lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

OP Kuda Laut : 1,102 Pencuri Hasil Negara Berjaya Ditahan
OP Kuda Laut : 1,102 Pencuri Hasil Negara Berjaya Ditahan
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - OP Kuda Laut yang dilancarkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bemula 25 Jun 2020 lalu, telah berjaya menahan 103 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara sepanjang setahun ia dilaksanakan. Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli memaklumkan, tangkapan bot nelayan asing itu dianggarkan secara keseluruhan bernilai sebanyak RM154.5 juta. “Antara yang ditahan melibatkan 61 bot dan 699 orang kru nelayan asing bagi fasa pertama dan kedua.  “Manakala, dari Januari sehingga Jun (fasa ketiga) kita telah tahan 42 bot melibatkan 403 orang kru, termasuk 42 orang yang ditahan semalam,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Maritim Terengganu, hari ini. KM NUSA sedang membawa bot nelayan asing yang ditahan, semalam ke jeti Maritim Terengganu. Foto: Maritim Terengganu. Jelasnya, OP Kuda Laut turut meletakkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang ketat iaitu saringan di laut untuk memastikan tahanan yang ditangkap selamat daripada jangkitan Covid-19 sebelum dibawa ke jeti Maritim untuk siasatan lanjut. “Kita terpaksa menahan mereka sehingga proses ‘swab test’ daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat keputusan. Selain tahanan, pegawai terlibat akan turut dikuarantin sehingga keputusan ‘swab test’ tahanan di perolehi,” katanya. OP tersebut jelasnya, merangkumi tiga fasa pelaksanaan melibatkan penangkapan dan pengusiran nelayan asing. “Fasa pertama melibatkan penangkapan penceroboh, tetapi pada fasa kedua kita berhenti menangkap, sebaliknya melakukan pengusiran kerana penularan Covid-19 sangat tinggi melibatkan lokap tahanan dan juga penjara pada waktu itu. “Operasi ini melibatkan pelbagai aset Maritim di perairan Terengganu, Pahang dan Kelantan yang dikawal selia sepenuhnya oleh Pusat Pengawasan Operasi Maritim (MOCC) di Kuala Terengganu,” katanya.
23 Jun 21
460
'Dulu Enggan, Kini Mahu Divaksin' - Dr Nor Azimi
'Dulu Enggan, Kini Mahu Divaksin' - Dr Nor Azimi
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Sikap rakyat Terengganu termasuk yang tinggal di kawasan pendalaman terhadap suntika vaksin sudah berubah, dahulunya enggan, kini ramai ingin divaksin. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, malah sekarang ada antara mereka mendesak dan meminta supaya dipercepatkan proses untuk disuntik vaksin. Katanya, keadaan berubah kerana mereka sudah sedar mengenai kepentingan vaksin, selain mahu kembali hidup normal. "Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengakui ada sebilangan besar yang sudah lama mendaftar melalui aplikasi Mysejahtera masih belum dipanggil. "Keadaan itu berlaku disebabkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mendahului golongan yang lebih berisiko termasuk barisan hadapan, warga emas dan Orang Kurang Upaya," katanya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara atas talian melalui TV Darul Iman, hari ini. Menurutnya, JKNT yakin proses vaksinasi lebih pantas pada Julai nanti kerana Terengganu akan menerima 200,000 dos tambahan vaksin. "Pihak kami yakin  dengan penerimaan dos tambahan itu, hampir 12,000 penduduk boleh memdapatkan suntikan dalam tempoh sehari, "katanya
23 Jun 21
650
Maritim Terengganu Tahan Empat Bot, Rampas RM6 Juta
Maritim Terengganu Tahan Empat Bot, Rampas RM6 Juta
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu telah menahan empat bot asing di perairan negara kelmarin. Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim, Muhammad Suffi Mohd Ramli, kesemua bot tersebut ditahan oleh Kapal (KM) NUSA yang sedang melaksanakan OP KUDA LAUT pada kedudukan antara 77 hingga 78 batu nautika dari Kuala Terengganu. "Ini merupakan tangkapan kelapan dan terkini bagi KM NUSA. Pada saya, tangkapan ini boleh dikatakan agak luar biasa kerana dengan saiz KM NUSA yang kecil dengan kapasiti 12 anggota, kita berjaya menahan empat bot dengan 46 awak-awak serta tekong bot Vietnam. "Hasil daripada tangkapan ini kita telah merampas tujuh tan ikan campur dan tujuh tan ikan baja, 1,000 liter diesel yang dianggarkan bagi setiap bot dengan anggaran keseluruhan termasuk peralatan, minyak dan hasil bernilai RM6 juta," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Maritim Terengganu, hari ini. Jelasnya, kesemua awak-awak dan tekong bot berusia antara 15 hingga 62 tahun sedang menjalani 'swab test' sebelum siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963. Muhammad Suffi turut memaklumkan, pihaknya percaya bot-bot terbabit telah berada dalam perairan negara lebih sebulan. Ketika ini ditambah pula sepanjang musim sotong ini, kita percaya kemasukan mereka tidak akan berhenti dan kita akan terus menghantar aset walaupun dengan keupayaan terhad," katanya. Beliau berharap, nelayan-nelayan tempatan akan turut memberikan kerjasama dalam usaha Maritim Malaysia untuk menjaga perairan negara daripada nelayan asing yang mengaut hasil laut tanpa kebenaran dan merugikan negara.  
23 Jun 21
936
Masuk Kampung, Pandu Lalu Jayakan Vaksinasi
Masuk Kampung, Pandu Lalu Jayakan Vaksinasi
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Terengganu melaksanakan pelbagai strategi termasuk dengan masuk ke setiap kawasan pedalaman dan membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu bagi meningkatkan kadar pemberian suntikan vaksin kepada rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata pendaftaran vaksin di Terengganu menunjukkan peratusan yang baik iaitu sebanyak 56.2 peratus setakat kelmarin. Katanya, Kuala Terengganu menunjukkan kadar pendaftaran tertinggi iaitu 63.8 peratus, disusuli Marang sebanyak 63.3 peratus dan Kemaman sebanyak 60.1 peratus. Manakala, kadar yang telah menerima suntikan pula berada dalam keadaan yang baik iaitu 15.2 peratus. "Bagi memastikan proses pemberian suntikan ini berjalan dengan baik, beberapa strategi telah dirangka iaitu meningkatkan kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam sedia ada, kerjasama dengan UniSZA serta aktiviti 'Outreach' di kawasan kampung dan pedalaman," jelasnya ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman semalam. Tambah Dr Alias, antara stategi lain yang turut dirangka adalah dengan mengadakan kerjasama dengan 'General Practitioners' (GP), mewujudkan PPV masjid, mengoptimumkan klinik kesihatan dan membuka PPV awam serta PPV Industri. "Strategi ini dijangka mampu untuk memberi suntikan kepada 390,000 orang sebulan, kita dapat mencapai kadar 80 peratus rakyat Terengganu yang menerima suntikan dalam masa dua bulan . "Apabila kita telah mencapai kadar tesebut, diharapkan kita dapat hidup seperti biasa, tidak lagi disekat untuk mengadakan pelbagai program sosial," ujarnya. Namun begitu katanya, semua itu bergantung kepada kita semua dengan mematuhi SOP, mendaftarkan diri untuk program vaksinasi serta mematuhi tarikh vaksinasi yang telah ditetapkan. "Sekiranya semua pihak memberikan kerjasama, pelan pemulihan yang telah dirangka ini akan dapat dicapai mengikut masa yang telah dirancang selewat-lewatnya pada bulan November nanti kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa," ujar beliau.  
23 Jun 21
522
Kerjasama Rakyat Terengganu Penting Untuk Sifarkan COVID-19
Kerjasama Rakyat Terengganu Penting Untuk Sifarkan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Kerajaan dan agensi kesihatan memerlukan kerjasama daripada seluruh rakyat Terengganu untuk terus membasmi penularan COVID-19 di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, berdasarkan situasi semasa, Terengganu berjaya mengurangkan kes tiga ke dua angka bermula 11 jun lalu. Katanya, sebagaimana yang ditetapkan di peringkat MKN, Terengganu dijangka akan keluar dari fasa pertama pada 1 julai ini bagi memasuki fasa kedua dengan menyasarkan lebih banyak sektor ekonomi yang akan dibuka. "Seluruh negara dikehendaki mencapai kurang daripada 4,000 kes, jika dibahagi mengikut kadar penduduk, Terengganu dikehendaki untuk mencapai kurang daripada 150 kes. "Sejak daripada minggu lepas, kes di Terengganu kurang daripada 100 kes hasil daripada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa," jelasnya ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman semalam. Menurut Dr Alias, berdasarkan pematuhan SOP di Terengganu yang dimaklumkan oleh PDRM, Terengganu mencatat kadar pematuhan sebanyak 96 peratus. "Kali ini kita agak 'straight' sikit, kepada yang degil, kita memang terpaksa mengambil tindakan supaya amalan ini tidak diikuti oleh orang lain. "Hasil daripada kerjasama rakyat dan agensi penguatkuasa, kadar kebolehjangkitan (Rt) di Terengganu berada dalam paras terendah seluruh negara sehingga mencatat 0.68 semalam," ujarnya Jelasnya, apabila kita semua mematuhi arahan dan peraturan SOP ini, kita dapat mengawal penularan dengan lebih baik.  
23 Jun 21
447
PKPD Di Mukim Bukit Besar Dan Serada Terkawal
PKPD Di Mukim Bukit Besar Dan Serada Terkawal
Oleh : Suhaimi Taib/Pak Abbas KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Bukit Besar dan Serada terkawal dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, perkembangan itu membolehkan pihaknya memantau pergerakan orang ramai dengan lebih berkesan.  “Alhamdulillah kawalan penguatkuasaan di mukim berkenaan berjalan dengan lancar dan tiada kejadian tidak diingini berlaku dan berharap PKPD di dua mukim berkenaan berakhir selepas tempoh yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi semalam. Terdahulu Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) meninjau di pos kawalan polis di hadapan Masjid Sultan Muhammad Bukit Besar di sini dan mendapati beberapa penduduk sekitar berurusan dengan pihak polis untuk tujuan penting ke bandar Kuala Terengganu. Menurut kenyataan laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) tempoh PKPD di dua mukin berkenaan bermula 13 Jun jam 12.01 pagi dan berakhir 26 Jun ini jam 11.59 malam. Maklum portal itu lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan tempatan jangkitan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan agensi kerajaan lain yang diturunkan kuasa di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988). MKN menjelaskan bahawa semua laluan keluar masuk PKPD ditutup dan semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah atau kediaman masing-masing tanpa tujuan jelas. “Pengecualian hanya diberikan kepada seorang wakil isi rumah untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas dalam kawasan PKPD atau tempat paling hampir dengan kediamannya sekiranya bekalan keperluan tersebut tiada dalam kawasan PKPD tersebut,” jelas portal itu lagi. Seorang penduduk berurusan dengan pihak polis di Pos Kawalan Keselamatan di Hadapan Masjid Sultan Muhammad Bukit Besar Kuala Terengganu.  
23 Jun 21
2118
'Kami Dah Pesan Elakkan Berhimpun, Tapi...'
'Kami Dah Pesan Elakkan Berhimpun, Tapi...'
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Petugas barisan hadapan sentiasa mengingatkan masyarakat agar menangguhkan dahulu sebarang aktiviti yang melibatkan pergerakan dan perkumpulan ramai. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, namun perkara tersebut seperti tidak dipandang serius beberapa pihak setelah jangkitan dalam keluarga di negeri ini masih berlaku. "Jika melibatkan beberapa keluarga terkena jangkitan, seolah-olah masih berlaku pertemuan antara beberapa keluarga. Padahal kita pesan banyak kali supaya tangguh dulu aktiviti ziarah-menziarahi walaupun sesama keluarga. "Kluster Beladau Selat dan Kluster Tg Ketum dari Mukim Serada adalah antara dua kluster terbaru Terengganu.  "Kedua-dua Kluster ini masih berkisar kepada jangkitan dalam keluarga besar. Ia kemudiannya menjangkiti rakan sekerja dan kontak sosial," katanya dalam hantaran menerusi Facebook beliau. Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini Kluster Tg Ketum melibatkan lapan buah keluarga dan turut merebak kawasan kejiranan, masjid dan akhirnya ke dua tempat kerja. "Seramai 668 orang disaring termasuk saringan bersasar di kampung tersebut. Hasilnya seramai 50 kes positif dikesan sehingga ke generasi ke-5.  "Kluster Beladau Selat pun sama. Melibatkan lima keluarga termasuk keluarga jiran. Juga merebak ke dua tempat kerja. Seramai 25 kes positif dikesan hingga ke generasi ke-4 dan kontak rapat seramai 114 orang," jelasnya Tegas Nor Azimi, orang ramai sekali lagi digesa terus serisu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengelakkan diri daripada berhimpun walaupun atas niat yang baik kerana COVID-19 terlalu aktif dalam suasana itu.  "Jika penularan masih berlaku di tempat kerja bermaksud pematuhan SOP di tempat kerja kurang atau tiada," ujarnya. Tambah beliau, situasi COVID-19 di Terengganu hanya boleh disahkan berjaya dikawal sepenuhnya sekiranya kes positif harian dilaporkan satu digit dan tiada kluster baharu direkodkan dalam tempoh seminggu. "Sehingga saat itu Terengganu masih belum ‘menang’ apatah lagi empat kes varian baharu varian Beta (B.1.351) telah dikesan di negeri ini," katanya.  
22 Jun 21
5854
TrenglishxCommunity Tawar Program Bahasa Inggeris Percuma
TrenglishxCommunity Tawar Program Bahasa Inggeris Percuma
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Program bahasa Inggeris ‘TrenglishxCommunity’ (TxC) kini membuka pendaftaran bagi sesi bulan Julai hingga Ogos dengan menawarkan pelbagai aktiviti pembelajaran menarik secara percuma. Penolong Pengurus TxC, Muhammad Najib Ahmad berkata, acara atas talian itu menawarkan suasana pembelajaran secara tidak formal dan menyeronokkan bagi mengalakkan penggunaan serta penguasaan Bahasa Inggeris dalam komunti negeri ini. “Ia juga berperanan sebagai penambahbaikan dan sokongan kepada pembelajaran sedia ada di sekolah, namun begitu, terdapat juga kelas buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kumpulan masyarakat lain. “Ada sepuluh aktiviti #TxCr2 termasuk Fun English Class For All (FECFA) dan Songs to Soul yang ditawarkan secara percuma, manakala hanya dua aktiviti iaitu Better in Speaking (BESPEAK) dan Enrich Your English (EYE) mengenakan bayaran yuran minimum iaitu RM10," katanya ketika dihubungi UPDI. Sementara itu, Pengurus Program TxC, Cik Ani Aiza Ashaari memaklumkan, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama dalam menganjurkan aktiviti TxC seperti aktiviti English : The Next Level untuk pelajar sekolah yang dianjurkan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Manir, Mohd Shaheer Ibrahim serta aktiviti My Hub English yang menyasarkan pelajar Maahad Tahfiz terpilih. “Dengan tenaga 50 pembantu guru Bahasa Inggeris (T-HELP), sasaran penyertaan program selama dua bulan ini adalah seramai 250 orang, kekangan COVID-19 bukan penghalang dalam membangunkan keyakinan diri dalam ‘speaking’. “Dengan pelaksanaannya juga, diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan membangunkan keupayaan berbahasa inggeris, jadi penyertaan seluruh warga Terengganu amat dialukan,” katanya lagi. Sebelum ini, program TRENGLISH di bawah kelolaan Yayasan Terengganu (YT) dengan slogan ‘I am from Terengganu, and I speak English’ itu sebelumnya telah berjaya melaksanakan Sembilan aktiviti dalam fasa pertama program TxC pada Mac-April lalu dengan penyertaan daripada pelajar sekolah sehingga golongan warga emas. Untuk maklumat lebih lanjut tentang pendaftaran program TxC fasa dua, boleh layari Facebook, Instagram dan Youtube rasmi TxC di @TrenglishCommunity atau ke laman pautan Senarai Aktiviti #TxCR2.
22 Jun 21
575
Golongan Bapa Di Terengganu Semakin Bertanggungjawab - Kajian
Golongan Bapa Di Terengganu Semakin Bertanggungjawab - Kajian
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Terengganu (LPPKN) menunjukkan golongan bapa di negeri semakin bertanggungjawab terhadap isteri dan keluarga dalam melaksanakan pelbagai tugasan rumah tangga semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengarahnya, Muhamad Noh Abdullah melaporkan, tinjauan ke atas 176 bapa memaparkan peningkatan peratusan dalam empat kategori yang mula dilaksanakan secara bersama oleh para suami (bapa) terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19. “Antarannya kenaikan melebihi 70 peratus melibatkan tugasan rumah seperti mengemas, memasak dan mencuci pakaian, menjana dan urus kewangan keluarga, memastikan keperluan harian mencukupi serta memastikan pendidikan anak terjaga. “Faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan ini mungkin disebabkan kurang kesibukan kerja dan lebih masa bersama keluarga, maka perasaan ingin bekerjasama dengan orang rumah itu timbul. “Sementara itu 94 peratus mengatakan mereka (Ibu bapa) melaksanakan perkongsian maklumat dan informasi terkini berkaitan virus bersama keluarga, 92 peratus menjawab ibu bapa mengambil peranan memastikan ahli keluarga sentiasa patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa bersiaran langsung sempena sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2021 di TVDI, pagi tadi. Sementara itu, Muhammad Noh menyifatkan golongan bapa dalam negeri juga semakin cakna tentang bahaya jangkitan dan kepentingan kesihatan melalui perbualan bersama ahli keluarga. “Manakala 27 peratus bapa menyalurkan maklumat menerusi media sosial serta 26 peratus memperoleh maklumat berkaitan COVID-19 menerusi televisyen,” jelasnya. Tambahnya, tinjauan ke atas kalangan bapa yang mempunyai anak berumur 3 hingga 24 tahun secara dalam talian selama lima (5) hari juga mendapati 49 peratus ketua keluarga mempunyai gaya ‘Authoritative Dolphine’ atau mendidik anak daripada kesilapan dan membaikinya.  
22 Jun 21
1237
PPV Pandu Lalu Pertama Di Terengganu Mula Operasi Hari Ini
PPV Pandu Lalu Pertama Di Terengganu Mula Operasi Hari Ini
MARANG, 22 Jun - Terengganu memulakan operasi perkhidmatan pusat pemberian vaksin (PPV) secara pandu lalu pertama di negeri ini di Dewan Sivik Bukit Payung, hari ini. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar berkata, Marang menjadi daerah pertama melaksanakan perkhidmatan itu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu. “Pihak pengurusan Pejabat Daerah dan Tanah Marang telah mengadakan mesyuarat dan mendapat persetujuan untuk melaksanakan khidmat suntikan pandu lalu ini," katanya ketika ditemui pemberita dalam tinjauannya ke PPV berkenaan, pagi tadi. Beliau berharap dengan pelaksanaan khidmat pandu lalu itu, peratusan penerima vaksin di Terengganu bertambah bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Hadir sama dalam tinjauan tersebut, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak. Sementara itu, menurut Tun Faisal, perkhidmatan pandu lalu itu dilaksanakan untuk pemberian dos kedua bagi penerima vaksin terlebih dahulu. “Kita menjangkakan apabila perkhidmatan pandu lalu ini diteruskan jumlah suntikan harian akan mencapai maksimum dos sehari," ujarnya.
22 Jun 21
3949