal memberi banyak manfaat kepada masyarakat.
"Alhamdulillah, terbaik Menteri Besar, semoga memberi manfaat kepada rakyat Terengganu kita," responnya terhadap kenyataan yang dimuatnaik Ahmad Samsuri hari ini.
Ramai juga di kalangan rakyat yang berterima kasih kepada kerajaan negeri dan barisan Exco kerana menunaikan janji.
"Alhamdulillah, akhirnya dapat dilaksanakan selepas beberapa karenah dihadapi," ujarnya.
Sementara itu, inisiatif terbaharu kerajaan negeri turut mengundang rasa 'cemburu' masyarakat di luar Terengganu.
"Kesiannya saya, suami dan anak sahaja orang Terengganu, saya orang Johor,.
"Untung rakyat Terengganu," ujar wanita terbabit.
Baru-baru ini kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pemberian rawatan perubatan wad kelas tiga secara percuma kepada rakyat negeri ini bermula bulan depan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, kemudahan itu dapat dinikmati di semua hospital kerajaan yang ada di negeri ini.
"Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta setahun bagi menunaikan janji manifesto yang dibuat kepada rakyat negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu," jelasnya.
20 Jun 21
487
COVID-19 : Jangan Alpa Dengan Penurunan Kes Positif
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Masyarakat di Terengganu sekali lagi diingatkan supaya tidak alpa dengan penurunan kes positif COVID-19 di negeri ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata pandemik itu masih belum berakhir, malah boleh kembali melarat jika tidak dipandang serius.
"Jangan leka dan alpa walaupun negeri ini melaporkan hanya dua digit kes harian COVID 19 sejak seminggu yang lalu.
"Kita tak mahu situasi 'yoyo' atau turun naik berterusan tanpa kesudahan yang boleh menyebabkan rakyat letih, petugas kesihatan letih dan ekonomi pun letih.
"Sampai masa kita semua mesti bersungguh sungguh terus kekalkan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) sebab kita belum menang lagi," katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook hari ini.
Menurut Nor Azimi, semua rakyat Terengganu perlu mengekalkan kepatuhan SOP bagi membolehkan penurunan kes atau keluk Epid landai dicapai.
Namun begitu katanya, masih terdapat jangkitan besar dalam keluarga dan akhir nya merebak ke tempat kerja seperti kes Alor Limbat (17 orang), kes Atas Tol (23 orang), kes KN (20 orang) dan kes Wakaf Mempelam seramai 23 orang.
"Kita pun masih melaporkan ramai kes import B (rentas negeri) dan akhirnya menular ke keluarga.
"Ia seolah-olah sukar nak putus rantaian jangkitan COVID 19 ni.Sekiranya masih ada yang tidak cakna dan tak kisah maka tentulah lagi sukar," ujar beliau.
19 Jun 21
896