Artikel "Utama" Terkini
Teori Konspirasi, Apa Kata UAI?
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Seluruh masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan menyebarkan maklumat tidak sahih seperti teori konspirasi yang sengaja ditularkan di media sosial pada masa kini.
Saranan tersebut disuarakan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang menjelaskan orang ramai perlu memahami konsep bagi informasi tersebut.
“Pertama adalah teori, bermaksud cerita atau bagaimana kisah tersebut didapatkan, ia bukan praktikal.
“Kedua adalah konspirasi, bermaksud pakatan atau tindakan hasil daripada sebuah pakatan yang besar, bertujuan tidak baik dengan kesan skala besar seperti plot berbentuk rahsia,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI bersempena Munajat Rakyat 3.0 hari ini.
Menurut beliau, tindakan pertama adalah orang ramai boleh mendengar, tapi siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mengesahkan jika ia ada dalil yang kuat.
"Jika kita ingin sembahyang atau sembelih korban, kita juga perlu ada ayat yang menyebutnya.
“Jadi pentingnya kita bertindak melalui siasat terlebih dahulu sesuatu maklumat diperloleh, kemungkinan perkara yang dikatakan itu sebenar berlaku atau cakap kosong semata-mata," jelasnya.
Ustaz Azhar menceritakan, Nabi Muhammad SAW berkata ‘jangan buang semua dan jangan ambil semua' bagi menekankan bahawa informasi mengikuti syarak boleh diambil manakala yang melanggarnya perlu dibuang.
“Kalau kita nak kongsi atau ‘share’ di Facebook, sebar perkara baik, kalau ia berunsur haram, maksiat atau aib hindarilah kerana kita akan mendapat dosa sama.
“Oleh itu, tanyalah ibu bapa, ustaz, para ilmuwan atau pegawai atasan berkenaan maklumat yang didapati, terutamanya dalam zaman masalah internet ini,” katanya lagi.
25 Jun 21
872
340 Keluarga Bekerja Sendiri Di DUN Bandar Terima Bantuan
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Seramai 340 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar yang bekerja sendiri menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, sumbangan untuk fasa ke-2 bernilai RM34,000 itu diagihkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kampung masing-masing.
"Selepas selesai agihan Berkat 3.0 Fasa 1 berjumlah RM136,000, kami teruskan lagi pembahagian sumbangan bekalan makanan bagi Fasa ke-2 kepada rakyat yang terjejas akibat PKP di DUN Bandar dengan jumlah RM100 untuk satu keluarga melibatkan 340 keluarga.
"Rakyat di DUN Bandar yang masih belum menerima bantuan diseru untuk membuat aduan segera kepada pihak JPKK, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bandar dan akaun rasmi Facebook pihak kami.
"Jika masih ada mereka yang terjejas akibat PKP tapi masih belum menerima bantuan, bolehlah berhubung dengan JPKK, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bandar atau Akaun Rasmi Facebook (Page) Ahmad Shah Muhamed. Insya-Allah , kami akan hubungi dengan segera," katanya,
Beliau berkata demikian ketika hadir ke PKM Bandar bagi membantu petugas-petugas yang sedang menyiapkan barangan bantuan BERKAT 3.0 hari ini.
25 Jun 21
376
Hargai 'Frontliners', Patuhi SJR
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Orang ramai diingatkan supaya menghargai pengorbanan 'frontliners' dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilaksanakan di tempat-tempat masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata semua mereka itu adalah untuk menjaga masyarakat daripada penularan virus Covid-19.
"Mereka bersengkang mata tidak kira siang dan malam menjalankan tugas sama ada di SJR atau di hospital.
"Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada 'frontliners' keselamatan seperti polis, askar dan rela dengan SJRnya dan juga 'frontliners' kesihatan yang sibuk merawat pesakit, dengan Vaksinasi dan juga 'swab test yang dilakukan dengan cara yang teratur," ujarnya ketika ditemui oleh wakil Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) yang terpaksa dilaksanakan di Mukim Besar, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ladang itu berharap penduduk di mukim tersebut bersabar kerana ianya adalah untuk kebaikan bersama.
"Saya telah meninjau aktiviti 'swab test' di Pusat Saringan Covid-19 di Masjid Bukit Besar, Alhamdulillah saya berbangga sebenarnya dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh masyarakat di DUN Ladang ini.
'Mereka patuh dengan SOP dan datang untuk melakukan' swab' apabila dipanggil ke pusat saringan yang disediakan dalam DUN Ladang," jelasnya.
Katanya, terdapat tiga pusat seumpama itu di DUN Ladang iaitu di Gong Penaga, Lorong Kemunting dan Bukit Besar.
"Terima kasih kepada penduduk DUN Ladang dan 'frontliners' yang saling bekerjasama untuk membendung penularan virus Covid-19, insya-Allah dalam masa terdekat ini kita sama-sama panjatkan doa kepada Allah SWT agar penularan Covid-19 terus terhenti," ujarnya lagi.
25 Jun 21
293
PKPD Kampung Tajin Ditamatkan Esok
HULU TERENGGANU, 24 Jun- Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tajin, Kuala Berang ditamatkan mengikut jadual, esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, KKM telah melakukan 940 ujian saringan dan 52 daripadanya disahkan positif COVID-19.
"KKM telah mengesahkan berlaku penurunan kes di lokaliti berkenaan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif sudah menerima rawatan,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ismail mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Tajin, Kuala Berang bermula 12 hingga 25 Jun bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.
PKPD tersebut membabitkan seramai 1,403 orang penduduk dan 270 kediaman merangkumi kawasan seluas 10 kilometer persegi dan terletak kira-kira 8 kilometer dari Pekan Kuala Berang.
24 Jun 21
712
'Internet Macam Siput' Kini Diatasi
KEMAMAN, 25 Jun - Istilah 'Internet Macam Siput' oleh sesetengah netizen tidak lagi terpakai di Kampung Pondok Pasir, Kijal setelah menara telekomunikasi yang baharu dibina kini mula beroperasi dengan pencapaian tertinggi sepenuhnya.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika tinjauan di menara tersebut kelmarin berkata, ia sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah capaian internet di kawasan tersebut.
Hazri Jusoh (kiri) dan Zawawi Mohamed di tapak menara.
"Alhamdulillah, dengan beroperasinya menara ini ia dapat menyelesaikan masalah capaian internet di Kampung Pondok Pasir, Yak Yah dan Ibok.
"Mudah-mudahan kemudahan liputan 4G ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh penduduk kampung dengan perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada kita semua.
"Terutama kepada pelajar yang kini sedang mengunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan komuniti di sekitar yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan kerana pandemik Covid 19," katanya.
Dalam masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takal, Zawawi Mohamed yang turut serta menerangkan, seramai 1,000 penduduk di sekitarnya dapat menikmati kemudahan ini.
"Seramai 1,000 penduduk di tiga buah kampung tersebut dapat menikmati kemudahan ini termasuk pengunjung di Zoo Kemaman kerana ia juga termasuk dalam lingkungannya," terangnya.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyegerakan permohonan kami tempoh hari dengan sokongan Pejabat Penyelaras DUN Kijal dalam menyejahterakan komuniti kampung dan seluruh rakyat negeri Terengganu," ujarnya.
Menara telekomunikasi di Kampung Pondok Pasir mula beroperasi.
Menara setinggi 200 kaki itu telah siap dibina sepenuhnya pada Mac 2021 oleh FGV Prodata dan Hazri menyeru agar syarikat telekomunikasi yang lain seperti Celcom, DIGI, UMobile dan sebagainya boleh memanfaatkan peluang ini untuk kebaikan rakyat.
24 Jun 21
920
Terengganu Mahu Perluas Bantuan Subsidi Rawatan Kesihatan
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Kerajaan negeri memberi komitmen untuk memperluaskan bantuan subsidi rawatan kesihatan atau Kad Sejahtera di klinik-klinik swasta terpilih ke pusat perubatan lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.
“Saya membaca satu hantaran di Twitter tentang seorang wanita yang tidak mampu untuk membayar kos perubatan bahkan untuk membayar harga ubat.
“Hantaran itu menyatakan bahawa wanita itu ada menunjukkan satu kad ketika di kaunter. Kad yang dinyatakan merupakan Kad Sejahtera bernilai RM500 yang diberikan kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk menjalani rawatan.
“Namun, tidak semua klinik mahupun pusat perubatan menerima kad tersebut kerana pihak Kerajaan Negeri telah melantik klinik-klinik tertentu sebagai panel,” ujar beliau ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman sebentar tadi.
Wan Sukairi.
Mengulas lanjut, Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam memaklumkan, pusat perubatan yang didatangi wanita terbabit terletak di DUN beliau dan pihaknya akan berusaha untuk menjadikan klinik itu sebagai klinik panel Kad Sejahtera.
“Pusat Perubatan Intan ini berada di dalam kawasan DUN Wakaf Mempelam dan insya-Allah saya akan memberi komitmen dalam usaha untuk menjadikan Pusat Perubatan Intan di sini sebagai klinik panel untuk Kad Sejahtera khususnya buat masyarakat DUN Wakaf Mempelam,” tambah beliau.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri menyasarkan 20,000 penerima dalam program Kad Sejahtera terbabit dengan peruntukan RM10 juta setahun.
"Bagi fasa 2 setakat April 2021 seramai 18,181 penerima baharu melibatkan golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam program e-kasihtelah dikenalpasti.
"Sehingga kini, kira-kira 60 klinik menawarkan perkhidmatan Kad Sejahtera ini dan kita sangat mengalu-alukan lebih banyak lagi yang akan turut bersama-sama kerajaan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan dalam mendapatkan rawatan kesihatan terbaik," jelasnya.
Kad Sejahtera merupakan salah satu manifesto PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu dan ia dilancarkan pada 2019.
24 Jun 21
384
Program Outreach Vaksinasi SK Seri Kasar Sasar 1,000 Suntikan Sehari
SETIU, 24 Jun - Sebanyak 1,000 suntikan dos vaksin COVID-19 disasarkan kepada orang ramai di Program Outreach Vaksinasi di Sekolah Kebangsaan Seri Kasar, di sini pada Sabtu ini.
Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif berkata jumlah sebanyak itu diperuntukkan kepada penduduk daripada 10 buah kampung di Mukim Hulu Nerus 1.
"Ini adalah satu kaedah bagi membantu penduduk luar bandar daerah itu mendapatkan suntikan vaksin," katanya ketika ditemui selepas lawatan tapak Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di SK Seri Kasar hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, program outreach itu diatur berfokus kepada kampung yang berada jauh daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sungai Tarom.
"Setakat ini dua 'outreach' sudah dilaksanakan di SK Bukit Mundok dan SK Merang dan outreach di SK Seri Kasar ini merupakan yang ketiga buat daerah Setiu.
"Melihat sambutan yang menggalakan daripada orang ramai daripada pembukaan 'outreach' sebelum ini kita akan terus berusaha untuk membawa PPV dekat dengan mereka.
"Harapan saya agar warga daerah Setiu memanfaatkan peluang ini bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan," jelasnya.
24 Jun 21
637
Terengganu Tunggu 'Signal' MKN Sebelum Adakan Sidang DUN
HULU TERENGGANU, 24 Jun - Terengganu sedang menunggu jawapan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung permohonan untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia tentang kaedah pelaksanaan Sidang DUN dalam situasi negara sekarang.
Katanya, setelah mendapat kepastian, barulah diadakan perbincangan untuk tarikh yang sesuai.
"Insya-Allah sampai waktu dan ketika kita akan maklum.
"Kita akan buat Sidang DUN seperti mana negeri lain dan bila sampai waktu kita akan isytiharkan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kuala Berang, di sini hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, selepas perbincangan itu, beliau akan menyembah maklum tarikh cadangan untuk mengadakan Sidang DUN kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi mendapatkan perkenan memanggil sidang dewan.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata Terengganu akan menerima vaksin dalam kuantiti yang banyak bermula Julai.
"Kalau tidak ada apa halangan mungkin dalam masa dua bulan setengah ini kita boleh capai 80 peratus vaksinasi di negeri ini," ujarnya.
24 Jun 21
544
MB Sentiasa Ingatkan Jangan Pilih Kasih
KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Terengganu pada Mei 2018, barisan pentadbiran sentiasa berpegang kepada prinsip tidak memilih bulu dalam menyampaikan bantuan kepada masyarakat yang layak.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sentiasa menegaskan perkara itu kepada seluruh kepimpinan sehingga ke Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Jangan ada pemikiran pilih kasih, latar belakang politik, warna, agama dan kaum, semuanya adalah rakyat negeri yang tidak perlu disisihkan disebabkan perbezaan tersebut, penghormatan dan sumbangan mesti diutamakan.
“Kerja pengagihan sumbangan oleh setiap lapisan pentadbiran berjalan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 pada Mac tahun lepas, cuma mungkin ada sedikit terlepas pandang.
“Jika rakyat diluar sana tidak mendapat bantuan yang sewajarnya, mereka boleh datang berbincang di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri, Pusat Khidmat Masyarakat atau terus berjumpa JPKK di kawasan masing-masing bagi memastikan nama-nama yang layak tersenarai,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI baru-baru ini.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu, penyaluran bantuan secara bersasar yang berjumlah RM200,000 kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan RM6,400,000 sedang diagihkan secara dua fasa.
“Kita bersetuju untuk agihkan RM100 (RM50 dalam bentuk wang, RM50 dalam bentuk barangan keperluan) melalui ADUN dan Pegawai Penyelaras dalam negeri.
“Kata kunci bagi inisiatif ini adalah meringankan beban orang bekerja yang hilang punca pendapatan serta tidak tersenarai dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.
24 Jun 21
668
Syukur dan Terima Kasih - Penerima Berkat 3.0
HULU TERENGGANU, 26 Jun - Rakyat Terengganu rata-rata bersyukur dengan pemberian Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (Berkat 3.0) yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kehidupan seharian semasa pandemik COVID-19.
Seorang petani, Mohd Zuki Daud, 38, berkata, sumbangan berbentuk barangan keperluan harian itu amat membantu warga pekebun yang berpendapatan tidak menentu.
"Berkat 3.0 dapat bantu saya yang hilang punca pendapatan sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerana pergerakan terhad untuk mendapatkan baja dan peralatan tani. sekurang-kurangnya lepas belanja barang dapur," katanya yang berasal dari Kampung Pela ketika ditemubual pemberita.
Sementara itu, seorang tukang cuci di Pekan Ajil, Rosli Rani, 52, menyifatkan bantuan dari kerajaan negeri amat dialu-alukan.
"Saya amat bersyukur dengan bantuan kerajaan kerana dapat memudahkan rakyat yang sangat memerlukan pada waktu sukar ini," tambahnya.
Katanya yang juga penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi kategori B40, beliau tidak dapat meneruskan pekerjaannya akibat penutupan beberapa sektor semasa 'total lockdown'.
Abdullah Saleh, 74, pula berkata beliau bersyukur atas kecaknaan kerajaan negeri kepada mereka yang terjejas sejak berlakunya sekatan ekonomi pada tahun lepas.
"Kerajaan tidak pernah mungkir janji, apa yang saya lihat pemberian Berkat kali ini adalah yang terbaik," luahnya yang tinggal di Kampung Sungai Ara.
Sementara itu, Peniaga kedai makan, Siti Fatimah Che Ali, 62, menyuarakan pengumuman bantuan terbabit tepat pada masanya dan berharap golongan sasar yang mendapat bantuan itu diperluaskan.
"Tidak dinafikan sumbangan ini amat baik membantu mereka yang terkesan akibat COVID-19, namun saya berharap ia dapat diagihkan lebih adil dan saksama," jelasnya.
Untuk rekod, Berkat 3.0 telah dilancarkan dengan peruntukan RM6.4 juta bagi membantu golongan yang terjejas akibat penutupan beberapa sektor sepanjang sekatan penuh yang bermula 1 Jun 2021 dengan program secara bersasar berjumlah RM200,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diagihkan secara dua fasa.
24 Jun 21
189